#armyy – Memburu Dan Diburu (Bahagian 1)

#armyy – Memburu Dan Diburu (Bahagian 1)

Tahun 2008.

Waktu itu, saluran-saluran televisyen tempatan sedang berlumba-lumba menyiarkan program berbentuk pengembaraan paranormal seperti Seekers. Aku bersama-sama kawan-kawanku, 5 orang kesemuanya, juga pernah cuba melakukan aktiviti ‘ghost hunting’ di kawasan-kawasan yang sememangnya terkenal dengan sejarah angker di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Nak dikatakan berani sangat, tak juga. Dah nama pun remaja, memang mudah sangat terpengaruh. Semua benda nak dicubanya.

Idea untuk melakukan aktiviti ini datangnya dari seorang kawan aku bernama Afiq. Waktu tu masing-masing ada yang sedang cuti semester, ada yang cuti bekerja sehingga hujung minggu malah ada yang memang langsung tidak buat apa-apa (menganggur). Sengaja kami pilih Khamis malam Jumaat untuk melakukan aktiviti ini bagi menambahkan unsur seram mengikut kepercayaan orang Melayu yang sekian lamanya.

Setelah beberapa rujukan, perbincangan dan sedikit persediaan dibuat, maka tibalah harinya seperti yang dirancang. Malam itu, lebih kurang jam 10, kami semua berpakat untuk berkumpul di sebuah restoran mamak di Selayang sebelum memulakan perjalanan ke lokasi pertama;

Hospital Lady Templer, Cheras.

Sebuah hospital usang yang telah lama ditutup kami pilih sebagai muqaddimah kepada pencarian entiti pada malam itu. Ketika itu aku yang memandu kereta manakala Afiq sebagai penunjuk arah. Zai, Amir dan Wak pula di belakang.

“Fiq, mana kau bawak kita ni?” aku mengeluh setelah sekian lama berpusing-pusing mencari lokasi tepat hospital tersebut. “Aku tengah tengok la ni Arm, kalau ikut GPS memang ni la jalan dia” Afiq membalas. “Patutnya kita dah sampai dah ni, tapi aku pelik la kenapa tak nampak pun hospital tu” tambahnya lagi. Buat terakhir kalinya, kami bersetuju untuk berpusing semula dan mencuba sekali lagi mencari lokasi hospital tersebut.

Malang bagi kami, rupa-rupanya hospital tersebut telah dirobohkan dan sebuah kompleks perubatan yang baru sedang dalam pembinaan di atas tapak yang sama. Itupun setelah puas bertanya dengan orang di sekeliling. Tidak mudah mengalah, kami beralih ke lokasi kedua. Mujurlah awal-awal lagi kami dah senaraikan beberapa lokasi panas untuk aktiviti sedemikian. Tanpa berlengah-lengah, aku terus memandu sambil Afiq menunjuk jalan, menuju ke;

Bukit Tunku, Jalan Duta.

Bukit Tunku di Jalan Duta ini adalah tempat di mana terletaknya banglo-banglo mewah yang tersergam indah bak mahligai. Namun, apa yang kami sasarkan adalah banglo-banglo usang yang telah lama terbiar ditinggalkan.

“Mana satu kita nak terjah ni?” aku mencari kepastian. “Memangla banyak banglo tinggal, tapi berkunci la, kang tak memasal kita ke dalam” tambahku sedikit khuatir. “Dah alang-alang ni Arm, takkan nak mintak izin kat tuan rumah pulak. Kita pun bukannya nak mencuri” kata Zai. Suasana sunyi di kawasan perumahan elit itu sedikit mendebarkan kami, seram dan risau kalau-kalau dituduh menceroboh. Manakan tidak, ketika itu jam telah melepasi 12 malam.

Dalam kami berborak mencari unit banglo yang sesuai, tiba-tiba mataku menangkap sesuatu melalui cermin pandang belakang. Kereta yang kami naiki sedang diekori oleh sebuah lagi kereta. “Harap-harap kereta kat belakang ni tak telefon polis” aku bersuara. Serentak yang lain menoleh ke belakang. “Entah-entah dia pun macam kita tak, cari hantu hahaha”. Zai cuba membuat lawak. Walaupun Zai seorang yang berani, kadang-kala mulutnya agak celupar, jenis cakap lepas. Itu yang membuatkan kami sedikit risau. Yang menyakitkan hati, dipasangnya pula lampu tinggi. Silau kot! Dari cermin pandang belakang, aku perhatikan kereta Mercedes hitam tersebut menyucuk-nyucuk seperti mahu memotong. “Eh kau ni, p****g jela! Bukan ada kereta lain pun kat jalan sebelah, silau la &£@”#!” aku sedikit geram. Apa yang pelik, kereta itu tetap tidak mahu memotong, lebih kurang 15 minit ia mengikut kami dibelakang memaksa aku memandu jauh ke dalam lagi sehingga sampai di satu jalan berbukit yang ada simpang tiga, yang ke kiri ke jalan m**i manakala simpang ke kanan menghubungkan pintu masuk utama ke sebuah banglo tinggal.

