Alisa

Alisa mendongak ke atas melihat awan yang semakin mendung. Kakinya tidak duduk diam. Sekejap bersila, sekejap berlunjur. Matanya liar memandang sekeliling. Sunyi sepi. Kanak-kanak yang tadinya ramai kini masing masing sudah pulang ke rumah. Alisa bingkas bangun. Kalau ditunggu, dia juga yang basah terkena hujan. Tapi, sejujurnya Alisa masih takut untuk pulang ke rumah. Sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam lif, degupan jantungnya semakin kencang.

‘Ahh sudah.. apa sudah jadi ni?’

Monolog Alisa. Lalu jarinya menekan butang bernombor sembilan. Matanya dipejam seketika lalu mengeluh berat.

‘I need to be brave! Itu semua hanya khayalan. Tidak ada apa yang perlu aku takutkan’
Alisa berkata-kata dalam hati. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Alisa lekas keluar dari lif, berjalan agak laju ke rumahnya. Setibanya di hadapan pintu rumah, tangan Alisa laju menyeluk poket mencari cari kunci.

Tiada. Alisa cemas.

‘Kenapa pulak kunci takda ni? Tadi elok je ada dalam poket. Ke terjatuh?’

Alisa pusing kebelakang. Berjalan semula ke lif. Niatnya untuk mencari kunci rumah di taman permainan. Mungkin kuncinya masih ada di taman sekiranya benar kunci itu terjatuh. Tetapi Alisa tidak dapat menerima hakikat bahawa kuncinya sudah hilang. Hatinya benar-benar yakin bahawa kunci rumah sememangnya ada di dalam poket seluar. Tidak dikeluarkan pun malah Alisa sendiri seorang yang sangat menjaga barang. Pelik. Tapi apakan daya, Alisa harus juga ikhtiar mencari. Rakan-rakan serumahnya pula masih belum pulang. Nina ada kelas, Shima pula ada mesyuarat persatuan. Alia dan Ain masih belum pulang ke rumah. Hidup sebagai pelajar universiti, senang-senang saja mereka ponteng kelas semata-mata ingin bercuti di Terengganu. Mentang-mentanglah mereka semua sudah berada di tahun akhir pengajian.

Apabila pintu lif terbuka, Alisa terus masuk. Sekali lagi, tangannya menyeluk poket apabila terasa seperti poketnya itu berisi.

“Ya Allah! Kunci ada rupanya!” ujar Alisa. Namun, hatinya mulai berdegup kencang semula. Masih mahu bermain gamaknya. Belum puas mengacau ketenteraman hidup Alisa. Semalam, Alisa tidak dapat tidur sehinggalah waktu subuh. Setiap kali Alisa pejam mata, mesti ada bisikan namanya. Suara garau yang menakutkan dan seolah-olah memanggil namanya dengan marah. Alisa cuba mengejut Nina, namun Nina bagaikan tidur m**i. Sedikitpun tidak menyahut sedangkan Nina jenis yang mudah sedar apabila dikejut. Telefon Alisa yang berada di atas meja lampu juga tiba-tiba m**i apabila dia cuba memasang ayat al quran. Tidak dapat hidup langsung. Dalam ketakutan, Alisa tidak putus-putus membaca ayat-ayat suci al quran. Walaupun gangguan itu hilang namun ia hanyalah sebentar. Bila Alisa sudah sedikit tenang, gangguan itu mulai datang. Alisa geram. Bila dia cuba bangun, kakinya pula seolah-olah dipegang. Tidak dapat bergerak. Cahaya samar-samar dalam biliknya itu membolehkan Alisa melihat satu lembaga hitam. Wajahnya tidak jelas tetapi berdiri betul-betul di hujung katil menghadap Alisa.

Sebaik sahaja gangguan semalam muncul dalam fikirannya, Alisa menyentuh kedua dua pipinya. Bayangan lembaga itu kian segar dalam fikirannya. Dia menyandar pada dinding lif. Rasa takut mulai menguasai diri.

