Aku Syiera. Kisah yang aku kongsikan pada hari ini ialah pengalaman seram yang terjadi kepada aku di pejabat. Aku sudah tidak bekerja di Menara Affin lagi tetapi sempat hampir 3 tahun berkhidmat di sana. Untuk pengetahuan kalian, bangunan yang terletak di Jalan Raja Chulan ini merupakan ibu pejabat bagi sebuah bank yang agak terkemuka, mesti korang pun selalu dengar nama bank ni…
Banyak kisah seram yang aku dengar daripada rakan-rakan sekerja, dari bos sampailah ke pengawal keselamatan. Aku memang mesra alam, suka bersembang dengan orang lain bila kelapangan. Bangunan ni pun dah lama dah, pejabat lama. Banyaklah ceritanya. Tapi aku berpegang kepada prinsip dengar boleh percaya jangan. Sehinggalah apa yang berlaku kepada diri aku, banyak kali pula tu. Bermula dengan gangguan suara dan gerak-gerak barang, sehinggalah aku nampak dengan mata aku sendiri.
Nature kerja aku pula hujung bulan sibuk sangat, awal dan tengah bulan agak duduk goyang kaki sikit. Gangguan selalunya berlaku di aras pejabat aku dan gangguan makin menjadi sewaktu awal PKP tahun lepas. PKP atau PKPB, macam tulah. Mungkin sebab tak ramai orang di pejabat, ramainya work from home, lagi naik sheikh hantu tu. Waktu tu hujung bulan, memang kerja aku bertimbun dan aku malas nak sambung dekat rumah. Aku tahu dekat rumah aku tak ada mood nak hadap statement banyak banyak. Jadi aku decide untuk stay up di pejabat walaupun waktu tu dah pukul 8 lebih. Selalu saja staf stay up lagi-lagi department aku tapi sejak PKP tu, jaranglah.
Aku dengan rakan sekerja aku, Daniel nak stay up sama-sama. Sekurang-kurangnya adalah orang teman aku. Ada juga supervisor yang balik lambat tapi jauh pejabatnya. Aku ni penakut, nak juga berteman. Jadi aku buat kerja aku, jarang-jaranglah aku fokus begitu tapi sebab tak ada geng bersembang, itu yang laju kerja jalan. Sampai dalam pukul 9 malam macam tu, Daniel nak balik.
“Nok. Aku kena balik ni. Budak rumah aku tak bawa kunci pulak,” ujar Daniel.
“Alaa. Kau janji nak balik sama,” balasku sedikit kecewa.
Daniel sudah mula mengemas mejanya, “Tak bolehlah, nok. Lama budak tu kena sidai kang. Aku balik dulu au. Sorry aah.”
Takkan aku nak marah Daniel pula. Jadi aku biarkan sajalah dia balik dan aku sambung kerja aku lagi sikit. Lampu yang terbuka hanya di bahagian meja aku. Di bahagian hujung sudah gelap. Adalah rasa takut yang mula menebal. Dengan pejabat yang sunyi, aku takut mahu duduk seorang diri lama-lama.
Sedang aku khusyuk membuat kerja, aku terdengar pintu pejabat dibuka. Pintu pejabat agak jauh dan terlindung dengan dinding, jadi dari meja aku, tak nampaklah pintu. Namun, bunyi ‘tettt’ dan bunyi pintu terbuka itu sangat jelas. Aku berkerut dahi. Angkat kepala dari menelaah fail. Daniel datang balik ke? Tertinggal barang ke?
Tapi tiada siapa pun yang masuk atau berjalan ke arah aku. Kalau mahu ke bilik-bilik manager atau staf lain pun mesti lalu bahagian aku dulu. Pelik. Tapi aku malas nak layan, dengan mengantuk, penat dan laparnya, aku sambung semula kerja aku.
“Tettt…”
Lagi?
Okey tak apa. Buat hal sendiri.
“Tettt…”
Ya Allah. Rimas aku! Aku bangun dari kerusi aku dan berjalan ke arah pintu pejabat. Tak ada sesiapa. Ada orang cuba masuk ke? Security guard? Takkanlah. Koridor di luar sudah malap lampunya. Aku serta merta kembali ke meja aku, simpan laptop dan fail-fail diletak semula di tempat asal. Dah ada gaya macam nak kena kacau ni, baik aku cabut cepat.
Aku tukar selipar office aku kepada kasut tumit tinggi, angkut beg dan terus keluar. Aku nak saja mesej dalam grup WhatsApp, tanya orang lain. Manalah tahu memang ada staf nak masuk ofis tadi. Tapi takut nanti dia orang kata tak ada, aku yang gelabah seorang diri. Baik aku balik dulu.
Aku tekan butang lif. Tingkat 17 tu memang sunyi. Aku tahu bangunan tu bukannya kosong, ada saja orang lain. Tetapi entahlah, tingkat tu saja sunyi sepi. Tunggu lif memang bercinta betul, siapa kerja sini tahulah. Sementara tunggu lif, aku main telefon. Buka Instagram, WhatsApp.
Satu suara menyinggah telinga.
“Baru nak balik ke?”
Terus aku toleh ke belakang.
Tak ada sesiapa.
Suara tu betul-betul dekat. Seperti orang yang berdiri belakang aku saja. Tapi tak ada orang! Cuma aku!
Aku dah mula gelabah, seram sejuk, berpeluh. Aku tekan butang lif tu banyak kali, mula panik. Langsung tak teringat nak baca apa-apa waktu tu. Nanti kalau benda tu ikut aku baca sama, lagi naya. Ting!Aku terus meluru masuk ke dalam lif, tekan ground floor. Aku tarik nafas panjang, waktu ni baru berani nak baca Ayat Qursi. Itu pun tunggang langgang masuk ke surah lain. Last last aku cuma mampu, “Ya Allah. Ya Allah. Ya Allah. Ya Allah.” Rambut aku pun dah macam orang tak betul. Waktu tu Allah saja tahu. Aku cuma nak cepat-cepat turun bawah. At least ada guard ke polis bantuan ke tak kisahlah. Janji ada orang.
Lif berhenti di Tingkat 11. Hah. Lega, ada orang nak masuk.
Rupanya bos aku. Mr. Toh (bukan nama sebenar). Dia Cina Muslim. Nampak dia masuk, aku lega. Terus aku sapa dia, “Eh bos? Belum balik?”
Pintu lif tutup. Dia tak tekan mana-mana level. Dan dia diam. Tak jawab soalan aku. Dia berdiri betul-betul depan pintu lif, aku pula bersandar di dinding lif. Muka dia tak ada apa-apa ekspresi.
“Bos?” aku panggil lagi.
Tak menyahut orang tua ni. Mood tak baik ke? Ke marah aku? Haritu dalam meeting kena marah dah. Entah. Selalu dia mesra alam saja. Jadi aku pun diam.
Tiba-tiba dia bersuara, “Waktu you waktu siang saja. Malam bukan waktu you.”
Ah, dia marahlah.
“Sorry, boss. I buat report tadi,” jawabku. Aku lagi takut boss marah daripada hantu.
Tapi Mr. Toh tak jawab langsung. Aku pun sambung diam. Terdetik, kenapa dia lain?
Sampai di ground floor, aku keluar. Tapi Mr. Toh tak keluar. Aku pandang dia, dia menunduk saja dari tadi. Aku takut-takut nak buka mulut lagi. Pintu lif pun tertutup. Aku tengok pada panel butang lif, lif tidak turun atau pun naik. Aku dah rasa syak. Aku tekan butang lif tu semula.
Tak ada orang.
Subhanallah.
Rasa nak nangis. Aku lajukan langkah, berlari ke pintu utama. Swipe card apa semua, aku cuma nak balik. Sumpah berderau d***h, pucat muka. Tak terkata. Rasa nak jerit tapi tak lepas. Guard yang nampak aku terkocoh-kocoh, jadi tertanya-tanya.
“Kak. Kak kenapa ni?”
Aku geleng-geleng. Aku terus keluar. Turun tangga depan tu pun dah macam orang apa dah. Aku tahu aku nak balik. Dalam kepekatan malam tu, aku berjalan laju ke arah stesen LRT. Nasib baik ada kereta lalu lalang, aku kurang takut sikit. Aku tak kira, aku nak balik.
Bila selamat dalam tren, aku mesej assistant Mr. Toh. Tanya dia sendiri. Menggigil aku. Dah nak terkencing. Aku macam nak nangis nak menjerit dalam tren tu. Assistant Mr. Toh kata Mr. Toh tak masuk ofis pun pada haritu! Aku tak puas hati, aku buka Instagram bos aku tu. Ya. Betul. Elok dia berbasikal petang tu dekat rumah dia.
Habis tu, dalam lif tadi siapa?
Ya aku memang pernah beberapa kali kena kacau termasuklah jelmaan orang, alih-alih barang dan sebagainya. Tapi jelmaan bos aku ni paling terkesan. Dua tiga hari aku tidur tak nyenyak. Macam-macam fikir. Aku asyik teringat apa yang ‘Mr. Toh’ kata.
Waktu you waktu siang saja. Malam bukan waktu you.
Baru aku faham. Ya. Siang waktu aku di ofis. Malam? Waktu si makhluk tu. Aku kira menganggu dia. Ya Allah, kalau lemah semangat aku waktu tu, mahu pengsan sesorang.
Aku tak pernah cerita pun benda ni dengan budak ofis aku sampailah sekarang walaupun dah tukar tempat kerja. Yang pastinya, aku ada banyak lagi kisah seram pejabat aku. Tingkat 17 Menara Affin mungkin nampak normal bagi orang lain, tapi bukan bagi aku.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Sambung lah lagi best cerita ni
weyyy laaaa tempat keje akuuuuuuuu ahhhh mc ah esokkk
waktu keje awak siang,malam bukan waktu awak… 🙂
Uittt.. x kn xde pengalaman? Kot² la ada terselit satu dua cerita, boleh share ngan kitorg… 😂😂
next story sis
Menara Affin 2.0 please
bestnya dapat jumpa face to face
Mmg best ..sambung lah