Sekilas

Pernah dengar tentang kilasan? Imbasan? Atau bahasa ringkasnya sesuatu yang kita pandang dan lihat atau perasan dalam masa yang singkat. Mungkin kita terlalu letih. Atau mungkin hanya mainan perasaan. Orang tua-tua dulu cakap, yang kita pandang dengan ekor mata itu selalunya betul.

Sahih?

Tidak ada sesiapa pun yang tahu, tidak akan tahu dan tidak mungkin tahu jika tidak mengalaminya sendiri.

Satu lagi, pernah terfikir bila kau berjalan pada waktu malam, kau perasan macam ada yang mengekori tapi sebenarnya tidak.

Perasaan atau kebetulan?

Jawapan yang masih sama. Kau tidak akan tahu dan tidak mungkin tahu jika tidak mengalaminya. Aku jenis yang tidak suka memberatkan fikiran dengan perkara ghaib yang belum tentu lagi sahihnya.

Sehinggalah pada suatu hari…

Aku pulang dari melawat jenazah rakan. Sama tempat kerja. Kami bolehlah dikatakan teman baik. Dia perempuan dan sangat manja. Kalau dengar dia bercakap, memang cair dibuatnya. Lawa? Sudah tentu!

Fara… mana-mana lelaki yang pernah bersahabat dengannya pasti tahu betapa riang dan peramahnya dia. Dia pilih aku sebagai teman baik sebab?

Sebabnya dia menyimpan perasaan pada aku. Betul, orang cakap lelaki dan perempuan tidak boleh bersahabat, tentu akan ada perasaan suka.

Tapi!

Perasaan itu, hanya dia yang rasa. Bukan aku! Tidak! Aku tidak rasa perkara yang sama. Bagi aku, Fara cukup aku anggap sebagai teman yang rapat pernah aku jumpa. Meskipun aku menolak, penerimaan dia baik. Dia tidak bermasam muka mahupun berbeza cara. Kami tetap berkawan macam biasa.

Satu perkara aku perasan tentang Fara, dia hafal makanan kegemaran aku, masa rehat aku, kesukaan aku dan bermacam-macam lagi tentang aku.

Hairan?

Sudah tentu! Mana tidaknya hampir setiap masa dia akan mencari aku. Aku sudah jelaskan tentang tanggapan aku terhadapnya. Hanya kawan! Dia dan aku, kami kawan! Tidak lebih tidak kurang. Dalam penegasan itu, dia terima. Tapi aku sedikit pun tidak pernah tahu yang dia sebenarnya tertekan!

***************

Aku merenung Fara yang sudah terbujur kaku di atas tilam di hadapan rumah kampungnya. Ibunya sangat aku kenali. Dia menangis malah beberapa kali menuduh aku adalah punca kematian anaknya. Aku diam. Rasanya aku tidak perlu melatah. Memang tidak perlu. Wanita itu tidak mengenali aku, tidak juga tahu situasi aku. Dia boleh menuduh tapi sebagai sahabat, walau apa pun yang Fara buat, aku tetap menghormati hari terakhirnya di dunia.

Pengebumian dilakukan pada malam itu juga. Jenazah sampai petang tadi. Mayat tidak elok disimpan lama.

Oleh sebab jasad Fara tidak sempurna waktu kematiannya, maka proses menanam hendaklah dilakukan segera. Bukan tujuan aku untuk mengaibkan, tapi kematian Fara tidak berkepala. Aku anggap ianya hukuman atas perlakuannya sendiri.

Sampai sekarang, polis tidak menjumpai cebisan tubuhnya yang lain.

β€œNak balik dah ke, Lan?” tanya Adib, ayah saudara Fara. Dalam situasi ini, lelaki itu lebih rasional.

Aku cuma angguk. Masih senyum. Tadi semasa pengebumian, jenazah Fara tidak boleh dimasukkan ke liang lahad. Tak tahu kenapa, tapi biarlah itu urusannya dan Allah. Oleh sebab memakan masa yang lama, aku terpaksa juga pulang dahulu.

β€œKau akan m**i macam mana Fara m**i!” pekik seorang wanita dari jauh. Dia masih ditenangkan oleh orang ramai.

Ya! Itu ibunya Fara.

β€œDah lewat ni, Lan… tak nak tidur sini dulu?” tanya Adib lagi.

Aku menoleh ke arah ibu Fara.

β€œMaksud pakcik, bermalam di hotel dulu. Banyak je hotel di sini. Nanti esok baru balik. Dah lewat betul ni. Kamu nak ke KL tu, jauh…”

Aku bukan apa… dengan pelbagai tuduhan dan fitnah yang dilemparkan oleh keluarga Fara, aku tidak mahu lagi dikaitkan dengan mereka. Bukan merajuk! Tapi tidak mahu bersengketa.

Puas Pak Cik Adib memujuk agar aku menunggu. Katanya, aku baru lepas melihat mayat, eloklah kalau tinggal sehari dulu. Jangan pulang terus.

Aku memang tak percaya pada benda-benda ghaib, tapi aku tak menafikan kewujudannya. Nampak macam bercanggah, kan? Tapi, hakikatnya itulah… aku tak pernah lagi terserempak dengan benda pelik-pelik

Untuk sementara inilah…

********************

Aku memandu dari rumah Fara ke KL pada malam itu juga. Macam biasa, aku pastikan kereta aku dalam keadaan baik. Minyak, tayar, semua aku periksa. Aku tak fikir yang bukan-bukan lagi dah. Bagi aku, apabila seseorang itu m**i, maka rohnya juga diangkat pergi.

Radio bacaan Yaasin aku kuatkan. Tadi aku cakap aku tak percaya pada kewujudan perkara ghaib, kan? Memang betul! Cuma… aku rasa tak sedap hati. Dua perkara berbeza tu! Takut dan perasaan tidak sedap hati adalah dua perkara berbeza. Itulah isyarat yang aku hantar pada minda setiap kali aku melalui kawasan-kawasan yang membuatkan bulu roma aku meremang.

Antara Kuantan dan KL tidaklah jauh mana pun, cuma laluan ke Muadzam itu sahaja yang sunyi. Rumah Fara memang perlu melalui jalan itu. Tadi, semasa Pakcik Adib menyuruh aku tunggu, aku yakin sangat untuk pergi. Sekarang bila dah pergi, aku pula jadi tak pasti.

Tapi macam aku cakap. Seram dan tidak sedap hati adalah dua perkara berbeza. Ah! Abaikan…

Bacaan Yassin tadi berlagu lembut, sekurang-kurangnya, sejuk sikit hati.

Kereta dari hadapan memasang lampu tinggi. Marah betul aku! Bukan satu, tapi dua tiga kereta yang lalu, memasang lampu yang sama. Sudahlah tinggi, dikelip-kelipkan lagi!

β€œAku tak akan pernah pergi jauh!”

β€œAllahuakbar!” Aku brek mengejut. Tak berhenti di tepi pun. Memang aku brek kecemasan. Kalau ada kereta di belakang, tentu sahaja berdentum.

Aku menoleh ke belakang. Kosong! Tempat duduk penumpang – kosong. Aku pasti suara sergahan tadi suara wanita. Suaranya seperti suara…

Aku pandang ke hadapan semula. Meraup wajah. Mimpi? Aku mengantuk ke? Stereng kereta aku pegang kejap. Mungkin kebetulan…

Tapi jelas suara itu seperti suara…

β€œAh! Tak mungkin! Orang dah m**i takkan hidup lagi.” Itulah yang aku betah dari awal aku memandu. Bukan aku tak pernah dengar cerita tentang orang yang diganggu roh yang tidak tenteram. Cuma aku tak pernah mengalaminya. Macam aku cakap, aku tak pernah hadapi situasi itu.

Aku teringat tentang Fara tiba-tiba. Sepatutnya tak ada salahnya aku menerima cintanya. Tapi… itulah, soal hati bukan boleh dipaksa.

β€œAku takkan pernah pergi jauh.”

Fara merajuk. Kami baru balik kerja petang itu. Dari semalam dia meminta aku menerimanya. Sudahlah banyak perkara yang aku tak siapkan, sekarang Fara mengajak aku bermain dengan emosi pula.

β€œSaya suka dan sayangkan awak sebagai kawan, Fara, tak lebih tak kurang.”

β€œTak boleh ke terima saya?” Fara masih merayu. Dia mengharapkan jawapan yang sudah tentu mustahil.

β€œMacam ni lah, minta pada Allah agar dia lembutkan hati saya untuk terima awak.” Itu sahaja yang aku dapat cakap sebabnya, aku tak ada pilihan. Sering diasak soalan yang sama, aku bosan.

Perempuan… selagi dia tidak dapat sebab dan musabab kenapa aku menolak, sampai ke sudahlah dia tak akan berganjak.

Srettttttt!!

Bunyi tayar kereta menyeret jalan tar menghentikan lamunan aku. Aku masih di dalam kereta, di jalan yang sama. Baru aku perasan, aku tidak berhenti di tepi.

Sebuah kereta hilang kawalan, lalu terbabas di hadapan aku. Kereta mereka terbalik dan melanggar tiang eletrik.

Untuk seketika, suasana sepi. Sudahlah jalan itu gelap, hanya sinaran bulan dan lampu kereta yang menerangi. Sejak aku melepasi tiga kereta tadi, aku tak nampak ada kereta lain lagi yang lalu melainkan kereta yang terbabas itu tadi

β€œIna… bangun… Ina!” Sayup-sayup aku terdengar suara lelaki itu dari jauh. Aku tinggalkan kereta dan berlalu mendapatkan mereka berdua.

Lelaki tadi memeluk wanita yang tercampak ke tengah jalan sambil menangis. Aku kira tentu sahaja isterinya sebab usia mereka nampak sudah berumur.

β€œCall ambulance.. call ambulance.. tolong saya, encik,” ujar lelaki tu, teresak-esak.

Aku nampak perempuan itu tercungap-cungap. Dan aku nampak lelaki itu mengajar wanita tadi mengucap. Aku jadi blur. Lelaki tu pun sama. Kami terkejut sampai tak tahu nak buat apa.

Suasana masih gelap dan sunyi. Cuma cahaya bulan sahaja yang menerangi. Akhirnya, lelaki iu meletakkan isterinya sebelum mendapatkan aku.

β€œPinjam kereta. Aku patah balik pergi bandar. Kau tunggu sini… tunggu!” jerit lelaki tadi, terus pergi ke kereta aku.

Aku cuma tercegat. Aku ternganga. Entah kenapa aku membiarkan dan entah kenapa aku tak menghalang. Macam orang yang dipukau. Aku turutkan. Aku mengangguk siap berpesan pulang cepat.

Lelaki tadi berlalu pergi. Aku kira akan ke hospital. Sebenarnya, dia boleh menelefon sahaja. Dan sebenarnya, aku yang sepatutnya pergi. Bukan dia. Ya… itu pun baru aku terfikir setelah kereta aku hilang dari pandangan. Semasa kejadian berlaku, semua itu tidak singgah di kepala. Yang ada cuma buntu.

Aku nampak wanita tadi tercungap. Aku mendongak, memandang bulan yang mengambang penuh. Cahayanya kelam, tapi cukuplah untuk membiaskan agar tempat aku itu terang.

β€œKak.” Perlahan aku mendekati. Nafas wanita itu pendek dan dadanya berombak perlahan. β€œKak, mengucap…” Aku riba kepalanya, tidak fikir lagi halal dan haramnya. Sekarang darurat!

Awuuuuuuuuuuuuuu…..

Bunyi salakan anjing kedengaran diikuti oleh sahutan beberapa lagi anjing yang lain. Aku mendongak memandang ke langit yang tiada berbintang. Hanya bulan yang mengambang. Aku melihat wajah wanita itu yang semakin nazak. Matanya membulat memandang aku. Mana tidaknya, tinggal aku seorang di situ. Dan wanita itu. Ya, wanita yang aku riba kepalanya tadi…

β€œKak… kak…” Aku terkejut melihat dia tidak lagi bernafas. Dadanya berhenti berombak. β€œAllah… kak!”

Aku cuba mengejutkannya beberapa kali. Aku baringkan dia dan aku tekapkan telinga aku pada dadanya. Jelas tiada degupan jantung.

Dua jari aku letakkan di leher untuk merasai nadi. Kemudian, aku alihkan ke pergelangan tangan. Masih tidak ada sebarang denyutan pada nadi wanita itu.

Seriuskah?

β€œInnalillah…”

Aku menutup kedua matanya. Aku duduk bersila di sisinya, menunggu kereta lain datang sebelum aku boleh berlalu. Jenazahnya aku baringkan elok, qiam di tepi jalan. Aku ambil kain batik yang bersepah di jalan raya, aku tutup tubuhnya.

Sekarang yang aku fikirkan ialah keadaan suaminya yang sedang meminta bantuan dengan penuh harapan. Tentu sahaja dia berharap semuanya berkeadaan baik. Aku tidak dapat bayangkan jika aku di tempatnya.

Awuuuuuuuuuu……

Bunyi salakan anjing itu kedengaran sangat jauh. Sayup dan mendayu, kata orang, jika jauh, maknanya dia dekat. Jika bunyi itu dekat, maknanya haiwan itu jauh.

Aku tajamkan mata melihat di sebalik semak di tepi jalan. Hampir lima belas minit aku duduk di sisi jenazah tadi, memang belum ada kereta yang lalu-lalang. Sesekali aku buka kain yang menutup wajah wanita itu, cuma untuk memastikan wanita itu elok keadaannya.

Aku beralih sedikit untuk melihat kawasan itu selamat dari haiwan liar. Batang dahan yang patah di kawasan sekitar, aku pegang sebagai senjata.

β€œShuhhh! Shuhhh!”

Aku tak tahu ada ke tidak haiwan itu, cuma aku halau sahaja. Aku akan jaga jenazah ini sehingga suaminya pulang. Dalam hati, aku berzikir dan tidak lepas dengan al-Fatihah.

Sekali lagi aku mendongak melihat bulan yang mengambang. Kata orang tua-tua dulu…

Ah! Aku tidak mahu berfikir. Aku berpatah balik menuju ke arah jenazah wanita tadi.

Tapi!

Aku lihat jenazah itu duduk. Dia duduk menegak. Duduk melunjur kaki, kain batik itu sudah tersingkap jatuh. Kepalanya menunduk. Aku berhenti melangkah. Aku gosok mata. Gosok beberapa kali. Kayu masih aku pegang erat.

β€œKak…” panggil aku perlahan. Aku lihat kain batik yang menutupinya tadi ditolak ke tepi. Rambut wanita itu mengurai menutup sebahagian wajah. Ya! Dia masih menunduk.

β€œKak… errr…” Aku tergamam.

Ya! Tiga kali aku rasa nadi wanita itu tadi. Dia memang tidak bernafas! Jadi apa yang aku perlu buat sekarang? Di situ cuma ada aku dan dia. Aku dan wanita itu. Kereta aku tiada! Kawasan gelap! Sunyi! Yang ada pun cahaya bulan yang samar.

Bila aku tengok wanita itu mula mendongak, aku menapak jauh ke belakang. Masih lagi aku memegang kayu dengan erat. Dalam hati aku berzikir. Zikir yang bercampur-campur. Ya! Aku tak percaya pada perkara ghaib, tapi hari ini…

β€œAku takkan pernah pergi jauh…” Tiba-tiba wanita itu bersuara. Kepalanya terteleng ke kanan. Rambutnya menutupi wajah.

β€œFara!!” Entah macam mana aku boleh menjerit nama itu. Rasa lutut aku macam d******g. Nak bergerak pun tak boleh. Jujur! Aku menggigil.

β€œNak ke mana, Azlan…” Ada sedikit senyuman dalam tona suaranya.

β€œFara???”

β€œCepatnya kau pulang, tak nak tunggu aku di sini…” Dan kali ini suara itu diikuti dengan hilai tawa, yang mula-mula perlahan kemudian membingit.

Perlahan-lahan jenazah itu bangun. Ya! Jenazah! Aku panggil jenazah sebab aku pasti yang empunya badan sudah pergi.

β€œAllahuakbar! Allahuakbar!” Beberapa kali aku menjerit.

Wanita itu melangkah perlahan. Mendekati. Kepala dan badannya bengkang-bengkok menapak ke arah aku. Jalannya tidak betul. Dia menderam seperti haiwan!

Aku?

Aku tak tahu nak lari mana! Kereta aku tak ada. Aku cuma bersendiri dengan jenazah tadi.

β€œIni tak betul. Tak mungkin. Tidak ada roh yang wujud dalam dunia melainkan syaitan.” Ya itulah yang aku ucapkan berkali-kali. Aku membaca ayat kursi sebanyak yang boleh. Biarpun mulut aku terkunci, aku baca dalam hati.

Mendekat… wanita itu semakin mendekati…

Hampir… dan kali ini dia betul-betul hampir dengan wajah aku.

Dia cuma berdiri. Memandang aku. Berdiri tidak bergerak. Aku tahu sebab aku dapat rasa.

β€œBismillah… bismillah… bismillahhh..” Aku membaca sambil menutup mata. Ya! Aku belum gila untuk bertentang mata dengan β€˜dia’.

β€œKau ikhlas menyeru nama Tuhan-mu?” Sekali lagi suara halus itu kedengaran.

Aku tidak peduli. Aku terus membaca kalimah suci. Hampir lima minit aku berkeadaan begitu, sebelum perlahan-lahan aku membuka sebelah mata. Kemudian kedua belah mata. Kemudian aku menoleh sekeliling. Tidak ada apa-apa.

Fara tiada dan jenazah tadi masih di tempat tadi.

Aku mimpi?? Beberapa kali aku menampar diri sendiri supaya sedar. Ya! Aku di dunia nyata. Memang ada kemalangan yang berlaku. Memang ada jenazah yang aku siap letak di tepi, cuma.. bayangan Fara tadi? Mimpi?

Aku menggeleng kepala, berjalan menghampiri wanita yang sudah terbujur kaku. Barang dan dompet yang berselerak itu aku ambik. Kad pengenalan aku keluarkan. Alamatnya aku baca. Beberapa keping gambar di dalam dompet aku keluarkan.

Aku menoleh ke arah sekujur tubuh itu. Aku keluarkan gambar lain yang ada di dalam dompet itu. Potret kekuarga. Kemudian aku mengucap panjang. Aku menggeleng tidak sudah.

Tidak lama kemudian sebuah ambulan sampai. Kereta aku diparkir tidak jauh dari situ. Lelaki tadi keluar dan berlari ke arah isterinya yang sudah siap aku tutup dengan kain dari awal lagi.

Saat sudah ramai orang di situ, aku tidak diperlukan lagi. Aku hanya melihat lelaki itu menangis memeluk tubuh isterinya. Beberapa orang doktor turut turun membantu. Aku bagaikan halimunan. Tidak ada siapa yang nampak.

Aku berhajat untuk mendekati lelaki itu dan mengucapkan takziah. Namun, keadannya sendiri sedang bersedih. Aku tak menunggu ucapan terima kasih kerana aku sedia maklum keadaan yang berlaku. Cuma aku terkilan sebaik mengetahui siapa wanita itu

*****************

Aku meneruskan perjalanan. Dan sepanjang perjalanan itu aku mendengar Fara merintih. Aku dengar dia menangis. Dan beberapa kali aku dengar dia mengulangi ayat yang sama. Beberapa kali juga aku nampak Fara berdiri di tepi jalan. Dia melambai. Aku nampak dia sedih.

Aku tidak mengambil peduli. Mungkin aku terpilih untuk mengetahui bagaimana pengakhiran mereka yang m**i m******h diri.

Ya! Jenazah Fara dijumpai tidak cukup sifatnya. Dia jatuh dari bangunan tinggi, jatuh di atas besi yang ketika itu digunakan untuk menyiapkan pembahagi jalan. Kepalanya putus manakala anggota badan lainnya juga berkecai.

Aku tidak mahu mengingat kembali keadaan itu. Keadaan sewaktu kali pertama aku menjejakkan kaki ke tempat kejadian.

Aku tidak pernah menyangka Fara akan m******h diri hanya kerana cintanya pada manusia! Cinta yang sia-sia! Yang tak pernah ada penghujungnya! Sudah aku tegaskan agar dia meminta pada Allah untuk mengubah hati aku supaya mencintainya! Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

β€œKau bodoh!” Terluah juga perkataan itu ketika aku beremosi. Takut aku membayangkan apakah yang bakal Fara tempuhi di alam sana? Dia kawan aku. Dan sebagai manusia, aku sayang padanya. Membayangkan yang matinya sia-sia… aku rasa terkilan kerana dia seorang sahabat yang baik.

Semoga rohnya dicucuri rahmat.

******************

Aku sampai di rumah pada jam 6.30 pagi. Apa yang aku lalui sepanjang hari ini, aku anggap hanya ilusi. Mungkin aku penat. Bagi aku, setiap manusia yang m**i, rohnya tiada lagi. Itu urusan antara dia dan tuhan.

Sebaik aku masuk ke bilik, aku terperanjat melihat sesusuk tubuh berpakaian putih di tepi bilik air. Aku perasan tubuh itu mendongak, memandang ke arah aku. Tangannya menjulur ke arah aku. Cepat-cepat aku buka lampu.

Jubah!

Ya, itu hanya bayangan jubah putih yang sentiasa aku pakai untuk ke masjid. Memang aku gantung di situ.

β€œAllahu…” Aku meraup wajah.

Aku masuk ke bilik air. Membasuh muka. Sebaik aku mendongak memandang cermin, Fara berdiri di belakang sedang tersenyum.

Cepat aku berpaling ke belakang. Bersandar di singki, bernafas kencang tapi tiada sesiapa di situ! Terkebil-kebil biji mata aku cuba melihat dengan jelas.

Memang sah aku terlalu penat!

Untuk seketika, aku terbayang kenangan bersama Fara. Seorang sahabat yang ceria dan pandai mengambil hati. Ya! Aku terkilan dengan cara pemergiannya.

Apa pun yang berlaku tadi, aku anggap ianya satu kebetulan, hanya imaginasi. Sikap manusia yang suka memberati cerita-cerita berunsur hantu dan ditakut-takutkan dengan pelbagai lagi persepsi tentang alam roh, sedangkan kita tidak mengetahui sedikit pun tentang ilmu-Nya.

Telefon bimbit berbunyi, aku segera menjawab. Dari nama di skrin, panggilan itu daripada Pak Cik Adib, ayah saudara Fara.

β€œYa, pakcik…”

β€œLan… dah sampai rumah ke?”

β€œDah pak cik…” Aku duduk di birai katil. Masih meraup wajah yang kebasahan.

β€œPakcik nak beritahu, kakak Fara meninggal dunia pagi tadi, kemalangan di Jalan Muadzam sewaktu nak balik tengok arwah.”

Aku terdiam, tak tahu untuk bicara apa. Dari semalam, sebaik melihat gambar di dalam dompet wanita itu, aku tahu dia kakak Fara. Cuma… aku tidak berpatah balik kerana tidak ada apa lagi di sana yang menunggu.

Aku mengangguk dan mengucapkan takziah dengan bersungguh kerana aku tahu, tentu sakit rasanya menghadapi dua kematian sekali gus!

Sebaik talian dimatikan, aku termenung. Jam di dinding beranjak ke pukul 7 pagi. Biasanya pada waktu ini, Fara akan menghubungiku. Tak pun akan mengajak aku bersarapan. Berceloteh dan merajuk jika aku menolak. Untuk seketika aku tersenyum.

Ianya tinggal kenangan…

#fiksyen


– tamat –

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]

78 thoughts on “Sekilas”

  1. Aku yakin ni bukan nasa.. giler sebijik typo pun aku x jumpa..

    9/10 beb..(minus 1 point untuk typo yg x wujud)

    Reply
  2. Fiksyen yang bagus, walaupun pendek tetapi cukup seram dan padat. Bagi saya penulis bijak bercerita agar plot tidak mendatar dan mudah diramal. Segala persoalan terungkai secara berperingkat dan sesuai / tepat pada waktunya mengikut suasana dan halatuju plot. Menunggu kisah lain dari penulis. Terima kasih!

    Reply
  3. den pun nak komen gak..humangaiii..nih cito boto2 ko cobaan… klo boto.. napo abg ipa fara tak saman ko pasal monyusahkan orang bonti tongah2 jalan.. aiiii goram lak den

    Reply
  4. Nice story :)…. buatlah cite seram lain lagi…terutamanya pasal encik gula2..mmg suka cite pasal gula2 tapi penakut huhuhuhu

    Reply
  5. Best a cite ni. Bile bce, tk mmbosankn langsung. Kirenye cite dy ni lengkap a dgn sgla mklumat psl cite ni. Best giler!! 10000/10 πŸ‘πŸ‘πŸ‘

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.