#NIL: SANG PAHLAWAN – RATU NOSFERATU

*Amaran – ini bukan kisah benar. Fiksyen semata. Sekiranya pengalaman sebenar yang anda cari, saya minta maaf, bukan disini.*

Part 1: https://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan/
Part 2: https://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-si-puteri-salju/
Part 3: https://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-suria/
Part 4: https://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-salju-dan-suria/
Part 5: https://fiksyenshasha.com/nil-sang-pahlawan-memori/

Negeri Aschere. Istana, Taman Larangan.

Suria memegang dahinya dengan kedua belah tangan. Berjalan kesana-kemari. Tidak keruan dia. “Maaf Salju. Semua salah saya. Saya minta maaf. Saya tak sangka jadi macam ini.” Ujarnya, penuh rasa bersalah. Salju duduk bersimpuh, tenang di atas hamparan rumput, berdekatan dengan pokok raksasa tempat dia terjumpa anak tupai. Dia membelek-belek penutup topengnya, menarik-narik tali yang tersimpul.

“Saya tak kisah, Suria. Tiada siapa-siapa bersalah dalam hal ini.” Ujar Salju. Suria memandang Salju dengan muka berkerut. Rasa bersalah menyelubungi dirinya. Dia mendekati Salju, pantas duduk bersila di hadapannya. “Tetapi Hulubalang itu tak sepatutnya melakukan awak sebegitu, Salju.” Ujar Suria. Salju mendongak memandang Suria. Mata hijau zamrudnya berkilau dipanah cahaya matahari. “Tak apa. Lihat, luka saya sudah sembuh.” Jawab Salju, menunjukkan tempat dia ditikam Hulubalang di pinggangnya. Bekas tikaman pedang itu kelihatan di baju Salju; namun dia lansung tiada luka. Parut pun tiada.

Suria mengeluh, memandang tempat tikaman itu. Memandang baju Salju yang comot, dikotori tanah dan darah. Perempuan muda itu belum memakai topengnya selepas dibuka oleh Suria; topeng itu dibeleknya penuh minat. Dia mengikat tali pada topeng itu, selepas itu dirungkainya kembali. Rambutnya yang mencecah bahu mengurai lembut tiap kali angin bertiup.

Suria merenungnya. Terbit rasa simpati. Wiselnya digenggam, disarung kembali. “Baiklah. Tetapi kita tukar dahulu baju kamu. Ya?” Ujar Suria, bingkas bangun. Salju mengangguk-angguk.

Suria menghulurkan tangan.

“Ayuh. Kita tukarkan baju kamu.” Ujar Suria.
Salju sedikit teragak. Dia kemudiannya menyambut tangan Suria, perlahan. Tangannya digenggam erat, bagai tenggelam dalam tangan Suria yang lebih besar darinya. Suria menariknya bangun. “Mari. Kita tanya Hulubalang dahulu.” Ujar Suria, menarik tangan Salju. Memimpinnya.

Tangan Suria itu hangat. Hidup. Dia mengikut Suria, memandang belakangnya yang bidang. Tengkuk Suria jelas kelihatan. Ada sedikit renik peluh di tengkuknya.

Dahaga itu datang,membakar dirinya dengan marak.
Salju menutup matanya sekuat hati, namun dahaga itu bagai membahang, membakar dengan api yang menggila. Tentu kerana dia kehilangan banyak darah tadi.

Langkah Salju terhenti.

Suria berpaling ke belakang. “Salju?” ujarnya. “Kenapa?” Sambungnya lagi. Salju menunduk, memandang tanah.

Suria mendekati. “Salju, kenapa? Tempat ditikam itu sakit kah?” tanya dia, bimbang.
Salju menggeleng.

“Lari.” Gumamnya.

“Apa?” Ujar Suria. Kurang faham.

“Lari, Suria.” Sambung Salju. Dia menggeletar.

