Petunjuk

PETUNJUK

Aku menarik nafas. Mengenang diri yang tiba-tiba sahaja diburu. ‘Untuk apa?’ Aku tertanya sendiri. Dari tempat persembunyian kami, kuintai cemas ke luar sana. Kelihatan pemburu-pemburu kami berkeliaran di sana-sini. Nafas kuhela. Wajah kuraup. Semuanya tiba-tiba. Tiba-tiba aku bagaikan binatang buruan. Seolah diriku teramat penting buat kelompok mereka. Kelompok pemburu itu.

Siapakah mereka? Bertopeng besi menutupi wajah. Dengan tombak di tangan. Ke sana-sini mencari aku. Aku dan temanku. Kami berdua entah mengapa, tiba-tiba perlu melarikan diri dari mereka.

Aku memandang temanku. Dia juga tanpa suara, hanya menganggukkan kepalanya kepadaku. Tanda kami perlu beredar dari tempat persembunyian itu. Agar kami tidak terperangkap di ruangan itu. Jika mereka menyedari keberadaan kami di situ.

Sebaik sahaja pemburu-pemburu itu sudah agak jauh dari situ, perlahan ku atur langkah satu-persatu. Dituruti oleh temanku. Sebaik sahaja kami keluar dari tempat persembunyian itu, dengan pantasnya kami berlari meninggalkan perkampungan itu.

Perkampungan yang kelihatan mendamaikan dengan flora dan faunanya, tidak lagi mendamaikan buat kami berdua. Benarlah, apa yang terzahir di pandangan mata. Belum tentu ia sama dengan hakikat nyata. Rupanya ada yang terlindung di sana dari alam semesta.

Tanpa henti kami berlari dan berlari menuju entah kemana. Tidak kami peduli lagi arah dan tujuan asalkan kami dapat melepaskan diri dari mereka. Mereka juga terus mengejar dan mengejar tanpa mempeduli ke mana kami pergi asalkan mereka dapat menangkap dan membawa kami pulang ke perkampungan mereka.

Penat berlari, kami terhenti. Melepaskan penat dan lelah sementara mereka tidak kelihatan di depan mata. Namun tidak lama, apabila temanku mula memberi isyarat agar kami beredar dari situ. Memandangkan mereka tidak kelihatan di mana-mana membuatkan kami tidak lagi berlari. Tetapi yang pasti, kami perlu segera beredar jauh dari situ.

Perbualan, memang tidak dapat kami lakukan. Memandangkan kami perlu berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan. Pergerakan, kami juga perlu berhati-hati.  Untuk mengelak diri dari diperhati.

Di dalam kegelapan malam kami bergerak pantas. Berhenti di balik pohon sebentar, memerhati dan bergerak semula. Ada masanya kami harungi semak yang tebal. Meninggi lalang-lalangnya. Semuanya kerana terpaksa. Siapa yang mahu menyerahkan nyawa. Buat dijadikan korban pemujaan syaitan.

Oh! Itulah yang aku fahami. Dari reaksi pemburu-pemburu itu. Kini baru aku tahu, kenapa aku terlalu diinginkan mereka. Tetapi temanku, siapakah pula dia? Langsung tidak kukenalinya. Sedangkan dia setia disampingku. Dari mana datangnya? Entahlah. Aku juga tidak tahu. Tiba-tiba sahaja dia telah ada disampingku.

Malam berganti siang. Setelah beberapa lama akhirnya kami tiba di pasar. Pasar yang bagaikan pasar-pasar lama dahulu. Kami berlagak biasa. Berjalan seperti pengunjung pasar yang lain. Sempat juga aku memerhati barang-barang jualan di pasar itu. Antik dan menarik perhatianku. Namun tidak sempat aku puas menatap barang-barang jualan di situ, tubuhku direntap oleh temanku untuk bersembunyi. Setelah berlindung di sebalik sebuah gerai di situ, barulah aku sedari bahawa pemburu-pemburu kami sudah tiba di pasar itu.

