Nama aku Laila, gadis berusia 16 tahun yang dibesarkan dalam kekeliruan tanpa kasih seorang ayah dan ibu kandung. Ibu sudah enam tahun menghilang, mungkin sudah meninggal atau masih lagi hidup. Aku sendiri tidak tahu. Ketika malam sebelum ibu menghilang, ibu berkelakuan aneh.
Ah! Aku tak dapat melupakan peristiwa tersebut walaupun ketika itu aku masih berumur 10 tahun. Kini dalam rumah agam yang berusia 100 tahun ini, hanya ada aku dan mama. Kasih mama membuatkan aku lupa kesunyian tanpa ibu. Cuma ayah sahaja yang jarang ada. Rindukan perhatian ayah namun tiap kali diri ayah pulang, dia cuma menyendiri. Tanpa sekalipun bibirnya mengukir senyum. Larat dengan peristiwa dulu. Mungkin.
Tik..Tik..Tik..Tik..Tik..Tik..
Jarum jam berdetak dalam kesunyian. Jam 2 pagi ketika ini. Dingin rasa suhu kamarku. Dingin yang luar biasa. Ini adalah petanda sama yang berulang, tiap kali malam Jumaat keliwon tiba. Bertemankan lampu tidur aku duduk berteleku di atas katil. Tak sedap hati mahu teruskan tidur. Bagai diri di perhati dari jauh. Seolah diriku di kepung oleh sesuatu.
Tik..Tik..Tik..
Ah! Aku capai jam di dinding lalu aku pekup dengan bantal. Bunyi detak jarumnya cuma menambahkan lagi rasa seram.
Degummmm..
Bunyi pintu di bahagian bawah di hempas kuat. Ia sudah bermula. Kedengaran pula bunyi orang berlari dan bergelut di bawah. Dup Dap jantung aku. Lantas aku berlari ke arah pintu bilik. Mujur sudah berkunci. Aku memeriksa whatsapp yang mama hantar jam 9 malam tadi.
‘Laila, ingat jangan sesekali keluar malam ni. Kunci bilik, kunci tingkap. Malam ni malam keliwon. INGAT!!!’
Itu mesej yang sama di hantar mama sebagai peringatan setiap kali malam keliwon muncul. Aku diharamkan keluar dari bilik selepas jam 10 malam. Nasib baik bilik aku sudah tersedia bilik air. Kalau tak, bagaimana aku akan bertahan jika datang panggilan alam?
Aku memandang ke arah tingkap. Ada dekorasi aneh yang diletakkan oleh mama. Besi grill tingkap itu mama hias dengan kayu berduri yang di awet. Kata mama cantik, pada aku pelik.
Arrrghhh…arrrghhh…arrrghhhh.
Sekali dengan bunyi seperti burung gagak. Jika diamati, ianya bunyi suara wanita menjerit sakit. Kasar dan nyaring. Tapi aku tahu, itu bukan suara milik mama.
Argghhhhhhhh.. sekali lagi kedengaran.
Arghhh..Arghhhhhhhhhhhh.. sekali lagi kedengaran bersama bunyi pergelutan. Seram.
Grummmm …Grummmmm… Arghhh..
Tiba-tiba kedengaran pula bunyi mesin gergaji pokok serentak bersama jeritan nyaring.
Tidak beberapa lama keadaan diam semula. Sepi. Aku tidak tahu perang apakah yang sedang terjadi di luar sana. Apa yang mama sedang buat? Mengapa mama menegah aku keluar? Adakala jiwa ini memberontak mahu tahu, tetapi ketakutan melebihi segalanya. Kadang takut juga, kalau mama sebenarnya pembunuh bersiri.
