7 Kategori hantu

Bila bercakap tentang hantu di Malaysia, antara susuk yang paling dikenali antaranya adalah pontianak, pocong dan toyol. Namun seperti yang anda tahu, bukan di Malaysia sahaja wujud makhluk-makhluk yang tidak diundang ini.

Menurut seorang ustaz, jelmaan-jelmaan yang dipanggil hantu ini biasanya adalah jin dan syaitan yang gemar menyakat dengan cara menjelmakan diri (ada juga yang sekadar mengeluarkan suara). Namun ada juga jelmaan yang dikatakan merupakan roh yang tergantung antara langit dan bumi, tidak bersemadi dengan tenang. Ustaz berkenaan juga mengingatkan agar kita tidak terpedaya dengan helah yang dimainkan oleh jin dan syaitan yang mengganggu dan minta perlindungan dari Allah SWT setiap kali hendak melawat ke kawasan hutan, gunung, bukit, malah lautan.

Seperti yang admin katakan tadi, bukan di Malaysia sahaja wujud jelmaan-jelmaan ini. Pengkaji paranormal dari barat juga telah membahagikan jelmaan-jelmaan ini kepada beberapa kategori. Mari sama-sama kita baca:

1. Crisis apparition (Jelmaan krisis)

Menurut penulis buku The Unexplained oleh Karen Hurrell dan Brenda Ralph Lewis, terdapat beberapa kisah yang berlaku di mana seseorang terlihat jelmaan susuk saudara atau rakan mereka pada saat saudara atau rakan itu meninggal dunia, sedangkan mereka berada di tempat lain. Contohnya, pada tahun 1917, seorang wanita warga British, Dorothy Spearman dikatakan terlihat jelmaan abang tirinya di hadapannya, sedangkan pada saat itu abang tirinya berada di Jerman. Rupa-rupanya pada saat dia terlihat jelmaan tersebut adalah pada ketika yang sama kapal terbang abang tirinya ditembak jatuh lalu meninggal dunia.

2. Doppelganger (Kembar)

Ramai orang mengakui pernah terlihat jelmaan orang yang mereka kenal, malah kadangkala diri mereka sendiri pulang ke rumah, atau berada di tempat yang biasa mereka pergi, sedangkan kadangkala orang tersebut berada di tempat yang lain. Pemerintah Russia, Empress Catherine (1729-1796) juga dikatakan pernah mengalami perkara ini di mana dia telah mengarahkan tenteranya untuk menembak seseorang (atau sesuatu) yang menyerupai dirinya, duduk di atas singgahsana yang selalu didudukinya.

Empress Catherine of Russia

3. Restless spirits (Roh yang tak tenteram)

Jelmaan kategori ini dikatakan yang paling sering dipanggil sebagai hantu. Roh yang tidak tenteram kadangkala (dikatakan) mendiami rumah yang pernah mereka duduki, atau berlegar-legar di tanah perkuburan tempat mereka ditanam. Pada tahun 40 sebelum masihi, Athenodorus, seorang ahli falsafah di Athens telah terdengar bunyi gemerincing rantai di luar rumahnya. Apabila ditinjau, dia terlihat jelmaan seorang lelaki tua sedang berjalan lalu lenyap ketika sampai di halaman rumahnya. Apabila halaman rumahnya digali, mereka telah menemui tengkorak dan tulang-belulang seorang lelaki yang dirantai. Setelah mayat tersebut dialihkan dan ditanam dengan cara yang lebih baik, gangguan tersebut juga hilang sama sekali.

Gambaran Athenodorus dan hantu lelaki tua oleh pelukis Henry Justice Ford, c. 1900

4. Cyclic ghost (Hantu kitaran)

Kenapa dipanggil hantu kitaran? Adakan sebab hantu ni duta kepada kempen kitar semula? Tidak sama sekali. Hantu kategori ini dipanggil sebagai hantu kitaran kerana ia hanya akan muncul pada setiap tarikh atau masa tertentu. Contohnya, pada setiap 24 Disember, jelmaan hantu Anne Boleyn (isteri kedua Raja Henry VIII) dikatakan akan menjelma di istana yang pernah didiaminya pada zaman kanak-kanak, Hever Castle di Kent, England.

Anne Boleyn, isteri kedua Raja Henry VIII

5. Psychic recording ghost (Hantu memori)

Jelmaan ini dikatakan akan menjelma lalu melakukan kembali apa yang pernah mereka lalui sebelum meninggal dunia. Seperti rakaman video, mereka tidak akan memberi sebarang tindak balas kepada teguran atau cubaan untuk menghentikan mereka. Pergerakan mereka juga tidak akan dipengaruhi oleh keadaan sekeliling. Dinding ke, sungai ke, mereka redah saja. Antara kisah yang terkenal adalah sebuah kes yang berlaku di York, England, pada tahun 1953, di mana Harry Martindale dikatakan telah terlihat berduyun-duyun tentera Rom berkawad menembusi bilik bawah tanah Treasurer’s House (sebuah bangunan bersejarah di England), tempat di mana dia bekerja.

Treasurer’s House, York, England

6. Poltergeist

Hantu poltergeist ni adalah kategori hantu yang mempunyai aura jahat, suka buat bising dan buat kacau. Gemar menggerak dan mengalihkan barang-barang dalam rumah (kadang-kadang memusnahlan) dan lain-lain gangguan yang melibatkan daya fizikal. Untuk rujukan, boleh cuba tonton filem Poltergeist (1982).

7. Deathbed apparitions (Jelmaan di ambang kematian)

Terdapat beberapa kisah di mana orang yang sedang nazak menyebut atau memanggil nama mereka yang telah meninggal dunia, seakan-akan mereka melihat orang tersebut di hadapan mereka. Walaupun perkara ini tidak pernah terbukti, namun admin pasti para pembaca mesti pernah dengar kisah begini berlaku kepada saudara mara atau rakan-rakan, kan?

Begitulah tujuh kategori hantu atau jelmaan yang dapat admin kongsikan di sini. Untuk makluman, perkara berkaitan roh adalah hal ghaib dan tidak perlulah kita buat kesimpulan lebih-lebih. Yang admin kongsikan di sini hanyalah sekadar kisah-kisah yang (mungkin) pernah berlaku ataupun tidak.

Wallahua’lam.

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 47 Average: 3.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.