Dari tempat persembunyianku, kulihat pemburu-pemburu itu mundar-mandir di sana-sini. Topeng besi juga berbaju besi, seperti laskar di zaman silam, begitu menarik perhatianku. Ah! Aku memang sukakan pahlawan perang di zaman silam. Mereka begitu berani berjuang berhadapan, bertarung bermati-matian demi mempertahankan tanahair yang tercinta. Tidak seperti ‘pahlawan’ di zaman ini. Yang bertarung dari jarak yang jauh sahaja.

Aku hampir hanyut di dalam keasyikan apabila melihat mereka, bila tubuhku direntap lagi oleh temanku itu. Tanpa berlengah dia menolak aku ke dalam satu lubang di dinding yang letaknya di belakang gerai itu. Dinding yang sempat aku amati bagaikan tembok yang memanjang. Memanjang di sepanjang pasar itu. Dan di antara beberapa jarak di dinding, ada terlekat beberapa piring besar yang  bagaikan payung kertas cina. Dan salah satu di antaranya adalah merupakan sebuah pintu rahsia.

Pintu rahsia itulah yang temanku telah menolak aku ke dalamnya. Bagaimana dia tahu mengenai pintu rahsia itu, aku pun tidak tahu. Dan tidak aku peduli lagi. Kerana yang penting sekarang ini, adalah keselamatan kami yang lebih utama.

Dikejar oleh segerombolan askar. Bagaikan askar Rom pula tu. Lari dari perkampungan melayu di pendalaman hingga tiba di pasar lama. Dan pasar yang entah bagaimana akhirnya bertukar menjadi pasar di China. Masuk ke dalam tembok besar dan berjalanlah pula di dalam gelap gelita. Apa kejadahnya?

Namun tiada terduga apabila langkah seterusnya membawa kami ke dalam istana. Sebaik sahaja keluar dari tembok itu terpampang jelas di hadapan mata sebuah istana yang teramat indahnya. Entah bagaimana kami termasuk pula ke dalam sekelompok manusia yang sedang berjalan menuju ke dalam istana.

Rupanya sekelompok manusia itu adalah segelintir rakyat marhaen yang telah diundang ke istana oleh Sultan. Kami di bawa menaiki lif ke sebuah tingkat teratas di dalam istana. Apabila kami melangkah keluar dari lif terpampanglah di hadapan mata seorang ustaz yang popular di kaca tv dan negara kita. Mengejutkan!! Nampaknya kami telah kembali ke negara sendiri.

Dengan ramahnya ustaz itu mempersilakan kami ke dalam. Dan setelah ku amati rupanya ruang di dalam itu adalah merupakan sebuah ruang di dalam masjid. Memang indahnya tempat itu tidak dapat diperkatakan. Kerana ia adalah masjid yang dibina khas di dalam istana. Kata ustaz itu, dia merupakan utusan sultan untuk membantu kami. Tetapi siapakah gerangannya Sultan itu yang sebenarnya tidak kami ketahui.

Tiba-tiba ustaz itu melakukan perkara yang tidak terduga. Entah kenapa dia mula menyapu permaidani di dalam masjid. Betul-betul di hadapan kami semua yang sedang duduk beramai-ramai di atas hamparan permaidani tebal itu. Sambil berkata-kata dia terus menyapu. Apakah yang disapunya?

Terlantun betul-betul di hadapanku akibat sapuannya itu beberapa objek yang bersinar dan berkilauan. Setelah ku amati dengan teliti ia adalah serpihan kaca dan juga berlian.

Berlian? Aku terkesima. Segera kukutip berlian dihadapanku itu. Lantas aku berikan kepada seseorang disampingku. Aku tidak kenali dia siapa, tetapi aku berikan berlian itu kepadanya kerana aku tahu dia orangnya susah.

Dan sewaktu aku mengutip sebutir berlian lagi selepas itu untuk kuberikan kepada yang lain pula, tiba-tiba kami diburu semula. Dan spontan adengan permulaan kami diburu sebelum itu berulang semula. Tiada lagi ustaz, masjid, berlian, istana dan juga sultan.

Di sebuah teratak… aku dan beberapa teman tergesa-gesa menuruni tangga buluh. Aku sarungkan selipar dan terus melarikan diri dari situ. Bersama teman-temanku yang tidak kukenali siapakah sebenarnya mereka. Dan yang kekal disampingku hanyalah pemuda tampan itu. Yang seringkali melindungiku di setiap masa.

Teratak usang beratapkan daun rumbia berlantaikan buluh itu segera kami tinggalkan. Dengan lelaki tua di dalamnya. Tidak berbaju. Malah berambut melepasi bahu dan terikat sesuatu di kepala. Jika tidak salah, kurasa ada lebih dari seorang.

Dari situ kami terus berlari dan berlari. Melarikan diri dari sekelompok manusia yang berhud hitam dan berjubah labuh. Yang berada tidak jauh dari teratak buluh itu. Tidak pula diperlihatkan wajah mereka kerana mereka sedang menunduk bagaikan sedang bertafakur. Namun aura kegelapan terpancar jelas dari mereka.

Dan jelas rasa hatiku, bahawa aku yang di mahu. Untuk mereka jadikan korban penyembahan mereka. Buat syaitan laknatullah.

Dan di saat itu. Mataku terbuka. Terjagaku dari lena. Dadaku berdegup kencang. Nafasku hampir terputus. Berjeda aku seketika. Kerana aku sendiri tidak pasti. Adakah ini mimpi atau realiti?

Setelah beberapa lama, aku istighfar sendiri. ‘Oh! Cuma mimpi’. Bisik hatiku kelmarin. Dan aku pun tersenyum. Bila terkenangkan pakwe hensem yang sering menjadi penyelamatku itu.

Tetapi bila aku terjaga dari tidur pagi semalam, aku mula dilanda resah. Nak tahu kenapa? Kerana aku bermimpi kisah yang sama, namun siri yang kedua pula.

Adakah mimpi bersiri ini hanya mainan cuma? Atau ia adalah sebuah petunjuk?

Petunjuk terhadap derita sihirku ini. Kerana hampir semua yang telah kulalui di dalam mimpi itu, sememangnya ada kena mengena dengan penderitaan sihir yang sedang aku tanggungi ini.

Kepada-MU Tuhan, sesungguhnya aku berserah diri.

Mimpi itu, aku tahu ia bukan sekadar mainan mimpi. Walaupun aku tidak dapat mengingatinya satu persatu, tetapi aku masih jelas dengan inti ceritanya. Cemas. Resah. Sama dan serupa sahaja.

Petunjuk? Kenapa aku katakan ia adalah petunjuk? Kerana sememangnya sudah beberapa kali sewaktu aku kesurupan, puaka di tubuhku sering melaung-laungkan mengenai sebuah perjanjian. Mengenai namaku yang telah diberikan oleh seseorang kepada dunia kegelapan untuk dijadikan korban. Korban perjanjian syirik.

Kata puaka-puaka itu kepada keluargaku, berikan sahaja rohku kepada mereka dan mereka akan berikan mayatku kepada keluargaku kemudiannya. Untuk urusan pengebumian. ‘Mudah bukan?’ kata mereka bersahaja tanpa perikemanusiaan. Bagaikan aku cuma haiwan. Bukan lagi manusia yang punya perasaan.

Malah aku sebenarnya sudah ‘diperlihatkan’. Di dalam jaga dan bukannya di dalam mimpi. Apakah yang akan mereka lakukan kepadaku setelah mereka dapat memilikiku.

Tubuhku dibaringkan di atas sebuah dupa. Dupa emas. Dupa yang memanjang itu bagaikan dibuat khas untuk meletakkan tubuhnya manusia. Terletak tinggi di atas. Di tepian dinding. Dan tubuh itu adalah tubuhku. Yang sudah longlai dan tidak sedarkan diri.

Dan di bawah sana jika aku tidak tersalah, telah berhimpun beramai-ramai sekelompok manusia yang berjubah labuh dan berhud menutup kepala. Sememangnya tidak dapat kulihat siapakah gerangannya mereka. Tetapi dapat aku fahami mereka bagaikan sebuah kumpulan. Kumpulan ajaran salah. Itu sahaja yang terlintas di hatiku di kala itu.

Tidak lama kemudian dengan bilahan pisau yang tajam, beberapa orang dari mereka mula mengerat kedua pangkal pahaku. Diikuti kedua pangkal lenganku. Kemudian dibelah pula perutku secara melintang. Dan akhirnya leherku pun d*****r sehingga putus. D***h memancut-mancut dari setiap keratan di tubuhku. Dan mereka..

Mereka mula menadahkan darahku yang sedang meleleh turun dari setiap sudut dupa. Sebelum setiap tadahan itu mereka campurkan di dalam satu cup emas yang besar. Kemudiannya entah bagaimana cup itu mula dihulurkan perlahan-lahan tinggi ‘ke atas’. Buat seseorang yang seakannya sedang bersemayam di atas takhta. Dan firasatku mengatakan ia adalah sang iblisi. Atau mungkin jua raja syaitan mereka.

Hanya sekadar itu aku diperlihatkan. Tidak aku ditunjukkan akan siapakah yang akan menyambut huluran cup emas yang penuh dengan darahku itu. Tetapi puaka-puaka telah  mengatakan kepadaku, ‘dia’ adalah ‘yang di atas’.

Berkali puaka-puaka di tubuhku menegaskan kepada keluargaku, bahawa aku sudah diberikan kepada mereka oleh seseorang. Seseorang yang telah meletakkan namaku sebagai korban perjanjian syaitan. Sebagai sebuah pertukaran. Dia kan mendapat apa yang dihajatinya. Dan aku sebagai korbannya. Untuk terlaksana perkara syirik itu. Benarkah? Hanya Tuhan yang lebih tahu.

Ada seseorang yang telah terbuka hijabnya, pernah memberitahuku dengan penuh syahdu bagaimana dia telah melihat dalamanku bagaikan dimamah atau dikikis. Terima kasih tidak terhingga wahai sahabat.

Dan dia yang juga mampu merega sukma memberitahuku, bahawa dia telah ‘melihat’ aku dikurung di dalam sebuah gua yang tidak jauh dari laut. Gua yang gelap dan di dalamnya penuh dengan puaka. Di dinding gua itu pula tertampal penuh kertas-kertas mantera berwarna kuning dan merah. Dan aku..

Aku terikat di dalam sana dengan penuh lemah dan tiada berdaya. Hanya setelah beberapa lama kemudian, sebaik sahaja aku dimandikan oleh ibuku dengan memakai kain basahan bapaku, barulah dia melihat aku sudah tiada lagi di sana. Di sana di dalam gua puaka itu. Yang tinggal cuma sisa-sisa kertas merah kuning itu yang telah terbakar.

Aku mengucapkan syukur. Syukur kepada Tuhan. Dan berterima kasih kepada salah seorang sahabat fb yang rupanya adalah seorang perawat tanpa pengetahuanku. Dia juga memberitahuku, aku hanyalah mangsa kepada sebuah perjanjian. Bagaikan membenarkan kata-katanya puaka-puaka yang telah dipuja masuk ke dalam tubuhku sebelum itu.

Dia meminta ibuku memandikan aku selama tiga hari berturut. Syaratnya cuma perlu memakai kain basahan bapaku, dan ibuku hendaklah berniat agar mengambilku kembali daripada sesiapa yang telah menyatakan aku adalah miliknya.

Dan tahukah kamu? Bahawa sewaktu aku dijirus, kata ibuku telah keluar satu bau yang tersangat busuk dari tubuhku. Hingga hampir ibuku tidak tertahan membaunya. Tetapi terpaksa juga ibuku menghadapinya memandangkan dia perlu menghabiskan jirusannya.

Namun aku yang sedang mencangkung di hadapan ibu bagaikan anak kecil tidak pula terbau apa-apa. Cuma tubuhku sakit, lidahku meracau bahasa aneh dan diriku hampir tumbang.

Kisah ini, cuma beberapa bulan yang lalu. Sebelum episod denyut nadiku bagaikan terhenti. Setelah berkali dadaku terangkat dan terhempas semula. Dengan dada dan jantung yang teramat pedih kurasakan. Hingga berlinangan airmataku tiada henti.

Dan hari ini aku tidaklah seteruk dahulu. Tetapi masih dalamanku ini rasanya bagaikan dilapah. Tubuhku masih lagi rengsa. Dan lidahku masih lagi sesekali berkata di dalam bahasa aneh itu.