Suria mengerutkan dahi. Mendekati Salju yang menunduk.
Pantas, Salju mengangkat muka. Matanya seakan bersinar, kornea matanya berubah dari bulat kepada meruncing – bagai mata ular. Suria tergamam.

Salju menolak Suria ke belakang. Lantas, dia melarikan diri.

“Salju!” panggil Suria. Tanpa banyak soal, Suria mengejar Salju. Cuba menyaingi. Namun begitu, Salju lebih pantas. Dia berlari menuju ke arah tasik. Terus terjun ke dalam.
Suria tercungap-cungap sewaktu tiba di birai tasik. Dia memegang lutut, menarik nafas.

“Salju!” Jerit Suria. Melihat air masih beriak ganas.
Suria teragak-agak. Dia menghampiri, mahu ikut sama terjun. Waktu itu, air tasik tiba-tiba berubah merah.
Suria terpana.
Darah!

Suria pantas membuka baju, terus terjun. Berenang ke arah punca darah tersebut.
Di dalam air, badan Salju seakan bersinar pucatnya. Dia sedang mengigit seekor ikan, saiz ikan itu sebesar peha orang dewasa. Ikan itu menggelumpur dalam cengkaman Salju, air di sekeliling mereka dipenuhi darah. Rambut Salju terapung lembut di dalam air, matanya berkilau. Suria tergamam. Tanpa rasa takut, dia pantas menarik Salju ke permukaan.

“Salju?” Ujarnya. Salju masih mengigit ikan yang menggeletik lemah. Menghisap darah.
Gigitannya dilepaskan. Ada segaris darah di dagunya, dijilat Salju.

“Saya… Saya dahaga.” Ujar Salju, malu. Rambutnya yang basah melekat di wajahnya, dia menunduk. Suria diam.

“Mari.” Ujarnya. “Kita naik dahulu.” Sambung Suria. Mereka berenang ke birai tasik. Sampainya mereka ke sana, Suria terus merebahkan diri di atas hamparan rumput.

Suria menarik nafas panjang. Salju pula duduk memeluk lutut. “Pantas betul Salju. Tak sempat Suria mahu mengejar.” Ujar Suria, mengorek-ngorek telinganya yang tersumbat dengan air. Salju masih diam, dengan rambut mengurai menutupi mukanya.

“Saya berbahaya.” Ujar Salju ringkas. Suria terdiam. “Suria tak boleh berada di sisi Salju.” Ujarnya lagi. Suria yang masih tidak berbaju, hanya berseluar panjang cuma diam. Dia bangun, duduk dengan kaki terbongkang, lengannya direhatkan di atas lutut. “Suria tak kisah.” Ujar Suria bersahaja. Sesekali dia menarik-narik rumput di tanah. Salju berpaling ke arah Suria. “Tetapi, Suria boleh mati. Saya… saya tak normal.” Sambung Salju lagi.
Suria menghela nafas.

Dia tersenyum ke arah Salju; rambutnya yang basah masih menitik-nitik di muka. “Saya tak takut mati. Salju baik, Salju cuba untuk tidak apa-apakan saya tadi. Kan?” Ujar Suria. Salju tergamam. “Salju kehilangan banyak darah tadi, sebab itu mungkin, Salju lapar.” Sambung Suria lagi. Salju cuma diam, memandang Suria dengan penuh minat.

“Biar saya sampaikan kepada Hulubalang. Salju tunggu sini. Mungkin Hulubalang boleh berikan kita sepersalinan baju baru, agaknya. Kalau saya ugut nak beritahu hal tadi kepada ayah.” Suria berkata nakal, tersengih-sengih. Dia menggosok-gosok dagunya dengan jari telunjuk dan ibu jari. “Saya pun sudah lapar. Sepatutnya mereka sudah hantar makanan kepada kita.” Ujar Suria lagi, menepuk-nepuk perutnya.

“Suria mahu keluar?” Tanya Salju. Suria menggeleng. “Tak. Saya mahu sampaikan sahaja kepada Hulubalang. Tunggu ya. Saya pergi ke pintu pagar sebentar.” Suria bingkas bangun. Salju memerhati. Badan Suria tegap. Dia tidaklah terlalu berotot, tidak pula boroi perutnya. Pemuda itu mengutip baju di rumput, menyarungkan bajunya. Dia mengacau-ngacau rambutnya yang basah, menyebabkan air rambutnya terpercik merata, persis anjing.
Salju mengelap-ngelap mukanya dengan belakang tangan. Habis terpercik ke mukanya sekali. “Eh! Maaf, maaf.” Ujar Suria tersengih. Salju tersenyum malu. “Kejap ya. Kali ni duduk diam-diam.” Ujar Suria. Jari telunjuknya di hayun-hayunkan, umpama ibu menasihati anak. Salju tersenyum, mengangguk. Memerhati Suria beredar pergi.

Salju duduk dengan badan yang basah, tetapi dia tidak kisah. Hangat atau sejuk tiada makna buatnya. Dia mendongak, memandang burung-burung terbang. Matahari kian meninggi.
Ada satu memori menerpa benak mindanya.

Dia sedang dipimpin oleh seorang budak lelaki, berambut hitam, bermata jingga. “Lihat Esme! Burung.” Ujar budak lelaki itu seronok. Dia menunjuk seekor burung merpati yang hinggap dekat dengan mereka, mematuk-matuk tanah. Dirinya dalam memori terkedek-kedek mendekati, dan burung itu terbang menjauh sedikit. Mengais-ngais tanah, mematuk dengan paruhnya yang merah. Badannya putih suci. Dirinya dalam memori itu menepuk-nepuk tangan gembira. Dia mendongak memandang budak lelaki yang mungkin tua beberapa tahun darinya, dan budak lelaki itu, dengan mata jingga merenungnya kembali, tersenyum.

Tiba-tiba, satu tangan merenggutnya kasar. “Jangan ajar dia yang bukan-bukan, Andrei.” Ujar lelaki itu. Budak lelaki itu tergamam. Lengannya ditarik kasar. “Dia merupakan bakal Pahlawan. Dia tiada masa untuk perkara enteng sebegini.” Ujar suara itu lagi. “Tetapi Esme masih kecil.” Bentak budak lelaki berambut lebat, bermata jingga itu.

Muka budak lelaki itu ditendang, kasar. Dia terjelepuk jatuh, bibirnya lebam.
Salju di dalam memori itu menangis. Tangan kecilnya terkapai-kapai mahu pergi kearah budak lelaki itu. “Kau tu anak pemberontak. Kau tak layak bersuara!” Jerkah lelaki itu, mengheret dirinya menjauh.

“Esme!” Jerit budak lelaki itu, matanya berkaca.
“Andrei!”
“Salju?”

Salju tersentak. Suria berada di hadapannya, melambai-lambai wajahnya dengan muka bimbang. “Kamu okay? Kenapa ni?” Tanya Suria. Salju bagai disentak rohnya keluar, dia tercungap-cungap. “Saya okay.” Ujar Salju. Suria membawa beberapa bungkusan, dan Salju dapat menghidu darah segar di salah satu bungkusan tersebut.

“Siapa Andrei?” Tanya Suria.
“Ha?” Salju tergamam.
“Salju jerit nama ‘Andrei!’ waktu saya sampai tadi. Siapa Andrei?” Tanya Suria. Dia duduk bersila di sebelah Salju, bungkusannya dibuka.
Salju menggeleng kepala. “Salju tidak tahu.” Ujarnya. Suria tersenyum.
“Nah.” Dia meletakkan satu bungkusan yang berbalut kertas coklat, diikat dengan tali ke riba Salju.

Tidak perlu dibuka, Salju sudah tahu apa di dalamnya. Suria pula sedang memakan ubi kayu yang direbus, dikunyahnya selamba. “Mahu?” Pelawa Suria, menyuakan seketul ubi kayu rebus, kuning isinya. Salju menggeleng. “Makanlah.” Ujar Suria, menunjukkan bungkusan tersebut.

“Saya malu.” Salju menunduk.

Suria tersenyum. Dia memusingkan badannya, membelakangkan Salju. “Saya tak nampak. Sekarang, makanlah.” Ujarnya. Salju tersenyum, berterima kasih. Dibuka bungkusannya perlahan.

Sekeping daging yang masih berdarah-darah terletak di dalam bungkusan itu. Salju melihat Suria, yang sedang seronok makan ubi kayu rebus itu, membelakangkan Salju.
Lantas, Salju menghirup darah yang melekat di daging itu. darah segar itu menitik, menitis membasahi lengan Salju, turut dijilatnya rakus. Selepas darah itu kering, daging itu dimamah, dikunyah dengan penuh berselera.

Suria yang duduk membelakangkan Salju mendengar rakusnya Salju memakan daging tersebut. Sewaktu Hulubalang menyuakan makanan tersebut, dia sendiri terperanjat.
“Dia bukan manusia!”

Kata-kata Hulubalang itu terngiang-ngiang di telinganya.

Suria menghela nafas. Ubi kayunya digigit lagi. Ubi kayu empuk, lemak. Masih berasap nipis. Manusia atau tidak, dia nampak betapa Salju cuba mengelak dari mencederakan dirinya tadi.
Lagi pun, boleh dikatakan, dia yang patut dipersalahkan kenapa Salju bertindak begitu. Dia yang cuai, mencicirkan wiselnya merata.

“Selepas ini, kamu diarahkan mengadap Tuanku Permaisuri, Suria.” Kata-kata Hulubalang di pintu pagar tadi diimbaunya kembali. Dia termangu sendiri. Berita tadi sudah tentu telah sampai ke Tuanku Permaisuri.

Ah, memang salah dirinya.

“Saya dah siap makan.” Ujar Salju perlahan.

Suria berpaling. Terperanjat dia. Wajah Salju comot dengan darah, begitu juga dengan tangannya. “Kenapa?” Tanya Salju, melihat Suria tersengih-sengih. “Tak. Cuma ada… Ini.” Ujar Suria, tersengih-sengih mahu ketawa. Dia mencalit pipi Salju dengan ibu jarinya, menunjukkan darah.

Salju termalu sendiri. Dia berlari-lari anak ke tasik, membasuh mukanya. Kemudiannya berlari-lari pula ke arah Suria. “Ada lagi?” Tanyanya, menunjuk ke arah mukanya sendiri.
Suria mendongak, menggeleng. Dia masih tersenyum.

Dia selalu tersenyum, fikir Salju.

Suria bangun. Matahari sudah meninggi, menandakan tengah hari.

“Saya perlu pulang, Salju.” Ujarnya. Wajah Salju berubah pantas. “Dah nak pulang? Awalnya.” Ujar Salju, wajahnya berubah sedih. Suria menepuk-nepuk kepala Salju. “Esok saya datang lagi, ya.” Dia tersenyum.

Salju mengangguk. Memandang tubuh Suria yang kian menjauh.
Suria melangkah pantas, melalui laluan-laluan istana. Dia menuju ke tempat Tuanku Permaisuri sedang bersemayam.

Dayang-dayang menunduk. Jelas menanti kedatangannya. Pintu dibuka.
Dia menyembah hormat. “Patik memohon masuk mengadap, tuanku.” Ujarnya.
“Silakan.” Kedengaran suara dalam dan anggun seorang wanita menjawab. Suria melangkah masuk dengan kepala ditunduk. Bila dia sudah berdekatan dengan takhta Permaisuri – Suria lantas menyembah kembali.

“Patik dikhabarkan, tuanku mencari patik.” Ujar Suria. Masih menunduk. “Ya, wahai anak. Bangunlah.” Ujar Permaisuri. Suria bangun, menurut. Dia masih menunduk.

“Apa khabar Salju, Suria?” Ujar Permaisuri. Suria mengetap bibir. Pantas, dia berlutut.
“Ampunkan patik tuanku. Patik tidak terniat untuk merumitkan keadaan.” Ujar Suria, penuh bersalah. Permaisuri memiringkan kepala. “Maksud kamu?”

“Semua salah patik, tuanku. Minta jangan dipersalahkan Hulubalang dalam hal ini, dia cuma mahu melindungi patik. Bukan juga salah Salju. Patik cuai. Patik – “

Suria terasa bahunya dipegang.

Dia mendongak, memandang Permaisuri yang berdiri di sebelahnya, memegang bahunya tenang.
“Tenang, anakku. Bangun. Beta faham.” Permaisuri tersenyum. Suria menelan air liur. Dia bangun.
“Suria, beta memilih kamu menjadi penjaga Salju kerana inilah. Kamu memang seorang anak yang baik.” Titah Permaisuri. Suria termangu-mangu, tidak faham. Dia memandang wajah angkuh, tetapi anggun milik Permaisuri.

“Beta tahu kenapa kamu tinggalkan Salju. Kamu mahu selamatkan anak tupai itu, betul?” Ujar Permaisuri, keningnya sedikit diangkat. Suria mengangguk-angguk.
Permaisuri menghela nafas. Dia berjalan ke hadapan. “Ikut beta, Suria.” Ujarnya.
Tanpa banyak soal, Suria bersama dua dayang pengiring menuruti. Mereka sampai ke perpustakaan Diraja. Perpustakaan itu luas, hampir sebesar separuh padang bola, dengan buku-buku disusun tinggi di rak buku yang tingginya mencecah ke siling. Permaisuri melalui Perpustakaan yang besar itu pantas, melalui lorong-lorong antara almari buku yang tersergam. Sampai di satu almari, Baginda menarik sebuah buku daripada raknya. “Kamu tahu membaca, Suria?” Ujar Permaisuri.

“Ya, patik tahu.” Suria mengangguk. Permaisuri menunduk, membelek buku tersebut. “Baca ini, Suria.” Ujarnya. “Membaca itu kunci kepada semua ilmu.” Sambung Permaisuri lagi. Suria tunduk hormat, dan Permaisuri mula meninggalkan perpustakaan tersebut. Suria terkebil-kebil. Apa sudah jadi kepada dirinya. Mula-mula dia diarahkan menjaga makhluk teratas di rantai makanan, menjuarai manusia, kemudian dia disuruh membaca. Suria menggaru-garu kepala. Dia merenung buku tersebut, tebalnya sahaja hampir sejengkal. Kulit bukunya jelas dibuat dengan kulit. Suria melalukan tangannya pada buku tersebut. Buku itu tiada tajuk. Di luarnya hitam. Dia duduk, lalu membuka buku besar itu.

“Rashaksha.” Baca Suria di dalam hati. Itu ayat pertama yang muncul di muka surat pertama di buku itu.

Dia membelek lagi.

Senarai nama-nama makhluk legenda menghiasi ruang tersebut. “Adarna. Aethon. Alkonost , Alectryon,Alicanto…” Suria membaca senarai nama-nama tersebut. Di sebelah nama-nama itu merupakan nombor muka surat.

“… Nachtkrapp, Nandi, Narasimha, Nekomata…” Mata Suria terpaku pada satu nama.

“Nosferatu.” Bisiknya.

Pantas, dia membelek muka surat untuk Nosferatu.

“ Nosferatu/Strigoi, merupakan makhluk menyerupai manusia yang hidup dengan darah makhluk lain, biasanya darah manusia menjadi pilihan mereka.
Deskripsi:
Menyerupai manusia, dengan sedikit/ketiadaan tanda-tanda pereputan. Berkulit pucat, memiliki taring.
Jenis-jenis Nosferatu:
1) Nosferatu biasa
2) Ratu Nosferatu
Cara pembezaan Nosferatu dan Ratu Nosferatu adalah dengan cahaya matahari. Ratu Nosferatu imun terhadapnya.”

Suria tergamam. Dia meneruskan pembacaanya.

“Cara pembiakan:
Tiada. Nosferatu tidak boleh beranak, tidak boleh mengandung. Satu-satunya cara menambah populasi mereka adalah dengan mengigit (menjangkiti) manusia yang hidup, dan manusia itu akan berubah menjadi Nosferatu.
Cara memusnah:
Cahaya matahari, dipancung, tikaman tepat pada dada mereka, dibakar (tidak digalakkan).
Tahap bahaya:
TERUS DIBUNUH APABILA DIJUMPAI!”

Suria membelek-belek lagi, tetapi kandungan mengenai Nosferatu terlalu sedikit. Yang lain banyak pula, sampai berbelas muka surat.
Suria menolak buku besar itu ke hadapan, dia menyandar di kerusi. menghela nafas panjang, cuba menghadam apa yang baru dibacanya.
Jadi maknanya, Salju – adalah Ratu Nosferatu?

Negeri Mihstaz.
Waktu: 11.40 p.m.

Lelaki berjambang nipis itu menyebak rambut ke belakang. Nota yang disisipkan di sarung pedangnya ringkas.

“Dari Istana. Melalui dapur. Menuju ke laman. Pukul 11.40 p.m.”
Andrei membaca nota itu berulang kali. Dia tahu ke mana mahu dituju. Satu pub kecil yang dinamakan ‘Epal Ungu’ dilangkah masuk olehnya.

Pub Epal Ungu itu penuh, dengan lelaki yang sedang minum, seronok. Ada yang sedang mabuk, menyanyi-nyanyi lagu rakyat bersama sekumpulan lelaki yang lain. Di sudut pub, seorang lelaki botak bertubuh besar, tegap, mungkin setinggi tujuh kaki, memerhati kumpulan lelaki mabuk yang sedang menyanyi-nyanyi gembira sambil menghayun-hayun gelas arak masing-masing. Dia memeluk tubuh serius. Dia terpandang Andrei, dan mengangguk hormat. Andrei membalas anggukan tersebut, mencari tempat kosong untuk didudukinya.

“Andrei!” Laung pemilik pub itu dalam keriuhan orang ramai. Pemilik pub itu seorang lelaki pendek yang kian menipis rambutnya, bermisai lebat melengkung hingga ke telinga, dengan perut boroi dan lengan yang besar, berbulu lebat. Andrei cuma mengangkat tangan, mengangguk.

“Mahu yang biasa?” kenyit si Alexandru, tersengih-sengih. Andrei menggeleng. “Terima kasih, Al,” Ujar Andrei, menarik kerusi, “Tetapi saya bertugas hari ini.” Sambung Andrei lagi. Alexandru yang selesa dipanggil Al mengangkat bahu, tersenyum. “Anton!” laung Al pada pembuat air. Al mengisyaratkan Andrei yang sedang duduk terbongkok, tangannya digenggam, ditekan pada dahi. Anton mengangguk.

Al menarik kerusi, duduk sebelah Andrei. Beberapa gadis mengintai-ngintai si Andrei yang masih menyarungkan pakaian tentera, masih berpakaian sut besinya. Dia menyarungkan mantel hitam yang labuh separas betis, menandakan pangkat tinggi dalam ketenteraan. Mereka tertawa menggoda, menyelak gaun mereka separas peha, mengajak si Andrei bermain mata.

Andrei menghela nafas, tidak berminat. Dia memusingkan kerusi menghadap Al, membelakangkan gadis-gadis tersebut. Minumannya sampai.

“Sudah lama tidak nampak kamu disini, Andrei.” Ujar Al, menepuk-nepuk bahu Andrei. “Apa khabar makcik Martha kamu? Sudah lama tidak nampak dia.” Sambung Al lagi. Andrei mencapai minuman, dihirup sedikit. Dia menjilat bibir.

“Dia sihat-sihat sahaja.” Sambung Andrei bersahaja.

Al menelan air liur.

“Begitu. Dia masih lagi mengait?” Tanya Al.

“Tidak lagi. Sekarang dia mahu menanam pokok pula.” Ujar Andrei. Al tergamam. “Makcik Martha tidak suka berkebun. Tiba-tiba pula dia bertukar minat. Hairan saya.” Andrei menyambung, mengetuk-ngetuk jarinya pada meja pub.

Al cepat-cepat mengawal ekspresi mukanya kepada biasa. “Mesti ada sesuatu yang menyebabkan minat dia berubah, hm?” Al mengelap mukanya yang tiba-tiba berpeluh sejuk.
“Ya, itu sudah pasti. Mungkin pekebun yang dijumpainya itu yang mengubah minatnya. Tambahan lagi, makcik Martha sangat mahir berkebun sekarang. Disebabkan itu, dia mulai lupa bagaimana mahu mengait.” Ujar Andrei lagi, mengacau-ngacau malas air minumannya.
Al menelan air liur.

Andrei menghabiskan air minumannya yang tersisa. Dihentak gelas itu kepada meja. “Sampaikan kepada sesiapa yang mahu makcik Martha mengait kembali. Hasil kaitnya sangat hebat, sayang kalau dia asyik berkebun sahaja.” Ujar Andrei, meletakkan beberapa keping duit di atas meja. Dia bingkas bangun, menepuk bahu Al, dan beredar keluar.

Al meraup muka dengan kedua belah tangan. Suasana hangat pub terasa dingin.
Al merupakan salah seorang pemberontak yang mahu menggulingkan Raja Dragulya. Walaupun Al tiada kemahiran bertarung, dia merupakan penyampai rahsia antara ahli-ahli mereka. Kemahiran Al merungkai mesej tersembunyi adalah kelebihan beliau. Mereka bergerak secara senyap. Menggunakan bahasa kiasan bila mahu berbincang mengenai pemberontakan.

Makcik Martha itu adalah Esmeralda. Pekebun itu adalah Nosferatu. Mengait itu – adalah status Esmeralda sebagai Pahlawan.

Semua perbincangan dia dan Andrei menghala kepada satu jawapan – Esmeralda telah berubah menjadi Ratu Nosferatu, dan dia lupa siapa dirinya kini.

Beberapa lagi kumpulan pemberontak melangkah masuk.
Al seperti biasa tersenyum, mengalu-alukan.
Berita ini harus disampaikan!

-NOTA PENULIS-
1.
Terima kasih kerana setia membaca. Untuk pengetahuan pihak pembaca, saya ada cuba-cuba menghantar manuskrip ke penerbit buku. Saya tunggu sahaja jawapan beliau, andai diterima, saya teruskan dengan beliau. Jika tidak, saya akan cuba cari syarikat printing untuk dinovelkan karya ini.

2.
Ahli keluarga saya kurang sihat, jadi kali ini pendek dari biasa. Harap maaf ya, kalian 🙁

3.
Akhir kata, selamat membaca! 🙂

.

NIL
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

10 comments

  1. RALAT

    ada seorang hamba Allah yang prihatin, memaklumkan kepada saya bahawa nama makhluk legenda, Nandi dan Narasimha merupakan dewa/dewi sembahan penganut agama Hindu.

    Saya meminta maaf atas kesilapan saya yang kurang sensitif dengan isu sebegini. Untuk pengetahuan pembaca, nama telah pun ditukar untuk manuskrip yang saya bakal hantar dengan Naga dan Namazu.

    Terima kasih.
    🙂

  2. First…
    Semoga berjaya untuk menghasilkan novel yg dihajatkan…
    Andai dh tercapai, akk nk beli buku siap otograp taauuu…

    Second…
    Semoga urusan kesihatan penulis dan keluarga di dalam lindungan Allah…

    Third…
    Awat akk dh fefeeling romantik dik bace citer seram ni…
    So sweet Salju&Suria…
    Dah tersengih2 sendiri akk ni weeiii…
    Cant wait for the next episode…!!:-)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.