Amukan Cincin Puaka

Assalamualaikum. Terima kasih FS kerana memilih cerita saya untuk dikongsi bersama pembaca. Cerita ini berkisar pada tahun 1985. Dimana tika itu teknologi masih belum berkembang pesat dan perkhidmatan bidan dan bomoh masih tinggi keperluannya. “Aku” adalah watak utama kisah ini.

Hari ini suasana bertukar hiba, sayu dan sendu. Manakan tidak, insan yang kami hormati telah pergi meninggalkan alam fana. Ayah meninggal ketika sedang tidur. Tiada keanehan atau kejanggalan sikapnya yang boleh kami hidu sehinggalah ayah meninggal dunia. Selaku anak sulung, aku memujuk hati sendiri agar kuat kerana akulah yang akan melindungi ibu dan adik-adik selepas ini. Aku sedang membaca kitab lama arwah abah ketika ibu memanggil nama ku, “Amran, Amran”.
“Ya ibu”. Aku melangkah merapati ibu. Ibu duduk di penjuru katil. Di atas katil terdapat sebuah beg hitam kepunyaan arwah abah.

“Duduk sini Amran.” Ibu menepuk tilam disebelahnya. “Ibu dah kemas barang-barang arwah abah. Ada baju dan kain pelikat ni ibu nak Amran sedekah pada kawan-kawan Amran di Universiti nanti. Barang lain biarlah dulu ya. Bila Amran nak balik Universiti?”, tanya ibu. “Insya-Allah esok ibu. Amran tak dapat duduk lama di rumah. Sebab Isnin ni dah mula periksa. Lepas dua minggu dah mula cuti semester Amran akan balik semula,” jawabku. “Ibu, banyakkan bersabar ya. Amran tahu perasaan ibu. Amran pun sayang abah. Kita semua terasa sangat dengan pemergian abah. Sudah tiba masanya Allah jemput kembali abah. Kita kena redha ya bu”, pujukku penuh lembut.

“Ibu dah redha Amran”. Ibu berdiri dan melangkah ke rak cermin. Ditarik rak yang paling atas dan mengeluarkan sesuatu. “Ini cincin milik abah. Amran pakailah. Cincin ni dulu arwah moyang punya. Kemudian turun pada atok dan abah. Sekarang Amran yang layak pegang sebab Amran anak sulung keluarga kita. Adik-adik kecil lagi”. Ibu menyerahkan sebentuk cincin kepadaku.

Aku membelek cincin itu. Sangat besar. Saiz cincinnya tak seperti biasa. Batunya bewarna hijau zamrud. Seakan ada imej yang kurang jelas dalam batu itu. Aku tak berapa meneliti sangat.
Keesokannya aku berkemas untuk balik ke Universiti. Semasa bersalaman dengan ibu, ku lihat ibu sangat tenang. Adik-adik juga begitu. Keadaan itu menyebabkan hati aku tenang dan tak berasa risau untuk meninggalkan mereka. Aku memeluk cium ibu dan bersalaman.

“Amran, jangan tinggal solat 5 waktu. Kalau tersedar malam-malam elakkan tidur semula. Cuba bangun solat sunat tahajud macam arwah abah dulu. Banyakkan berdoa siang malam. Ni Al-Quran kecil abah ni bawa sekali”, ibu menasihatiku. Ibu menyerahkan senashkah Al-Quran kepadaku. Aku tahu, inilah Al-Quran kegemaran arwah abah. Abah akan baca Quran ini ketika duduk di pondok luar rumah setiap petang. Al-Quran ni sebesar tapak tangan yang bulatan tak termasuk jari jemari. Senang abah nak masuk kocek baju melayunya.

Minggu peperiksaan sudah bermula. Kesibukan mengulangkaji menyebabkan aku lupa akan cincin pemberian ibu. Hinggalah aku terlanggar meja belajar dan cincin itu jatuh dari dalam beg sandang. Aku segera memakainya. Dan bermula saat itulah keanehan berlaku. Ya! Aku tidak menipu. Aku terasa seperti duduk di dalam dunia serba asing. Mulut aku berat untuk menegur rakan-rakan apatah lagi rakan sebilikku Kamal. Bila aku keluar aku hanya memandang ke bawah tanpa melihat orang sekeliling. Aku suka bila Kamal tiada dalam bilik. Dan akan rasa kecamuk bila Kamal ada. Aku rasa seronok bila Kamal semakin menjauhi aku.

Makanan? Emm, aku loya bila makan nasi. Dah lama aku tidak makan berat. Seperti perempuan hamil. Aku hanya mengisi kelaparan ku dengan air susu. Sebenarnya tekak aku teringin benar mahu makan. Perutku lapar. Macam-macam makanan bermain dalam mindaku. Pernah aku teringin makan mi bandung, bila nak makan aku terus loya. Aku duduk di bilik 24 jam dan hanya akan keluar untuk mengambil peperiksaan dan ke bilik air. Langsir tingkap di bilik sentiasa bertutup hingga membuatkan bilik suram dan cahaya tidak masuk. Aku juga sudah tidak solat.

Satu hari, Kamal balik ke bilik setelah seminggu dia menumpang study dan tidur di bilik rakannya.
“Allahuakhbar! Amran, bangun Amran”, kejut kamal. Aku terpisat-pisat bangun dari katil.
“Mari duduk sini!, arah Kamal. Kamal menyelak langsir dan membuka tingkap. Hari itu aku melihat Kamal tanpa ada perasaan. Aku hanya menurut katanya tanpa bantah. “Dah 5 hari kau duduk dalam bilik tak keluar-keluar. Mujur periksa baru satu paper. Apa masalah kau ni hah!”, marah Kamal. Kamal mundar-mandir di dalam bilik sambil mulutnya bising menegurku. Aku dah tak ingat apa yang Kamal kata. Aku hanya tersedar bila tangan Kamal memegang tanganku. Aku menepis hingga cincin itu terpelanting ke dinding. Aku terpinga-pinga.

“Amran, kenapa kau jadi macam ni.” Keluh Kamal menghampiriku. Dia duduk disebelahku. “Eh, kenapa? Apa jadi?” tanyaku. Aku sendiri pelik disoal begitu. “Aku sebenarnya takut nak balik sini. Aku tumpang tidur bilik Ali. Aku takut dengan kau Amran”, kata Kamal. “Kenapa kau takut dengan aku Kamal? Cakaplah. Aku…aku pelik dengan diri aku ni. Kenapa baju aku kotor? Kenapa bilik ni berbau?”, soalku bertubi-tubi. Lama Kamal terdiam. Akhirnya Kamal membuka cerita. Dia pelik bila teguran dan sapaan dia padaku tidak pernah berbalas. Aku hanya tunduk di meja belajar. Ada ketika Kamal terlihat aku memandangnya penuh kebencian. Aku merenung Kamal dengan mata mencerlang dan gigi terkatip rapat.

Lebih menakutkan kepalaku berpusing dari depan ke belakang. Hingga menyebabkan Kamal ketakutan dan keluar dari bilik. Pernah juga sedang dia tidur, dia terasa sakit di bahagian kaki. Bila sedar, tapak kakinya berdarah seperti satu garisan panjang. Seakan diguris oleh pisau. Dan lebih mengejutkan aku sedang melihatnya dengan mata terbuntang bulat dari meja belajar menyebabkan Kamal berlari keluar dengan kaki terhinjut-hinjut. Dan paling dia tak boleh terima bila sepanjang malam dia tidak boleh tidur kerana disergah sebanyak 10 kali. Bila nak pejam mata saja akan ada suara yang menyergah dia betul-betul di cuping telinganya hingga memaksa dia tumpang tidur di bilik rakan lain.

“Betul ke aku macam tu Kamal?”, tanyaku.

“Betul Amran. Aku tak tipu kau”, jawab Kamal. Aku berasa serba salah. Aku sendiri tak tahu puncanya.

“Kamal, kau kena tolong aku. Kau kenal aku dah lama. Aku bukan macam tu. Takkan aku nak toreh kaki kau. Apa aku nak buat ni Kamal?”. Aku rasa seperti nak menangis.

“Kita cuba hadapi bersama. Aku rasa bilik ni keras lah. Aku dah tanya pada senior, bilik ni dulu lama kosong sebab student tak ramai. Macam nilah, bilik ni kita buka ayat Quran 24 jam. Macam mana?”, saran Kamal.

“Ok, asal kau jangan tinggalkan aku sorang dalam bilik ni,” jawabku. Masa itu kami fikirkan bilik inilah punca kejadian-kejadian misteri itu. Aku juga kembali normal seperti biasa sehinggalah minggu akhir peperiksaan. Aku menyapu bilik. Esok dah nak balik kampung. Semua kertas peperiksaan aku dah ambil. Tika itulah penyapuku terlanggar cincin yang ada di bawah meja. Aku memang terlupa dengan cincin tu. Aku kembali menyarung cincin di jari sebab memikirkan esok jika ibu perasan aku tak memakainya pasti ibu akan bertanya.

Malam itu pada jam 8.00 malam aku dan Kamal merancang untuk tidur lewat. Memandangkan kami akan berjumpa lagi 3 bulan, kami ingin menonton cerita di komputer. Sedang Kamal dan aku ketawa dengan aksi pelawak dalam cerita itu tiba-tiba aku terdiam. Kamal masih tidak perasan dengan perubahanku. Kali ini aku tahu aku berubah sebab aku boleh rasa. Cuma aku tak boleh bercakap. Mulutku seakan nak menjerit pada Kamal tapi tak boleh. Aku hanya mampu nampak Kamal ketawa. Otak aku ligat berfikir kenapa aku jadi begitu. Tiba-tiba Kamal menjerit, “Amran!!”.

Aku melihat tangan aku mencengkam leher Kamal. Aku terkejut. Aku tak boleh nak tarik tanganku. Seakan berat dan terikat. Aku menangis dengan suara yang tak keluar. Aku cuba menyebut Allah di dalam hati. Tiba-tiba komputer berbunyi azan. Serentak itulah Kamal terjatuh dari kerusi setelah tanganku meregang dari lehernya. “Kamal!”, jeritku. Kali ini aku betul-betul menangis. Aku takut. Aku sedih melihat Kamal. Kamal menahan kesakitan dan lehernya berbekas merah.

“Kamal, aku minta maaf. Aku minta maaf”, aku menjerit-jerit kecil kepada Kamal. Aku bersalah. Saat itulah aku rasa ada yang tak kena dengan diri aku. Aku terfikirkan cincin itu. Aku terus menanggalkan cincin itu. Keadaan Kamal sudah kembali baik. Aku ceritakan pada Kamal perihal cincin itu.
“Tak mengapa Amran, aku tahu tu bukan kau. Aku pun dapat rasa ada benda lain dalam badan kau. Esok kau balik kau tanya dengan ibu kau pasal cincin ni”, gesa Kamal. Malam itu aku dan Kamal tidak tidur. Aku memang tak nak tidur sebab risau aku akan berbuat sesuatu yang lebih teruk lagi pada Kamal.

Selepas pulang ke kampung, aku mengambil peluang untuk tanya perihal cincin itu dengan ibu. Ibu mengeluh bila aku cerita kejadian yang berlaku pada aku dan Kamal. “Ibu terlupa Amran. Ibu terlupa yang Amran bukan ayah”, kata ibu memulakan bicara. “Sebenarnya dulu atok pernah kata yang cincin ini ada tuannya. Perlu dijaga. Diperasapkan dengan limau nipis setiap malam jumaat. Kata atok itu makannya. Jika tak diberi makan, benda itu akan ganggu dan boleh m******h. Dulu moyang guna cincin tu sebagai khadam untuk lindung keluarga dari gangguan mahluk halus dan binatang. Kampong moyang dulu di dalam hutan. Mereka kena teroka dan tebang sendiri hutan untuk dirikan rumah”.

“Kenapa ibu tak bagitahu Amran?” tanyaku. “Ibu tak terfikir hal itu. Ibu lupa sebab ayah tak pernah perasap cincin tu”, jawab ibu. “Dulu memang atok pesan pada ayah suruh jaga cincin tu, bagi makan setiap malam jumaat. Bila atok meninggal dan cincin tu jadi milik ayah, ayah tak pernah bagi cincin tu makan. Tak pernah ikut pesan atok. Ayah tak nak buang cincin tu sebab ayah sayang. Itulah saja pusaka yang tinggal oleh moyang. Jadi ayah persiapkan diri ayah dengan pagar diri. Ayah pagar diri ayah dari dikawal oleh penjaga cincin tu. Ayah rajin solat malam, sentiasa berdoa agar keluarga kita terjaga dan dilindungi. Ayah tak pernah tinggal dari membaca Quran kecil tu setiap petang. Sebab ayah tahu dialah pelindung keluarga kita. Ayah nak jaga keturunan kita dari didekati. Bila ayah meninggal ibu lupa semua tu. Ibu minta maaf Amran”, jelas ibu panjang lebar.

“Jika Amran tak mahu cincin ini ibu tidak menghalang. Amran carilah orang yang pandai. Amran masih muda, ibu risau dengar cerita ni. Nanti Amran di Universiti terganggu. Ibu pun tak nak cincin ini diwarisi adik-adik nanti”, ibu mengakhiri cerita. Aku mendengar dengan teliti penjelasan ibu. Aku tahu kemampuan aku. Aku memang tak mampu. Aku solat 5 waktu pun tak cukup. Apatah lagi nak amalkan Al-Quran setiap hari. Aku juga tak mahu bersekutu dengan syaitan. Aku mahu melindungi keluargaku.

Sekarang cincin itu sudah tiada. Ketika aku berusaha berjumpa beberapa orang tua yang pandai dengan dunia mistik ini, ada seorang tua yang benar-benar berminat dan mahukan cincin itu. Aku menyerahkan cincin itu padanya. Sehingga saat itulah hingga kini tidak lagi terjadi apa-apa padaku juga keluarga. Namun aku masih harus berwaspada kerana jika orang tua itu meninggal dunia benda itu pasti mencari susur galurnya. Doakan aku.

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]
Amran

7 thoughts on “Amukan Cincin Puaka”

  1. dlu aku pn de cincin gitu. mk dpt batu cincin tu dr sape ntah la. pastu mk terus tempah jd batu cincin. mk pkai stiap hr. tp prangai mk mmg pelik. stiap kali tido, dia ngigau. dia ckp dia d kjr oleh beberapa org….mk tkt. lps tu, abh simpan cincin tu. smpai 1 hr tu, abh cb pkai cincin tu….abh pn alami mimpi yg sm. terus aku amik, aku smpn kn….tp skrng da x ingt cincin tu da kt mn. haha

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.