Ada masanya kakiku masih juga meliuk seperti ekor ular. Dengusan kemarahan juga masih ada. Kepala yang meliuk-lentuk. Semuanya masih belum hilang sepenuhnya. Namun alhamdulillah ia cuma muncul sesekali sahaja.

Lidah yang menjelir seperti binatang itu? Rasanya sudah lama ia tidak berlaku. Tetapi tidak mustahil untuk ia berulang.

Hausnya d***h? Ya, masih sesekali ia terlintas.

Tubuh menggeleding dan dada yang tersentak-sentak ke atas seolah nyawa direnggut-renggut , adalah perkara yang masih perlu aku lalui hampir setiap hari.

Sukar bernafas. Pedih jantung. Sesak dada. Perut mengembung pedih. Rengsanya tubuh. Segar di tengah malam. Layu menjelang siang. Semua ini entah bila akan berakhir.

Petunjuk itu… bagaikan ingin memberitahu, bahawa aku..

Masih lagi di dalam perburuan mereka. Kenapa bagaikan aku diburu oleh beberapa puak? Kerana puaka-puaka itu juga pernah memberitahu kepadaku,

Bahawa siapa yang ‘mendapat’ aku. Maka dialah yang kan bergelar juara. Akan dihormati dan disanjungi.

Kerana aku adalah ‘piala’ di dalam sebuah liga, yang tiba-tiba diwujudkan setelah aku masih lagi bernyawa hingga ke hari ini. Pertarungan ini bukan lagi satu penjuru, tetapi sudah menjadi berpenjuru. Di antara aku dan tukang-tukang sihir. Yang hanya akan terhenti apabila aku tewas. Atau mereka yang menghentikannya. Jika mereka telah bertaubat. Atau mungkin jua jika mereka tidak ingin lagi melanjutkannya.

Angah! In The Darkness!

Aku angah. Ini kisahku. Ini deritaku. Terpulanglah jika ingin mempercaya. Tidak kisah juga jika ingin menidakkannya. Kerana semuanya berlaku dengan izinnya Tuhan. Dan biarlah Tuhan sahaja yang akan menentukan.

Benarkah? Ataupun tidak? Biar apa pun kisah yang sebenarnya. Aku tetap seorang mangsa sihir yang sedang diburu nyawanya.

Dan kepada Tuhan Yang Esa, tidak sekali aku berputus asa…
—–
Written by Cik Sri Pagi

Cik Sri Pagi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

20 thoughts on “Petunjuk”

  1. teruskn untuk mempunyai kekuatan dan keyakinan kepada allah..dia yg mengaturkn segalanya..dan dialah jugak mampu mengubah segalanya…tawakal..lillahhitaala…

    Reply
  2. Semoga Allah SWT mengangkat semua penderitaan yg Angah lalui.. sesungguhnya Allah tidak memberi ujian di luar batas kemampuan hambanya..

    Reply
  3. Dukun itu gunakan Iblis hirarki tertinggi sbb susah sgt nk tewaskan. Ketua itulh yg berjanji dihadapan Allah benarkan dia hidup hingga akhir zaman. Utk dia ganggu cucu cicit Adam. Ada yg dihasut agar jgn percaya pd ajaran Islam. Ada yg dibisikkan dihatinya utk rasa sangsi atas wahyu yg dibawa para Nabi termasuk Nabi Muhammad lantas ramai yg memilih utk murtad. Ada yg dikerah Iblis akan anak buahnya utk menjadi upahan para dukun bg mengganggu manusia hingga ada manusia yg merana sakit, ada yg gila & ada yg menderita kesakitan hingga m**i.

    Semua berlaku atas keizinan Allah utk menguji. Klu sakit ada cari doktor ada cari perawat dn ada cari bomoh. In shaa Allah akan Allah ketemukan ubatan yg mujarab sebagai penawar. Ada yg Allah jemput ke sisiNya sbagai penamat derita. Diakhirat akan ditentukan hukuman utk iblis dn pengikutnya. Utk yg teraniaya sudah tentu beroleh bahagian mereka. Sakit di dunia in Shaa Allah tenang di akhirat. Inshaa Allah.

    Reply
    • terima kasih atas nasihat yang menusuk bonda.

      doakan anakanda juga kuat menhadapi tiap cabaran dan dugaan ini

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.