Andik

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih pada FS jika sekali lagi terpilih kisah saya ni untuk dikongsi bersama pembaca.

Saya ingin kongsikan sedikit kisah dari Tok Yam sepertimana yang dikisahkan oleh ibu saya.
Tok Yam, bukan orang asal dari kampung ibu, dia berasal dari seberang sungai, kampung Pokde ibu. Namun disebabkan terdapat juga sanak saudaranya di kampung tersebut hasil dari perkahwinan, Tok Yam selalu berkunjung ke sini tambahan lagi terdapat sepupunya yang sebaya dengannya di sini.

Bapa saudara Tok Yam, Andak Abu merupakan ketua kampung di sini dahulu. Selalunya bila ada orang luar datang merantau, memang rumah ketua kampung yang akan dicari. Memang tidak menghairankan jika sering ada orang berdagang menumpang bermalam di rumah Andak Abu tambahan lagi memang Andak Abu ada sediakan pondok untuk tetamu-tetamunya bermalam agar tidak mengganggu keselesaan anak-anak daranya.

Zaman ni, rasanya memang pengangkutan yang ada sama ada sampan atau berjalan kaki sahaja. Yang kaya-kaya tu mungkin ada kereta lembu/kerbau. Disebabkan faktor masa yang diambil untuk bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain, selalunya Tok Yam akan berkunjung buat masa yang lama di rumah ibu saudaranya itu, tambahan lagi sepupunya semuanya perempuan.

Pada satu kunjungan Tok Yam ke rumah Andak Abu, ada seorang pemuda turut berada di rumah Andak Abu. Menurut Andak Abu, dia bertemu dengan pemuda tersebut di jeti besar ketika hendak menghantar saudaranya yang ingin pulang ke Tanah Jawa.

Pemuda tersebut seperti keliru dan sesat, duduk termenung tidak berganjak di hujung jeti. Timbul rasa simpati pada hati Andak Abu memandang keadaan pemuda tersebut yang agak tidak terurus. Atas rasa perikemanusiaan, Andak Abu mempelawa pemuda tersebut pulang bersamanya.

Pemuda tu bernama Andik. Menurut Tok Yam, sepanjang Tok Yam berada di rumah Andak Abu, tidak sekali pun dia lihat Andik menegur mahupun senyum kepada sepupu-sepupunya ataupun Tok Yam sendiri. Bila sepupunya memanggil Andik untuk makan bersama, Tok Yam perasan yang Andik hanya akan menganggukkan kepala tanpa memandang ke wajah sepupu Tok Yam.

Namun, Andik begitu ramah dengan Andak Abu serta penduduk kampung yang lain asalkan orang itu lelaki dan Andik seorang yang ringan tulang. Satu keistimewaan pada zaman ini, siapa yang rajin meneroka tanah, banyak la tanah yang dia dapat. Sepanjang Andik tinggal bersama Andak Abu, berbidang tanah diteroka untuk dijadikan dusun buah serta sawah padi.

Andak Abu membahagi-bahagikan tanah yang diteroka tersebut bersama-sama dengan semua yang terlibat termasuk Andik. Walaupun pada awalnya ada bantahan kerana Andik bukan berasal dari sini, namun setelah Andak Abu menegaskan bahawa Andik juga banyak menyumbang tenaga, penduduk yang lain bersetuju. Andik pada awalnya menolak, namun akhirnya dia menerima setelah didesak oleh Andak Abu.

Tok Yam menyatakan, sepanjang dia tinggal bersama dengan Andak Abu, dia terperasan satu tabiat Andik yang suka menyendiri apabila tiada apa yang perlu dilakukan dan setiap kali Tok Yam terlihat Andik bersendirian, dia akan perasan Andik seperti bukan keseorangan. Kadang-kadang, Tok Yam terlihat Andik akan bercakap sendirian namun dia akan segera senyap dan berlalu apabila terperasan ada orang yang memerhatikannya.

Satu hari, Andak Abu membawa Andik ke rumah utama. Tok Yam lihat muka Andik begitu pucat dengan peluh yang berjuraian hingga basah baju yang dipakai oleh Andik. Sebaik sahaja Andik melangkah masuk ke rumah, dengan tidak semena-mena kedengaran ribut kencang di luar rumah. Berebut Tok Yam membantu sepupunya untuk menutup semua tingkap dan memasang penghalang kayu di tingkap.

Tok Yam dan sepupunya dihalau ke ruang dapur. Andak Aya setia menemani suaminya di ruang tamu rumah. Rumah kayu itu terasa bergegar digoncang ribut yang menggila. Sememangnya resmi gadis sunti, makin dihalau, makin kuat rasa ingin tahu. Tok Yam dan sepupunya, Hasnah mengintai dari pintu dapur. Rumah lama ini antara ruang dipisahkan dengan dinding dan ada pintu bagi setiap ruang. Tok Yam mencuri dengar perbualan antara Andak Abu dan Andik dari pintu ruang tengah yang memisahkan antara ruang tengah dan ruang dapur.

“Andik, kau kena pisah juga dengan dia. Aku tengok makin teruk keadaan batin kau.”

“Tapi aku dah lama tinggalkan dia. Aku yakin aku sudah putuskan dari sana lagi. Dah ku tinggalkan dia di seberang. Aku tak tahu kenapa dia boleh jumpa aku di sini. Aku rindu nak menyambung kasih lama.”

“Tak boleh Andik. Hidup dia dengan hidup kau lain. Dia hanyut dengan godaan, kau orang baik-baik. Aku tak mahu kau pun hanyut. Aku nampak kau selalu tolak bila dia datang merayu. Tapi kenapa kali ini kau tewas?”

“Aku galau. Hati ku rindukan keluarga ku. Dia janjikan aku dapat pulang ke sana semula jika aku kembali bersama dia.”

“Sudah kau lupa apa keluarga kau buat pada kau, apa jahanam tu buat pada kau. Barang yang lepas usah dikenang. Kau mulakan hidup baru di sini. Aku bantu kau. Tapi kau harus lepaskan dia.”

Tok Yam lihat Andik tertunduk sayu. Suasana ketika itu sunyi, hanya terdengar deru angin yang menggila di luar.

“Baik, bapak tolonglah aku. Aku tak kuat nak lakukan sendiri.”

“Aya, kau tolong bawakan barang aku. Aku letak dekat tempat biasa.”

Arah Andak Abu pada isterinya. Andak Aya menuju ke dapur dan apabila melihat gadis suntinya sedang mengintai, segera dihalaunya.

“Jangan masuk campur hal orang jantan. Nanti kau semua kena apa-apa, aku juga yang susah. Dah, pergi ke dapur, buat apa yang patut. Pilih beras tu untuk dibuat makan nanti.”

Andak Aya mengarahkan gadis-gadis itu untuk ke dapur. Tok Yam sedikit kecewa kerana tidak dapat mengetahui lebih lanjut apa yang berlaku. Ingin diingkari arahan Andak Aya, tidak mungkin untuk kali ke dua. Tok Yam dan Hasnah berlalu ke dapur untuk melakukan kerja yang disuruh.

“Kau rasa kenapa dengan Andik tu? Aku risaukan dia. Apa dia ada bela hantu? Ye la, orang lain berkeluh kesah bila buka tanah, dia, setakat sebidang tanah tu macam tak terluak tenaga dia kerjakan” ujar Hasnah.

“Eh kau ni. Jangan dibuat cerita yang tak pastilah. Masakan dia membela, aku lihat tak pernah dia culas dalam beribadah. Beruntung siapa dapat berlakikan dia” tingkah Tok Yam.

“Kau sukakan dia ya Yam. Aku beritahu mak nanti. Mana tahu dijodohkan dia dengan kau nanti” usik Hasnah.

Tok Yam hanya tersipu malu tapi kemudiannya tersentak kerana secara tiba-tiba terdengar Andik menjerit. Begitu kuat hingga tenggelam bunyi angin yang menderu. Tok Yam dan Hasnah berkejar untuk ke depan, namun dihalang oleh Andak Aya.

Kuntum, adik Hasnah sudah bersembunyi diceruk dapur bersama Melur, seorang lagi adik Hasnah. Dari awal ribut lagi mereka telah mematung di situ.

Tiba-tiba, daun tingkap yang menghadap ke halaman rumah terbuka. Tok Yam terpandang seorang wanita berkebaya sedang berdiri di halaman rumah, di tengah hujan ribut. Riak wajahnya kelihatan marah. Matanya terpancar kebencian yang mendalam.

Tok Yam seperti terpukau melihat wanita tersebut. Jika tangannya tidak disentap oleh Hasnah, sudah dia terjun keluar tingkap untuk mendapatkan wanita itu.

Andak Aya segera menutup daun tingkap tersebut dan menghembus muka Tok Yam. Tok Yam terasa seperti tersedar dari mimpi.

Ribut yang menggila di luar tiba-tiba reda. Tok Yam terpandang Andik terbaring di ruang tamu. Badannya diselimuti dengan kain berwarna hitam, merah, dan kuning. Kelihatan Andak Abu sedang bersila di hujung kepala Andik.

Andik bangun dan bersila menghadap Andak Abu.

“Aku rasa dah selesai. Mujur kau dah putuskan lama dahulu. Cuma semangatnya yang dihantar ke mari, mudah sikit kerja aku. Aku harap dia faham sekarang. Kau usahlah kenangkan lagi kampung halaman. Dah tiada apa untuk kau di sana. Aku takut dia akan kembali mencuba jika hati kau tak cukup kuat.”

“Terima kasih pak. Aku ni orang terbuang, mujur bapak sudi kutip dan terima aku. Cuma Allah saja yang boleh balas jasa baik bapak sekeluarga.”

Teresak-esak Andik menangis di hadapan Andak Abu. Tok Yam dan Hasnah duduk membatu di ruang tengah. Andak Aya duduk bersama mereka.

“Kau mulakan hidup baru dekat sini. Tanah pun ada, semua pun dah setuju untuk diberi pada kau. Kau kerjakanlah.”

“Terima kasih pak. Cuma, lepas ini jangan dipanggil aku Andik lagi, ingin aku lupakan terus semua sejarah aku. Bapak panggillah apa-apa nama yang sesuai asalkan bukan nama asalku.”

“Baiklah, mulai saat ini, aku panggil kau Ibrahim, kau setuju?”

Andik menganggukkan kepala sambil tersenyum.

“Malam ini, aku akan buat pengumuman pada orang kampung. Kita sama-sama muafakat untuk bantu kau mulakan hidup di sini. Dan kau pun mulai saat ini, bukan lagi orang luar, kau anak kampung ni. Menetaplah kau di sini saja”

Tok Yam beritahu kepada ibu, di luar rumah langsung tiada tanda ribut melanda setelah semuanya selesai. Hanya terdapat kesan air di tengah halaman, tempat berdirinya wanita berkebaya itu.

Menurut ibu, Tok Yem menikahi Tok Yam beberapa bulan selepas peristiwa itu. Mereka menetap terus di kampung ibu sekarang dan dari peristiwa itulah berkuburnya Andik dan lahirnya Ibrahim. Hingga ke akhir hayat Tok Yem, tiada siapa pun yang memanggilnya Andik malahan hampir tiada orang yang ingat nama asalnya itu.

Sampai sekarang, kami semua memang tak tahu asal keturunan Tok Yem. Nak ditanya pada yang rapat dengan dia, semuanya telah kembali kepada Ilahi. Ibu saya satu-satunya waris yang rapat dengannya kerana adik beradik ibu yang lain tidak begitu rapat dengan Tok Yem.

Ada juga ibu risik-risikkan dengan saudara-mara yang lain dahulu, namun tiada yang jelas tentang asal Tok Yem. Ibu pun dah berputus asa dan kami pun dah tak kisah kerana yang penting kami kenal dan rapat dengan saudara mara yang ada di sini.

Baiklah, sampai di sini saja dulu. Maaf di atas sebarang kekurangan dalam penceritaan dan jika ada ruang kesempatan yang lain, saya akan cuba kongsikan lagi pengalaman ibu saya.

Sekian,
Makcik Otomen

Makcik Otomen

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]

13 thoughts on “Andik”

  1. bestnya kalau dapat tahu cerita zaman atuk nenek kita dahulu….walaupun xtahu mane asalnya nenek moyang, dpt tahu cerita pun dh okay….menarik ceritanyaa…

    Reply
  2. Teruja nk taw keturunan Tok yem.

    Mcm aku ada d***h arab & india
    keturunan belah mak, sepupu sepapat aku sume cantik2 tinggi2 putih2 ..

    Tp dh rezeki kitaorg adik beradik, muka byk mengikut arwah nenek belah abah .. mcm jawa! sume hidung pesek2, rendang plak tu!! hahahaa

    Nasib ko la jah .. dh rezeki ko muka cam jawa #jawaisosem

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.