Aku, Elli dan Retina

Elli merupakan seorang perempuan yang gemuk tapi rupanya manis. Seorang yang periang. Sentiasa buat orang di sekelilingnya ketawa dengan telatahnya. Takutkan kucing. Namun, disebalik watak ceria yang ditonjolkannya saban hari, dia sebenarnya menyimpan seribu satu rahsia yang ada pada retina-nya.

Selepas aku graduate, aku mengangur lama. Entah la. Aku tak tau kenapa susah sangat aku nak dapat kerja. Mana silapnya pun aku tak tau. Resume aku kemas, gambar passport dah macho dah, CGPA pun boleh tahan. Mungkin pengalaman kerja yang kurang. Memang la kurang, lepas SPM aku sibuk belajar sampai habis degree, mana ada masa nak gain experience.

Alhamdulillah, lepas setahun tanam anggur yang tak berbuah, aku akhirnya dapat kerja di sebuah firma audit di ibu kota. Disebabkan aku bukan anak jati kota metropolitan tu, aku terpaksalah mencari rumah sewa di sekitar lembah klang. Cari punya cari aku akhirnya decide untuk duduk di sebuah pangsapuri yang agak terpinggir dari bandar dan berada betul-betul di sebelah landasan KTM.

Ekonomi makin meleset, nak jimat punya pasal, aku sanggup menyewa di tingkat 16, tingkat paling atas pangsapuri tu. Faham-faham la kan, tingkat tinggi-tinggi ni orang tak suka duduk, leceh kalau ada kecemasan ke, tertinggal barang ke. Sebab tu sewa murah. Waktu pun suntuk, aku dah nak kena masuk kerja beberapa hari lagi, so tak ada pilihan. Tu je rumah yang aku mampu jumpa. Tengok gambar gitu-gitu je terus setuju dengan tuan rumah, terus ambik kunci.

Bila dah sampai kat tempat parking, aku rasa macam “serious la ni tempatnya?”
Tempat parking kereta banyak sampah sarap longgok bersepah. Kalau nasib tak baik, ada la sampah atas kereta sebab penduduk yang tak bertanggungjawab buang sampah ikut tingkap dapur, jatuh ke bawah, ke atas kereta. Anjing pula merata-rata tapi aku jenis tak takut anjing sebab bagi aku anjing ni “penjaga” . Lif sumpah hancing giler!! Dan kawasan lif agak tertutup tak masuk cahaya matahari, jadi bila malam memang gelap kalau lampu rosak.

Bila sampai tingkat 16, aku pandang Rahman, Rahman pandang Hakim, Hakim pandang aku. Masing-masing macam tak percaya ini keadaannya kat tingkat 16. Hanya ada 5 buah rumah yang berpenghuni daripada 20 buah rumah. Yang lain-lain tu, pintu tak ada, dinding kena conteng, siling berlubang, tingkap tak ada kaca. Rumah kitorang paling hujung. Selang dua buah rumah, ada 1 family duduk situ. 3 lagi, family jugak, tapi duduk side sana jauh sikit dari rumah sewa kitorang. Dan diorang semua tak mesra langsung. Senyum pun tak dibalasnya.

Dari lif nak menuju ke rumah kitorang, kena lalu depan 8 buah rumah yang kosong, buruk, scary dan gelap dalamnya kalau waktu malam.

Tapi apakan daya, deposit dah bayar. Kalau nak blah, hangus lah deposit. Deposit pun pinjam parent janji nak ganti tiga kali bayar. Dah la baru nak mulakan hidup masa tu. Nak tak nak terpaksa REDHO dengan kondisi rumah tu dan sekelilingnya. Penduduk situ ramai, tapi semuanya duduk tingkat rendah-rendah. Semakin tinggi tingkat, semakin kurang rumah yang berpenghuni.

Luar sumpah buruk,tapi dalam macam kondo. Itulah rumah sewa kitorang. Sebab tu lah aku macam terkejut bila sampai kat bawah tadi. Sebabnya gambar rumah yang tuan rumah bagi tu semuanya kondisi dalam rumah je, yang berjaya menarik minat aku. Semua benda ada, lengkap. TV, ASTRO, katil, bilik ada 3 elok kitorang bertiga menyewa sorang satu, peti sejuk, mesin basuh, bilik mandi ada dua, dapur gas, sofa, meja makan. Macam rumah family dah. Dan murah RM450 sebulan. Mana kau nak dapat harga camtu zaman sekarang area lembah klang ni. Sebab tu aku terus setuju je.

Beberapa bulan pertama kitorang duduk situ, tak ada benda-benda seram berlaku kat aku. Tapi Hakim, dia kata ada sekali dia nampak perempuan dekat dapur masa subuh. Disebabkan insiden tu cuma sekali, dah hanya Hakim yang mengalaminya, Aku ngan Rahman buat endah tak endah je la.

Dan episod seram bermula bila kitorang jumpa Elli pada suatu hari.

Masa tu kitorang lepak dekat mamak. Borak panjang. Ramai-ramai dalam tujuh orang macam tu. habis teh ais, order teh tarik. Habis teh tarik, order air kosong. Macam-macam diborakkan sampailah masuk topik hantu dan tanpa sengaja Wahida terbuka cerita bahawa Elli boleh “nampak”, boleh “rasa” dan boleh “tengok”.

Yang menariknya, Elli bukan sahaja boleh nampak apa yang ada ketika itu kat sekeliling tapi boleh nampak tempat-tempat lain yang orang-orang depan dia ni pernah pergi, time tu juga dia boleh nampak.

At first aku macam gelak la, kau ada superpower ke apa? Elli terus sengih dan dia cakap, “dekat tempat kau parking kereta selalu, bawah pokok yang daun hijau kuning tu, ada pili air kan?”. Aku terus bayangkan dan betul apa yang dikatakan tu. Aku angguk, lepas tu dia senyum sinis lagi. Dia cakap, “ada perempuan cantik duduk kat pili tu, selalu duk perhatikan kau balik kerja time maghrib.”

Aku macam tak percaya, aku gelakkan je. “But,don’t worry, dia jenis tak kacau orang. Yang aku risaukan, yang dekat tangga depan rumah korang.” Masa tu aku terus focus pandang muka Elli. “Pemegang tangga tu cat warna ungu kan?” Elli tanya lagi. Masa tu aku dah start meremang. Elli tak pernah datang rumah kitorang. Macam mana dia tahu warna cat pemegang tangga tu? Tak, sebenarnya macam mana dia tahu depan rumah kitorang ada tangga?

“Kenapa dengan tangga?” aku tanya balik.

“Yang tangga ni suka kacau orang. Aku tak nampak sangat muka dia macam mana. Kabur. Tapi dia besar, tinggi dan kuat. Aku harap kau jangan sesekali guna tangga tu. dia duduk kat tingkat 8 dan 9.”

Masa tu aku dah mula ada rasa percaya sikit-sikit. Aku pandang Hakim, muka dia dah pucat. Rahman masih steady melantak nan cheese ayam tandori.

“MashaAllah! Dia dah tau, aku tau dia ada situ!” tiba-tiba Elli tekup muka dia, tutup mata dia. Dia macam sedikit menjerit sampaikan ada beberapa meja sebelah kitorang duk pandang-pandang.

“Kat dalam rumah ada tak?” soal Rahman tiba-tiba.

Elli angguk perlahan. Dia cakap kat dalam rumah ada sorang perempuan. Duduk dekat singki dapur sebab dari dulu lagi memang tu rumah dia, kampung dia.

“Korang, please pindah.” Perlahan je Elli cakap macam tu.

Begitulah serba sedikit perbualan kitorang masa lepak tu. Elli boleh tengok malah melangkaui jarak sekeliling dia. Dia kata tak semua orang dia boleh tengokkan. Biasanya dia boleh tengokkan untuk orang-orang yang rapat atau kenal lama dengan dia. Aku pernah bawak kawan aku yang Elli tak kenal langsung, Najmi. Mintak Elli tengokkan ada apa kat rumah Najmi tu sampai dia selalu kena tindih. Tapi, Elli tak dapat nak tengok.

Asalnya aku macam susah nak percaya cerita Elli ni. Masih degil duduk rumah tu tak pindah-pindah. Sebab aku memang langsung tak kena kacau. Sampailah satu hari, Rahman demam seminggu. Badan dia susut tapi yang peliknya selera dia tinggi. Makanan yang aku dan Hakim beli untuk dia semua habis dia makan. Masa makan dia akan rancak berbual. Tapi lepas tu, dia tiba-tiba tak banyak cakap pastu baring. Tak tidur pun tapi baring pandang dinding, pandang siling.

Jumaat tu, bila aku balik kerja,aku tengok Rahman still duk terbaring demam. Aku tak tau nak buat apa, dah pergi klinik dua tiga kali ambik MC cucuk bagai. Tak jugak kebah demam dia. Last-last, aku call kakak Rahman. Macam tak sedap la kan, si kawan ni demam nak dekat seminggu tapi tak inform family.

So,aku pun call kakak dia. Kakak dia angkat lepas tu letak. Aku call lagi, angkat lepas tu letak semula. Kali ketiga aku suruh Hakim call, dia angkat tapi dia terus tengking Hakim “Akak on the way pergi rumah korang!!” dan terus letak. Suara dia kuat sampai aku pun boleh dengar. Tak lama lepas tu aku dapat whatsapp, “Akak otw ke sana. Pack your things guys! Call owner cakap you all nak pindah immediately!”

Bila kakak Rahman sampai, dia sendiri terperanjat beruk tengok keadaan sekeliling rumah kitorang. Kitorang angkut semua pakaian dan barang berharga. Barang-barang lain kitorang tinggalkan dulu.

Kitorang terus shoot balik Pahang. Kakak Rahman terus bawak kitorang pergi jumpa seorang ustaz ni. Ustaz ni sedara mara si Rahman ni jugak. Ustaz tu geleng kepala tengok kitorang.

Dan terbongkarlah kisah si Rahman ni tengah lepak dekat mamak sorang-sorang. Tiba-tiba datang sorang laki tua cakap loghat melayu jawa, dia nak jual cincin dekat Rahman sebab dia tak ada duit nak makan. Rahman ni memang peramah. Siap suruh pakcik tu duduk dan belanja makan. Ni sikap Rahman yang aku tak berkenan. Mudah baik ngan orang entah siapa entah. Duduk borak punya borak, Rahman kalah ngan pujuk rayu pakcik tu, dia beli la cincin tu dengan harga RM30 je. Sekali dengan cincin tu, pakcik tu bagi sebatang kayu katanya itu buluh perindu dengan sehelai bulu burung katanya bulu rajawali. Aku pun tak tau apa motif Rahman setuju nak beli benda-benda tu.

Dan rupa-rupanya, dalam tiga barang tu ada “benda”. Macam saka. Siapa yang beli, orang tu akan jadi tuan baru.

Entah ustaz tu buat macam mana, berjaya la lepaskan Rahman dari jadi tuan tiga “benda” tu.

“Ustaz, maghrib tadi diorang ni ada call saya, bila saya angkat saya dengar bunyi perempuan ketawa. Kali kedua dengar perempuan menangis. Kali ketiga dengar perempuan menjerit. Benda dalam cincin ni ke ustaz?” soal kakak Rahman tiba-tiba. Aku terus terbeliak mata dengar soalan dia. Terus pandang Hakim.

“Bukan. Ada benda duduk sekali dengan diorang ni kat rumah tu sebenarnya. Duduk dekat singki dapur. perempuan. Cantik! Saya pun tak tau kenapa dia ketawa, tapi dia menangis sebab dia takut dengan benda dalam cincin ni.” ustaz tu cakap macam tu.

Tuhan je yang tahu betapa meremangnya aku masa tu. Terus aku teringatkan kata-kata Elli yang aku tak pernah nak percaya tu.

……

Aku akhirnya resign dari firma audit tu dan aku kembali menganggur dan pulang ke kampung. Kenapa aku resign? Entah la. Tak ada reason kuat. Tapi, salah satu sebabnya, susah nak dapat rumah sewa yang “bersih”. Aku penat pindah randah. Menyesal pula aku tahu si Elli ni boleh “nampak”. Setiap kali aku pindah rumah, setiap kali tu jugak aku tanya dia, rumah ni ok ke tak. Dan setiap kali tu jugak la ada je benda tak kena.

Aku balik kampung. Dalam dua bulan jugak la aku menganggur lepas resign tu. Dalam masa menganggur tu, aku tolong mak aku meniaga nasi lemak. Aku duduk rumah arwah nenek sebab lepas arwah pergi, rumah dia tak terjaga.

Dan, kat rumah nenek aku pun tak terlepas dari kisah misteri dan seram. Nak tau?
Search dekat page Fiksyen Shasha ni. Tajuknya: Aku, Nenek dan “Dia”
http://fiksyenshasha.com/aku-nenek-dan-dia/

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 4.7]

9 thoughts on “Aku, Elli dan Retina”

  1. nice story telling…
    nice experience…
    mmg scary… lbh2 lg bagi seorg ppuan yg hijabnya terbuka utk lihat apa yg org len xleh nmpk. i juz wonder how do they feel to see all these kinda things yg scary ni ye? idop deorg xterganggu ke?

    wish all writer/story teller sertakan nama deorg so that we can recognize their other stories…
    good job x-auditor..

    Reply
    • Cuba kau lak buat cerita. Kat mana2 post tk pernah nampak positive comment drp kau. Adakah kau ni jenis yg mulut busuk hati pun busuk?

      Reply
  2. Aku pnh baca citer ney kat PENSEL STUDIO adakah anda telah mengopinya dan mletakknnya ke ruangan FS..

    #TAKJADIBACASEBABDAHTAUCITER

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.