5 Hari Menunggu Giliran (part 2)

Assalamualaikum dan salam sejahtera pada semua pembaca FS. Dan terima kasih kepada Admin. Sebenarnya aku lagi suka mendengar cerita mistik daripada menceritakan cerita mistik. Tapi saja ingin aku berkongsi dengan hampa smua cerita yang mungkin menarik ni. Maaf kalau ada kesalahan tatabahasa, struktur ayat dan sebagainya dalam nukilan ini. Layan diri dengan cerita ini ok. Ha lagi satu memang saja-saja aku menulis gaya novel nih. Besar sikit skop penceritaan aku rasa.

“Trutttt…truttt…truttt….” Bunyi nada dari telefon yang didengari di telinga Amir. “Ahhh tak angkat la pula cik Nan ni, masa ni pulak dia nak main-main”. “Sabaq, dia tengah sebok kot, satgi2 hang call la dia balik”, Din cuba menenangkan Amir yang kelihatan sedikit gelisah dan marah. “Kau nak ke jadi macam semalam? Tido pon x leh! Macam-macam bunyi ada kat dalam dengan luar tuh!”. “Lek-lek jangan gaduh-gaduh, malam ni lepas isyak kita buat bacaan yassin kat rumah ni”, Epul menyuarakan pandangan kerana terlihat sedikit ketegangan antara rakannya itu berdua.

Tetapi dia faham, sememangnya dia sendiri tidak sanggup berhadapan sekali lagi situasi seperti semalam. Hampir gugur jantungnya disakat di atas motor. Nasib baik dirinya itu kuat semangat. Tidak mudah tekena tempias demam-demam atau sakit selepas ketemu makhluk ghaib itu semalam. “Okay jugak tu. Aku sokong kalau nak baca yassin”, Hadi yang sedang minum secawan milo panas menyokong cadangan yang diutarakan Epul. “Tapi kita buat antara kita sudah kot, nak ajak orang kampung bnyak kita x kenai lagi”, Din bersuara.

“Sreetttt” bunyi pintu bilik dibuka oleh Man. Kelihatan keempat-empat orang rakannya yang lain sedang berbincang di ruang tamu sambil mendengar radio. “Man, malam ni kiteorang nak buat bacaan yassin sikit, kau ada x malam ni?”. “Sorry lah geng, malam ni aku keluar, ada date dengan awek aku”, Man menolak pelawaan Epul kerana dia sudah berjanji ingin ketemu aweknya pada malam itu. “Kenapa tiba-tiba ja nak buat bacaan yassin nih?”, Man sedikit pelik dengan keputusan rakannya yang ingin membuat bacaan yassin di rumah. “Hang x tau malam tadi kami kena kacau dengan hantu, macam-macam bunyik dengan benda kami nampak semalam”. “Hahahahahahahaha, hantu? Korang betul x isap gam nih? Ke mengelamun kene ketum ke semalam”, Berdekah Man ketawa mendengar cerita Din. “Haish kalau aku tumbuk muka hang, sebulan makan pakai straw kot”, muka Din sedikit merah menahan marah kerana terasa sedikit diperlekehkan.

Ingin sahaja dia bangun dan menghadiahkan sebuah penumbuk sulungnya tepat pada pipi Man pagi itu. “Tapppp” pergerakannya terhenti disekat oleh Hadi yang duduk di sebelah. “Kau x kene Man, kami smue dah kene hari-hari yang lepas, bukan bende main-main”, Hadi yang sedang menahan Din dari melepaskan amarahnya bersuara kepada Man. “Ahhh! mengarutlah, korang saje je nih, nak takutkan, aku tak percaya benda-benda nih”, Man membuka langkah menuju ke bilik air untuk membuang air kecil sebelum kembali ke bilik untuk melabuhkan kepala di atas katil. Dilihat sahaja kelakuan rakan mereka yang seorang itu sambil menggeleng kepala. Memang begitulah keadaan Man kebiasaanya. Keras kepala dan penuh dengan ego. “Biarlah dia, yang penting malam ni kita buat apa yang kita nak buat”. Mereka hanya angguk sebagai tanda faham dengan Epul.

“Aminnnnnnnnnnnn”, bergaung suara keempat-empat mereka di setiap penjuru rumah tanda usai membaca surah yassin. “Aminnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnn”. Terkejut mereka dengan suara yang seakan mengejek perkataan akhir mereka itu. “Gulpppp”, Hadi menelan air liur. Cuba membasahkan tekaknya yang sedikit kering. “bu..bunyi apa tuh”.. “papppp” kepala Hadi ditampar dari belakang oleh Epul. “Shhhh, jangan tegur lah”, Epul cuba bercakap dengan nada rendah bagai ingin membisikkan sesuatu. Jika semalam Din yang menegur dahulu, harini Hadi pula yang terlebih bijak melanggar pantang larang ketika berdepan situasi aneh. Geram Epul dengan kedua-dua rakannya yang seperti tidak pernah menonton filem seram sebelum ini. Tidak tahu apa yang patut dan apa yang x patut disebut dan ditunjuk. Berpandangan mereka sesama sendiri sambil fikiran melayang-layang memikirkan suara siapa yang kedengaran sebentar tadi.

“Tinggg…tingggg…tinggg” bunyi seperti sebiji guli melantun di atas bumbung. Perlahan sayu sahaja bunyinya. “Ada lagiiiiiiiiii”. ” Papppppp” kali ini kepala Din pula ditempeleng oleh Epul kerana menegur bunyi seakan guli yang sedang rancak melantun di atas bumbung itu. Dia hanya mampu bersabar dikurniakan dua ekor rakan yang langsung tidak pandai membaca situasi. “ TInggg… tingggg….tingggg” bunyi guli melantun masih kedengaran. Tetapi kali ini sudah berubah tempat. Bunyi guli tersebut kedengaran betul-betul berada di bahagian dapur. Tapi tidak pula mereka melihat punca bunyi itu melantun di bahagian dapur sedangkan mereka sedang berada di ruang tamu.

“Bammmmmmm”. Hampir luruh jantung keempat-empat rakan karib itu apabila kedengaran bunyi yang sangat kuat diatas bumbung. Bunyinya sangat kuat bagaikan dihempap sebatang pokok yang tumbang ditiup angin. Cuma itulah, anginnya sahaja yang tidak mereka rasa malam itu. Bukannya hujan atau ribut yang melanda kampung mereka malam itu. Cuaca juga kelihatan baik petang tadi. tidak nampak tanda-tanda akan hujan lansung di langit. Manakan mungkin pokok bergoyang jika tidak ditiup angin, inikan pula tumbang tanpa ribut. Epul yang sedikit berani di antara mereka keluar untuk meninjau keadaan rumah mereka. Risau juga sekiranya betul pokok yang tumbang memang m**i katak mereka bereempat malam tu. Dipakainya selipar jepun dan berjalan keluar sedikit dari bangsal hadapan rumah ingin melihat bumbung.

“Allah”, Epul menjerit, memang betul tanggapannya. Suasana malam itu tenang. Tidak pun sedikit kulitnya merasa desiran angin. Peluh mulai membasahi tubuhnya. Memang makhluk jenis inilah yang paling memberi kesan ketakutan pada dirinya. Dalam logik fikirannya makhluk jenis inilah seakan m**i hidup semula. Pocong ataupun Bungkus. Ya jelas kelihatan makhluk berbungkus itu dalam keadaan berbaring bergolek meneruni cerun bumbung semakin menghampiri hujung curam bumbung. “Pappppppppp”, terlangkup bungkusan itu jatuh depan matanya. “Epullllllllllllll!”, menjerit Hadi, Din dan Amir yang hanya berdiri dipintu rumah apabila melihat Epul yang kaku memandang ‘gula-gula’ itu. Tersentak Epul apabila 3 orang rakannya menjerit memanggil Epul yang tercengang apabila bungkusan itu perlahan-lahan mengalih pandagannya yang sebelum ini terlangkup ke arah tanah.

“Hiarghhhhhhh”, Epul melompat melintasi pocong yang berbaring di depannya itu. Tidak mampu dia melihat muka makhluk itu lagi. Bermata merah. Bibirnya hanya separuh, separuh lagi menampakkan gigi-gigi yang tajam dan cecair serta ulat yang keluar dari bahagian yang tidak berbibir itu. Sebelah lagi hanya tersenyum sinis. Jelas tercetak imej diotaknya ketika itu. Takutnya bukan main kepalang. Hampir sahaja dia terjatuh semasa mendarat dari lompat melintasi pocong itu. Nasib baik tapak selipar masih tidak haus. Cepat-cepat dia memperbetulkan langkah dan lari menuju ke pintu rumah. “Gedebuk”. Epul merempuh ketiga-tiga rakannya yang berada dipintu. Keempat-empat jatuh menyembah lantai.

“Tutup pintu cepat! Cepat !”, Hadi menjerit, tidak kisahlah kepada siapa ditujukan jeritan itu yang pasti pintu harus ditutup secepat mungkin kerana hantu bungkus itu semakin menghampiri mereka. Dengan pantas Din bangun menutup pintu yang terbuka separuh sebentar tadi. ”Clack”, dikuncinya pintu oleh Din, risau sekiranya makhluk itu mampu lagi masuk ke dalam rumah. Jika dikunci selamat sedikit rasanya. Hilang makhluk yang mngerikan itu dari pandangan mereka pada saat itu. Sedikit penat dan perasaan lega terukir pada wajah, walaupun masing-masing masih lagi dalam keadaan ketakutan. Bangun berdiri mereka membetulkan posisi selepas rebah dirempuh Epul sebentar tadi.

“Tok.tok.tok.tok.tok.tok.tok.tok.tok.tok.tok” laju sahaja pintu rumah diketuk dengan kasar. Bergerak-gerak tombol pintu cuba dipulas dari luar. “Siapa tu” Epul mengajukan soalan kepada makhluk yang berada di luar pintu. Dia memberanikan diri menanya. Nak diharapkan mereka yang lain. Hampeh diam membatu. Tidak pula soalan itu dijawab oleh siapa-siapa. “Siapa tu” sekali lagi Epul bertanyakan soalan yang sama. Tetapi hampa. Masih sama, tidak berjawab oleh makhluk seberang pintu mereka. “Siapa tu” kali ketiga Epul bertanyakan perkara yang sama. Pada pengetahuannya cukuplah tiga kali bertanyakan soalan yang sama. Sekiranya tiada jawapan, bukan manusialah yang ingin memasuki rumah mereka itu. “Assalamualaikummm..kumm.kumm.kummmm”, kedengaran suara dari luar rumah. Epul memandang ke arah rakannya yang lain. Hadi, Din, dan Amir juga memandang Epul pada masa yang sama.

“Aku tanya kau siapa, bukannya aku suruh kau bagi salam, tak faham bahasa punya hantu”, perasaan berang sedikit menjentik hati Epul yang geram, lain ditanya lain dijawab. “Hehehhehe” suara kekekan tawa yang nyaring kuat kedengaran di luar rumah. “Zuppppppp”, habis sahaja hilaian tawa diluar serentak dengan itu bekalan elektrik terpadam. “Hiarghhhhhhh”, terkeluar sedikit suara perempuan Amir yang melompat ke belakang badan Hadi. Terkejut kerana bahunya dicuit sesuatu. Hadi turut terkejut dengan aksi spontan Amir yang lompat memeluk dia dari belakang. Dalam keadaan gelap gelita itu Din cuba mengeluarkan telefon bimbit yang mempunyai torchlight di bahagian atas yang berada dalam kocek seluar yang dipakainya itu. Terkejut dia mendegar suara Amir menjerit dan segera menyuluh ke arah Amir dan Hadi. Tergamam dia melihat ke arah Hadi yang sedang mengongkong Amir. Tapi bukan perlakuan mereka yang membuatkan dia terkejut.

Sebaliknya kelibat perempuan yang berada dibelakang mereka yang membuatkan dia terkaku seketika. Epul yang melihat ke arah suluhan lampu itu jugak turut tergamam seketika. ”Kenapa kau lompat atas aku nih”. “Ada benda cuit aku lah”, Amir menjawab persoalan Hadi. Mereka berdua belum sedar dengan kehadiran makhluk yang sedang berdiri betul betul dibelakang mereka. “Kenapa pandang kami macam pelik je nih?”, melihat keadaan Epul dan Din yang sedang memandang ke arah mereka mengundang tanda tanya Hadi. “Puk.puk.puk”, Hadi merasa dirinya ditampar oleh Amir yang masih lagi dikongkong olehnya. Perlahan-lahan dia mengalihkan pandangannya memandang ke belakang. Peluh berderau membasahi baju Hadi, tidak pernah dia menjangka akan bertemu dengan makhluk ini secara lebih dekat.

Bajunya sudah basah dihujani peluh sedang matanya melihat perempuan di depan matanya itu. Berwarna putih bajunya, rambutnya panjang menyentuh lantai, mukanya tidak kelihatan kerana rambut yang panjang itu menghalang susuk wajah jelmaan itu. Jika dua hari lepas dia melihat gadis-gadis cantik, harini pula mungkin berbeza sekiranya jelmaan itu menunjukkan wajahnya. Terketar-ketar lutut Hadi menahan beban dirinya sendiri. Ditambah pula beban Amir yang berada dibelakangnya. Hampir jatuh terkulai disitu juga. Suasana menjadi sunyi seketika. Tiada pergerakan dilakukan oleh kedua-dua pihak.

“tok.tok.tok.tok… Assalamualaikum… weh ni Man ni buka pintu.. kenapa kunci pintu..” . “Zassssss” lampu kembali menerangi ruang tamu yang tadi kelam. Bekalan elektrik kembali pulih. Makhluk yang menyerupai perempuan tadi turut hilang pada masa yang sama. Mereka yang tergamam tadi mampu kembali mengambil nafas lega. Tercungap-cungap nampak kepenatan walaupun tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal yang ‘extreme’. “Sekejap, baca AlFatihah dulu”, Epul sedikit ragu-ragu dengan Man. “Aik kenapa pula”. “Buat saja, jangan banyak tanya”. Man sedikit pelik dengan arahan Epul. Malas hendak bertekak Man menghabiskan bacaan AlFatihah. Lancar. Tiada masalah. Tetapi sekiranya Epul menyuruh Man membaca doa Qunut, ”confirm” Man perlu tidur luar malam itu, kerana disangka sebagai hantu.

Man bertanya kepada Epul, dia ada dengar bunyi orang menjerit kemudian senyap seketika dari dalam rumah. Lampu juga turut tiba-tiba terpadam, gerangan apakah yang dilakukan oleh mereka bereempat. Epul menceritakan secara ringkas tentang apa yang terjadi. “Hahahaaha. Mengarut”, Man ketawa. “Ish budak ni. Aku bagi karang”, Amir merasa sedikit geram dengan perangai Man itu. ”Hahahaha bagi apa. Tengok tu seluar pon basah”, Man menunjukkan seluar yang dipakai Amir basah. ”Patutlah, berpeluh berderau belakang aku tadi. Kau terkencing rupanya. Hancinggg, badan je sado tapi kencing lam seluar”, Hadi membuka baju yang dipakai olehnya kerana sudah basah berbau hancing. Disangkanya peluhnya sendiri rupanya hancur basah dinodai peluh hancing Amir.

Suasana yang sedikit seram tadi bertukar menjadi kelakar. Man masih lagi tertawa dengan apa yang terjadi, tidak mempercayai satupun kata-kata rakannya itu. Masih ego dengan dirinya sendiri. Kemudian dia bersuara, “siapa yang ada dalam rumah ni ha? Siapa yang ada dalam rumah ni ha?”. Entah apa yang menghasut dirinya untuk bertanyakan soalan seperti itu dengan kuat. Mungkin mahu menunjukkan yang rakan-rakanya salah. Dua kali diulang soalan itu oleh Man. Habis sahaja ucapan yang disebut oleh man, “zuuppp” bekalan elektrik terpadam semula. ”Kedebuk”, terpelanting Man merapati pintu. Entah siapa yang menolaknya dalam kegelapan. Perlahan-lahan Man bangun dengan kesakitan dan cuba memperbetulkan posisi dirinya. Ditinjaunya seketika keadaan di dalam rumah tetapi tidak dapat dia melihat dengan jelas dalam keadaan kelam seperti itu.

Dikeluarkan pemetik api dari dalam kocek untuk mendapatkan sedikit bekalan cahaya. “ tik..tik..tik” api mula terbentuk dari pemetik api. “Bammmmm” Man merempuh pintu hadapan dan terus keluar berlari meninggalkan rumah sewa. Mana taknya, selepas sahaja dia menyalakan api. Teradapat satu wajah yang berada dekat dengan tangannya yang sedang memegang pemetik api itu. Gelap. Wajah yang terkena cahaya api yang dia nampak gelap segelapnya. Hanya nampak 2 biji mata sedang merenung ke atas memandang mukanya. Renungannya tajam seperti marahkan Man. Berlari-lari Man diatas jalan kampung pada malam itu. Berharap agar dia dapat bertemu seseorang untuk kembali ke rumah sewa mencari rakan-rakannya yang tertinggal. Dari jauh kelihatan cahaya motor semakin merapati Man.

19 Dec 200x
“Tik..tokkk.tikk..tokkk”, jam dikedai kopi kegemaran Pak Hamid tepat menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Putaran bumi terus bergerak. Tarikh dan hari sudah berubah dari 18 Dec 200x kepada 19 Dec 200x. “ Aku balik dulu Leman, dah pukui 12 malam ni, bising pulak timah soqang-soqang kat qumah tu, sunyi katanya hahah”. Terlupa Pak Hamid pada bininya yang berada di rumah. Itulah orang lelaki sekali dia melepak bertemu kenalan, dilupakan segala perkara lain. Dibelinya 2 botol air mineral ingin dijadikan barang untuk disogok kepada mak timah. Sahaja dia ingin memberi alasan terpaksa menunggu air mineral yang habis. Ingin diminum bersama ubat dimalam hari. “Pram pam pam pam pam” bunyi motorsikal Yamaha sport Pak Hamid membelah kepekatan malam. Otai masih berbisa. Motor Honda petaknya tayar pancit, jadi terpaksa pinjam motor anaknya yang bingit sedikit bunyinya ini. Masih kuat motornya mendaki bukit ingin pulang kerumah.

Dari jauh terlihat kelibat seorang sedang berlari menuruni bukit. Dihampirinya Pak Hamid seseorang yang sedang berlari itu. “Apa hang buat malam-malam kat sini?”, Pak Hamid pelik apabila dia melihat Man yang dalam keadaan sedikit penat dan ketakutan. ”Tolong pakcik, tolong saya”, Man merayu kepada Pak Hamid yang masih lagi bingung dengan perkara yang tiba-tiba berlaku ini. “Tolong apa?”.  “Tolong kawan-kawan saya yang tertinggal dalam rumah atas bukit tu pakcik”, Man tergesa-gesa sudah tidak mampu menenangkan dirinya yang sedang panik berdepan dengan situasi itu. “Ohh qumah atas bukit tu buat hal lagi.. jom naik dengan aku kita pi tengok qumah tu”.

Pak Hamid membawa Man bergerak ke rumah mereka. Tidak kelihatan langsung kelibat rakan-rakannya di kawasan luar rumah ketika dia dan Pak Hamid tiba di perkarangan rumah. Mungkin masih berada di dalam rumah fikirnya. Pintu depan rumah kelihatan sedikit goyah dirempuh Man sebentar tadi, tidak sempat dia berfikir dengan waras selepas melihat kelibat di dalam rumah tadi. “Sreeettt” belum sempat mereka melangkah masuk ke dalam rumah pintu rumah terbuka dengan sendirinya. “Jangan takut, aku ada kat sini”, Pak Hamid cuba menenangkan Man yang sedikit terbantut langkahnya apabila pintu terbuka dengan sendirinya.

Kelibat rakannya yang lain masih lagi tidak kelihatan, bergerak mereka berdua mencari di setiap kawasan di dalam rumah bertemankan lampu torchlight milik Pak Hamid. Sudah dicari ditandas, dibilik masih lagi tidak ketemu jasad rakannya yang lain. ”Oh hang nak main soqok-soqok ya”, Man tidak dapat menangkap apa yang sedang pak Hamid bebelkan. Berdiri pak Hamid ditengah-tengah ruang tamu, dipejamkan mata beliau, mulutnya tidak henti-henti membaca sesuatu. Tetapi yang pasti bukannya mantera yang dibaca, Man masih lagi boleh mengenali alunan ayat suci al-Quran dan juga mantera, kerana dia sendiri tahu mengapa perkara ini terjadi. 5 minit jugaklah Pak Hamid berdiam diri membaca sesuatu sebelum tiba-tiba membuka mata dan mengajak Man keluar. “Jom! Kawan hang x ada dalam qumah ni, depa ada kat luaq”, kata-kata Pak hamid membuatkan Man sedikit terkejut. Dituruti sahaja Man segala kata-kata pak Hamid.

Diambilnya Pak Hamid 2 botol air yang mineral yang dibeli olehnya. Satu dibuka penutup botol dan dibacakan sesuatu sesuatu sebelum menghembus ke arah permukaan air mineral tersebut. Satu lagi dibuang semua airnya ke tanah. Dibiarkan sahaja botol air itu kosong. Untuk apa diperlakukan sedemikian pon tidak Man ketahui. “Sini“, Pak Hamid mengajak Man yang sedikit terleka melihat tingkah laku Pak Hamid. Mereka berdua bergerak kearah belakang rumah. Pergerakan mereka berdua terhenti apabila melihat kelibat 7 wanita ayu sedang mengelilingi Hadi yang barangkali pengsan dia atas kawasan yang sedikit bertingkat berbentuk empat segi tepat dibelakang rumah. ”Siapa tu pak Hamid?”, Man menanyakan soalan apabila melihat 7 perempuan ayu disitu. Manis wajahnya hampir tergoda Man yang sememangnya seorang ‘playboy’.

“Jangan tertipu dengan setan, memang itu cara dia nak sesatkan anak adam”, Pak Hamid lantang bersuara bagi memecahkan igauan Man. Digenggamnya sedikit pasir, dibaca ayat-ayat pada tangannya itu. “Allahhhuakkbarrr”, jerit Pak Hamid seraya mencampakkan pasir ke arah 7 wanita tersebut. Serta merta wajah yang ayu tadi bertukar menjadi hodoh, kulit-kulit yang cekang menjadi kendur. Baju yang cantik menjadi camping. Tersentak man melihat perkara tersebut. Pandangan matanya ditipu oleh syaitan yang durjana. “Amik ayaq ni paihtu hang sapu kat muka kawan hang tu”, diantara faham dan tidak faham, Man mengangguk. Bukannya dia fasih dalam dialek utara nih. Disapu air yang diberikan oleh Pak Hamid ke muka Hadi. Terjaga Hadi daripada pengsan ataupun tidur yang lena barangkali.

Tidak terlalu lemah badannya, masih ada sedikit tenaga untuk bergerak. Diberikan minum air dari botol yang sama sedikit. “Cepat ada 2 lagi kawan hang kan”, terkejut sedikit Man apabila Pak Hamid berkata sedemikian. Tidak pula dia memberitahu berapa bilangan kawannya yang hilang dari tadi. Tinggi ilmu orang tua ini sangkanya. Hadi yang sedikit lemah tapi mampu berjalan mengikuti ditepi. Beriringan mereka bertiga bergerak ke pintu pagar. Terlihat kelibat seseorang sedang duduk berpeluk tubuh di tepi pagar. Man dan Hadi sedikit risau untuk menghampiri kelibat itu. “Pi. Tu kawan hang”. Mendengar Pak Hamid berkata demikianlah lantas mereka berdua berlari ke arah Epul. Pengsan dalam keadaan berpeluk tubuh. Perkara yang sama Man lakukan kepada Epul. Disapu air sedikit ke muka dan diberi minum, lantas Epul dapat merasakan sedikit tenaga datang dalam tubuhnya.

Masih ada 2 orang lagi yang belum ketemu. Amir dan Din. Syukur 2 sahabatnya yang lain sudah mereka jumpa. Kini tinggal 2 orang lagi yang perlu dicari. Keluar sedikit mereka dari kawasan rumah menuju ke pokok nangka. “Tap.tap.tap” langkah terus bergerak menuju ke pokok nangka. “Astaghfirullahhalazim”, serentak mereka bertiga bersuara . Terkejut dengan kelibat pocong yang berdiri tegak di sebelah Amir yang sedang pengsan tersandar di batang pokok nangka. Mukanya tidak kelihatan. Hanya mata berwarna merah kelihatan. Lain-lain bahagian mukanya gelap seakan ditelan kegelapan malam. “Pi amik kawan hang aku tahan dia daqi sini. Kalau hang x beqani jangan tengok muka dia”.

Mahu tak mahu memang terpaksa dia pergi mendapatkan kawannya yang tersandar di pokok nangka itu. Perlahan-lahan dia berjalan merapati Amir. Terpandang ke arah pocong yang sedang berdiri di sebelah Amir. Mata pocong jelas tajam memerhati setiap pergerakan yang Man lakukan. Dia terus berjalan merapati Amir dengan hanya memandang ke tanah. Sampainya dia disebelah Amir, disitu jugak Man sapukan air sedikit pada muka Amir. Hilang sepantas kilat kelibat pocong itu serentak Amir membuka mata mendapat kembali deria rasanya. “Jom pi qumah balik”. “Aik ada sorang lagi pakcik, kawan saya”, Man bersuara kerana terkejut. “Aku tau la, dia dah ada kat qumah tu”, balas pak Hamid. Tecengang Hadi, Man, Epul dan Amir seketika. Macam mana Pak Hamid tahu yang Din sudah berada dalam rumah. Entahlah mungkin ada ilmu dia yang mereka tak tahu.

Bergegas mereka pulang ke kawasan rumah untuk mencari Din. Sampai sahaja mereka di rumah terlihat kelibat Din terbaring dia atas lantai di ruang tamu. Berlari mereka mendapati Din. Perkara yang sama juga Man lakukan kepada Din. Terus Tersedar Din dari pengsan. “Hampa tunggu sat, aku nak pi belakang rumah sat”, Pak Hamid bergerak ke bahagian belakang rumah membawa botol air mineral yang kosong tadi. Lima minit berlalu dan Pak Hamid kembali membawa botol air. Tetapi kali ini kepala penutup botol tersebut kelihatan terikat degan sejalur kain kuning. Dari mana dapatnya kain kuning pada botol itu membuatkan mereka hampir sedikit gila memikirkannya.

“Hang ambik ni. Hang pi buang kat laut hujung kampung tuh”, Pak Hamid berkata sambil menyerahkan botol air itu kepada Man. Man memandang sahabatnya yang lain, tidak mungkin hanya dia seorang sahaja yang perlu pergi membuang benda itu. “Jom aku teman”, suara Epul membuatkan Man lega. Dengan menaiki motosikal Epul yang tiada kedua-dua cermin pandang sisi mereka bergerak ke arah laut. Lebih selamat sedikit rasanya menaiki motosikal yang tiada cermin pandang sisi. Barulah tidak nampak apa yang mngejar atau berada dibelakang. Sempat juga Pak Hamid berpesan pantang larang sebelum membuang botol air itu. Katanya baling terus ke dalam laut kemudian berundur 3 langkah ke belakang. Jangan kurang ataupun lebih. Kemudian terus berpaling pergi daripada kawasan tersebut. Jangan pandang belakang mengintai ke arah kau buang itu. Mungkin itu perjanjian ataupun syarat antara setan itu dan pak Hamid.

“Jom aku dah buang dah”, Man mengajak Epul pulang ke rumah usai dia tunaikan smua syarat yang Pak Hamid katakan. Laju Epul memecut pulang kerumah dan tidak sedikitpon dia berani untuk cuba-cuba pandang kebelakang. “Hang dah buat apa yang aku suruh?”, Pak Hamid bertanya pada Man yang baru sahaja turun dari motosikal. “Sudah”, Man membalas pertanyaan Pak Hamid. ”Betul? Tak dak satupun hang langaq?”. “Betul, smua dah saya buat pakcik”. pertanyaan Pak Hamid yang seakan sedikit meragui Man diutarakan. ”Kalau macam tu ok, aku nak balik dulu dah pukui 3 pagi nih”. Pak Hamid meminta diri untuk pulang ke rumah. Mereka berlima mengucapkan terima kasih kepada Pak Hamid diatas pertolongan yang diberikan.

Berkumpulah mereka pada jam lebih kurang 3.30 pagi itu untuk tidur di ruang tamu. Tidak berani mereka tidur di dalam bilik selepas apa yang berlaku. Hendak saja Man ingin melelapkan matanya. Dirinya tiba-tiba berasa seperti berada dilautan yang luas. Luas yang tiada penghujung, berenang- renang dia mencari di mana daratan lautan yang luas itu. Seluas matanya memadang lautan yang sedang direnanginya tertancap matanya pada satu botol air yang hanyut bersama dirinya. Diamati botol yang terapung-apung dilautan itu. Sama seperti botol yang dibuang olehnya sebentar tadi. Bala apa pula yang menimpa dirinya tika itu.

“Cepat pergi panggil Pak Hamid balik. Tak jauh lagi rasanya dia pergi”, belum sempat Epul keluar daripada rumah ingin memanggil semula Pak Hamid, sudah tegak berdiri Pak Hamid dihadapan pintu rumah. Sudah dia tahu permainan apa yang sedang bermain dalam rumah ini. Disuruhnya mereka yang lain memegang Man yang sedang ganas kerasukan syaitan dalam tubuhnya. Pak Hamid memegang ibu jari kaki Man. Soalan demi soalan dituju kepada Man tetapi sudah tentu syaitan yang sedang menguasai tubuh badannya lah yang membalas jawapan. “Hang sapa? Apa yang hang nak dengan budak ni?”. “Dia tuan aku dia yang janji nak bagi makan kepada aku”. “Ah jangan mohong apa sebenaqnya yang hang nak dengan dia”. Ditekan sedikit kuat bahagian ibu jari kaki Man. Menjeritlah syaitan yang merasuk Man itu. Ditanya lagi soalan sama. Tetapi berulang kali syaitan itu bertegas yang Man sudah menjadi tuannya. Katanya Man yang memuja-muja rohnya dikubur lama dibelakang rumah. Luar dari tembok batu bata. Ingin menjadikan dia sebagai pendamping menuntut ilmu yang terpesong.

“Amik buah jagung kat pokok luaq tu pastu hampa pi rebus sampai masak. Cepat sikit. Paihtu buat sikit lubang kat tanah kat luaq tuh”. Din meluru ke dapur lantas menjerang air kemudian diambilnya sebilah pisau dibawa keluar untuk mengambil buah jagung itu. Sepuluh minit jugalah kiranya mereka menunggu persiapan jagung tadi masak. Din memberi jagung yang telah masak tadi kepada Pak Hamid. Ditariknya dari ubun-ubun Man lagak seperti selalu kita lihat dalam filem-filem seram di Malaysia. sampainya dikaki Man, pak Hamid seakan menarik sesuatu dan terus mengenggam. Kemudian dia meletakkan sesuatu ke permukaan jagung itu lantas bersuara, “aku haramkan hang dengan nama Allah yang maha berkuasa daripada mengacau cucu cicit anak Adam ini sehinggalah jagung ni tumbuh semula menjadi pokok”.

Angin sedikit kuat entah dari mana datangnya seperti berlegaran di kawasan rumah itu. Pak Hamid meletakkan jagung ke dalam lubang yang disuruhnya Epul gali sebentar tadi. “sap..sap..sapp” cepat-cepat dia mengambus dan menepuk tanah. Man yang sebentar tadi pengsan kembali pulih selepas diberi minum air penawar yang diberi oleh pak Hamid. ”Ada apa-apa yang hang nak bagitau kawan hang tak?. Air mata Man mulai mengalir mendengar soalan itu daripada pak Hamid. Sudah sampai masanya dia berterus terang kepada sahabatnya yang lain. Tidak adil pula disebabkan dirinya sahabatnya yang lain menjadi mangsa. Diceritakan kepada yang lain tentang apa yang dia lakukan.

Katanya sebenarnya setiap malam dia ada sahaja di kawasan belakang rumah di atas kubur lama memuja-muja syaitan untuk dijadikan pendamping. Dia harus menunggu 5 hari supaya ikatan antara dirinya dan syaitan itu bertambah kuat. Itu pesan guru bomoh yang mengajar Man. Maka pagi ini lengkaplah 5 hari menunggu gilirannya untuk bertemu dan bersahabat dengan syaitan. Dia juga meminta maaf kepada pak Hamid kerana dia tidak lakukan seperti apa yang Pak Hamid suruh. Sebenarnya dia tidak buang apa yang berada dalam botol itu, sebaliknya membuka botol yang berbalut kain kuning itu. Hanya botolnya sahaja dibuang kemudian.

Pak Hamid tertawa kecil dengan pengakuan Man. Sememangnya dia sudah tahu perkara tersebut dari awal. Sengaja dia memilih Man untuk membuang botol air tersebut. Niatnya adalah untuk membiarkan Man bersatu sepenuhnya dengan syaitan tersebut. Kemudian barulah dia boleh menangkap syaitan tersebut yang menjelma dalam bentuk yang asal. ”Oh patutlah malam-malam hang x dak kat rumah, ingatkan berdating dengan awek, rupanya hang berdating dengan syaitan ha”. Tidak dapat Man melawan kata yang keluar dari mulut Din kerana semua ini berpunca dari dirinya sendiri. Dia hanya mampu mengucapkan perkataan maaf berulang kali dan berjanji untuk bertaubat. Sesal dengan perkara syirik yang dilakukan dirinya.

“Macam mana kalau jagung tu dah tumbuh jadi pokok? Nanti bebas lah syaitan tu?”, Epul menanyakan soalan ini kepada Pak Hamid. Yang lain pun turut menunjukkan minat dengan ayat yang keluar dari mulut pak Hamid ketika itu. Sudah tentu syaitan itu akan kembali mengganggu setelah buah jagung tersebut menjadi pokok. “Hahahhaaha, itu sebab aku suruh hampa rebus bagi masak dulu buah jagung tu. Mana boleh dia naik jadi pokok kalau dah masak kena rebus”. Tergamam mereka mendengar jawapan daripada pak Hamid.

Betul juga cakap orang tua ni. Kiranya memang buah jagung itu tidak akan pernah membesar menjadi pokok. Maka terperangkaplah syaitan durjana itu didalam buah jagung di dalam tanah. Terpedaya dia yang selalunya memperdayai manusia selamanya. Pak Hamid memberitahu kepada mereka yang lebih baik sekiranya mereka berpindah keluar dari rumah sewa itu. Memang dia sudah perangkap salah satu syaitan di rumah itu tapi sebenarnya ada lagi yang berkampung di rumah tu. Lagipun pocong dan 7 wanita yang dilihat mereka bukannya dari spesis yang sama.

Pagi itu juga mereka berkemas dan keluar dari rumah itu setelah mendengar apa yang Pak Hamid katakan. Biarlah sedkit duit deposit hangus yang penting mereka tidak lagi diganggu dengan perkara yang mistik dan penuh dengan misteri semasa berada di sana. Man pula sudah berjanji tidak akan mengulangi perangainya yang lama, tapi entah mampu ataupun tidak dia mengotakan janjinya itu. Terserahlah untuk dia berfikir mana buruk mana baik.

“Ni kuncinya kalau ada apa-apa call saja pakcik ok”. “Ok cik nan“, Shafiq membalas pertanyaan cik nan pemilik rumah sewa barunya itu…..
……..
Abih dah, ayat last tu saja ditambah nak bagi cliché sikit haha. Kalau ada masa nanti bolehlah aku ceritakan kisah aku sendiri bertemu makhluk di rumah yang sama, tapi pendek jelah cerita tu. Jumpa lagi. Tata.

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

7 thoughts on “5 Hari Menunggu Giliran (part 2)”

    • oh sebab nama kot, sebab ada nama yg sama lam 2 cerita ni. nama yg aku letak smua bkan nma sebenar. cma watak2 aku ingt. x dinafikan ada tokok tambah dekat ayat-ayat percakapan diorang, bknnya pencerita ingt sebijik-sebijik apa yg depa ckap. cma jln penceritaan dia aku ikut apa yg diceritakan pda aku. tapi bkn aku yg tlis cerita ghost prank tu.

      Reply
  1. “Tetapi sekiranya Epul menyuruh Man membaca doa Qunut, ”confirm” Man perlu tidur luar malam itu, kerana disangka sebagai hantu…”

    Kah kah kah…
    Gelak besor hakak part ni…
    Mmg nayoooo ler kengkwn x caya…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.