Bayang Hitam

“Assalamualaikum!”

Satu suara garau kedengaran memberi salam ketika Pak Dil sedang sibuk mengira duit pendapatan restoran. Suasana dalam restoran itu kelihatan lengang kerana pelanggan-pelanggan kurang pada waktu malam. Pak Dil segera mendongak memandang ke arah wajah empunya suara.

“Oh, kau rupanya Basir. Ingatkan siapalah tadi. Jom kita duduk sana.”

Pak Dil segera memasukkan duit di tangannya ke dalam laci dan menguncinya. Terkocoh-kocoh orang tua berkopiah putih itu berjalan ke arah meja berhampiran dengan kaunter. Ditariknya sebuah kerusi dan menjemput tetamunya duduk. Pak Basir tersenyum lebar kemudian menghenyakkan p******g di atas kerusi. Mereka duduk berhadapan.

“Kau dari mana ni? Lama tak jumpa, baru hari ini nampak batang hidung.” Tanya Pak Dil sambil melambaikan tangan ke arah seorang pekerjanya yang sedang membersihkan bekas lauk pauk.

“Aku dari JPN ada urusan sikit. Bila nampak restoran yang makin maju ni, terdetik pula hati ini melawat kau. Kot-kot dah kaya raya, entah dia masih ingat ke tidak dengan kawan lama dia ni.” Kata Pak Basir sambil tergelak kecil. Pak Dil cuma tersengih macam kerang busuk.

“Buatkan segelas air teh dan semangkuk bakso pada kawan aku ni.” Kata Pak Dil dan pekerjanya cuma menggangguk patuh lalu cepat-cepat beredar dari situ.

“Eh, aku tak pesan makanan pun Dil. Aku cuma datang melawat kau saja ni.” Ujar Pak Basir sambil mengerling jam yang tergantung di dinding. Sudah hampir menginjak jam 8.00 malam rupanya.

“Tak apa, aku belanja.” kata Pak Dil. Senyumannya lebar sampai ke telinga. Pak Basir terdiam setelah Pak Dil berkata begitu. Rezeki jangan ditolak, kebetulan dia pun belum makan sejak tengahari tadi. Sibuk sangat dia turun naik pejabat. Sekejap ke balai polis sekejap ke Jabatan Pendaftataran mengurus dokumennya yang hilang. Bukan itu sahaja urusan Pak Basir, dia datang ke Restoran Pak Dil ini pun kerana ada tujuan.

Tidak lama kemudian segelas teh dan semangkuk bakso yang masih berasap terhidang di hadapan Pak Basir.

“Alhamdulillah, sedaplah bakso ni. Perut aku pun dah kenyang, terima kasih banyak-banyak sebap belanja aku Dil.” Pak Basir mengusap perut buncitnya yang terasa penuh.

Pak Dil cuma menggangguk bersama senyuman terukir di bibir. Dia gembira kerana kawannya memuji masakan hasil air tangannya.

“Er, sebenarnya Dil aku datang ni berhajat. Kau tentu faham maksud aku.” Akhirnya Pak Basir menyatakan niat sebenarnya datang ke sini. Segan juga dia sebenarnya, tapi sampai bila dia hendak bersabar.

Sebaik saja mendengar kata-kata Pak Basir, wajah Pak Dil berubah kelat. Dia faham benar maksud Pak Basir itu.

” Kalau pasal tu, aku minta maaflah Basir. Duit aku belum cukup nak bayar hutang tu. Nanti cukup duit aku bayarlah. Kau tak minta pun aku bayar juga.” Pak Dil berjanji lagi. Entah sudah berapa kali Basir datang menagih hutang ada-ada saja alasan Pak Dil.

“Aku pun perlukan duit juga Dil. Takkan seribu pun tak ada. Dulu kau pinjam duit aku sepuluh ribu, manis saja mulut kau berjanji akan bayar ansur-ansur. Tapi sekarang sudah setengah tahun kau meniaga. Satu sen pun kau tak bayar pada aku.”

D***h Pak Basir mula mendidih. Ikutkan hati mahu saja dilempangnya muka Pak Dil. Dulu dia sanggup keluarkan duit sepuluh ribu kerana kasihankan Pak Dil sementelah lagi Pak Dil itu kawan baiknya sejak di bangku sekolah. Pak Dil perlukan duit untuk membuka perniagaan yang ada sekarang ini.

“Sabar dulu Basir. Banyak sangat aku kena bayar sekarang ni. Duit sewa bangunan ni, bayar bil api air, belanja anak kembar aku yang sekolah di UITM sana.” Jelas Pak Dil tanpa rasa bersalah sedikit pun.

“Habis tu aku ni tak perlukan duitlah untuk bayar itu ini? Kau sorang je makan nasi, aku makan batu. Begitu?” Basir merenung wajah Pak Dil dengan geram sebelum dia berlalu pergi keluar dari restoran itu.

Pak Dil cuma mengangkat kening sambil menjuihkan bibir. Mak Wan isteri Pak Dil yang sedang menyapu tidak jauh dari situ segera mendekati suaminya. Sejak tadi dia mendengar sahaja perbualan suaminya dan kawannya itu.

“Kenapa abang tak bayar saja separuh dari hutang tu. Kesian Basir datang jauh-jauh semata-mata nak ke sini. Mesti dia perlu sangat duit tu bang.” Kata Mak Wan. Dia rasa bersalah dan malu sangat dengan perangai suaminya yang pandai berhutang tapi liat membayar. Kalaulah dia yang pegang duit, sudah lama hutang-hutang tersebut langsai. Tapi duit Restoran ini Pak Dil yang urus.

“Ah! Kau apa tau. Sampai masa nanti aku bayarlah semua. Kau tak usah masuk campur urusan kami.” Pak Dil menjegilkan biji matanya ke arah Mak Wan. Marah benar dia bila isterinya masuk campur urusan dia pasal hutang tersebut.

Perniagaan yang diusahakan Pak Dil dan isterinya semakin hari semakin maju. Ramai pelanggan yang memuji masakan di situ. Ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata hendak mencuba menu di RESTORAN PAK DIL. Bukan main gembira lagi hati Pak Dil bila restorannya mendapat sambutan di luar jangkaan. Pekerja mereka juga sudah bertambah.

Hari-hari Pak Dil mengira untung perniagaan dengan senyuman lebar sampai ke telinga. “Tidak lama lagi pasti aku jadi orang kaya baru.” Desis hati Pak Dil dan dia mula berangan-angan hingga ke langit ketujuh.

Suatu hari ketika Pak Dil sibuk melayan tetamu yang sedang menjamu selera, dia terpandang sebuah lori berhenti di hadapan kedai sebelah yang sudah beberapa bulan tidak beroperasi. Dulu kedai itu menjual barangan elektrik tetapi entah apa masalahnya tiba-tiba kedai itu ditutup begitu sahaja.

Dari dalam lori beberapa orang lelaki turun diikuti sepasang suami isteri muda. Kedengaran bunyi pintu kedai sebelah dibuka. Tidak lama kemudian lelaki-lelaki tadi menurunkan barang-barang dari lori. Berkerut dahi Pak Dil melihat barang-barang tersebut. Seperti perkakas dapur saja semuanya. Mereka menjual barang dapur ke? Pak Dil terus keluar mendapatkan mereka yang sedang sibuk bekerja itu.

“Wah, tak sangka pula aku kedai sebelah ni beroperasi semula. Bila masa korang kosongkan bangunan ni? Aku tak pernah nampak pun?”

Tanya Pak Dil. Beri salam pun tidak terus saja bertanya. Suami isteri itu berpandangan kemudian tersenyum mesra. Lelaki muda berkumis nipis itu menghulurkan tangan. Pak Dil menyambutnya sambil tersenyum lebar.

“Aku Borhan dan ini isteri aku Zahila.”

“Pak Dil”

Masing-masing saling menggangguk selepas memperkenalkan diri.

“Err, sebenarnya bangunan ni kami dah kosongkan sejak ia ditutup. Kami bercadang hendak membuka restoran pula. Mudah-mudahan ada rezeki kami di sini. Sebelum tu kami minta maaf dengan abang sebab restoran kita bersebelahan saja. Harap tidak mengganggu bisnes abang.” Kata Borhan dengan muka serba salah.

“Tak apa, rezeki masing-masing kan. Ada jugalah kawan abang berborak bila pelanggan tak ada.” Pak Dil menepuk perlahan bahu Borhan sambil matanya ralit memerhati pekerja-pekerja Borhan yang sibuk keluar masuk kedai mengangkat barang-barang. Sesekali kedengaran suara Zahila mengarah itu ini pada pekerjanya.

Walaupun restoran Borhan sudah beroperasi tetapi ia tidak menjejaskan perniagaan Pak Dil. Restoran Borhan juga tidak putus-putus dikunjungi pelanggan. Restoran Pak Dil menyediakan masakan Jawa dan masakan kampung manakala Restoran Borhan pula menyediakan masakan Thai.

