#SiCelupar: Sotong

Hari dah pagi. Aku selak langsir bilik, nampak matahari naik cantik. Cuaca nampak lebih indah dari semalam. Semalam hujan satu hari suntuk. Jam kat atas meja baru tunjuk pukul 9. Aku nak kena bersiap cepat. Ada hal tengahari ni.

Aku turun nak sarapan, aku belek-belek surat yang berlambak kat dalam bekas surat tepi tv. Aku cari yang bersampul warna ungu muda. Bila dah jumpa, aku buka dan aku baca isi dalam. Kad kahwin dari Amirul Adib. Member satu platun dengan aku masa aku join kesatria kembara dekat U dulu.

Budak ni, baru je aku jumpa ari tu. Bincang pasal nak jadikan aku pengapit dia. Aku tolak sebab aku tahu aku busy dengan kerja. Tapi, dia kata kalau aku dapat datang hari akad nikah pun dah okay dah. Dah jemput pakai mulut pun hari tu. Pun beriya nak hantar kad lagi.

“Kahwin jugak kau akhirnya, Dib”. Tergelak kecik sekejap. Sebab aku tahu kisah silam dia.

……..

Nama aku Amirul Adib. Aku dilahirkan dalam keluarga yang cukup kucar-kacir. Mak dan bapak aku bercerai. Aku tak ada adik beradik lain. Umur aku 3 tahun, ayah aku kantoi kahwin lain senyap-senyap. Bila mak aku dapat tahu, mak aku mintak cerai dari bapak aku. Mak masa tu tak kerja, jadi dia bawak aku balik kampung, tinggal dengan nenek.

Perempuan bila bercerai, walaupun salah lelaki, tetap perempuan tu juga yang kena kecam kena keji. Dekat kampung, mak-mak saudara aku semuanya suka mengata mak aku. Sedih giler mak aku, Balik kampung nak dapat sokongan moral dari adik beradik, tapi adik beradik lah yang paling hina sekali. Bawak mulut jaja cerita yang bukan-bukan pasal mak.

Umur aku baru tiga tahun masa tu, tak faham apa-apa. Nenek yang ceritakan bila aku dah besar. Baru sebulan duduk kat kampung, mak aku dah tak tahan. Pergi kedai beli barang dapur, kena mengata, pergi rumah jiran hantar baju (tolong nenek ambik upah menjahit), pun kena mengata. Orang kampung mengata mak aku nak mengorat laki-laki orang kat kampung tu.

Tak tahan punya pasal, mak aku tinggalkan kampung. Dia bawa diri pergi ke KL. Sebabnya, selalu gaduh dengan mak-mak saudara aku kat kampung tu lah. Tinggallah aku dekat rumah nenek. Bukan sebab taknak bawak, tapi sebab nenek tak bagi. Nenek cakap dia sanggup jaga aku, besarkan aku, sekolahkan aku. Atok dah takde. Tak jauh dari rumah nenek adalah rumah makcik-makcik aku tu. Mak aku pergi KL kerja, tiap hujung bulan dia akan hantar duit kat nenek aku. Mak aku kerja apa? Biarlah rahsia. Kah kah kah.

Aku ni ramai akak sepupu perempuan. Bila petang je, aku mesti main dengan diorang. Main masak-masak, main kahwin-kahwin, batu seremban, nenek-nenek si bongkok tiga, zero point, lubang tikus. Hampir semua permainan perempuan. Makcik-makcik aku pulak bila ada baju kakak-kakak sepupu aku yang dah tak padan, dia bagi ke aku. Dengan aku, makcik-makcik aku ok je. Tak benci pun. Dengan mak aku je diorang tak suka. Nenek aku jenis berjimat, sayang duit nak belikan aku baju baru, so, hadap je la pakai baju kakak-kakak sepupu aku.

Aku tak tahulah kalau tu punca aku mula jadi lembut. Aku mula minat warna ungu muda. Bila sesekali mak balik kampung, aku mintak mak beli basikal warna ungu muda nak bawak pergi sekolah. Dah tak payah naik van buruk Pakngah Harun. Nak basikal perempuan yang ada raga kat depan ada loceng tu.
Perwatakan lembut aku ni, akhirnya menjadi hiburan kat sekolah.

“Woi, sotong! Tolong buang sampah aku ni!”. “Woi, pondan! Pinjam pemadam kau kejap. Tak bagi, aku tumbuk muka kau.”, “Dah la lembik, suara macam katak..hahahahahah”.

Antara cemuhan-cemuhan yang aku selalu dengar. Setiap hari. Setiap hari! Lelaki ke, perempuan ke, sama je.

Cikgu pun sama mulut puaka jugak. “Awak ni Amirul, suara dah la macam katak lembik. Cuba baca kuat sikit!”, kena marah dengan cikgu bila baca lemah gemalai.

Belum lagi waktu pendidikan jasmani. Pernah sekali tu cikgu lepaskan pelajar lelaki main bola sepak dekat padang. Pelajar perempuan main bola beracun dekat dewan. Budak-budak laki semua buli aku. Diorang suruh aku jadi penjaga gol. Masing-masing sepak bola sengaja ditujukan ke badan aku. Terjerit-jerit, terkepit-kepit nak mengelak bola tu. Sampai lebam-lebam badan aku. Aku tak faham, apa salah aku dengan diorang. Aku tak kacau diorang pun. Disebabkan kejadian ni, aku benci bola sepak.

“Sebab kau tu pondan! Lelaki tapi buat lembut lembik macam sotong! Mak aku cakap budak macam kau ni nanti masuk neraka!”, aku ingat lagi ayat ketua kelas aku, Zafran. Aku masa tu, nak lawan aku takut, nangis je la aku mampu buat.

Bila ada kelas mengaji Al-Quran malam-malam dekat sekolah, adalah yang akan bertanya, “eh, datang pakai baju melayu ke? Kenapa tak pakai baju kurung?”, “Nenek aku ada baju kurung lebih, kalau nak aku boleh bagi. Kahkahkah”, berdekah-dekah budak-budak kelas aku ketawakan aku.

Ni kisah sekolah rendah. Adoi, budak sekolah rendah pun pandai dah jadi setan! Mulut puaka lahanat!
Naik sekolah menengah makin mencabar dugaan untuk aku. Perangai sama je. Sebab budak-budak sekolah rendah yang sama naik sekolah menengah. Biasalah sekolah kampung kan. Alik-alik muka tu juga.

Sekolah menengah mencabar sebab dah masuk fasa seksual harassment.

Aku ingat lagi, masa sekolah menengah ada lelaki yang siap tuduh aku intai diorang kencing la. Ada yang raba-raba aku. Lepas tu cakap, “la..ada bonjol! Ingatkan takde! Hahahahah. Bagi abang cium pipi Amira sikit boleh?”.

Bila aku bagitahu cikgu, diorang kena lah denda. Tapi diorang tak pernah insaf. Akan berlaku semula.
Nama aku Amirul, diorang panggil aku Amira. Satu sekolah panggil aku Amira. Dari sekecik-kecik tingkatan satu, sampailah sebesar-besar tingkatan lima. Cikgu pun dua kali lima juga. Nak-nak cikgu laki. Attitude yang teruk sekolah tu masa tu membuatkan ada sampai satu fasa aku benci lelaki walaupun aku lelaki.

Percayalah, perempuan pun dua kali lima je perangainya tapi still ada yang baik dengan aku. Mona dengan Balqis. Dia orang ni lah selalu pujuk aku, bagi kata-kata semangat dekat aku masa aku tengah down.

Dan berlakulah satu kejadian yang cukup memalukan aku. Masa tu cuti pertengahan tahun, semua pelajar tingkatan lima kena pergi kem motivasi dekat sebuah kem PLKN. Kenalah tido kat hostel kem tu. Satu dorm tu, untuk satu kelas. Mostly satu dorm dengan aku adalah budak laki kelas aku.

Sebelum aku pergi, aku ada cakap dekat nenek aku. Aku takut nak pergi kem tu. Takut budak-budak sekolah buat jahat. Nenek aku usap kepala aku sambil cakap, “Takpe Dib, nenek ada.” Aku tak faham maksud nenek aku tu, sampailah berlakunya kejadian malam di kem tu.

Masa aku tengah tidur, ketua fasilitator yang uruskan kem aktiviti dekat situ, kejutkan semua pelajar lelaki. Kononnya nak buat spot check. Dengar cerita ada yang bawak rokok la, majalah lucah la.
Malam tu, semua berkumpul dekat dataran. Beg kitorang semua di bawa ke dataran tu juga. Entah macam mana, bila beg aku dibuka, fasi jumpa majalah lelaki-lelaki seksi. Aku pelik la kenapa ada majalah tu dalam beg aku. Tak cukup dengan itu, seluar dalam Zahid pun ada dalam tu. Zahid ni duduk asrama. So, semua barang dia, dia akan tulis nama. Ada nama kat seluar dalam tu.

Aku cakap la dekat fasi tu, ini bukan barang-barang saya. Saya tak tahu kenapa ada dalam ni.
Fasi marah aku. Malam tu aku kena denda, tak boleh tidur dalam dorm. Kena tidur dekat tengah-tengah dataran, tanpa sebarang alas mahupun selimut. Bukan aku sorang je, tapi adalah dalam 5 ke 6 orang lagi. Diorang semua atas kesalahan bawak rokok.

Esoknya bila aku nak mandi sebelum ke surau untuk solat subuh berjemaah, Zahid dengan geng dia datang.

“Kau apahal curi seluar dalam aku?”, dia marah sambil tolak aku ke belakang.

Aku terjatuh. Aku cakap, bukan aku yang ambik. Ada orang nak khianat aku.

“Kau ingat aku nak percaya ke kata-kata kau ni Sotong? Dasar sotong! Mak duduk KL keje melacur, anak jadi jahanan, jadi gay! Sotong sial!”, lepas tu semua kawan-kawan dia gelak terkekeh-kekeh.

Pertama kali dalam hidup aku, aku rasa sangat marah masa tu. Selama ni diorang ejek-ejek fizikal aku je. Kali ni diorang dah melampau. Dah babitkan mak aku yang tak bersalah, yang berhempas pulas siang malam kerja kat KL tu nak cari duit untuk aku.

Aku dah tak tahan nak pendam marah aku. Aku jerit kuat-kuat, aarrgghhhh!! Sebab terlampau marah. Tapi, bukan keluar suara aku, tapi suara perempuan macam mengilai high pitch punya.

“Dia sendiri yang letak..”, ada satu suara macam berbisik dekat telinga aku.

Entah macam mana termakan dengan kata-kata tu. Aku rasa marah. Aku berlari, aku tolak Zahid kuat-kuat. Entah tenaga dari mana datang. Zahid terpelanting ke belakang.

Lepas tu mulalah aku dengar suara jeritan jantan-jantan bajet jantan sangat tu dalam bilik mandi tu berlari keluar. “Aku ada..” aku dengar macam satu bisikan halus dekat telinga. Kemudian aku rasa macam badan aku kena peluk dari belakang. Besar badan benda tu. Berbulu. Sejuk.

Aku tak ingat apa yang berlaku lepas tu. Pandangan aku jadi kabur. Macam orang rabun yang sangat kuat. Sampaikan aku jalan terhuyung-hayang. Tak tahu lah kenapa aku takut sangat menjadi hampir buta macam tu. Ada orang pegang aku, aku tepis. Kaki aku ada orang pegang pun aku meronta mintak dilepaskan. Telinga aku pulak berdesing bingit. Ada kalanya dengar la juga suara orang panggil-panggil nama aku. Tapi, ada masa jugak suara bisik menerpa ke telinga.

“Aku ada..aku ada..”, suara berbisik tu macam sangat dekat dengan telinga. Dan setaip kali suara bisik tu datang, badan aku mesti sejuk. Rasa terketar macam duduk dalam bilik aircond no 16, tak ada selimut. Mata aku kabur tak jelas-jelas ke sudah. Aku bukak mata luas-luas pun masih jugak kabur.

Bila mata dah kabur memang sepenuhnya aku harapkan telinga. Tapi, bunyi yang masuk semuanya bunyi yang tak menyenangkan. Bunyi perempuan mengilai, ada bunyi orang mengaji, bunyi orang jerit-jerit, bunyi radio lagu Noraniza Idris Dikir Hati Kama. Paling aku ingat, “cepat tangkap! Karang patah kaki budak tu dia kerjakan karang! Pegang dia kuat-kuat!”. Kemudian aku rasa muka aku kena renjis dengan air. Aku rasa air tu panas sangat. Rasa macam orang simbah asid dekat muka. Entah la, aku tak pernah kena simbah asid pun. Mungkin macam tu la kot rasa dia.

Lepas kejadian tu dan aku berjaya dipulihkan, Cikgu Suraya terus hantar aku balik ke rumah. Cikgu Suraya baik. Dia tak pernah marah aku. Masa dalam kereta, dia siap tanya aku lagi kalau nak makan apa-apa. Aku geleng je. Aku penat. Badan rasa lemah. Aku nak baring je. Kat luar masa tu hujan tengah lebat. Sejuk dia bukan main lagi.

Aku pandang ke luar tingkap, aku pandang cermin sisi. Dari situ, aku boleh nampak tempat duduk belakang aku. terperanjat gila bila aku nampak lembaga hitam tengah duduk kat belakang tu. Tak nampak muka. Tapi nampak bentuk macam orang je tapi semuanya hitam.

Bila aku sampai ke rumah, aku nampak nenek dah tunggu depan tangga. Dia senyum je tengok aku balik. Dia tanya, macam mana kem? Seronok? Aku senyum malas. Aku basuh kaki guna air tempayan tepi tangga, salam dia lepas tu terus angkut beg masuk ke bilik. Tiba-tiba aku dengar nenek bercakap, entah dengan siapa. Cikgu Suraya dah lama balik. Aku ajak dia naik, dia taknak. Entah kenapa dia macam takut semacam je. Aku intai nenek, tak nampak pun sesiapa kat depan dia. Tapi, nenek bercakap macam ada orang depan dia. Lebih pelik, dia bercakap dalam bahasa yang aku tak faham langsung. Nak kata jawa tak, thai pun tak.

Lepas kejadian dekat kem tu, aku ingatkan budak-budak kelas aku ni insaf la. Pergi mampos diorang punya keinsafan tu! Kalau hati dah hitam, memang susah nak putih balik. Diorang masih lagi buli aku kat sekolah. Lebih-lebih lagi bila diorang anggap akulah penyebab Zahid kena jahit dekat kepala.

“Nenek pasang pendamping dekat kau. Sebab tu kau selamat.” Suatu malam, masa tengah makan malam, nenek tiba-tiba bagitahu hal ni. Meremang terus aku masa tu. Aku pandang nenek dengan muka takut.

“Jangan takut. Dia tak kacau kau. Dia tolong kau lagi adalah.” Nenek tak pandang aku pun, dia suap je nasi ke mulut dia. Nenek makan banyak. Macam makan untuk dua orang.

“Sampai bila kau nak tahan orang buli kau. Dari kecik kau tahan. Kau pendam. Nenek nak tolong marahkan diorang, kau tak bagi. Takut diorang buli lagi banyak. Dah tiba masa kau sedarkan diorang, Dib.” Nenek pujuk aku. Ada betulnya apa yang nenek cakap tu. Aku senyum kecil.

“Suka?”, nenek tanya tiba-tiba. Nenek sengeh je pandang aku. Entah kenapa setelah hampir 14 tahun aku tinggal dengan dia, inilah pertama kali aku rasa seram dengan perempuan tua yang ada depan aku ni.

Aku dilema. Nak kata tak, mestilah aku suka bila orang buat jahat dekat aku diorang dapat balasan cash. Nak kata suka pula, gila ke apa? Benda tu hantu kot.

“Entah lah nek. Janji dia tak kacau Dib, Dib ok je.” Gitu je jawapan aku. Tapi, aku tak sedar jawapan macam tu lah telah membuatkan ikatan antara aku dengan benda tu, dah termetrai.

Dan bermulalah episod baru dalam hidup aku. Sotong yang korang hina selama ni, dah bertukar jadi Sotong Kurita Gergasi.

Masa tengah perhimpunan, sorang budak laki kelas aku, Malik, letak seekor belalang atas belakang aku. Mana dia dapat belalang tu entah. Aku tak sedar langsung sampailah belalang tu hinggap atas kepala aku. Apa lagi, menari-nari la aku tengah perhimpunan tu kibas-kibs kepala nak halau belalang tu. Budak-budak batch aku gelak je tengok aku terjerit-jerit macam perempuan.

Cikgu Zaidi yang tengah bercakap dekat astaka siap sound aku lagi, “Ha, Amira. Nak menari meh ke astaka ni.” Celaka punya cikgu. Malukan aku depan perhimpunan. Dia memang anti betul dengan aku.
Aku tahu aku ada “penjaga”. Aku takkan duduk diam kali ni. Masa dalam kelas, Malik seluk dalam beg dia nak ambik buku. Tiba-tiba dia menjerit aduh, sakit! Ada benda gigit! Cikgu Nirmala, cikgu Bahasa Melayu yang ada kat depan masa tu terus panik. Kawan sebelah Malik, Ehsan terus goncang beg tu, keluarkan semua isi. Terus menjerit satu kelas tu bila ada lebih kurang sepuluh ekor lipan bara keluar dari beg tu. Merayap-rayap ke pelusuk ruang kelas. Masing-masing menjerit, berdiri atas meja. Aku senyum puas. Padan muka!

Masa tengah rehat, Cikgu Zaidi nampak aku tengah makan nasi lemak. Tiba-tiba dia datang dekat aku, marah aku pasal pagi tadi. Dia cakap aku ganggu dia berucap. Bengang punya pasal, ambik kau! Lepas dia makan, terus termuntah keluar siput babi!

Macam-macam aku balas balik dekat orang yang khianat aku. Aku hantar pocong kat rumah diorang. Aku mintak “penjaga” aku calit lumpur kat kereta cikgu mulut puaka. Aku musnahkan kebun bapak diorang. Hadang pintu bilik air diorang kat sekolah, terkurung sampai petang. Sampai nak pengsan pun ada. Banyak lagi. Kalau aku senarai, panjang pulak cerita ni.

Makin lama, ada yang dah mula syak. Diorang cakap aku main sihir. Si Aimi kata aku main ilmu hitam. Dia jaja satu batch cerita aku menuntut ilmu hitam dari hantu atok aku. Mulut celaka betina ni. Hitam tak hitam, kau dah mengata aku, kau memang nak kena! Kau minat warna Hitam sangat kan? Nah! Rasakan binatang hitam dalam beg kau ni! Berkepak. Bersesungut. Berkaki enam. Busuk dan ada beribu-ribu.

Jangankan budak sekolah. Makcik aku yang suka gaduh dengan mak aku setiap kali mak aku balik kampung, pun tak terkecuali. Sedap mulut dia jaja cerita mak aku jadi GRO kat KL. Menjerit-jerit makcik aku malam tu kat dalam rumah. Penat la tu main kejar-kejar main cak-cak dengan cik gula-gula.

Aku rasa seronok dapat balas dendam. Tapi tu la, semakin hari aku rasa aku makin benci nak berdiri atas tikar sembahyang. Bila dengar azan dekat tv, laju je aku alihkan ke siaran lain. Hari jumaat, aku dah malas ke masjid. Balik sekolah, terbungkang atas katil. Selera aku bertambah tapi badan aku tak gemuk-gemuk pun. Makin kurus adalah. Kurus macam sakit. Bangun pagi, badan rasa lemah. Kadang kala ada kesan lebam-lebam biru kat bahagian kaki.

Aku tahu tu adalah kesan daripada aku bela “benda” tu. Tapi, perasaan nak buang benda tu tak ada. Sebab sampailah aku jejakkan kaki ke dewan SPM, budak batch aku tak henti-henti nak sakitkan hati aku. Diorang tak pernah puas.

Aku lega bila aku dapat sambung belajar. Aku dapat masuk matrik. Kehidupan aku dekat matrik macam bertukar 100%. Tak ada langsung pelajar dekat sana ejek-ejek aku pondan ke, sotong ke apa. Tak ada langsung yang buli-buli aku. Diorang layan aku macam biasa je. Aku selesa belajar dekat situ. Semua orang professional. Membuatkan aku rasa kagum, berbezanya lah perangai budak-budak kampung aku dengan orang luar yang ada dekat matrik ni.

Disebabkan tu, aku mula rasa aku tak perlukan lagi pendamping dari nenek ni. Aku nak nenek ambik balik, atau buangkan terus. Nenek sayangkan cucu. Dia ambik semula “penjaga” tu. Aku bukan lagi tuan dia. Tapi, nenek tak sempat nak carikan waris untuk jaga “benda” tu, nenek meninggal.

Aku ada dekat matrik lagi masa tu. Bergegas nak balik kampung bila dapat tahu nenek dah nazak. Kakak sepupu aku cerita, masa nenek di ambang sakaratulmaut, keadaan sangat tegang. Benda tu meracau-racau. Rumah bergegar-gegar. Ustaz, tok imam, malah tok imam kampung sebelah pun datang tolong nak selesaikan.

Aku tanya kakak sepupu aku tu, ke mana perginya “benda” tu. Dia kata dia tak tau, mungkin tok imam dah berjaya buang jauh-jauh. Aku tanya mak, mak pun cakap benda tu Imam Yahya dah berjaya buangkan.

Buang atau tak, isunya sekarang benda tu datang cari aku sampai ke matrik. Tahu pulak dia cari jalan nak ke matrik aku ni. Mulanya aku tak tahu pun dia datang cari aku. Sampailah satu hari, aku tengah belajar dalam kuliah. Dengar la Puan Haryati mengajar kat depan. Tak berhenti-henti bercakap. Aku ni bosan dah. Puan Haryati nampak aku dah tersenggguk-sengguk, dia terus jerkah aku. Amirul Adib!

Terus hilang aku punya mengantuk tu. Aku tersengih je pandang dia. “Saya tak suruh awak senyum ke saya. Saya nak awak bacakan slide nombor 5 tu.”

Terhegeh-hegeh la aku baca slide tu. Tapi baru sepatah dua aku sebut, “Kuat la sikit! Suara macam pondan!”

Setelah sekian lama aku tak dengar perkataan tu, akhirnya hari ni muncul semula. Terdengar la jugak suara beberapa orang dalam kelas tergelak-gelak kecil. Aku apa lagi, mendidih terus hati ni.

“Paap!” lampu dewan kuliah tu terpadam.

“Aaaaaa!!” suara Puan Haryati menjerit dekat depan. Tak lama lepas tu, lampu hidup semula. Semua terkejut tengok Puan Haryati terduduk kat lantai.

“Rindu aku tak..?” satu suara berbisik dekat telinga aku, terus meremang bula roma aku masa tu. Angin sejuk tiba-tiba je terasa dekat belakang.

“Saya rasa macam nak demam la. Kita tangguhkan dulu kuliah hari ni.” Puan Haryati terus tamatkan kelas hari tu. Semua isi dewan macam terpinga-pinga, tertanya-tanya apa yang berlaku. Aku je yang tahu.

Aku tak tangguh lama. Lepas kuliah tu, aku terus jumpa dengan seorang ustaz ni, ustaz matrik tu jugak. Aku cerita dekat dia apa yang berlaku. Aku mintak dia buangkan. Dia tak pandai nak buangkan, sebab dia cuma ustaz akademik. Tapi, dia kenal seorang yang boleh buangkan. Aku ikutlah dia balik ke kampung dia malam tu. Alhamdulillah berjaya. Dalam masa yang sama, aku belajar dengan ustaz tu banyak perkara. Pulihkan balik akidah aku yang dah jauh terpesong sewaktu ada pendamping dulu. Aku belajar mengaji. Aku belajar ilmu-ilmu agama yang dah lama aku abaikan sejak aku jadikan “dia” sebagai kawan.

Tapi, ustaz tu ada cakap. Badan aku ni macam dah bertanda, ada aura yang jin dan iblis suka. Mungkin lepas ni, akan ada banyak lagi gangguan dari jin dan iblis ni. Aku kena kuatkan ayat-ayat pendinding yang dia dah ajarkan. Lama aku tinggalkan pendamping tu, aku rasa kehidupan aku lebih bahagia lebih sihat. Solat tak rasa panas, tak cepat marah, bangun pagi rasa cergas. Dah tak ada lebam-lebam bila bangun pagi.

Tapi kebahagiaan aku tu tak kekal lama, bermulalah episod-episod aku pula kena kacau. Macam yang ustaz tu cakap la. Aku ni dah bertanda. Sebelum ni aku tak kena kacau mungkin disebabkan aku ada “penjaga”. Bila aku dah mula bebas ni, memang seronok la “yang lain-lain” tu nak datang dekat.
Aku ada kelas malam masa tu. Kelas aku dekat tingkat 3 je. Boleh je aku nak naik tangga. Tapi, aku naik jugak lif. Sebab tak ada orang masa tu. Masa aku kat tingkat 2, tiba-tiba aku terbau wangi. Kuat gila. Nak kata minyak attar bukan, perfume pun bukan. Wangi dia semacam. Rasa macam nak terus hidu, hidu dan hidu. Aku dah mula rasa tak sedap hati.

Masa aku ada pendamping dulu, aku tak rasa takut pun dengan jin ni semua. Tapi, lepas aku buang, rasa takut, berdebar, cemas tu datang senang je. Mungkin sebab masa aku bela dia dulu, hati aku jadi kering. Kering dari ketakutan, kering dari ketakwaan. Atau mungkin sebab aku tahu, aku ada penjaga. Kali dah tak ada benda jaga, kena jaga diri sendiri. Entah.

Selangkah aku keluar dari lif tu, sayup-sayup je aku dengar suara perempuan “Assalamualaikum..” lunak sangat. Ala-ala siti Nurhaliza bagi salam dekat aku tapi halus, perlahan dan berbisik. Aku apa lagi. Terus berlari pergi ke kelas aku. Tak toleh belakang langsung dah. Nasib baik dekat kelas ramai orang dah sampai masa tu. Bila sampai dekat kelas, aku toleh jugaklah ke arah luar, kot-kot “Akak” tu ikut. Nasib baik takde.

Ada satu hari tu pulak, member bilik aku, Jimmy, sakit perut tengah malam. Tandas dekat luar. Apa lagi, dia kejut aku mintak temankan. Kelakar betul, umur dah 18, penakut nak pergi bilik air. Tengah dia sedap melawan kesepian dalam toilet tu, tiba-tiba aku dengar bunyi orang tengah memberus baju. “Krek Krek Krek!”

Aku toleh ke luar tingkap. Siapa pernah masuk matrik tahulah struktur tandas dia macam mana. Luar tingkap tandas tu ada tempat basuh baju dan singki. Aku toleh, tak ada orang. Bunyi kuat, macam dekat tandas ni je. Aku buat tak tahu, aku ketuk pintu tandas Jimmy tadi. Dia cakap sekejap la, tak habis lagi!

“Krek! Krek! Krek! Krek! Krek!” bunyi tu muncul lagi. Aku toleh lagi. Tersentap terus aku bila nampak ada 3 orang tengah basuh baju dekat situ. Tak pakai baju. Pakai boxer je. Tapi semua menunduk. Aku acah-acah la tegur, “pagi-pagi buta basuh baju?”.

MasyaAllah! Tiga-tiga makhluk tu pandang aku serentak. Semua takde muka!

Lutut aku dah ketar dah. Aku ketuk pintu bilik air member aku tu, aku suruh dia keluar cepat. Kalau tak, aku balik dulu. Tapi, dia senyap je. Tak menyahut pun. Bunyi air pun takde.

“Krek! Krek! Krek! Krek! Krek!” kali ni bunyi berus sabut tu makin kuat.

Mana tak kuat, rupanya benda tu tengah gosok lantai, kat kaki aku ni ha! Aku apa lagi. Terus menjerit. Keluar suara betina aku. Lantak la kau Jimmy. Aku blah dulu!

Sampai dekat bilik. Aku terus hempas pintu kuat. Kunci. Sampai terjaga si Daniel dengan Riz DAN JIMMY! Diorang tanya la aku kenapa. Aku terlampau terkejut bila tengok Jimmy ada dekat situ sampai tak terkeluar kata-kata aku.

Ingatkan habis situ je la. Aku still tak boleh tidur. Tengah duk cuba lelapkan mata, tiba-tiba

“Krek Krek Krek!” bunyi tu datang lagi. Kali ni dia gosok pintu bilik pulak.

Tiba-tiba, Daniel bukak lampu bilik. Aku pandang dia bukak pintu tu. Lepas tu dia cakap, “kau kalau anak jantan kau datang sini fight one by one. Kalau tak, kau boleh blah! Kau ingat aku takut?!”.

Terus hilang bunyi tu lepas tu.

Biasanya duduk dengan nenek, nenek yang basuhkan baju aku walaupun pakai mesin basuh. Bila dah duduk asrama, terpaksa buat sendiri. Nak basuh pakai tangan, memang tak la. Mesin basuh jugak la. Tapi kat matrik aku ni, mesin basuh ada dekat bilik khas sendiri. Dekat situ ada jugak la kawasan untuk ampai baju.

Aku masukkan baju aku dalam mesin, baju yang aku dah kumpulkan hampir seminggu. Masukkan sabun. Lepas tu masukkan syiling. Tengah gigih masukkan satu persatu duit syiling tu, tiba-tiba aku disapa,

“Banyak baju? Kumpul seminggu ke tu?”.

Selamba je aku jawab, “Ha’ah. Takde masa nak basuh. Malam-malam minggu macam ni je la ada masa nak basuh.”

Elok aku habis masukkan semua syiling, aku toleh belakang.

Bulu roma aku terus meremang. Mulut aku terkunci. Kaki aku kejun tak bergerak. Ada pocong tengah berdiri tegak pandang aku, lima meter je jaraknya dari aku. Muka dia aku tak nampak. Hitam legam.
Aku jerit sekuat hati, high pitch punya. Lepas tu terus berlari tinggalkan mesin basuh tu.

Esoknya, kecoh satu kuliah aku bercerita pasal ada perempuan jumpa pocong. Jerit high pitch gila sampai blok-blok lain pun boleh dengar. Aku tergelak dalam hati, kalau la diorang tau tu bukan perempuan sebenarnya.

Pejam celik pejam celik. Habis dah zaman matrik, aku melangkah masuk U. Masa dekat U, aku join Kesatria Kembara. Dekat sinilah aku kenal dengan Ridwan. (SiCelupar). Dia satu Platun dengan aku. Aku ni jenis susah nak percaya orang. Sebab tu aku tak ramai kawan. Tapi, dengan Ridwan, aku senang nak get along. Sebab apa?

Sebab dia boleh nampak, apa yang aku nampak. Dia boleh rasa akan adanya sesuatu tak kena, sama macam apa yang aku dapat rasakan jugak. Tapi, tu lah masalah dia ni. Mulut dia ni celupar sikit. Bukan sikit sebenarnya, banyak! Banyak pengalaman seram aku alami dengan dia. Kebanyakannya berpunca dari mulut puaka dia tu la. Tak perlu lah aku ceritakan kat sini. Esok lusa adalah tu SiCelupar kongsi.

Ah, tak kisah lah celupar ke tak. Yang penting, jasa dia memperkenalkan aku dengan Amira Auni, akan aku ingat sampai bila-bila. Amira Auni hadir dalam hidup aku dan dia berjaya membawa aku ke satu lagi fasa dalam hidup. Alhamdulillah, ada juga wanita pinjaman dari Allah yang boleh terima diri aku yang serba kekurangan ni.

Selama ni aku tempuh semua gangguan tu seorang diri, kini ada seorang wanita cekal yang akan turut sama bersusah payah di sisi.

……..

Aku nampak muka Amirul Adib pucat semacam. Muka takut. Muka berdebar. Bukan sebab nampak jembalang ke apa, tapi sebab berdepan dengan situasi paling mendebarkan bagi mana-mana lelaki dalam dunia ni. Peluh kat dahi tu, sekejap-sekejap dia lap pakai sapu tangan yang dia dah stand by dalam poket baju melayu. Dalam hati, aku tergelak je tengok gelagat dia. Nak je aku jerit, relaks la! You can do it bro!

Dan akhirnya. Dengan sekali lafaz, Amirul Adib berjaya juga ungkapkan,

“Aku terima nikahnya Amira Auni……..”

-Tamat-

Sotong by Si Celupar

Loading...

30 comments

    1. hahahahaha xyah tgk aprt aku terimah nikahnya kak…..masa lain pon ko boleh hati tisu hahahahahah…. tu kdg den x nak kutuk2 soft boy ni…takut kene mcm dalm cite celupar tu….lagi pun den ok je layanm hadik2 ni kak…seronok….

    2. Waaaahhhh…
      Lancar jer ko kutuk kehati tisuan akk ekkk…
      Adik-adik ni klu bab keje selalunye bagus, teliti…
      Caring pon iye gaakkk…
      Eleehhhh…ekau suke kena belai kaaannnn…
      Heeepppp…

  1. Esoknya, kecoh satu kuliah aku bercerita pasal ada perempuan jumpa pocong. Jerit high pitch gila sampai blok-blok lain pun boleh dengar. Aku tergelak dalam hati, kalau la diorang tau tu bukan perempuan sebenarnya……-part yg ni aku x tahan nk gelak….5 minit aku senyum sorg2 dpn pc…..wakakakakakakaka…

  2. aku asa aku dh jtuh hati bergolek2 la dgn penulisan karya hg #sicelupar
    tapi syg awat hg berhenti bkarya…
    tak jd kja aku pnya dok pulun bca novel hg…
    seram sejuk hangit suma ada weyhhhh…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *