Beres Getah

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih pada FS jika sekali lagi terpilih kisah saya ni untuk dikongsi bersama pembaca.

Sekali lagi saya diberi peluang dan kesempatan untuk berkongsi kisah ibu saya. Sebelum ini saya dah kongsikan pengalaman Pokde ibu saya yang hilang hampir 2 bulan, seperti yang diceritakan oleh ibu saya. Kali ini, saya ingin kongsikan pengalaman ibu saya bersama sepupu-sepupunya ketika mereka kecil. Kisah ini berlaku sebelum Pokde hilang, ketika itu ibu berusia lebih kurang 10 tahun.

Sepanjang ibu tinggal bersama Pokde, setiap hari Selasa, malam Rabu, ibu dan sepupu-sepupunya akan berjalan kaki pergi mengaji dengan Mak Mah. Mak Mah, seorang nenek tua yang tinggal bersendirian setelah suaminya hilang di hutan. Ada orang kata suaminya d*****h komunis, tapi tiada siapa yang pasti. Anak-anaknya sekali-sekala akan datang bertandang untuk menjengah ibu mereka. Faham-faham lah keadaan pada zaman itu, hanya yang betul-betul berada mampu untuk memiliki kenderaan, jadi bila sudah merantau, memang menjadi kekangan untuk selalu pulang menjengah.

Mak Mah mengajar mengaji setiap malam, kecuali Khamis, malam Jumaat kerana dia akan ke surau untuk aktiviti bacaan Yassin dan kuliah agama dari guru agama jemputan, namun dia menghadkan muridnya dalam 3 ke 5 orang setiap malam, dapat diajar lebih katanya dan lebih mudah budak nak faham. Jadi, anak-anak yang belajar dengannya akan berpecah mengikut kumpulan hari dan selalunya setiap kumpulan itu sama ada adik-beradik atau jiran berdekatan rumah.

Balik semula kepada kisah ibu saya. Selalunya ibu akan berjalan kaki bersama Long, Itam, Acik, dan Busu untuk pergi mengaji. Mereka selalunya akan bergerak sebaik sahaja selesai solat Maghrib dan pulang sekitar pukul sembilan ke sepuluh malam, bergantung kepada kelancaran mereka belajar pada malam itu. Dalam perjalanan mereka ke rumah Mak Mah, mereka akan melalui bangsal beres getah. Jika pada petang itu ada yang meletakkan getah beku yang telah dikutip di situ, memang baunya sangat menusuk kalbu.

Pada hari kejadian, Long tidak ikut bersama, kerana sakit perut, banyak sangat makan buah duku. Ibu seperti biasa, selesai solat Maghrib, bersama yang lain bertolak ke rumah Mak Mah. Sebagai yang paling tua (sebab Long tak ikut malam tu), ibu mengetuai perjalanan mereka pada malam itu. Sebagai ketua, ibu perlu berjalan di belakang bagi memastikan tiada adik-adik yang keciciran, Itam mendahului mereka di hadapan dan bertanggungjawab untuk membawa andang kelapa untuk menyuluh jalan mereka sambil menghalau nyamuk. Ibu dan Acik berjalan dengan berpandukan andang kelapa Itam, namun mereka juga ada membawa pelita sendiri. Busu bertanggungjawab untuk membawa beg dari guni yang berisi Al-Quran dan Muqaddam mereka.

Perjalanan ke rumah Mak Mah begitu lancar. Cahaya bulan pun terang mempermudahkan lagi mereka menapak ke sana. Malam itu, mereka habis mengaji lewat gara-gara si Itam yang tersangkut bacaannya. Memang menjadi rutin Mak Mah, dia tidak akan melepaskan mereka pulang selagi bacaan ayat suci masih belum lancar.

Mereka hanya pulang setelah lewat sepuluh malam. Waktu itu, kawasan kampung Pokde memang dah sunyi yang amat. Orang-orang yang selalunya berkumpul bersembang di surau pun dah habis pulang ke rumah masing-masing.

Ibu membebel-bebel marahkan si Itam kerana membuat mereka semua pulang lewat. Busu sudah mula terpisat-pisat matanya kerana mengantuk. Mereka berjalan lebih laju dari biasa kerana ingin segera sampai ke rumah.

Perjalanan mengharungi kawasan kebun getah dan dusun bukan satu pengalaman yang seronok bila dah lewat malam. Pokok-pokok getah, durian yang rimbun meninggi, walaupun cahaya bulan terang, namun tetap kelam dan sunyi akibat dilindung dedaun yang merimbun.

Lebih kurang sepelaung dari beres getah, ibu terdengar bunyi kucing mengiau.

“Icah, ko dengar tak bunyi kucing tu? Kucing siapa la terlepas memalam ni,” tegur si Acik.

“Mana ada rumah orang kat sini. Kan kita dah lepas rumah Wak Siman, lepas beres getah ni jauh lagi baru jumpa surau,” tingkah Itam.

Dalam tak sedar, rupanya mereka kehilangan Busu. Ibu baru perasan bila dia hendak mengambil mancis dari beg bagi menyalakan lampu pelitanya yang terpadam.

“Oii korang. Busu mana?” ibu terjerit kecil.

Kalut mereka memanggil dan mencari Busu. Tiba-tiba, si Busu muncul dari semak berhampiran.

“Mana ko pergi ha budak kecik. Jangan merayap boleh tak. Kita ni dah la dah lambat. Ko nak makan batang paip apa!” marah ibu.

“Busu pergi cari kucing tu, kesian dia lapar nanti. Itam jugak kata kat sini takde rumah orang. Itu yang Busu nak kutip bawak balik, mesti ayah suka nanti,” jawab si Busu dengan muka naif selayaknya anak kecil. Si Busu ni baru 6 tahun.

“Ko jumpa tak kucingnya?” Si Itam bertanya. Busu menggelengkan kepalanya.

Ibu menggesa mereka untuk meneruskan perjalanan. Bunyi kucing mengiau semakin jelas kedengaran bila mereka semakin menghampiri bangsal beres getah. Tiba-tiba, dalam kesamaran cahaya bulan, ibu ternampak satu objek putih terdampar di atas pangkin di dalam bangsal itu. Ibu beranggapan itu adalah bungkusan getah beku yang diletakkan oleh penoreh di sana, namun tiada bau “harum” yang kebiasaanya akan menusuk hidung jika ada yang meninggalkan getah beku di sana.

Perlahan-lahan, objek putih itu bergoyang. Ibu dan sepupu-sepupunya semakin menghampiri bangsal dan tiba-tiba objek putih itu tegak berdiri.

“POCONGGGGGGGG!!!!!!!!!” Ibu, Itam, Acik, dan Busu berteraburan lari tak cukup tanah. Andang kelapa entah ke mana, pelita entah ke mana, beg guni tu pun entah ke mana. Dalam keadaan takut dan kalut itu, memang jelas kasih si Itam pada adiknya, melihat Busu yang semakin ketinggalan, Itam memikul adiknya itu di bahu untuk dibawa berlari.

Ibu sempat menoleh ke belakang dan dia perasan seolah-olah pocong itu sedang berusaha untuk melompat ke arah mereka. Dalam ketakutan, ibu terus memecut sambil memejamkan matanya. Acik sudah tak nampak bayang, sebaik sahaja ternampak pocong tersebut, dia orang pertama yang melulu meninggalkan mereka.

Sampai di rumah, Pokde sedang menanti mereka di muka pintu. Malam itu masing-masing dapat hadiah tali pinggang sebab balik lewat serta hilangkan pelita dan beg.

Keesokkan harinya, Long, Itam, Acik, dan ibu memberanikan diri ke bangsal beres getah untuk mencari barang mereka yang entah ke mana dicampak. Pada pendapat mereka, siang hari takkan pocong tu ada lagi. Lagipun biasanya petang hari ada orang di sana yang sedang memproses susu getah untuk di gelek.

Mereka dapat kembali beg guni yang berisi Al-Quran dan Muqaddam, namun pelita mereka, mereka tinggalkan sahaja, tak sanggup nak ambil kerana disaluti selut yang berbau busuk hanyir.

Mereka bercerita pada pakcik yang sedang bekerja di bangsal itu tentang kejadian malam itu. Menurut pakcik tu, dulu memang ada khabar angin pasal pocong di bangsal itu, tapi dah lama menyepi. Dan dari perkongsian orang yang pernah terserempak, mereka pun sama dengar bunyi kucing mengiau sebelum pocong itu muncul.

Ibu dan sepupunya hanya berharap supaya mereka tidak terserempak lagi dengan pocong tu sebab nak tak nak, kelas mengaji tetap kena pergi kalau tak mahu hadiah batang paip. Cuma mereka berazam untuk belajar dengan lebih bersungguh supaya mereka dapat pulang awal.

Sekian sahaja untuk perkongsian kali ini. Maaf di atas sebarang kekurangan dalam penceritaan dan jika ada ruang kesempatan yang lain, saya akan cuba kongsikan lagi pengalaman ibu saya.

Sekian,
Makcik Otomen

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]
Makcik Otomen

10 thoughts on “Beres Getah”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.