Wad Hujung
Assalamualaikum kepada semua pembaca FS. Kembali lagi saya dengan sebuah kisah di sebuah wad yang sama dengan kisah saya sebelum ini iaitu kisah Wad 9. Namun kisah pada kali ini adalah pengalaman daripada pesakit yang mendiami wad itu sendiri. Seperti kebiasaanya, saya dalam kisah ini adalah pesakit terbabit. Jadi tanpa membuang masa ayuh kita selami kisah mistik di wad hujung ini.
Malam ni nak cerita sedikit tentang pengalaman saya duduk di wad hujung ketika melahirkan anak yang ke 2. Masa lepak-lepak di ruangan menunggu menanti keputusan darah ayah keluar, saya teringat pada satu peristiwa sewaktu melahirkan anak perempuan yang kedua di sebuah hospital lama sebelum berpindah ke kawasan lain dan bangunan baru yang lebih selesa.
Selepas beberapa jam bertarung nyawa melahirkan puteri hati tercinta, saya di pindahkan ke wad biasa. Memandangkan katil di bahagian hadapan telah penuh, jadi saya diletakkan wad paling hujung dimana beberapa langkah sahaja boleh sampai ke pintu kecemasan sekiranya berlaku kebakaran dan sebagainya.
Pada hari tu, saya bersalin pada lewat petang selepas waktu Asar, oleh kerana itu lah juga saya terpaksa bermalam di wad bersalin untuk memastikan saya dan anak sihat apabila dibenarkan meninggalkan hospital kelak.
Petang itu, seorang demi seorang penghuni di wad hujung dibenarkan pulang, tinggallah saya berdua dengan seorang pesakit yang menunggu masa untuk di tolak ke ‘labour room’. Alhamdulillah anak tidak meragam, tidur lena ibarat sang puteri salji.
Sedang saya melayan mata untuk lelap, tiba-tiba pesakit di katil sebelah menjerit kerana ketubannya telah pecah, dengan segera dia ditolak ke ruang bersalin yang terletak beberapa meter daripada meja jururawat. Ketika itu jugalah saya dapati tuala wanita saya telah penuh. Memandangkan hanya beberapa orang sahaja jururawat bertugas dan mereka telah pun berkumpul di ruangan bersalin maka terpaksalah saya bersendirian ke tandas.
Sebenarnya tidak menjadi masalah pun untuk saya ke tandas kerana tandas hanya beberapa langkah sahaja dengan katil, cuma perasaan seram dan takut tu tetap ada memandangkan hijab saya ini yang senang terbuka jadi sangat memerlukan teman ketika itu. Tambahan pula beberapa hari sebelum saya dimasukkan ke wad ini, heboh dikatakan bahawa wad tersebut diganggu oleh pocong yang selalu mengekori doctor ataupun jururawat yang bertugas. Dikatakan bahawa entity tersebut akan melompat perlahan-lahan mengekori setiap gerak-geri mereka yang diekorinya.
Selain itu, kecoh juga wad itu apabila seorang pesakit tua yang nyanyuk suka bercakap bersendirian. Namun gayanya persis sedang rancak bersembang dengan orang lain, begitu ramah sekali. pesakit tua tersebut akan bersembang sambil menghadap tingkap di sebelah katilnya terutama sekali pada waktu malam. Pernah sekali itu para petugas hospital terpaksa mengikatnya pada katil kerana dia suka membuang air di merata tempat.
Ketika diikat dia tidak sedikit pun meronta seperti rela diikat di katil. Lebih menyeramkan lagi malam itu seperti biasa dia sedang rancak bersembang sambil menghadap tingkap dan secara tiba-tiba heboh di wad tersebut kerana ikatan pada badannya terbuka sendiri secara tiba-tiba ketika pesakit itu sedang tidur. Hal ini hanya disedari oleh pesakit lain dan setelah heboh di wad itu pesakit tua itu kemudiannya terjaga daripada tidurnya dan berterima kasih sambil menghadap tingkap kerana telah membebaskannya.
Nasib saya amat baik kerana pesakit itu telah dibenarkan pulang sebelum saya dimasukkan dalam wad itu. Berbalik pada kisah saya tadi, jam sudah menunjukkan pukul 11 malam dan waktu melawat juga sudah tamat, mengharapkan suami datang jauh sekali kerana banyak perkara yang perlu beliau lakukan, daripada mencuci uri, menanam uri dan menguruskan anak sulung yang ketika itu berusia 2 tahun.
Memandangkan rasa tidak selesa itu mula menganggu ketenangan saya, maka saya cekalkan diri untuk ke tandas berseorangan. Masuk sahaja ke dalam tandas, bulu roma saya mula meremang. Saya duduk di kerusi khas yang di sediakan kepada pesakit untuk mandi. Selesai sahaja menukar tuala wanita, tiba-tiba ada suara seorang perempuan menegur saya, suaranya yang halus seakan sedang berbisik tertancap di telinga saya seperti ada seseorang sedang berdiri di belakang saya…
“Sedang tukar kain darah ke tu…? Jangan di cuci yer, biarkan sahaja di situ nanti akak tolong cuci kan…” bisiknya lagi sambil ketawa.
Saya cekalkan hati menjirus sebanyak mungkin air supaya darah yang tinggal di tuala wanita tidak ketara banyak. Saya tidak berani menoleh ke kiri atau kanan apatah lagi mendongak ke atas kerana dapat saya rasanya suara itu benar-benar berada di atas kepala saya.
“Jangaaaan laaahhh… Jangan laaaahhh, akak hausss,” perempuan itu merayu pula. Namun kali ini suaranya lebih keras dan nyaring
Saya kembali duduk di atas kerusi lalu menarik tali kecemasan untuk meminta bantuan. Kaki saya terasa berat dan lutut saya bergetar. Sepatah ayat AL Quran tidak terkeluar daripada mulut saya. Kaku dan menggigil ditambahkan lagi dengan saya yang banyak kekurangan darah kerana baru lepas bersalin. Mengenangkan anak yang masih ada sisa darah (belum mandi) keseorangan diluar saya menarik tali kecemasan berkali-kali.
Lega apabila mendengar derap tapak kasut menghampiri tandas dan pintu luar bilik air dibuka oleh seseorang. Saya gagahi diri untuk berdiri untuk membuka pintu bilik air.
“Kenapa tak panggil nak ke tandas. Kalau jatuh tadi tak pasal-pasal saya kena marah..,” omel jururawat itu kepada saya. Saya hanya berdiamkan diri. Jururawat itu membawa saya kembali ke katil.
“Kak, ‘pad’ saya belum dibuang. Masih ada di lantai…” Kata saya perlahan.
“Tak apa, akak tolong buangkan.” Kata jururawat tersebut lalu masuk kembali ke tandas. Lama saya tunggu dia keluar. Hampir 30 minit dia tidak keluar. Pesakit yang pecah ketuban tadi kembali. Alhamdulillah dia telah selamat melahirkan anak perempuan. Saya meminta jururawat yang iringi pesakit itu tadi memeriksa kawannya di dalam tandas kerana terlalu lama dia berada di situ. Setelah beberapa minit dia berada di dalam, dia keluar bersendirian dan berjalan laju meninggalkan saya bersama pesakit yang baru masuk tadi dan kemudian dia datang kembali dengan jururawat yang berbaju biru.
“Tolak katil-katil pesakit ni ke wad depan, tumpang di wad kelas kedua sementara untuk ‘discarge’ esok…” Kata jururawat berbaju biru itu memberi arahan.
“Saya dah bagitau, pesakit yang bermalam di hospital jangan letak di wad hujung. Suka sangat lah ‘dia’… Dah lama ‘dia’ tak datang, malam ni datang pula…”
Pada hujung pendengaran saya jelas kedengaran perbualan mereka sambil menolak katil. Entah siapa lah ‘dia’ yang dimaksudkan itu tadi. Walau siapa pun ‘dia’, saya tak ingin ambil tahu. Apa yang penting malam itu saya dan baby dapat tidur dengan tenang, aman dan damai kerana alunan Al Quran mula berkumandang memenuhi ruangan wad bersalin pada malam itu.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
seramnyaaaa… pernah merasa duduk wad kelas 2, sorang2… cuba nak lelapkan mata xmmpu.. tp, syukur xde perkara ngeri yg berlaku… dhlah br lepas bersalin czer masa tu…
Mungkin hospital tu di belah Utara? Teka je.
cerita hantu hospital paling seram, aku rasa. seram dia terasa real