Rasukan Dari Sulawesi

Dari hujung lorong kelihatan cahaya lampu kenderaan memasuki lorong menghampiri rumahku. Kereta jenis Alza berdesup memasuki kawasan rumah. Abangku Jahan sampai tepat pada waktunya. Di sebelah tempat duduk penumpang, samar-samar kelihatan Mak dengan wajah yang risau.

Jahan bergegas keluar dari kereta mendapatkan isterinya. Narita semakin meracau. Apabila Jahan memegang tangannya, dia mula menjerit-jerit minta di lepaskan. “Lepaskan akuuu..aku ngak mau masukk..aku nak bercakap dengan kawan akuuu di sini!”, pinta Narita pada Jahan dengan sedikit campuran loghat Indonesia yang masih pekat. Narita, seorang warga Indonesia yang dikenali Jahan melalui alam maya. Sepanjang perkenalan mereka, mereka hanya berhubung melalui aplikasi sembang di alam maya. Tidak pernah sekali pun bertemu. Selama lebih kurang 3 bulan perkenalan mereka, dan mereka akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Sayang, jom kita masuk dalam dulu. Tak elok duduk lama-lama kat luar waktu maghrib ni”, pujuk Jahan. “Aku tidak mahuu.¬†Aku nak duduk siniii, lepaskan aku!”, suara Narita semakin garau. Dia semakin kuat meronta. Yuss dari tadi berdiri memerhati di pintu ruang tamu mendapatkan mak dan membawa mak masuk ke dalam rumah.”Mak dah cakap dengan Jahan tadi. Cepat balik. Jangan tinggal bini lama-lama kat rumah. Dia degil, kata tak ada apa-apa. Ramai kat rumah katanya”, terang Mak pada Yuss. “Itu lah. Tadi Yuss tengok dah semacam dah Narita tu. Macam dah kena balik”, balas Yuss. Wajah Mak semakin berkerut risau memikirkan ¬†keadaan menantunya itu.

“Yuss tolongggg Yusss..cepatttt tolongg angkatttt!”, jeritan Luna dari luar rumah membuatkan keadaan semakin cemas. Yuss segera berlari ke arah pintu dapur. Narita yang terbaring meronta keras minta di lepaskan. “Arggghhhhh…! arghhhhh..! arghhhhh!”, Narita menjerit nyaring. Kami segera mengheretnya masuk ke dalam melalui pintu dapur. Yuss menyambut kaki Narita. Anak-anak Yuss yang ketakutan berkumpul di suatu sudut di dapur sambil memeluk Mak yang mesra di panggil Opah oleh mereka.

Narita di baringkan di dalam bilik. Dia meronta keras minta dilepaskan. Matanya merah terbelalak memandang sekeliling bilik. “Ambilkan air satu jug besar cepat. Bawa cawan kosong satu!”, arah Jahan. Aku yang dari tadi memegang kaki Narita dari meronta-ronta, berlari ke dapur mengikut arahan.

“Lepaskan akuuu..akuu sukaa diaaa..dia milikk akuu!”

“Sayang, ini abang ni. Sayang dengar tak?”

“Lepaskann akuu..akuu dah lamaa ikut diaa..aku sukaa diaaa..!”

“Kenapa kau kacau isteri aku? Tempat kau bukan di sini!”

“Hahahahahahahaha…aku kenal dia lagi lama dari kauuu…hahahahahaa..!”

“Keluar kau dari badan isteriku! Dengan nama Allah, aku akan hancurkan kau!”

“Hahahahaha…hehehehehe!”

Jahan membaca ayat-ayat suci Al-quran sambil sebelah tangannya memegang jug yang berisi air. Kepalanya ditundukkan sedikit merapati mulut jug. Kedengaran bunyi deruman motor memasuki laman rumah. Abang ku Sadiq dan Nazlee masuk melalui pintu ruang tamu. Mereka baru pulang dari menunaikan solat maghrib di masjid. Kekecohan dari dalam bilik membuatkan mereka terpinga-pinga dengan apa yang terjadi. “Masya Allah… kenapa ni? Kena rasuk lagi ke?”, tanya Nazlee dalam keadaan masih terkejut. Luna sekadar mengangguk ringkas. Dia kelihatan sedikit letih kerana menahan tangan Narita yang berterusan meronta-ronta dengan ganas. Nazlee dan Sadiq bergegas membantu.

********

Walaupun dengan kekuatan tenaga 4 orang menahan badan Narita dari meronta-ronta dengan ganas, tangan kami tidak mampu untuk bertahan lebih lama lagi. Tenaga luar biasa Narita sukar dijinakkan. Kami perlu bertahan menunggu Jahan melengkapkan bacaan ayat-ayat suci Al-qurannya.

“Fuhhhhhh…”, Jahan meniup dahi Narita.

“Arghhhhh…..!! Panassss panaasss…!!”

“Keluar kau dari tubuh isteriku wahai syaitan yang dilaknat!”

“Panaasss..! Argggghhh..”

Air yang telah dibacakan ayat-ayat suci tadi direnjiskan ke muka Narita. Narita meronta dengan lebih ganas. Jahan menyapu muka Narita dengan air itu kemudian memegang dahi Narita.

“Kenapa kau merasuk tubuh isteriku?”

“Aku suka diaa..!”

“Kau tak layak untuk menyukai manusia. Tempat kau bukan di sini”

“Aku sukaa diaaa… Aku kenal dia lebih lama dari kauuu…!”

“Dari mana asalmu?”

“Aku dari jauhhh..jauhhh..tempat yang kau tak pernah pergiii..”

“Dari mana asalmu?”

“Dari sebuah pohonn..di sebuahh kampung..”

“Di mana kampung asalmu?”

“Hahahahaha…hehehehehe!!”

Pertanyaan Jahan tidak di jawab. Narita tiba-tiba menjadi agresif. Jin di dalam badannya seolah-olah cuba mencederakan Narita dengan menggigit lidahnya sendiri. Luna berlari ke almari mendapatkan kain batik untuk di sumbat ke dalam mulut Narita sambil Jahan menahan mulut Narita. Mulutnya kini disumbat kain. Jahan meneruskan upacaranya merenjiskan air bacaan ayat-ayat suci ke muka Narita sambil mengulang semula bacaan ayat manzil. Suaranya dikeraskan.

“Panassss…panassss…!”

“Keluar kau dari tubuhh isteriku sekarangg!”

“Panaaasss…baikklahhh, aku keluar!”

“Keluarr sekaranggg!!”

Sepertinya jin itu tidak mampu bertahan lagi. Jahan meneruskan bacaan ayat manzil. Narita yang dari tadi meronta-ronta tiba-tiba kekejangan. Badannya melengkung dan mulutnya ternganga seolah-olah jin itu sedang keluar dari tubuhnya. Selepas beberapa ketika, Narita kembali tenang. Wajahnya nampak berseri. Dadanya tidak berombak laju lagi. Mungkin jin itu telah benar-benar keluar dari tubuh Narita, fikir Jahan dibenaknya. Tempoh pertarungan selama 35minit itu benar-benar mendebarkan semua orang. Kami semua menyandar keletihan. Sudah dua kali Narita di rasuk di rumah mak tetapi Jahan masih belum mahu bercerita puncanya. Rasukan kali ke tiga ini hampir-hampir menemui punca sebenar. Kami pasti Jahan akan menceritakannya hari ini.

Jahan membelai kepala isterinya. Narita perlahan-lahan membuka mata. Narita sedikit keletihan. “Apa yang terjadi? Kenapa aku dibaringkan dalam bilik ni?”, Narita tidak sedar apa yang terjadi. “Awak rehat-rehat dulu. Minum air ni dulu”. Jahan membangunkan Narita sambil menyuapkan segelas air yang dibacakan ayat suci tadi. “Yang aku ingat aku ke tandas tadi, lepas tu tak ingat apa-apa. Aku rasa macam bermimpi dikepung satu lembaga hitam yang besar”, terang Narita. Kami semakin tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi pada Narita. Jahan hanya diam membisu. Dari raut wajahnya seolah-olah dia menyimpan satu rahsia yang bakal menjadi jawapan kepada seribu persoalan di benak kami.

“Sebenarnya dia kena buatan orang”, Jahan mula membuka bicara. “Di rumah hampir setiap hari dia akan meracau-racau bila masuk waktu maghrib. Pisau kat dapur semua aku sorok dalam laci berkunci sebab takut dia cuba cederakan diri sendiri lagi. Orang tu memang nak Narita mati”, getus Jahan. “Kenapa kau tak bagi tau adik beradik lain, mana tau kami boleh bantu”, Luna mencelah. “Aku dah buntu. Tak tau nak buat apa. Aku tak nak menyusahkan adik beradik”, Jahan menundukkan kepalanya. “Aku dah bawa dia jumpa seorang ustaz. Tapi elok sekejap je. Selang beberapa hari jadi balik.”

Walaupun mereka sudah 6 bulan berkahwin, Jahan tidak pernah bercerita tentang asal usul keluarga isterinya. Yang kami tahu dia berasal dari Sulawesi. Itu sahaja. Jahan seorang abang yang perahsia. Tidak suka berkongsi masalah rumahtangganya dengan keluarga. Tapi rahsia ini benar-benar tidak tertanggung lagi. Akhirnya terbongkar jua. Narita hanya diam membisu membiarkan Jahan membuka rahsia dirinya.

“Dia pernah bercinta dengan seorang lelaki sekampung, tapi putus sebab keluarga Narita tak suka dengan lelaki tu”, Jahan menyambung cerita. “Orang tuanya pernah ternampak lelaki tu bermesra dengan perempuan lain. Narita mula-mula tak percaya yang lelaki tu mainkan dia. Nak dijadikan cerita, satu hari Narita terserempak dengan teman lelaki dia dekat bandar jalan berpelukan dengan perempuan lain. Mereka akhirnya putus”.

“Semenjak mereka putus, bekas teman lelaki Narita berdendam dengannya kerana keluarga Narita memalukan dia. Dia mengugut mahu memusnahkan hidup Narita. Sejak hari tu, dia mula diganggu lembaga hitam. Tiap-tiap malam lembaga tu akan masuk ke rumahnya menakut-nakutkannya”, Jahan akhirnya telah menceritakan hampir kesemua punca berlaku rasukan ni.

******

Sejak peristiwa rasukan ketiga itu, Narita berubat dengan seorang ustaz di hujung kampung. Mak yang memberi cadangan supaya Narita berubat di situ kerana ustaz itu memang terkenal dengan ketinggian ilmunya menyembuhkan penyakit berkaitan gangguan makhluk halus. Selepas beberapa kali melalui beberapa sesi rawatan, akhirnya Narita benar-benar sembuh. Tiada lagi gangguan di rumahnya. Mereka kini bahagia di anugerahkan dua orang cahaya mata. Sesungguhnya tidak ada satu makhluk pun yang berkuasa memberi mudarat kepada manusia, melainkan dengan izin Allah.

Cencorot

Leave a Reply

Be the First to Comment!

avatar
wpDiscuz