Aku lantas membelok ke kanan dan memberhentikan kereta. Dalam tidak sedar kereta tersebut telah hilang dari pandangan kami. “Mana kereta tadi? Takkan la dia masuk jalan m**i tu? Mana ada jalan lain dah kecuali ke banglo ni” Afiq menyuarakan rasa hatinya. “Mungkin dia ada masuk simpang lain tadi yang kita tak perasan, lagipun kita bukan orang sini, mana nak tahu” Wak menyedapkan hati. Ada benar kata Wak itu, jadi kami semua mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan perihal kereta terbabit.

“Weh korang, port baik ni”, tiba-tiba Zai bersuara. “Jom turun tengok-tengok dulu, dapat masuk dalam lagi bagus” tambah Afiq pula. Banglo dua tingkat yang berada di hadapan kami itu kelihatan benar-benar usang, seperti telah lama ditinggalkan. Dengan pokok-pokok menjalar memenuhi dinding kediaman tersebut, menguatkan lagi sangkaan kami. Khusyuk kami berlima memerhatikan keadaan banglo itu dari dalam kereta.

“Korang ni apsal diam je ni? Taknak turun ke?” aku bertanya. “Arm! Gerak wehhhhh gerakkkk!” Wak tiba-tiba menjerit. Aku yang sedang ralit melihat-lihat kawasan sekitar kelam-kabut menukar gear lalu mengundur kereta. Terkejut dek sergahan Wak. “Apa benda kau ni Wak?” Aduh apasal kau laju sangat gerak Arm, tak sempat aku nak tangkap gambar, kot-kot ada hasil!” Zai mengaduh. “Aku terkejut la gila si Wak ni tiba-tiba jerit suruh undur kereta”, aku membalas. Terbantut terus hajat untuk kami meneroka banglo tersebut gara-gara Wak.

Sejak dari banglo itu, Wak terus diam membisu. Aku memandu mencari jalan keluar. Kami bercadang untuk singgah minum sebentar di mana-mana restoran mamak. Wak pula tiba-tiba meminta untuk dihantar pulang, sudah tidak sanggup katanya. Aku melihat wajahnya sedikit pucat, seperti terkejut. Dalam kereta, masing-masing tidak bersuara langsung, hanya lagu di radio yang berkumandang.

Sedang aku memandu dalam kelajuan yang sederhana, pandanganku sekali lagi silau dek suluhan lampu tinggi kereta di belakang. Tetapi kali ini lampu itu dikelip-kelipkan. “Aduh apahal lagi ni? Apa yang tak kena dengan orang kat sini!” sekali lagi Zai bersuara. Dia membuka tingkap dan mengeluarkan separuh badan, dengan niat untuk memarahi pemandu kereta terbabit. Tidak lama Zai berbuat begitu, dia masuk semula ke dalam kereta. “Eh, ni kereta tadi la. Mercedes hitam kan? Dari mana pulak dia ni muncul? ” Zai berkata sendiri.

Aku memperlahankan kelajuan, seperti ingin berhenti tetapi kereta itu turut sama mengikut. “Arm, kau pandu terus, jangan berhenti sampai kedai mamak.” kata Amir. Kami masing-masing mula berasa tidak sedap hati. Lebih-lebih lagi Wak. Kejap-kejap dia menoleh ke belakang. Kereta tersebut berhenti mengekori kami setelah aku memandu keluar ke jalan besar. Kami menuju semula ke tempat kami berkumpul semasa permulaan tadi kerana mahu menurunkan Wak yang tetap dengan keputusannya tidak mahu meneruskan lagi.

Sampai di sana, kereta aku parkir di tepi jalan. Di bawah deretan pokok-pokok besar kerana tiada ruang kosong di lot-lot tempat letak kereta. Turun sahaja kami dari kereta, dengan tidak semena-mena sekumpulan burung (tidak pasti jenisnya) yang berada di atas pokok tempat kereta kami diparkir, terbang berpindah ke pokok sebelah. Kami berlima berpandangan sesama sendiri, sedikit pelik dan aneh. “Geng, dah jom. Kita cerita kat mamak”. Amir melangkah sebelum sempat sesiapa membuka mulut, diikuti kami yang lain. Cepat-cepat kami menuju masuk ke restoran mamak itu, tak sabar untuk merungkai misteri yang berlaku kepada Wak, perihal Mercedes hitam dan juga apa yang mengikut kami di atas bumbung kereta sehingga burung-burung tadi berpindah ke pokok sebelah.

“Apa yang kau nampak tadi Wak?”. Zai memulakan perbualan seperti tidak sabar. Sambil-sambil itu kami membasahkan tekak masing-masing. “Sebelum aku cerita, janji dulu korang hantar aku sampai rumah? Motor aku esok je aku ambil, letak je sini dulu” kata Wak sedikit menggeletar. Kami bersetuju dengan permintaannya, risau pun ada juga melihat keadaan Wak yang sebegitu rupa.

“Dekat banglo tadi, masa korang tengah borak, aku terpandang sesuatu kat bilik tingkat atas yang menghadap kita. Samar-samar je, aku nampak kelibat perempuan berpakaian putih lusuh, dengan rambut panjang mengerbang, tengah berdiri dan menunduk kepala, sambil melambai tangan kat aku. Separuh je bahagian yang nampak, macam bersembunyi sebalik dinding dan tingkap” cerita Wak panjang lebar.

“Betul ke Mir?” aku mendapatkan kepastian, kerana aku tahu Amir juga pasti nampak apa yang Wak nampak. Amir, seorang yang boleh dikatakan pandai dalam hal-hal mistik dan alam ghaib. Arwah atuknya adalah mahaguru silat, emaknya pula bidan dan pengurut di kampung. Jadinya, serba sedikit dia ada mewarisi ilmu-ilmu yang sebegitu. “Hehe..” Amir tersengih sambil mengangguk kepala. “Seram woi, tapi aku tak puas hati la” Zai menyampuk. “Korang rasa apa yang mengikut kita tadi? Kereta Merc hitam tu? Benda tu lah weh. Dia saja nak mengacau, sebab dia tahu Wak ni lemah semangat” Amir menjelaskan. “Abistu sekarang ada lagi ke Mir? Korang nampak kan burung tadi? Tiba-tiba je terbang pergi pokok sebelah, macam ada benda pulak atas bumbung kereta tu” Afiq pula bersuara. “Dia dah pergi, mungkin dah balik kat tempat tadi” balas Amir.

Lega kami semua mendengar kata-kata Amir itu. Yelah, buatnya benda tu mengikut sampai ke rumah tak ke haru-biru jadinya. Selesai minum, kami menghantar Wak pulang ke rumahnya yang terletak di kawasan berhampiran. Amir sempat mengajar kepada Wak untuk membaca beberapa surah dan ayat-ayat suci bagi memulihkan keadaannya. Maka, tinggallah kami berempat di dalam kereta itu.

“Weh korang, alang-alang kita dah separuh jalan ni jomla sambung. Aku tahu ada 2-3 tempat lagi dalam senarai tu kan? Azan Subuh je kita berhenti la” Zai cuba memujuk kami yang lain. Cerita Wak tadi memberi kesan juga kepada kami. Siapa yang tak seram jika ternampak dengan mata kepala sendiri sebagaimana apa yang diceritakan itu. Ditambah pula dengan kejadian benda itu mengikut dan menumpang kereta, membuatkan kami sedikit berkira-kira untuk meneruskan. Namun biasalah jiwa remaja, tidak puas selagi tak nampak. Dek kerana sifat ingin tahu dan sukakan cabaran serta pengalaman baru, aku, Afiq, Zai dan Amir bersetuju untuk menyambung aktiviti kami ke lokasi seterusnya di;

Rumah Doktor Frenzy @ Doktor Gila, Kemensah, Hulu Kelang.

Sejarah rumah puaka ini, dikatakan seorang doktor telah m******h seluruh ahli keluarganya sebelum m******h dirinya sendiri kerana tekanan jiwa. Sejauh mana kebenarannya, aku tidak dapat nak pastikan.

Perjalanan dari Selayang ke Kemensah hanya mengambil masa kira-kira 20 minit. Tetapi, oleh sebab tidak biasa dengan kawasan tersebut, kami tersesat dan hampir-hampir berputus asa kerana tidak menjumpai rumah yang dicari. Mujurlah Afiq bertindak bijak dengan menghubungi rakannya yang pernah menjejakkan kaki di sana sebelum ini. Rakannya yang bernama Syahmi bersetuju untuk menunjukkan arah dan turut serta bersama-sama kami ke rumah tersebut.

Kami menunggu di tepi Zoo Negara kira-kira 10 minit sebelum Syahmi tiba dengan menaiki motorsikal. Ketika itu jam menunjukkan hampir 3 pagi. Ya, waktu kemuncak bagi aktiviti-aktiviti paranormal. “Maaf Mi kacau kau dah lewat macamni” kata Afiq sambil menghulur tangan untuk bersalam dan kami semua pun bersuai kenal. “Eh, takpe Fiq. Aku pun tengah bosan kat rumah. Nak tidur mata belum mengantuk, tiba-tiba kau telefon” balas Syahmi. “Ada cerita sikit Mi sebelum kitorang datang sini, takpe nanti lepak aku cerita” tambah Afiq lagi. Syahmi hanya mengangguk.

Aku meminta Syahmi yang memandu kali ini kerana dia lebih arif dengan kawasan tersebut. “Korang jangan buat bising, kawasan kejiranan kat sini sensitif sikit” kata Syahmi sambil mematikan enjin kereta setelah sampai ke lokasi yang dicari. “Eh mana rumahnya? Lapang je?” aku bertanya kehairanan. Rupa-rupanya rekaan dan binaan rumah lot banglo tersebut sedikit unik. Dari pagar utama akan terlihat kawasan garaj kereta atau pun laman terlebih dahulu manakala rumahnya di bahagian bawah. Untuk masuk ke rumah pula harus menuruni tangga di bahagian tepi. “Korang hati-hati, suluh-suluh sikit mana nak pijak. Lantai ni dah lembik, reput” Syahmi mengingatkan kami.

Ketika kami masih di atas meninjau dan menyuluh kawasan sekeliling, Zai terlebih dahulu telah turun ke bawah dan masuk ke bahagian dalam. Seketika kemudian dia naik semula ke atas. “Lantai banyak dah reput la, lembik berlubang-lubang. Bahaya dalam gelap-gelap macamni kalau kita turun ramai-ramai” Zai menyuarakan pendapatnya. “Kita duduk kejap kat garaj ni pun boleh, korang nak ambil gambar ke apa ke buatlah cepat” Syahmi pula berkata-kata. Tiba-tiba..

“Shhhhreeiishh shhhhreeiishhhh”

Zai segera menyuluh ke arah semak di tepi sebelah kiri rumah tersebut, tempat di mana datangnya bunyi itu. Tiada lagi bunyi kedengaran, tetapi kali ini semak-samun itu bergerak-gerak seperti ada sesuatu di dalamnya.

“Pukkkkk!!”

Pantas Afiq mencapai kayu melontar ke arah itu. Diam. Beberapa saat, gerakan di dalam semak itu bertukar-tukar tempat pula. Laju gerakkannya, kejap ke kiri kejap ke kanan malah depan dan belakang juga. “Dia nak menyakat je tu” kata Amir sambil matanya dipejam dan mulut sedikit terkumat-kamit. Aku pula hanya sekadar memerhati. Seketika kemudian suasana bertukar sepi semula. Tiada lagi bunyi mahupun gerakan di dalam semak.

“Apa benda tu?” tiba-tiba Syahmi menunding ke sebatang pokok pisang di kawasan belakang rumah tersebut. “Jangan suluh!” Amir segera menegah Zai yang ingin berbuat demikian. “Kalau disuluh, kita takkan nampak. Untuk tengok benda tu perlukan cahaya yang samar-samar, macam cahaya bulan. Sekarang korang perhatikan betul-betul apa yang ada kat balik pokok pisang tu, nak tengok sangat kan?” Amir menerangkan sambil matanya kembali dipejam dan mulut membaca sesuatu. Seketika kami semua terdiam. Aku terasa seperti darahku tidak mengalir ke muka, terasa kaku dan seram sejuk. Lantas aku berpaling dan melihat yang lain, turut sama sepertiku. Masing-masing kelihatan pucat dan tercengang.

