Pantang

PANTANG

KARYA: NIL

***

Jangan kepit kuku waktu malam.

Jangan bersiul bila dah Maghrib.

Jangan duduk atas bantal.

Jangan buka payung dalam rumah.

Jangan lalu bawah tangga.

Jangan mandi malam-malam.

Macam-macam lagilah peraturan kalau kau duduk rumah Nenek aku. Sabar je lah, orang tua kan.

Kisahnya, aku baru habis belajar. Nenek dah tua, jadi sementara aku cari kerja, mak ayah paksa aku balik kampung.

Aku disuruh jaga nenek sementara Mak Long aku balik rumah mertua dia. Mertua Mak Long sakit tua. Jadi tinggallah aku dengan nenek berdua di rumah pusaka ini. Oh ya, bersama beberapa ekor kucing.

Nenek aku dah nak masuk 70 tahun. Tapi dia gagah lagi. Boleh lagi la menapak pergi surau, pergi beli makanan, pergi berjalan rumah-rumah jiran. Tak ada masalah. Dia pun tak ada sakit kencing manis ke, d***h tinggi ke. Semua tak ada. Cuma mak ayah aku bimbang kalau-kalau ada perompak, begitulah.

Awal-awal memang aku protes. Aku tak ada kawan kat kampung Nenek. Lainlah kalau sepupu-sepupu aku ada. Ni aku seorang sahaja, m**i kutu weh. Dah la line telefon tenggelam timbul. Lepas kena bebel, kena paksa, nak tak nak aku pergi dengan hati yang sebal. Aku naik bas ke stesen bas berdekatan rumah Nenek. Lepas tu aku naik Grab.

Cadangnya aku nak duduk seminggu sahaja. Lepas tu rotate sepupu yang lain la pula, apa aku seorang je kena. Tapi bila aku sampai, aku nampak Nenek dah tunggu di beranda. Dari jauh dia nampak aku, dia dah senyum lebar. Cepat-cepat dia turun, ambil beg aku.

“Nenek dah masakkan rendang daging kegemaran Ammar. Ammar suka pedas sikit kan? Dah siap tu. Mari beg Nek bawa.”

Aku cair la pula.

Aku bertegas tak bagi Nek ambil beg aku. Alahai. Baru naik rumah, dia lari-lari pula masuk dapur. Hidang teh. Hidang nasi. Angkat kipas letak dalam bilik aku. Padahal dah ada kipas siling, tapi dia takut aku panas.

Buat apa kipas banyak-banyak? Aku gelakkan Nenek, aku angkat balik kipas tu letak luar.

Aku terus lembut hati tengok Nenek aku bersungguh. Dia sunyi barangkali. Apa salahnya aku duduk sini sebulan dua. Carilah kerja dulu mana-mana, boleh aku buat duit. Kedai makan pun okay apa, kan?

Lepas makan, aku solat Asar. Usai solat, aku terbaring dalam bilik, menghilangkan lenguh lepas lima jam di dalam bas. Bilik aku ni dulu bilik Abah. Bilik Mak Long dan suami berhadapan bilik aku. Bilik dia besar sedikit, ada bilik air sekali.

Rumah Nenek ni, memang betul-betul rumah kampung. Rumah ni tinggi, dengan binaan kayu yang masih utuh. Kalau masuk dari pintu hadapan, ada ruang tamu yang luas. Ruang tamu itu sahaja Pak Long renovasi kembali, diubah pada dinding batu dan lantai mozek. Kemudian, selepas ruang tamu tu, dipisahkan dengan pintu, ada ruang keluarga. Situ juga ada pintu rumah satu lagi, di sisi rumah.

Di ruang keluarga inilah ada televisyen, ada bilik-bilik yang saling mengadap. Lepas tu, dapur dan bilik air. Ada dua bilik air, satu tu berserta telaga. Dapur tu kena turun tangga. Bilik Mak Long dengan bilik Nenek dah ada bilik air. Tu pun suami Mak Long tambah sebab kasihan Nenek nak pergi tandas malam-malam, tangga dapur tu curam.

Rumah nenek tinggi, kan aku cerita tadi. Boleh parkir motor tau bawah tu. Tapi dapur dibina betul-betul atas tanah.

Aku syak Atuk buat macam ni sebab anak-anak dia semua perempuan. Abah seorang je lelaki. Bila tetamu datang masuk pintu depan, mereka tak nampak ruang keluarga ni. Jadi aurat makcik-makcik dan nenek aku terjaga. Sama dengan pintu rumah bahagian keluarga ni, kalau-kalau turun jemur baju ke, tiba-tiba ada orang datang, sempatlah makcik-makcik aku lari naik atas pakai kemas sikit. Tak adalah kena lalu tetamu duduk berkumpul.

Begitulah yang aku faham. Ya, rumah memang luas. Nak rewang ke, nak buat kenduri ke, senang. Kawasan rumah pun luas. Tengah-tengah aku termenung, nenek jenguk.

“Ha Ammar, jangan tidur lepas Asar. Tak elok. Tahan dulu mata tu. Mari ikut nenek kait rambutan.” Ujarnya.

Aku tersengih. Aduh, nenek dan pantang larangnya. Aku bukan mengantuk pun, melayan perasaan je. Aku menurut.

***

Malam tu, aku menonong mencari isyarat telefon. Sekeliling rumah aku tawaf, dengan telefon bimbit diangkat tinggi. Di ruangan keluarga sahaja ada isyarat yang kuat sedikit. Aku menghembus nafas. Bolehlah.

“Apa dibuat tu, Ammar.” Ngomel Nenek, membawa sebekas rambutan sejuk yang dah dikopek. Hati aku tersentuh lagi. Masa bila Nenek kupaskan ni?

“Cari line telefon Nek.”

“Hm, telefon canggih tapi ‘laing’ takda. Tengok telefon nenek ni, mana-mana tempat boleh telefon.” Dia menyuakan telefon Nokia model lama ke mukaku. Aku tersengih. Nenek bangun, menyarung tudung.

“Nak pergi mana nek?”

“Itu ha, anak sulung Leha meninggal sebab barah. Nek nak pergi teman dia malam ni. Katanya pagi esok baru kebumi.” Ujarnya, ligat membimbit beg plastik berisi gula dan beras.

“Malam-malam ni? Nenek nak tidur sana ke?” Aku mengerling jam ‘grandfather clock’ di sisi dinding. Hampir pukul 9 malam.

“Ye la. Kenapa, kau takut? Banyak tanya pula. Mari tolong hantarkan nenek.” Kerut muka nenek.

“Okay. Ammar tukar seluar jap.” Aku bangun, menuju ke bilik.

“Mar.”

“Em?” Aku berpaling ke arah nenek. Nenek sedang berdiri di ruang tamu, memandangku serius.

“Kau takut ke Mar? Kalau kau takut, aku balik awal.”

Aku tertawa terbahak-bahak.

“Tak adalah nek. Ammar dah besar la.” Ujarku geli hati. Ya, dahulu, dalam ramai-ramai sepupu – aku paling halus dan keding. But puberty strikes orang kata. Aku diusia 23 tahun kini dengan ketinggian 185 cm, berat pula dah mencecah 90kg. Mungkin nenek terasa aku kecil lagi.

Nenek menggeleng. Wajahnya masih serius. Berkerut seribu, ditambah dengan kedutan tua di wajahnya. Plastik berisi beras dan gula diletakkan.

“Sini, Ammar. Nenek nak pesan.” Ujarnya, duduk di seatee rotan. Aku menurut. Duduk di sebelah nenek. Nenek memusing badan menghadap aku.

“Malam ni, kalau kau dengar bunyi tapak kaki, jangan intai.”

Aku pula mengerutkan dahi.

“Ammar tak faham nek.”

“Rumah ni dah tua. Malam-malam memang kayu-kayu dia berlaga sesama sendiri. Kalau dengar tapak kaki, jangan intai. Jangan bangun. Tidur sahaja atas katil.” Ujar nenek serius.

“Nenek ada dengar ke?” Tanya aku.

Nenek mengangguk.

Giliran aku pula bimbang.

“Ya Allah nek, bahayanya. Kalau tu pencuri macam mana?” Ujarku. Serentak mataku melilau sekeliling, mencari kot ada barang yang hilang. Nenek memegang lenganku.

“Bukan. Bukan pencuri. Dengar pesan nenek, kalau ada bunyi tapak kaki, diam kan diri. Kalau pencuri sekali pun, kau tahu beza tapak kaki pencuri dengan tapak kaki benda tu.”

“Benda apa nek?”

Nenek bangun.

“Mari, hantar aku ke rumah Leha.”

Aku menurut. Ada kereta Viva lama milik Pak Long. Memang Pak Long tinggalkan untuk aku hantar dan ambil nenek jika dia nak kemana-mana. Viva putih itu mengaum perlahan tatkala kami bergerak meninggalkan rumah nenek. Nenek duduk di sisi aku, beras dan gula di ribanya.

Aku betulkan cermin pandang belakang. Sekilas, aku nampak satu kelibat menuruni tangga rumah, perlahan. Ia melambai-lambai, gayanya seperti menyuruh aku berhenti. Mahu ikut sekali. Aku tergamam, kereta aku brek mengejut. Terperanjat nenek.

“Astaga. Kau kenapa?”

“Tak. Ammar…” aku berpusing.

Rumah nenek terang bederang. Pak Long memang pasang lampu dikiri kanan rumah. Walaupun rumah kami di tengah kebun, dari jauh, memang nampak rumah nenek. Terang.

Tiada sesiapa di tangga. Biasan cahaya agaknya?

Aku memandang wajah nenek yang kelihatan gusar.

“Maaf nek. Mar ingat kucing melintas tadi.” Aku menipu.

Nenek menjenguk-jenguk keluar. Bimbang dia aku terlanggar kucing dia. Lepas aku menekan minyak berkali-kali atas arahan nenek, supaya kucing lari dari bawah kereta katanya, dia keluar pula mengintai bawah kereta. Puas hati, dia masuk kembali.

“Ni kucing punya pasal lah aku lambat ke rumah Leha. Kita ni nak cepat. Dia pula memandai duduk bawah kereta. Dasar kucing tak sekolah.” Nenek mengomel-ngomel. Aku tersenyum sahaja, dicuit rasa bersalah.

***
Di rumah jiran nenek, aku lihat sudah ramai orang perempuan berkumpul. Bacaan yasin mendayu-dayu. Aku turun, menyalami beberapa orang lelaki di situ. Sorang pun aku tak kenal, tapi aku maniskan muka.

“Cucu si Embong ke?” Tanya seorang lelaki tua yang tiba-tiba mendekati aku. Ya, Embong tu nama nenek. Aku amati wajahnya. Macam aku cam. Tapi aku lupa di mana.

“Err, ya pakcik.”

“Kenal aku tak?”

Aku geleng, serba salah. Lelaki itu tertawa terbahak-bahak.

“Kau tak ingat sapa yang marah kau panjat mimbar masjid? Dengan sepupu-sepupu kau dulu. Ingat?” Dia mengangkat kening.

“Oh!” Aku menyeru teruja.” Rasa geli hati menyerbu diriku.

“Tok Bilal Jais ya.” Sengihku. Tok Bilal ketawa mengangguk-angguk. Menepuk-nepuk bahuku kuat.

“Besar dah kamu ya. Ni seorang je ke? Si Kamal mana?” Tanya beliau. Kamal tu abah aku.

“Abah dengan Mama tak ikut Tok. Saya seorang je.”

Wajah Tok Bilal berubah sebentar. Namun cepat-cepat dia kawal.

“Duduk elok-elok. Dengar pesan nenek kau.” Ujarnya. Tak sempat aku bertanya lebih lanjut, nenek menghampiri kami.

“Usah berbual-bual. Balik. Lewat malam dah ni. Tak bagus tidur lewat!” Bebelnya. Aku cuma tersengih-sengih, melangkah ke kereta.

“Ha, balik terus! Jangan panjat mimbar masjid pula.” Laung Tok Bilal. Aku mengangkat tangan. Aduh dia laung kuat la pula. Segan aku apabila semua mata memandangku. Segera, aku menutup pintu kereta.

Sampai di rumah, dua tiga ekor kucing berkejaran ke arahku, datang meleset di kaki.

“Ish, korang ni. Sabarlah.” Ujarku. Kunci rumah aku belek satu-satu. Kucing-kucing nenek mengiau-ngiau, menyendel-nyendel betis.

“Ha. Yang ni kot.” Kataku, cuba memulas satu kunci berwarna gangsa. Tiba-tiba, kucing-kucing di kaki aku berdesis bising, dan aku rasa salah seekor dari mereka cuba memanjat kaki.

“Eh!” Seru aku, automatik tangan aku menepis kucing itu, masih mencari kunci yang betul. Mata aku masih tertancap di lubang kunci. Kunci gangsa itu salah. Aku terpijak kaki diorang ke?

Namun apa yang aku tolak, terasa pelik. Bukan berbulu. Sebaliknya… seperti rambut.

Kepala. Seperti aku menolak kepala dengan rambut kusut masai.

Segera aku melihat ke bawah.

Tiada apa-apa. Cumalah kucing nenek yang memandang aku, menikus. Mata mereka terbuntang bulat, dengan bulu menegak. Mereka menderam perlahan.

“Korang ni dah kenapa?” Ujarku, mahu menyedapkan hati. Salah seekor kucing nenek aku – aku gelarkan dia Tom kerana warnanya seperti Tom dalam Tom & Jerry, cerita kartun itu – mendesis bising. Dia mendongak ke atas.

Serta merta aku merasa tengkuk aku berbahang, namun badanku seram sejuk.

Perlahan, aku mendongak ke atas.

Tiada apa-apa.

“Eh kau ni Tom.” Aku berkata lirih. Aku menyapu-nyapu belakang tengkuk yang terasa aneh. Kenapa? Ada biawak ke? Selalu je biawak merangkak ke atas siling beranda ni. Kadang-kadang musang.

Aku sedapkan hati. Diorang nampak musang kot.

Buka sahaja pintu, kucing-kucing nenek berlumba masuk. Nenek tak namakan pun kucing-kucing dia ni, kami yang cucu-cucu memandai bubuh nama. Semua nenek panggil Cing. Aha.

