#AhmadRusydi – Cermin

Makluman: Ini adalah sebuah kisah rekaan. Kisah ini pernah saya kongsikan di FS dahulu. Sengaja saya kongsi semula, untuk bacaan mereka yang baru join komuniti FS. Jikalau admin sudi, harap dapat publish sekali lagi. Terima kasih.

Aku selalu merasakan bahawa ada sesuatu yang pelik tentang cermin dinding ni. Sejak aku mula berpindah masuk ke rumah ni dua bulan lepas, aku bersumpah dah beberapa kali aku terlihat bayangan seseorang bergerak-gerak di dalam cermin ini dari ekor mata aku. Setiap kali aku berpaling melihat cermin ini, bayangan itu akan hilang. Pernah juga aku bertanya kepada dua orang rakan serumah yang dah duduk beberapa bulan terlebih dahulu sebelum aku, siapa yang gantung cermin ni di belakang pintu masuk. Menurut mereka, cermin itu memang sudah berada di situ sejak hari pertama mereka berpindah ke sini.

Siapa yang gantung cermin belakang pintu? Kan susah nak tengok melainkan pintu tu ditutup. Mereka iyakan sahaja bila aku suarakan pendapatku. Namun, tidak pernah ada sesiapa cuba mengambil inisiatif untuk mengalihkan cermin itu ke tempat lain. Termasuklah aku.

Semakin kurang selesa dengan kelibat di dalam cermin tu, setiap malam aku akan biarkan pintu rumah tu terbuka sampailah aku nak masuk bilik untuk tidur, barulah aku tutup pintu. Mendedahkan cermin yang berada di belakang pintu masuk rumah itu.

Kadangkala bila aku berseorangan di rumah dan pintu masuk tu aku biarkan terbuka, aku agak yakin yang dah beberapa kali aku terdengar pintu itu diketuk perlahan dari arah belakang. Dari arah di mana cermin itu tergantung. Tapi aku diamkan saja. Memang bukan keputusan yang bijak untuk aku tutup pintu tu setiap kali aku dengar bunyi ketukan perlahan dari arah belakang pintu tu. Pintu biasanya diketuk untuk dibuka. Bukan untuk ditutup. Kan?

Pernah sekali, sedang aku asyik duduk melayari laman facebook di atas sofa ruang tamu rumah tu, pintu yang terbuka luas tiba-tiba bergerak tutup perlahan-lahan. Bukan seperti ditiup angin. Tetapi seperti ditolak oleh seseorang yang berada di belakang pintu. Aku lihat tiada siapa yang berada di belakang pintu tu. Yang ada cuma cermin dinding yang agak pelik kedudukannya itu.

Walaupun cermin itu seringkali membuatkan aku tak senang duduk bila keseorangan, namun entah kenapa aku selalu merasakan ada sesuatu yang menarik perhatianku tentang cermin tu. Kalau nak dikatakan sebab ia cantik, rekabentuknya biasa sahaja dengan ukuran lebih kurang lima kaki tinggi dan dua kaki lebar. Bingkainya pula diperbuat daripada kayu yang dicat dengan warna hitam. Pada pemerhatianku, ia hanyalah sebentuk cermin dinding tipikal yang terdapat dalam hampir mana-mana rumah di Malaysia.

Namun begitu, perihal mengenai cermin itu bukanlah sesuatu yang boleh mempengaruhi kehidupanku sepanjang dua bulan aku menetap di situ. sehinggalah pada suatu hari, ketika salah seorang daripada rakan serumahku memberi cadangan untuk mengalihkan cermin itu yang dia rasakan akan lebih berguna sekiranya diletakkan di tempat yang lebih mudah dilihat, seorang lagi rakan serumahku membantah sekeras-kerasnya cadangan itu. Hampir saja mereka berdua berperang mulut dek kerana perihal cermin itu. Selepas dengan susah payah aku cuba meleraikan perbalahan mereka, dengan muka kedua-duanya masam mencuka, Kak Wani yang membantah cadangan cermin itu dialihkan, beredar masuk bilik ke dalam bilik tidurnya. Aku tidur sebilik dengan rakan yang mencadangkan cermin itu dialihkan.

“Farah, kau okay?” Sapa aku.

“Okay.” Jawab Farah ringkas.

“Kenapa kau nak sangat alih cermin tu?”

“Rumah kita ada satu jer cermin panjang. Lepas tu pergi letak belakang pintu pula. Kan susah nak tengok?”

“Yelah. Tapi Kak Wani kan duduk dulu dalam rumah ni sebelum kau. Aku rasa dia lagi berhak untuk buat keputusan.”

“Keputusan apa tu? Tak ada apa-apa. Itu namanya takutkan perubahan. Nak alih cermin pun jadi isu.”

“Yelah.” Balas aku malas nak memanjangkan cerita.

Pada suatu malam beberapa hari lepas perbalahan tu, aku sampai ke rumah agak lewat. Melangkah masuk ke dalam rumah, aku melihat Farah sedang berjalan keluar dari bilik lengkap berpakaian cantik seperti hendak keluar.

“Eh, kau nak pergi mana Farah? Dah nak pukul 11 dah ni.” Kata aku sambil tutup pintu masuk.

“Adalah. Sibuk je kau ni.” Jawab Farah sambil mencebikkan bibirnya.

Aku senyum sahaja. Nampak teruja betul Farah malam tu. Ada date mungkin. Seminit kemudian, ketika Farah sedang membelek-belek mukanya di hadapan cermin belakang pintu masuk tu, Kak Wani pula keluar dari biliknya.

“Kau nak keluar ke Farah?” Tanya Kak Wani.

“A’ah kak. Ada date. Jangan jealous!”

“Eh, tak kuasa akak nak jealous. Huh! Patutlah wangi semacam!” Balas Kak Wani sambil berjalan ke arah dapur.

Farah tersenyum sahaja sambil menghadap cermin membetul-betulkan tudungnya.

Dah berbaik nampaknya mereka berdua ni. Aku pun berjalan masuk ke dalam bilik dan letakkan beg di atas katil. Aku keluarkan telefon bimbitku dari kocek dan masukkan kepala charger. Dah pukul 11 malam. Nak mandi malas pula. Aku pun buat keputusan untuk salin baju tidur sahaja. Sedang aku membuka tudung, tiba-tiba…

DUMM!

Tersentak aku terdengar suatu dentuman kuat datang dari arah ruang tamu. Aku berlari keluar dari bilik. Dari arah dapur aku lihat Kak Wani pun berjalan cepat-cepat ke arah ruang tamu untuk melihat dari mana datangnya bunyi tu.

Tak ada apa-apa yang berlaku. Tak ada apa-apa yang jatuh. Aku lihat pintu masuk terbuka luas rapat ke dinding.

“Eh, mana Farah?” Tanya Kak Wani.

“Tak tahu kak. Baru sekejap tadi ada, kan?”

“Bunyi apa tadi tu? Bunyi pintu ke?”

“Oh, ya tak ya juga kak. Tadi saya dah tutup pintu tu. Mesti si Farah keluar, buka pintu tu luas-luas sampai terhentak pada dinding.”

“Mungkin juga.” Jawab Kak Wani ringkas.

Tapi di dalam hati aku berkata, takkanlah Farah keluar dari rumah tak kata apa-apa. Sebut “bye” pun tak apalah. Cukup sekadar menandakan yang dia sudah keluar dari rumah.

“Excited betul Farah ni.” Fikir aku sendirian.

Selepas Kak Wani beredar masuk ke dalam biliknya, aku pun masuk semula ke dalam bilik aku. Selesai salin baju tidur, aku pun keluar untuk menonton TV. Nak tidur, mata belum mengantuk lagi. Aku capai remote TV dan tekan butang on.

Setengah jam kemudian, entah buat kali keberapa aku asyik tukar-tukar siaran, aku pun buat keputusan untuk masuk tidur sahaja. Seperti biasa, setiap kali aku ingin masuk tidur dan tiada sesiapa lagi di ruang tamu, aku akan tutup pintu masuk rumah tu.

Alangkah terkejutnya aku apabila aku menutup pintu tu, aku terlihat dua kelibat hitam berdiri jauh di dalam cermin tu. Aku nampak kelibat tu tersangat jauh. Bergerak-gerak. Seakan-akan berlari menghampiri aku dari belakang. Cepat-cepat aku hempaskan semula pintu tu laju-laju ke arah cermin tu. DUMM!

“Hoi, kenapa?” Kak Wani menjenguk keluar dari biliknya.

“Tak ada apa-apa kak.” Jawab aku tergamam.

“Eh, kenapa kau pucat ni? Kau nampak apa?”

“Nampak apa kak? Tak ada apa-apalah.” Jawab aku. Aku memang bukan jenis percaya pada benda karut-marut ni. Jadi, setiap kali apabila aku alami perkara-perkara pelik, aku akan suntikkan penerangan-penerangan ilmiah ke dalam fikiranku. Untuk aku bercerita kepada orang lain tentang perkara-perkara karut tu, itu bukan perangai aku.

“Nisa, tutup pintu tu.” Arah Kak Wani kepadaku.

“Eh, biarlah kak. Panaslah.” Kataku, masih berdiri di sebelah pintu itu.

“Tutup kejap! Akak nak tengok cermin tu.”

“Alah, cermin bilik akak kan ada?” Kataku hampir merayu.

Kak Wani cepat-cepat menyambar pintu itu dan menolaknya tutup. Aku tak sempat berbuat apa-apa. Aku terlihat bayangan diriku dan Kak Wani di dalam cermin belakang pintu tu.

“Kenapa Kak Wani nak sangat tengok cermin ni?” Tanya aku geram.

“Kau pula kenapa tak nak sangat tengok cermin ni? Kau pun pernah nampak, kan?” Tanya Kak Wani pula.

Aku terdiam seketika.

“Akak pun pernah nampak ke? Kenapa akak tak pernah cerita?”

“Sebab ceritanya macam mustahil orang nak percaya.”

“Yalah, memanglah macam mustahil. Tapi biasalah kan kak nampak kelibat-kelibat dalam cermin. Kadang-kadang bayangan minda kita saja.”

Kak Wani senyap dengan muka runsing memandang aku.

“Tadi kau nampak dari ekor mata atau kau nampak depan-depan?”

“Depan-depan. Saya tengah nak tutup pintu. Tiba-tiba saya nampak dari jauh kedua-dua kelibat tu berlari ke arah saya. Cepat-cepat saya buka balik pintu ni.”

“Dua? Ada dua kelibat?” Kak Wani bertanya membuntangkan matanya.

“A’ah. Kenapa kak?”

“Siapa lagi seorang?” Tanya Kak Wani kepada dirinya sendiri.

“Siapa lagi seorang? Maksud akak?”

Kak Wani senyap memandang aku. Aku pandang Kak Wani dengan wajah keliru.

“Cuba kau call Farah. Tanya dia dekat mana.”

Aku pun masuk bilik untuk ambil telefon aku yang sedang dicaj. Aku cari nama Farah dan tekan butang call. Tiba-tiba terdengar bunyi nada dering yang digunakan Farah dari arah ruang tamu.

“Farah ni tertinggal telefon ke?” Getus hatiku.

Aku pun keluar dari bilik untuk mencari telefon Farah. Aku lihat Kak Wani sedang berdiri memandang cermin dengan riak wajah yang tak dapat aku gambarkan di sini. Wajahnya pucat bagaikan sudah tiada d***h lagi.

“Kenapa kak?” Aku berlari ke arahnya. Sebelah tanganku masih memegang telefon bimbitku yang sedang menghubungi telefon Farah. Alangkah terkejutnya aku apabila aku dapati bunyi deringan telefon Farah itu datangnya dari dalam cermin.

Tiba-tiba deringan terhenti. Aku lihat telefon aku, panggilan aku disambut! Perlahan-lahan aku mengangkat tanganku melekapkan telefon pada telinga.

“Hel… hello?” Sapa aku teragak-agak.

Tiba-tiba…

PRANG!

Cermin yang tergantung di belakang pintu itu jatuh lalu berderai di atas lantai. Tercampak telefon aku dari tangan akibat terkejut. Kak Wani terjelepok ke atas lantai. Menangis macam orang gila sambil mengutip satu persatu serpihan cermin yang sudah pecah itu.

“Maafkan akak Farah! Maafkan akak!” Kak Wani meraung-raung dengan tangannya sudah mula berdarah kerana menggenggan serpihan-serpihan kaca cermin itu.

Aku tergamam tanpa sebarang kata. Aku rasa aku faham apa yang sedang berlaku. Namun perkara itu langsung tidak masuk akal. Langsung tidak logik. Langsung tidak…

Langsung tidak boleh diceritakan kepada orang lain.

Sudah beberapa hari Farah tidak pulang. Kak Wani pula balik ke kampung. Dengarnya dia dah berhenti kerja. Barang-barang dalam biliknya pun dah tak ada. Yang tinggal dalam rumah tu cuma barang aku dan Farah. Selama Kak Wani sudah pulang ke kampung dan Farah pula tidak pulang ke rumah, selama itu jugalah aku tinggal seorangan di dalam rumah tu.

Hari itu ibu bapa Farah datang ke rumah tu bertanyakan tentang Farah. Katanya, Farah dah lama tak call. Bila ibu bapanya cuba call, panggilan tidak pernah disambung.

Aku tak tahu apa yang perlu aku beritahu. Aku cuma beritahu yang beberapa hari lepas, kali terakhir aku nampak Farah adalah ketika dia sedang bersiap-siap hendak keluar.

Ibu bapa Farah angkut semua barang-barang Farah pulang ke kampung. Mereka beritahu aku mungkin Farah lari ikut lelaki. Aku iyakan sahaja. Mungkin kerana penjelasan itu lebih logik berbanding dengan apa yang ada di dalam fikiranku.

Beberapa hari selepas ibu bapa Farah datang ke rumah itu, aku selesaikan segala hutang-hutang sewa rumah dan berpindah keluar dari rumah tu. Sempat juga aku bertanya mengenai cermin di belakang pintu tu. Kata tuan rumah tu, sebelum Kak Wani masuk rumah tu, ada seorang lelaki buta duduk menyewa di situ. Lelaki buat itulah yang menggantung cermin itu di belakang pintu. Apabila lelaki itu berpindah keluar dari rumah tu, satu-satunya barang yang ditinggalkan adalah cermin itu.

Dalam hatiku bertanya, kenapa seorang lelaki buta perlukan cermin? Untuk apa cermin itu digunakan selain dari untuk melihat diri sendiri?

Soalan aku ini memang tak akan terjawab sampai bila-bila. Apa yang ada di dalam fikiranku ini pula memang tak akan aku ceritakan kepada sesiapa.

Kalau aku cerita pun, mustahil ada orang yang akan percaya. Kan?

Tamat

 

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

11 thoughts on “#AhmadRusydi – Cermin”

  1. Pengarang #AhmadRusydi, saya sangat menghargai karya2 anda. Saya suka idea yg anda lontarkan utk setiap cerpen / novel anda. Saya suka konflik dan isu yang membuat kita berfikir lalu mewujudkan isu suspen. Saya peminat karya2 anda. Saya nak baca semua karya2 anda. 🙂

    Reply
  2. Aku bru dpt baca krya yg ini.. Peminat #ahmadrusydi juga.. Bagus juga publish balik letak nama penulis.. Senang nak cari

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.