Awek Mata Bundar Part 3

Salam, admin FS yang disayangi. Terima kasih siarkan kisah Awek Mata Bundar. Ada yang tertunggu-tunggu episod selanjutnya ke? Okey, saya persembahkan Part 3. Harap terhibur.

Tergamam. Tak terkeluar kata-kata. Macam tak percaya je aku boleh berdiri buruk macam yang aku buat kat dalam video tu. Kepala aku macam tersangkut kat bahu. Leher aku dah hilang masuk ke dalam badan. Tangan jatuh ke bawah dua-dua. Muka aku merah padam masam mencuka. Buruk Ya Rabbi. Hilang kehenseman aku.

“Sin. Ni aku, Sin. Petak. Aku kawan kau.” Suara Petak kedengaran. Dalam video tu nampak Petak dari belakang je. Bahasa badan dia macam takut-takut. Dah sedia nak lari. Kalau aku bukan housemate dia, memang dah cha-alif but kut mamat tu.

Cara aku pandang Petak masa tu, macam aku nak telan dia. Kalau dia bergerak, mata aku yang tajam tu pun bergerak ikut dia. Muka aku, fuh! Muka orang takde perasaan. Padanlah Petak takut. Aku sendiri pun naik seram bila tengok muka aku macam tu.

“Sin, mengucap, Sin. Lawan dia,” kata Petak lagi. Suara ada ketar. Sah dah dia takut.

Ustaz rockers kawan Petak, berdiri kat sebelah kanan aku. Mulut dia terkumat-kamit. Tapi aku tak pandang ustaz tu. Aku pandang Petak je. Macam marah je aku kat Petak. Aku rasa aku tak marah apa pun kat Petak. Dengki je kut sebab dia dapat bonus awal. Bonus aku hujung bulan baru dapat. Tapi hari tu jelah aku dengki kat dia. Lepas dia belanja makan malam tu, aku cool balik.

“Mengucap, Sin.” Petak mengucap dua kalimah syahadah. “Ikut aku mengucap, Sin.” Sekali lagi Petak mengucap. Terasa macam aku tengah nazak pulak bila dia buat macam tu.

Aku buat muka bodoh pandang dia. Lepas tu aku menoleh ke belakang. Kat belakang aku, ada seorang lagi lelaki. Aku tak kenal siapa dia. Mungkin kawan ustaz tu kut sebab dressing lebih kurang sama je macam ustaz tu. Dia berdiri dalam keadaan berjaga-jaga. Mulutnya pun terkumat-kamit.

“Sin!”

Aku pandang Petak semula.

“Aku nak baca al-Fatihah. Kau ikut ya.” Petak membaca a’uzubillah dan basmallah kuat-kuat. Tapi aku tak ikut dia. “Ikut aku baca, Sin. Tolonglah, Sin. Ikut aku baca.” Petak baca lagi sekali. Bunyi suara kecewa.

Aku memang tak pernah tak dengar cakap dia. Sebab tu kami boleh ngam. Dia memang bossy sikit tapi yang bestnya dia tak pernah suruh aku kemas rumah. Dia suka buat sendiri. Tak percaya kut dia dengan skil mengemas aku. Dia suka suruh aku ikut dia pergi surau, pergi beli barang-barang dapur, teman dia keluar pergi mana-mana. Yang macam tu aku memang on.
Mulut aku terkumat-kamit.

“Macam tulah.” Suara Petak kedengaran lega. Dia membaca ayat pertama al-Fatihah. Lepas tu dia berhenti. Tunggu aku pulak baca.

“Aku benci kau.” Suara menyeramkan keluar dari mulut aku. Tangan aku terangkat pelan-pelan. Tuding kat ustaz tu. Tapi mata aku pandang Petak. “Siapa suruh kau panggil dia? Siapa suruh kau bawa dia masuk rumah kita?”

“Ustaz nak tolong kita, Sin. Nak tolong kau,” kata Petak lagi.
Tiba-tiba aku menjerit. Aku tendang bangku panjang tempat aku berbaring tadi. Terus terbalik bangku rotan tu. Kusyen dia aku campak kat Petak, kat ustaz dan kat orang yang rakam video ni. Lepas tu aku berdiri balik macam tadi. Dada aku turun naik dengan laju. Mata aku tak kalih lagi. Kembali merenung Petak.

“Sin! Mengucap, Sin.” Petak dah mengundur sikit. Takut kut tengok aku mengamuk.

“Halau dia keluar.” Aku tuding sekali lagi kat ustaz tu. “Halau dia keluar!” Sekali lagi aku menjerit. Kepala mendongak. Aku rentap leher t-shirt yang aku pakai. Sampai terkoyak t-shirt tu. Punyalah kuat tenaga aku.

Tanpa amaran, aku hayun penumbuk pada ustaz tu. Dia tolak tangan aku, terkena televisyen. Pecah skrin televisyen tu aku tumbuk. Masa tu kawan ustaz terus peluk aku dari belakang. Sedang aku meronta-ronta tu, ustaz tepuk dahi aku. Terus aku terkulai.

Menggeleng kepala aku lepas tengok video tu. Panjang lagi sebenarnya tapi aku malas tengok sampai habis.

“Aku ke tu?” Aku tanya pelan-pelan. Tanya pada diri sendiri. Bukan tak percaya tapi itulah kali pertama aku kena rasuk. Tak sangka aku boleh buat perangai tak semenggah. Dahlah rupa aku buruk sangat masa tu.

“Kaulah tu. Kenapa, Sin? Kau ingat edit ke?” Petak bagi ayat bodoh dia. Dia ingat kelakar kut. Aku tak tanya dia pun. Tanya pada diri sendiri je. Tapi telinga dia memang tajam. Sebab tu kalau aku nak telefon sesiapa, aku telefon kat depan dia je. Masuk dalam bilik pun, sebutir-sebutir dia boleh dengar.

“Aku kena rasuk ke?” Aku tanya pada Petak dan ustaz tu.

Dia orang mengangguk.

“Kau tak ingat apa-apa ke?”

Soalan Petak tu aku jawab dengan gelengan. Aku tak ingat apa pun. Setengah orang kata dia orang ingat dan nampak ‘siapa’ yang rasuk dia orang tapi aku tak ingat satu benda pun.

“Atikah ke?” tanya aku lagi. Naklah tahu siapa yang merasuk aku. Kalau Tikah, memang melampaulah. Over pulak hantu tu. Dah aku reject, terima jelah kenyataan. Ni dia main rasuk-rasuk pulak.

“Yup. Dia nak kat kau, Sin.” Mulut Petak terpulas-pulas menahan senyuman. Dia tengah perli aku. Aku pulas betul-betul mulut tu baru dia tahu.

“Aku tak nak dia kacau aku lagi. Macam mana nak buat?” Aku tanya pada ustaz tu pulak.

“Ustaz dah pagar rumah kita, Sin. Dia tak boleh kacau dah lepas ni.” Petak ambil balik handphone dari tangan aku. Bagi pada tuannya.

“Jangan viralkan.” Aku cakap kat budak tu.

“Delete dah!” Kejap-kejap tu dia delete video tu. Muka dah pucat pasi.

“Terima kasih,” ucap aku. Biar dia tahu aku takde niat nak apa-apakan dia. Aku tak pernah kacau orang. Yang buat hal tadi tu Atikah. Bukan aku. “Lama ke aku pengsan tadi, Tak?”

“Lama. Dua jam.”

“Patutlah lapar.” Aku gosok perut aku yang tak berkeroncong tu.

Orang lain ketawakan aku.

“Kejap lagi aku pergi beli makanan,” kata Petak.

“Jom keluar sekarang, Tak. Jomlah. Aku lapar sangat ni.” Sebenarnya aku tak lapar pun. Aku nak keluar dari situ je sebab aku nampak Atikah tengah mengintai dari pintu bilik tidur aku. Petak kata ustaz dah pagar rumah kami. Dia pagar kat mana? Ruang tamu je ke? Ke dia pagar rumah aku masa Atikah masih ada kat dalam rumah? Habis tu Atikah terkurung dalam rumah tu dengan kami ke apa?

“Kau tak penat ke?” tanya Petak.

“Tak,” jawab aku, sepatah.

“Yalah, yalah, yalah. Jom.”

Orang lain semua bersurai sebab aku nak keluar makan. Tinggal ustaz dan kawan dia je yang aku ajak ikut kami ke Warung Tok Minah. Aku nak bagi tahu ustaz tu, dia dah kurung Atikah kat dalam rumah kami. Tapi masa kat warung tu, aku nampak Atikah duduk kat meja dia duduk hari tu. Muka dia dah elok balik. Jadi, maknanya dia boleh keluar masuk rumah aku macam biasa. Power jugak hantu seekor ni.

“Ustaz, pagar tu untuk halang jin masuk rumah kami je ke?” tanya aku. Petak macam tak puas hati aku tanya soalan tu kat ustaz. Dia kenal aku. Dia tahu jenis soalan aku. Yang tadi namanya aku tak percaya keupayaan ustaz tu.

Bukan tak percaya pada ustaz kawan dia tu. Aku yakin ustaz tu memang hebat tapi Atikah ada kat depan mata aku sekarang ni. Tadi dia ada kat rumah. Jadi aku nak bagi diri aku faham macam mana boleh jadi macam tu kalau ustaz tu dah pagar rumah.

“Lebih kurang macam tulah,” jawab ustaz tu.

“Kalau roh? Sama jugak ke?” soalku lagi. Ada beza rasanya. Jin tu syaitan. Roh tu talian hayat manusia. Mungkin roh tak terkesan dengan pagar yang ustaz buat tu.

“Sama,” jawab ustaz tu, sepatah. Tapi aku tengok macam dia sendiri pun tak pasti dengan jawapan dia. Mungkin sebelum ni tak pernah orang tanya soalan tu kat dia kut.

“Bagi saya ayat pendinding, ustaz. Takut dia kacau lagi.” Aku pandang Atikah. Dia tersenyum sinis. Menyindir akulah tu.

Lepas makan, Atikah ikut kami balik. Duduk kat belakang. Agaknya sebab malam tu Petak pandu kereta aku, Atikah rasa dia ada haklah kut nak masuk sekali dalam kereta.

“Kau duduk kat luar. Jangan masuk rumah aku!” Aku berbisik. Petak dah masuk ke dalam rumah masa tu. Atikah tercegat kat belakang kereta, pandang aku dengan muka tak puas hati.

Aku masuk ke dalam rumah, aku azan kat pintu rumah macam yang ustaz tu ajar. Masuk bilik tidur. Azan lagi. Azan kat empat penjuru. Lepas tu aku baca ayat pendinding yang ustaz tu tulis kat kertas tadi. Harap-harap Atikah tak kacau aku lagilah malam tu.

Sebelum tidur tu aku hantar Whatsapp kat ibu. Aku minta ibu carikan ustaz untuk aku.

Ibu: Kamu tulis apa?”

Aku: Tolong carikan ustaz kat kampung kita.

Ibu: Helo! Tengah tidur pun main handphone ke?

Apa kena dengan ibu aku ni? Tak puas hati, aku telefon ibu.

“Kamu ngigau ke apa?” Terus ibu tembak soalan tu. Tak jawab salam aku pun.

“Mana ada, bu. Cin tulis elok-elok.”

“Elok apanya. Cuba kamu tengok apa kamu tulis.”

Aku buka balik Whatsapp. Ibu hantar screenshot apa yang aku tulis. Astaga! Atikah punya kerjalah ni. Apa benda entah dia tulis. tkeybalrangrpppp3tjgq-4q0oqn-386la;jsxxhtql. Nombor kombinasi peti besi ke?

Aku telefon ibu balik, aku minta maaf dan aku ceritakan masalah aku. Aku minta ibu tolong carikan ustaz yang power. Ibu janji akan carikan. Dia suruh aku balik hujung minggu lagi satu. Elok pun. Hujung minggu ni aku nak kena teman Petak balik kampung dia.

Aku pun letak telefon bimbit kat tepi bantal. Sedia nak tidur. Tiba-tiba ada Whatsapp masuk.

Atikah: Mohsin, tak tidur lagi ke? Tak nak sembang dengan Tikah ke?

Ah, mengadalah hantu sekor ni! Aku matikan telefon. Tanggal bateri semua. Lepas tu aku tidur.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

29 comments

  1. Cerita dah best bro. Tapi ape salah buat cerita sampai habis. Panjang lebar pun takpe bro. Dari tergantung sepi begini. Hahahahaha seksa jiwa ni nak menunggu .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *