Adik Bongsuku, “Amira”
Assalamualaikum & Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih pada admin FS sekiranya menyiarkan kisahku ini. Kisah ini mungkin tidak seram tetapi lebih kepada perbualan roh antara aku dan “Amira”.
Pada tahun 1994 kalau tak silap aku, ibuku disahkan mengandung 3 minggu. Ketika itu usia ibuku telah mencapai 42 tahun. Ayah dan ibuku tidak menjangka yang ibuku akan mengandung di usia tersebut. Ibuku sering muntah-muntah kerana alahan. Ketika itu, ayah dan ibuku belum berjumpa doktor tetapi kami semua yakin ibu memang mengandung kerana tanda-tanda mengandung memang jelas kelihatan.
Tak lama selepas itu, ketika kandungan ibuku hampir 2 bulan, ayah dan ibuku berjumpa doktor. Doktor menyarankan agar kandungan ibuku perlu digugurkan kerana doktor memaklumkan risiko mungkin tinggi sekiranya ibuku melahirkan anak di usia 40-an. Ketika itu, di zaman 1990-an, kelengkapan canggih belum ada sangat bagi perempuan yang lahirkan anak pada usia 40 tahun ke atas dan doktor tak mahu menanggung risiko sekiranya ibuku bersalin kelak. Dalam keadaan kesal dan sedih serta serba-salah, seminggu kemudian, ibuku menjalani proses menggugurkan kandungan tersebut. Tetapi tidak lama selepas itu, ayah dan ibuku berjumpa pula yang dengan doktor lain di klinik yang lain dan doktor tersebut mengatakan bahawa tiada masalah pun sekiranya ibuku tidak menggugurkan kandungan tersebut dan boleh mengandung serta melahirkan anak secara normal seperti biasa seperti sebelum ini.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian memang tak berguna lagi. Keluar air mata d***h sekalipun, memang dah tak boleh nak betulkan kekhilafan yang telah dilakukan oleh kedua ibu dan bapaku. Ibuku memang menyesal kerana terburu-buru gugurkan kandungan dan sering berasa serba-salah di atas kejadian yang telah berlaku itu. Aku turut bersedih atas apa yang berlaku.
Pada tahun 2005, 11 tahun selepas kejadian tersebut, pada satu malam, aku bermimpi, seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan 10 tahun bersama-sama keluargaku. Rupanya seakan-akan ibuku ketika berusia 10 tahun juga. Dalam mimpi tersebut, kanak-kanak tersebut sangat marahkan ayah dan ibuku kerana sampai hati “membuang”nya. Dia cuma berinteraksi dengan adikku yang bongsu dan juga aku kerana rupa kami sangat mirip dengan rupa beliau. Tetapi dalam mimpi tersebut, kami hanya berinteraksi di dalam hati.
Orang kata, kalau mimpikan seseorang yang tidak bersuara tetapi kita memahaminya sendiri, bermakna itu bukan syaitan yang menyerupai tetapi roh sebenar. Wallahu’ alam. Maafkan aku sekiranya kenyataan itu tidak tepat. Ok, aku teruskan semula dengan kisah mimpiku itu yang berlaku sebelum subuh. Dalam mimpiku itu, kanak-kanak tersebut memberitahuku bahawa namanya Amira. Ibuku memang menginginkan nama tersebut diberikan kepada anak yang akan datang tetapi hajat tidak kesampaian.
Dia adalah anak yang sepatutnya “anak bongsu” ibuku tetapi dia digugurkan. Katanya, dia mahu hidup tetapi tidak diberi peluang oleh ayah dan ibuku. Amira sangat-sangat marahkan ayah dan ibuku. Sebelum mimpi itu berakhir, Amira meninggalkan pesanan buatku. Amira tidak mahu aku berceritakan hal mimpiku ini kepada sesiapapun terutamanya kepada ayah dan ibuku. Sekiranya aku menceritakan juga kepada sesiapapun, Amira tidak akan muncul lagi dalam mimpiku. Katanya, dia akan muncul setiap 2 tahun sekali untuk memberitahuku dirinya macam mana kepadaku. Aku berpegang kepada janji dan aku langsung tidak bercerita hal mimpi itu kepada sesiapapun.
Selang 2 tahun kemudian, tahun 2007, Amira muncul lagi dalam mimpiku. Umurnya telah menginjak 12 tahun. Semakin besar semakin cantik Amira. Berambut ikal berwarna hitam sedikit keperangan, kulit putih mulus, hidung mancung, kening tebal terletak cantik, bulu mata lentik sangat-sangat, tinggi, kurus dan cukup cantik pada pandangan mataku. Rupanya seakan-akan orang Inggeris kacuk Melayu. Kalaulah Amira wujud di dunia nie, pasti dialah paling cantik dalam adik-beradikku. Amira mula bercakap-cakap dengan dua orang lagi adikku dan Amira telah tidak marah lagi pada kedua ayah dan ibuku.
Dia mula bersalaman dengan kedua ayah dan ibuku. Dalam mimpi tersebut kesemua ahli keluargaku kelihatan gembira. Aku pun gembira sangat-sangat semasa aku bermimpi. Seakan realiti tetapi aku akur, ianya hanyalah sebuah mimpi dan tak mungkin akan menjadi kenyataan.
Pada suatu petang, di pertengahan tahun 2008, ibuku tiba-tiba membuka semula cerita mengenai kandungan yang terpaksa digugurkan itu. Aku benar-benar terkejut dan tak sangka ibuku bercakap mengenai hal itu.
Aku mendengar sahaja luahan hati ibuku yang benar-benar kesal dengan tindakannya menggugurkan kandungan dulu, dengan penuh minat. Ibuku berkali-kali berkata dirinya berdosa sebab gugurkan kandungan tersebut. Aku pula, terpaksalah mungkir janji yang telah aku buat dengan Amira dalam mimpiku tempoh hari kerana aku tidak mahu ibuku terus-menerus menyalahkan dirinya. Aku cerita semua pasal mimpiku dengan Amira itu. Aku katakan lagi pada ibuku yang Amira tak akan muncul lagi dah dalam mimpiku kerana aku telah mungkir janji padanya. Walaupun aku mahu lagi bermimpi dan berinteraksi dengan Amira, “adik bongsuku”, tetapi, Amira tidak mahu muncul lagi sebab aku telah bercerita pada ibuku dan adik-adikku yang lain. Ibuku sangat-sangat sedih dan sangat-sangat rasa serba-salah bila mendengar cerita mimpiku.
Aku rindukan kemunculan Amira “adik bongsu” ku dalam mimpiku lagi tetapi sehinggalah ke hari ini, Amira tidak hadir dalam mimpi-mimpiku. Sepanjang menaip kisah mimpiku ini, bulu romaku tegak dan tak turun-turun. Mungkin sebab aku bercerita pula pada semua audiens FS, menambahkan kemarahan, “AMIRA”…adik bongsuku di dalam mimpi-mimpiku sebelum ini. Terasa-rasa seperti Amira memerhatiku menaip. Umurnya kini 21 tahun. Amira, maafkan kakak. Kakak sayangkanmu, Amira. Tenanglah engkau di sana walaupun ketika engkau “dibuang” dari rahim ibu kita, umur kau baru berusia 2 bulan. Jadilah engkau bidadari Syurga Allah yang kekal abadi.
Sekian dahulu cerita mimpiku yang takkan pernah aku lupakan sampai bila-bila pun. Terima kasih semua kerana membaca. Hargai sangat-sangat.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
fuhhhh, memang kisah benar ni, kalau yang kata tak benar tu maknanya dia tu tak ada bulu roma, habis meremang bulu roma aku kau tau tak.. haishh, kalau tak gugur dulu mesti amira tu dah jadi bini saya, tapi hurm,, apakan dayaaaa
2 bln msk syurga ke?blm cukup sifat kan .wallahualam
Kesian Amira..moga dia tenang di sana
sedihnya baca..bergenang airmata bila terkenang nasib diri yg xpunya zuriat..huaaaa
sedihnya cerita akak
sedihnye….sian amira…spttnye boleh diselamatkn..adeh