#armyy – Memburu Dan Diburu (Bahagian 2)

“Mi, kau nak ikut tak? Ni yang penghabisan, sumpah! Lepastu kita balik la” Afiq mempelawa Syahmi untuk turut serta. “Mana tempat? Motor aku kat zoo ni macam mana?” Syahmi bertanya. “Alah, dekat je dari sini. Motor tu biarlah jap, takda siapa la nak curi motor buruk kau tu” kata Afiq sambil berseloroh. “Ha yelah” balas Syahmi tanda setuju.

Jam telah menunjukkan pukul 3.45 pagi ketika itu. Dari Kemensah, kami beralih pula ke lokasi seterusnya. Kami berlima telah bersetuju itulah penutup bagi pengembaraan paranormal ini sebelum pulang. Pengalaman di rumah doktor tadi sedikit sebanyak telah membuatkan perasaan seram dan takut mulai timbul di dalam diri. Masing-masing pula bukannya jenis yang penuh ilmu di dada, sekadar suka-suka. Lain lah Amir. Namun begitu, semangat dan keterujaan untuk meneruskan tetap ada. Kiranya, kami boleh diibaratkan seperti mencari penyakit dan menempah bala! Haha!

Tempat terakhir yang ingin kami tuju itu jaraknya sudah tidak berapa jauh, kira-kira 5 minit sahaja perjalanan iaitu di;

Highland Towers, Taman Hill View Bukit Antarabangsa.

Sebut sahaja Highland Towers, pasti ramai sudah tahu serba-sedikit tentang tragedi yang menimpa kondominum tersebut. Secara ringkasnya, pada Disember 1993, 1 daripada 3 blok bangunan yang dibina runtuh akibat bencana alam dan telah mengorbankan seramai 48 orang (mungkin lebih lagi) ketika itu. Manakala dua blok bangunan yang terselamat masih lagi utuh berdiri sehingga kini, menjadi lokasi kegemaran bagi pemburu-pemburu entiti. Malah telah pun dibuat filem.

“Dari apa yang aku baca kat internet ramai yang cakap Highland Tower ni keras, siapa yang masuk mesti kena” kata Afiq. “Ah, habistu aku baca banyak jugak matpet. Elok je tak kena kacau pun? Kita sampai pun belum kau dah macam-macam” Zai membetah. Ya, bagi yang pernah masuk ke sana pasti juga mengetahui terdapat ramainya penagih-penagih dadah yang menjadikan bangunan tinggal itu sebagai markas mereka melepas gian ataupun rumah kedua untuk didiami. “Aku bagitahu je apa yang aku baca, janganlah marah” balas Afiq. Aku, Amir dan Syahmi hanya tersenyum melihat gelagat mereka berdua.

Untuk sampai ke Highland Towers, harus melalui satu kawasan taman perumahan terlebih dahulu kerana itulah satu-satunya jalan yang ada. Taman Hill View namanya (kalau tak silap, maaf dah lupa). Dari situ barulah akan temui jalan belakang ke kondominium berkenaan yang sedikit terselndung di sebalik pokok-pokok tinggi. Sampai di sana, kereta aku parkir betul-betul di hadapan sebuah rumah kosong yang paling hujung di deretan teres dua tingkat itu. Bertentangan dengan rumah tersebut, terdapat sebuah rumah lot tepi didiami keluarga berbangsa Cina.

“Aaaaauuuuuuuuuuuuuuufff woof woof woooff” “Aauufff woof woof”

Kami disambut dengan salakan anjing mereka yang tidak henti-henti sejak turun dari kereta. Khuatir dengan kehadiran polis (kerap juga mereka meronda) atau penduduk di situ, cepat-cepat kami beredar dan mula masuk ke laluan belukar dan semak yang menghubungkan antara kawasan taman perumahan tersebut dan juga blok usang yang terbiar itu. Dengan hanya berbekalkan lampu suluh di tangan masing-masing dan juga satu kamera digital milik Zai, kami melangkah dengan penuh debaran, memikirkan entah apa yang menunggu kami di dalam.

“Jap, nanti dulu” Amir menghentikan langkah kami. “Sebelum kita teruskan, meh sini aku ajar korang kunci diri. Korang ikut apa yang aku baca apa yang aku buat”. “Tadi awal-awal kau taknak suruh pulak?” Zai seperti berang. “Tadi tak perlu, tapi kat sini aku rasa lain sikit, eloklah kita bersedia” Amir membidas.

Kunci diri, kata Amir, adalah untuk mengelakkan diri daripada dikuasai ‘benda’ tersebut, lebih-lebih lagi jika yang lemah semangat. Malah, sehingga kini aku masih mengamalkan apa yang diajarkan oleh Amir itu. “Weh, nasib baik kan Wak dah blah awal” kataku sambil kami menyambung langkah. Yang lain hanya mengiyakan, tanpa bicara panjang. Kira-kira 200 meter berjalan, kami tiba di bawah blok bangunan tersebut. Permukaan lantai di aras bawah sekali itu penuh dengan tanah yang lembik seperti selut. Kami mengagak kawasan itu pernah menjadi tempat parkir kereta suatu ketika dahulu. “Macam mana sekarang? Nak naik atas atau lepak bawah ni je?” Amir bertanya kepada kami yang lain. “Tak kisah, jomlah dah alang-alang ni” Afiq memberi respon. “Bagi Amir jalan depan, lepastu korang ikut, aku jalan paling belakang, senang aku nak ambil gambar” Zai pula bersuara.

Kami menuju ke tingkat satu dengan menaiki tangga. Sambil-sambil itu kami menyuluh-nyuluh memerhatikan kawasan sekeliling, kesan tinggalan penduduk di sini. Benar bagai apa yang diberitahu di internet, terdapat banyak kesan aktiviti penagihan dadah di sana. Dinding-dinding pula penuh dengan contengan, perbuatan vandalisma oleh tangan- tangan yang tidak bertanggungjawab. “Diorang yang buat benda ni semua, tak takut ke? Kan ramai orang m**i kat sini dulu” kata Syahmi sambil meneliti ‘karya agung’ yang terhasil di dinding. “Hish! Kau ni mulut macam Zai gak kan! Nak cakap tu tengok tempat la” aku mencuit Syahmi, geram pun ada.

Banyak juga rupanya diantara unit-unit rumah di blok tersebut yang masih mempunyai barang-barang kepunyaan bekas penduduk. Mungkin ketika itu masing-masing bergegas untuk berpindah selepas mendapat arahan supaya mengosongkan kediaman dari pihak berkuasa. “Naik atas lagi jom, sini macam takda apa lah” Zai mengajak kami untuk ke tingkat lebih atas. “Korang kalau jumpa barang apa-apa jangan ambil bawa balik pulak, tengok pegang je lepastu letak balik” Amir berpesan. Suasana di tingkat satu bangunan terbiar yang gelap itu terasa sunyi dan dingin. Lantainya juga bertanah seperti di aras bawah dan dindingnya sedikit berlumut, mungkin kerana faktor lokasinya yang berada di atas bukit. Di ruangan lif pula, jika dijengah boleh dilihat dari tingkat atas sekali hingga ke bawah, kerana lifnya sudah tiada, rompong tidak berpenghadang, sama keadaannya dengan kawasan balkoni di beberapa unit rumah. Pokok-pokok liar juga bebas tumbuh melata di sana sini. “Wuish ni kalau terjatuh dari atas ni…” kataku sambil menggeleng-geleng kepala.

Kami kemudiannya menuju ke tangga semula untuk naik ke tingkat dua. Ruang tangga yang agak sempit dengan pemegangnya sudah tiada membuatkan kami mengatur pergerakan dengan perlahan dan berhati-hati. Kali ini aku pula berada di belakang sekali kerana yang lain telah beredar ketika aku ralit meninjau-ninjau di ruangan lif tadi. Jarak pemisah antara kami lebih kurang sepuluh anak tangga. Tak berani pula aku hendak melangkah laju dengan keadaan tangga yang agak berbahaya itu. Sekejap-sekejap aku menoleh menyuluh ke belakang. Terasa seperti ada sesuatu di sana. Pernah tak kalian rasa seperti diekori? Itulah yang aku alami ketika itu.

