Akak Di Belakang Pintu- Part 2 (Kesinambungan Awek Mata Bundar)

Salam, admin FS yang dikasihi dan warga FS dihormati. Terima kasih admin sudi siarkan cerita ambe. Pada pembaca budiman, terima kasih suka cerita abe.

Terimalah Akak Di Balik Pintu Part 2. Yang terkurang tu harap maafkan. Selamat membaca.

Akak Di Balik Pintu Part 2

Buka-buka mata, aku tengok aku dah terbaring semula kat atas katil. Bila masa aku panjat naik katil pun tak tahu. Kepala masih pusing tapi tak seteruk tadi. Sayup-sayup aku dengar bunyi televisyen dari ruang tamu.

“Dah pukul berapa ni? Petak tak tidur lagi ke?” Pelan-pelan aku duduk. Kain lembap menggeluncur dari dahi aku, jatuh ke atas riba. Aku sangkutkan kain tu kat besi kepala katil. Menggaru dahi yang tak gatal bila nampak toto berlipat kat atas lantai. Dua biji bantal terletak bertindih kat atas toto tu. Siapa pulak letak toto dia kat dalam bilik aku ni?

Perit semua sendi semasa aku bangun. Jalan pun sakit. Buka je pintu bilik tidur, terus terkatup balik mata aku. Cahaya matahari menyucuk dari cermin tingkap yang terbuka luas. Dah siang rupanya. Aku ingatkan masih malam.

Kat dapur aku dengar bunyi kelentang kelentung. Aku tahu bukan Petak kat dapur tu sebab helmet dia takde kat sebelah helmet aku. Teringat balik kat Tikah. Masa mula-mula dia datang dulu, kat dapurlah dia mengamuk. Aduh… dia datang balik ke? Lantak kaulah, Tikah. Aku dah tak larat nak lawan kau lagi. Suka hati kaulah nak buat apa pun. Aku tak nak ambil tahu lagi dah.

Aku nak baring balik. Nak tidur. Tak laratlah nak hadap gangguan mistik ni. Tapi tingkap ruang tamu yang terbuka luas tu mengganggu fikiran betul. Aku takut pencuri masuk je. Ah, biar jelah. Malas aku nak jalan jauh-jauh pergi tutup tingkap tu. Dalam hati, terasa kesal dengan Petak. Berani dia tinggalkan tingkap ternganga macam tu padahal dia tahu aku tak sihat.

Masa aku nak tutup balik pintu bilik tidur, ibu muncul dari dapur. Tergamam aku sampai tak berkedip mata tengok dia. Ibu pun terkejut. Sampai terhenti langkah dia. Lepas tu ibu senyum.

“Dah jaga.” Ibu bagi tahu kat siapa entah kat dapur tu. Lepas tu ibu letak dua pinggan nasi kat atas meja depan tv. Dua gelas air dah sedia ada kat situ.

“Ibu?”

“Yalah. Takkan Tikah kut.”

Aduh! Jawapan tak hengat.

“Larat tak nak makan? Huh! Buang masa je tanya kamu soalan bodoh tu. Duduk. Ibu ambik lagi satu pinggan.” Ibu menghilang semula ke dapur.

Pelan-pelan aku jalan ke bangku rotan. Aroma nasi ayam menggamit. Ayam goreng madu kat atas pinggan buat perut aku menyanyi.

“Dah sedar?”

Terus aku palingkan muka. “Ayah!”

“Macam mana badan kamu?” Ayah letak dua mangkuk sup ayam kat atas meja depan aku. Makin terliur aku dibuatnya.

“Sakit. Berbisa.” Berkerut muka aku menahan sakit. Bahagian kat bawah tulang belikat belah kiri tu, terasa menyucuk. Berdenyut-denyut. Tempat lain tak. “Bila ayah ngan ibu sampai?”

“Tiga hari dah.”

