6th Sense Yang Hilang 2 – Kak Intan dan Abang Salim

#Madonna
Sebenarnya, sejak aku cerita kisah beruk tu, tiga malam berturut-turut aku mimpi diberikan hadiah daripada seorang nenek. Hadiah tu berbalut kain batik. Tiap kali aku hulur tangan nak ambik, aku terjaga. Anyway, naik je sekolah rendah, kitorang satu family pindah ke daerah lain, dalam tiga jam dari tempat lama, dan kurang sejam ke rumah Tok Ngah dan Tok Mek.
Tok Ngah – Atuk belah ayah
Tok Mek – Nenek belah mak

Dekat tempat baru tu, kedudukan daerah tu agak terpencil lah. Nak buat macam mana, memenuhi kehendak tugas bapak aku. Sekarang ni aku nak cerita pasal Kak Intan dan Abang Salim. Pasal rumah dan tempat baru ni pulak, nanti lah. Cukup setakat tu dulu maklumat yang aku bagitahu. Kenapa aku cerita sikit pasal tempat baru? Sebab aku nak bagitahu yang jarak dia agak dekat dengan rumah Tok Ngah dan Tok Mek. Dan rumah Tok Ngah ni jarak dia dalam 1km nak ke rumah Tok Mek. Okay, memandangkan rumah kami dengan kampung dekat, setiap hari Khamis kami akan balik kampung.

Selalunya akan tidur dekat rumah Tok Ngah lah, sebab lagi rapat dan tak ramai orang. Ingat lagi hari tu aku ada cerita yang sebelah rumah Tok Ngah ni ada bangsal dua tingkat? Dekat tingkat atas ada alat-alatan seorang pesawah. Ada tampi, sabit, dan pengemping. Selain dari tu, padi-padi yang belum ditampi pun ada. Manakala dekat bahagian bawah pulak Tok Ngah bela ayam. Jadi setiap pagi, aku akan ambil padi tadi tu, bagi ayam-ayam makan. Biasalah kita budak perempuan, suka main rumah-rumah. Jadi dengan adanya bangsal tu, itu lah ‘rumah’ aku. Aku selalu masuk atas tu, aku menyapu, mengemas, dan menyusun atur barang-barang dalam tu. Rajin kan? Sampai sekarang.

Selain tu, aku jugak pandai memasak, suka mengemas rumah, pandai buat gubahan bunga telur dan sayangkan kanak-kanak. Kadang-kadang Kak Intan dan Abang Salim ada dekat situ. Teman aku main dekat bangsal tu. Diorang masih lagi berpakaian macam tu. Berkain batik, baju kurung warna putih. Ada sulaman bunga. Dan Abang Salim pulak handsome macam biasa. Berkopiah yang macam songkok tu. “Kak Intan suka dekat Madonna. Rajin, pandai. Suka bagi ayam-ayam dekat bawah makan”. “Hehe Madonna pun suka bila Kak Intan dengan Abang Salim ada teman Madonna. Rasa macam main mak-mak. Kak Intan jadi mak, Abang Salim jadi ayah, Madonna jadi anak”.

Macam tu la lebih kurang dialog kitorang setiap kali aku main dekat bangsal tu. Aku pernah jugak tanya Kak Intan diorang tinggal dekat mana. Dia cakap dekat je dengan rumah Tok Ngah. Tapi aku tak terfikir pulak nak ajak pergi sana, mungkin sebab mak aku selalu marah kalau main kat rumah orang kot. Main kat bangsal ni family aku tak larang, asalkan bahagia diorang cakap. Yang aku peliknya, Tok Ngah tak pernah kunci bangsal tu. Walhal barang-barang kat dalam tu boleh dikata ada nilai jugak lah kalau hantar dekat kedai besi buruk.

Maka, nak dijadikan cerita, sejak kejadian beruk masa umur aku 5 tahun, seringkali aku nampak makhluk halus. Sesungguhnya aku tak mintak, tapi semua tu aku yakin ada hikmah. Bila masuk darjah 5, umur aku 11 tahun, aku aqil baligh. Masa cuti pertengahan tahun tu, time dalam bangsal tu, Kak Intan dengan Abang Salim sedih je muka diorang. Aku tanya kenapa ni.

“Madonna, nanti Madonna dah tak boleh jumpa Kak Intan dengan Abang Salim lagi dah.”

“Nanti? Bila tu? Kenapa?”

“Sebab dah sampai masa.”

Siapa sangka itu adalah kali terakhir aku jumpa diorang berdua. Masa tu tak tahu apa-apa, sebab aku pikir mungkin diorang nak pindah ke Sarawak ke apa ke. Sejak hari itu, aku dah tak jumpa pasangan suami isteri tu lagi. Masa tahun 2003 pulak, aku mendapat tawaran belajar dekat satu sekolah ni, memandangkan keputusan PMR aku cantik, macam aku. Sekolah mana kau tak perlu tahu, ingat pesan Mak Hitam dalam cerita lepas okay. Sekolah tu sebilik dua orang. Dan asrama kami betul-betul dekat belakang bukit. Bila dah setel registration semua, kami semua bersiap lah untuk perjumpaan malam karang.

Roommate aku nama dia Zainab. Dia suruh panggil Jenny. Okay lah dia pun macam aku nickname taknak kalah. Baik budaknya. Bilik kami kat tingkat 3. Si Jenny ni, tudung labuh sampai ke pinggang. Mak bapak pulak aku tengok macam alim-alim. So aku cakap okay lah kalau ada apa-apa boleh la dia baca yasin ke azankan telinga aku ke apa ke. Sebelum beredar, mak si Jenny ni baca ayat kursi 7 kali, tiup dekat empat penjuru bilik kami. Mak aku pernah suruh buat tu tapi aku malas. Malam tu, masa perjumpaan, kaunselor bising. Sebab dia kata dia nampak parents dekat asrama perempuan. Yelah parents mana boleh masuk asrama. Dekat blok aku pulak tu.

Aku syak budak bilik sebelah, si Mira sebab petang tadi dia menangis melalak macam tak ingat. Homesick gamaknya. Jadi perjumpaan malam tu selesai, dan Ustazah Seroja nak jumpa aku. Ish, baru hari pertama dah kena panggil. Ke sebab kain aku singkat sangat? Pergi punya pergi, dia tanya siapa nama aku, asal dari mana dan last sekali dia tanya okay tak. Soalan last tu aku taktau nak jawap apa, of course lah aku okay kan, cuma pinggang aku lenguh sangat. Mungkin sebab angkat barang naik tingkat 3 kot. So lepas tu aku mintak diri sebab ada perjumpaan dekat surau lepas isyak.

Habis je perjumpaan, bila nak balik ke bilik, kami semua dengar orang jerit dari tangga surau. Aku dah panik sebab belum apa-apa lagi dah jadi menda-menda jahanam macam gini. Aku cari Jenny, tak jumpa. Sebab aku memang dah set, apa-apa jadi, Jenny lah tempat aku. Sebab aku yakin dia lagi alim. Rupa-rupanya si Jenny dah berdesup lari ke bilik. Tinggalkan aku. Emangnya penakut. Semua diarahkan kunci dalam bilik masing-masing. Budak bilik sebelah tadi tu kena rasuk. Macam mana aku tau, tak perempuan lah kau kalau kau lambat tau cerita. Tengah aku duk dalam bilik dengan Jenny, Ustazah Seroja ketuk pintu bilik kitorang. Tangan dia macam pakai enjin turbo. Laju dan kuat sekali.

Aku keluar.

“Madonna, ikut saya ke dewan sekarang!”

Belum apa-apa aku ikut je. Mungkin bebal aku masa kecik datang balik. Sampai ke dewan aku tak nampak apa-apa. Cahaya pun harapkan spot light dari luar jer. Ustazah Seroja pun hilang ke mana entah. Aku nampak ada susuk tubuh kecik. Rupanya si Mira tengah duduk bertenggek dekat bucu pentas.

“Mira mu buat apa kat situ? Kan tadi semua orang kena duk dalam bilik,” dengan bebal tak habis lagi aku jalan ke arah Mira.

Mira tak jawap. Dia duk je diam-diam. Makin aku dekat, makin aku nampak dia senyum. Aduh aku dah jem ni. Dengan takde sesiapa dekat sini, dan si Mira ni pulak buat perangai.

“Madonna!” Akhirnya ada suara manusia. Ustaz Ajmal, Ustazah Seroja dan beberapa orang senior datang. Aku pusing belakang, tiba-tiba, prakkkk. Si Mira lompat atas aku sampai aku jatuh. Elok dia landing kat pinggang, berderap bunyi dia. Serta-merta lenguh pinggang aku hilang. Berguna jugak si Mira ni aku cakap. Kaki kanan dia tekan dekat belakang belah atas aku. Aku seakan-akan terkunci. Ustaz Ajmal dan senior-senior buat bulatan mengelilingi kami. Diorang baca al-fatihah, ayat tiga qul dan ayat kursi. Mendidih je si Mira dengar. Aku seolah dapat kekuatan, aku bangun ke arah Ustazah Seroja. Yang penting aku sentap dengan dia sebab tinggalkan aku tadi. Lantak kau lah Mira kau nak jatuh ke apa ke.

“Cukup!! Aku takmau dengar lagi ayat-ayat keji tu!” Mira meraung. Tapi suara tu aku macam pernah dengar.

“Kenapa mu dekat sini wahai jin iblis laknatullah?!” Soal Ustaz Ajmal.

Belum sempat apa-apa, si Mira bangun dan lari ke arah kerusi biru yang disusun tinggi-tinggi kat tepi dinding. Dipanjatnya kerusi tu. Gayat pulak aku tengok. Senior-senior ni semua dah ready untuk sebarang kemungkinan. Mira terjun dan hentakan tangan Ustazah Seroja yang genggam garam kasar. Jatuh berterabur garam tu. Tindakan itu kurang tepat. Kak Rugbi, Kak Bani peluk badan Mira, Abang Hafiz pulak pegang kaki dia. Ustaz Ajmal duk terkumat kamit baca ayat. Aku dah menyirap masa tu. Teringat apa Tok Ngah buat dekat Kak Lang dulu, aku kutip garam kasar tadi aku baca bismillah, aku lanyakkan dekat dahi si Mira. Ha geram aku. Ustaz Seroja pegang kepala Mira sambil ibu jari dia tekan titik antara dua mata dia. Kak Rugbi dan Kak Bani masa tu dah terkawal sikit. Dia picit ibu jari kaki Mira. Suspek berjaya diberkas.

“Lepaskan aku!”

“Apa yang mu nak??”

“Madonnaaaaaa!”

“Madonna tak ada apa yang mu nak! Dia bukan milik sesiapa kecuali Allah!” Ustazah Seroja pulak masuk. Aku memang dah koyak time tu. Dia sambung lagi,

“Ini aku rotan batin mu. Selagi mu tak keluar, aku lanyak mu sampai lembik!” Sambil dia libaskan ranting kayu kecil di betis Mira.

“Arghhhh!! Baiklah. Tapi mu ingat, aku takkan berputus asa!” Langsung Mira rebah.

Dalam jam 1.30 pagi, semua setel. Ustazah Seroja suruh aku rehat. Aku masih duk pikir, suara siapa tadi tu. Memang aku biasa dengar. Dan apa yang dia nak dari aku sebenarnya. Keesokan harinya, aku tengok Mira dah check out hostel. Langsung dia tukar sekolah. Si Jenny pulak asyik tanya aku okay ke tak. Kak Rugbi dan Kak Bani ada pandangan yang agak lain dekat aku. Balik dari aktiviti petang, ada banyak missed calls dari Tok Ngah. Aku call balik. Dia tanya macam mana keadaan aku. Walhal aku tak bagitau sesiapa pun. Aku cakap semua okay. Baik. Seolah-olah Tok Ngah tau apa yang berlaku. Dan bila aku tanya Ustazah Seroja pasal malam tu, dia cakap bukan dia yang datang ketuk pintu bilik aku. Dia tau aku kat dewan pun sebab akak akak senior yang bagitau. Hm dah pandai menyamar kau ya.

“Ingat Madonna. Kalau ada apa-apa, mu tau apa nak buat,” Tok Ngah pesan. Hurm, eh orang tua ni. Lepas tu aku call mak aku, kot-kot pihak sekolah ada bagitau dia pasal apa yang berlaku. Rupanya tak ada. Maka aku pun ceritalah. Jadi itu jelah cerita yang dekat sekolah yang aku nak share. Time form 5 ada lagi banyak dan thrill, tapi aku malas. Mungkin nanti bila ada masa. Sehingga lah masa aku umur 19, Tok Ngah ada masalah kesihatan. Tapi sekejap dia sihat, sekejap dia sakit. Malam-malam selalu meracau, meracau dia dalam Bahasa arab tau! Ada satu malam tu, giliran Ayah Cik jaga Tok Ngah. Aku buatkan kopi untuk Ayah Cik dan Mak Uda, anak bongsu Tok Ngah dan malam tu kitorang bersembang dekat beranda. Malam tu jugak terjawap segala persoalan yang menghuni benakku selama itu..

“Madonna, ayah kau, nasib dia memang baik.”

Aku diam.

“Erm, kenapa ni Ayah Cik?”

“Ayah Cik rasa mu pun tahu. Cuma mu tak perasan. Tok Ngah berikan ayah mu sesuatu yang sangat istimewa.”

Aku dah pelik. Menggelabah pun ada. Sampaikan bulan dengan bintang pun aku dah tak reti beza.

“Apa tu? Madonna tak faham ni Ayah Cik, Mak Uda.”

“Mak Uda harap, mu ingat lagi pasal bunga yang mu jumpa dekat atas bukit hari tu.”

Ayah Cik menyampuk, “Bunga tu sebenarnya sebagai tanda berkenalan. Sejak zaman tok-tok moyang Ayah Cik lagi bunga tu ada.”

Aku tidak lagi bingung. Kalau dulu aku bingung seperti boyfriend kau cakap dia terpaksa tinggalkan kau sebab kau terlalu baik, Kini aku tertanya-tanya, apa kebaikan yang aku buat tu?

“Beberapa hari sebelum kejadian tu, Tok Ngah dah mimpi. Mimpi yang dia perlu bagi hadiah tu dekat ayah mu.”

“Hadiah apa Ayah Cik?”

“Cindai”

Diam. Kelu. Keliru.

“Madonna..?”

“Okay lah Ayah Cik, Mak Uda, Madonna mengantuk. Masuk dulu ya.”

“Kak Intan dan Abang Salim,” tiba-tiba Mak Uda bersuara. Aku terhenti. Ayah Cik memandang ke langit. Seperti kelat baginya untuk meluahkan. Selama ini aku ingatkan mereka acuh tak acuh tentang Kak Intan dan Abang Salim. Rupa-rupanya ada rahsia. Dua nama itu, tidak sesaat pun aku boleh lupakan wajah mereka.

Sambung Mak Uda, “Hidupnya berpasang-pasangan, cantik dan molek rupa dan budi pekertinya, dan yang terpilih sahaja yang akan mampu melihat jasadnya.”

“Apa kaitannya dengan Madonna?! Kalau Tok Ngah nak bagi dekat ayah, kenapa Madonna yang terkesan?”

“Sebab jiwa mu Madonna. Mereka sukakan mu. Padi dalam bangsal tu kepunyaan mereka. Hanya mu je mereka benarkan untuk ambik dan bagi ayam-ayam makan. Bangsal tu lah tempat persinggahan mereka dekat sini. Dan ayah mu cuma perantara”

“Tapi..”

“Ada orang kata, lepas kita aqil baligh, deria keenam lama-lama akan hilang. Mereka ada Madonna, mu je yang dah tak boleh nampak mereka.” Tak sempat aku nak habiskan ayat, Mak Uda mencelah. Terus aku teringat balik waktu tingkatan 4 masa kaunselor bising cakap ada parents dekat asrama. Aku yakin parents yang dimaksudkan adalah Kak Intan dan Abang Salim. Dalam fikiran aku mula ingat semula apa yang aku buat. Yelah, kanak-kanak itu suci. Betapa banyaknya dosa aku sampai makin hilang anugerah ni. Perbualan itu belum berakhir,

“Semuanya bermula apabila ada pihak lain nak beri mu sesuatu Madonna,” Ayah Cik berkata, sambil juihkan mulut ke arah belakang rumah.

“Madonna, bunga yang mu jumpa dulu, wangi baunya. Sebab yang belah sana busuk. Kalau tak kerana ada bunga tu, mu dah sesat ke tempat lain.”

Fahamlah aku sekarang. Rupa-rupanya Kak Intan dan Abang Salim yang ‘selamatkan’ aku. Walaupun aku taktau, diorang tu saka ke bunian? Dan selama ini daripada aku sekolah menengah sampai sekarang, ada banyak gangguan yang aku alami. Walaupun secara langsungnya orang-orang sekeliling aku yang kena. Dan aku jugak faham kenapa gangguan-gangguan tu berlaku. Dan maksud rasukan Kak Lang dulu yang kata “Jiwa yang menyusahkan aku suatu hari nanti”, aku rasa ‘suatu hari’ yang dimaksudkan itu kian hampir. Sebab semakin banyak perkara-perkara pelik yang berlaku, selain mimpi diberikan hadiah tempoh hari. Dan seseorang dalam keluarga besar aku sedang sakit tenat.
Aku dah mengantuk. Nanti kalau ada masa aku share kan cerita-cerita usikan yang berlaku. Sebab aku tak bagitau lagi kenapa asyik aku yang kena. Dah apa rahsia di sebalik kejadian beruk tu.

Madonna

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 3.5]

10 thoughts on “6th Sense Yang Hilang 2 – Kak Intan dan Abang Salim”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.