“Lisa, kau pergi mana? Bukan ke kau ada kelas pagi je?” tegur Shima sebaik sahaja pintu lif terbuka. Shima yang menggunakan lif di hujung bangunan berasa pelik memandang Alisa yang dilihat sedang sedih menyandar pada dinding lif. Alisa memandang lemah wajah Shima. Dalam hatinya terus mengucap syukur. Sekurang-kurangnya Shima sudah pulang dan dia tidak berseorangan di dalam rumah. Alisa terus keluar dari lif dan memeluk erat tubuh Shima. Shima tergamam. Namun Alisa hanya berdiam diri selepas memeluknya. Eh, kenapa?

“Kau okay ke?” tanya Shima setibanya di hadapan rumah. tangannya laju membuka pintu.
Alisa mengangguk. Malas hendak membuka cerita. Lagipula dia mahupun rakan serumahnya yang lain belum pernah diganggu sebelum ini. Bahkan mereka juga amat menitikberatkan soal agama. Mungkin itu cuma halusinasinya sahaja. Jadi, Alisa memilih untuk berdiam sahaja walaupun dia sendiri masih keliru dan berasa seram apabila kunci rumahnya tadi hilang dan kemudian tiba-tiba ada pula di dalam poket seluarnya. Ahh! Bingung!

“Aku ingatkan jiran depan rumah kita yang keluar lif tadi. Rupanya kau,” Shima membuka cerita.

“Aku turun bawah tadi. Pergi taman tu haa tengok budak-budak tengah main. Lagipun sorang dalam rumah. Sunyi…boring..,” jelas Alisa.

“Malam ni biar aku masak. Aku tengok kau macam sakit je. Kau makan ubat lepastu tidur,”

“Aku tak cukup tidur je, Shima. Tak apa, biar aku masak. Hari ni kan turn aku masak. Lagipun dah pukul 6.30 dah ni. Tak elok tidur masa ni,”

“No. kau rehat je. Kalau kau nak sangat buat kerja, tolong angkat kain tu je. Langit gelap nak hujan ni. Nanti kena tempias hujan. Kang lembab kain tu. So, aku masak. Muktamad,”

“Thank you Shima,” senyuman lebar dihadiahkan pada Shima. Sahabatnya itu benar-benar memahami. Walaupun Shima baru sahaja pulang setelah keluar sejak jam 7 pagi tadi, namun sedikitpun dia tidak kisah untuk menolong.

Perbualan mereka berhenti disitu. Shima masuk ke dalam bilik untuk membersihkan diri sebelum memasak manakala Alisa pula ke beranda untuk mengangkat kain. Usai mengankat kain, Alisa berbaring di atas sofa. Dia rasa takut untuk berehat di dalam bilik. Takut sekiranya gangguan semalam muncul lagi. Dua tiga minit kemudian, Alisa terlena.

Shima menutup pintu bilik mandi sebaik sahaja keluar. Tuala yang membalut rambutnya dibuka lalu menyisir rambut di hadapan cermin meja solek. Tiba-tiba, cermin meja solek itu pecah. Serpihan kaca cermin meja solek itu termasuk dalam mata Shima. Shima menjerit sakit.

“Lisa! Lisa!” panggil Shima. Panggilan Shima tidak dijawab. Dalam kesakitan, Shima berlari masuk ke dalam bilik mandi untuk mencuci matanya dengan air agar kaca yang masuk ke dalam matanya itu dapat dikeluarkan. Dalam kekalutan itu, Shima terjatuh sebaik sahaja kakinya melangkah ke dalam bilik mandi. Kakinya terseliuh. Kali ini jeritan Shima semakin kuat. Shima menahan sakit pada matanya dan ditambah pula dengan kakinya yang terseliuh sehingga dia sukar untuk bangun.

“Lisa! Tolong!” jerit Shima lagi. Namun keadaanya masih sama. Alisa langsung tidak menjawab.

Dumm!!!!

Shima terkejut. Pintu biliknya tertutup dengan sendiri. Lampu biliknya juga terpadam. Dalam kekalutannya berlari masuk ke dalam bilik mandi tadi, Shima tidak memasang lampu bilik mandi. Jadi, seluruh biliknya termasuklah bilik mandi berada dalam keadaan gelap. Shima cemas. Dadanya berdegup kencang. Perlahan-lahan Shima mengesot keluar dari bilik mandi menuju ke suis lampu hanya menggunakan sebelah tangan sahaja. Tangan sebelah kanannya pula menutup mata yang luka.

“Argh!!!!!!” jerit Shima. Kedua-dua kakinya diheret kasar masuk ke dalam bilik mandi. Shima semakin cemas. Dia diheret tetapi tiada sesiapa pun di hadapannya. Shima menjerit tidak henti. Tangannya cuba membuka pintu bilik mandi yang tertutup sendiri sebaik sahaja dia diheret masuk ke dalam.
“Kau siapa? Apa kau nak haa?” Shima menjerit. Dia tidak dapat menahan ketakutan. Tangisannya semakin kuat.

“Lisa! Lisa! Tolong aku!” jerit Shima lagi namun masih tiada jawapan. Bilik mandi itu benar-benar gelap. Shima cuba untuk berdiri namun gagal. Pintu bilik mandi pula masih tidak dapat dibuka. Tangisan Shima masih tidak berhenti. Dari belakang, seseorang menutup mulutnya dan mengheret Shima ke hujung dinding bilik mandi. Kepalanya direndam di dalam baldi yang penuh berisi air sabun dan dua helai pakaiannya yang baru sahaja direndam semasa mandi sebentar tadi. Shima bergelut namun kepalanya langsung tidak dapat diangkat. Shima tidak kuat menahan nafas. Kepalanya terus ditolak masuk ke dalam baldi sehinggalah Shima akhirnya berhenti bernafas. Tangannya yang bergelut tadi mulai jatuh ke lantai. Jasadnya yang tidak bernyawa itu diheret pula masuk ke dalam bilik stor yang berada di dapur. Jasadnya ditinggalkan di dalam almari buruk di dalam bilik stor dan dikunci dari dalam.

“Assalamualaikum,” suara Nina dari luar rumah memberi salam. Namun, salam Nina tidak dijawab. Nina mengetuk pintu rumah.

“Assalamualaikum. Lisa, Shima!” jerit Nina.

‘Itulah kau Nina. Lain kali tinggal lagi kunci’ monolog Nina. Akibat bergegas ke kelas pagi tadi, dia tertinggal kunci rumah.

Dari dalam, Alisa membuka matanya perlahan-lahan. Matanya tepat memandang jam dinding yang menunjukkan jam 7.45 malam.

“Alisa! Shima… bukak pintu cepat!” jerit Nina lagi. Alisa bingkas bangun dari sofa. Badannya masih terasa penat dan matanya masih mahu tidur. Pintu dibuka.

“Kau tidur ke?” Tanya Nina sebaik sahaja Alisa membuka pintu. Alisa mengangguk.

“Shima mana? Bukan ke dah balik?” Tanya Nina lagi.

“Ada, tadi dah balik. Dalam bilik kot,” duga Alisa. Alias kembali semula ke sofa dan menyambung tidur. Badannya benar-benar keletihan. Tidak berdaya untuk bercakap seolah-olah dia telah melakukan kerja berat seharian.

Nina berjalan masuk ke bilik utama. Lampu dipasang. Nina terkejut sebaik sahaja melihat cermin meja solek yang pecah dan banyak serpihan kaca di atas lantai. Nina berjalan menuju ke bilik mandi. Lampu dipasang. Apa yang lebih mengejutkan Nina ialah alatan mandi semuanya berselerak di atas lantai.

“Shima! Kau kat mana?” Nina mulai risau. Nina kembali ke ruang tamu, mengejutkan Alisa yang sedang tidur.
“Lisa, wake up! Mana Shima? Apa dah jadi ni?” tanya Nina, cemas. Alisa memaksa matanya dibuka.
“Shima tadi kata nak mandi lepastu dia cakap nak tolong masak sebab aku tak sihat. Tadi ada je,”
“Betul ke? Kau tengok dalam bilik Shima. Cermin meja solek pecah. Habis kaca atas lantai. Alatan mandi semua berterabur atas lantai dalam bilik mandi. Kenapa?”
“Serious? Aku tak dengar apa-apa pun. Aku tidur tadi,” Alisa terus bangun dan berlari anak masuk ke dalam bilik Shima. Ternyata apa yang dikatakan oleh Nina ialah betul.

“Cari Shima!” Alisa cemas. Dia dan Nina mencari Shima dalam rumah. Mereka mencari di setiap bilik termasuklah di dapur dan bilik stor namun kelibat Shima tiada. Alisa cuba menelefon Shima. Namun deringan telefon Shima berbunyi di dalam biliknya. Lantas, mereka berdua masuk ke dalam bilik Shima lagi.

“Nina, Shima tak bawak telefon dia. Kau rasa dia pergi mana? Kalau dia nak keluar sekalipun, mesti dia bawak telefon walaupun sekejap,”

“Aku rasa Shima mengamuk,” teka Nina.

“Nina, mustahil tahu tak. Shima bukan panas baran. Dia marah sekalipun, dia cuma menangis. Tak ada marah marah macam ni. Ni teruk gila ni,”

“Ke ada pencuri masuk?” teka Nina lagi.

“Nina, kalau ada pencuri masuk, telefon, laptop, duit dan semua barang berharga mesti habis dia curi. Dan, semestinya dengan aku sekali pencuri tu ugut untuk tanya aku mana aku simpan duit. Ni tak ada apa-apa pun yang hilang. Everything is here,”

“Mustahil kau tak dengar cermin ni pecah. Bukan pecah sedikit ni Lisa. Satu cermin ni haa pecah,”

“Wallahi, Nina. Aku langsung tak dengar apa-apa,” Alisa duduk di birai katil. Dia memejam mata, mencari sebab kenapa kejadian sebegitu berlaku dan cuba meneka keberadaan Shima yang menghilang. Nina duduk disebelah Alisa. Dia menarik nafas panjang. Telefon Alisa diambil lalu menelefon Alia dan Ain yang berada di Terengganu untuk memaklumkan kejadian pelik itu.

Alisa mengambil penyapu lalu menyapu serpihan kaca di atas lantai. Selesai menyapu, dia masuk pula ke dalam bilik mandi untuk mengemas kembali alatan mandi yang berselerak di atas lantai. Nina masih bercakap dengan Alia.

“Ya Allah, apa dah jadi? Mana Shima?” Alisa bercakap sendiri.

“Lisa, Alia dengan Ain balik esok. Diorang risau. Okay for now kita tunggu je Shima. Kot dia keluar tenangkan fikiran ke,” kata Nina. Alisa mengangguk.

“Mari aku tolong kau,”

“Tak payah Nina. Dah nak siap. Nak susun ni je,”

“Okay,” Nina kembali duduk di birai katil. Dia memandang sekeliling. Telefon Shima diambil. Semua mesej mahupun whatsapp diperiksanya. Namun tiada mesej yang meragukan. Semuanya mesej-mesej biasa saja. Nina sudah mulai berasa takut. Fikirannya buntu.
Selepas mengemas, Alisa keluar dari bilik mandi.

“Nina, aku takut,” ujar Alisa, jujur.

“Aku pun. Aku takut sangat. Macam-macam boleh terjadi. Manalah Shima ni agaknya,”

“Sebenarnya semalam aku tak boleh tidur. Aku diganggu. Aku taktahu apa yang mengganggu aku. Tapi ada lembaga yang ganggu aku. Aku cuba kejutkan kau tapi kau langsung tak sedar. Bila aku baca ayat ayat al quran, gangguan tu berhenti. Tapi sekejap je. Bila aku cuba tidur, dia datang ganggu aku balik. Sampailah waktu subuh. Yang paling aku pelik, telefon aku tiba-tiba m**i. Tapi pagi tadi elok elok je aku on balik telefon. Semalam bila aku cuba on, tak boleh pun,” jelas Alisa.

“Jadi… kau nak cakap yang apa yang berlaku pada Shima ni..ada kaitan dengan gangguan yang kau kena semalam?”

“Hati aku kuat mengatakan apa yang terjadi ni ada kaitan. Mungkin ada makhluk lain yang cuba mengganggu. Mungkin Shima kena sorok?”

Sebaik sahaja Alisa memberitahunya, Nina pantas memasang ayat ayat al quran menggunakan komputer riba. Ayat-ayat ruqyah juga dipasang. Sehinggalah jam 11 malam, mereka masih memasang ayat al quran. Alisa dan Nina tidak berpisah walau sekejap pun. Mata mereka semakin tertutup. Shima yang ditunggu mereka pula masih belum pulang.
Alunan ayat al quran langsung tidak ditutup. Komputer riba dicas. Dalam hati, Alisa tidak putus-putus berdoa agar Allah melindungi mereka berdua dan berharap agar Shima dalam keadaan selamat. Akhirnya mereka berdua terlelap.

Azan subuh yang berkumandang dari telefon Nina mengejutkan mereka berdua. Nina bingkas bangun lalu membersihkan diri. Alisa pula disebabkan dia sedang ‘cuti’ maka Alisa menyambung tidur selepas menutup komputer riba. Tidak lama kemudian, Alisa bangun.
“Allah! Shima!” dia teringat kembali pada Shima. Alisa keluar dari bilik menuju ke bilik Shima namun hampa, Shima masih tiada. Dia mencari seluruh rumah namun kelibat Shima masih tidak kelihatan. Alisa kembali semula ke dalam biliknya.

“Kau cari Shima?” tanya Nina yang sedang memakai telekung solat.

“Tak ada. Seluruh rumah aku cari tapi tak ada,”

“Semalam sebelum tidur aku dah whatsapp kawan-kawan dia, tapi seorang pun tak tahu kat mana Shima. Nak kata ada kelas malam, tak ada pun. Kalau dia tidur dekat bilik kawan dia kat kolej tu pun, mesti dia beritahu dulu. Ni telefon pun dia tinggal. Aku risau ni Lisa. Kita kena beritahu mak ayah Shima ni. Kau tak rasa misteri ke? Tiba-tiba hilang,”

“I feel the same, Nina. We should tell her parents. Aku risau gila,”

“Hari ni aku tak pergi kelas. Kita kena selesaikan hal ni. Kena cari Shima,”

“Aku pun. Masalah ni bukan ringan. Kita tak tahu kat mana Shima. Ni kira hilang dah ni,”

“Ain ada whatsapp. Mereka dah sampai dah pukul 5.30 pagi tadi tapi mak saudara Ain pulak suruh stay kat rumah dia dulu,”

“Okay. Kau solat lah dulu. Aku buatkan sarapan. Nanti kita bincang,”

Alisa membuka peti ais. Ayam beku dan lobak dikeluarkan. Menu nasi goreng dan teh o panas sebagai juadah sarapan. Pintu rumah diketuk. Namanya dipanggil.

“Eh, suara Alia tu. Awalnya sampai. Baru pukul 6.30 pagi,” Alisa ke ruang tamu dan melangkah ke pintu rumah sebaik sahaja mendengar suara Alia memanggil namanya. Pintu dibuka. Namun tiada sesiapa pun. Ketika itu juga, Alisa berasakan ada angin yang menampar wajahnya. Alisa berasa takut. Pintu rumah kembali ditutup. Tiba-tiba sahaja Alisa berapa pening. Langkahnya huyung-hayang. Belum sempat sampai ke sofa, Alisa pengsan.
Nina yang sedang melipat kain sembahyang mulai rasa ada sesuatu dibelakangnya. Pintu bilik dibuka dan ditolak kasar. Nina terkejut.

