“Kan ku himpunkan kisah dongeng purbakala. Kan ku sembahkan hikayat berdarah paduka baginda.” 🎶
Tersenyum tersendirian jika dikenang semula, begitulah caranya kami bertemu. Tak ku sangka nyanyian kecil ku menarik perhatian mereka berdua. Walhal jika dilihat pada gaya penampilan, hampir semua tak menyangka yang aku ini adalah penyembah syaitan.
Tapi kini tinggal aku seorang, mereka berdua sudah pergi menghadap Azazil. Tak pasti sama ada menjadi tetamu atas jemputan atau tertipu diumpan menjadi korban. Aku hanya menunjuk jalan, terpulang pada mereka yang menentukan.
Jangan bilang aku yang mempengaruhi, masing-masing sudah besar mampu berfikir menjaga diri.
Khairil dan Rizal; keduanya berpakaian serba hitam. Dari bawah hingga ke atas, langsung tiada kejernihan. Hanya hiasan paku dan rantai sahaja yang kilat bersinaran. Berbanding diriku yang gemar mengenakan kasut but kulit coklat dan seluar jeans biru lusuh.
Kebetulan waktu itu minggu pertama perlancaran Gerbang Kayangan. Ramai yang memenuhi kedai Aunty senja itu. Plaza Campbell tingkat dua, memang penuh sesak dan bingit. Masing-masing melayan muzik yang dimainkan kuat. Tak menang tangan Aunty melayan pelanggan, duit dan kaset semakin bertukar tangan.
Walaupun Aunty ini seorang perempuan, aku cukup hormat dengan pengetahuannya. Segala info dunia muzik bawah tanah berada dalam poketnya. Setakat punk, grunge dan ska tu aku tak hairan; ini hampir semua cabang kegelapan metal dia tahu. Nak black atau death? Melodic atau industrial? Satanism atau Ethnic Paganism? Semua Aunty bisa jawab tanpa gagap.
Mungkin kerna Aunty hari-hari menghadap benda yang sama, tambahan pula kedai muziknya itulah punca rezeki dia sekeluarga. Tetapi ku lihat Aunty seolah tidak terpengaruh, imannya ku yakini kuat dan teguh. Di lehernya sering tergantung kalung salibnya.
Sama seperti kalung yang ku pakai, cuma yang aku punya terbalik menghala ke bawah.
Aku duduk di tangga sebelah lif. Walaupun jauh dari kedai Aunty, telinga ku masih lagi dapat menangkap lirik dan muzik yang dipasang kuat. Bibir ku mengikuti perlahan setiap irama yang dimainkan. Memang sudah ku hafal lama, seringkali lagu ini dimainkan di gigs sebelum perlancaran rasmi lagi.
Waktu itulah Khairil dan Rizal datang menghampiri. Khairil menumpang duduk di sebelah ku tanpa meminta izin. Rizal berdiri bersandar di dinding hadapanku. Ku lihat keduanya memakai rantai berloketkan pentagram. Bintang bucu lima terbalik. Aku hanya tersengih.
“Ada rokok?” Rizal meminta tanpa segan silu.
Aku tersenyum sambil mengeluarkan kotak dan pemetik api dari poket.
“Kau black juga ke?” Khairil memulakan perbualan.
“Ha’ah… sikit-sikit,” Jawabku merendah diri.
“Dah lama kau layan Sil Khannaz?” Rizal mengetuk padat rokok sebelum menyuakan ke bibirnya.
“Sejak album pertama lagi… selepas keluar demo.” Berlapik kujawab, risau umpan tak dijamah.
“Eh lama juga tu. Tapi dari gaya macam tak layan black je?” Khairil mula menyentuh umpan.
“Ha’ah, dah macam budak skinhead aku tengok kau ni, mujur tak botak.” Rizal menyampuk mendekati umpan.
Kotak rokok dan pemetik api bertukar tangan, giliran Khairil pula mencucuh api. Terkekek-kekek mereka berdua mentertawakan penampilan ku. Berkepul-kepul asap dihembuskan mereka, berkabus seketika ruangan tangga yang sempit ini.
“Kalian berdua pengikut black ke?” Tanya ku berlagak kebodohan.
Keduanya ku lihat mula tersenyum. Bagaikan tidak sabar untuk menerkam, berebut-rebut keduanya rakus mendapatkan umpan. Masing-masing mula rancak bercerita mengenai fahaman black. Tak habis-habis menerangkan prinsip dan konsep pentagram. Aku hanya diam dan berlakon menunjukkan minat sahaja. Membiarkan ketaksuban mereka menguasai diri.
Benar tekaan ku, kedua remaja ini mengalami krisis identiti. Mahu dilihat gah dan hebat di khalayak rakan-rakan. Kononnya mereke berdualah pengikut abadi yang paling taat. Tapi sayangnya mereka tersilap pilihan. Black yang asalnya sebagai aliran muzik telah dijunjung sebagai gaya kehidupan.
Keduanya masih lagi menyembang berkenaan black, seolah mereka berdua ini sudah lama beriman pada kegelapan. Aku masih bersabar menunggu peluang menyentap joran. Perlahan-lahan ku selak leher baju dan keluarkan kalung leher ku.
Keduanya tiba-tiba diam tersentak, terkunci mulut mata terpaku. Buah kalung ku kucup berulangkali sambil memuji-muji Azazil dalam bahasa Melayu. Lengan baju kiri ku sinsing menghampiri bahu, menampakkan tatu bercorak pentagram berkepala kambing.
“Baphomet!”
Hampir serentak keduanya bersuara ketika melihat ukiran di lengan ku. Air muka masing-masing mula berubah tersipu malu. Ku simpan semula buah kalung di sebalik leher baju dan lepaskan kembali sinsingan lengan baju kiri. Umpan ku sudah mengena, dua ekor pula tu. Memang lumayan.
“Kan ku himpunkan satu kehidupan.🎼
Misteri petaka yang dilupakan.”🎶
Kedua remaja tadi ku ajak keluar dari Campbell, menuju ke restoran berhampiran untuk ku belanja minum. Mereka berdua yang mulanya tadi bersungguh menyembang kencang batu terbang pokok goyang kini bagaikan lembu yang dicucuk hidung. Mengikut sahaja tarikan ku, tak sedar diri dibawa ke tempat penyembelihan.
Bukan niat untuk memalukan, aku hanya ingin menunjuk jalan yang sebenar. Janganlah kita ikut-ikutan atau sekadar meniru pada pemakaian. Kena kenali akar, baru manis nikmati buah.
“Pengabdian diri dicengkam kesesatan.🎼
Menangisi hukum darjat kebesaran.” 🎶
“Sekadar Sil-Khannaz, belum cukup ganas. Jauh panggang dari api. Biarpun panas, tidak cukup untuk membakar.”
Keduanya diam khusyuk mendengar nasihat ku. Rokok di bibir ku sedut dalam-dalam. Mentah lagi rupanya kedua remaja di hadapanku, patutlah kelayakan mengundi bermula umur 21 tahun! Mudah sangat terpengaruh! Dasar ikut-ikutan!
“Api adalah unsur tertinggi, menyala bakarnya menjulang ke atas.” Aku mula mencucuh hidayah, agar meresap jiwa mereka dengan api keimanan. Mudahnya aku mempengaruhi mereka, tak sabar hendakku persembahkan pada utusan Azazil.
“Tak guna kalian berdua layan yang tempatan, langsung tiada kaitan dengan fahaman. Itu semua jauh menyimpang dari ajaran. Pernah dengar Behemoth? Mayhem? Burzum?” Sengaja ku sebut beberapa nama band yang pernah dirahmati Azazil.
“Pernah… tapi tak faham.” Khairil menjawab lesu.
“Iya, kami tak faham English.” Rizal menyokong tanda bersetuju.
Memang bodoh budak dua orang ini! Buta tuli mengikut tanpa guru. Sejak bila masyarakat Skandinavia bertutur English? Tadi sembang bukan main pung pang.
Memang benarlah kata pujangga, kebodohan itu lebih hina dari kegelapan. Terpaksalah aku mulakan dari awal, mengenali Azazil dan sifat-sifat yang wajib baginya.
“Kan ku himpunkan dongeng purbakala.🎼
Hidangan santapan paduka baginda.” 🎶
***
“Dia dilahirkan di tengah-tengah kemewahan syurga. Dan dia mahluk tersuci di sisi Tuhannya. Dan dia tidak pernah tunduk pada manusia. Kerana dia dilahirkan dari api.”
~Black Fire~
Tersenyum ku lihat kedua mereka mula mengaji dan mengkaji. Bersungguh-sungguh mereka menghafaz serapah dan jampi. 13 sifat yang wajib bagi Azazil sudah mereka ketahui; siap makna, tafsiran dan huraian. Terkejut juga aku dengan prestasi mereka berdua, orang Nusantara bisa berdoa dalam bahasa Hebrew lama.
Tersentuh hati tatkala keduanya meluahkan hasrat ingin bertemu Azazil. Maqam mereka ku rasakan makin meninggi. Kesungguhan yang ditunjukkan membuatkan ku ringan hati untuk berjumpa wakil organisasi.
Pangkat aku pasti akan dinaikkan. Kedudukan aku di dalam organisasi akan semakin terjamin. Berulang kali aku diarahkan melapor diri bertugas di HQ, namun lembut aku menolak surat tawaran.
Aku lebih suka bekerja di lapangan. Aku lebih suka memilih mangsa sendiri berbanding duduk sahaja di kerusi menunjuk itu ini. Kebolehan aku dalam hal mempengaruhi amat dicemburui. Dan pihak organisasi masih lagi berusaha keras cuba memaksaku menyertai R&D.
Khairil dan Rizal, keduanya sebaya remaja keciciran kelas. Faktor keluarga yang kucar kacir serta kehidupan di bandar yang serba mencabar benar-benar mempengaruhi gaya hidup mereka berdua. Tiada pegangan agama di dada telah banyak membantu aku dan ejen-ejen lain menyemarakkan lagi api kehitaman.
Wang ringgit tiada masalah, sememangnya kami punya aset dan tunai tersendiri. Misi kami mudah; sesat dan terus menyesatkan. Remaja adalah sasaran yang mudah. Muzik tidak bersalah. Muzik hanya sebagai perantara, sama ada menuju ke arah cahaya atau menyimpang ke sisi kegelapan.
Kebanyakan remaja yang kami sesatkan bukanlah kerna wang yang mereka cari. Atau pangkat yang dikejari. Dan bukan juga kedudukan yang mereka hendaki. Mereka hanya inginkan identiti.
Mereka mahu pengenalan diri.
“Hikayat berdarah semarak pawaka.🎼
Sembah dijunjung mengundang celaka.” 🎶
Pengenalan diri untuk mereka amalkan. Untuk mereka banggakan. Dan untuk mereka pertahankan. Biarpun darah sebagai ganti, darah muda jarang dikhianati.
Semangatnya membara, jiwanya bergelora. Pantang dicabar, azamnya berkobar-kobar. Tapi sayang seribu kali sayang. Mereka mudah tertipu dengan bayang-bayang.
Bayang-bayang yang cuba menyerupai hak sebenar. Yang tidak pernah teguh. Malah sering berubah-ubah. Yang cuba berselindung dari kilaunya cahaya. Yang cuba menyorok dari silaunya sinar. Tanpa menyedari itulah hak yang sebenar.
“Belati berganja gading” 🎼
“Gempita ratna mutu kehancuran” 🎵
“Arca mercu kesesatan menghitung ajal” 🎶
***
Gombak – Dua remaja lelaki ditemui mati tergantung di dalam sebuah rumah lama yang tidak bernombor. Kedua mangsa itu dipercayai mati membunuh diri sejak tiga hari lepas berdasarkan penemuan mayat yang sudah mula membusuk.
Berikutan lokasi kejadian yang terpencil dan barangan pelik yang dijumpai, pihak polis tidak menolak kemungkinan awal kejadian pembunuhan diri itu mempunyai kaitan yang amat rapat dengan ritual pemujaan dan upacara penyembahan.
Lukisan serta tulisan daripada darah yang hampir memenuhi lantai serta keseluruhan dinding, menguatkan lagi teori dan hipotesis akan motif mangsa menggantung diri.
Kedua mangsa yang ditemui tergantung dalam keadaan bogel itu juga dipercayai pernah mengamalkan ajaran Islam berdasarkan keadaan alat kemaluan mereka yang sudah berkhitan.
Yang anehnya; biarpun tubuh mereka mulai mereput dan membusuk, fizikal kepala mereka seolah segar tidak terusik. Matanya terbeliak, lidahnya terjelir. Dan masih lagi ada darah yang mengalir.
Kedua raut wajah mayat itu bagaikan sedang terkejut. Seolah tidak menyangka nyawa mereka akan ditarik dengan begitu kasar sekali. Mungkin sangka mereka Azazil yang akan datang menjemput.
Rupanya Izrail yang singgah meragut.
Izrail… wajahnya bengis dan menakutkan. Lebih menakutkan daripada penampakan jin dan syaitan. Bahkan penampilannya adalah yang paling ganas, kejam dan dasyat daripada kesemua mahluk halus yang pernah diwujudkan.
Hingga ada mahluk yang tak menyangka. Yang datang mencabut nyawa itu adalah malaikat. Yang dicipta daripada cahaya tanpa ada silaunya.
Mahluk ciptaan Tuhan yang paling taat.
Tidak pernah awal walau sesaat.
Atau tangguh cuba melewat.
Itulah Izrail, Sang Peragut Nyawa. Cukup masa, datanglah dia. Biarpun di pekat malam hari, ataupun nun di atas tanah tinggi. Semua pasti akan merasai. Tiada siapa akan berkecuali. Kerna mati itu sesesungguhnya pasti.
Dan adakah Izrail akan berlemah lembut dengan mahluk yang menentang Tuhan nya?
Kepada waris yang kehilangan saudara, bolehlah menghubungi balai polis berdekatan untuk laporan dan tindakan susulan. Tuntutan hanya boleh dilakukan setelah prosedur bedah siasat selesai dijalankan.
***
Suasana di Camble masih lagi meriah dan bingit biarpun jam hampir menunjukkan angka sepuluh. Perlancaran baru album Sil Khannaz yang bertajuk “Tawanan Dosa” benar-benar menarik perhatian pelbagai golongan. Boleh tahan juga muzik dan melodi yang dialunkan biarpun aku tidak bersetuju dengan liriknya.
Langsung tiada puji-pujian kepada Azazil!
Sebab itu aku cukup marah jika ada yang mengaku black tetapi hanya sekadar melayani Sil Khannaz. Itu semua kepalsuan yang nyata dan menyimpang dari fahaman yang sebenar.
Pun begitu, aku tetap perlu bersabar. Bersabar dalam kerja-kerja penyampaian. Bersabar dalam menyebarkan ajaran. Kerna sabar itu sebahagian dari kepercayaan.
“Salam Bang, ada pemetik api?”
Aku mendongak melihat tiga anak muda menyapaku. Tersengih kesemuanya dengan rokok terselit di jari masing-masing. Perlahan ku keluarkan Zippo sambil cuba berdiri.
Pemetik api bertukar tangan. Berkepul-kepul asap rokok dihembus ke atas. Masing-masing terhangguk-hanguk kepala melayan melodi muzik yang kuat kedengaran.
“Abang layan Sil Khannaz juga ke?”
Aku tersenyum mengganguk. Berbunga hatiku melihat tiga orang sekali datang menghampiri. Budak remaja pula tu. Harap-harap ketiganya menyentuh jerat yang sudah terpasang rapi.
“Dah lama Abang layan Sil Khannaz?”
“Baru lagi… kebetulan Abang dengar hari ini ada perlancaran album baru.”
Ketiga-tiganya senyum mendengar jawapanku. Kesemuanya semakin rapat menghampiriku. Masing-masing berpakaian serba hitam. Siap celak bagai. Dasar budak sekolah!
“Abang tahu tak maksud Sil Khannaz?”
“Tahu… Syaitan yang bertempiaran lari apabila nama Tuhan dipuji.”
Tergelak besar ketiganya mendengarku memberi jawapan. Sengaja ku berikan jawapan sedemikian agar biar mereka menjamah umpan.
“Bukan itu maksudnya, Bang. Kata nama Sil Khannaz itu dipetik dari Surah An-Nas, iaitu dari ayat ke 4 yang membawa maksud…”
Belum sempat mereka menghabiskan jawapan, pantas ku selak leher baju seraya mengeluarkan kalung leherku. Berkilau-kilau buah kalungku berpusing-pusing membalikkan kilau cahaya.
Terdiam mereka seketika memerhatikan buah kalungku.
Kurang tiga saat, giliran aku pula terdiam.
Senyumku mula bertukar pahit melihat ketiga-tiga mereka juga mengeluarkan buah kalung masing-masing di sebalik leher baju. Biarpun berlainan saiz, bentuk fizikal buah kalung mereka tetap sama seperti kepunyaan ku.
Salib terbalik!
Beredar aku segera dari situ membawa diri. Turun naik nafasku menahan marah dan geram. Patutlah prospek aku semakin berkurang! Padanlah umpanku semakin jarang dijamah!
Ku sangkakan ada gerakan balas daripada pihak gereja. Ataupun wujudnya program kesedaran daripada ahli masjid.
Banjingan! Sejak bila pula pihak organisasi mengrekrut budak sekolah sebagai mubaligh?!
Rupanya taktik dan teknik aku sudah diketahui pihak organisasi. Menjerat anak muda yang meningkat dewasa sememangnya lebih mudah daripada memesongkan si tua.
Anak muda yang tiada pegangan. Anak muda yang mencari hiburan. Anak muda yang mendambakan kebebasan.
Golongan yang mahu suara mereka didengar. Yang mahu idea mereka dilontar. Bukannya pendapat mereka disanggah. Ataupun buah akalnya dipatah.
Aku harus mencari cara lain. Aku harus mencari lubuk lain. Berpindah daripada lubuk yang telah lama ku kecapi. Kerna segala rahsiaku sudah diketahui organisasi.
“Kan ku himpunkan dongeng purbakala🎼
Hidangan santapan paduka baginda” 🎶
“Kan ku sembahkan korban penglipulara🎼
Hikayat berdarah paduka baginda” 🎶
Ni cerita betul ke?
xtau nak react mcm mana bila baca cite ni
Ade sambungan ke acam ne??
Sebab tajuk lain cerita lain🤔
dulu bkn ada ke kisah seorg brader ni join BM kat FS… Penulisan ttg g jumpa azazil..
Ye …Name brader tu Ahmad Akhlaqen. sy pon tertunggu2 sambungan cerita dia..
Ade tajuk cite dia tak ? Rasa nk baca plak
betol..ptt penah dengar nama azazil tue.
Btl..sy pun dok tgu sambungan die…ms tu die bgtau dh taubat….mn la die ilang…hurmmm
ha’a sy pun penah baca tp mcm x jumpa sambungan.
skeri bc cter dia. berkaitan akidah sgt.
ahmad akhlaqen tu tibatiba je dia menyepi. terfikir jugak, ada apaapa jadi ke sebab dia expose pasal tu kepada public. hmm
HARAMJADAH FREEMASON
teringat karya #ahmad akhlaqen. Masih menanti sambungannya. Btw, good story writer!
Arap cerita ni x memesongkan akidah
best
Wow best..
black metal…
Cerita yang menarik.Penceritaan yang berbeza daripada biasa.9/10
Baca sahaja,bukan percaya.
Saya masih tak faham apa kaitan tajuk cerita tu dengan ceritanya.Sesiapa tolong terangkan.
Amat puitis skali lirik lagu depa dgn bahasa melayu kelasik..hanya sekadar cabang genre muzik dan bukan culture shock mcm penulis ni..(klimaks part)kalung salib terbalik??haha aku lebih gerun klau ditunjuk senjata lama bersaiz kurang tapak tgn…puak2 ni kononnya antichrist last2 mangsa di tarik masok gereja jugak..mujur tak jumpa org mcm penulis kt aku zaman tu..klau tak,memang berdouble paddler lah kepala dia
Tu lagu kumpulan silk khannas… Dan yg bahasa puitis tu lirik lagu kumpulan itu….. Silk khannas bukan black metal tetapi band irama death metal….
Cerita apa ni. X fhm aq. Sepa azazil? Sesapa yg tau tlg bgtau yee.
Azazil ketua iblis. Azazil bahasa arab. Lucifer bahasa Nasrani.
Nasrani tu adalah agama bukannya bahasa. Lucifer berasal dari bahasa Latin a.k.a Romawi yang bermaksud ‘bintang kejora’ atau ‘bintang pagi’. Bintang ni muncul dikala subuh mula labuh. Lucifer berakar dari perkataan ‘luz’ yg bermaksud ‘cahaya’. Lucifer bukanlah bermaksud iblis tetapi ‘syaitan, mengikut pemahaman Kristian dan Yahudi’. Dimengertikan syaitan sebagai bintang kejora adalah kerana sebagai metafora bahawa bintang ini bersinar pada subuh hari sementara kebanyakan bintang mula pudar pada waktu itu diibaratkan sebagai ‘ianya cuba meninggalkan langit dan bintang2 yg lain’ dan ini dilihat sebagai kias ‘syaiton disingkir keluar dari kerajaan tuhan’ oleh pendeta2 Ibrani. Lucifer ini adalah namanya syaitan sebelum disingkir keluar dari syurga mengikut tradisi Kristian dan Yahudi. Lucifer datang dari terjemahan bahasa Yunani ‘heosphoros’ (Ἑωσφόρος) yg memiliki makna yg sama. Perkataan Yunani ini pula datangnya melalui terjemahan Septuagint (penterjemah Kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru ke dalam bahasa Yunani) daripada bahasa Ibrani atau bahasa pasarnya Bahasa Yahudi iaitu ‘Helel ben Shahar’ ataupun dlm bahasa Melayu sebagai ‘yang bersinar, anak lelaki pagi’ atau senang nak faham ‘bersinar bin pagi’ dan orang2 bukan Ibrani mula mengibaratkan terma atau nama ini sebagai ‘bintang kejora’ yakni Lucifer. Selepas disingkirkan dari syurga, lucifer digelar sebagai ‘Satan’ dan perkataan ini berasal dari bahasa Ibrani iaitu ‘satan’ ataupun ‘haSatan’ yang bermaksud ‘musuh’. Bagaimanapun, masyarakat Inggeris turut menggelar syaitan sebagai ‘devil’ yang berasal dari bahasa Latin ‘diabolus’ yang turut diambil dari perkataan Yunani melalui terjemahan Septuagint ‘diabolos’ yg membawa makna ‘pemfitnah’ sebab sifatnya setan kan memang gemar fitnah orang ni. Devil juga dipanggil sebagai ‘demon’. Syaitan pula terpecah kepada beberapa jenis mengikut ajaran Kristian dan Yahudi antaranya adalah beelzebub (tuan lalat), yg femes melalui the conjuring 2 iaitu Valak (pengerusi neraka) dan banyak lagi. Azazil pula adalah iblis atau ketua para syaitan ni. Istilah azazil berasal daripada bahasa Ibrani iaitu ‘azazel’ (עֲזָאזֵל), sama seperti bahasa Arabyg menjadi istilah iblis dalam Islam. Penggunaan perkataan ini bermula apabila masyarakat Yahudi atau Ibrani mengorbankan seekor kambing untuk tuhan pada hari Yom Kippur (senang nak paham kira perayaan ni mcm hari raya korban versi Yahudi, Yom tu maksudnya ‘hari’ yg equivalent dgn bahasa Arab ‘Yaum’ manakala ‘Kippur’ bermaksud ‘penebusan’ jadi kalau dimengertikan ianya adalah ‘Hari Penebusan Dosa’ sebelum tibanya Rosh haShanah iaitu tahun baru orang Yahudi, ‘Rosh’ bermaksud ‘kepala’ equivalent dgn bahasa Arab ‘ras’, imbuhan ‘ha’ yg sama fungsi dgn ‘al-‘ dlm bahasa Arab dan ‘Shanah’ bermaksud ‘tahun’ yg equivalent dgn bahasa Arab ‘Sanah’ yg juga sama maksud) dan seekor lagi untuk ‘azazel’. Kambing ‘azazel’ ini tak disembelih melainkan dilepas ke kawasan tandus dari kawasan gunung dan dibiar mati sebagai kias ‘membawa dosa pergi ke tempat yg sepatutnya yakni ke azazel ataupun pergi bersama kambing yg bakal mati di tanah gersang dan tandus’ sebagai ritual ‘penyucian dosa’ pada ketika itu. Bahkan nama ‘azazel’ itu berasal dari perkataan azaz (kelasakan, ketandusan, gersang) dan el (tuhan, equivalent dengan perkataan arab ‘il’ yg sama maksud) kerana kambing ini dilepaskan dikawasan gunung yg gersang atau berbatu di Israel pada masa itu bahkan gunung tersebut masih lagi wujud sekarang ni di Israel dan digelar sebagai Gunung Azazel. Penganut Judaism ataupun bahasa pasarnya Yahudi khususnya para malin serta pendeta besar atau boleh kata ulama ajaran Yahudi lama akan menjalankan upacara membisikkan pengakuan dosa2 bani Israel ke atas kepala kambing tersebut sebelum melepaskannya dan dibiar mati di tanah gersang selepas dibuang dari kawasan pergunungan. Penggunaan kambing dalam upacara ini telah mencipta terma ‘scapegoat’ dalam bahasa Inggeris dan ‘kambing hitam’ dalam bahasa Melayu (cth ayat: Azlan dikambinghitamkan oleh golongan atasan bagi menyembunyikan kebobrokan mereka). Dan dari sinilah juga syaitan mula diibaratkan sebagai ‘kambing’ seperti baphomet bahkan dalam Islam sekalipun, syaitan diibaratkan sebagai seekor kambing. Banyak istilah2 Ibrani ataupun Yahudi turut wujud dalam bahasa Arab kerana persamaan dari segi bahasa di mana kedua2 bahasa tersebut adalah sama keluarga bahasa iaitu Afro-Asiatic dan bukan itu sahaja bahkan keduanya adalah satu rumpun iaitu rumpun Semitic. Kira macam bahasa Melayu dengan bahasa Sunda yg serumpun disebut sebagai rumpun Malayo-Sumbawa dan sekerabat dalam keluarga Austronesia. Sorry kalo pjg, seronok pulak sembang2 pasal ni. Diharap bermanfaat dan dpt menambah pengetahuan bersama. Hihihi
Panjang betul kau punya penerangan. Terbaik
no wonder ler cerita Lucifer tu name die guna nama Lucifer Morningstar, nickname Luc @ Lucy…haha
Wat an awesome explanation… Well done…
Dahsyat penerangan Tuan,penuh Ilmiah dan berisi ilmu Linguistik memdalam,sangat bermanfaat ….pernah mentelaah berhubung Isu morningStar ini..yang mana menjadi Nama2 Brand Besar konglemerat Yahudi ataupun mana Bangsa Barat yang terkait dengan Iluminnati atau 300 ….
Apa pun Alam Melayu penuh dengan Ejen2 Yahudi,Missionaries dan Fremansonry yang penuh Kerahsian …
Logde2 mereka berusia Tua bertebaran dibumi Melayu,Sumatera,PulaunKawa,Filipina,Thailand termasuk Myanmar …..
Di Malaysia Pasti mereka baca (Puak2 yang tidak senang dan Suka dengan Islam aka Musuh Umat Islam sejagat) merencana Sesuatu Sejak zaman Belum merdeka …
Seperti mana Kisah Dammerung itu ….atau mana2 buku2 kajian Eskatologi dari sudut Ilmu Islam melalui Al Quran dan Al Hadith ….
Tu lagu kumpulan silk khannas… Dan yg bahasa puitis tu lirik lagu kumpulan itu….. Silk khannas bukan black metal tetapi band irama death metal….
best cite ni
Sambil baca sambil istighfar aku ni..ade sambungan ke?
Aku suka gaya penceritaan ni.. Bro..mana lagi karya hang..?aku nak hadam.
Ini bukan rekaan. Ini kisah benar. Harap ada lagi sambungan.
Kisah sebenar??
Seriously kisah benar?
Selalu jugak jumpa org macam ni. waktu sembang pasal music, perlekehkan knowledge org. Puiii,