Bangunan Lama

Suasana senyap sunyi masa aku balik kerja. Tah ke mana pulak pergi si Linda ni. Panggil-panggil tak menyahut.

Lampu menyala satu rumah, aircond terpasang, tv terbukak, tapi orang tak ada. Ni kalau melambung bil api, aku lah nak kena setel ni.

“Mana pulak pergi minah ni? Dah la tv terpasang..didi and friends plak tu, macam tak de cerita lain nak layan” bebel aku sorang-sorang seraya menutup tv.

Aku gerak ke dapur nak letak makanan, bilik tengah aku jenguk, bilik belakang, bilik stor, dan toilet belakang. Tak nampak pulak batang hidung mancung dak Lin ni.

“Jangan-jangan tido kat bilik aku ni”

Perlahan aku buka pintu bilik skodeng. Aikk yilekk. Toilet dalam bilik terbuka, jadi dia tak ada jugak la dalam tu.

Tergaru-garu kepala jap mikir.

“Ahh, biar lah, pandai-pandai lah dia nak hidup”

Aku ke dapur sekejap meneguk air, lepas tu kembali ke bilik semula untuk mandi. Kemudian solat isyak.

“Assalamualaikum warohmatullah” aku menoleh ke kanan memberi salam.

“Assalamualaikum warooh…Allahuakbar !!! Ya Allah!! Astaghafirullah…”

Belum sempat aku habiskan salam sewaktu menoleh ke kiri, terkejut beruk aku.

Boleh si Linda tu duduk berteleku tersengih-sengih.

“Ya ampunnn…nak tersabut jantung aku, eiii budak ni, ko dah kenapa siti nur linda?”

Linda ketawa terbahak-bahak, kecik besor je aku tengok, aje geram benoo.

“Hahaha, penakut” Linda buat muka mengejek.

Aku mengacu penumbuk sebagai tanda geram lalu bangun keluar dari bilik menuju ke dapur.

“Ko ke mana Lin?? Aku balik tadi, dengan air cond terpasang, tv tak tutup..” bebel aku seraya membuka makanan yang aku tapau masa balik tadi.

“Ermm..aku bosan, aku keluar la jap tadi hehe sorry..”

Aku geleng-geleng kepala, “ko nak makan tak? Ni ada nasi goreng”

“Tak nak la..eh tadi aku lepak dengan sorang pak guard ni, dia cerita pasal pengalaman hari pertama dia kerja” ujar Linda teruja.

“Pak guard mana pulak ni??” Soal aku seraya menyuap makanan ke mulut.

“Pak guard bangunan belakang sana tuu..”

Berkerut dahi aku jap mikir, “Ooo belakang sana tu, bapak seram, jarang orang lalu tuu”

Linda menganggukan kepala “Haa tu laa..seram sana, bersepah hantu, dia kata siap ada yang m**i bangunan tu”

“Wow, boleh buat cerita ni” aku pulak naik teruja.

“Ok, pak guard ni nama dia Malik…..”

‘BANGUNAN LAMA’

Malik sampai tepat pada masa yang di janjikan. Pagi tadi waktu tengah bersarapan, Malik terlihat iklan jawatan kosong pada surat khabar yang membaluti nasi lemak yang dimakannya.

Memandangkan Malik sedang mencari kerja, usai sarapan, Malik terus membuat panggilan mendail nombor yang tertera.

Jam 8 malam, Malik dah terpacak di pondok pengawal sebuah bangunan.

Bangunan ini dalam keadaan elok, terjaga. Malah bersih dari semak samun, tak seperti bangunan-bangunan tinggal yang lain. Sekali pandang nampak semuanya okey, tetapi Malik merasa tak sedap hati.

Sedang leka Malik melayan perasaan, hadir seorang lelaki. Dari gaya pemakaian, dapat Malik simpulkan yang lelaki ini rakan rekerjanya.

Telahannya tepat, dia memperkenalkan dirinya Sudin. Encik Saedon supervisornya telah memaklumkan kepada Sudin akan kehadiran Malik selaku pengawal baru.

Sudin membawa Malik meronda kawasan, menunjukkan checkpoint-checkpoint yang harus dilawati.

Sudin sempat berpesan, kawasan ini keras, jangan meronda seorang diri jika belum arif. Jangan peduli atau mengikuti jika ternampak sesuatu.

Selesai melawat kawasan, mereka kembali ke pondok pengawal. Sudin membuka radio bagi menghilangkan bosan.

“Kau kerja mana sebelum ni Malik?” Soal Sudin seraya duduk menyalakan api rokok.

“Aku kerja kelindan lori sebelum ni, tak tahan dah, penat sangat ke sana sini, aku berenti, dekat 3 bulan jugak melilau cari kerja” jelas Malik mengibas-ngibas badan yang terasa bahang.

“Kipas ni, kadang hidup, kadang rosak, tapi malam nanti sejuk, embun malam..” Sudin mengetuk-ngetuk kipas yang tak berfungsi.

“…habis, anak bini kau makan apa kau tak kerja tu” Sudin sambung menyoal.

“Aku bujang lapok..tak de sapa nak hehe” jawab Malik tersengih.

“Haha, alah ada tu nanti yang nak..” balas Sudin ringkas.

“Ermm bangunan ni nampak terjaga, tapi kenapa tak ada orang guna?” Soal Malik sambil melihat telefon.

“Sini line internet teruk, pisang sikit laa..” ujar Sudin memberi reaksi saat melihat Malik mengeluh apabila line telefonnya perlahan.

“…bangunan ni company kita yang punya, lepas dorang pindah bangunan baru kat sana, dorang nak sewakan bangunan ni, tapi tak ada yang nak sewa. Ada la pernah orang datang tinjau-tinjau, nak buka spa la, pusat karoke la, pusat urut…aii macam-macam lah, tapi senyap je sampai sudah..”

Panjang lebar Sudin bercerita. Malik mengangguk kepala.

“…mungkin sebab kawasan tak strategik, belakang sangat..orang tak lalu” tambah Sudin memberi pendapat.

Malik diam seketika.

“Kau kata tempat ni keras, pernah jumpa ke?”

“Uish, usah cakap, hari-hari..” Sudin bersungguh menjawab. Malik menelan air liur.

“Tapi tadi kita ronda nampak macam ok je, cuma ada la rasa takut, yelah gelap kan, satu lampu pun tak ada” ujar Malik.

“Ishh..belum lagi..tadi baru pukul berapa, pukul 12 atau pukul 2,3 pagi karang haa..”

Sudin mengusik sambil membuat aksi. Malik sekadar tertawa. Baginya dia hanya mencari rezeki, alah bisa tegal biasa la bak kata orang.

“Aku, hari pertama kerja pun dah kena, dah jumpa. Masa tu aku dengan pekerja senior dulu buat rondaan jam 3 pagi…” Sudin mula bercerita. Malik tekun mendengar sambil menyedut keretek.

“…aku dengan bang Mat masa tu, kami bersama buat rondaan dari satu checkpoint ke satu check point. Masa naik tingkat 3, aku dah rasa lain..” teratur Sudin bercerita.

“…masa sampai dekat atas tu, checkpoint ke 6, bang Mat masuk satu bilik tu, aku tunggu je dekat luar, sambil suluh sana sini, konon meninjau la, padahal dah cuak hahaha”

Sudin dan Mail tertawa, kemudian Sudin menyambung.

“…lepas tu, macam lama sangat bang Mat dalam bilik tu, aku panggil la dia, eh sekali diam tak menyahut..ah sudah, tiba-tiba aku dengar suara kucing mengiau, aku toleh belakang. Tak ada pulak, tapi datang bau pulak bau wangi…aku dah syak dah, ada yang tak kena ni..” fokus Malik mendengar cerita Sudin.

“..perlahan aku masuk bilik tu, bilik tu kecik je, tak ada tingkap, sekali tengok-tengok, bilik tu kosong!! Aku dah menggeletar masa tu, aku keluar semula dari bilik tu, diam-diam aku jalan ke tangga..pehh!! Elok kau kak fonti terapung dekat situu depan tangga…”

Malik menelan air liur.

“…aku dah rasa nak terkencing masa tu, depan tangga tu kan ada satu bilik kan, masa tu perlahan-lahan pintu depan tangga tu terbukak…keluar benda berbungkus mengesot ke arah aku, tak tunggu dah, aku tak peduli la kak fonti depan tangga tu, aku menggelupur lari turun ke pondok ni” Sudin menggelengkan kepala saat teringkat kisah itu.

Malik berpeluh dahi mendengarnya.

“Bila sampai je kat sini, bang Mat tanya aku pergi mana, dia sedar-sedar aku dah tak ada belakang dia..aku terkelu tak bercakap, hilang semangat. Lepas bang Mat bagi aku minum air, baru la aku rasa lega.. rupanya aku dah tersilap ikut, ye la kawasan gelap, masa tengah menoleh sana sini menyuluh, bang Mat dah ke arah lain, aku pulak terikut benda lain..”

Malik menggosok tengkok nye, terasa keseraman mendengar cerita Sudin.

“Tapi lama-lama kau biasa la nanti..” pesan Sudin ringkas.

“Ermm betul tu, hantu ni boleh takutkan kita je, menjelma macam tu, bukan boleh buat apa-apa pun, jadi aku tak lah takut sangat, demi sesuap nasi hahaha” Malik berkata yakin.

Sudin memberi isyarat untuk bergerak, sedar tak sedar, asyik berbual, sudah tiba masa membuat rondaan pertama.

Malik mengikut rapat, jam di tangan di lihat, hampir 1 pagi. Suasana amat gelap di dalam bangunan ini. Cahaya lampu suluh sahaja yang wujud.

Mereka tak banyak bercakap, berhati-hati berjalan di dalam gelap. Selesai meronda kawasan lobi hingga ke belakang, mereka naik ke tingkat dua.

Malik mula terasa seram, namun dikuatkan semangat. Sudin yang sudah biasa, sekadar bernyanyi-nyanyi kecil menghiburkan hati.

🎶Ku pintaa..supaya kamu, gembiraa..selalu…🎵🎶

Malik sekadar menyuluh lampu kiri dan kanan. Terdetik juga di hati, agak ‘familiar’ lagu Sudin nyanyi.

Tiba-tiba telefon Malik berdering. Pantas Malik mengangkat dek kerana bunyinya yang bising.

“Hello…”

“Hello Malik, Saedon ni, eh kamu ada mana? sorry sangat-sangat, saya tak dapat datang malam ni, ada urusan penting, mujur saya teringat pasal kamu, lama kamu tunggu?” tutur encik Saedon di talian.

“Ohh tak apa boss, ok je, Sudin dah bagi tau semua, ni saya tengah meronda ni dengan dia, cuma tu lah, uniform yang ada dekat pondok tu, saya tak muat, kecik sikit” ujar Malik ramah.

“Sudin?? Kamu dekat dalam bangunan tu ke sekarang??” Soal encik Saedon terkejut.

“Ya la boss, Sudin ke checkpoint 4” jawab Malik polos.

“Kamu buat apa sorang-sorang situ? Baik kamu keluar sekarang, Sudin mana ada, dia dah meninggal bulan lepas lagi, kamu ni ganti tempat dia laa”

Hampir terlepas telefon di tangan. Malik berdiri kejung. Jantungnya berdegup laju, peluh mula mengalir.

Samar-samar dia dapat melihat Sudin berjalan ke arahnya dengan senyuman, sambil menyambung lagu yang dinyanyikan tadi..

🎶Pontianak..

dengar lah lagu..

nyanyianku hanya untuk mu…

ku pintaaa, supaya kamu…

gembiraa..selalu🎵🎶

Serentak itu Sudin berubah rupa sangat hodoh, matanya merah, taringnya tajam, Malik terasa ada sesuatu seakan rambut dibelakangnya.

Saat Malik berpaling, kak fonti menyeringai riang. Malik melompat ke tangga, dan turun dengan laju.

Berkali-kali Malik turun tangga, tapi aneh masih belum sampai ke lobi, walhal bangunan ini 4 tingkat sahaja.

Malik terduduk keletihan, tercungap-cungap mencari nafas. Dalam samar cahaya lampu suluh, Malik perasan seakan benda bergerak. Dan ia ternyata benar, apabila di suluh, ada lembaga merangkak dengan air liur meleleh dan gigi tajam.

Malik bangun dan berlari menuruni tangga semula, kerana terlalu tergesa-gesa, kaki nya tersilap langkah, Malik jatuh tergolek ke bawah lalu pengsan.

Sayup-sayup dia terdengar Sudin berkata.

“Kan aku dah pesan, jangan peduli dan ikut kalau ternampak sesuatu hihi”

.

.

.

Terpisat-pisat Malik membuka mata, hari dah pun siang bila dia terjaga.

“Apa hal kamu tidur dekat lobi ni?”

Seorang lelaki berpakaian pengawal mengejutkannya.

“Ehmm, encik ni siapa?” Soal Malik keliru.

“Saya Mail, pengawal di sini, kamu ni siapa, apa buat dekat sini?”

Malik menceritakan apa yang berlaku malam tadi. Mail menggelengkan kepala.

“Kamu dah terkena ni, mana ada pengawal nama Sudin, encik Saedon pun tak wujud, boss saya cina, saya sorang saja pengawal dekat sini, dari dulu lagi…” perlahan Mail berkata.

“…lagipun, bangunan ni saya jaga siang je, malam memang biar macam tu je”

Mulut Malik ternganga…

.

.

“Habiss” Linda mengakhiri ceritanya.

Aku termenung jap, ada rasa seram cerita ni tapi macam ada yang kurang.

“Kenapa ko termenung?” Linda menyoal aku.

“Tah, macam tak sampai cerita tu, ke aku yang tak faham tak tau laa…” aku memberi pendapat sambil membawa pinggan ke singki.

“Yang aku pelik, Malik ni nampak pulak kau ye?” Soal aku hairan.

“Memang laa, sebab Malik tu pun hantu…Malik la yang m**i dalam bangunan tu..”

“..lepas Mail jumpa Malik di lobi, Mail naik meronda tingkat-tingkat atas, dan Mail jumpa mayat Malik dekat situ, dekat tingkat dua..baru dia sedar yang Mail jumpa di lobi tadi bukan orang….”

Jatuh rahang aku, mulut ternganga.

“Jap, kiranya Malik m**i sebab dia cakap besar ke?” Soal aku menelan air liur, Linda membuat memek muka tanda mengiyakan.

Kakbeydahh.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 46 Average: 4.6]

4 thoughts on “Bangunan Lama”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.