#Nasa – Kasih ibu & ayah

Lama tak bersiaran, maka untuk tahun 2018, ini kisah pertama aku. Kasi cerita touching sikit. Dimulakan dengan bismillah.

Mungkin semua yang aku coretkan ini tidak berlaku pada aku, tetapi aku nafikan ini kisah rekaan! Mungkin ianya cerita mereka atau sesiapa sahaja. Jadi aku andaikan ianya kisah kita semua.

Ingat tak waktu tu kau balik lewat? Haaa waktu tu ayah dah tunggu di pintu, bercekak pinggang, sebelah tangannya memegang rotan buluh, hujung nya sedikit berbelah, mungkin sebab kau degil! Selalu sahaja kau dibantai.

Dan malam tu, mak kau datang memujuk, duduk di sebelah dan menceritakan betapa ayah sangat menyayangi. Tapi kau nafikan! Kata kau ayah garang, langsung tidak mesra, langsung tidak mahu bergaul. Ayah masih di depan dengan surat khabar, bercermin mata, sambil menonton televisyen.

Dia tak pujuk!

Kau anak yang degil!


Balik sekolah makanan telah siap terhidang! Kau datang ambil bau. Sedap! Lapar! Itu yang bermain di fikiran sekarang.

“Makan lah ibu masak banyak ni.” Ujar wanita syurga itu sambil ligat menghidang

“Terima kasih ibu!!! Sayang ibu!!!.”

Kau peluk, kau cium. Kau tahu ibu adalah segala-galanya. Ibu adalah sumber inspirasi. Ya! Tanpa ibu, kau tak boleh hidup.

Setiap hari kau duduk berbicara, kau berbual soal hidup soal apa sahaja. Ibu senyum, mendengar teliti, tangannya laju melipat kain. Sesekali dia tergelak, dia mengangguk, melayan kau seadanya.

Kau leka berborak sebab ibu adalah segalanya.

Ayah? Masih di luar. Sedari balik kerja sampai lah petang itulah tempat dia. Kerusi kayu berwarna coklat gelap. Duduk sambil memerhati sekeliling. Sesekali mengeluh.

Ah! Ayah memang tidak mesra.

Ya! Dia tidak pernah peduli soal kau. Apatah lagi jika ajak bercerita, entah dia mahu atau tidak untuk mendengar. Hurmm hal sekolah pun tidak diambil tahu

Wajah ayah? Sentiasa bengis. Nampak rautnya berkedut kulit, dimakan usia. Masih lagi leka di kerusi kayu berwarna coklat depan rumah. Sesekali menghisap rokok. Menikmati hidupnya untuk seketika.

Soal kau? Mungkin ayah malas ambil tahu, tapi kau tidak kisah.

Kau ada ibu!


“Maisarah….” Kau senyum mendengar namanya, wanita itu adalah rakan sekerja. Bertudung, manis riak wajah, berbaju kurung selalu, malah kau adalah yang pertama disapa setiap kali

Hati kau berbunga, wajah kau merah

Kau pulang, kau bawa khabar gembira.

“Ibu!!!.” Seperti biasa itu adalah nama yang pertama kau sapa. Kau buka kasut, berjalan laju untuk masuk.

Ayah masih di kerusi kayu coklat hadapan rumah. Bersendirian menampal kasut yang sudah berlubang. Matanya melirik, tapi tidak bertanya.

“Ibu! Aku cintakan Maisara…” Kau mengaku, kau gembira, kau tertawa.

Suara itu sampai ke luar. Lelaki tua tadi hanya tersenyum.

Bukan dia tidak melihat. Kau semakin dewasa

Bukan dia tidak mendengar. Soal kahwin yang kau bicara.

Ayah, masih menampal kasut tadi, sambil merenung dan melirik kau yang masih leka ketawa.


Hari ini kau serabut, kau keluar rumah, soal masa depan yang kau bincangkan sangat rumit rupanya.

Kau keluar, berjumpa kawan, ketawa riang. Stress itu kau lepaskan.

Dari pagi tadi ayah dan ibu membebel! kau bosan!

Pada kau mereka tidak faham! Mereka bukan muda, mereka tidak memahami masalah dunia, masalah ekonomi, masalah kewangan! Kau bosan!

Bercakap dengan ibu bapa tidak menyelesaikan apa-apa. Malah yang ada bersama dengan kau sekarang adalah segalanya.

Malam itu kau pulang lewat.

Ayah! lelaki itu masih di kerusi kayu coklat hadapan rumah. Tidak tersenyum, hanya menjeling. Tidak bertanya apa-apa. Dia bersandar bersilang kaki. Lantas memerli.

Ya! Kata-katanya menyakitkan hati! Kau tak terima, kau bertengkar! Kedewasaan kau memberontak dengan teguran. Kau benci mereka.

Ibu pun, tidak kau sapa, kau berang, lantas menutup kuat pintu.

Soal hait? Malas kau fikirkan.

Orang tua tidak pernah faham kehendak yang kau mahukan!!!!!


“Suriani….” Itu nama bayi comel yang kau beri. Anak hasil zuriat kau dan isteri. Kau toleh belakang. Ayah dan ibu masih di situ, menunggu! Itu cucu sulong mereka yang pertama.

Suriani semakin membesar. Suriani pandai berjalan, kini dia berlari.

Kau pula semakin sibuk mencari rezeki.

Dia kau tinggalkan di rumah ayah dan ibu. Ya! Dan kini kedua mereka menjaga Suriani seperti mana mereka menjaga kau semasa kau seusianya

Kau mula terasa benak dan susahnya untuk menjadi ayah.

Kau mula merasa betapa kau perlu sokongan mereka, rujukan dan nasihat serta panduan. Kau tertanya-tanya apa yang mereka lakukan sewaktu kau sedang membesar, seperti mana Suriani.

Kau tak sombong kali ini

Kau mengerti hari ini


Hari ini kau ayah!! Hari ini kau merasa menjadi ayah!

Kau menunggu di luar, bercekak pinggang dengan rotan buluh di tangan, hujung nya sedikit berbelah, mungkin sebab Suriani degil! Selalu sahaja dia dibantai. Sikapnya sukar kau duga kerana dia perempuan.

Dan malam tu, isteri kau datang memujuk, duduk di sebelah Suriani. Dia menceritakan betapa kau sangat menyayangi anak itu.

Tapi dia nafikan! Katanya, kau ayah yang garang, langsung tidak mesra, langsung tidak mahu bergaul. Kau masih di depan menunggu, sengaja tidak mahu bertanya.

Bukan ego! Tapi kerana kau ayah, kau perlu tegas! Kau tak nak kelihatan culas!

Dan apabila isteri kau keluar, kau bertanyakan soal Suriani padanya.

Adakah Suriani baik-baik?

Adakah Suriani terluka?

Adakah Suriani sakit?

Bukannya kau tak peduli!

Kau lupa? Dulu ayah kau juga melakukan perkara yang sama! Hanya kau yang tak tahu kenapa.


Hari ini Suriani balik sekolah. Gembira melihat lauk yang penuh di atas meja. dia makan dengan berselera. Kau hanya menjeling melihat. Suka dengan telatah anak satu-satunya.

“Makan lah ibu masak banyak ni.” Ujar isteri kau sambil ligat menghidang

“Terima kasih ibu!!! Sayang ibu!!!.”

Suriani peluk, Suriani cium isteri kau. Ibu adalah segala-galanya. Ibu adalah sumber inspirasinya. Ya! Tanpa ibu, dia tak boleh hidup.

Kau masih mampu tersenyum kerana?

Kau ayah! Kau berjaya siapkan semua untuk mereka. Mereka tidak berlapar, mereka tidak kebulur.

Biarlah Suriani menyayangi ibunya, itu bukanlah masalah! Kau perhatikan mereka, itu sudah cukup gembira. Puas!

Setiap hari Suriani duduk berbicara, berbual soal hidup, soal apa sahaja dengan ibunya. Isteri kau hanya senyum, mendengar teliti, tangannya laju melipat kain. Sesekali tergelak, mengangguk, melayan Suriani seadanya.

Kau? Masih di luar. Sedari balik kerja sampai lah petang itulah tempatnya. Buaian kecil yang kau buat untuk Suriani suatu masa dulu, kini tempat melepaskan lelah.

Ya! Ayah kau juga pernah melakukan perkara yang sama! Cuma kau yang tak tahu kenapa

Wajah kau? Sentiasa bengis. Nampak raut yang sudah berkedut dimakan usia. Masih lagi leka di buaian tadi.

Kau sudah langsaikan segala hutang di rumah, hutang bil, hutang kereta, yuran pembelajaran Surani, semua cukup! Jadi kau di luar, menikmati hidup kau untuk seketika

Soal Suriani? Bukan kau malas ambil tahu, cuma kau letih. Letih dengan bebanan yang kau rasa.

Suriani masih ada ibu….

Kau lupa suatu ketika dulu ayah kau pun bersikap dengan cara yang sama! Cuma kau yang tak tahu kenapa.


“Saiful ibu…” Suriani bercerita gembira.  Itu adalah lelaki di alam pekerjaannya. Berkemeja, segak riak wajah, malah Suriani adalah yang pertama disapa setiap kali

Hati anak kau berbunga, wajah anak kau merah

Kau tahu, Suriani ingin membawa khabar gembira.

“Ibu!!!.” Seperti biasa itu adalah nama yang pertama Suriani sapa. Dia buka kasut, dia berjalan laju masuk.

Kau masih di buaian luar. Yang dibuat untuk suriani suatu masa dulu. Bersendirian, namun mata kau melirik tidak bertanya.

“Ibu! Aku cintakan Saiful…” Suriani mengaku, Suriani gembira, Suriani tertawa.

Suara itu sampai ke luar. Kau cuma tersenyum.

Bukan kau tidak melihat. Suriani semakin dewasa

Bukan kau tidak mendengar. Soal kahwin yang Suriani bicara.

Kau, masih lagi di luar, merenung dan melirik Suriani yang masih leka ketawa.

Ya! Ayah kau dulu bersikap dengan cara yang sama, cuma kau je yang tak tahu kenapa


Hari ini Suriani serabut, dia keluar rumah, soal masa depan yang dia bincangkan sangat rumit rupanya.

Dia keluar, berjumpa kawan, ketawa riang. Stress itu dia lepaskan.

Dari pagi tadi kau dan isteri menunggu

Pada Suriani kau tidak faham hatinya, kehendaknya! Dia memberontak! Dia sentiasa tidak berpuas hati,

Tapi kau tahu Suriani sudah dewasa, kehendaknya pelbagai. Jenuh kau berfikir apa yang kurang. Tapi kau rasa semua sempurna.

Kau lelah berfikir.

Kau penat bicara.

Ya! Sama seperti yang ayah kau buat dulu! dan kau yang tak tahu kenapa

Malam itu Suriani pulang lewat.

Kau tidak tersenyum, malah hanya menjeling. Tidak bertanya apa-apa. Kau bersandar. Kau takut kata-kata kau melukakan dia. Lantas jalan terbaik berdiam diri.

Kau tahu apa Suriani fikirkan. Orang tua seperti kau tidak pernah faham kehendak yang dia mahukan!!!!! Kau Kolot!!

Sama seperti mana ayah kau dulu! Cuma kau yang abaikan keperihatinan dia!


Hari ini, kau lihat Suriani berseri, dia bakal jadi isteri. Pilihan hatinya menepati dan kau tersenyum lega. Kau maafkan segala kesalahannya, kau sayangkan dia sesungguhnya. Kau ayah! Kau tahu kau berjaya membesarkannya.

Majlis ijab dan kabul itu sangat sempurna. Suriani ketawa, dia gembira! Ya! Sangat gembira!

Dan sekarang….

Kau berdiri di depan cermin, terasa puas! gambar ayah, kau lihat dan belek, dalam diam kau berterima kasih… semuanya selesai. Lama juga kau bermenung.

Suriani jadi milik orang lain, dan kau akan tinggal berdua selepas ini. Namun asalkan Suriani gembira, kau turut bahagia.

tok!! tok!! tok!! Pintu bilik diketuk.

“Ayah…” Tegur Suriani. Gadis comel itu sedia berdiri di depan pintu

“Suriani….. kenapa di sini?.” Kau cuba tersenyum juga

“Ayah tak keluar… Suriani cari…” Muncung anak itu sedepa kedepan. Rupanya dia mencari kau dari tadi. Katanya tidak lengkap tanpa kehadiran kau di sisi. Dia degil, tapi dia anak yang manja, sama seperti kau juga.

Kau cuma tersenyum. Berbohong mengatakan, penat dan letih… tapi sebenarnya kau sedih.

“Suriani sayang ayah. Jangan lah pergi….” Anak itu berjalan dan memeluk. Kau tahu kau tak kemana-mana, kau tetap di sini, cuma Suriani yang akan pergi nanti.

Tangisan air matanya meruntun sayu, Kau pula bersahaja, tapi perasaan itu kau sudah tahan sedari awal lagi. Untuk pertama kali kau cium dahinya, kau katakan yang aku akan rindu padanya.

Dan?

Kau memeluk kembali. Air mata kau berjurai kali ini. Hanya kemaafan yang kaupinta. Kau tidak pernah bersikap mengabaikan, kau hanya terlalu banyak menyelesaikan perlbagai perkara. Kemaafan itu kau mahu Suriani bawa sehinggalah dia juga punya anak dan faham tentang tugas ibu dan bapa.

Mungkin kau bukan ayah sebaiknya, tapi kau tetap ayah dan kau sayang padanya.

Ya! Sama seperti ayah kau dulu. Cuma kau je yang tak tahu kenapa!


“Seseorang datang kepada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Kemudian ayahmu.’” (HR. Bukhari no. 5971 dan Muslim no. 2548)

Kasih ayah dan ibu tiada bezanya. Hanya kerana dia sibuk dengan urusan mencari rezeki bukan bermakna dia langsung lupa pada tugas hakiki

Dah jumpa ayah hari ni?

Kalau tak jumpa, telefon pun tak apa….

Satu masa kita semua akan pergi, janganlah biar ayah kita terasa dia bersendiri.

“Hello ibu.. sihat?.” Tak susah untuk memulakan.

“Ha.. ibutengah sibuk ni!! Kau tak ada waktu lain ke nak telefon!!.” Dia berbohong je tu, sebenarnya ibu suka.

Ayah….ibu…

Untuk ibu bapa yang telah tiada, alfatihah! Kalau boleh diulang masa, tentu banyak perkara yang kita boleh buat bersama.

Semoga mereka semua tergolong dalam kalangan orang yang beriman

nasa yusuf

rabu – 31.01.2018 / 1833hrs

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

216 comments

  1. Untuk ibu bapa yang telah tiada, alfatihah! Kalau boleh diulang masa, tentu banyak perkara yang kita boleh buat bersama.-Nasa-

    Bila aku buat sesuatu perkara baharu . ayat inilah yg selalu bermain di fikiran ini . Sangat banyak hal yg ingin aku lakukan pada muloh mak & muloh ayah :’) Kini hanya tinggal aku dan adik2 yg sentiasa hidup dalam kenangan mereka ❤

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *