Tak Perlulah Kali Ke-4

Dalam hidup aku yang dah hampir nak cecah usia lepas Zohor ni, telah 3 kali aku nampak makhluk dari alam ghaib ni. Aku berharap sangat agar cukuplah 3 kali aku terserempak dengan puaka2 ni. Tak perlulah ada kali ke-4 sebab aku ni bukan jenis yang berdarah gred berani sangat. Nak kata penakut sangat tu tak jugak rasanya. Cuma kurang berani sikit je..huhu

Jadi disini aku nak ceritakan ketiga-tiga kisah aku terserempak jembalang2 ni yang muncul tidak diundang…

Kisah Pertama

ketika tu aku masih dizaman pra-kerja dan belajar disalah-satu institusi pengajian tinggi di utara tanahair. kerana kampus yang masih belum siap, kami ditempatkan dirumah-rumah teres 3 bilik. kelas-kelas pengajian pula terletak di deretan rumah-rumah kedai yang tak jauh dari kawasan perumahan yang kami tinggal. Kawasan ni pula tak jauh dari laut jadi suasananya indah-permai dan angin sepoi-sepoi laut sering menyapa terutama dipetang hari..

Aktiviti utama kami pelajar2 lelaki diwaktu petang ialah bermain bola sepak atau sepak bola bak kata orang Indonesia yang padangnya berhampiran kawasan perumahan yang kami tinggal. memang seronok bermain bola diwaktu petang disitu kerana angin laut yang mulus sering menemani kami yang sedang bermain. memang syahdu

hari yang aku diganggu tu berlaku sekitar pukul 5 petang lebih. 4 orang rakan serumah aku dah keluar ke padang. jadi tinggal hanya aku dan Ropi (nama panggilan sebenar) dalam rumah ketika tu. selepas kuliah tengahari tadi, aku dihadiahkan sebiji betik masak oleh awek cun pembantu kedai makan dihadapan bangunan kelas kami. awek tu memang suka kat aku jika ikut firasat aku laa (batuk). sebab dia pernah cakap aku yang paling hensem dalam ramai2 yang selalu duduk melepak kat kedai tu lepas kuliah (batuk lagi)

sebelum bersiap nak pegi main bola, aku teringin pula nak santap betik tu dulu. jadi akupun ambik sehelai-dua kertas suratkhabar lama dan sebilah pisau didapur dan duduk dimuka pintu untuk kupas betik tu sambil melayan angin laut berhembus permai dan gelagat pelajar2 disekitar perumahan tu. Ropi pula ada dalam biliknya sedang bersiap tentunya untuk keluar main bola juga..

sedang aku asyik mengupas kulit betik tu sambil melayan drama kehidupan pelajar2 diwaktu petang depan rumah, tetiba Ropi lalu tepi aku dimuka pintu dengan tiada adab melayu timur minta tumpang lalu ke apa, menonong je terus berjalan keluar sambil berkaki ayam dan berseluar sukan tapi tidak berbaju. berlenging.

“hoi Ropi! nak kemana menononggg je tu? takkan main bola pakai kaki ayam je? mai aa makan betik ni dulu kot ye pun!”, sapa aku pada Ropi yang terus je berjalan keluar pintu gate tanpa menjawab sapaan aku. Ropi melangkah menghala kekanan dan terus berlalu pergi. termangu-mangu jugak aku dibuatnya. apehal si Ropi ni buat perangai bukan-bukan, benakku berkata-kata. personaliti Ropi ni biasanya periang dan ramah-tamah. biasala sebab dia orang Melaka. tapi apehal petang ni buat bodoh je bila aku sapa dia dan terus keluar rumah camtu je tanpa berselipar ke apa dan berlenging lagi? geleng kepala aku sebab pelik ya amat.

malas nak fikir panjang, aku pun terus kupas betik tu dan makan sepotong-dua . oren kemerah-merahan warna isinya serta manis pula. semanis gadis yang hadiahkan betik tu pada aku, hati ku berkata. aku pun kemas-kemas kulit betik dan bungkus dalam kertas suratkhabar dan buang dalam tong sampah ditepi gate rumah dan masuk kerumah menuju kedapur untuk simpan betik tu dalam peti ais

“oi Rin! lu tak pegi main bola ke?”, sapa Ropi yang tercegat berdiri dimuka pintu biliknya siap lengkap sepersalinan bermotif sukan bolasepak…

aku tak pegi main bola petang tu. duduk melepak je kat kedai makan awek cun tu sampai Maghrib. badan aku rasa seram-sejuk..dan esoknya aku demam suam-suam kuku…

Kisah Kedua

Aku diganggu buat kali kedua ketika aku dizaman bujang tanpa tanggungjawab malah tiada drama asmara dalam hidupku waktu tu. aku bekerja di sebuah bank yang paling gah di ibukota ketika tu. hidupku riang-ria selalu dan memang tak lekat dirumah terutama dihujung minggu. tempat melepak tetap buatku dizaman tu ialah disatu port ni yang terletak disekitar kawasan parlimen Batu. biasanya kalau dah melepak disitu memang aku hanya akan sampai kerumah bila ayam jantan dah siap2 nak announce fajar dah tiba.

maka begitulah juga pada satu malam minggu tu yang dah mencecah ke pagi sebenarnya. Jam menunjukkan sudah hampir pukul 3 suku pagi bila aku dan member2 lain bersurai dari port kami. aku berdiri berseorangan ditepi jalan utk menahan teksi selepas dihantar member dengan motor kejalan besar tu. diseberang jalan sana kelihatan gerai2 makan yang dah bergelap serta dibelakangnya deretan rumah2 kedai lama era 60-70an yang berkarat dan berkeladak keadaan nya..

Tak nampak pulak bayang walau seketul teksi selepas hampir 15 minit aku tercegat sensorang ditepi jalan tu. kerana rasa bosan yang melanda serta suasana sekitar yang agak sepi dengan jarang2 ada kenderaan yang lalu, aku pun menghala kan pandangan aku pada gerai2 diseberang jalan serta deretan rumah2 kedai dibelakangnya. entah bagaimana pandangan aku tertumpu pada satu rumah yand memiliki berandah ditingkat atas. aku lihat langsirnya bergerak-gerak seperti dibuai angin namun yang peliknya langsir tu disebalik pintu kaca yang tertutup rapat. mungkin ada orang disebalik langsir tu, aku terfikir. atau langsir tu berbuai kerana disapa angin kipas gamaknya, fikirku lagi. aku terus memerhati rumah berberandah tersebut bila sekonyong-konyong terlihatlah aku akan sesuatu seperti objek berbentuk bulat muncul secara tiba-tiba diberandah terapung-apung..

Aku terus merenung objek tersebut kerana perasaan takut belum muncul saat itu. hanya perasaan pelik serta hairan memikirkan gerangan apakah yang terapung-apung diberandah itu? bila aku amati betul-betul objek tersebut kerana deria penglihatan ku masih tajam ketika tu (sekarang dah berkacamata kerana rabun dekat dan sedikit rabun jauh), barulah jelas aku lihat bahawa objek yang terapung tu adalah kepala yang berwajah bengkak serta lebam dan berwarna kelabu kehijauan seperti warna mayat yang hampir reput bermata terbuntang kuning. kepala tersebut seakan-akan tahu aku merenungnya maka dia juga merenung balas pada aku. tersentap aku dan seperti tersedar dari khayalan, aku terus menundukkan pandangan. tapi mataku tidak lepas masih cuba menjeling ke kepala tersebut yang masih terapung memerhati kan aku diseberang jalan ni.

aku rasakan kepala ku sungguh berat untuk mendongak. aku cuba sedaya-upaya untuk mengangkat kepala ku dari terus tertunduk namun tidak berjaya. kepala tersebut masih diberandah terapung-apung. dalam keadaan aku seperti itu, tiba-tiba aku lihat dari ekor mataku sebuah teksi muncul dari jauh. leganya hatiku Allah sahaja yang mengerti. aku tahan teksi tu dan abang driver teksi tu nampak seperti hairan melihat aku yang sedang menunduk kepala berdiri tercegat berseorangan ditepi jalan yang sunyi..

aku duduk didepan disebelahnya. setelah beberapa minit dalam perjalanan, abang driver teksi tu menegur aku, “muka kau ni pucat je abang tengok?”

“kau kena usik ke tadi kat situ? tempat tu memang agak keras. tu yang abang pelik tengok kau sensorang tercegat kat tepi jalan tu pepagi buta camni”, sambung nya lagi

aku hanya mampu mengangguk lemah. namun dalam fikiran aku tetiba terbit rasa panik. entah orang ke apa abang teksi ni fikir ku yang masih terkujat akibat terpandang kepala tu tadi..tapi aku selamat sampai kerumah dihantarnya dan selepas malam tu, aku tak pernah lagi tunggu teksi pepagi buta di tepi jalan tersebut…

Kisah Ketiga

gangguan ni aku hadapi ketika aku sudah berkeluarga dan bekerja serta menetap dinegara orang. karier aku ada ketikanya memerlukan aku berjumpa client-client aku diwaktu luar masa pejabat. dan kekadang terpaksa dalam rela mengunjungi kediaman mereka atau dimana-mana jika mereka tidak berkesempatan berjumpa dipejabat aku. dan malam yang aku diganggu makhluk puaka ni buat kali ketiga lah malam yang aku terpaksa mengunjungi seorang client aku yang tinggal disatu apartment yang usia apartment ni sudah agak tua. keadaan persekitarannya agak muram disiang hari dan sangat gelap dimalam hari walaupun ada lampu-lampu jalan serta lampu di taman kecil dihadapan blok apartmentnya. serta lampu dari tokong Cina yang besar terletak bersebelahan dengan blok apartment client ku ini. namun suasana persekitarannya tetap masih tampak kelam dan gelap

jam ditangan ku menunjukkan sudah hampir pukul 9.30 malam ketika aku turun dari teksi yang menghantarku sehingga berhampiran taman di hadapan blok apartment tersebut. aku melihat disekeliling ku dan ke apartment tersebut yang tersergam kaku namun kelam dalam limpahan lampu taman yang suram. suasana seperti tiba-tiba bertukar sunyi sepi. aku sudah beberapa kali bertandang ke situ dan biasanya ketika waktu awal malam seperti saat itu, akan masih kelihatan beberapa penduduk disitu duduk-duduk dibangku taman dan kenderaan masih agak meriah keluar masuk dijalan kecil dihadapan taman tersebut. namun malam itu tiada satu sosok tubuh manusia yang kelihatan. tiada juga walau sebutir kenderaan yang tampak keluar masuk. suasana sepi sesepi-sepinya. malah seekor suara unggas malam pun tidak kedengaran. aku mula merasa sedikit hairan. malam masih awal namun tiada langsung kelihatan kelibat manusia seperti kebiasaannya..

kerana tidak mahu terus melayan perasaan yang mula berasa tidak sedap, aku pun menyalakan sebatang rokok sambil berdiri bersandar dibawah satu tiang lampu bercahaya malap ditepi taman. aku masih ada lebihkurang 15 minit sebelum tiba waktu yang dijanjikan untuk bertemu dengan client aku. memang sudah menjadi tabiat yang aku amalkan sentiasa datang awal bila ada temujanji dengan client-client ku. sambil rokok dihisap, aku pun halakan pandangan aku kearah taman..

terpegun aku bila terlihat satu makhluk bertubuh besar hampir dua kali ganda saiz manusia sedang duduk terpaku disalah satu bangku ditaman. pakaiannya putih labuh sehingga tidak kelihatan kakinya. rambutnya kasar serta tebal dan panjang mengurai menutupi wajah

“amboi. real betul dressing nya macam pontianak. ni mesti nak pergi party pakaian beragam ni. memang nampak real habis!”, bisikku pada diri sendiri.

Memang itu sangkaan ku pada awalnya terhadap makhluk yang sedang duduk diam tidak bergerak-gerak dibangku taman. memang tidak terlintas langsung dalam fikiran aku pada mulanya yang makhluk itu bukan manusia. aku terus memerhatikan makhluk tersebut. dan ketika aku baru menyedari yang rambutnya begitu panjang hingga mencecah tanah dan pakaian labuhnya tampak seakan berbuai-buai ditiup angin walaupun ketika itu tiada sekelumit angin pun yang bertiup barulah aku seakan tersedar yang apa sedang aku lihat sekarang bukanlah manusia..

Perlahan-lahan aku memusingkan tubuhku dan berjalan menjauhi taman menuju kejalan besar didepan. aku terus berjalan perlahan dan menoleh beberapa kali ke arah taman namun makhluk tersebut masih tetap duduk diam dibangku. aku pun tak pasti mengapa aku tidak terus pecut cuba memecahkan rekod Usain Bolt dalam acara pecut 100 meter. dan aku pun tidak berapa pasti samada aku dalam ketakutan yang menggila saat itu ataupun aku terkedu gila. namun aku terus berjalan sambil berdoa agar biarlah ada manusia atau kenderaan yang lalu. kerana suasana masih sangat sunyi dan sepi. aku terus menoleh kearah taman kerana amat bimbang jika makhluk tu mengekoriku namun dia masih tetap duduk kaku dibangku…

Aku terus melangkah dan terus berharap agar ada manusia yang muncul hinggalah aku tiba di satu kawasan apartment dimana aku terdengar bunyi riuh suara manusia. alangkah leganya hati ku bila ku lihat ada beberapa anak muda sedang bermain takraw dihadapan blok apartment itu. terus aku duduk dibangku berhampiran gelanggang takraw tersebut dan aku nyalakan sebatang rokok untuk menenangkan jantung aku yang dah mula memainkan irama rancak dan mengeluarkan handphone dari saku seluar dan terus menghubungi client aku untuk membatalkan temujanji kami malam itu. aku berikan alasan bahawa ibu mertuaku terpaksa ditahan dihospital malam itu akibat komplikasi penyakit kencing manisnya..

“apasal abang nampak macam resahh je? gaduh dengan girlfriend ke?”, tetiba aku disapa seorang pemuda yang terlebih ramah yang pastinya sedang menunggu giliran untuk bermain

“saya nampak pontianak rasanya tadi kat block yang ada taman didepannya tu”, jawab aku berterus-terang

“ohhh…memang biasa orang nampak pontianak kat area situ bang. itu memang tempat dia tuu..”, dengan nada selamba anak muda peramah tu wartakan pada aku sambil tersengih-sengih..

aku nyalakan lagi sebatang rokok…

Tammat

-ezrin marsh-

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

ezrin marsh
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

34 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *