Assalamualaikum Warga FS. Ini sekadar kisah untuk hiburan jiwa.
Bagi yang bertanya, kisah Alai Bubu yang sebelum ini dan juga watak-wataknya adalah fiksyen semata. Cuma kisah itu disandarkan dengan dongengan Alai Bubu. Jadi memang tiada sambungan bagi kisah itu.
Kisah seterusnya pula adalah kisah lain tetapi masih menggunakan watak yang sebelum ini.
***************
Tahun 1990
Awang Basar tersedar. Dia terdampar tanpa selembar benang pada tubuh di pesisiran pantai yang indah dan putih. Sakitnya badannya tidak terkira. Kelihatan beberapa orang pemuda berlari anak menuju ke arahnya sambil bersuara cemas.
“Bertahan dulu, jang.” Kedengaran suara menjengah di gegendang telinganya. Dia yang masih lemah terasa tubuhnya diangkat oleh beberapa orang, dibawa ke sebuah rumah berdekatan.
Sesak sungguh dada Awang Basar. Perit badanya akibat dihempas ombak laut angkara diserang mahkluk siluman.
“Awang Damit.. Awang Damit..” Perlahan dan mengah Awang Basar menyebut-nyebut nama adiknya. Entah hidup entah terkubur tanpa nisan di tengah lautan.
Beberapa orang pemuda yang membantu memandang Awang Basar dengan simpati. Razali atau dikenali sebagai Pak Jali mengarahkan salah seorang daripada mereka membawa air kosong di dalam gelas.
Pak Jali membaca al Fatihah, ayat Kursi, al Ikhlas, al Hasyru ayat 21-24 pada air kosong tersebut sebelum diberikan kepada Awang Basar. Semoga membantu memulihkan sedikit kesakitan di tubuh dan jiwanya. Awang Basar meminum air dengan perlahan-lahan. Dia bersyukur kepada Allah. Seolah-olah m**i hidup semula, maka nikmat mana yang ingin didustai.
**************
Sudah tiga bulan Awang Basar menetap di kampung Buah Pandai bersama dengan masyarakat Ubian. Awang Basar menumpang teduh di rumah Pak Jali. Kebetulan juga Pak Jali tinggal seorang diri setelah kematian isteri setahun yang lepas.
Awang Basar masih kekok menjalani kehidupan di situ. Segala-galanya asing baginya. Dari pakaian, makanan dan juga bahasa apatah lagi. Sejak ditemui, dia dianggap kurang waras akibat kelemasan di laut. Ulahnya sangat pelik pada pandangan orang kampung. Bahasanya seperti bahasa orang Kedayan lama. Pernah juga Pak Jali meminta bantuan polis untuk mencari waris dan keluarga Awang Basar. Namun sia-sia. Tiada maklumat yang tepat diperolehi dari Awang Basar. Tiada nama kampung Abung yang dimaksudkan di Kota Belud. Malah di seluruh Sabah, Sarawak juga tiada.
Akhirnya Awang Basar memutuskan untuk menetap saja di Kampung Buah Pandai. Keberadaannya yang tiada kad pengenalan diri amat menyukarkan pihak polis mencari keluarganya. Lebih-lebih lagi ulah Awang Basar yang sepertinya kurang waras. Setiap subuh dan senja, dia cuma terpacak memandang lautan di pesisir pantai Rangbulan Buah Pandai yang indah. Seringkali dia terlihatkan menarik nafas seolah-olah menanggung beban yang tidak terlihat di bahu.
***************
Kwak..kwak…
Kwak….Kwak……
Awang Basar terjaga. Bunyi apa itu? Bingit di atap rumah Pak Jali. Pak Jali yang sudah terjaga segera memberi isyarat kepadanya supaya diam. Awang Basar akur.
Kwak… Kwak…
Bunyi itu menjauh. Awang Basar memandang Pak Jali dengan tanda tanya.
“Esok saja.” Ringkas Pak Jali bersuara bila Awang Basar memohon penjelasan. Walaupun agak berat hati menurut, Awang Basar kembali baring.
Selesai solat subuh, Awang Basar membantu Pak Jali di laut seharian sehingga ke petang. Sekembali dari laut, Pak Jali mengajak Awang Basar minum kopi di beranda rumah. Kebiasaan mereka berdua setiap petang.
“Aku sangkakan khabar angin semata. Rupanya memang benar dia kembali lagi.” Pak Jali membuka bicara. “Itu namanya balan-balan. Apa engkau tidak mendengar orang kampung kecoh semalam dua ini?” Awang Basar menggeleng kepala. Pak Jali mengeluh.
“Usah terbawa sangat perasaan itu, Basar. Engkau, aku lihat suka sangat berdiri di pantai. Usah diturut sangat, nanti syaitan menusuk jarumnya.”
Awang Basar tersentak. Sungguh dia tidak terfikir Pak Jali sangat mengambil berat akan perihalnya. Segera dia menukar topik. “Balan-balan itu apa, pak? Hantukah?” Awang Basar lalu teringat dua malam lepas dia terlihat bola api terbang melintasi perabung rumah Pak Jali. Tetapi, agak samar-samar jadi dia cuma diamkan saja.
Pak Jali merenung jauh ke pantai.
************
30 tahun yang lepas.
“Ayah, cantik tak dastar ni? Ayah beli untuk Ayu ya.” Rahayu memegang kain tenunan yang berwarna merah kuning sambil memandang harap pada Razali.
Razali cuma mengangguk. Jika boleh, seluruh isi dunia juga akan diberinya kepada Rahayu, anak tunggalnya. Rahayu tersenyum gembira. Cantik sungguh anak perawan Razali dan Rahimah itu.
Rahayu mengambil dastar yang sudah dibungkus dengan teruja. Si penjual dastar, wanita jelita yang baru menapak di tamu. Menjual dastar semata-mata. Dari minggu lepas lagi Razali tahu bahawa penjual dastar itu asyik mengamit Rahayu. Razali dan Rahayu baru saja ingin berpaling bila penjual dastar itu bersuara.
“Dik, duit bakinya. Akak bagi harga istimewa buat adik.”
Razali perasan, penjual dastar itu bukan saja memberi kembali baki duit malah bersalaman erat dengan Rahayu. Tetapi Razali tidak mengesyaki apa-apa.
Sehinggalah beberapa malam berlalu. Rahayu mula menunjukkan kelakuan yang pelik. Gelisah tidak tentu arah. Pintu biliknya sentiasa berkunci. Namun malam itu, Razali nekad. Dia menendang pintu bilik Rahayu. Rahimah pula berdiri di belakangnya. Baru sebentar tadi mereka berdua mendengar Rahayu menjerit.
Sungguh, Razali tergamam. Rahimah pula sudah terjelepok longlai di depan pintu bilik Rahayu. Kelihatan kepala dengan usus perut dan organ dalaman terapung melegar di sekeliling bilik. Bau d***h yang menitik dari usus perut mahkluk itu amat kuat. Rahimah sudah termuntah di situ juga.
“Ayu! Mana Ayu?” Razali menggertak mahkluk itu, yang tidak menunjukkan ingin beredar malah terus berlegar di situ. “M**i engkau aku kerjakan. Mana Ayu?” Tidaklah dia gentar berhadapan dengan mahkluk kutukan itu. Yang difikirnya cumalah keselamatan anaknya sahaja.
Kepala itu berhenti berlegar tepat berhadapan dengan Razali. Mereka bertentangan mata. Dada Razali terasa sempit. Wajah itu walau buruk dan hodoh, terdapat iras Rahayu padanya. Mata itu, berwarna biru laut, adalah mata Rahayu yang diwarisi dari atuknya yang berbangsa Pakistan menyakinkan Razali bahawa mahkluk hodoh yang terpisah kepala dan badan itu adalah anaknya. Razali beristighfar tidak sudah. Kepala itu, meluru terbang keluar dari bilik entah ke mana. Meninggalkan tubuhnya di atas katil.
Seminggu keadaan kampung kecoh dengan penampakan balan-balan. Mahkluk yang ditakuti lebih-lebih lagi wanita mengandung. Bisa d***h yang menitik pula dipercayai mendatangkan kudis.
Kwak.. Kwak.. Kwak..
Orang lelaki kampung segera bersiaga jika terdengar bunyi itu. Itu bunyi balan-balan mencari mangsa. Kadang-kadang kedengaran bunyi ayam atau burung di tengah malam. Itu juga bunyi balan-balan, tanda sedang berlegar mencari d***h untuk dicecapi.
Razali dan Rahimah menyimpan erat rahsia Rahayu. Malah mereka menyediakan setempayan cuka untuk Rahayu. Setiap kali kembali ke rumah, Rahayu akan merendam ususnya di dalam tempayan itu. Itu memudahkan dia menyarung kembali kepala ke tubuhnya bila usus-usus perutnya mengecut selepas direndam dengan cuka.
Hati Razali begitu kuat mengatakan penjual dastar itulah dalangnya. Desas desus mengatakan, saka balan-balan boleh dipindahkan kepada orang lain melalui salaman. Syaratnya, dia bersalam dengan orang yang tidak dikenali sambil membaca mantera tertentu. Sudah banyak hari dia menjejak penjual itu, namun hampa. Air matanya masih murah mengenangkan nasib Rahayu. Rahayu, anak tunggal kesayangannya dunia akhirat.
***********
Pak Jali diam. Hening seketika. Sungguh Awang Basar tidak menyangka begitu sekali jalan hidup Pak Jali. Sedangkan dia memikirkan hidupnya lah yang paling sedih paling malang.
“Apa yang terjadi dengan anak Pak?” Awang Basar teragak-agak ingin bertanya. Rahayu kah yang menjenguk semalam?
“Dia meninggal, Basar.” Awang Basar terkejut mendengarnya. Pak Jali memandang Awang Basar sebelum bersuara kembali. “Aku tidak kesal. Dia meninggal dalam iman. Sungguh dia tidak ingin mengalah dengan kutukan mahkluk syaitan itu. Akhirnya dia meninggal dalam iman bertauhidkan Allah bersaksikan Muhammad saw.” Pak Jali melepaskan nafas.
“Jadi, yang malam tadi?” Awang Basar bertanya.
“Itu Esah. Kutukan balan-balan kembali kepada dia selepas Ayu meninggal. Lagi pula Ayu tidak menurut nafsu syaitan, jadi Esah kembali menjadi balan-balan.”
“Esah, penjual dastar?”
“Ya, malam nanti kita berjaga. Tiba masa untuk menamatkan semuanya. Esah berdendam denganku kerana tidak mampu menjadikan Ayu warisnya.”
Meremang bulu roma Awang Basar mendengarnya. Memburu mahkluk yang boleh berpisah kepala dengan badan tidak pernah dalam agenda hidupnya. Namun, dia turutkan saja. Mungkin ini masanya membalas jasa Pak Jali.
Pak Jali dan Awang Basar menghabiskan petang itu mencari daun mengkuang dan buluh runcing. Hampir gelap, barulah mereka mencacak buluh berhampiran setiap tingkap rumah. Daun mengkuangbpula diikat pada tingkap. Pak Jali yakin, malam ini balan-balan itu akan cuba memasuki rumah.
Mereka sengaja merahsiakan rancangan itu dari orang kampung kerana tidak ingin menimbulkan kekecohan. Pak Jali juga menyediakan kacip pinang di atas sehelai kain putih.
“Ini pantang balan-balan. Dengan izin Allah, kacip ini akan memotong usus mahkluk syaitan itu.” Jelas Pak Jali.
Selesai semuanya, Pak Jali dan Awang Basar makan malam seperti biasa bah berbaring di atas katil masing-masing seperti ingin masuk tidur. Yang sebenarnya, mereka berdua bersiap siaga dengan kedatangan balan-balan dengan dendam yang membukit di dada.
Awang Basar berasa berdebar-debar. Pengalamannya berhadapan dengan mahkluk dunia gelap amat malang baginya. Tiada yang mengujakan bila berurusan dengan mahkluk dilaknat Allah. Apalagi sengaja ingin menangkap dan m******h mahkluk ini.
Awang Basar tersengguk mengantuk. Malam sudah beranjak ke sepertiga malam. Namun matanya segera segar bila terdengar bunyi-bunyian seperti burung dan ayam mengelilingi rumah Pak Jali.
Kwak… Kwak… Kwak…
Pak Jali memberi isyarat agar Awang Basar bersedia. Masing-masing mengenggam kacip dengan erat. Basah telapak tangan Awang Basar kerana peluh dingin. Dia mula membaca Al Ikhlas, Al Falaq, dan An Nas sebagai pelindung diri.
“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, dari kejahatan mahkluknya.” Awang Basar seterusnya membaca doa memohon perlindungi dari Allah.
Benarlah sangkaan Pak Jali. Balan-balan itu cuba merempuh masuk melalui tingkap rumah. Namun Pak Jali menahan Awang Basar dari bergerak. “Tunggu dulu”, Pak Jali berbisik.
Tidak lama kemudian kedengaran jeritan nyaring yang menyakitkan gegendang telinga.
“Sekarang!” Pak Jali memberi arahan.
Mereka berdua segera menyerbu ke salah satu tingkap. Awang Basar agak tergamam. Kelihatan mahkluk yang hanya ada kepalanya meronta-ronta. Sebahagian usus dan organ dalamannya membuak d***h kerana terhiris oleh daun mengkuang. Manakala usus yang memanjang ke bawah tersangkut pada buluh yang dicacak di bawah tingkap.
“Lihatlah, Basar. Mahkluk itu kerana menurut hawa nafsu, sehingga tidak perasan akan buluh dan daun mengkuang di situ.”
Balan-balan yang menyedari kehadiran Pak Jali dan Awang Basar segera menderam. Meleleh air liur balan-balan itu beserta dengan lebatnya d***h ususnya menitis-nitis di sesiku tingkap.
Pak Jali dan Awang Basar mendekati balan-balan itu. Awang Basar kelihatan agak mual tetapi nekad. Dia harus membantu Pak Jali yang sudah banyak menolongnya. Agak sukar mereka berdua untuk mengacip usus utama balan-balan tersebut. Balan-balan itu tidak berhenti meronta. Pak Jali dan Awang Basar pula berusaha mengelak daripada terkena titisan d***h balan-balan.
Akhirnya, setelah mengintai peluang Awang Basar berjaya mengacip usus utama balan-balan itu. Nyaring sungguh jeritan si balan-balan. Malangnya usunya tidak putus malah kacip itu melekat pula. Awang Basar menyentak kacip itu agar terputuslah usus si balan-balan. Pak Jali juga mengambil peluang untuk mengacip usus balan-balan yang lainnya. Terputus usus itu. Namun Awang Basar masih terkial-kial menarik kacipnya.
Tanpa disangka, balan-balan itu seolah-olah memperoleh tenaga baru. Dengan terbang rendah sedikit, balan-balan itu kemudiannya meluncur terbang ke udara. Pak Jali kaku. Awang Basar yang memegang erat kacipnya turut melayang berpaut pada usus balan-balan. Pak Jali beristighfar sebentar melihat kejadian itu sebelum melaungkan azan.
Awang Basar tidak sedar bahawa balan-balan itu melayang deras ke laut. Mukanya disimbah dengan d***h usus balan-balan. Matanya tidak dapat dibuka. Yang disedarinya, dia bersama-sama balan-balan itu tercebur ke dalam laut.
Ombak laut menyambut tubuh Awang Basar dan balan-balan itu lalu menenggelamkan keduanya ke dasar laut. Awang Basar yang kemudiannya melepaskan usus balan-balan itu kemudiannya dihempas ke dasar laut berkali-kali. Dengan cepat badannya menjadi longlai akibat tertelan air laut yang banyak. Dia menyerah nyawanya kepada Allah. Mungkin kali ini dia menemui ajal. Awang Basar pengsan sebelum disedut ke lohong arus laut yang sebelum itu tiada di situ.
Pak Jali mengeluh kesal. Dia menyaksikan Awang Basar dan balan-balan jatuh ke dalam laut dan tidak timbul lagi. Mana logik akal tidak timbul sedangkan waktu itu laut amat tenang dan tidak bergelora. Pak Jali segera berlari memohon pertolongan orang kampung untuk mencari Awang Basar di laut.
**************
Tahun 1500
Awang Basar cuba untuk membuka mata. Peritnya sama seperti pedih di tubuhnya. Hidup lagikah dia?
“Sadar (sedar) sudah kau, nak?”
Itu suara yang amat dikenalinya. “Ibu?” Awang Basar bertanya. Matanya masih tertutup. Mengharapkan itu bukan mimpi.
“Nak, rehat saja dulu. Karang (nanti) ibu suapkan makan ya.”
Petang kelmarin, Dayang Sari sujud syukur di pantai kampung Abung ketika dikhabarkan anaknya Awang Basar ditemui di pesisir pantai. Meskipun keadaan anaknya amat lemah, lebam-lebam badan dan mukanya namun dia amat bersyukur.
Allah amat baik kepadanya, fikir Dayang Sari. Kedua anaknya hilang di laut telah kembali. Awang Damit ditemui tiga hari selepas kejadian. Manakala, Awang Basar yang dianggap sudah tiada di dunia pula ditemui tiga purnama kemudiannya. Dayang Sari menangis tidak sudah-sudah mengucap Alhamdulillah.
*************
Beberapa purnama berlalu. Awang Basar tidak pernah menceritakan pengalamannya kepada sesiapa. Nanti, jangankan ada yang percaya malah mungkin saja dia dianggap kurang waras lagi.
Awang Basar masih terkenangkan Pak Jali. Semoga Pak Jali sentiasa dalam rahmat Allah, doa Awang Basar setiap kali usai solat.
“Ibu, dengarnya kapal dari Jawa yang berdagang singgah di Ujung Tanah Melayu berlabuh di Kota Batu. Dengarnya juga, kapal itu nanti akan belayar ke Tanah Haram.”
Dayang Sari diam mendengar bicara Awang Basar. Dia tahu apa yang diingini oleh Awang Basar namun sengaja membiarkan Awang Basar menyuarakannya sendiri.
“Kalau ibu izinkan, Basar ingin menunaikan Haji dan seterusnya mengaji di Tanah Haram. Lagipun, Basar ingin menjejak Damit, bu.”
Dayang Sari memandang wajah Awang Basar. Anak-anaknya sentiasa bersama sejak dari kecil. Tentu Awang Basar rindu dengan Awang Damit. Awang Damit pula sudah menumpang belayar kapal dagang Arab yang singgah di Kota Batu sepurnama sebelum Awang Basar ditemui. Niat dia juga sama seperti abangnya.
“Pergilah, nak. Mudahan kamu dipermudahkan urusan, memperoleh haji yang mabrur, ilmu agama yang berkat.” Dayang Sari mengusap wajah Awang Basar. “Dan semoga Allah temukan kamu dengan adikmu, Basar. Tentu dia gembira amat bila mengetahui kamu masih hidup lagi.”
Hati Dayang Sari amat redha malah lega. “Tentang ibu, usah gusar nak. Sejak ibu mengandungkan kamu berdua memang niat ibu supaya kamu berdua mengaji hingga ke Tanah Haram. Semoga Allah memberkati dan melindungi anak-anak ibu selalu.”
Awang Basar menarik nafas dengan lega. “Ya Allah, peliharalah ibuku di dunia dan akhirat dan demi kasih ibu, temukanlah aku dengan adiku Awang Damit, ya Allah.” Awang Basar berdoa dalam diam.
****************
Tamat
****************
Nota :
* Balan-balan juga dikenali dengan beberapa nama mengikut kawasan. Penanggal & tengelong (tanah Melayu), Leyak (Bali), Menananggal (Filipina)
*Nama kampung “Buah Pandai” bermaksud “bidan kampung” dalam bahasa Ubian. Pantai Rangbulan Buah Pandai pula pantai yang cantik dan indah di perkampungan tersebut.
*Kota Batu adalah nama ibu kota bagi kerajaan Brunei Tua pada kurun ke 14 sehingga kurun ke 17.
#penulis
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
Hebat. Terima kasih utk nota kaki.
just nak bagitau ade chalet kat pulau kapas macik gemuk yg punye…hehehe
perghh..ni naskah sejarah + seram + mindfuck
Tahniah penulis
best.. lain dari yg lain kerana dpt mengetahui budaya & adat kaum lain di Malaysia ini.. sila sambung lagi dgn cerita yg menarik
Best….
Menangis baca part dgn ibu dia tu
Bgus kau dh mention kisah hiburan ak trus xbaca..lain org lain citerase..bg ak ak suke cite btul.tq..