“Itu cuma mitologi orang dahulukala, Ariz. Tak usah buang masa kau untuk perkara-perkara tahyul. Tak adanya makhluk sebegitu hendak menyumpah engkau menjadi batu!” Embun sudah mula bengang dengan perangai Ariz yang sangat taksub dengan mitos-mitos….
Dah namanya mitos, buat apa nak kaji lagi? Huh!
“Kalaulah ia cuma mitologi, kenapa kau takut nak teman aku ke hutan? Secara tidak sedar, kau pun sebenarnya percaya dengan ketahyulan ini semua. Sebab tu kau tak berani nak masuk belantara, kan?” sinis Ariz membidas seraya membuat kesimpulan sendiri…
Lelaki berusia 17 tahun yang sebaya dengan Embun itu benar-benar menguji kesabaran. Embun menggulingkan matanya ke atas untuk membuktikan yang dia sedang menyampah.
“Aku bukan takut. Aku cuma tak nak buang masa. Lagipun hutan tu tebal. Kalau sesat macam mana? Lebih baik duduk rumah dan belajar. SPM lagi berapa minggu ni, sedar tak? Aku lagi takutkan SPM daripada dongeng Kelembai engkau tu,” ujar Embun. Semakin meresahkan pula perangai taksub si Ariz ni….
Sudah tiga hari berturut-turut lelaki itu menceritakan hikayat Sang Kelembai yang sangat popular di kalangan peminat lagenda mitos melayu. Kuasa sakti Kelembai mampu membuatkan sesiapa sahaja yang memandang tepat matanya, menjadi batu!
Akibat rasa terpegun dan terpukau dengan dongeng watak kayangan tersebut, Ariz memutuskan untuk ke hutan. Dia ingin melihat dengan kepalanya sendiri akan makhluk yang digambarkan bertubuh besar dan lampai itu.
Akan tetapi, tidak pula dia berani untuk meredah belantara seorang diri. Kerana itulah, Embun menjadi ‘mangsa’ Ariz memandangkan gadis itulah satu-satunya sahabat yang dia ada.
“Okey, fine. Kalau kau tak nak ikut, aku akan pergi seorang diri. Kalau aku sesat, aku sesat seorang diri juga. Biar aku mati dalam hutan tu. Kau tak kisah tentang aku, kan?”
Mula dah taktik dia. Embun melepaskan nafas yang dia tidak perasan ditahan.
“Tak payahlah, Riz! Ya ALLAH, kenapa dengan kau ni? Sanggup sangat buat kerja gila dan tak berfaedah ni!”
“Keputusan aku muktamad. Aku nak masuk hutan petang ni juga. Selamat tinggal.” Ariz bangkit dari tempat duduknya di hadapan Embun lalu berura-ura untuk meninggalkan kawasan tersebut.
Embun mengetap bibir apabila rasa bersalah menyelubungi diri. Ariz marah? Atau merajuk? Isy, masalah betul lah lelaki ni!
“Ariz!”
Langkah Ariz jeda apabila mendengar suara Embun. Hujung bibirnya naik sedikit, nampaknya taktik teragung Ariz berjaya.
Ariz memusingkan tubuhnya memandang Embun. Embun dengan muka separa marah dan separa bersalah, berjalan mendekati Ariz yang dari tadi tidak bergerak. Kononnya merajuk.
“Baiklah, aku ikut… tapi ingat, kau jangan nak macam-macam. Sebelum maghrib kita balik terus.”
Apa lagi, tersenyumlah Ariz.
*****
6:00 petang, hutan.
“Makin dalam kita pergi ni, Ariz. Aku dah penatlah nak berjalan,” keluh Embun. Langkahannya juga sudah makin perlahan. Habis lenguh segala sendi. Hampir sejam juga mereka meredah hutan ini.
Nyamuk-nyamuk yang tidak jemu menggigit kulit Embun juga salah satu faktor gadis itu hampir berpatah balik.
Gila, memang kerja gila.
“Alah, kau ni lembiklah. Aku belum jumpa tanda-tanda kehadiran Sang Kelembai lagi ni. Kau sabar sajalah sekejap lagi,” bersungguh-sungguh Ariz membelek dedahan dan reranting kayu yang menghalang mereka untuk terus maju ke dalam hutan tebal itu.
Ariz mendengar sahaja keluhan-keluhan yang keluar dari bibir Embun. Dia tersengih. Tercuit pula hati dengan gelagat Embun yang kelihatan sangat terpaksa temannya masuk ke tempat keras ini.
“Sengih pula kau. Aku yang merana, tahu?” Embun menggolek bebola matanya ke atas tanda geram. Ariz sekadar mengabaikannya.
Bibir Ariz mengherot senyum apabila matanya menangkap bunyi sesuatu. Ianya bunyi aliran air sungai, ini bererti lokasi yang dicari-cari tidak lagi jauh.
“Kau kenapa? Nampak Kelembai ke?”
“Bukan Kelembai, tetapi tempat tinggal dia.” Kata Ariz.
Dahi Embun berkerut. Tempat tinggal Kelembai? Ariz tahu ke dekat mana dia tinggal? Macam dah arif sangat je si Ariz ni.
“Kau merepek apa ni Riz?”
“Shh, kau diam. Ikut je aku.” Mereka mendaki tanah yang berbukit dan berbatu. Pokok-pokok tinggi di situ langsung tidak memudahkan perjalanan mereka.
Tanpa banyak songeh, Embun sekadar membuntuti Ariz dari belakang. Langkahan mereka jeda setibanya di hadapan anak sungai yang memisahkan mereka dengan mulut gua.
Aliran sungai yang deras itu menakutkan Ariz dan Embun. Masing-masing meneguk air liur yang seperti mengeras di kerongkong.
“Kita nak masuk dalam gua tu ke?” soal Embun.
Ariz mengangguk, “Iya.”
“Tapi air ni deras, Riz. Kalau hanyut, memang tak ada peluang dah untuk hidup— ARGH!”
Tubuh Embun ditolak kuat oleh Ariz, menyebabkan gadis itu terjun dengan tidak sengaja ke dalam aliran sungai yang deras. Embun terkapai-kapai di dalam air seperti meminta bantuan. Kederasan air itu menghanyutkan Embun. Semakin lama, bayangan Embun semakin tidak kelihatan mata. Hanya jeritan gemersiknya sahaja yang kedengaran.
Ariz hanya melihat bayangan Embun dengan ekspresi wajah yang kosong. Memang itu niat asalnya dia membawa Embun ke sini.
“Selamat tinggal, budak kesayangan semua orang. Tak ada lagi yang boleh merampas tempat nombor satu dalam tingkatan daripada aku.” Senyuman sinis terukir di bibir Ariz.
Bukan kerana Sumpahan Kelembai, tetapi dendam kesumat yang membirat.
*****
DISCLAIMER : Ini hanyalah fiksyen, rekaan penulis semata-mata. Tiada kena mengena dengan mereka yang masih hidup ataupun yang telah tiada. Kisah Sang Kelembai juga ada yang penulis ubahsuai sedikit. Semoga terhibur!
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Ending macam tu je ke?