Terjawab sudah toto siapa kat dalam bilik tidur aku. Ayah pegang tengkuk dan bahu aku. Tak pasal-pasal aku mengerang. Berbisa sangat aku rasa badan aku kat tempat yang ayah pegang tu.

“Makan dulu. Lepas tu kita pergi klinik.” Ayah ambil pinggan nasi bagi kat aku.

Dengan penuh selera aku makan. Perut aku betul-betul lapar. Kalau betul dah tiga hari ayah dan ibu datang ke situ, maknanya dah tiga hari aku tak jamah apa-apa.

“Hok ni sakit-sakit pun, makan tetap makan.” Ibu menyindir.

Aku jeling je dia. Tapi memang betul pun cakap ibu. Aku, sakit ke, susah hati ke, selera makan tak pernah terganggu. Kenapa pulak aku nak hukum perut aku yang tak salah apa-apa, masa badan atau hati aku buat hal?

“Petak mana?” Aku paling tengok pintu bilik tidur Petak yang terkatup.

“Kerja,” jawab ibu. “Sedap tak nasi tu?”

Aku mengangguk. Masakan ibu mana pernah tak sedap. “Dah tiga hari ibu ngan ayah datang sini?”

Ibu mengangguk. “Kamu tak sedar-sedar. Petak mintak tolong kami datang. Jaga kamu.”

“Tiga hari?” Tak percaya aku. Tu bukan pengsan namanya. Tu dah masuk kategori koma.

“Nak bawa ke hospital, sorang pun tak larat nak angkat kamu,” kata ayah pula. “Tunggu kamu sedar jelah.”

“Kalau Cin tak sedar-sedar jugak? Tak bangun-bangun.”

“Tanam jelah. Nak buat apa lagi?” jawab ibu, selamba.

Astaghfirullahal’azim… sabar jelah hati. Kau tahu mulut ibu kau dari dulu lagi memang dah macam tu.

Selepas makan, ayah dan ibu bawa aku ke klinik. Doktor bagi Panadol je. Baik tak payah pergi. Kat dalam peti ais aku pun berlambak Panadol.

“Larat tak nak jalan jauh ni, Mohsin?” Ayah paling kepala ke belakang tengok aku yang dah berbaring kat atas bangku belakang kereta dia. Kereta aku masih kat bengkel Abang Majid lagi.

“Nak gi mana?” tanya aku, teruja. Ayah nak bawa aku balik kampung ke? Aku on je kalau balik kampung.

“Jumpa ustaz. Ubat saintifik tak jalannya dengan sakit kamu ni,” kata ayah lagi.

“Ikutlah. Ayah tahu ke jalan nak pergi rumah dia?” Aku baring elok-elok. Tulang belakang aku tak larat nak duduk dah masa tu. Mulut tiba-tiba je menguap. Mengantuknya pulak mata aku ni pasal apa? Terawang-awang rasanya bila aku pejamkan mata.

“Ayah redah je.”

“Ikut ayahlah.”

Aku tertidur dalam perjalanan ke rumah ustaz tu. Sedar-sedar dah sampai. Terus aku mengeluh bila tengok berderet-deret rumah flat kat depan mata. Seberang jalannya stesen LRT. Rumah flat tu jenis yang takde lif. Dahlah rumah ustaz tu terletak di tingkat paling atas. Semput aku panjat tangga.

Takde pesakit kat rumah ustaz tu. Tak macam ustaz kat kampung aku. Berjam-jam kena tunggu. Yang ni, masuk-masuk je boleh terus jumpa ustaz tu. Rumahnya pun tak berapa bersih. Ragu-ragu aku dengan ilmu dia.

Aku duduk bersandar kat dinding. Tak larat nak duduk elok-elok. Isteri ustaz tu jamu kami dengan kuih raya, padahal raya dah lama lepas. Dia paksa kita orang makan lagi. Bila ibu tolak dengan baik, perempuan tu buat muka. Ibu terpaksa jamah juga sebab nak ambil hati. Aku tahu ibu waswas. Ibu pandang ayah tapi ayah tengah fokus bagi tahu kat ustaz tu apa jadi kat aku dari A sampai Z.

Dah dengar cerita aku, ustaz suruh isteri dia sediakan air mandian untuk aku. Dia suruh aku mandi air garam bukit tu kat dalam bilik air dia. Aku ikutkan aje walaupun badan tak larat.
Bila aku kembali ke depan, ayah tengah bersembang dengan ustaz tu.

“Hah, cerah dah muka. Tadi kusam je,” tegur isteri ustaz tu.

Aku ucap terima kasih. Apa lagi aku nak cakap. Aku rasa dia keliru antara cerah dengan pucat kut. Air mandian tu sejuk Ya Rabbi. Tubuh badan aku masih belum habis menggeletar lagi.

“Tulis nama dia berbinkan emak dia. Lepas tu tulis tarikh lahir dan alamat rumah dia.” Ustaz tu bagi ayah sebuah diari.

Aku dah musykil dah. Sebab tak pernah-pernah ustaz yang aku jumpa sebelum ni, mintak alamat rumah aku. Mintak nama penuh berbinkan ibu dan tarikh lahir aku tu memang biasa. Ustaz sorang ni je yang mintak alamat rumah. Untuk apa ya?

Ayah ikut je kehendak ustaz tu. Dia terus tulis nama aku berbinkan ibu. Aku tengok, banyak nama dan alamat orang kat dalam diari tu. Masa ayah nak tulis alamat rumah aku, aku nak halang tapi mulut aku macam terkunci. Aku tak boleh bercakap langsung.

Lepas tulis alamat rumah aku, ayah bagi balik diari tu pada ustaz tu. Aku ni expect ustaz tu akan ruqyah aku tapi tak. Dia keluarkan tasbih pendek. Biji-biji tasbih tu besar dan berwarna hitam. Ustaz tu mula berzikir dalam hati. Sepatah haram kita orang tak tahu apa yang dibacanya.

“Ada orang dengki dengan dia ni,” kata ustaz tu, lepas habis berzikir.

“Dengki?” Nak tergelak aku bila dengar dia cakap macam tu. Tikah berdengki dengan aku? Kelakar!

“Ada orang suka kat awak tapi awak tak nak.” Ustaz tu ubah diagnosis dia. “Saya dah halau jin tu dari tubuh badan awak.” Kasar sikit suara ustaz tu. Takde macam mula-mula tadi.

“Jin Islam ke jin kafir?” Gagah mulut aku bertanya. Layan ajelah. Nak tengok sampai tahap mana dia nak pergi.

“Kafir,” jawab ustaz tu.

“Ustaz halau je ke? Tak sembelih? Hantar dia ke tempat dia ke?” tanya ibu pulak. Jangan main-main dengan ibu. Benda-benda macam ni ibu tahu semua. Cuma ibu tak boleh merawat orang je.

“Tak perlu kejam dengan makhluk Allah yang lain,” kata ustaz tu. Tapi muka dia dah lain dah aku tengok. Macam bengang je kena soal dengan ibu.

“Dah selesai ke? Ustaz tak nak ruqyah saya ke?” tanya aku pulak. Badan aku sakit sangat ni. Aku nak jugak rasa kena ‘tikam’ macam yang aku tengok kat video yang tular di Facebook tu. Orang kata, lepas kena ‘tikam’ tu memang insya-Allah baik.

“Tak perlu. Buang masa dan tenaga je lawan jin yang rasuk awak,” kata ustaz tu lagi.

Spontan aku berbalas pandang dengan ibu. Memang mengarutlah ini ustaz. Bila masa pulak aku kena rasuk? Sah metod yang dia pakai memang tak boleh masuk dengan kami. Aku langsung tak percaya dengan dia. Ibu lagilah. Member-member ibu ramai ustaz dan ustazah yang pandai merawat orang. Tengok muka ibu pun aku tahu dia tak percaya satu sen pun dengan ustaz tu.

“Berapa… errr…” Ayah teragak-agak.

“Bawa balik garam bukit ni. Buat mandi sebelum maghrib. Bubuh satu sudu besar ke dalam air, kacau tujuh kali ikut pusingan tawaf sambil baca al-Fatihah sebelas kali, ayat Kursi sebelas kali.” Ustaz tak endahkan soalan ayah. Dia letak tiga bekas garam bukit kat depan kami. “Satu bekas ni RM45. Ambik tiga, saya bagi RM100 je. Offer bulan ni.”

“Ambik satu je dulu, ustaz,” kata aku. “Berapa pengerasnya?” Aku pun tak tahu nak sebut apa. Cas ke? Ke pengeras?

“Bagilah berapa. Ikut ikhlas hati. Tapi yang ni kena ambik 3 bekas.” Ustaz tu terus masukkan tiga bekas garam bukit tu ke dalam plastik. Terbang RM150 duit ayah petang tu. “Minggu depan datang lagi untuk rawatan susulan,” pesan ustaz tu lagi.

Dalam kereta, ibu luahkan rasa tak puas hati dia kat ayah. Aku iyakan aje. Cakap ibu tu semua benar belaka. Takde satu pun yang tak benar.

“Mana awak dapat ustaz tu, abe? Main paksa-paksa pulak kita ambik barang dia.” Merungut-rungut ibu. Dikibas-kibasnya kain baju kurungnya.

“Kawan saya yang syorkan…”

“Mengarut ustaz tu, abe. Ustaz lain ubat guna ruqyah. Dia ni sah-sah pakai khadam.” Ibu mengomel.

“Tak baik menuduh,” tegur ayah.

“Buat apa dia ambik alamat Cin, ayah?” tanya aku pula. Apa motifnya?

“Dia kata nak tolong ubat dari jauh,” kata ayah.

“Ubat dari jauh ke hantar khadam dia bagi Mohsin sakit lagi!” Ibu dengan teori konspirasi dia. Kau buat benda tak betul, memang kenalah dengan ibu.

“Berdosa besar kalau awak salah. Fitnah tu.” Sekali lagi ayah tegur ibu.

“Awak tengok nanti, abe. Kalau awak tak percaya cakap saya, awak tengok apa jadi lagi dua tiga hari.” Ibu tak kalih dari pendiriannya.

Aku diam ajelah. Baik aku tidur. Biar ibu sorang bergaduh dengan ayah. Sampai rumah pun aku sambung tidur sampai esok. Aku terjaga bila dengar ayah nak pergi solat Jumaat.

“Nak ikut ke?” tanya ayah bila tengok aku duduk. “Tak payahlah. Tumbang kat masjid tu karang, ganggu jemaah lain.”

Dah dengar ayah kata macam tu, aku tumbangkan balik badan aku kat atas katil. Sayup-sayup aku dengar bunyi enjin kereta ayah mengaum. Lepas tu hilang, meresap dalam bunyi enjin kenderaan orang kawasan tu yang sama-sama nak ke masjid. Pelan-pelan mata aku pejam balik.

“Mohsin! Mohsin!” Suara ibu mengejutkan aku. Pelan-pelan aku buka mata tengok ibu yang berdiri kat pintu.

“Takpelah, mak cik. Kalau dia tak sihat lagi, takpe. Tak payah kejut dia.”

Berdebar jantung aku bila dengar suara Dahlia. Betul ke dia ada kat rumah aku? Ke aku tengah bermimpi?

“Dah jaga dah dia, Dahlia.” Ibu masuk ke dalam bilik aku. “Bangun, Mohsin. Tak baik biar tetamu tak dilayan. Nah. Lap muka kamu.” Ibu sua tuala lembap kat aku.

Sakit-sakit pun aku gagah jugak bangun. Dahlia sanggup datang ke rumah. Takkan aku nak memerap je kata dalam bilik tidur. Aku lap muka aku dengan tuala basah tu. Buang tahi mata dan air liur basi yang melekat kat keliling mulut. Bau mulut aku je aku tak boleh nak buat apa. Ibu pulak sibuk betulkan rambut aku dengan tangan dia. Dah macam budak kecik aku dibuatnya.

“Dah hensem balik dah.” Ibu kemaskan kening aku pulak. Mujurlah ibu tak guna air liur dia nak betulkan bulu kening aku.

Pelan-pelan aku keluar ke ruang tamu. Nasib baik aku pakai baju dan seluar panjang semalam. Kalau pakai kain pelikat, dah jadi macam orang lepas bersunat kut rupa aku.

Rupanya bukan Dahlia seorang je yang datang. Jennifer dan Mr. Ong pun ada sama. Malu-malu aku senyum kat dia orang. Sempat pandang muka Dahlia. Dia nampak concern. Aku duduk jauh dari dia orang. Takut sampai bau mulut aku kat Dahlia. Terus tak berselera dia nanti kat aku.

“Haiya, teruk betullah you punya rupa, Mohsin,” tegur Mr. Ong.

Apa ni, bos depan-depan Dahlia cakap macam tu. Jatuhlah saham aku. Tapi aku senyum ajelah. Masuk kerja nanti, tahulah aku macam mana nak pau dia.

“You dah pergi hospitalkah?” tanya Jennifer.

“Klinik je, Jen.” Aku senyum kat Dahlia.

“Tak pergi cari ustaz ke?” soal Dahlia pula. Dia punya muka memang nampak sangat risau. Agaknya teruk rupa aku kut. Takpelah. Sekurang-kurangnya Mr. Ong tak boleh tuduh aku sengaja ambil MC.

“Dah. Tak rasi,” jawab aku. Perlahan dan lemah.

“Nanti saya carikan untuk awak,” kata Dahlia.

“Pasal apa mau jumpa ustaz? Pasal itu hantukah?” tanya Jennifer. Mr. Ong tanya dia dalam bahasa Cina. Bersembang pulak dia orang berdua dalam bahasa Cina. Jennifer cerita kejadian dalam lif hari tu agaknya. Aku teka je sebab banyak kali dia sebut lif.

Aku ambil kesempatan pandang Dahlia. Dia gerak-gerakkan mulut dia. Cakap sorry tanpa suara. Aku mengangguk je. Senyum biasa je. Tapi dalam hati dah berbunga-bunga.

Lepas minum air yang ibu hidangkan, dia orang pun minta diri. Nak cari makan pulak. Aku tak hantar ke kereta. Duduk je kat bangku aku tu. Alasan aku, kononnya aku tak larat nak jalan tapi sebenarnya mulut aku berbau.

“Datanglah lagi,” pelawa ibu. Tak tahulah pada siapa dia pelawa.

Bila ibu masuk ke dalam rumah, dia punya senyuman dah lain macam. Aku tersipu-sipu tapi aku takde masa nak layan soalan ibu. Pelan-pelan aku berjalan ke bilik air sebab sejak dari jaga tadi aku dah rasa nak terkencing sangat dah.

Selesai melepaskan hajat, aku basuh muka dan gosok gigi. Terus segar satu badan. Aku pun keluar.

“Allahu!”

#abekrambitoriginals
#abekrambit
#awekmatabundar
#akakdibalikpintu
#seram

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 1]

22 thoughts on “Akak Di Belakang Pintu- Part 2 (Kesinambungan Awek Mata Bundar)”

  1. tak faham laa..

    awat ramai samakan abe ngn ijam??

    ijam ada cara dia..abe pun ada cara dia..duadua saya follow… 🙂

    kesian penulis selalu minta jgn disamakan dgn IK..

    Reply
  2. bila mau sambung cerita ni dah lama tunggu dah ni…tolong percepatkan cerita ni jangan buat kami tertunggu tunggu..pleaseeeee….

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.