BAS BALIK RAYA

Cerita Seram Pendek…

Esok umat Islam akan menyambut kedatangan Syawal. Lebih memeranjatkan ialah hari raya tahun ini awal dari yang dijangkakan.

Ramai yang telah pulang dalam keadaan tergesa gesa ke kampung. Kalut dengan berbagai persiapan yang tidak siap.

Ditambah lagi setelah dua tahun beraya dalam rumah. Pandemik yang tak dapat dielak. Rakyat terpaksa berkurung di hari raya.

Di pejabat ini tinggal aku dan bos. Memang aku tak terfikir raya ini beraya di kampung. Aku mahu ligan semua OT. Tugas orang lain akan ku siapkan, bos puji melihat kesungguhanku.

Sebenarnya hampir dua tahun aku menganggur, kereta yang sudah kubayar tiga tahun telah ditarik oleh bank. Aku gagal membayar setiap bulan kerana poketku kosong. Kerana pandemik aku jatuh terduduk.

Aku tinggal di bandar sebagai anak rantau hanya beralaskan biskut kering dan air paip. Biskut tu pun ihsan dari nyonya di bawah flat.

Selama pandemik, dialah yang ambil tahu aku makan atau tidak. Dia pun bukan orang senang, aku ambil biskut selang dua hari pun terasa tebal muka ni.

“Baliklah, Jemin. Kerja kampung bantu abah bagi makan lembu. Abah bagilah duit belanja kamu,”

Pujukan mak langsung tidak mencairkan hati ini. Keegoanku mengatasi segalanya. Ku ketepikan mak dan abah. Kerana aku malu.

Tak mungkinlah lulusan Sarjana Muda seperti aku balik kampung tolong ayah jaga lembu sekandang? Mana nak sorok muka ni?

“Bukan kau ada pakai kereta Camry? Kenapa kau tanya pasal bas turun simpang mana pulak?”

Suatu hari aku sengaja bertanya pada rakan karibku di kampung, Zahran namanya. Bila aku berterus terang mahu balik ke kampung menaiki bas sebab keretaku ditarik pihak bank, dia tertawa berdekah di hujung talian.

Tak guna punya kawan!

“Oi, malulah balik naik bas, satu kampung ni tahu kau pakai kereta lawa, kerja kau exec bukan kerja kedai makan, Jemin! Kahkahkah,”

Ok, fine!

Itulah kali terakhir aku bercakap dengan Zahran anak ketua kampung. Dia cuma goyang kaki di kampung tapi dah pakai MPV.

Aku tak akan balik ke kampung selagi aku tak dapat kereta baru. Kalau boleh aku nak kereta MPV juga. Tak akan kalah dengan Zahran.

Sedang aku melayan perasaan di depan pc, bos muncul dengan muka cuak dan nafas tercungap-cungap.

“Azmin, isteri aku jatuh dalam mall. Sarat pulak tu. Aku kena ke hospital sekarang,“

“Kau baliklah kampung. Aku bagi seminggu cuti. Jangan dikejar sangat duniawi sampai kita abaikan orang-orang tersayang. Ni bonus dan duit OT kau aku bagi full. Baliklah. Kunci pejabat ni macam biasa,”

Panjang pesanannya. Sentap pula aku bila bos sebut fasal mengejar duniawi. Mungkin dia juga menyesal kerana tinggalkan anak isteri mencari baju raya dalam keadaan Puan Lela sarat menunggu hari.

Aku ke Puduraya, semua tiket habis dijual. Ke TBS, sama juga. Ulat tiket pun tak nampak bayang. Aku hubungi rakan sekerja, di mana nak ku beli tiket bas selain dua terminal yang aku tahu.

Mereka semua ada yang telah selamat sampai ke kampung, ramai juga tergelak ketawa melayani pesta lampu brek di atas lebuhraya.

Tinggallah aku seorang di tengah kotaraya seperti rakyat Nepal yang tiada hala tuju.

“Mak, Jemin tak jadi baliklah. Tiket bas tak ada. Jemin raya di KL je,“

“Janganlah, Jemin. Mak rindu sangat nak

peluk kamu. Tapai ubi kamu banyak mak buat. Abah belikan kau kereta dah…“

Aku pantas memotong cakap mak, “kereta apa?“

Mak terdiam. Mungkin dia sedang berfikir kereta apalah yang ayah beli untuk aku. Ada segaris senyuman terukir di bibirku. Tak mungkinlah kereta cikai-cikai?!

“Jemin…abah nak cakap,“ suara mak berganti pula dengan suara abah berdehem.

Berdebar jantung aku nak tahu abah belikan aku kereta apa?

“Baliklah, abah belikan kau Iswara Kereta Kebal. Dulu masa sekolah kan kau suka sangat kereta tu,“

Abah bercerita dengan riang di hujung talian. Langsung tidak sedar yang aku terlalu kecewa. Malulah aku kalau kawan sekampung tengok aku pandu kereta lama!

Shit! Baguslah aku tak jadi balik raya. Baik aku lepak dalam bilik daripada balik tengok lembu-lembu abah.

“Maaflah abah…Jemin sanggup beraya di bandar daripada balik naik kereta buruk dengan jaga lembu abah!“

“Tapi, Min…kereta tu…“

“SELAMAT HARI RAYA, kbye!”

Aku matikan telefon dengan perasaan mendidih. Abah memang nak malukan aku depan orang kampung! Biarlah aku balik selepas aku dapat bawa balik kereta lain.

“Dik, nak tiket balik kampung tak? Abang bagi tiket free,“

Seorang lelaki tiba-tiba muncul di belakang ku dengan sekeping tiket berwarna merah disuakan ke depan muka ku.

“Eh, saya tak balik kampung. Malas nak balik, bang. Penat,” jawabku acuh tak acuh.

“Ambillah tiket ni. Nak pergi mana pun boleh, dik. Dapat saguhati RM5000 lagi.”

Glurppp….! RM5000? Aku mencongak-congak, bos bagi aku bonus RM500, OT RM500. Baki duit gaji aku masih ada dalam seribu ringgit. Kalau aku ambil peluang ni, masuk juga!

“Adik pergi tapak lama belakang bangunan XXX, dekat situ ada sebijik bas merah menyala tunggu adik. Adik naik, bas akan terus gerak.” Wajah lelaki dalam lingkungan 40an ni bersunggguh sungguh nak aku naik bas.

Timbul perasaan curiga pula. Manalah tahu dia ni berkomplot dengan rakan musibat nak rompak aku?

“Ambil ni. Abang nak pergi dulu.”

Seikat duit note 50 bertukar tangan. Betullah abang tu tak bergurau. Dia terus pergi menaiki sebuah teksi lama yang agak berkarat.

Mana ada teksi seburuk tu di KL ni? Cermin belakang pemandu pun senget menunggu masa tertanggal.

Macam terpukau pula aku memandang teksi buruk itu pergi.

Langit hampir gelap. Aku kena cepat mencari bas berwarna merah yang abang tadi sebut. Ahh, lupa apa nama bas tu!

Aku belek tiket di tapak tangan.

“Bas Balik Raya. Sekali naik tak akan naik lagi bas lain…apasal pelik je motto syarikat bas ni? Bagus sangatkah servisnya?”

Bercakap seorang diri pula di tengah bandar yang selalunya sibuk dengan pelbagai kenderaan dan ragam manusia.

Hari ini sunyi. Yang ada pun warga asing keluar mengambil angin, berselfie sana sini. Lepak dengan kaum yang berbeza-beza.

Aku menahan sebuah teksi yang hampir mendekat.

Akhirnya tiba di tempat yang dimaksudkan, hati aku melonjak riang kerana dapat duit ’terpijak’.

Yang peliknya pakcik teksi terpinga-pinga pula pandang sekeliling.

“Awak ni nak ke mana? Sini tak ada apa-apa pun?”

“Saya nak naik Bas Balik Raya, pakcik.”

Setelah menghulurkan duit tambang, aku pun berlari ke arah bas merah yang sedang menunggu. Aku naik dengan senyum tak lekang di bibir.

“Bertuah dapat tiket free, dapat pula duit 5000. Siapa nak bagi? Yabadabaduuu….,” aku bersorak di dalam hati.

“Bas akan gerak menuju ke Changkat Jering sekarang. Kamu tidur lah dulu.” Pemandu bas bersuara garau menegur aku.

“Bang. Tak ada penumpang lain? Bas dua tingkat kot?!”

“Hehehe, tak ada. Bas ini khas untuk menghantar kamu,”

Aik? Khas untuk aku? Mungkinkah bos yang merancang semua ni? Kerana aku pekerja paling rajin di syarikatnya, maka aku diberi ‘SURPRISE’ !

Hairan juga sebab tak nampak ada sesiapa pun selain dari aku dan pemandu bas.

Lagu raya mula dimainkan. Penghawa dingin memang sejuk seakan akan aku berada di dalam peti sejuk.

Perlahan-lahan, mataku terpejam. Alangkah selesanya duduk di dalam bas mewah.

.

.

.

“Abang, manalah perginya Azmin? Merajuk agaknya abang cakap belikan kereta lama, kenapalah abang tipu dia?“ Hajah Siti merungut.

“Abang nak buat kejutan, biar dia tengok sendiri hadiah kereta ’Lepat Hitam’ abang hadiahkan dari hasil jual lembu,“ Haji Syukri separuh ketawa.

“Alphard lah, bang. Bukan Lepat!“ dengan muncung terjuih, Hajah Siti tinggalkan Haji Syukri di tepi tangga.

Mereka terlalu sayangkan anak tunggal mereka. Ditatang sejak kecil. Mana mungkin mereka sanggup biarkan anak kesayangan hidup tanpa kereta.

Penantian pada malam itu sangat panjang. Hingga ke pagi raya mereka tidak menerima khabar berita ke manakah perginya Azmin.

Tidak seorang pun mengetahui Azmin yang bongkak, tamak dan kurang hajar itu telah menaiki bas berpuaka.

Setiap tahun akan wujud seorang lelaki menghulurkan tiket merah bersama wang sebanyak RM5000.

Hanya orang yang tidak layak tinggal di dunia ini akan dibawa pergi.

Pergi buat selama-lamanya.

SEKIAN, TAMAT SUDAH🥰..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 86 Average: 4.3]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.