“Tak lama lagi kayalah kita Wan. Bolehlah kita pegi melancong ke luar negara nanti.” Kata Pak Dil pada satu malam semasa mereka sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah papan separuh batu itu. Dia duduk di atas kusyen sambil bersilang kaki. Mak Wan duduk di lantai melipat kain.

“Isy abang ni. Kalau sudah kaya kita pegi umrahlah. Dah lama aku teringin hendak ke sana.” Mak Wan memandang wajah suaminya. Sudah lama benar dia teringin menjejakkan kaki ke tanah suci. Cemburu dia melihat rakan-rakannya yang sudah dua tiga kali pergi ke sana.

“Ah, tentang itu nantilah kita fikirkan. Banyak masa lagi. Abang nak melancong ke Korea dulu. Lepas itu ke China pula. Kita pergi satu keluarga. Tunggu Farah dan Fatin cuti dulu.”

Muncung Mak Wan panjang sedepa. Hendak membantah nanti dia dituduh isteri derhaka pula. Sudah kerap kali Mak Wan makan hati dan kesal dengan sikap suaminya. Kata banyak duit, sekejap lagi kaya. Dia ingat pula hendak melancong jauh beribu batu, tapi dia buat-buat lupa pada hutangnya yang beribu-ribu itu.

Mak Wan sudah tidak tahu hendak buat apa lagi. Dia cuba mengingatkan suaminya pasal hutang itu tapi dia ditengking pula di hadapan para pekerjanya di restoran. Malu besar Mak Wan dibuatnya. Susah benar hendak menegur suaminya. Dia sahaja yang betul. Egonya tinggi melangit.

Suatu malam selepas menutup restoran, Pak Dil mengajak Mak Wan pergi ke kedai handphone. Dia hendak membeli handphone baru kerana handphone lamanya tiba-tiba saja meragam. Skrinnya juga sudah retak sana sini kerana asyik terjatuh ke lantai.

Selepas berurusan di kedai handphone, mereka pun balik. Pak Dil memandu kereta sambil bersiul-siul. Tentulah kerana suka hati dapat membeli handphone baru yang mahal dan lebih canggih dari handphone lamanya.

“Eh, abang. Aku lupa bawa lauk dalam mangkuk tingkat yang aku letak atas meja tadi. Kita ke restoran dulu kejap ya.” Mak Wan tepuk dahi. Dia betul-betul terlupa pada mangkuk tingkat berisi lauk dan sayur untuk anak mereka Fakhrul. Anak sulung mereka itu baru balik dari Sarawak. Bekerja di sana sebagai guru.

“Belum tua sangat pun sudah nyanyuk. Benda itu pun boleh lupa.” Perli Pak Dil sambil menggeleng kepala. Sampai di hadapan restoran, Mak Wan segera turun. Kelihatan Restoran Borhan masih beroperasi dan ada beberapa orang pelanggan sedang menjamu selera. Pak Dil cuma memandang ke dalam Restoran Borhan sambil jari jemarinya mengetuk-ngetuk permukaan stereng kereta. Boleh tahan sedap juga masakan Thai dari Restoran itu. Tapi tiada sesiapa yang dapat menandingi masakannya. Pak Dil masuk bakul angkat sendiri.

“Kenapa abang senyum-senyum ni? Suka hati benar ke dapat beli handphone baru?” usik Mak Wan sebaik membuka pintu kereta. Mangkuk tingkat berwarna perak itu diletakkan di bahagian belakang.

“Tak ada apalah. Senaman mulut je.” Selamba Pak Dil menjawab. Ketika itulah matanya terpandang kelibat seorang lelaki berbadan tinggi sedang duduk bertinggung di belakang restorannya. Lelaki itu seolah-olah sedang mengorek sesuatu di tepi dinding.

Pak Dil terus keluar dari kereta. Mak Wan pula terpinga-pinga melihat kelakuan pelik suaminya. Dia perhatikan saja suaminya berlari menuju ke belakang restoran.

“Hei, kau buat apa di sini?”

Pak Dil terus mencekak leher baju lelaki itu dari belakang. Terkejut Pak Dil melihat wajah empunya badan. Borhan rupanya.

“Maaf bang, aku mencari kunci kereta tercicir di kawasan ini. Aku ke kedai sana tadi.” Kata Borhan sambil jarinya menunjuk ke arah Kedai kek tidak jauh dari restoran Pak Dil.

“Balik dari sana seekor anjing tiba-tiba menyalak. Terkejut aku sampai kunci pun tercampak entah ke mana.”

Pak Dil mengerutkan dahi seperti tidak percaya dengan alasan Borhan. Takkan pergi ke kedai itu pun bawa kunci kereta. Mesti ada sesuatu yang dibuat Borhan di belakang restorannya ini.

“Betul ke alasan kau ni? Boleh percaya?”

“Astaghfirullah.. Janganlah salah faham bang. Memang aku cari kunci yang tercampak di sini. Aku tak bohong. Allah maha melihat bang.” Panas juga hati Borhan apabila Pak Dil seolah-olah mengesyakinya berbuat khianat.

Akhirnya Pak Dil turut sama membantu mencari kunci kereta Borhan. Rupanya kunci itu tersorok di belakang kayu berhampiran dengan tempat Borhan duduk bertinggung tadi. Tanpa meminta maaf kerana telah salah sangka pada Borhan, Pak Dil menonong saja menuju ke arah keretanya. Borhan cuma mampu menggeleng kepala melihat tingkah jirannya itu.

Sejak kebelakangan ini Pak Dil selalu diserang gatal-gatal seluruh badan. Kerana terlalu kerap menggaru, kulit Pak Dil luka dan lambat pula sembuh walaupun sudah disapu ubat. Sengsara juga Pak Dil menahan gatal dan sakit pedih pada kulit yang luka itu. Walaupun berhadapan dengan masalah itu, Pak Dil tetap gagahkan diri pergi ke restoran. Dia tidak mahu orang lain yang mengurus kewangan walaupun isteri sendiri.

Belum reda gatal-gatal di tubuh Pak Dil, dia diganggu pula dengan bayangan hitam yang melintas laju di hadapannya. Tidak kira dia berada di rumah ataupun di restoran.

“Jangan ganggu akulah. Aku tau kau tu syaitan. Pergi kau dari sini!” Pak Dil bertempik kerana sudah tidak tahan melihat bayangan hitam seperti kepulan asap itu asyik lalu lalang di hadapannya. Kadang-kadang ia menjelma seperti sosok seorang manusia berpakaian serba hitam dari atas ke bawah namun wajahnya tidak kelihatan.

Perniagaan Pak Dil juga tiba-tiba merosot. Pelanggan pun boleh dikira dengan jari. Kadang-kadang langsung tidak ada. Susah hati Pak Dil dibuatnya. Angan-angannya hendak melancong ke korea dan China seperti tidak kesampaian. Mak Wan juga risau. Dia sendiri hairan kenapa tiba-tiba restoran mereka tidak mendapat sambutan seperti selalu. Sedangkan restoran Borhan tetap dikunjungi ramai pelanggan.

“Kenapa Restoran Pak Dil tutup? Aku selalu ke sana tapi kena tutup pula. Sudahnya aku pergi ke restoran Borhan saja. Aku rindulah dengan bakso Pak Dil yang sedap tu.” Seorang pemuda berusia dalam lingkungan 20an menyapa Pak Dil semasa dia sedang menunggu giliran untuk berjumpa doktor pakar kulit. Kulit di tubuh Pak Dil mengelupas pula. Mujurlah di wajahnya tidak mengalami masalah. Kalau tidak, sudah tentu Pak Dil hilang keyakinan untuk berjumpa dengan orang.

“Eh, bila masa pula kami tutup restoran? Setiap hari kami buka macam biasa. Hari ini saja kami tutup sekejap sebab aku ada temujanji dengan doktor.” Berkerut dahi pemuda itu mendengar penjelasan Pak Dil. Semalam pun dia ke sana sebab rindu hendak makan bakso, tapi dia kecewa bila melihat restoran itu ditutup sejak beberapa hari yang lalu.

“Aku dah agak dah mesti ada orang berbuat khianat pada restoran kita. Aku tahu siapa orangnya.” Kata Pak Dil sambil menghentak stereng kereta. Wajahnya merah padam menahan marah.

“Tak baik menuduh tanpa bukti bang. Anggap saja ini ujian dari Allah.” Mak Wan menggosok belakang suaminya untuk meredakan kemarahan lelaki itu.

“Aku kena bersemuka juga dengan orang itu hari ini juga. Biar buku bertemu ruas. Dia belum tahu siapa aku!” Pak Dil terus memecut keretanya tanpa mempedulikan jeritan isterinya.

“Borhan! Keluar kau!”

Semua pelanggan yang sedang enak menjamu selera di restoran Borhan terkejut mendengar suara Pak Dil yang bagaikan halilintar membelah bumi itu. Masing-masing berpandangan sesama sendiri dan ada yang berbisik kemudian memandang ke arah Pak Dil yang sedang berdiri bercekak pinggang di luar restoran dengan wajah bengis.

“Eh, kenapa ni bang? Terpekik terlolong depan orang ramai ni? Kalau ada hal yang abang tak puas hati, kita boleh bincang elok-elok. Malulah orang tua menjerit-jerit macam tu.” Kata Borhan. Terkejut dia tadi bila namanya dijerit-jerit dari luar. Ingatkan siapa, rupanya Pak Dil.

“Ooh, tahu pun kau malu ya. Buat khianat pada orang kau tak ada rasa malu? Kau tak rasa berdosa?” Tengking Pak Dil sambil menunjal dahi Borhan. Tubuh Borhan terdorong ke belakang melanggar dinding. Panas hati Borhan dituduh berbuat khianat. Ikutkan hati mahu saja ditinjunya muka Pak Dil. Tapi dia masih ada kesabaran. Pak Dil lebih tua daripadanya. Kena hormat selagi layak untuk dihormati.

“Apa buktinya aku berbuat khianat pada abang? Apa yang berlaku sebenarnya ni? Aku tak faham!” Merah padam muka Borhan sambil memandang tepat ke muka Pak Dil. Sesekali kelihatan orang tua itu menggaru badannya.

Zahila sudah berdiri di sebelah Borhan. Menggosok-gosok belakangnya meredakan kemarahannya yang sudah mahu menjadi lahar gunung berapi. Zahila juga kebingungan, tidak tahu hujung pangkalnya tiba-tiba Pak Dil datang menyerang suaminya. Depan orang ramai pula tu.

“Kura-kura dalam perahu,

Pura-pura pula tak tahu.”

“Allah, bang janganlah berpantun pula. Aku mana reti tu semua. Aku sekolah setakat SPM saja.” Kata Borhan dengan nada memerli. Zahila tergelak dalam hati. Kelakar pula dua orang lelaki ini.

“Kau hantar santau pada aku sampai gatal-gatal seluruh badan aku ni, lepas itu kau hantar pula makhluk belaan kau yang hitam legam tu ganggu aku setiap hari. Aku tahu kau buat macam tu supaya aku sakit, tak ada tenaga untuk melakukan kerja di restoran ni. Dan yang terbaru kau buat orang nampak restoran ni sentiasa bertutup. Tak beroperasi padahal setiap hari aku buka. Kau meniaga aku pun meniaga juga. Janganlah tabur pasir dalam periuk nasi orang!”

“Astaghfirullahadziim…”

Borhan mengucap panjang sambil mengurut dadanya. Terasa amat berat tuduhan yang dilemparkan oleh Pak Dil terhadapnya. Tidak pernah sekecil hama pun dia berniat jahat pada Pak Dil. Santau, belaan semua itu khurafat. Menyekutukan Allah. Siapalah yang tergamak menganiaya Pak Dil. Kasihan dia, sampai aku pula yang dituduh. Desis hati Borhan. Timbul rasa simpati di hatinya pada Pak Dil. Patutlah sehari dua ini dia nampak restoran Pak Dil lengang saja. Pekerja-pekerjanya duduk bersantai saja tanpa melakukan apa-apa.

“Aku tak buat semua tu. Aku berani bersumpah bang. Lagipun mana bukti aku yang buat semua tu?”

“Aaahh! Kau jangan banyak alasan. Mana ada orang mengaku buat jahat kan. Dulu kau terbongkok-bongkok di belakang restoran aku sebab ada sesuatu yang kau tanam di situ. Supaya perniagaan aku musnah. Kau fikir aku tak tahu. Cari kunci konon!”

Pak Dil meludah ke tanah. Ikutkan hati dia mahu ludah ke muka Borhan yang pura-pura baik di depannya.

Sekali lagi Borhan beristighfar. Dia menggeleng-geleng kepala sambil tergelak besar. Alahai, kunci dia rupanya yang telah berbuat onar. Melihat Borhan tergelak, d***h Pak Dil menggelegak. Dicapainya sebatang penyapu yang tersandar di dinding. Mak Wan yang sejak tadi hanya melihat pertikaman lidah Suaminya dan Borhan segera berlari merampas penyapu tersebut sebelum penyapu itu hinggap di badan Borhan.

“Hei, kau pula dah kenapa? Kau berpihak pada mereka ke? Pemuja syaitan ni harus dihapuskan dari muka bumi ini. Nanti tak pasal-pasal orang lain pula yang kena. Busuknya hati mereka ni. Lebih busuk dari bangkai.” Kata Pak Dil sambil menepis tangan isterinya. Kalau bukan kerana tindakan isterinya sudah lama batang penyapu itu hinggap di kepala Borhan.

Orang ramai sudah berkerumun melihat pertengkaran Pak Dil dan Borhan. Masing-masing membuat andaian sendiri. Ada yang berpihak pada Borhan dan tidak kurang juga yang menyebelahi Pak Dil.

“Siapa yang busuk hati sangat macam bangkai tu?” Satu suara garau kedengaran dari celah-celah manusia yang berkumpul di situ. Semua mata memandang ke arah datangnya suara itu.

“Ini urusan aku dengan dia. Kau jangan masuk campur.” Kata Pak Dil sebaik saja melihat wajah Pak Basir. Pak Basir cuma tersengih macam kerang busuk.

“Kasihannya kau Dil, orang lain yang punya angkara orang lain yang kau tuduh. Lelaki sebaik Borhan tu kau kata berhati busuk macam bangkai. Jadi kau tu berhati suci dan mulia sangatlah.”

“Apa maksud kau?”

“Maksud aku, bukan Borhan yang buat kau merana macam ni. Tapi orang lain.” Jawab Pak Basir sambil merenung anak mata Pak Dil.

“Hah! Kau tahu siapa orangnya? Cepat bawa aku ke tempat orang tu. Biar aku ganyang dia cukup-cukup!”

Pak Dil mengepal penumbuk. Sudah tidak sabar rasanya tangan dia hinggap ke muka orang yang bertanggungjawab membuatkan dia sengsara menahan gatal, sakit-sakit satu badan. Diganggu lembaga hitam dan menjahanamkan bisnesnya.

“Tak payah pergi jauh-jauh. Di sini pun kau boleh ganyang dia cukup-cukup. Biar buku bertemu ruas.”

“Mana orangnya? Mana?” Pak Dil mula hilang sabar. Matanya liar melihat sekeliling menatap wajah-wajah yang ada di situ tapi Pak Dil tidak dapat mengenal pasti orangnya.

“Hahahahaha!”

Pak Basir ketawa terbahak-bahak melihat Pak Dil tidak keruan macam cacing kepanasan.

“Janganlah gelakkan aku bodoh! Orang tengah susah ni kau tau tak?” Bentak Pak Dil. Terjegil biji matanya memandang ke arah Pak Basir yang belum habis tawanya.

“Hah, macam ni lah manusia. Bila sudah hidup senang, banyak duit, dia dah mula lupakan kawan. Kawan yang banyak membantu dia dikala susah. Bila kawan tu susah, perlukan pertolongan dia hanya dipandang sebelah mata saja. Kadang langsung tak dipandang. Kasihan kawan tu, dijanjikan bulan bintang tapi akhirnya dia diberi racun. Anak kawan tu sakit, masuk wad beberapa hari. Bil mahal, lain lagi harga ubatnya. Akhirnya anak itu pergi meninggalkan keluarga dia untuk selamanya kerana tidak cukup wang untuk membeli ubat. Memang sudah ajalnya, tapi kawan tu kesal sangat kerana kawannya yang seorang itu langsung tidak membantu.”

Terkebil-kebil mata Pak Dil memandang wajah Pak Basir. Lama dia termenung akhirnya dia mula faham.

“Jadi, kau yang buat aku begini Basir? Sampainya hati kau buat kawan sendiri macam ni.” Suara Pak Dil bertukar nada. Dia meraup wajahnya. Sungguh tidak disangka kawan sendiri yang punya angkara.

“Selagi kau tak lunaskan hutang itu, selagi itulah sakit dan gangguan itu tak akan hilang. Maafkan aku Dil. Aku bertindak kejam begini supaya kau sedar diri.” Pak Basir terus melangkah dan hilang di celah-celah orang ramai.

Pak Dil duduk melutut di atas simen, dia menangis tersedu-sedu. Sungguh sekarang ini dia menyesal, namun nasi sudah menjadi bubur. Dia sudah mendapat balasan di atas kesilapannya sendiri. Borhan yang tidak faham cerita sebenar hanya mampu menepuk-nepuk bahu Pak Dil menyuruhnya bersabar.

TAMAT

Karya: June@Umiayra Aqila

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 19 Average: 3.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.