πŠπ„π‘π“π€π’ ππŽπ“π€ π”ππ“π”πŠ π’π˜π€πˆπ“π€π

Apa yang nak kuceritakan di bawah bukanlah dalam kategori kisah seram yang menyebabkan pembaca sukar melelapkan mata lepas membacanya. Ia cuma kisah biasa-biasa.

Walaupun ia cuma kisah biasa-biasa tapi biasa-biasa itu cukup menyakitkan bagi mereka yang mengalaminya. Gangguan yang dialami boleh menyebabkan tidur tak menentu hingga ada yang diserang π‘–π‘›π‘ π‘œπ‘šπ‘›π‘–π‘Ž kronik. Jika berterusan mengalami π‘–π‘›π‘ π‘œπ‘šπ‘›π‘–π‘Ž kronik kata doktor ia boleh pula menyebabkan seseorang itu diserang β„Žπ‘’π‘Žπ‘Ÿπ‘‘ π‘Žπ‘‘π‘‘π‘Žπ‘π‘˜. Sesungguhnya ia adalah kisah biasa-biasa yang amat memeritkan bagi yang pernah mengalaminya.

Beginilah kisahnya:

Kisah ini berlaku ketika aku menjadi penyelia di sebuah kondominium mewah berdekatan Putrajaya. Semua unit kondominium mewah di situ dijual pada harga sekitar jutaan ringgit. Kebanyakan pembeli kondo itu adalah berketurunan bukan Melayu, termasuk warga asing. Pembeli Melayu ada juga tapi bilangannya sangat sedikit.

Adalah menjadi kebiasaan bagi setiap rumah termasuk kondo yang baru siap dibina, pihak pemaju akan menawarkan pembeli dua tahun tempoh liabiliti kecacatan (𝑑𝑒𝑓𝑒𝑐𝑑 π‘™π‘–π‘Žπ‘π‘–π‘™π‘–π‘‘π‘¦ π‘π‘’π‘Ÿπ‘–π‘œπ‘‘). Dalam tempoh liabiliti kecacatan selama dua tahun itu, pihak pembeli boleh melaporkan apa jua kerosakan atau kecacatan rumah kepada pemaju. Pemaju pula wajib baiki apa sahaja kerosakan atau kecacatan yang pembeli laporkan tanpa dikenakan sebarang caj kecuali kerosakan akibat kelalaian pembeli sendiri.

Dalam tempoh dua tahun tersebut banyaklah juga aduan yang kami pihak pengurusan kondo itu terima. Kebanyakan aduan adalah tentang kecacatan yang berlaku pada dinding, siling, bilik air, kemasan ruang tamu, bilik tidur, dapur, pintu, sambungan paip air, pendawaian elektrik dan sebagainya.

Suatu hari selepas empat bulan kondo itu siap dan diduduki, seorang pembeli berketurunan Cina membuat satu aduan di pejabat kami tentang ‘kecacatan’ rumahnya. Tapi bagiku aduan yang diajukannya itu tiada kena mengena langsung dengan terma biasa kecacatan seperti yang lazimnya diketahui. Namun kerana kasihan terhadapnya kami terimalah juga laporan tersebut dan mendengar segala keluh kesah pengadu. Apa lagi pengadu kelihatan sangat bersopan, bercakap dengan begitu lemah lembut walau pun tampang wajah seperti amat tertekan dengan situasi yang dihadapinya.

“Encik boleh siasat tak apa yang kerap berbunyi atas siling rumah saya? Saya percaya penghuni tingkat atas rumah saya sengaja buat bising. Saya tak nak bergaduh dengannya,” adu Mr Tan yang berusia sekitar 40an.

Mr Tan adalah seorang ahli perniagaan terkenal di negerinya. Yang paling aku suka tentang Mr Tan ialah penguasaan bahasa Melayunya yang sangat lancar sehingga tidak keterlaluan jika dikatakan ia lebih baik daripada kebanyakan orang Melayu sendiri.

“Mr Tan kata ada bunyi dari tingkat atas kan? Bunyi macam mana tu, Mr Tan?” soalku sambil mempersilakan Mr Tan duduk di depanku.

“Bunyi sangat bising macam aktiviti orang pindah rumah. Bunyi kerusi meja ditarik, almari diseret, bunyi ketukan atas lantai, bunyi batu besar jatuh, bunyi berdesing dan bunyi-bunyi lain yang begitu kuat”.

Aku berfikir sejenak. Rasa pelik melanda minda. Pelik, sangat pelik. Macam ada yang tak kena saja dengan cerita Mr Tan!

Bagaimana boleh ada bunyi dari tingkat atas kondo Mr Tan, fikirku. Kondo itu bukan rumah pangsa kos rendah yang apa pun yang berlaku di tingkat atas dan di kiri kanan rumah boleh didengari jirannya. Ia rumah kondo mewah yang dilengkapkan dengan sistem π‘ π‘œπ‘’π‘›π‘‘π‘π‘Ÿπ‘œπ‘œπ‘“ serba canggih yang tidak memungkinkan apa jua aktiviti jiran sekitar boleh didengari.

“Bila bunyi tu biasanya berlaku, Mr Tan?”

“Hampir setiap awal pagi akan ada bunyi tu. Kalau bukan hari-hari, ia berbunyi dua tiga hari sekali. Biasanya ia berlaku antara pukul 12.00 hingga 2.00 pagi. Ia sangat mengganggu, sangat mengganggu! Kesihatan pun semakin terjejas akibat tak cukup tidur diganggu bunyi bising tu,” jelas Mr Tan.

“Mengikut rekod kami Mr Tan tak tinggal di rumah tu kan?” soalku sambil mata merenung ke arah paparan skrin komputer di depan mata.

“Ya, betul. Saya tak tinggal di rumah tu”, jelas Mr Tan, “Ibu bapa saya yang tinggal di situ. Kedua-dua mereka warga emas, umur pun dah 70 tahun lebih. Mereka selalu mengadu letih waktu siang kerana malam tak dapat tidur dengan nyenyak. Mak saya dah kena π‘–π‘›π‘ π‘œπ‘šπ‘›π‘–π‘Ž kerana tak dapat tidur nyenyak setiap malam. Saya sangat takut dengan kesihatannya terganggu. Doktor kata jika π‘–π‘›π‘ π‘œπ‘šπ‘›π‘–π‘Ž berterusan sangat bahaya, apa lagi mak saya ada masalah jantung”.

“Mr Tan pernah π‘‘π‘Ÿπ‘¦ berhubung dengan penghuni tingkat atas tu tak bagi selesaikan masalah bunyi bising tu? Bincang, π‘ π‘™π‘œπ‘€ π‘‘π‘Žπ‘™π‘˜ dengan penghuni tingkat atas tu misalnya. Pernah tak?”

“Saya tinggal di Melaka. Tapi pernah banyak kali juga dalam tempoh empat bulan ni saya datang ke rumah yang dihuni ayah dan mak saya tu. Setiap kali datang saya cubalah juga untuk berkomunikasi dengan penghuni di tingkat atas tu. Tapi diketuk sekuat mana pun pintu bilik, penghuni tingkat atas tu tak pernah buka pintu rumah,” jelas Mr Tan dengan wajah tidak puas hati dan geram.

“Bila kali terakhir Mr Tan atau 𝘱𝘒𝘳𝘦𝘯𝘡 Mr Tan cuba berkomunikasi dengan penghuni tingkat atas tu?” soalku lebih lanjut.

“Baru tadi. Baru beberapa minit tadi sebelum datang ke sini saya dan kedua-dua 𝘱𝘒𝘳𝘦𝘯𝘡 saya ke tingkat atas. Tapi macam biasa, tak ada sesiapa buka pintu rumah,” jelas Mr Tan dengan wajah kecewa.

“Beginilah Mr Tan,” kataku cuba memujuk, “Kami pihak pengurusan kondo ni akan cuba siasat perkara yang Mr Tan laporkan. Walaupun ia bukan berkenaan 𝑑𝑒𝑓𝑒𝑐𝑑 π‘–π‘‘π‘’π‘šπ‘ , kami akan cuba membantu mana yang boleh.”

Beberapa hari kemudian seperti yang dijanjikan, sekitar pukul 7.00 petang, aku dan dua orang pasukan penyelia kondo itu pergi ke rumah di tingkat 14 yang diadukan Mr Tan.

Sesampai kami ke unit kondo tersebut, mata kami terarah kepada satu kertas nota yang terselit berdekatan tombol pintu. Nota tersebut bertaip dalam kertas A4 ditulis dalam tiga bahasa – bahasa Melayu, bahasa Cina dan Inggeris:

“π‘²π’‚π’Žπ’Š π’‘π’†π’π’ˆπ’‰π’–π’π’Š π’…π’Š π’•π’Šπ’π’ˆπ’Œπ’‚π’• π’ƒπ’‚π’˜π’‚π’‰ π’“π’–π’Žπ’‚π’‰ π’Šπ’π’Š π’”π’‚π’π’ˆπ’‚π’• 𝒃𝒆𝒓𝒉𝒂𝒓𝒂𝒑 π’‘π’Šπ’‰π’‚π’Œ 𝒕𝒖𝒂𝒏/𝒑𝒖𝒂𝒏 π’•π’Šπ’…π’‚π’Œ π’Žπ’†π’Žπ’ƒπ’–π’‚π’• π’ƒπ’–π’π’šπ’Š π’ƒπ’Šπ’”π’Šπ’π’ˆ π’π’‚π’ˆπ’Š 𝒑𝒂𝒅𝒂 π’”π’†π’•π’Šπ’‚π’‘ π’‚π’˜π’‚π’ π’‘π’‚π’ˆπ’Š. π‘©π’–π’π’šπ’Š π’ƒπ’Šπ’”π’Šπ’π’ˆ π’…π’‚π’“π’Š π’Œπ’†π’…π’Šπ’‚π’Žπ’‚π’ 𝒕𝒖𝒂𝒏/𝒑𝒖𝒂𝒏 π’”π’‚π’π’ˆπ’‚π’• π’Žπ’†π’π’ˆπ’ˆπ’‚π’π’ˆπ’ˆπ’– π’Œπ’†π’•π’†π’π’•π’†π’“π’‚π’Žπ’‚π’ π’Œπ’‚π’Žπ’Š. π‘»π’π’π’π’π’ˆπ’π’‚π’‰ π’Œπ’‚π’Žπ’Š. π‘Ίπ’†π’ƒπ’‚π’ˆπ’‚π’Š 𝒕𝒂𝒏𝒅𝒂 π’ƒπ’†π’“π’…π’‚π’Žπ’‚π’Š, 𝒂𝒅𝒂 π’”π’†π’…π’Šπ’Œπ’Šπ’• π’‰π’‚π’…π’Šπ’‚π’‰ π’…π’‚π’“π’Š π’Œπ’‚π’Žπ’Š π’–π’π’•π’–π’Œ 𝒕𝒖𝒂𝒏/𝒑𝒖𝒂𝒏.”

Di tombol pintu bawah nota tersebut terselit suatu beg kecil. Di dalam beg kecil itu mengandungi pelbagai jenis coklat berjenama mahal, air tin dan beberapa barangan kecil kegunaan rumah yang masih elok keadaannya.

“Baiknya Mr Tan! Sanggup dia hadiahkan macam-macam barang untuk memujuk penghuni kondo ni supaya tak buat bising lagi,” kata Razman, pembantu penyelia pejabat kami.

“Nasib baik coklat, air tin dan barang-barang lain ni tak diambil oleh penghuni unit lain,” kata Liza, seorang lagi pembantu penyelia yang turut bersamaku menyiasat kes itu.

Kami memetik loceng unit kondo tersebut beberapa kali tetapi tiada sesiapa yang membukanya. Beberapa kali juga pintu diketuk dengan agak kuat tapi tiada sedikit pun respons dari penghuninya.

“Penghuni unit kondo ni tak balik kerja lagi kot. Esok kita datang lagi,” kataku kepada Razman dan Liza.

Lewat petang esoknya kami datang lagi ke unit kondo di tingkat 14 itu. Tapi seperti kelmarin, tiada siapa yang membuka pintu rumah.

Selepas tiga hari berturut-turut termasuk hari minggu penghuni kondo tersebut masih enggan membuka pintu rumah, aku menganggap mereka di dalamnya enggan memberi kerjasama. Jenis orang tak makan saman, kata Liza.

Sesuatu yang menarik tentang rumah tersebut ialah penghuninya tidak langsung mengusik nota dan bungkusan hadiah yang diselitkan di tombol pintu rumah itu. Dan perkara kedua yang menarik ialah coklat berjenama mahal dan air tin yang dilihat pada hari pertama siasatan kami telah ditukar kepada coklat lain pada hari ketiga, juga jenis coklat berjenama mahal. Begitu juga air tin juga ditukar kepada air tin jenama lain. Begitu gigih keluarga Mr Tan menukar barang-barang terbaru bagi melembutkan hati penghuni kondo di tingkat 14 itu!

Sesampai sahaja ke pejabat di hari ketiga siasatan kami, aku minta Liza periksa maklumat pemilik unit rumah di tingkat atas unit kediaman Mr Tan yang selalu buat bising di pagi-pagi buta itu. Mungkin penghuninya warga asing yang tak reti bahasa orang tempatan kot? Sebab tu memujuk dengan kata-kata lembut dan pemberian hadiah pun dia tak ambik kisah.

“Liza cuba telefon pemilik unit kondo tu. Pujuk dia supaya jangan buat bising yang boleh mengganggu keharmonian jiran-jirannya. Kalau dia terus buat bising juga beritau dia kita akan panggil polis ,” arahku.

“Macam mana nak pujuk π‘œπ‘€π‘›π‘’π‘Ÿ jangan buat bising? Dia pun tak pernah duduk kat kondo tu,” jawab Liza tergelak kecil sambil menunjukkan maklumat tentang penghuni unit di skrin komputer di depannya.

“Maksudnya rumah tu belum berpenghuni ke?” kataku terkejut, “Tapi bukan ke semua rumah di sini dah terjual, 𝑓𝑒𝑙𝑙𝑦 π‘œπ‘π‘π‘’π‘π‘–π‘’π‘‘?”

“Rumah tu memang ada pembelinya, namanyq Miss Jenny. Tapi dia tak pernah tinggal di rumah tu atau menyewanya kepada orang lain. Rumah tu ditinggal kosong begitu jer. Pembelinya sekarang tinggal di Penang. Mengikut info di sini tahun depan baru Miss Jenny akan berpindah tinggal di kondo ni.”

“Oh ye ke?” kataku terkejut, “Maksudnya yang 𝘱𝘒𝘳𝘦𝘯𝘡 Mr Tan selalu dengar tu, bunyi…”

“Biasalah tu,” sampuk Razman yang sedang berdiri di sebelahku, “Makhluk tu ada di mana-mana. Dia ada di sekeliling kita, memerhati kita. Cuma kita tak nampak dia. Tak tau lah Mr Tan percaya dengan cerita hantu ke tak. Tapi dia kena buat sesuatu untuk menghalau makhluk tu keluar dari rumahnya. Kesian 𝘱𝘒𝘳𝘦𝘯𝘡 dia. Mr Tan beli rumah berjuta-juta tapi terpaksa berkongsi dengan hantu yang tinggal menumpang π‘“π‘Ÿπ‘’π‘’ jer”.

“Yang lebih lucu dia sempat lekatkan kertas nota untuk berdamai dengan hantu dan bagi hadiah coklat lagi!” sampuk Liza terkekeh-kekeh ketawa.

🍁
🍁
🍁
🍁
🍁
🍁
🍁
🍁

Kira-kira 10 hari kemudian, ketika kami sedang bersiap-siap untuk meninggalkan pejabat, tiba-tiba Mr Tan terpacul berdekatan meja Liza. Ketika itu aku kebetulan berada berdekatan Liza sedang membincangkan isu-isu teknikal yang belum selesai yang dibangkitkan oleh beberapa penghuni unit kondo.

“Pengurusan kondo dah siasat ke kes bunyi bising yang saya π‘Ÿπ‘’π‘π‘œπ‘Ÿπ‘‘ hari tu?” tanya Mr Tan sebelum kami sempat menegurnya. Wajahnya kelihatan suram.

“Bunyi tu masih mengganggu 𝘱𝘒𝘳𝘦𝘯𝘡 saya. Kalau bunyi tu masih tak hilang, saya terpaksa buat π‘Ÿπ‘’π‘π‘œπ‘Ÿπ‘‘ polis, “ugutnya, “Polis kena bertindak terhadap residen yang mendiami unit tingkat atas tu”.

“Mr Tan ke yang selitkan kertas nota di tombol pintu rumah tu dengan bungkusan hadiah sekali?” soalku.

“Ya, saya,” akui Mr Tan, “Memang 𝘱𝘒𝘳𝘦𝘯𝘡 saya setiap tiga hari sekali akan tukar hadiah coklat dan minuman baru bagi memujuk penghuni tingkat atas tu jangan buat bising. Tapi dia tak makan pujuk. Dia terus buat bising di awal pagi.”

“Sebenarnya macam ni, Mr Tan. Begini..” aku mula membuka cerita.

Aku menghampiri Mr Tan sambil memandang tepat ke arah wajahnya. Di dalam hatiku tidak pasti bagaimana respons Mr Tan lepas mendengar penjelasanku nanti. Harap-harap dia tak pengsan!

Aku menerangkan keadaan sebenar: tingkat atas rumah Mr Tan itu kosong dan tidak pernah didiami oleh pembelinya. Pembelinya cuma akan menduduki rumah itu pada tahun hadapan.

Mr Tan kelihatan sangat terkejut. Lama juga dia berdiam diri seperti memikirkan sesuatu. Sesekali tangannya memicit dahi.

“Pihak pengurusan kondo ni tak ada apa-apa cadangan ke bagi selesaikan isu tu? Malam tadi kebetulan saya dan anak isteri tidur di rumah saya tu. Dalam pukul 1.30 pagi terdengar bunyi bising dari atas. Bunyi bising tu sangat kuat, ia sangat-sangat mengganggu kami! Bayangkan bagaimana dua orang tua saya menghadapi gangguan tu hampir setiap malam. Mereka bukan muda lagi untuk hadapinya.”

“Saya tak pasti Mr Tan percaya dengan entiti mistik” kataku merenung tepat ke arah bola mata Mr Tan, “Mungkin Mr Tan tak percaya dengan entiti mistik. Tapi kalau Mr Tan percaya, Mr Tan mungkin boleh dapatkan khidmat mereka yang mahir tentang makhluk mistik supaya dapat dihalau mereka keluar dari rumah tu. Tu pun kalau Mr Tan percayalah. Kalau Mr Tan nak buat π‘Ÿπ‘’π‘π‘œπ‘Ÿπ‘‘ polis pun boleh juga. Tapi susah juga untuk polis nak ambik π‘ π‘‘π‘Žπ‘‘π‘’π‘šπ‘’π‘›π‘‘ penghuni rumah tu kerana bukan ada orang pun di dalamnya.”

“Mungkin ramai orang Melayu tak tau, orang Cina juga percaya kewujudan hantu” Mr Tan bersuara, “Kepercayaan orang Cina kepada hantu saya rasa lebih kuat dari orang Melayu. Sebab tu dalam kalendar Cina setiap tahun ada β„Žπ‘’π‘›π‘”π‘Ÿπ‘¦ π‘”β„Žπ‘œπ‘ π‘‘ π‘“π‘’π‘ π‘‘π‘–π‘£π‘Žπ‘™, pesta untuk menjamu hantu pada setiap bulan Ogos atau September. Dalam β„Žπ‘’π‘›π‘”π‘Ÿπ‘¦ π‘”β„Žπ‘œπ‘ π‘‘ π‘“π‘’π‘ π‘‘π‘–π‘£π‘Žπ‘™, semua kubur dibersihkan dan hantu-hantu dijamu makanan yang sedap-sedap supaya mereka tak mengganggu manusia. Kalau tak diberi makan, hantu-hantu tu akan mengamuk!” jawab Mr Tan sambil tergelak kecil.

Aku tidak tahu apa yang terjadi dengan unit kediaman yang didiami oleh ibu bapa Mr Tan selepas itu. Tidak tahu sama ada gangguan itu masih berlaku atau tidak. Memandangkan lepas itu tiada lagi laporan daripada Mr Tan atau ibu bapanya mengenai hal demikian, kami menganggap isu gangguan tersebut telah pun selesai.

hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 30 Average: 4.2]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.