“Hoooooooooooo” “Hoooooooooooo”

Sayup-sayup kedengaran seperti suara wanita merintih merayu meminta simpati. Dalam kesamaran cahaya bulan, disulami bunyi suara wanita yang bersedih sayu, kami dapat melihat di sebalik pokok pisang tersebut berdiri sekujur tubuh seorang wanita sedang menggendong anak. Mukanya tidak kelihatan kerana ditutupi rambut yang panjang. Pakaiannya koyak-rabak dan ada tompokan d***h yang telah kering, menjadi agak kekuningan. Bayi ditangannya pula langsung tidak bergerak, kaku seperti batu. Ia cuma sekadar berdiri tercegat di sebalik pelepah daun pisang yang terjuntai-juntai, namun masih boleh dilihat.

“Dah? Semua dah nampak kan? Dah jom kita gerak. Dia tak suka kita datang sini” kata Amir. ‘Jom Gerak’. Ya, perkataan itulah yang ditunggu-tunggu sedari tadi. Tak sanggup rasanya nak duduk di situ lebih lama. Boleh tercabut jantung yang tak berhenti berdegup kencang. Zai yang bersuara lantang dan berani itu pun terdiam membisu, sambil menggosok-gosok tengkuk yang masih meremang. Masuk ke dalam kereta, riuh-rendah jadinya dengan masing-masing ingin bercerita tentang apa yang disaksikan sebentar tadi. Tetapi Zai yang paling teruk dikecam. Dalam berani rupanya masih ada juga rasa seram dan takut.

Kami tidak terhenti di situ. Bak kata orang, kejadian di rumah doktor itu tadi hanya sekadar ‘pemanas badan’. Malah, kami menjadi lebih berkobar-kobar untuk meneruskan pemburuan. Mungkin ramai yang akan pertikaikan betapa beraninya kami walau sudah melihat sendiri jelmaan entiti tersebut. Namun percayalah, d***h panas dan jiwa remaja ini susah untuk difahami. Takut, tapi mahu.

p/s: Aku terpaksa berhenti dekat sini, sebab sambungannya agak panjang. Apa yang berlaku di lokasi seterusnya yang kami tuju pada malam itu telah membuatkan aktiviti pemburuan entiti yang pertama itu, jadi yang terakhir buat kami berlima.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

armyy

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

22 thoughts on “#armyy – Memburu Dan Diburu (Bahagian 1)”

  1. Ni namanya cri penyakit..dok sja2 nk try cuba test..bila dh jmpa tau lak takut..asal x tnggu jaa..manatau nti si ibu tu panggil geng…kan leh tgk berjemaah..x yah susah2 g cri kt tmpt lain…huhuhu…

    Reply
  2. Nice story..kisah pngembaraan bmula.nasibla byk yg bt aktvt paranormal ni team llki.jiwa kntal.pling truk pun ketar2 muka pucat j.klau pmpn kne histeria da kot..ker ada jg team pmpn yg buat??

    Reply
  3. Seram dan dan risau kalau kena tuduh menceroboh eh bukan risau jumpa hantu ke apa. Hati kering korang ni. Lepasni ajak aku lah pulak hahaha.

    Reply
  4. Akk selalu kepelikan…
    Klu tgk kt utube tu, beria geng2 seekers camni redah sana sni carik antu katenye…
    Bile antu dh kuor, x cukup tanah memsg lari…
    Ape ke hey nye yeob…???
    Nak tgk ke taknak??
    Ape malu tapi mahu???

    Bkn ape…
    Korg dh mempermainkan memperkotakkatikkan perasaan kaum natang tu…
    Beria carik dh menjelma takot plak…
    Kecik ati member tu taauuuu…
    Tu blom kira korg dh spoil schedule diorg yg lari timing dek nk memenuhi hajat korg last min punye appoinment tu…

    Reply
    • biasa lah kak yulie.ada sesetengah org akan ready awal smpai tmpat nyer dah ready boleh lari kalau dari logik perasaan kita yg mengajak diri kita lari dari jumpa makhluk tu ..kbnyakan yg jumpa secara kebetulan je x tahu sama ada depa ready or tidak..senang cite permainan jin atau syaitan a.k.a hantu lagu hbat dari kita..lagi satu kak diorang x mempermainkan sbb nawaitu kita tu pnting kita datang situ untuk baik or bermegah..sblum depa sampai makhluk tu dah tahu sebb makhluk tu hidup awal sebelum kewujudan manusia..

      Reply
  5. Aku baca mukadimah aku trs nk komen.adakah kt knl or kt pnh jmpe dkt area wangsa maju.msbb zaman team korg pg tu mmg zaman aku dgn kengkawan cri nahas pg ke tmpt2 mcm tu.cuma ktorg xpg hospital Cheras xjumpe jln just pg baglo Kemensah,higland tower bukit Tunku,bukit antarabangsa.sume tu pengalaman beb.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.