Pagi tatkala sang suria mula tersenyum di bibir bukit bukau, aku turun daripada bilik yang berada di tingkat atas. Terus kaki melangkah ke ruangan dapur. Mama kelihatan cantik siap bersanggul dan berkebaya biru. Memang itu pakaian rutin mama. Wajah yang cantik sentiasa berhias. Cara mama mirip arwah nenek. Nenek yang turut aku panggil mama sewaktu ketika dulu.
“Sayang mama, makan dulu ya. Mama nak buang sampah.” Ujar mama dengan suara seraknya.
Selesai mama menggoreng nasi untuk sarapan, terus mama menghilang. Meninggalkan aku di dapur.
Streeett…streerttt.. streetttt…
Tiba-tiba..Bunyi beg plastik di heret. Kelihatan mama sedaya upaya mengheret beg plastik hitam melalui dapur hingga ke belakang. Aku biarkan saja. Sudah tahu setiap kali mahu menolong mama mengangkat beg plastik itu, mama pasti menegah keras dan setiap kali aku menghampiri plastik itu mama pasti marah. Ya apabila tiba pagi Jumaat, itu rutin mama, dia akan menarik keluar beg plastik hitam dari bilik sejuk lalu di masukkan ke dalam kereta, katanya mahu terus di buang ke tempat pelupusan sampah. Apa ada di dalamnya? Masih misteri.
“Sayang mama dah siap?” Mama datang sambil tangannya membetulkan ikatan rambutku. Aku mengangguk senyum. Bersedia ke pusat tuisyen.
Kaki melangkah keluar dari kereta mama. Mata aku hanya mampu menunduk. Tak mampu berhadapan dengan pandangan sinis rakan-rakan. Sungguh manusia hanya tahu menghukum. Seolah keputusan siapa yang bakal masuk ke syurga atau neraka berada dalam genggaman mereka.
“Laila, abaikan mereka semua tu. Sayang mama belajar baik-baik ya. Bagi pandai, jadi saintis boleh kita cari ibu.”
Itulah kata yang sama terbit dari bibir merah mama setiap kali aku mula rasa lemah semangat. Aku mengangguk. Lalu mencium tangan mama yang lembut. Sempat mama membalas pandangan sinis rakan aku dengan jelingan mautnya. Serentak dengan itu, mama berubah riak wajah masam tatkala cikgu Angle muncul. Dua sahabat itu masih belum bertegur sapa. Mama masih merajuk apabila Cikgu Angle menegur cara hidup mama. Kadangkala mama agak sensitif. Walau mama begitu, namun mama tak pernah ganggu hidup sesiapa. Tiada siapa faham mengapa mama begitu.
Petang menghampiri senja. Kesuraman mula melanda diseluruh sudut rumah. Setelah sekian lama aku menunggu mama datang mengambil aku sejak tengahari tadi, tetapi bayang mama pun tak muncul-muncul juga. Mujur Cikgu Angle sudi menghantar aku pulang dan aku bernasib baik kerana pernah membuat kunci pendua rumah.
Ke mana pula mama pergi? Bersendirian di dalam rumah agam ini membuatkan aku bertambah sunyi. Aku melangkah ke bilik dengan menaiki tangga. Seram, seolah diri diperhatikan oleh sepuluh pasang mata. Di dinding bahagian tangga tergantung sepuluh potret moyang sejak zaman British. Semuanya moyang wanita sebelah ibu. Setiap riak wajah di dalam potret menggambarkan pemiliknya seperti berperwatakan garang.
Aku melajukan langkah meninggalkan ruangan itu. Ustaz di sekolah pun sudah pesan jangan menggantung sebarang gambar manusia walaupun hanya potret yang dilukis. Tapi mama degil.
Hati aku tidak sedap. Bagai malapetaka sedang menuju ke sini. Seolah-olah dia tahu pelindungku tiada. Tanpa mama, bagaimana harus aku lalui? Aura keseraman yang sama seperti malam semalam iaitu malam keliwon, bagai menyelubungi seluruh perkarangan luar rumah. Langit senja sudah beransur gelap. Guruh di langit berdentum. Hujan bakal turun kali ini.
Selepas Maghrib berlalu.
Aku duduk di atas sejadah sambil membaca Yasin. Alhamdulillah sekurangnya hati mula rasa tenteram. Saat ketakutan begini, aku sering bayangkan berpuluh malaikat datang mengawal aku seperti ninja apabila membaca ayatul kursi atau doa pendinding lain. Hilanglah sedikit rasa takut.
Ribut melanda di luar. Guruh masih belum penat berdentum di langit. Kedengaran bunyi hentakan. Seolah-olah pintu di ruang tamu di hempas. Aku berlari keluar, teruja mungkin itu mama. Turun bersama tangan masih memegang senaskhah surah Yasin. Benar, pintu ruang tamu terbuka. Angin laju menerpa masuk, dingin terasa hingga ke tulang. Aku turun dan terus menutup pintunya.
Di lantai kini kebasahan, siapa pula yang masuk? Aku sempat memandang ke luar. Aneh kereta mama tiada. Mula hatiku tidak enak. Lantas aku berlari naik semula ke tangga menuju ke bilik.
Sebaik sampai ke tingkat atas, di bahagian kiri terletaknya bilik mama. Bilik aku pula berada di bahagian kanan rumah, sebelum sampai ke bilik aku, harus aku berjumpa dengan bilik mama dahulu.
Gatal mataku mahu memandang ke arah bilik mama. Di dalam gelap dengan sedikit bantuan cahaya, kelihatan juntaian rambut di sisi pintu dengan sepasang mata merah bersinar.
“Laila..Laila anak ku..” Suaranya perlahan namun masih boleh didengari.
Lantas makin kuat jantung ku mengepam d***h. Aku berlari menuju ke bilik lalu mengunci pintu. Hampir saja tersembam. Saat ini, aku rasakan hanya bilik ku saja tempat paling selamat. Aku duduk di atas katil. Suara panggilan kian menghampiri. Seolah sang lembaga berdiri di muka pintu bilik aku kini.
Aku mula membaca Yasin. Yakin hanya ini saja yang mampu menolong aku. Allah sebaik-baik pelindung. Pintu mula di ketuk bertalu-talu seolah dia marah dengan bacaan aku. Dua kali aku mengulang membaca Yasin dengan nada separa kuat melawan suara guruh di langit. Dia yang marah kini merintih.
“Sayang ibu.. anak ibu..ini ibu..” Suaranya sayu.
Jantungku berdegup. Tatkala dia menyebut ‘ibu’. Ibu? Adakah itu ibu? Ibu dah pulang?
“Bukalah pintu..ibu menunggu mu..”
Serentak handphone berbunyi. Tertera nombor asing.
“Assalamualaikum saya inspektor Ismail, ini rumah Ahmad Syauqi?” Suara garau lelaki.
“Walaikumussalam, ya saya, ini anak dia.” Jawab aku.
“Erm..ayah kamu ada di hospital. Dia didapati tidak sedarkan diri ketika berada di dalam kereta di tempat pelupusan sampah.” Ujar lelaki itu.
Mama apa pula jadi dengan mama?
“Macam mana ayah saya, teruk ke dia?” Sebak nada aku.
“Ayah kamu okey tak ada yang serius. Mungkin penat saja. Esok datang melawat ya. Kami Cuma nak beritahu saja.” Ujar lelaki itu.
Aku terkelu. Dengan hujan ribut di luar dan si dia pula masih setia menunggu di luar. Manakan sanggup aku keluar berjumpa mama di hospital?
“Laila..Laila..Laila..” Suara yang ku kenal memanggil.
“Laila..Laila.. Ini Cikgu Angle. Laila..Laila.. cepat kita pergi tengok ayah..” Sekali lagi suara wanita india itu memanggil namaku.
Tanpa ragu-ragu aku membuka pintu. Menjenguk ke luar. Tiada sesiapa. Lalu aku menapak keluar. Tiba-tiba sepantas kilat pintu bilikku dihempas. Aku cuba membuka semula pintu, namun gagal. Bagai pintu itu dikunci dari dalam.
“Darahmu kekuatanku, darahku dan darahmu bersatu..Penyambungku..” Suara wanita yang entah di mana kedudukannya.
Aku berlari turun ke bawah. Namun langkahku terhenti. Dia yang mirip ibuku berdiri di hadapan pintu utama. Tersenyum dan tajam memandang. Ibu memakai gaun tidur yang sama ketika malam sebelum dia menghilang. Rambutnya beralun panjang di lepaskan hingga ke paras pinggang.
“Laila jiwaku, mari.. ini ibu.” Ibu bersuara sambil tangannya di hulur ke depan.
Sepuluh pasang mata dalam gambar moyang ku juga tajam memandang ke arahku. Seolah-olah gambar itu hidup. Mataku dan tubuh ku bagaikan terpaku. Langkah demi langkah ibu menapak ke arahku. Kini dia begitu dekat. Tangannya membelai wajahku.
“Anak ibu dah besar..” Mama tersenyum lembut. Namun sepasang matanya tersirat seribu satu rahsia.
Ibu mendekati lagi, mahu memelukku. Aku pula bercampur baur. Antara rindu mahu di peluk dan takut. Betulkah ini ibu?
Serentak handphone aku berdering. Panggilan daripada mama. Aku melangkah ke belakang, menjauh sedikit daripada ibu.
“Laila, kamu jangan keluar bilik.. Laila dengar tak ni apa mama cakap?” Tegas nada mama.
“Mama..” Hanya itu terpacul dari mulutku.
“Kamu..kamu di mana?” Mama menyoal cemas.
“Ibu dah pulang mama..” Kataku
“Laila lari..lari Laila..masuk dalam bilik mama cepat. Dia bukan ibumu lagi. Guna peda..”
Talian terputus. Ibu ketawa sinis lalu ketawa mengilai sambil mata tak lepas memandang aku tajam. Wajah ibu bertukar biru, anak matanya mengecil seperti kucing dan gigi ibu mula bertukar tajam. Pantas lehernya memusing. Hilaian masih tidak berhenti.
Lantas aku berlari masuk ke dalam bilik mama. Pintu dikunci.
“Laila..Laila..anak ku.. penyambung ku..ini ibu..ini ibu..ibu mu..mahukan d***h mu.” Lanjut suara ibu.
Aku menangis. Terketar tangan sambil terduduk. Pintu bilik mama diketuk bertalu-talu. Makin lama makin ganas seolah dia mahu merobohkan pintu. Berselang seli dengan ketawa dan panggilan namaku. Pintu itu bergegar, hampir saja roboh. Kuatnya tenaga dia. Segala ayat Al-Quran yang terbit dari bibirku berterabur. Ketakutan seratus peratus menguasai diri.
“Allah..Allah..Allah..Allah..” Hanya itu yang mampu walau suara ku bagai tersekat di tekak. Sambil memejam mata, aku ulang kalimah agung itu. Tangan dan tubuh menggigil.
Tidak lama kemudian.
“Syaitan laknat..” Suara garau mama memecah kesunyian.
Kedengaran bunyi pergelutan.
Aku lantas membuka pintu. Ragu-ragu andai segalanya cuma helah dia.
Kelihatan mama memegang pisau pemotong daging. Lengan mama sudah berdarah dek diserang balan-balan berwajah ibu.
“Malam ini.. dia bakal aku ambil. Serahkan saja Laila.” Bibir balan-balan yang bergerigi mengukir kata sambil terawang ke kiri dan kanan.
“Tidak sekali-kali. Kali ini aku tak tegar kau m******h sesuka hati. Kau pengacau keturunan aku sejak dulu. Sepatutnya aku b***h kau ketika aku hidup lagi.” Kali ini suara mama lebih mirip seperti suara arwah nenek.
Balan-balan mengilai. Diikuti suara tawa daripada sepuluh potret moyang.
“Waktu kau hidup, kau sendiri menerima aku. Bila anakmu besar dia rela menjadi pendamping ku. Aku perlu cucu mu ini untuk korban. Agar anakmu makin kuat.”
Balan-balan bersuara cuba menghampiri aku. Cepat sahaja mama bertindak, pisau dihunus ke perut balan-balan yang berselirat. Tetapi tiada apa yang terjadi. Kebal.
Seiring balan-balan berwajah ibu cuba menyerang, mama jatuh tersungkur. Walaupun tanpa tubuh sempurna, syaitan itu masih kuat.
“Laila ambil pedang duri mengkuang di tingkap bilik kamu. Hanya kamu boleh memusnahkan dia.”
Senjata warisan sejak zaman dahulu lagi kini dalam tanganku. Aku melangkah keluar daripada bilik. Bunyi pergelutan tadi sunyi. Aku mencari kelibat mama. Takut mama diapa-apakan.
“Mama..mama..” Laung aku.
Atau mungkinkah tubuh mama sudah diambil alih oleh ayah semula?
Diam tak bersahut. Hanya ada d***h menitis dari luar bilik mama hingga ke dalam biliknya. Berdebar-debar aku masuk. Air mataku bergenang. Tubuh mama terkulai. Sang balan-balan menghisap d***h di leher mama dengan rakus. Dia menoleh memandang ku dengan senyuman jijik lalu kembali menghisap d***h di leher mama. Tegarnya dia, mama atau ayah, hanya itu saja ahli keluarga yang aku ada.
Rasa dendam mula berapi.
“Tak guna..tak guna..tak gunaaaa..”
Aku memukul balan-balan dengan duri mengkuang yang ada dalam genggaman ku. Bertalu-talu pukulan aku. Diriku sudah hilang kewarasan.
“Henti..henti..henti.. ini ibu mu.. “
Suara itu merintih sakit. Namun tidak ku endah. Aku memukul dan terus pukul walau dia cuba melarikan diri. Terpercik d***h dan segala kekotoran dari perutnya yang berselirat. Biar seluruh anggota yang tergantung itu pecah. Makin lama dia makin lemah. Terduduk ke lantai. Matanya berkelip-kelip memandang aku. Ada juraian air mata menitis. Kelihatan jantungnya yang berdenyut perlahan itu mula bertukar biru.
“Maafkan ibu Laila. Ibu tak mampu mengawal rasa dahagakan d***h mu.” Kata terakhir dari bibir seorang Ibu sebelum pergi. Mata ibu terbuntang dan mulutnya ternganga.
Aku terduduk menangis. Segala yang berlaku malam ini luar jangkauan mindaku. Hidupku tak normal seperti gadis lain.
Esoknya.. Di hospital.
Cikgu Angle duduk di sisi aku dan ayah. Dia masih belum mampu menghadamkan apa yang terpapar di hadapan matanya semalam. Salah aku juga, aku yang menghubungi Cikgu Angle semalam selepas habis babak pertarungan. Tiada siapa yang aku kenal untuk aku meminta bantuan. Hanya wanita india itu sahaja yang terbayang di minda.
Ayah juga sudah sedarkan diri tetapi masih lemah dengan sebotol d***h disambungkan ke lengan ayah. Ayah kini adalah ayahku, bukan lagi mama. Jelmaan mama yang merasuk tubuh ayah selama ini, hingga ayah mengalami kecelaruan personaliti sebenarnya adalah jelmaan nenek yang mahu menjaga diriku. Kini jelmaan itu sudah tiada, mungkin turut sama pergi selepas tamatnya riwayat syaitan durjana yang menguasai jiwa ibu.
Cerita ayah, setiap kali malam keliwon. Ibu sebagai balan-balan akan datang mencari ku. Menuntut d***h ku dan mama akan cuba membunuhnya demi melindungi diriku. Namun balan-balan itu akan hidup kembali dan datang semula pada malam keliwon seterusnya.
Hanya aku sahaja yang mampu membunuhnya dengan tangan ku sendiri menggunakan senjata warisan moyang. Tetapi malam semalam, walaupun bukan malam keliwon, ibu berjaya muncul. Mungkin dia tahu ayah ditahan di wad, itu sebab dia berani datang. Tetapi syukur kini segalanya berakhir, walau diriku bakal rindu kehadiran mama.
Selepas sebulan.
Malam ini sunyi seperti selalu, kerana hanya aku dan ayah sahaja yang mendiami rumah besar ini. Niat aku mahu turun ke bawah kerana dahaga. Kelihatan bilik bacaan yang dijadikan ayah sebagai biliknya menulis dan mendapat sumber inspirasi terbuka sedikit pintunya. Aku menapak ke situ.
Jantung ku berdegup laju. Kelihatan tubuh ayah tanpa kepala, mengeras menghadap ke jendela bilik yang terbuka.
“Ayah???..”
==============
Tak faham jalan cerita?
Siapa mama?
Siapa ibu?
Mama itu jelmaan nenek yg merasuki tubuh ayah. Sebab itu ayah mengalami kecelaruan identiti. Jadi mama iti adalah watak ayah. Kejap ayah kembali jadi dirinya,dia cuma murung dalam bilik. Bila ayah jadi watak mama, dia pakai macam perempuan persis gaya arwah nenek. Nenel tu mak kandung ibu. Siapa ibu? Ibu adalah mak kandung kepada watak aku. Keturunan ibu dan nenek ada saka atau ilmu jadi balan2 (penanggal) ilmu di turunkan kepada ibu, entah silapnya di mana ibu mendambakan d***h anak kandungnya sendiri dengan alasan untuk menguatkan dirinya bila bersatu dengan anaknya(watak aku).
Boleh ke balan2 lelaki?
Berdasarkan apa yang aku baca, ada balan-balan lelaki di sabah.
Di akhir cerita ayah pula jadi balan2. Apa pendapat korang? Kenapa jadi macam tu?
Pembaca FS yg lama tak baca Syah Hakimi boleh lawat Fb saya. Syah hakimi di FS hingga bab 5 sahaja. Saya ada update Syah Hakimi bab 6. Itu yg terakhir di media sosial.
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
ada sambungan ke? rasa macam tak habis je cerita ni.
X de sambung. Cerita tamat tatkala watak aku melihat tubuhnya ayahnya tanpa kepala. Saja tingl tanda tanya di situ.
Pehh.. jalan cerita macam filem “evil dead”..
Pening juak
Sorry kalau msih pening..penulis bru nak belajar tulis crita yg tak begitu straight to the point sgt.
Thank you.
rs nyer nak kena polish lagi nie. Sbb there’s a hug question mark.
kau bengap sebab tu kau tak faham.. cerita ni tak straight to the point tapi bagi aku cerita ni dah bagitahu semua yang menjadi persoalan.. orang2 yang slow lembam je tak mampu hadam.. hewhew..
xde ape lagi soalan dalam cite ni.seme penulis da terangkan.ko je xpepaham. sian ko dik.
Hebat gaya penulisan. Ibarat penulis profesional. Teruskan usaha
Best
best~
Mengapa U dibesarkan dalam kekeliruan?
U sejenis Nur Sajat ke???
I bagi 2 bintang sbb I tak baca habis. I nak kuar pi ceramah UMNO…
okay tq cerita kecelaruan identiti
ayah dia jadi balan-balan sebab kena gigit dengan ibu dia sbelum tu ke? #tanyaje #jangankecam
nah rating, lupa plak hehe. best!