“Seronok la korang ye, nenek tak ada malam ni.” Aku mencuit telinga kucing bertompok kuning dan hitam, berlingkar seronok di meja TV. Dia yang sedang menjilat kaki berhenti dicuit aku, memandang aku dengan lidah masih terjelir. Kemudian, dia merenung belakang aku.

Mata hitamnya membulat. Luas. Bulu di belakang badannya menegak, dan dia menderam perlahan.

Aku berpaling ke belakang. Tiada apa pun! Apa kenalah kucing-kucing nenek ni. Aku membuka televisyen, sebelum turun ke dapur. Kucing-kucing tadi menurut. Lapar lagi ke? Dah pukul berapa ni.

Segera, aku mengambil tin biskut yang dilabel ‘makanan kucing.’ Aku cuah ke mangkuk masing-masing, sebelum aku melangkah ke peti sejuk.

Jam grandfather clock milik nenek berdenting 10 kali. Aku meneguk air laici dingin lazat, sebelum aku terpandang satu sampul surat di atas peti. Aku ambil.

‘Untuk Ammar, dari Pak Long dan Mak Long.’

Aku membelek-belek sampul surat itu hairan. Apa pula ni. Ini memang tulisan Pak Long, tulisan berlingkar kemas dan besar. Aku berjalan ke ruang tamu sambil mengunyah laici. Sampul surat itu aku koyak.

“Kehadapan anakanda Ammar,

Pak Long minta maaf sebab susahkan Ammar jaga nenek. Kalau Pak Long ada anak, Pak Long suruh dia dah. Malangnya Pak Long dan Mak Long tak ada rezeki, jadi kalianlah anak-anak kami.

Pak Long minta maaf juga kalau isi surat ini kedengaran janggal. Tapi sejak arwah Atuk meninggal, memang beginilah keadaan rumah ini. Pak Long cuba baikpulih, kayu yang mana reput Pak Long ubah pada simen, tapi makin teruk.”

Skrrt skrrt skrrt. Bacaan aku terhenti apabila aku terdengar bunyi sesuatu mencakar dinding.

“Ratika, jangan cakar dinding.” Aku membebel pada kucing Nenek yang berwarna putih bersih. Dia memandang aku terkelip-kelip, sebelum kembali mencakar dinding batu. Dah kenapa dia ni. Aku menggeleng, sebelum kembali membaca isi surat aneh itu.

“Tapi kamu tak perlu bimbangkan nenek. Hairannya, benda itu tak kacau nenek. Paling-paling teruk, nenek pernah mengadu dia dengar tapak kaki tidak berjasad waktu malam.

Pak Long nak cepat, jadi Pak Long ringkaskan sahaja. Ikut pantang ini, insya Allah Ammar selamat.

1. Kalau waktu malam kucing-kucing memandang mana-mana tempat dengan pandangan aneh, JANGAN pandang tempat mereka pandang. Kalau kau buat, mereka akan anggap kau ‘nampak’ mereka. Kalau kau ikut peraturan ini, kau tak perlukan peraturan seterusnya. Kau selamat.

2.Tepat pukul 1 pagi, kau akan dengar bunyi deburan di telaga. Jangan ambil tahu. Jangan keluar dari bilik. Waktu ini, jangan duduk di luar. Duduk dalam bilik.

3. Dari waktu 10 malam sehingga 10.30 malam, jangan duduk di ruang tamu utama seorang diri.

4. Kalau kau dengar tapak kaki malam-malam, jangan jenguk. Jangan ikut.

5. Andai kata kau terlanggar pantang nombor dua – kau akan nampak atau dengar seorang lelaki. Apa-apa dia tanya, jawab “Jangan.” Dia tak akan kacau lepas tu.

6. Pukul 3.33 am, kau akan dengar bunyi orang beri salam dan meminta tolong. Jangan layan. Hiraukan. Kalau dia ketuk tingkap bilik kau lepas tu, cakap “bukan hari ini.”

Banyakkan berselawat, zikir dan ayat-ayat suci Al Quran. Mereka tak adalah sampai mencederakan, tapi… tak ada orang nak tengok apa yang mereka tunjuk.

Jaga diri. Doakan mak Pak Long sihat.

Salam sayang,

Pak Long dan Mak Long.”

Aku tergamam.

Antara sebab aku tergamam, pertama; Pak Long bukan lelaki yang suka bergurau. Dia jenis lelaki melayu yang pendiam. Tak banyak cakap. Dia bukan jenis pelawak.

Kedua; aku di ruang tamu utama sekarang. Aku dah langgar pantang.

Ketiga; aku pandang apa kucing tu pandang. Tapi tak ada apa. Aku selamat kot?

Kertas itu aku masih pegang, bila lampu ruang tamu tiba-tiba berkelip-kelip. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Kucing-kucing nenek berkumpul di pintu antara ruang tamu utama dan ruang keluarga, memandang belakang aku sambil mendesis.

Bulu roma aku mencanak naik.

“Nak, nak tengok kepala pecah tak?” Tiba-tiba aku terdengar suara lelaki di belakangku. Lantas, gelas aku terlepas. Mujurlah plastik.

” 5. Andai kata kau terlanggar pantang nombor dua – kau akan nampak atau dengar seorang lelaki. Apa-apa dia tanya, jawab “Jangan.” Dia tak akan kacau lepas tu.” Tulisan Pak Long terngiang-ngiang di mata.

Belum sempat aku fikir isi surat ini betul atau tidak. Belum sempat aku cari masa hubungi Pak Long mengenai isi surat ini.

Kucing-kucing itu diam. Cuma menderam perlahan.

“Ja… jangan.” Gumamku.

“Oh. Nak tengok muka pakcik?” Tanyanya lagi, di belakangku.

“Jangan.” Aku menjawab perlahan, seluruh badan menggeletar. Aku TAHU di belakangku bukan manusia. Seluruh inci sel milikku seakan menjerit untuk aku lari.

Pemilik suara itu menjenguk aku di balik bahu. Aku terasa nafas dia yang dingin, beku. Cepat-cepat aku tunduk. Sekilas, aku nampak wajah menggerutu, dengan kulit berwarna kelabu, pucat lesi!

Ia melangkah ke hadapanku. Pakaian lelaki biasa. Seluar slack lusuh. Kaki yang kelabu, pucat, berulat. Aku tak berani mendongak!

“Betul tak nak tengok?” Tanyanya lagi.

Bau busuk menerpa hidung. Busuk, hingga aku tercungap-cungap, mata aku berair.

“Jangan.” Aku cuma mampu berbisik.

Lelaki itu ketawa. Aku terdengar bunyi sesuatu disiat-siat, aku nampak tangan berkuku tajam lelaki itu merobek perutnya sendiri. Usus, d***h, isi perut terkeluar dari lelaki itu, terburai atas kakiku sendiri!

“Jangan!” Aku menjerit, terjatuh. Aku mengundur dengan mata tertutup, masih tidak berani mendongak. Aku kegelian, takut, seram, bercampur menjadi satu.

Namun keadaan sunyi.

Aku buka mata.

Tiada lelaki itu. Tiada isi perut hanyir, d***h bersimbah bersepah di lantai. Tiada. Si kucing putih bermata jingga, Ratika menghampiriku dengan ekor tegak. Memandangku hairan. Kucing lain berguling di lantai, membuat hal-hal kucing mereka.

Adrenalin yang dipam ke seluruh badan masih membuatkan aku kaku. Kertas yang terletak di lantai itu aku kutip dengan tangan menggigil. Seraya, aku baca dan hafal tiap bait kata-kata Pak Long.

Semua memerlukan aku berkurung dalam bilik. Aku bingkas bangun. Kucing-kucing bercemperai mengikut aku sekali. Aku kerling jam.

10.45 pm.

Sebab ni barangkali nenek suruh tidur awal?

Aku melangkah masuk ke dalam bilik. Beberapa ekor kucing turut mengekor. Aku biarkan. Yang lain di luar. Biasanya kalau dia nak berak kencing, mereka pandai panjat atap. Kucing kampung, biasalah. Tapi keluar pandai, masuk tak pandai.

Aku tutup pintu. Kipas tak terbuka, tapi aku masih menggigil hebat.

Baiklah. Aku akui, aku dah lama benar tak balik kampung.

Sejak arwah atuk meninggal 10 tahun lalu, ada perebutan harta antara adik beradik ayah. Gaduh, berkelahi, itu hak aku, bukan hak kau etc. Namun lepas sekian lama, mereka baru berbaik kembali. Tu aku disuruh balik kampung juga barangkali, mahu mengambil hati.

Dah 10 tahun aku tak balik ke rumah ni. Tapi aku kerap je jumpa nenek, biasanya selang dua tiga bulan abah ambil nenek dari kampung, menetap kat rumah aku dua tiga minggu. Tapi balik kampung? Dah lama. Sangat lama. 10 tahun ni aku beraya di kampung mak. Tak pun di rumah aku je.

Jadi aku tak tahu menahu pasal rumah ni. Aku tak tahu bagaimana rumah ni jadi begini. Dulu, waktu atuk ada, rumah ini tak macam ni. Mana ada gangguan apa-apa. Bunyi orang berjalan atas atap? Musang. Bunyi bising-bising di luar? Biawak, nak makan telur ayam. Bunyi ketukan di tingkap? Kumbang yang langgar cermin, dia nampak biasan cahaya dari dalam rumah.

Semua dapat dijelaskan.

Sepanjang aku kenal arwah atuk pun, tiada benda-benda aneh. Dia atuk tipikal. Sayangkan cucu. Ada masa garang. Ada masa lawak. Suka ajak kami pergi masjid solat berjemaah, suka mengusik.

Habis tu kenapa rumah ni jadi begini?

Aku berselubung di atas katil. Si Ratika, kucing putih bermata jingga berlingkar di hujung kaki, sudah tertidur. Tom di tepi kepalaku, belum tidur. Dengan mata terkatup, dia berdengkur lembut, kedua belah kaki depannya memicit-micit bahuku perlahan. Yang lain di luar.

Entah kenapa, mungkin aku rasa ditemani walaupun ia cumalah dua ekor kucing.

Aku tertidur.

BLASH!

Aku tersentak.

Bunyi deburan air. Bunyinya… seperti dari telaga!

Telefon aku gagau. Dalam kelam malam, ia bercahaya malap. Pukul 1 pagi.

“2. Tepat pukul 1 pagi, kau akan dengar bunyi deburan di telaga. Jangan ambil tahu. Jangan keluar dari bilik. Waktu ini, jangan duduk di luar. Duduk dalam bilik.”

Shit.

Tom yang masih tidur di sisi kepala, sudah terbangun. Dia merenung aku tajam. Si kucing putih? Masih berlingkar tidur. Malam ini dingin dari biasa.

Tom menggeliat. Terjun dari katil. Aku biarkan, cuba membaca apa-apa ayat suci yang aku ingat.

Skrett. Skrett. Skrett.

Tom sedang cuma mencungkil pintu.

“Tom!” Desis aku. Pintu aku lupa untuk selak tadi. Pintu bilik aku tidak bertombol. Aku tutup begitu sahaja rupanya!

Krek. Pintu berkeriuk bising, terbuka.

“Shit shit shit shit-” aku cuba terjun turun dari katil, tapi kain selimut membelit kakiku. Lantas, aku terguling jatuh. Tom yang terkejut melengkungkan badannya, lantas berlari menyorok bawah katil.

Keadaan jeda.

PAP PAP PAP PAP PAP PAP!

Aku terdengar bunyi tapak kaki basah berlari dari arah dapur. Ke arah bilik aku!

Pantas, aku merangkak, menolak pintu. Pintu terkatup, namun d***h aku berderau. Aku nampak sekilas wajah menyeringai, mata merah menyala mengintai sebelum pintu tertutup.

Aku berjaya bangun, aku selak pintu. Kemas. Rapat. Aku tarik kerusi, meja, aku sendal di pintu. Aku tercungap-cungap.

Diam.

Diam.

Keadaan sunyi.

GANG! GANG! GANG!

Pintu digegar hebat tiba-tiba dari luar. Aku mengerling ke arah Tom, marah. Si Ratika duduk di katil, memandang pintu bergegar dengan mata bulat.

Aku mendiamkan diri.

“Hihi.” Aku terdengar suara halus di luar.

Skrrt. Skrrt. Skrrt.

Bunyi sesuatu mencakar lantai. Aku melihat ke bawah, dan dari balik ruangan kecil antara pintu dan lantai, ada jari runcing, halus, dengan kuku tajam – mencakar-cakar lantai. Seperti berusaha mahu masuk.

Aku melompat naik ke atas katil. Ratika melompat turun, menikus melihat kuku tajam itu mencakar sana sini. Ratika dengan galak cuba menangkap, dan aku dengar benda diluar itu berteriak.

Tangan itu hilang. Benda di luar itu kembali berjalan, menangis mendayu. Bunyi tapak kaki basah itu menjauh. Kemudian, aku dengar bunyi deburan air.

Semua kembali diam.

Si kucing putih masih cuba mengorek-ngorek bawah pintu. Menggagau mencari tangan tadi. Ia berpaling, mata jingganya menatap aku. Dia mengiau.

Aku menggeleng. Tom melompat naik, dengan muka tidak bersalah, ia melingkar di sisi bantalku.

“Ni semua salah kau tau tak.” Desisku, mencubit perut berlemak Tom.

Ia tidak kisah. Masih dengan lagak mahu tidur.

Aku?

Langsung tak boleh tidur. Aku terkelip-kelip melihat Tom yang sudah tidur, nafasnya turun naik sekata. Aku cuba berbaring juga, melegakan dada yang berombak kencang.

Tak sampai 10 minit aku berbaring, aku diserang rasa tidak selesa.

Kenapalah aku minum laici tadi. Aku rasa nak buang air pula!

Aku mundar-mandir. Seram. Mahu ke bilik air di dapur? Memang tak lah. Aku memutuskan untuk ke bilik air di dalam bilik Pak Long dan Mak Long.

Kerusi dan meja aku alihkan.

Aku mengintai di luar.

Tiada apa-apa. Di luar terang bederang. Aku tak tutup lampu.

Aku pandang Tom dan Ratika yang sedang tidur. Aku angkat Tom.

“Teman aku. Ni semua salah kau tau tak? Kenapa gatal nak buka pintu?” Bebelku. Tom nampak terhina, namun dia diam. Aku bawa masuk ke bilik Pak Long Mak Long.

Lampu aku buka. Bau bunga melur menyerbu hidung. Awalnya aku seram, namun aku ternampak semangkuk bunga melur hampir kering di meja solek Mak Long. Aku menarik nafas lega. Pintu bilik Pak Long aku tutup. Tom aku letakkan, sebelum aku masuk ke bilik air untuk membuang hajat.

Lepas selesai, aku melangkah keluar.

Tap. Tap. Tap…

Bulu roma aku merinding.

Tom duduk tegak memandang pintu bilik. Ia berderam. Seperti ada sesuatu diluar.

Tap. Tap. Tap…

Cara benda ini berjalan, seperti mengheret kaki. Berjalan tiga langkah, kemudian ia berhenti. Berjalan lagi tiga langkah. Berhenti.

Aku menelan air liur.

Lama, ia diam. Aku dah berkira-kira mahu tidur di bilik kelamin Pak Long sahaja. Lantaklah. Aku tak tahu berapa lama, kerana bilik Pak Long tak ada jam. Aku pula lupa bawa telefon.

Namun Tom masih berdiri di pintu. Menderam perlahan.

Aku duduk di hujung katil. Entah kenapa, hati aku menjerit-jerit menyuruh aku mendongak.

Kau tahu kan jenis rumah kampung, biliknya tak bersambung dengan siling? Sebab tu kucing-kucing nenek bebas keluar masuk panjat atap. Ada ruang antara siling dan bilik. Tahu?

Sebab aku sangkakan benda itu berjalan di luar. Tak. Tak.

Tergantung di siling, makhluk dengan rambut panjang mengurai – berjalan di siling. Menyeret kaki.

Ia seperti perasan aku memandangnya. Ia berpaling, dan pantas – aku tunduk. Sebelum aku bertaut pandangan dengannya.

Nafas aku kucar-kacir. Jantung aku berdegup bising.

Lama aku menunduk. Aku terkumat-kamit menuturkan ayat-ayat suci Al Quran, dan lama kelamaan, jantung aku kian sekata. Baru aku berani mengangkat muka.

Tom nampak tenang. Tengkuk aku terasa lenguh gila. Longlai, aku bangun. Bertubi-tubi aku kena! Lepas memastikan tiada apa-apa di luar, aku masuk ke bilik aku kembali. Tom mengekor dengan ekor diangkat tinggi. Seperti mahu mengatakan; semua selamat.

Ratika masih di hujung katil. Aku berbaring kepenatan, sebelum aku terdengar bunyi orang mengetuk pintu rumah, memberi salam. Suara itu aku kenal.

Aku bangun, dalam keadaan mamai, aku hampir sahaja mahu keluar. Aku berhenti, rasa aneh menyelubungi diriku.

Itukan. Itukan suara…?

Aku terduduk di katil. Mendiamkan diri.

Lantas, ketukan itu berbunyi di tingkap bilikku. Di belakang aku!

“Assalamualaikum, Ammar. Atuk ni. Buka pintu.”

Aku mendiamkan diri.

“Assalamualaikum. Ammar, beritahu Abah kau, bila nak korek kubur atuk balik?”

Menggigil, aku menjawab.

“Bu… bukan hari… ni.”

Ketukan kian ganas.

“Atuk nak keluar. Kau bagi tak atuk keluar? Bagi kan? Kau bagi kan?”

“Bukan hari ni.”

“Ammar, atuk sakit. Kau tahu kan? Cuba tengok atuk. Atuk kat belakang kau je ni. Pusing je. Suruh abah kau korek atuk balik. Tolong atuk.”

Aku mula menangis. Aku rindukan atuk. Suaranya. Persis arwah. Aku tau benda di belakang aku itu si puaka celaka. Namun suaranya, gayanya. Semua sama dengan atuk.

“BUKAN HARI NI!” Aku menjerkah.

Rumah bergegar hebat.

Suara hilaian demi hilaian bersahutan. Sekejap sahaja, kemudian semua jeda.

***

Aku tak tahu berapa lama aku termenung. Aku tergamam apabila mendengar azan Subuh. Waktu itu juga, telefon aku berdering. Nenek suruh aku ambil dia.

Aku melangkah keluar. Keadaan rumah tenang. Sangat tenang. Tak tegang seperti malam tadi. Kucing-kucing semua keluar barangkali. Aku ambil wuduk, dan aku solat. Kemudian, aku turun untuk ambil nenek.

***

Nenek merenung aku seperti tahu sesuatu. Aku cuma mampu tersenyum lemah.

“Kau kena kacau?”

Aku angguk.

Nenek menghembus nafas.

“Nenek tak pernah panggil ustaz ke?” Tanyaku.

Dia geleng.

“Kenapa?” Aku dipagut rasa geram. Yalah, menurut surat Pak Long, nenek tak kena kacau. Tak rasa apa aku dan Pak Long rasa, tak apalah.

“Nanti orang kampung pandang serong kat atuk kau.” Nenek merenung luar tingkap kereta. Ada getar dalam nada suaranya

Aku terdiam.

***

Waktu pengebumian anak jiran nenek, aku bertembung Tok Bilal. Aku menghampirinya.

“Tok Bilal tahu apa-apa ke pasal rumah nenek?” Aku bertanya tanpa segan silu.

Tok Bilal tersenyum. Dia mengangguk.

“Nenek tak pernah… cuba… buang ke?”

Lelaki tua itu mengeluh.

“Nenek kau degil. Aku sendiri tak tahu apa arwah Hasim tu amal. Aku syak penjaga kebun-kebun buah dia. Kau ingat tak adik beradik ayah kau berebut harta tu? Lepas tu semua tak nak? Ha. Sebab kebun tu, kau dapat sekali ‘penjaga’ dia.” Tok Bilal mengekeh.

Aku diam. Menanti cerita lain.

“Aku pernah pergi tengokkan rumah Embong tu. Tapi… hish. Aku bukan pandai mana. Kena cari orang yang pandai berubat.” Cerita beliau lagi.

Aku mengangguk.

Malam itu, aku ikut segala pantang yang Pak Long berikan. Menjadi. Malam itu aku tidur nyenyak, tanpa gangguan.

Akan aku ceritakan pada abah hal ini. Kalau nenek setuju untuk membuang entah apa puaka yang bersarang di rumah ini, aku akan mengarang cerita kembali.

Buat masa sekarang?

Aku masih menurut pantang.

-TAMAT-

* Terima kasih kerana membaca. Sebelum ada yang bertanya, ini rekaan sahaja ya.

** Ini link FB Nil kalau kalian nak jenguk. Hehe.
https://www.facebook.com/profile.php?id=100013489351566

*** Terima kasih sekali lagi!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Nil

48 thoughts on “Pantang”

  1. Gile arr. Ingatkan cerita betul tadi. Antara cerpen terbaik koi pernah bace. Sumpah meremang weii buli roma. Nasib baik baik bace mase time ramai orang.

    Reply
  2. Ya Allah one of the best story yg aku pernah baca. Sumpah layan dia lain macam sekali aku meremang. dalam office pulak ni dngn gelapnya. In duh cerita ni. Awal awal story baca pun dah best. Nak lagi kalau ade.

    Reply
  3. Nenek penulis rajin pi surau tp x nak lak buang puaka2 di rumah.. Sebenarnya saya ada rakan yg ibunya ada saka tp x nak buang.. Ibunya juga punya kebun getah di kg yg di jaga hantu raya sejak turun temurun.. Selagi x nak buang selagi tu la hidup dlm syirik walau tutup aurat.. Solat dan ke masjid.. Moga diberi hidayah utk nenek penulis dan ibu rakan saya utk buang saka puaka hantu raya sebelum ajal menjemput

    Reply
  4. Bapak ah.. Aq igt cite betul tadi.. X penah aku baca cerpen yg super real camni .. Gempak ahh.. Srs seram, aku ye2 igt cite betul😂 best.. Srs best!👍👏

    Reply
  5. Mmg ada yg mcm tu.. Atok dan nenek sedara aku pon ada bela mcm2 tapi mereka pergi surau hari2 solat jemaah. Nak kira mcm mana tu. Semoga diberi hidayah.

    Reply
  6. SERIUSLY..MEMANG TAK MASUK DEK AKAL YG CERITA NI CUMA REKAAN..TERASA REAL GILER SAMPAI BBULU TENGKUK AKU PUN RASA LAIN MCM..GEMPAK BRO! THUMBS UP FOR YOU..10/10

    Reply
  7. padu ii boss uishh mmg sedap crite mcm movie bhai niy kalau ade org tolong lakonkn confirm menang OSCAR crite pling nice tahun niy anyway TQ sbb hiburkn aq

    Reply
  8. Starting ok. tapi bila dah masuk part baca surat ada pantang bagai, tau dah cerita rekaan. trend “obey the rule” ni kalau pernah baca kat creepypasta, r/nosleep konfem macam pernah baca dah.

    Reply
  9. Huhu.. seram beb dah lah aku sensorg tgh mlm pulak tu dgn tingkap ternganga angin menderu2… 1st time wehh aku rasa takut baca fs jer kut hahaha. Thumbs up for this fiction aku rate 10 star

    Reply
  10. Pikirkan betul rupanya rekaan je haih..ni kalau buat novel ada sambungan dia memang aku akan beli….tahniah penulis berjaya buat saya meremang hahahaha

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.