Salam sejahtera kepada pembaca FS. Saya penulis Cerita Mistik di Kampung Santubong 1995 kembali lagi berkongsi cerita mistik dan seram di mana kejadian kali ini berlaku di kampung yang sama. Kami sekeluarga menetap di Kampung Santubong, Kuching sejak dari tahun 1993 sehingga 1995 dan kisah ini terjadi sekitar tahun 1993.
Saya ketika itu berumur 08 tahun amat suka berkeliaran sekitar kampung, terutamanya di tepi pantai yang berdekatan dengan rumah sewa kami. Pantai yang dinamakan Pantai Puteri masih belum tercemar ketika itu dan saya serta adik dan rakan-rakan gemar mengutip kerang-kerangan, menangkap ketam di gigi air pantai, mencari lokan dan koyong (siput) atau saja-saja berjalan di sekitar pantai dan paya bakaunya. Ya, di pantai itulah terjadinya kejadian emak saya bermimpi ditarik oleh wanita tua ketika sedang mengandungkan anak ke enam. Nun tidak jauh dari pantai tersebut terdapat Pulau Kera yang pernah disebut dalam lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang di mana Puteri Santubong akhirnya menjadi Gunung Santubong dan Puteri Sejinjang disumpah menjadi Pulau Kera. Kampung tersebut masih belum disentuh pembangunan pesat dan boleh dikatakan agak jauh dari pusat bandaraya. Sekitar kampung masih lagi terdapat hutan-hutan tebal, pantai yang belum tercemar dan berlatar belakangkan Gunung Santubong yang cukup misteri. Terpencil, cantik, tenang dan damai namun penuh dengan mistik. Itulah ungkapan sesuai digambarkan mengenai Kampung Santubong.
Larangan emak mengenai merayau-rayau di sekitar pantai sukar untuk diendahkan memandangkan sifat meneroka tengah membuak-buak. Bermain dalam hutan, memanjat pokok dan merayau-rayau sekitar kampung adalah rutin harian kami selepas habis sekolah. Namun tidaklah sampai berani bermain jauh ke dalam hutan atau sehingga gelap sudah menyerkup.
Satu hari di tengahari, saya, adik lelaki dan dua orang rakan saya, Icha dan Apoi membuat keputusan untuk merayau-rayau di sepanjang Pantai Puteri. Sambil berjalan-jalan menikmati angin pantai, sambil itu kami mencari duit atau apa-apa barangan berharga yang tercicir di celah-celah batu besar di sepanjang pantai tersebut yang ditinggalkan oleh pengunjung pantai. Aktiviti ‘Treasure Hunt’ ini berkonsepkan ‘founder keeper’, siapa yang terjumpa duit atau barangan berharga, dia yang empunya. Sekeping duit bernilai RM10 yang merupakan nilai tertinggi bagi kanak-kanak seperti kami pun sudah cukup membuatkan empunya bahagia sepanjang minggu. Kalau terjumpa barang berharga pula, dapatlah berbangga dengan kawan-kawan. Maka berebut-rebutlah kami mencari apa-apa sahaja yang berguna dan berharga di sepanjang pesisiran pantai. Masa paling sesuai untuk menjalankan aktiviti tersebut adalah di waktu tengahari memandangkan pengunjung pantai tidak ramai dan ada waktunya tiada pengunjung langsung.
Panas terik tidak mematahkan semangat kami untuk merayau jauh. Keasyikan mencari membuatkan kami tidak sedar telah terlajak mencari sehingga ke hujung pantai. Saya dan kawan-kawan amat maklum akan kawasan hujung pantai tersebut, di mana pada masa air pasang, air laut boleh menjadi deras dan sangat dalam. Pernah terdengar kes lemas terjadi di kawasan itu. Bukan itu sahaja yang ditakuti, di kawasan tersebut terdapatnya sebuah batu pantai yang digelar Batu Boyak (buaya). Batu sebesar saiz sampan kecil itu menyimpan banyak cerita dari orang kampung. Suatu ketika dahulu, dikatakan ada seorang bangsawan yang telah m*******l kepala boyak yang mengganas di kampung tersebut dan boyak tersebut disumpah menjadi batu. Lagenda yang terkenal di kampung ini tidak dapat dipastikan kebenarannya namun batu besar tersebut yang berupa kepala boyak lengkap dengan bentuk mulut boyak ternganga menghadap ke laut seolah-olah menunggu mangsa setiap kali air laut pasang. Tidak terkecuali batu itu turut menarik perhatian kaki-kaki nombor ekor memuja batu tersebut hampir setiap malam.
“Dekat Batu Boyak ni, ada pasir jerlus” kata Icha sambil menekan-nekan kakinya di dalam pasir berdekatan batu tersebut. Memang di sekitar batu tersebut bergenang dengan air laut dan di sekelilingnya terdapat beberapa batang colok yang sudah dibakar. Nampaknya malam semalam terdapat pengunjung mencuba nasib memuja nombor ekor di kawasan itu.
“Oi kawan-kawan, tengok ni ada bekas pandok (unggun api). Lan (Jom) kita tengok mana tau jumpa harta!” raung Apoi yang sudah pun berada di kawasan bertanah yang ditumbuhi pokok-pokok ru dan semak samun. Daripada ingatan saya ketika ini, kawasan bertanah itu hanya berjarak lebih kurang sekitar 300 ke 400m dari kedudukan Batu Boyak tersebut. Icha dan adik lelaki saya sudah berlari menuju Apoi namun saya masih tegak berdiri memerhati batu tersebut. Jarak saya dan Batu Boyak cuma dalam 100m sahaja. Saya hanya berani memerhati, namun kaku untuk mendekati batu tersebut.
Entah kenapa tiba-tiba saya berasa seperti diselubungi suatu perasaan aneh. Oleh disebabkan masih kanak-kanak, saya tidak dapat mentafsir perasaan tersebut tetapi yang pasti, Batu Boyak itu seolah-olah menarik perhatian saya. Seperti ada sesuatu yang berjaya membuatkan saya terkesima. Namun saya masih dalam keadaan sedar. Teringat tentang ‘pandok’ tadi, saya mula memalingkan badan untuk menyertai kawan-kawan saya tetapi tiba-tiba suatu suara menegur saya dari belakang.
“Syutt…! syuutttt………!” Saya kaget dan saya pasti suara tersebut berasal dari Batu Boyak itu. Saya berpaling melihat ke arah suara tersebut dan tiba-tiba, suasana bising bertukar menjadi sunyi sepi, tiada lagi kedengaran bunyi ombak atau burung berkicauan. Aneh, itu perasaan saya ketika itu umpama saya telah dipukau. Senyap-sunyi, sepi membungkam seolah-olah saya dan batu itu sahaja yang bernyawa ketika itu. Sehingga kini saya masih ingat lagi perasaan aneh tersebut.
Tiba-tiba terjengul seorang nenek berbadan kurus dan bongkok di sebalik batu itu. Wajahnya berkedut seribu menandakan dia sudah sangat tua, mungkin berumur lebih 90 tahun. Nenek bongkok itu memakai baju seperti baju kurung dan berkain batik yang sangat lusuh warnanya sehingga kelihatan seperti kain buruk. Rambutnya yang penuh dengan uban disanggul tinggi. Dari rupanya ketika ini tidaklah menyeramkan saya. Mungkin kerana saya ketika itu hanya kanak-kanak polos, tidak mengerti apa-apa. Namun setelah meningkat dewasa dan boleh menafsir dengan matang, rupa nenek itu menyebabkan saya berasa seram setiap kali saya mengingati kejadian tersebut.
Di tangannya terdapat sebuah baldi kayu dan nenek bongkok itu mengoncang-goncang baldi tersebut seolah-olah ingin menunjukkan saya sesuatu. Saya cuma berdiam diri, menunggu reaksi seterusnya dari nenek itu. Dia kemudiannya memasukkan tangan kirinya ke dalam baldi tersebut dan mengeluarkan sesuatu. Diunjukkan tangannya tadi dan dari telapak tangan terdapat pelbagai cangkerang yang sangat cantik dan berwarna-warni serta berbentuk aneh yang saya tidak pernah lihat sebelum ini. Terdapat juga tiram yang masih melekat mutiara di dalamnya. Mutiara-mutiara pelbagai warna dan saiz bersinar-sinar apabila dipanah cahaya tengahari. Saya terpukau dengan keindahan yang ditunjukkan oleh nenek bongkokitu dan tiba-tiba perasaan ingin memiliki semua cangkerang dan mutiara nenek itu tidak dapat dibendung lagi.
“Cucuk (cucu) suka? Ninek (nenek) ada banyak lagi. Macam-macam warna. Juh (Jom) ikut ninek. Kita kutip di tepi pantai ni je,” dengan suara yang garau, nenek tersebut mengajak saya sambil tersenyum lebar seolah-olah cuba berniat baik. Keikhlasan nenek mengajak saya mengikutnya menyebabkan saya bersetuju tanpa berfikir panjang. Sebagai kanak-kanak yang agak nakal mana mungkin saya akan berfikir panjang menerima tawaran indah seperti itu. Hati bagai dijentik-jentik dan minda saya dibuai khayalan dengan pelbagai cangkerang aneh pelbagai rupa dan mutiara pelbagai warna dan saiz yang akan saya kutip bersama nenek itu. Nanti bolehlah saya menunjuk-nunjuk hasil kutipan saya kepada kawan-kawan dan adik saya. Itulah keinginan picisan saya ketika itu.
Saya cuma mampu menganggukkan kepala kerana tidak sabar untuk mendapatkan cangkerang dan mutiara tersebut. Melihatkan saya sudah bersetuju mengikutnya, nenek bongkok mengekek ketawa lantas melambai-lambaikan tangannya yang agak mengerekot mengajak saya mendekatinya. Baru beberapa langkah menghampiri nenek dan Batu Boyak, saya terdengar seperti nama saya dipanggil berkali-kali. Mula-mula kedengaran sayup-sayup, kemudian semakin nyaring dan jelas di pendengaran saya. Lantas saya umpama tersedar dari khayalan, seperti baru tersedar dari pukauan. Sebaik sahaja saya berpaling ke arah laungan tersebut, tiba-tiba suasana yang senyap-sunyi bertukar menjadi bising, dengan bunyi ombak menghempas pantai dan bunyi burung-burung kedengaran memecah suasana dan sekaligus memecah perasaan aneh yang saya lalui tadi. Saya berpaling ke arah nenek tadi namun nenek tersebut tidak kelihatan. Kawasan tersebut hanya terdapat batu-batu pantai, mana mungkin kelibat nenek terlepas dari pandangan saya. Saya beranikan diri mencari-cari di balik Batu Boyak namun langsung tidak kelihatan sebarang bekas tapak kaki.
“Tak ada pun bekas tapak kaki ninek ni. Air belum pasang mana mungkin bekas kakinya cepat hilang. Lagipun mana mungkin dia dapat lari sekelip mata, kan dia bongkok..?” saya membuat andaian dalam hati. Ketika itu juga saya tercium sesuatu bau yang saya tidak dapat tafsirkan dan serta-merta bulu tengkuk saya tiba-tiba berdiri, hati saya berdebar-debar apabila saya seolah-olah tersedar dengan apa yang telah terjadi. Tanpa membuang masa saya terus berlari selaju yang mungkin ke arah kawan-kawan saya. Hampir sahaja saya tersungkur ke tanah akibat dari perasaan gundah yang menguasai saya ketika itu.
“Apa kau buat lama sangat kat Batu Boyak tu? Kenapa dengan kau ni?,” tanya Icha.
Saya tidak menjawab soalannya lantaran sedang tercungap-cungap mengatur pernafasan dan mententeramkan diri. Setelah berhasil menenangkan diri, saya bertanya mengenai nenek tadi.
“Ada tengok nenek bongkok lalu sini kah?”
“Nenek bongkok? Tak ada. Kenapa?,” tanya Icha lagi. Saya hanya mendiamkan diri kerana tidak berani menceritakan keadaan yang saya alami sebentar tadi. Khuatir akan menyebabkan mereka bertiga kalut dan ketakutan. Sementalah saya sendiri tidak dapat mentafsir apa yang telah berlaku. Daripada soalan Icha, dapat saya rungkaikan bahawa nenek tadi memang tidak wujud secara fizikal. Adik saya dan Apoi pun tidak bertanya mengenai nenek itu. Sekiranya nenek itu memang wujud, mustahil mereka bertiga tidak melihatnya kerana dari kawasan ‘pandok’ itu, Batu Boyak dapat dilihat dengan jelas.
“Oi, tengok apa yang aku dapat!,” kata Apoi sambil menunjukkan sebuah cermin mata hitam dewasa. Digayakannya dengan penuh bangga sekali. Sekaligus perhatian teralih kepada Apoi. Semakin bersemangat Icha dan adik saya untuk mencari lagi ‘harta karun’ lantaran tidak mahu kalah dengan Apoi.
“Jum lah kita balik. Kita dah abis cari dah,” pujuk saya dan akhirnya mereka bertiga setuju lebih-lebih lagi Apoi yang sudah ‘menang’ dalam ‘Treasure Hunt’ ini. Saya sempat melirik ke Batu Boyak tersebut, mana tahu kelibat nenek tadi kelihatan namun tiada apa-apa di situ. Batu itu masih tersergam kukuh di tempatnya menunggu manusia penyembah syaitan datang memuja di setiap malam bulan purnama. Sehingga kini, saya tidak pasti sama ada batu tersebut masih wujud atau tidak. Mungkin sudah ditenggelami air laut lantaran pantainya yang sudah terhakis setelah bertahun-tahun cuba bertahan dipukul ombak.
Semua kejadian yang berlaku ketika itu masih kukuh di ingatan saya. Mungkin kerana pengalaman ini sangat mistik menyebabkan saya masih ingat dengan jelas. Saya tidak pasti apakah jenis makhluk yang saya temui itu, adakah makhluk tersebut memang dari sekitar pantai atau datang dari batu tersebut. Yang pasti makhluk itu bukan manusia dan ia dari alam lain. Sedari dewasa ini, saya pasti niat nenek bongkok tersebut tidak baik terhadap saya. Adakah saya ingin dijadikannya korban Batu Boyak? Namun saya bersyukur kepada Tuhan kerana terlepas dari godaan nenek bongkok itu. Setiap kali mengingatkan kembali kejadian tersebut, pasti akan membuatkan saya berasa seram sejuk, hatta ketika sedang menulis kembali cerita ini. Walau bagaimanapun, sekiranya Icha dan Apoi serta adik saya mengalami apa yang saya alami, sudah tentu cermin mata hitam itu pun tiada nilainya lagi untuk mereka.
Sekian.
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
5/10
Cepatnya , yg lain tgk sea games kot…sunyi ja
Ya lah orang tua melarang kita main rah pantey, jang laut kata org tua.
nasib juak dirik cepat tersedar, mun ndak udah cita kita ilang x dsedar2.
nice story… rindok mbaca cita dari tempat asal dikpun. hihi 7.5/10
baruk tauk akak d sia ada batu boyak… dolok2 rajin juak datang ke pantey ya lepak2 tp x penah smpey ke ujong pantey ya…
aok mena ya kak. kmk xjuak tauk ada batu boyak cya..
Berbinar mata baca, lain kali buat perenggan.
comelnya batu buaya