Saka Ular Bahagian 2

Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan…

Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan bahagian pertama..

Diluar rumah, aku dengar bapak sudah mula melaungkan azan! Hujan mula turun membasahi bumi dan angin ribut masih tak surut. Berdentam dentum tingkap rumah dihempas angin yang kuat!

Aku kiam tangan seperti pergerakan dalam solat dan memulakan bacaan seperti diarahkan Pak Seli, tak perlu ambil pusing keadaan sekeliling yang hiruk pikuk….

Bismillahirohman nirohim
Bismillahisy syafi
Bismillahil Kaafi
Bismillahil mu’afi
Bismillahiladzhi la yadhuru
ma’asmihi syai’un fil ardhi wala
fis sama’ii wahuwas samii un alimm

Pak Seli sepontan mencapai tangan kanan Shakir, dicucuk dengan sesuatu yang kecil seperti jarum dibahagian jari telunjuk, dan diletakkan didalam besen berisi air. Beberapa ekor ular mula memanjat dibelakang badan Pak Seli, dan tak dihiraukan.

Aku nampak Pak Seli meluruskan tangan kanan yang dibuka, seketika kemudian digenggam dan ditarik naik ke atas ubun-ubun kepala Shakir. Shakir mula mengelepar seperti sedang mengalami sakaratul maut!

HUP!!

Suara Pak Seli melaung! Seperti merentap sesuatu keluar dari badan Shakir! Shakir yang tadinya gagah dan mampu ketawa, secara tiba-tiba rebah kembali di atas tilam nipis, seperti saat awal kami datang tadi!

Pak Seli bangun dari bersila, merapati aku.

“Moh kita keluar! Kejap lagi ada tetamu datang!” Batang tepus dicapai semasa bercakap dengan aku.

“Ular-ular ni, pak?”

“Biarkan! Nanti dia balik sendiri!” Tingkah Pak Seli selamba

“Kau pijak bekas tapak kaki aku, jangan melangkah sembarangan!” Pak Seli menambah, dan aku mengangguk mendengar kata-kata Pak Seli.

Aku melangkah dengan berhati-hati supaya tak terpijak ular yang bergelimpangan dilantai. Hanya kawasan yang dilalui Pak Seli, tak dilingkari ular. Bunyi ular mendesah dan seakan mahu mematuk disebelah, adakalanya agak membimbangkan!

Kami keluar, hanya bapak yang kelihatan berdiri sendirian dalam hujan di tengah laman. Uda entah ke mana! Ada lebih banyak lagi ular pelbagai jenis rupa di tengah laman. Ada yang sudah melingkar diatas bahu bapak. Dan bapak sungguh tenang, bagaikan takde apa yang berlaku.

Bapak nampak kami datang, dan kekal berdiri seperti tadi. Tangan diangkat dan ditunjukkan diatas bumbung rumah. Aku menoleh.

Subhanallah!

Apa yang aku nampak..

Ular! Bukan ular! Tapi lebih seperti naga. Entah berapa puluh meter panjang, ada dua pasang kaki kecil didepan dan dibelakang. Berwarna coklat keemasan, dengan sisik-sisik besar, sebesar sebiji pinggan!

Berkepala tiga, seperti yang dicanang mula-mula tadi! Lidah bercabang dijelir-jelirkan beberapa kali, persis seekor ular. Naik d***h serun aku melihat ular raksasa diatas atap rumah!

Yang masih jelas terakam didalam benak aku, sepasang mata ular yang bercahaya berwarna merah! Laksana tedung yang akan mematuk pada bila-bila masa!

“Kamu pergi berdiri dekat dengan bapak kamu! Biar aku selesaikan disini!” Pak Seli menoleh pada aku dan memberikan arahan, sepontan aku berlari dan berdiri disebelah bapak.

“Aku dah pagar kawasan ni, kau jangan keluar pulak!” Bapak pula memberikan arahan semasa aku sampai. Aku hanya mengangguk kecil. Ular yang naik dibahu bapak, diletakkan ditepi, dan ular berlalu pergi.

“Errr.. Uda, bah?” Aku tanya bapak

“Tuuuu!!” Bapak aku muncungkan bibir menunjuk ke arah sebatang pokok kelapa, dalam jarak 30 kaki. Nun diatas puncak, aku nampak bayang seperti beruk sedang bergantung diatas pokok!

Apa dia tak nampak ke, ada naga atas rumah ni? Agaknya kalau naga atas rumah ni tergolek dipukul Pak Seli, mesti sampai ke pangkal pokok kelapa tempat dia bertahan.

Uda.. Uda..

“Tadi Pak Seli ada suruh kau buat apa-apa tak?” Bapak berbisik pada aku.

“Ada.. Dia suruh baca bismillah lima!”

“Kau teruskan baca, jangan putus!” Aku sekali lagi mengangguk mendengar arahan bapak.

Pak Seli mula berdiri dengan tangan dikiam, seketika kemudian membuka langkah silat dengan kuda-kuda yang besar! Batang tepus didalam genggaman tangan kanan, masih dipegang dengan kejab!

Gerakan bertukar tarian, dan Pak Seli melompat dan melepaskan buah pukul kiri dan kanan!

Padu!

Cukup padu!

Berdesup-desup bunyi batang tepus merintang angin, dibantai hingga benyai, mengeluarkan air!

Agak lama Pak Seli bersilat sendirian. Tanpa diganggu sesiapa. Aku nampak ular yang tadi mengerumuni didalam rumah, mula turun ke tanah dan hilang didalam gelap disemak dan belukar ditepi!

SRAPPPPPP!!!!

Batang tepus disebat untuk kali terakhir bersama satu gemaan yang kuat dimalam hari! Bunyi yang mengufuk jauh. Seolah seperti datang dari bukit dikejauhan!

ARRRRRRKKKKKKKKKKKK!

Ular raksasa yang kelihatan seperti naga diatas rumah tiba-tiba ghaib! Ghaib bersama hujan yang juga tiba-tiba renyai secara sepontan!

Pak Seli membuang batang tepus ke tepi dan berlari ke arah kami yang berdiri.

“Baik! Masalah ni dah selesai! Kita tunggu dia datang!” Pak Seli katakan pada kami, bapak mengangguk beberapa kali!

‘Nak tunggu siapa pulak?’ Keluh aku dalam hati. Apa masalah sedari tadi ni tak cukup hebat ke?

Sepuluh minit kami berdiri disebelah bapak, menanti sesuatu atau seseorang seperti disuruh Pak Seli.

Dari dalam samar gelap, nampak ada seseorang berjalan pantas menuju ke rumah Shakir.

“Dia dah datang! Hati-hati!” Itu pesan Pak Seli pada kami.

Lelaki tadi berjalan dan berhenti dalam jarak kira-kira sepuluh kaki dari kami. Di tangan kanannya memegang parang. Digenggam seperti akan mengamuk sebentar lagi!

Wajahnya mengingatkan aku pada Abang Budi, yang pernah meminta rawatan pada Pak Seli dahulu. Sedikit rendah dengan badan yang sasa dan sedikit botak dibahagian depan kepala.

“KENAPA KAU MUSNAHKAN KERJA AKU?” Lelaki tersebut bertempik secara sepontan.

“Aku tahu kamu kawan dengan Shakir, tapi aku tak tahu apa tujuan kamu buat begini pada dia!” Pak Seli membalas

“Aku tahu juga, pada malam kejadian.. Kamu pun turut serta pergi memancing dengan Shakir.. Kenapa kamu dengki pada dia?”

“Ha.. Ha.. Ha.. Ha..!!” Lelaki tersebut ketawa secara tiba-tiba.

“Sebab dia musnahkan kerja aku! Aku bersusah payah kerja siang dan malam. Tapi dia yang dinaikkan pangkat! Hanya sebab dia pandai membodek dan bermulut manis!” Lelaki tersebut membalas ayat Pak Seli.

“Kalau sampai dia m**i, siapa nak tanggung anak bini dia makan? Ada kamu fikir tak?” Pak Seli bersuara seperti nak marah.

“Ahhhhhhhh!! Itu aku tak peduli! Kerja aku yang dia musnahkan, anak bini aku nak makan apa, ada dia peduli?” Sungguh marah benar ayat lelaki tersebut!

Parang ditangan dilibas-libas ke kiri dan ke kanan, seperti akan mula menyerang. Pak Seli masih lagi berdiri tegak dan menanti dengan tenang.

“Kalau kau musnahkan kerja aku.. Aku habiskan kau dulu, sebelum aku hapuskan dia!!” Gertak lelaki tersebut. Dia terus mara ke arah Pak Seli dan secara tiba-tiba menakik parang dari arah atas!

Pak Seli cukup bersedia dengan serangan mengejut tersebut! Bergilit ke kiri dan melepaskan tendangan curi ke bahagian perut!

Tak sempat dielak! Lelaki tersebut terduduk dengan serangan Pak Seli!

Bingkas dia bangun sambil masih memegang perutnya!

“Celaka kau! Aku b***h kau!” Getusnya dengan marah!

Parang disembat ke kiri dan ke kanan! Merintang di angin, dan mencantas apa-apa sahaja yang ada didepan!

Pak Seli melompat ke kiri dan ke kanan mengelakkan serangan bertubi-tubi! Mungkin dari segi fizikal, lelaki tersebut jauh lebih muda dan masih bertenaga. Tapi jika dinilai dari pengalaman, ini bukanlah perseteruan pertama untuk Pak Seli.

“Abah taknak tolong ke?” Aku cuit bapak aku

“Takpe.. Pak Seli kau boleh selesaikan.. Budak ni kosong..” Tingkah bapak aku sepontan. Hujan mula reda, dan aku nampak bayangan Uda mula melungsur turun dari pokok kelapa! Mesti tangan dia dah mengigil berpaut terlalu lama pada batang pokok!

BAPP!!

Bunyi benda jatuh berdebuk!

Sepontan aku dan bapak berpaling! Uda jatuh pokok! Tergolek dipangkal pokok kelapa!

“Rip, kau pergi tolong kawan kau tu! Kelakar betul lah dia ni!” Keluh bapak pada aku. Aku berlari tinggalkan bapak dan mendapatkan Uda.

“Kau apa hal?”

“Takde… Licin…” Muka Uda menyeringai kesakitan. Nyaris aku tergelak melihat Uda yang memegang belikatnya yang sakit. Agak tinggi juga dari aras yang dia mula-mula jatuh tadi. Aku papah Uda untuk berdiri.

“Kau ok tak, Da?”

“Ok.. Ok..” Uda membalas, walaupun masih menyeringai.

“Marilah, kita berdiri kat tempat bapak aku..” Uda mengangguk mendengar cadangan aku.

“Errr.. Dah takde ular kan?” Aku cuma mengeleng-gelengkan kepala menjawab pertanyaan Uda.

Saat kami kembali ke lokasi bapak, lelaki yang tadi begitu gagah dan garang menyerang Pak Seli, sudah dikunci pergerakkannya. Bapak masih kekal memerhati tanpa memberi bantuan.

“Lepaskan aku! Lepaskan aku!” Lelaki tadi masih tak mahu mengaku kalah. Sakit juga sebenarnya kalau dikunci begini, sebab aku pernah kena buah kunci ni dengan Pak Seli.

“Tenanglah! Tenang! Kalau kamu tak bertenang.. Kita tak boleh berbincang!” Pak Seli masih keras mengunci lelaki yang nampak dah berlipat dan tunggang terbalik tersebut.

“Baiklah.. Baiklah.. Aku mengaku kalah.. Lepaskanlah aku..” Dia mula teresak-esak minta dikasihani, parang yang masih didalam genggaman dilepaskan jatuh kebawah. Perlahan-lahan Pak Seli melepaskan tangannya yang mengunci lelaki tersebut.

Lelaki tadi duduk melunjurkan kaki, dan mula menangis semahu-mahunya didepan kami.

Pak Seli berdiri dan membiarkan dia menangis. Agak lama, aku kira lima ke sepuluh minit juga dia menangis bagaikan budak kecil kehilangan mainan.

Sudah bertenang, dia mula mengangkat muka dan memandang Pak Seli.

“Aku marah, geram, sakit hati dengan Shakir.. Lima tahun aku kerja dengan syarikat yang sama, tak pernah sekali pun dipuji majikan, jauh sekali nak dinaikkan pangkat..” Dia menelan air liur beberapa kali. Pak Seli mula bertinggung didepan lelaki tersebut. Dan bapak tanpa menghiraukan aku dan Uda, mara mendekati Pak Seli.

“Shakir ni pun, aku yang masukkan tahun lepas, sebab dia kawan dari kampung yang sama.. Tak sampai setahun dia dah dinaikkan pangkat jadi mandur aku.. Aku malu.. Majikan lebih percaya orang baru dari aku yang dah kerja lama..”

Bersambung lagi gais.. Relax.. Ada lagi tiga hari sebelum cerita ni habis.. Amalkan Bismillah lima tu untuk pendinding.. Lazimkan dan jazamkan ye?

Anyway, hari ni korang komen binatang apa yang buat korang trauma.. Nais!

#Pusaka2

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Arif Yahya

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.