Bila Raja Gunung Marah

Assalamualaikum para pembaca FS yang budiman. Cerita yang ingin aku coretkan ini adalah perkara sebenar yang telah terjadi kepada diri aku dan rakan-rakan. Aku pun masih dalam fasa percaya tak percaya je. Terpulang pada anda untuk mempercayai atau tidak dan kalau bosan harap jangan marah ye. Cerita ini agak panjang.

Perkara ini terjadi pada sekitar tahun 2014. Suatu hari, cuti umum, aku dan rakan-rakan bercadang untuk bermandi-manda di sebuah air terjun dalam sebuah felda. Kami terdiri daripada 5 orang perempuan dan 3 orang lelaki menaiki dua buah kereta bertolak menuju ke kawasan tersebut sekitar jam 8 pagi. Perjalanan yang hanya memakan masa satu jam, menyebabkan kami berasa teruja untuk perkhelahan kami yang tidak seberapa ini. Masa ni kami baru awal 20-an, berjiwa anak remaja. (Pada ketika ini, aku, Mila dan Hani datang bulan, namun kami tetap berkeras nak mandi juga).

Selang beberapa hari, kami semua berkumpul di rumah Mila untuk makan tengahari. Biasalah kami berkumpul lelaki dan perempuan sambil berbual. Sedang berbual, Mila mula membuka cerita bahawa sejak dia mandi di air terjun tersebut, setiap malam perutnya dicakar-cakar dan terasa ditindih. Memang ade kesan cakar yang banyak di bahagian perut Mila. Intan juga tidak terkecuali bercerita. Intan memiliki pancaindera keenam, di mana dia boleh merasa kehadiran perkara-perkara ghaib ini dan dia juga mengatakan dia dijaga oleh seorang puteri. (Aku tak sure apa, sebab aku kurang percaya perkara ghaib ini). Hani, Dila dan aku tidak mengalami apa-apa kejadian pelik. (Dila ini ada sekali masa pergi air terjun tu.). Yang geng lelaki, Mirul, Man dan Mie, aku lihat diorang rileks sahaja seperti percaya dan tak percaya.

Sedang berbual-bual pasal cakaran di perut Mila, aku dapat panggilan dari Ana. (Ana ni kawan kami, tapi dia tak pergi air terjun tu.) Ana ini agak pelik sikit, sebab dia pun macam Intan, ada pancaindera yang keenam, dan Ana ini lemah semangat dan tubuh dia mudah dimasuki makhluk ghaib. Dia beritahu kami suruh balik rumah masing-masing, jangan lepak kat rumah Mila lagi. Nada Ana beritahu ini dalam keadaan nangis-nangis. Aku pelik dan aku letak telefon. Aku beritahu rakan-rakan yang lain. Tapi masing-masing buat tak tahu.

Dalam 10 minit lepas tu, aku dapat panggilan lagi dari Ana. Tapi suara Ana dah bertukar, suara garau dalam nada marah. Dia marah aku suruh aku dan rakan-rakan lain minta maaf. Aku terkejut, lalu pass telefon pada Mila. Mila dengar setiap butir bicara dan tiba-tiba riak muka Mila berubah. Mata bertukar merah. Dia jeling semua orang dalam rumah tu. Masa ini, kami tahu tubuh Mila dimasuki benda lain. Dia jeling Intan. Intan cakap pada aku, ada benda masuk badan Mila, Intan tak kuat nak melawan. Masa ini dalam kepala otak aku, aku fikir semua benda ini mengarut. Sebab aku memang tak percaya.

Tiba-tiba, si Mila ini serang Intan. Mirul cepat-cepat pegang Mila. Dia baca Alfatihah kat telinga Mila. Masa ini Mila marah betul, dia cakap jangan baca, bising. Badan dia panas. Aku pula bawak Intan masuk bilik, takut-takut dia serang lagi. Yang lain sibuk pegang telefon, buka Yassin dan Surah Albaqarah. Dila dengan Hani pergi cari imam masjid taman Mila. Intan telefon bapa Mila beritahu keadaan Mila kene sampuk.

Keadaan masa itu terlalu kelam kabut. Bapa Mila pulang ke rumah membawa seorang Ustaz. Kami berkumpul di ruang tamu. Sedang Mirul dan Man memberitahu hal yang sebenar, tiba-tiba Intan berubah. Dia meronta-ronta. Mila pula pengsan. Aku dan Dila pegang kuat-kuat Intan. Mie pegang kepala Intan sambil baca-baca. Baca apa, aku tak tahu. Ustaz pun ambil alih kedudukan Mie. Baca apa yang patut dan Intan mula lemah.

Setengah jam kemudian, Ana datang bersama ibunya. Tetapi, ibunya kini berperwatakan seakan seorang puteri raja. Dia membuka silat. Puteri raja tersebut menyatakan bahawa dia adalah puteri sulung raja di air terjun yang kami pergi itu. Dia ingin membantu kami. Kata puteri raja tersebut, Raja Gunung telah murka kepada kami kerana kami telah mengganggu kawasan mereka, malah telah menyatakan bahawa kami telah tersepak salah seorang cucunya yang sedang mandi di kawasan yang sama. Jadi puteri raja mahu kami ke gunung tersebut dan meminta maaf kepada raja.

Ustaz pun meminta agar kami menuruti sahaja perintah puteri raja tersebut, kerana khuatir gangguan berlarutan. Nak tak nak, aku yang tidak percaya perkara ini, terpaksa turutkan dan berangkatlah kami ke gunung tersebut pada jam 5 petang.

Sesampai sahaja di kawasan pergunungan air terjun tersebut, ibu Ana mula membuka silat dan kembali kepada perwatakan puteri raja. Sepanjang perjalan ke jambatan yang kononnya dikatakan pintu kepada alam raja tersebut, ibu Ana membuka silat. Tibanya kami di jambatan tersebut, ibu Ana (puteri raja) meminta kami salam sembah hormat (Gaya macam dalam cerita raja-raja zaman dulu) sambil menyeru dan menyembah raja tersebut. Dalam hati aku masa ini dah resah dah, tak pernah dalam hidup aku kene buat macam ni. Puteri raja minta kami ikut setiap kata-katanya sambil tunduk menyembah. Kami memohon maaf atas ketidak sengajaan kami mengannggu ketenteraman kawasan raja tersebut dan gara-gara menyakiti cucu raja. (Maaf ye, aku tak ingat sangat dialog dia).

Hampir 15 minit sembah hormat, Ana kata keadaan sudah kembali macam biasa. Ibu Ana turut kembali normal. (Ana dan ibunya perantara). Kami berjalan kembali ke kereta dan pulang ke rumah Mila. Ibu Ana berpesan agar selepas ini kami harus berhati-hati dan menjaga tingkah laku di kawasan-kawasan hutan agar tidak terjadi perkara yang tidak diingini seperti ini.

Sungguh, lepas peristiwa tersebut, aku selalu tertanya kepada diri sendiri, apa benar perkara ini terjadi? Kalau fikirkan balik kejadian tersebut, boleh meremang bulu roma dan aku tak sangka aku ada rakan-rakan misteri macam Ana dan Intan ini. Apapun, nasihat aku jaga diri bila ditempat orang lain ye. Sekian terima kasih.

Anne

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]

4 thoughts on “Bila Raja Gunung Marah”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.