“Alisa!” panggil Nina. Tiada jawapan.

“Alisa!” panggil Nina lagi. Namun, masih sama. Tetap tiada jawapan.

Nina berundur ke belakang. Lembaga dihadapannya tersenyum seram memandangnya. Nina menutup erat matanya. Dia cuba membaca ayat al quran namun dalam ketakutan, Nina tidak dapat membaca dengan baik. Habis berterabur bacaannya. Lampu bilik tiba-tiba terpadam. Nina menjerit ketakutan. Lembaga yang berada dihadapannya tadi tidak dapat dilihat. Berkali-kali Nina memanggil Alisa namun tetap juga tiada jawapan. Cahaya dari ruang tamu yang masuk dari pintu membolehkan Nina berjalan untuk keluar dari bilik. Namun pintu bilik itu tiba-tiba saja tertutup. Gelap! Nina langsung tidak nampak apa-apa.

“Tolong!” jerit Nina. Perlahan-lahan Nina mengundur dan bersandar pada dinding bilik. Dirinya benar-benar dalam ketakutan. Tangan Nina dipegang kemas. Nina cuba melepaskan namun gagal. Nina dibawa keluar namun di ruang tamu juga gelap kerana lampu terpadam termasuklah di ruang dapur. Nina cuba melawan namun tangan yang memegang tangannya itu benar-benar kemas. Nina tidak mampu melawan sehinggakan Nina rebah namun tetap diheret kasar. Keadaan seluruh rumah yang gelap itu benar-benar menakutkannya.
“Erghhh!” Nina terasa sakit dibahagian perutnya. Perutnya seperti ditusuk benda yang amat tajam. Tangan Nina dilepaskan. Nina menjerit kesakitan. Sekali lagi, perutnya ditusuk dan kali ini lebih dalam lagi. Darahnya tersembur keluar. Perutnya ditoreh kejam sehingga mengeluarkan isi perutnya. Tangisan Nina terhenti. Lembaga itu menjilat-jilat tangannya yang dibasahi dengan d***h Nina. Masih belum puas, isi perut Nina pula menjadi santapan.

……….
Alisa tersedar. Kepalanya berasa amat sakit. Matanya sukar dicelik sepenuhnya. Keadaan sekeliling mengejutkan Alisa. Dirinya berada di hospital. Di kiri dan kanannya pula ada ibu dan ayah Alisa. Tangan sebelah kanannya digari pada katil. Kenapa? Mimpi apakah?
Ibu mengalirkan air mata sebaik sahaja Alisa membuka mata. Tangan ibu terketar-ketar. Pipi Alisa disentuh. Dahinya dicium berulang kali. Ayah hanya berdiam. Kepala ayah tertunduk ke bawah.

“Ibu kenapa ni ibu? Ayah?”

“Ibu, ayah…kenapa ni? Tangan Lisa kena gari. Kenapa?” Alisa mulai menangis. Dari jauh, Alisa melihat beberapa pegawai polis menghampirinya. Alia dan Ain juga ada bersama.
‘Kenapa? Ya Allah apa dah jadi?’ tanya Alisa dalam hati.

“Kenapa? Apa dah jadi ni Ain? Alia?” tanya Alisa sebaik sahaja mereka tiba disamping Alisa. Namun mereka berdua seakan takut membuka mulut. Mata Alia dan Ain kemerahan. Barangkali baru lepas menangis, teka Alisa.
“Kami terpaksa tahan Alisa atas kes pembunuhan Norhashimah dan Nur Hanina. Kami menjumpai mayat Norhashimah dalam almari di dalam bilik stor dan mayat Nur Hanina di dapur bersama dengan kamu. Kawan kamu, Alia dan Ain lah yang menelefon kami sebaik sahaja tiba dirumah dan mereka melihat kamu terbaring disebelah Nur Hanina dengan pisau dan tangan yang berlumuran dengan d***h,” jelas pegawai polis.

“Tak! Mustahil! Saya tak buat apa-apa, saya tak sedar, saya tak tahu!” Alisa menangis semahunya.

“Ibu, ayah..kakak tak buat apa-apa. Kakak tak salah. Tolong kakak!”

“Ibu tahu. Ibu tahu anak ibu tak salah. Kita ikhtiar ya sayang. Lisa kena kuat. Ibu dengan ayah ada,” pujuk ibu dalam tangisan.

“Bila aku dengan Alia sampai rumah, kami bukak pintu..lepastu…kami nampak kau tengah jilat d***h Nina. Nina dah m**i. Kau macam…macam..kena rasuk. Lepastu kau perasan kami ada. Bila kau berpaling..kau senyum lepastu kau terus tak sedarkan diri. Kami takut, Lisa. Kami lari keluar dari rumah pergi rumah jiran. Jiran yang tolong telefon polis. Kami berdua memang terkejut. Kami takut. Aku minta maaf Lisa. Aku tak tahu apa yang terjadi sebenarnya,” tambah Ain.

Alisa hanya berdiam. Beristighfar dan mengucap. Kepalanya sakit. Semua yang berlaku bagaikan mimpi. Matanya dipejam rapat dan dibuka kembali.

“Allah…Allah…Allah..Tunjukkan kami apa yang sebenarnya berlaku. Aku lemah ya Allah!” kata Alisa.

Keadaan sekeliling amat menyeksa jiwa Alisa dan keluarganya. Pegawai polis yang berada didepan mata, tangannya yang digari dan air mata kesedihan ibu dan ayahnya menambahkan lagi kepedihan di hati Alisa.
Alia berjalan meninggalkan mereka. Dia menuju ke tandas perempuan. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Alia tersenyum memandang cermin. Tangannya pula mengusap perutnya perlahan-lahan.

‘Kau dah tahu yang terjadi, kan? Berkali-kali kau tolak aku, kau suruh aku gugurkan anak kau ni. Tapi ingat Hafiz, aku tak akan berputus asa. Kalau kau berani buat apa-apa, kau pulak yang m**i lepasni. Aku bukan sampah! Aku sayang kau, beri semua yang kau nak tapi kau buang aku lepas kau dapat aku. Kau gila!!! Kau nak bertanggungjawab dengan kandungan ni ataupun kau nak setia dengan kekasih kau yang dah kena tangkap tu? Kau pilih sendiri.’

Mesej dihantar.

“Kesian kau Lisa. Tunang kau curang. Tapi…aku lagi kesian.Tunang kau dah buat aku mengandung. Dan… tak lama lagi korang akan berkahwin. Semua ni tak akan terjadi. Aku tak benarkan. Hafiz perlu bertanggungjawab! Kalau aku tak boleh buat, benda lain yang boleh tolong aku. Lagipun kawan-kawan kau tu dah tahu hubungan aku dengan tunang kau tu. Kau tahu tak Lisa? Dua ekor kawan kau tu nak bongkarkan rahsia ni pada kau dan keluarga aku. Kau ingat aku kena berdiam diri? Tak…tak….Semuanya patut m**i!!!!” kata Alia. Alia tersenyum lebar. Puas hati.

……………

Nota : Kisah ini hanyalah rekaan penulis semata-mata. Penulis masih baru dalam penulisan yang bertemakan seram. Terima kasih!

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

VANDA DIANA

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

13 thoughts on “Alisa”

  1. kalau disambung lg bagus…teruskan berkarya..even sekadar cerita rekaan..xsemua cerita benar boleh dikisahkn…beruntung bagi mereka yg boleh bercerita semula kejadian yg menimpa mereka..

    Reply
  2. Mesti ade sambungan die kan, x mungkin cerita tergantung.Jln cerita ok best, tp jgnlah tergantung.Setiap jln cerita mesti ade pengajaran.Ape jadi pada Alisa, Alia n Hafiz.Please continue the story…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.