Senyuman Cindai

Senyuman Cindai

Ini dah masuk kali ketiga aku terlihat Cindai tersenyum padaku. Setiap kali Cindai tersenyum, setiap kali itu juga aku gosok-gosok mata. Cuba untuk memastikan yang aku tidak salah nampak. Aku ambil Cindai dari pusat perlindungan haiwan beberapa hari lepas. Ini kali pertama seumur hidupku membela seekor kucing. Aku pilih Cindai kerana aku suka warnanya. Nak kata coklat tidak, nak kata oren pun tidak juga. Tapi, entah kenapa, sejak semalam aku rasa tak sedap hati. Aku agak pasti bahawa bukanlah sesuatu yang normal bagi seekor kucing untuk tersenyum seperti manusia.

Malam itu, Cindai tidur di atas katil bersamaku. Dalam lena, aku terdengar seakan-akan suara halus seseorang sedang berkata-kata dari hujung kakiku. Sayup-sayup aku terdengar;

“Ambil darahku sebagai janji.”

Aku ingatkan aku bermimpi. Bila aku celikkan mata, aku terlihat Cindai sedang terduduk tegak memandang tingkap bilikku. Seakan-akan memerhatikan sesuatu.

“Cindai?” Panggilku.

Tiba-tiba suara itu hilang. Digantikan dengan bunyi manja seekor kucing normal. Menggeser-geserkan kepalanya pada tanganku. Aku berbaring semula melelapkan mata. Menganggap bahawa apa yang aku dengari tadi hanyalah sekadar khayalanku.

Pagi berikutnya, aku bangun bersiap untuk ke tempat kerja. Sedang aku terkial-kial menyarungkan kasut, tiba-tiba Cindai datang kepadaku membawa bangkai seekor tikus. Aku berasa jijik lalu aku halau Cindai menjauhiku. Dia meriding berlari lalu menyorok di belakang pasu bunga rumahku. Aku biarkan saja dan berlalu ke tempat kerja.

Petang tu, aku sampai ke rumah agak lewat. Hari sudah hampir gelap. Lampu di luar rumah pula tidak dibuka. Di hujung sudut pagar rumahku, aku terlihat kelibat Cindai sedang duduk memerhatikan aku. Seakan-akan menanti kepulanganku. Mungkin dia lapar. Aku pun menuangkan makanan untuknya. Tetapi Cindai langsung tidak menjamah makanan yang aku berikan itu. Matanya seakan-akan sedang merenung sesuatu yang berada di belakangku. Aku menoleh ke belakang untuk melihat apa yang diperhatikan oleh Cindai. Tiada apa-apa. Mungkin normal bagi seekor kucing. Aku pun berjalan masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan kucing itu.

Malam itu, aku google fakta-fakta tentang kucing. Aku mengerutkan dahi apabila membaca artikel itu. Aku dapati, ciri-ciri yang terdapat pada artikel yang aku baca, langsung tidak terdapat pada Cindai. Cindai kelihatan lebih bijak. Lebih seperti seorang kanak-kanak berbanding seekor kucing. Mungkin Cindai kucing unik, aku cuba untuk sedapkan hati.

Tengah malam itu, aku terjaga. Aku terdengar suara bercakap-cakap dari tingkat bawah rumahku. Seakan-akan suara seorang kanak-kanak sedang berbual-bual. Mataku melilau mencari Cindai. Tak ada! Sedangkan aku tutup pintu bilikku sebelum tidur tadi. Mustahil Cindai pandai buka pintu sendiri. Perlahan-lahan aku menuruni anak tangga. Ruang tamu itu kelihatan suram dengan hanya disinari cahaya lampu jalan di luar.

Alangkah terkejutnya aku bila terlihat Cindai seperti sedang bercakap-cakap dengan sesuatu yang berada di atas siling. Sesusuk lembaga hitam dengan kaki dan tangan yang cukup banyak, melekat pada siling dapurku. Matanya merah memandang Cindai. Anak matanya besar, berbelah di tengah seperti mata seekor kucing. Aku tergamam. Cindai berpaling memandangku. Aku melangkah ke belakang, memegang dinding.

Cindai menerkam ke arahku menerbitkan satu suara yang mengerikan. Semuanya menjadi gelap gelita.

Suatu bau yang cukup enak membuatkan aku terjaga dari tidur. Entah bila aku tertidur di ruang tamu itu, aku pun tak tahu. Bila aku celikkan mata, aku terlihat ruang tamu itu seakan-akan jauh lebih besar dari sebelumnya. Mungkin imaginasiku sahaja. Aku pun melangkah keluar dari grill hadapan rumahku itu tanpa membukanya. Bau itu seakan-akan datang dari belakang pasu rumahku. Aku pun menjenguk mencari punca bau itu. Rupa-rupanya bau yang cukup enak itu datang dari bangkai seekor tikus. Aku tergamam.

Di belakangku, aku terdengar suara seseorang yang cukup aku kenali. Aku terlihat diriku sendiri berdiri tinggi di belakangku. Menuangkan makanan ke dalam bekas makanan kucing. Aku pun bergegas makan dari dalam bekas itu. Aku berpaling melihat diriku tersenyum merenung aku makan. Seakan-akan berpuas hati. Seakan-akan segala hajatnya tercapai. Seakan-akan mengukir senyuman yang sama aku lihat pada wajah Cindai semalam.

-Tamat-

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]

23 thoughts on “Senyuman Cindai”

  1. err perenggan last tu tak faham..dia jadi kucing tu ker?dia tukar badan dengan kucing tu ke?dia jadi roh ke?hahah

    Reply
  2. cubaan untuk mindfuck kan pembaca
    hmmm

    tapi cerita agak lemah..

    mungkin belum sampai tahap karya seperti Tujuh Pintu

    Just My 2 cents

    Reply
  3. Ingat saya je yg tak faham ending dia.
    rupanya orang lain pun tak faham.
    Cuba juga ulang banyak kali baca last part ingatkan ada tertinggal baca mana mana part . Tapi still tak faham juga

    Reply
  4. Die dh tertukar body ngan kucing tu…
    Sbb tu senyuman pada ‘diri aku’ yg manusia tu same mcm senyuman Cindai yg die penah nampak beberapa hari sebelum tu…
    Itu sefahaman akklah…
    Kot salah harap ade sesape leh betolkan…

    Reply
  5. sedih nengok komen kat atas ni (selain kak yulie) benda simple mcm ini pun bole x paham ke ?hahaha
    aku skali baca je pun da faham..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.