Asrama 1995

ASRAMA DAN AKU

Hello semua,  Nama aku Helen, sumandak dari Sabah dan aku ingin berkongsikan sedikit pengalaman hidup aku semasa tinggal di asrama. Terlalu banyak pengalaman yang telah kurasai sepanjang 4 tahun tinggal dalam asrama tu. Kisah ni berlaku dalam tahun 1995-1998 begitu. Kisah-kisah dibawah ni ada yang aku sendiri alami dan ada yang diceritakan oleh teman-teman aku.

Sebelum tu aku minta maaf sebab semua nama-nama yang digunakan adalah bukan nama sebenar untuk melindungi privasi mereka.

So ceritanya macam ni…

Kisah 1

Di asrama puteri (aspuri) kami ni tandas aras 3 telah ditutup dan tidak boleh digunakan.Tandas ni sudah lama ditutup, sejak bila ditutup kami pun tak tahu yang pastinya tandas tu telah penuh dengan sawang, habuk dan kotoran sampaikan tumbuhan pun tumbuh dalam tu.. Macam mana aku tahu?? Sebab aku dan kawan-kawan pernah mengintai melalui lubang kunci tandas tu dan juga memanjat tangga untuk menjengguk dari tingkap kaca.. Kami tertanya-tanya tahap manalah keangkeran cerita-cerita yang pernah dikisahkan tentang tandas tersebut. Sebab tulah kami pergi meninjau tapak situasi berkenaan. Menurut cerita senior aku, dalam tandas ni pernah ada kejadian seorang pelajar mengantung diri akibat kecewa ditinggalkan kekasih, pelajar tersebut sangat malu dan takut apabila mendapati dirinya telah mengandung. Sejak kejadian itu berlaku banyak kes-kes pelik di dalam tandas ini.

Aku tinggal di dorm sebelah kanan tandas tersebut, pada awalnya tidak ada apa-apa yang berlaku. Tetapi ada suatu malam tu aku terjaga, aku ini pula jenis yang senang terjaga tetapi susah untuk tidur semula. Ketika terbangun tu aku tersedar yang suasana ketika itu sangat-sangat hening dan sunyi sepi, biasanya malam-malam beginilah bilik yang di huni seramai 16 orang ni akan bergema dengan pelbagai bunyi-bunyian mendengkur dan mengigau yang sungguh tak sedap didengar dan paling ngeri bila ada yang giginya bergesek (siapa yang pernah dengar taulah seramnya). Sunyi yang hinggakan malam itu bunyi cicak pun tak ada kedengaran. Sambil memujuk mata untuk lelap dan sekejap kalih ke kanan dan ke kiri, telentang dan tiarap, dan apabila semua tu tak menjadi aku start kira kambing la pulak..satu kambing.. dua kambing.. tiga kambing..tak tau kambing ke berapa aku terdengar bunyi pintu di buka, aku pun terus melihat pintu dorm kami, dan ternyata itu bukannya pintu bilik kami…tak lama kemudian bunyi selipar jepun pula bergema…”pap pap pap” disusuli bunyi baldi diletak dan bunyi paip air dibuka..dalam hatiku berkata “wah awalnya orang ni mandi, tak sejuk ke?”..
(sedikit info :- siapa-siapa yang pernah tinggal asrama tahulah macam mana sejuknya mandi air paip/air kolah..tak ada heater ya..)

Selepas itu terdengarlah bunyi shower dan orang tu mula humming lagu apa ntah…tidak beberapa lama kemudian senandungnya mula kedengaran seperti menangis, ketawa dan mengilai pun ada. Aku melirik jam di tangan baru jam 1.35 pagi, ikut logik mana ada orang mandi pagi buta begini. Lepas tu aku tersedar yang tandas sebelah tu rosak dan terkunci, mana mungkin ada pelajar yang dapat masuk kesana untuk mandi. Bulu roma ku pun berdiri tegak setegak-tegaknya, hatiku pun ikut berdebar-debar, telingaku mula berdesing manakala bunyi mengilai makin kuat kedengaran dan terasa semakin dekat. Sekilas dari sudut mata aku terlihat bayangan perempuan berbaju putih kusam dan berambut panjang di atas almari sedang bergerak merayap turun sambil mulutnya terbuka luas mengilai. Bilik ketika itu dipenuhi bau bunga kemboja, bau kapur barus dan juga bau yang sangat busuk. Sambil melawan ketakutan aku berbisik berulang kali “aku tak kacau kau, kau janganlah kacau aku..aku cuma tumpang tidur sini sebab aku nak belajar, pergilah balik tempat kau jangan kacau kami lagi ”.

Rasanya aku terpengsan ketika itu dan hanya tersedar bila dikejutkan oleh rakan-rakan sedorm untuk bersiap ke sekolah. Semasa mandi aku perasan ada lebam di bahagian betis dan bila dilihat dekat ianya kelihatan seperti cengkaman jari. Aku tak pernah menceritakan kisah ni kepada ahli dormku, aku tak mahu mereka takut dan mencetuskan histeria kepada mereka. Jangan tanya kenapa aku tak keluar dari asrama itu, ketika itu hanya sekolah itu sahaja yang dikira paling dekat dengan kampungku (kampungku sangat jauh jaraknya dari sekolah) dan menyewa rumah akan menjadi beban kepada keluarga ku kelak.

Kisah 2

Di sini biar aku jelaskan kedudukan bangunan aspuri kami, bangunan aspuri ni bentuknya memanjang dan 2 tangga masing-masing terletak di hujung bangunan. Di depan bangunan aspuri ialah flat guru dan belakang aspuri ialah padang sekolah. Di sebelah kanan bangunan ialah dewan makan dan bangunan aspura (asrama putera), sebelah kiri pula ialah bukit.

Sedikit pengenalan mengenai diri aku ialah aku ini seorang yang berjiwa kental. Dalam kisah 1 ada diceritakan yang tandas aras kami iaitu tandas aras 3 telah rosak. Hanya tandas aras 2 yang boleh digunakan ketika itu. Selalunya penghuni aspuri akan berteman ketika hendak ke tandas atau pun menahan sehingga ke siangnya.

Pada mulanya aku bila hendak ke tandas sering berteman, tetapi bila tiba masanya, kerja mengejutkan mereka untuk menemaniku sangatlah payah dan akhirnya aku selalu ke tandas bersendirian. Suatu hari tu aku terbangun sebab nak terkencing. Bila ku perhatikan mereka semua dah pulas tidur dan ada yang berdengkur, tak sampai hati pula nak membangunkan mereka.. “aduh sendirian la jawabnya” kataku pelan. Perlahan-lahan aku membuka pintu, menyarung selipar jepun dan berjalan ke aras 2, waktu itu tidak ada perasaan takut yang kurasai. Sampai sahaja di muka pintu ku jenguk tandas dahulu sebelum masuk. Bila di dalam tandas terasa sunyi yang menakutkan. Aku cepat-cepat menyelesaikan hajat dan terus keluar.

Bila keluar sahaja aku tercium sekilas bau bunga kemboja, aku menenangkan hati mengatakan yang bau itu berasal dari pokok yang banyak tumbuh di luar pagar asrama. Walau bagaimanapun rasa seram sejuk semakin kuat, tulang belakangku terasa angin yang sangat sejuk dan telinga ku pun mulai berdenging dan aku terasa seperti ada sesuatu yang sedang memerhati dan mengikuti. Tanpa menoleh aku terus mencabut selipar dan lari ke bilikku. Sambil berlari aku terdengar seperti ada bunyi angin yang menderu dan terasa ada sesuatu yang ikut mengejarku dan aku terus berlari selaju-lajunyanya ke bilikku. Sesampainya sahaja di bilik, perasaan aman dan berani telah kembali lalu aku berpaling dan keluar ke koridor mencari tahu siapa yang mengejar tetapi tiada seorang pun yang kelihatan di koridor tersebut. “Hmm..perasaan ku je kot” kataku dalam hati. Aku mengelap kakiku dengan kain basah sebelum naik ke katilku dan menyambung tidur.

Siang harinya cikgu kami Cikgu Kim masuk mengajar di kelas kami. Cikgu Kim ni sangat disenangi oleh kami semua, dia sangat kelakar dan suka menceritakan kisah-kisah semasa. Di pertengahan sesi pembelajaran Cikgu Kim menceritakan yang semalam dia tidak dapat tidur kerana panas dan keluar ke balkoni untuk berangin-anginan. Semasa duduk di balkoni dia memandang ke asrama puteri dan melihat seorang pelajar berjalan sendirian ke tandas dan beberapa minit kemudian pelajar tersebut keluar dari tandas. Di sini Cikgu Kim memberitahu ada pontianak ikut keluar dari tandas tersebut dan terbang mengikuti pelajar tersebut. Cikgu Kim ingin berteriak memberi amaran kepada pelajar tersebut tetapi dia sedar yang teriakan itu tidak berguna, tanpa daya di lihatnya pelajar itu yang kemudiannya berlari laju dan sosok pontianak itu hilang semasa pelajar tersebut menaiki tangga.

Jantungku terus berdebar-debar dan aku hanya mampu terdiam dan cuba melawan rasa takutku mendengar cerita Cikgu Kim. Aku tahu yang pelajar itu adalah aku. Walaupun perasaan takut mula mencengkam aku sedaya upaya menenangkan diri. Bagiku Tuhan itu lebih berkuasa dan kepadaNya lah kita harus memohon perlindungan, kekuatan dan pertolongan. Hanya teman karibku sahaja yang ku ceritakan mengenai kisah ini. Itupun selepas kami menamatkan pelajaran di sekolah itu.

Selepas Cikgu Kim keluar kawan aku pun berbisik kepada Borhan si pelajar asrama lelaki.

Kawan aku : Hei Borhan, beranikah kau pergi tandas sorang-sorang?

Borhan : kami malam-malam tak ke tandas laa.. Botol kan ada..

Kawan aku & Aku : @#*&%$~+

Kisah 3

Di asrama kami ni tempat untuk mandi dan mencuci kain hanya ada dua, bilik mencuci dan kolah. Entah mengapa bagiku kolah mandi agak seram, dengan keadaannya yang remang-remang, lumut yang tak pandai hilang-hilang walaupun disental setiap hari ahad (asrama kami ketika itu mengadakan gotong royong setiap hari Ahad) dan juga rasa dingin setiap kali aku masuk ke sana.

Walaupun setiap perhimpunan pagi kami jelaskan tentang kebersihan dan pentingnya agar tidak meninggalkan sampah sarap terutamanya tuala wanita di bilik mencuci dan kolah, tetapi perkara tersebut sering terjadi berulangkali. Rasanya pelajar tak boleh juga dipersalahkan seratus peratus kerana paip hanya ada beberapa, penghuninya pula ada ratusan orang dan semua pelajar terpaksa bergesa-gesa membersihkan diri dan belum pun habis pelajar tersebut mengumpulkan barangannya pelajar lain sudah pun mengambil tempatnya..(mohon maaf panjang pula mukadimahnya)

Suatu malam tu semasa prep, aku perasan yang ada seorang pelajar wanita duduk statik tidak bergerak-gerak langsung, matanya pula memandang ke tingkap sahaja. Ketika aku dan ketua aspuri mendekatinya, dia mula marah-marah dan menarik-narik rambutnya. Pelajar yang duduk berdekatan dengannya segera kami suruh berpindah tempat. Beberapa senior mula turun untuk membantu kami ketika itu.

Pelajar itu yang kata temannya bernama Yuni kami lihat mula kelihatan agresif, matanya kelihatan bergerak liar. Apabila kami memegang tangannya Yuni segera menyentak tangannya dari tangan yang memegangnya. Borhan yang berbadan besar dan tegap pun boleh terjatuh apabila ditolak oleh Yuni. Walhal Yuni ni kecil molek dan kurus orangnya mustahil ada kekuatan yang sebegitu besar. Ketua aspuri segera menyuruh senior lain agar menutup tingkap dan pintu agar mengelakkan Yuni dapat keluar. Yuni ketika itu sudah meronta-ronta untuk lepas dari pegangan kami dan Yuni mula berteriak-teriak sambil menangis dan ketawa. Tak lama kemudian terdengar beberapa jeritan daripada pelajar perempuan dalam dewan itu. Dewan menjadi sangat bising dan huru hara dengan pelajar histeria dan juga pelajar pelajar lain yang ketakutan. Dan malam itu berlaku lagi histeria beramai-beramai. Banyak pelajar perempuan mulai menangis ketakutan sambil berpelukan dengan temannya. Mana-mana pelajar yang kami tengok kuat kami suruh mereka pergi menolong pelajar yang histeria. Untuk mengelakkan terjadi histeria yang lebih besar kami mengasingkan dan mengangkat pelajar histeria ke surau.

Tidak lama kemudian ustaz pun datang dan mula merawat pelajar-pelajar histeria itu. Aku yang non-muslim ini dan juga pelajar-pelajar yang menolong mengangkat pelajar histeria segera kembali ke dewan makan untuk membantu para senior mengawal keadaan pelajar lain. Semasa dalam perjalanan entah mengapa aku perasan yang suasana ketika itu sangat hening bunyi katak dan cengkerik pun tidak berbunyi dan mataku pula seperti diarahkan untuk melihat ke bumbung asrama puteri, badanku segera terkaku apabila melihat beberapa bola api berterbangan di sekitar bumbung asrama puteri. Aku segera tahu bahawa itu adalah cik BB (panggilan kami untuk hantu kepala or penanggal atau nama di Sabah ni Balan-Balan).

Bola api itu ada yang berwarna seakan putih kehijauan dan ada yang putih kemerahan, setiap bola ku lihat ada titisan seperti bunga api yang jatuh kebawah. Aku segera teringat cerita ayahku yang mengatakan warna pada bola menunjukkan tahap makan mereka, merah adalah lapar dan hijau adalah kenyang, titisan tersebut haruslah dihindari dari terkena badan kita kerana ianya sangatlah berbisa dan apabila terkena badan boleh menjadi kudis gatal dan akan susah untuk sembuh. Aku yang telah jauh ketinggalan akibat terkaku sebentar tadi segera berlari menghampiri rombongan kami. Aku menarik mereka ke laluan berbumbung dan menyuruh mereka senyap dan berjalan rapat-rapat secepatnya. Ada pelajar yang bertanya tetapi aku hanya diam dan sesekali melirik ke bumbung asrama dan mendapati bebola api itu masih sibuk berpesta.

Ada seorang pelajar lelaki bertanya kepadaku “apa di bumbung tu kak?”, aku hanya diam dan menyuruh mereka semua berlari secepatnya dan tepat seperti dugaanku ada 1 cik BB beralih arah dan mulai terbang ke arah kami. Aku segera menjerit dan menyuruh mereka lari, jarak 80meter ke dewan telah menjadi satu jarak yang sungguh jauh. Aku sungguh-sungguh ketakutan ketika itu, kakiku mula menjadi lembik tetapi ku gagahkan diri untuk berlari sambil menarik adik-adik asrama ku. Bunyi berdesing semakin hampir dan bentuk Cik BB semakin jelas, rupanya sangat hodoh dan berwarna kehitaman seperti terbakar, mulutnya telopong luas dan lidahnya terjelir panjang, bermata merah dan kulit yang terkopek berjuntaian dengan rambut yang mengerbang serta tali-tali perutnya yang berjuntaian dan aku juga terhidu bau yang sangat busuk. Kami telah hampir dengan pintu dewan tetapi seorang pelajar telah terjatuh, aku dan seorang lagi tanpa menungunya bangkit kami terus menyeretnya masuk. Apabila tertutup sahaja pintu aku terus jatuh terjelepok ke lantai. Peluh dingin merembes keluar dan jantungku berdebar kencang ketika itu, manakala pelajar yang ku seret memeluk badanku dan terasa badannya mengigil. Rusdi yang membukakan pintu untuk kami segera menutup pintu dan melaungkan azan. Di luar dewan pula kedengaran seperti bunyi sayup-sayup seperti ayam berketak-ketak diselang-seli dengan bunyi hilaian. Aku tahu bunyi jauh itu dia sebenarnya ada dekat dengan kita dan bunyi dekat bermakna dia ada jauh. Aku ketika itu cuba melawan rasa takut sambil menguatkan pelajar yang memelukku dan terus berbisik “jangan takut, jangan takut, lawan takutmu”kataku pada pelajar tersebut dan juga pada diriku sendiri.

Dalam dewan ketika itu telah berkumandang dengan ayat–ayat Al-quran dan beberapa kelompok berdoa mengikut agama masing-masing telah terbentuk. Pada malam itu kami semua lewat tidur itupun selepas ustaz berjaya mengatasi histeria dan juga gangguan luar itu.

Di sini aku ingin memohon para pembaca agar mengikuti nasihat orang-orang tua “kalau nampak benda-benda ganjil tu janganlah di tegur. Kalau kamu tegur dia pun nak menegur kamu juga” dan itulah yang terjadi kepada kami malam tu. Jadi jagalah mulut sebab kerana mulutlah badan binasa.

Kisah 4

Pada tahun 1997-1998, akibat fenomena El-Nino berlaku kemarau panjang di Malaysia dan banyak sungai-sungai besar yang hampir kering akibat panas melampau yang berpanjangan, sektor pertanian telah terjejas teruk ketika itu. Selain itu krisis bekalan air dan pencemaran udara akibat kebakaran hutan turut berlaku. Kawasan-kawasan takungan air menjadi sangat cetek sehinggakan pencatuan air dilakukan dan ada suatu masa tertentu bekalan air dihentikan sementara kerana tahap air sungai tidak mencukupi untuk disalurkan.

Penghuni asrama sangat menderita ketika itu akibat ketiadaan air, tangki asrama dan tangki sekolah telah habis digunakan manakala lori dari Jabatan Air boleh dibilang jari datang menghantarkan air. Ketika itu ada satu kolam ikan dan udang terbiar disebelah pagar asrama jadi kami pun memandailah mengambil air di sana untuk kegunaan seharian. Setiap petang kami akan membawa baldi ke kolam dan mengangkutnya ke asrama. Semasa kegiatan mengangkut air ini banyak berlaku kejadian lucu antaranya kami terangkut ikan dan udang sekali dan kejadian tercebur ke dalam kolam dan sebagainya.

Suatu malam tu sebelum waktu prep aku terdengar jeritan kuat dari bilik selang 3 dari bilikku. Aku segera mengarahkan penolongku agar mengawal keadaan bilik dan memastikan semua ahli turun ke dewan untuk prep malam. Aku terus bergegas ke arah bunyi jeritan dan mendapati ramai jiran-jiran bilik dihadapan pintu dan tingkap bilik tersebut. Aku segera menyuruh mereka balik ke bilik dan bersiap untuk prep malam. Aku terus masuk dan mendapati sudah ada beberapa senior yang mengawal keadaan pelajar kerasukan itu.

Pelajar itu yang aku kenali sebagai Amrah terlihat meronta-ronta di lantai dan bergelut dengan beberapa senior yang memegang tangan dan kakinya. Amrah menjerit-jerit meminta dilepaskan katanya ada kawannya memanggilnya. Ada suatu ketika tu tenaga Amrah sangat kuat 4 orang yang memegang kaki dan tangannya boleh terpelanting begitu sahaja, seorang senior bernama Husna cedera ditumbuk di bahagian mata. Apabila terlepas sahaja Amrah terus meluru ke arah koridor dan memanjat tembok untuk terjun ke bawah. Mujur ketika itu aku yang berada di luar dan 2 orang lagi pelajar dapat menghalang Amrah dari terjun, walaupun kami dapat menangkapnya tetapi teruk juga kami dikerjakan oleh Amrah, aku mendapat siku yang padu dari Amrah, seorang berdarah di bibir akibat ditumbuk dimulut dan seorang lagi mendapat penumbuk hook ke rahang. Amrah terus meronta-ronta minta dilepaskan sambil mulutnya sekejap menjerit-jerit dan sekejap menangis, ada satu kali tu rontaannya hampir menyebabkan kami terlepas sekali lagi dan kami terus menjatuhkan Amrah ke lantai dan menguncinya agar tidak mencederakan dirinya sendiri. Semasa masuk ke bilik bulu romaku meremang dan terasa angin sejuk di belakangku dan dari sudut mata aku terlihat kelibat seorang wanita berpakaian kebaya zaman dulu di penjuru bilik merenung tajam ke arah kami. Wanita itu ku lihat berwajah cantik di sebelah kanan dan kirinya pula reput dan hanya ada tulang belulang yang sungguh menakutkan, selendangnya menutup wajahnya sebelah kiri. Senior yang lain ku lihat mula membaca Al-Quran dan aku dalam diam melantunkan doa dalam agamaku di dalam hatiku.

Wanita itu ku lihat perlahan-lahan keluar tetapi dari raut wajahnya kulihat ia sangat bengis seperti marah kepada kami. Tidak lama kemudian ustaz datang diekori warden lelaki dan perempuan, memandangkan bilik sudah sesak aku segera mengundur diri dan turun ke prep malam.

Keesokannya Kak Ida menceritakan kepada kami yang Amrah kerasukan semasa lambat mengambil air ketika hari sudah hampir gelap. Amrah pada waktu itu lambat pulang ke asrama akibat latihan tarian. Amrah ini seorang gadis yang cantik dan lemah lembut dan selain itu ketika mengambil air dia terjatuhkan kerongsangnya mungkin sebab itulah penunggu tersebut berkenan kepada Amrah dan mahukan Amrah menjadi temannya. Menurut Kak Ida lagi ada banyak sesi dialog antara ustaz dengan penunggu itu manakala proses mengeluarkan penunggu itu menjadi sangat susah dan pelbagai cara dilakukan oleh ustaz untuk menghalau penunggu itu sebelum akhirnya penunggu itu dapat dikeluarkan dari badan Amrah.

Tak lama kemudian aku dengar Amrah telah dibawa pulang oleh keluarganya dan terus berpindah sekolah.

Kisah 5 – Aku dalam cerita ini adalah Ana ( Ana adalah BFF ku yang tinggal di aras 2).

Aku percaya pada apa yang dikatakan oleh orang-orang tua yang mengatakan waktu senja iaitu waktu matahari tengelam adalah waktu ‘mereka’ keluar dan waktu subuh iaitu waktunya matahari terbit adalah waktu ‘mereka’ kembali ke alam mereka.

Aku dan Mia merupakan teman sebilik, kami bertiga iaitu aku, Mia dan Helen selalu bersama-sama dalam aktiviti harian. Kami telah bersahabat sejak kecil dan ditakdirkan sekelas dari tadika sehinggalah ke tingkatan enam. Banyak kegiatan kami lakukan bersama-sama dalam asrama mahupun di sekolah. Sehinggakan kami digelar “tiga dara pingitan” – waktu tu kan famous kartun Tiga Dara Pingitan yang ditulis oleh kartunis Cabai dalam majalah Gila-Gila.

Kami selalunya melenggahkan masa untuk ke dewan bagi mengelakkan beratur dalam barisan yang sangat panjang semasa makan malam. Pada suatu petang sebelum jam 6 begitu (jam 6.00 adalah jam makan malam asrama) aku dan Mia bersiap untuk turun makan malam tetapi sebelum itu kami hendak mengambil pakaian di ampaian terlebih dahulu. Waktu itu ampaian Mia dengan aku terletak berjauhan. Sedang leka aku memungut pakaian, Mia tiba dan berdiri menungguku dan aku melihat tangan Mia kosong dan terus menyoalnya “Eh kainmu mana?, Mia hanya diam dan menggelengkan kepala. Aku mempercepatkan kutipan baju dan bersama Mia terus berjalan ke bilik, sebelum sampai ke bilik Mia menunjukkan jarinya ke tandas dan aku hanya menganggukkan kepala.

Sementara menunggu Mia pulang dari tandas aku melipat kain baju ku dan tiba-tiba Mia masuk dengan buntalan kainnya dan terus mencampakkan kain baju ke katilnya dan memarahiku “ Kau ya Ana, kurang ajar, jahat betul kau ni.. tidak cakap apa-apa terus tinggalkan aku sorang-sorang di ampaian ..apa punya kawan bah kau ni..”

Aku benar-benar tercenggang dan terkejut. “Mia bukan ke tadi kau datang tunggu aku pungut kain lepas tu masa hendak ke bilik kau ke tandas?” soalku.

“Aku tak ada ke tandas, aku siap punggut kain jer tengok-tengok kau sudah tidak ada di tempat kau, mujur Murni (rakan sebilik) ada boleh temankan aku balik” kata Mia marah

“ Betul Mia.. lepas kutip baju, aku dengan kau balik ke bilik lepas tu kau ke tandas..kalau itu bukan kau jadi dengan siapa aku jalan tadi??” kataku binggung.

Tiba-tiba pintu bilik kami dibuka, Murni dan Salmia berlenggang masuk sambil memegang pinggan dan gelas mereka dan berkata “ Kamu berdua tak nak pergi makan ke? Lauk sedap hari ni tau”

Mia terus melompat dan memelukku, kami berdua mengigil dan hanya mampu berpeluk buat seketika. Melihat keadaan ini Murni terus menyoal kami “Kamu berdua ni dah kenapa pula? Macam nampak hantu je?”

Aku dan Mia hanya mampu mengangguk dan menggelengkan kepala sahaja ketika itu. Apabila Helen datang kami masih merasa ketakutan dan tidak berani untuk keluar dari bilik dan Helen terpaksalah makan seorang diri malam tu. Helen juga terpaksa mengambil dua pinggan makanan untuk kami dan dialah juga yang menyeret kami keluar untuk prep malam.

Kisah 6 – aku dalam cerita ini adalah Khairul (rakan sekelasku @ pelajar lelaki yang tinggal di aspura).

Asrama lelaki yang aku diami ini berbentuk huruf U dan aku tinggal di aras 2, bilikku pula bertentangan dengan padang sekolah. Dormku ini dihuni seramai 16 orang dari pelbagai tingkatan, aku merupakan pelajar tingkatan 6 dan dianggap senior jadi secara rasminya aku dilantik sebagai ketua dorm. Menjadi tanggungjawab ku untuk memastikan ahli-ahli dorm ku mematuhi semua peraturan asrama dan kembali ke dorm sebelum pukul 11 malam. Tidur di bilik lain adalah larangan keras untuk penghuni asrama.

Suatu malam tu aku pulang lewat dari mesyuarat Majlis Asrama dan setelah memeriksa ahli-ahli dormku aku pun bersiap-siap untuk naik ke katil dan cuba melelapkan mata. Ketika sedang lena tidur aku dikejutkan oleh sebuah teriakan kuat. Dalam keadaan mamai aku bangun dan memandang sekeliling cuba mengenal pasti arah teriakan tersebut sambil memastikan adik-adikku dalam keadaan selamat.

Ketika itulah aku terpandang cermin bilik kami disinari cahaya terang, teriakan-teriakan kuat kembali kedengaran. Serentetan arahan kedengaran tetapi bahasa tersebut tidak ku fahami. Perlahan-lahan aku berdiri dan menghampiri tingkap dan cuba berselindung dan mengintip di balik tiang dan langsir. Pada mulanya aku berfikir itu adalah sesi orientasi atau kem-kem motivasi yang dianjurkan di padang sekolah kami.

Tetapi ketika itu pemandangan yang ku lihat amatlah menakutkan, kelihatan sebatalion askar Jepun sedang berkawad di padang sekolah kami dan ada yang sedang mengawal tawanan perang. Jauh di sudut kulihat sekumpulan tawanan sedang menghadapi hukuman pancung dan kebanyakan tawanan itu adalah askar British. Dalam keadaan gerun ini aku mendapati bahawa kepala askar-askar banyak yang telah tiada dan ada yang kepalanya tidak dalam keadaan sempurna. Senapang berbayonet mereka kelihatan bersimbah dengan warna merah d***h.

Aku seakan terpukau dengan pemandangan tersebut dan lebih menyeramkan lagi di koridor asrama kami juga turut dibanjiri dengan askar-askar Jepun, ada yang berkawad dan ada juga yang bergegas ke sana kemari dan ada sekumpulan yang melintas di hadapanku. Askar dalam kumpulan itu ada yang hanya tinggal rangka, tidak berkepala, kepala yang terkulai hampir putus dan ada yang kepalanya pecah. Aku ketika itu merasa sangat ketakutan manakala bulu-bulu roma ku telah meremang tegak, jantungku seperti dipalu manakala kakiku pula mula lembik, ketika itu aku terasa seperti ada pergerakan di belakangku dan bila aku berpaling sahaja ke belakang, aku melihat sekumpulan 3 orang askar Jepun dan mereka semuanya tidak berkepala. Bau busuk dan bau pekat hanyir d***h menyelubungi ku dan terlihat d***h membuak-buak dari leher askar Jepun itu. Aku sangat ketakutan dan terus terjelepuk jatuh. Ku lihat askar Jepun itu telah mengangkat pedang samurainya tinggi dan menjerit “Banzai…Nippon Banzai…” yang ku ingat aku terus pengsan ketika itu juga.

Waktu paginya aku dikejutkan oleh ahli-ahli dorm ku, mereka semua kehairanan melihat aku tergeletak di depan tingkap bilik. Pada hari itu aku demam dan dibawa pulang oleh ahli keluarga ku. Aku terpaksa dirawat oleh ustaz di kampung ku untuk memulihkan semangat ku yang dikatakan hilang. Setelah sembuh aku kembali bersekolah dan tidak lagi tinggal di asrama, ketika itu hanya berbaki beberapa bulan sebelum tamat persekolahan dan aku terpaksa menumpang tinggal dengan ibu saudaraku dan menaiki bas untuk ke sekolah. Ibu bapaku tidak mahu aku kembali berasrama kata mereka semangat ku belum pulih sepenuhnya dan takut jika aku mengalami keadaan seperti itu lagi aku tidak akan bertahan hidup.

Bila aku bertanya orang-orang tua di sekitar sekolah mereka semua mengatakan yang sekolah tempat ku belajar adalah bekas kem tentera Jepun dan ada ribuan kubur tidak bertanda di sana. Dan terlalu banyak kekejaman yang dilakukan oleh tentera Jepun ke atas penduduk tempatan dan juga kepada askar British ketika itu.

Kisah 7

Prep malam kami bermula pada jam 7 sehingga jam 10 malam. Semua pelajar asrama lelaki dan perempuan akan belajar di dewan makan. Seramai lebih 900 orang pelajar dalam asrama tu dan para pelajar lelaki dan perempuan hanyalah dibatasi dengan lorong sahaja. Kami pelajar-pelajar senior merangkap Majlis Asrama ditempatkan di atas pentas yang terletak di hujung dewan makan. Kami diletakkan di tempat tinggi bagi memudahkan kami memantau keadaan seluruh dewan ketika itu.

Walaupun prep malam ini diperuntukkan untuk belajar tetapi biasalah waktu nilah mereka akan sibuk berborak, membawang, tidur dan entah apa lagi. Walaupun sering disuruh diam tetapi dewan tetap akan bising, gunalah apa cara sekalipun tetap tidak akan lut.

Ada satu malam tu , lebih kurang jam 9 malam begitu aku tiba- tiba terhidu bau asap kemenyan. Seluruh dewan segera senyap, sungguh-sungguh senyap dan aku yakin kalau jarum jatuh pun boleh kedengaran bunyinya. Rupa-rupanya mereka pun turut terhidu bau tu, kerana terlalu takut sampaikan bercakap pun mereka lupa…Dalam setengah jam begitu bau itupun hilang dan ajaibnya 900 orang penghuni asrama ni tetap kekal diam sehinggalah habis waktu prep.

Kami para ahli Majlis semuanya berpandangan, takut pula untuk bersuara ketika itu. Walaupun begitu kami semua menarik nafas lega kerana tidak ada histeria berlaku malam itu. Keesokannya semasa di kelas kami ribut menceritakan kejadian itu, perlahan-lahan ketua asrama kami (Jalil) bangun dan berkata “ Sebenarnya aku yang bakar colok semalam tu, aku nak gurau-gurau je”

Seketika itu juga Jalil diserbu dan teriakan manjanya bergema di seluruh sekolah, sambil menjerit dan mengaduh sambil itu jugalah tangannya menepis tumbukan, pukulan dan cubitan kami. Jalil ni sebenarnya diangkat jadi ketua asrama kerana kenakalannya. Warden berharap bila dia jadi ketua asrama perangai nakal dia ni hilang. Tak sangka pula sikap nakal dia tak pernah habis ada sahaja yang dilakukannya. Cerita pasal colok ni kami diamkan sahaja, yelah mana mungkin kami aibkan ketua asrama kami kan, walaupun dia ni nakal tapi tanggungjawab dia tak pernah abaikan.

Jalil ni sebenarnya memang terkenal di sekolah dan asrama kami, sudah terlalu banyak kes-kes yang dilakukan olehnya dan segala hukuman telah Jalil rasai tetapi rasanya Jalil ni tak pernah jera sekali pun. Sebelum ni Jalil dan partner in crimenya (Husin) pernah ditakutkan dan menakutkan rakan-rakannya yang lain. Ada suatu hari tu Jalil dan Hussin berpakat untuk menakutkan Ramlee (ketua asrama ketika itu) untuk membalas dendam kepada Ramlee dan ahli Majlis Asrama yang baginya terlalu penyibuk dan selalu mencari kesalahannya, jadi malam itu mereka mengambil kain cadar (asrama kami waktu tu wajib menggunakan cadar berwarna putih dan tidak bercorak). Husin telah mengikat Jalil seperti cik gula-gula manakala Husin pula menjadi cik Pon. Belum pun siap Husin mengikat kainnya, Jalil telah pun turun ke bawah dan mengambil jalan belakang. Ketika itu Majlis Asrama sedang bermesyuarat. Dalam perjalanan Jalil ternampak kelibat seseorang di bawah pokok di belakang asrama, pada mulanya Jalil berfikir itu adalah Husin temannya. Jalil terus menggerakkan kepalanya sebagai isyarat menuju ke bilik mesyuarat tetapi yang membuat Jalil terkejut apabila terdengar suara Husin memanggilnya dari belakang. Apabila Jalil dan Husin memandang pokok itu semula, kelibat putih tersebut kelihatan terbang ke arah mereka sambil mengilai. Seketika itu juga Jalil dan Husin terus berlari ke arah bilik mesyuarat sambil terjerit-jerit dengan Jalil yang kakinya terikat terloncat-loncat dan Husin yang kain putihnya berkibar-kibar mengakibatkan kegemparan besar pada malam itu. Beberapa orang ahli Majlis pengsan dan trauma kepada yang lainnya. Keesokan paginya Jalil dan Husin dihukum sebat dan digantung asrama selama 3 bulan. Walaupun disebat dan digantung asrama mereka berdua tetap tak jera dan tetap melakukan perbuatan nakal mereka.

Kembali kepada kes colok tadi, setelah kes colok ini hampir dilupakan, pada suatu malam (maaf hari apa dah lupa) bau kemenyan bercampur dengan bunga kemboja datang lagi, ketika ini kami semua segera memandang tajam pada Jalil, dia hanya mengangkat bahu dan menggelengkan kepala sambil berbisik berulang-ulang “bukan aku yang buat..sumpah bukan aku..”. Kami lihat muka Jalil telah berubah menjadi sangat pucat. Karim, Megat dan Husin yang duduk di sebelahnya segera memberitahu dan mengesahkan yang Jalil tidak pernah keluar semenjak masuk prep. Dengan cepat kami segera memantau adik-adik yang berada di bawah pentas dan sekali lagi berharap semoga kali ini tidak ada apa-apa yang berlaku. Bau kemenyan tersebut hilang tak lama kemudiannya.

Bila diceritakan kepada warden kami, warden kami hanya mengatakan “Ala dia cuma nak warning kamurang tu supaya jangan bising”. Pihak pengurusan asrama tidak mengambil tindakan kerana setiap kali ada bau kemenyan berlaku tidak ada kejadian tidak diingini berlaku. Walaupun begitu setiap penghuni dinasihatkan supaya meningkatkan amalan agama masing-masing untuk menguatkan diri dan memantapkan iman. Beberapa tahun selepas tamat persekolahan akhirnya aku tahu yang bau kemenyan tu berasal dari kerja-kerja khurafat yang dilakukan oleh sekumpulan orang di bawah pokok kayu besar tidak jauh dari pagar asrama. Mereka menurun nombor ekor dan juga mencari harta karun yang kononnya tertimbus jauh di bawah pokok besar itu.

Nampaknya sampai di sini sahajalah cerita dari aku kalau panjang sangat nanti jadi boring pula semua orang kan.. Terima kasih kepada semua pembaca yang sudi membaca perkongsian dari aku. Di sini aku menyusun jari memohon maaf sekiranya cerita yang di kisahkan tidak mencapai standard para pembaca. Selain itu juga mohon maafkan atas segala typo error yang tidak disengajakan. Actually kisah dalam asrama ni ada banyak lagi yang belum diceritakan, di lain masa pengalaman keluarga aku dan juga kisah-kisah semasa aku belajar di universiti akan aku ceritakan nanti.

Sekian dan terima kasih.

Tamat

Helen

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

52 thoughts on “Asrama 1995”

    • terima kasih Cik kak.

      maaf cerita agak panjang berjela, malas nak buat part-part ni nanti dikecam pembaca pula karang 🙂

      sekarang ni i tengah type cerita pasal family i, mungkin agak lambat nak post sebab nak gali balik memori lama. sabar ye..

      Reply
  1. Sumpah seram gila. Aku dah tak sanggup nak baca. Sebab tu mak aku ade kata kalau bau2 kemenyan ni boleh mengundang benda halus. Apapun jalan cerita akak memang terbaik. Ntah, terasa mcm ade benda tgh jengok aku je skrg

    Reply
    • Hai Don, terima kasih sudi membaca..

      Sebab tu orang tua selalunya tak menyimpan kemenyan dalam rumah, baunya pun boleh mengundang mereka datang. pernah tengok dalam filem, asap colok or kemenyan ni sebenarnya makanan mereka…

      Reply
  2. Babak tejumpa hantu askor jepun tu sumpah seriau. Baru satu cerita baca dah boleh naik bulu roma. Kak memang pandai mengarang cerita seram. Tahniah kak

    Reply
  3. Helen, yang Yuni tu kenapa juga kerasukan? Dia punya tuala jadi juadah pestakah?

    Bagus cara penulisan kamu. Cerita pun seram. Kipidap dongibab! n_n

    Reply
    • malam tu sebenarnya Yuni memang period dan dia sakit perut yang amat sangat, yang kerasukan tu sebab kata Yuni dia nampak cik BB tu datang menjengguk kat tingkap 😛

      Reply
      • Panjang betul cerita tidak sempat habis baca kemarin. Sambung lagi hari ni. Daerah mana sekolah kamu tu? Timur? Barat? Lucu pula cerita si Jalil tu. Sampai pengsan orang majlis. Bah, cerita uni lagi kan. Jangan kasi lama :3

        Reply
    • Germany Girl maaf lah kalau panjang sangat…tak sedar dah taip sampai 10 pages niat nak buat part tapi cerita dah siap post sekali ja laa.. anyway happy reading..

      Reply
      • Xpa… Lg pnjang lg bgus.. P’ceritaan yg bgus… If pnjang ada jln crita nya ok.. Bkn just stkat nk b’cerita ala2 dduk s’meja smpai org bc pn x brpa nk fhm…. Lg pn sya mmg ska lyn fs mlm2 smbil tggu nk tdo… Sbb sya jnis pyh tdo mlm…

        Reply
  4. Bagus cara awk sampaikan crite2 tu sbb jarang sy nk fhm loghat sabah . Tp awk punya blh difaham dan sambil2 tu ad prkataan baru yg dpt dibelajar cnth panggilan tuk hantu tu . Cerita pom seram dan tak boring dibace. best buat part2 mcm tu, rse mcm tgk crte hantu brsiri dgn episod yg lain2 . Kipidad dan tak sbr nk tggu cite baru 👍

    Reply
  5. Mantap jalan ceritanya sis. Macam sama saja cerita asrama kita ni. Tandas perempuan kitaorang pun ditutup sebab sorang pelajar pompuan gantung diri. Apalagi serangan histeria bukan hanya disebelah magrib, ni time zohor pun ada.

    Reply
    • ceritakan lah kisah-kisah di asrama kamu tu Ambalus, setiap asrama ada cerita tersendirinya kan..nak juga dengar cerita dari asrama lain…

      Reply
  6. Memang panjang…..hehe. Dua tiga kali ulang buka sebab tak sempat habis baca. Mujur ceritanya agak menarik. Terima kasih berkongsi.

    Reply
  7. even ada selit komedi but still dpt meremangkan bulu roma bila membacanya,power! walaupun pnjang tpi tak bosan..keep sharing kay 🙂

    Reply
    • Hai Syazna, awak meremang masa membaca ,Helen yang tengah taip cerita asrama tu pun meremang asyik rasa ada orang berdiri kat belakang dan perhatikan apa yang Helen tulis, terpaksa tabahkan hati untuk terus taip…:-)

      Reply
  8. Part yng balan balan tu saya pernah tngok dia terbang laju. Wrnanya wrnya merah memeng laju. Time tu lepas magrib. Sya diam2 jak saya ndak beri tau kwan2 saya. Steadt jak lepak di bawa blok kmi waktu tu..

    Reply
    • hai Hantu :-p, terima kasihlah sudi baca, first draf tulis tu sampai 15 pages terpaksa p****g beberapa kisah akhirnya publish 10 page. Anyway happy reading.

      Reply
    • Hai Pjahkan, terima kasih sudi membaca, sekarang ni Helen tengah taip cerita pasal family Helen.. mungkin agak lambat sebab nak gali balik memori lama lepastu nak karang lagi…

      Reply
  9. Maaf ye ,tak yg Enkei pehal beria nak kasi markah ..bajet juri professional,puihh..
    Org lain terhibur xde poyo komen ala² cikgu BM bagai ,siap bagi 8/10.. apehal kedekut nk fullkan markah si helen ni ,kasi jelah 12/10 susah ke..
    Xyah komen cara penyampaian dia sedap ke x ,xde cerpen dia yg ni ko juga boring sampai Krismas hari ketiga tahu..
    By the way miss helen ,menarik sgt¹ bakat yg awak serlahkan nyata menarik jiwa utk reading..keep it up,dont give up sis..muahhh

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.