“Tap..tap..tap…” “Tap..tap..tap…”

Bunyi tapak kaki yang sedang mendaki tangga itu datangnya betul-betul dari arah belakang. Seperti ada orang lain yang sedang menuruti langkahku. “Rasanya semua dah naik atas, aku je yang lambat tadi” bisikku di dalam hati. “Wei tunggu aku!” aku separa menjerit sambil cepat-cepat pergi ke arah yang lain tanpa menoleh lagi selepas bulu romaku berdiri dengan tidak semena-mena. “Hah, dah kenapa kau?” Zai menegurku selepas melihat aku seperti tergesa-gesa mendapatkan mereka. “Tak ada apa-apa. Korang tu jalan tengok la belakang pastikan semua ada ke tak, ni masa aku kat lif tadi aku tengok korang dah takda” kataku sedikit kesal dengan perbuatan mereka. “Maaf weh, tak perasan tadi, sumpah!” Amir cuba memujukku.

Sedang yang lain meninjau-ninjau sekeliling, aku menarik lengan Amir. “Mir, masa aku kat tangga tadi…”. “Dah, jangan cerita kat sini. Nanti kita sembang”, belum sempat aku menghabiskan kata-kata, Amir mencelah. Aku akur. Kami berlima kemudian masuk ke satu unit rumah yang agak banyak tinggalan perabot dan barang-barang perhiasan, malah lantainya masih berkarpet. “Weh korang, aku rasa bekas pemilik rumah ni mesti orang arab, cuba korang tengok ni” lantas kami mengerumuni Syahmi yang sedang memegang sebuah album gambar di ruang tamu rumah tersebut. Keadaan albumnya sudah buruk kekuningan, diselaputi tanah dan debu serta sedikit lembap. Ada gambar yang masih boleh dilihat, ada yang telah rosak secara keseluruhan. Terdapat sekeping gambar yang memaparkan sebuah keluarga yang kelihatan seperti berbangsa arab. Selesai berpusing di ruang tamu dan dapur, kami beralih pula ke dalam bilik. Ada beberapa buah buku cerita kanak-kanak dan juga beberapa keping poskad dalam bahasa arab tersimpan di dalam laci kabinet, menguatkan lagi andaian kami.

“Hikhikhik” “Hikhikhik” “Hikhikhik”

Dari dalam bilik tersebut jelas kedengaran suara kanak-kanak ketawa keriangan dari arah luar. Aku yakin kesemua kami mendengarnya kerana serentak itu juga kami berpaling. “Aku tak sedap hati lah”, tiba-tiba Zai bersuara. Sedikit janggal Zai yang berkata begitu kerana di permulaan, dia lah yang paling berani dan berkobar-kobar. Aku melihat muka masing-masing berkerut dan sedikit gelisah. “Macamni, kita naik atas lagi sikit lepastu kita turun, pergi blok sebelah pulak. Nanti tak seronok nak cerita kat orang sebab tak habis pusing” Amir memberi cadangan. Oleh kerana Amir yang berkata sedemikian, kami turutkan sahaja. Entah kenapa kami berasa yakin dan selamat dengan keberadaan Amir di situ. Walau berkali-kali dinafikan dan ditidakkan oleh beliau sendiri sebelum ini akan kehebatan ilmu yang diwarisi, kami tetap tidak percaya. Manakan tidak, pernah sekali Amir secara tidak sengaja menunjukkan kebolehannya (maaf aku tak dapat nak kongsi apa kebolehannya di sini) di hadapan kami yang membuatkan kami ternganga melihatnya. Sungguh pun begitu, beliau begitu merendah diri dan tidak pernah mendabik dada dengan apa yang dikurniakan kepadanya. “Tarik nafas dalam-dalam, relakskan diri dulu, dah tak ada tu” Amir bersuara lagi setelah beberapa ketika kami saling berpandangan dan terdiam. Hanya apabila kami betul-betul yakin tiada lagi suara atau bunyi-bunyian yang didengar, barulah kami berlalu menuju pula ke tingkat empat. Kami tidak singgah di tingkat tiga kerana kononnya angka empat itu sendiri ada angkernya, bak kata Zai. Dia yang mencadangkan kami untuk berbuat demikian.

“Kchak kchak, kchack kchack”

Gigih Zai mengambil gambar. Sesekali ada juga dia merakam video. Sebagai kenang-kenangan katanya. Penat mula kami rasa selepas mendaki tangga dari tingkat dua ke tingkat empat. Ditambah lagi dengan aktiviti yang kami lakukan di lokasi-lokasi sebelumnya, sedikit sebanyak kaki masing-masing mulai lenguh. Kami melepas lelah sambil membasah tekak di kawasan balkoni yang menghadap belukar tebal. Hanya satu lampu dinyalakan dan diletakkan di atas lantai, menyuluh siling. Di kedinginan malam dan dalam samar-samar cahaya itu sambil menyalakan rokok, tiba-tiba aku melihat Syahmi berkelakuan pelik. Membuat gaya seperti inang sedang menari dengan begitu asyik, sambil berpusing setempat perlahan-lahan dengan tanggannya meliuk lembut. Afiq dan Zai yang berada berhampiran Syahmi melompat ke arah aku dan Amir sebaik melihatnya sebegitu. “Ah sudah” kata Amir lalu dipegangnya dahi Syahmi sambil mulut terkumat kamit membaca sesuatu. Seketika kemudian, Syahmi pulih seperti biasa, kelihatan tercengang dan termangu-mangu. “Minum air ni Mi, kau jangan fikir macam-macam dalam kepala tu” kata Amir sambil menghulur botol air minuman kepadanya. Keadaan tenang semula selepas itu. Ada yang menjamah kudap-kudapan, ada yang menghisap rokok sambil kami berborak-borak kosong.

“Allahu akbar Allahu akbar”

Sayup-sayup kedengaran. Kami semua terdiam. Aku melihat jam. Pukul 4.20 pagi. “Eh? Awalnya azan Subuh? Bukan sepatutnya pukul 5.40 pagi ke?” Afiq bertanya kehairanan. Tiada siapa pun yang menjawab mahupun bersuara. Kami hanya membiarkan sahaja suara azan berkumandang sehingga habis ke penghujung. Setelah berehat, kami turun semula ke aras paling bawah untuk pergi ke blok sebelah pula. Perihal azan awal itu kami ketepikan seketika walau terdapat sedikit kemusykilan di dalam hati. Aku sengaja memilih untuk tetap berada di belakang sekali sewaktu kami menuruni tangga. Ya, bunyi tapak kaki dibelakangku itu masih ada, tetapi aku masih tidak menceritakannya lagi kepada yang lain. Tunggu sehingga selesai semuanya.

“Bang, bang! Tolong kitorang bang!” Entah dari mana munculnya, datang satu kumpulan, tiga orang jumlahnya yang terdiri daripada dua orang lelaki dan seorang wanita kelam-kabut menuju ke arah kami. “Eh kenapa ni? Apa dah jadi? Korang daripada mana?” bertalu-talu soalan diaju Zai. “Kitorang…kitorang dari Cheras bang..datang sini saja suka-suka, tiba-tiba ‘benda’ tu mengganas!” tercungap-cungap mamat berbadan gempal yang mahu dikenali sebagai Zack itu menerangkan. “Mengganas? Apa dah jadi?” Amir bertanya. “Kitorang berempat sebenarnya, ada sorang lagi kawan kitorang kat blok atas, tadi dia dah lain macam, meracau-racau lepastu lari entah pergi mana, tolong kitorang bang” rayu Zack. Seorang lagi kawannya bernama Amar, manakala wanitanya pula bernama Ayu dan Ina. Yang meracau dan hilang seperti diperkatakan Zack itu, Ina lah orangnya. “Hah, korang berpasang-pasang ni, buat apa kat atas tu tadi? Cakap betul-betul!” Afiq menjerkah. “Sumpah bang kitorang tak buat apa-apa, diorang ni (yang wanita) nak sangat tengok kawasan ni, kitorang pun bawak la, tak tau pulak ada yang tengah ‘kotor’, dia pun tak cakap. Dah jadi macamni baru si Ayu ni bagitahu” Amar pula bersuara kali ini. “Betul apa dia cakap tu bang..” kata Ayu yang sedari tadi berdiam diri kerana menangis ketakutan. “Dah, jom kita ke sana cepat! Jalan sama-sama, jangan sampai terpisah. Aku mintak korang semua sambil jalan tu zikir dalam hati.” kata Amir lalu melangkah deras menuju ke blok atas yang terletak bersebelahan diikuti kami yang lain.

-Bersambung-

p/s:

• Tentang azan Subuh berkumandang lebih awal dari waktunya, kami telah mendapatkan jawapannya dari yang ahli. Memang langsung tiada kena mengena dengan dunia mistik. Dalam kalangan kalian, mungkin ada yang sudah biasa dengannya, namun bagi kami yang masih mentah ketika itu malah cetek pula ilmunya, ianya adalah satu perkara baru.

• Maaf lambat buat sambungan dan terpaksa disambung lagi ke Bahagian 3 pulak, aku dalam proses pulih dari kemalangan baru-baru ni.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

armyy

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

55 thoughts on “#armyy – Memburu Dan Diburu (Bahagian 2)”

  1. Ni klau kat fb ni meroyan la pengomen2 yg x suka cerita bersambung. Acah2 malas nak layan FS dah sebab admin x faham isi hati dia yg Xnak cerita bersambung. Dia ingat org peduli kot dia pnya perasaan. Siap nk unlike page pun ada. Kahkahkah

    Reply
    • itulah, bukannya sengaja nak buat bersambung. takdela nak kerjar like ke glamer ke. kita ni penulis baru, tulis pun isi masa lapang. lain lah yang dah ada fans tu, buat bersambung sesaje pun orang still sanjung. btw bila pulau pinang pakai sultan? hahaha

      Reply
      • Menulis ni perlu idea wlaupun jln cerita dh ada. Nak luah idea tu ingat semudah eja abc agaknya. Aku perati je yg asyik komen komplen cerita bersambung tu. Nak sembur kang tak pasal ramai2 bash aku balik. Kebanyakkan jenis makcik2 bawang. Baru beberapa minit yg lepas penang ada sultan. X caye ko tunggu tngok tv3 suku 1.30pm jap g. Hahaha

        Reply
  2. finally!!dah lama tunggu sambungan dia..pernah lah bercita2 nak masuk highland towers ni tapi sedar diri ni bukanlah berani sangat.haha,semoga cepat sembuh armyy 🙂

    Reply
  3. Best2. Well done lah army. Tp kenapa nama army? Tp sy lg suka cerita bersambung dari panjang lebar, nanti baca tak stop2. Sambung2 boleh baca bila ada masa. ☺

    Reply
    • Boleh bro apa salahnya.
      Mula-mula baca: Salaamun a’la Sulaiman fil a’alamiin.
      Kemudian baca: Salaamun Qaulam mir Rabbir Rahim (Yaasin ayat 58), mula dengan tangan kanan di pergelangan. Caranya, temukan ibu jari dan jari telunjuk tangan kiri di pergelangan tangan kanan dan putar ikut arah lawan jam sambil baca ayat tadi. Buat di kedua-dua belah pergelangan tangan dan kaki. sambil-sambil tu mohon juga perlindungan-Nya. InsyaAllah dengan izin-Nya selamat dari sebarang gangguan.

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.