Saat aku menaip kisah ini, jantung aku masih lagi berdegup laju. Dan anak aku baru saja tertidur di pangkuanku. Aku berada di ruang tamu. Dekat saja dengan bilik master rumah flat 3 bilik ini.
Aku pernah sakit. Tapi, dah lama. Sejak tu, kadang kala aku diganggu oleh makhluk halus yang memunculkan diri buat tatapan mata batinku. Sebelum aku ke kisah yang baru terjadi tadi, aku akan ceritakan beberapa kisah yang pernah berlaku di bilik master.
Kisah 1.
Kawasan paling angker dalam bilik itu, adalah di bahagian bawah tingkap yang mempunyai ruang sikit memisahkan katil dan jendela. Dulu, ayah aku suka tidur di ruang tersebut. Tapi, setiap malam mengigau dengan teruk. Diganggu makhluk halus dalam mimpinya. Kejadian yang sama berlaku pada anak sulung aku yang baru berusia 2 tahun. Kami bentang tilam di ruang itu, tanpa menyedari ke’angker’annnya. Kami tidurkan dia di situ sebab anak sulung aku tak ada masalah tidur sendiri. Atas katil, adalah aku, suami dan anak kedua aku. Tiap malam, anak aku menjerit dan menangis pekik pekik. Kedua matanya tertutup rapat menandakan dia masih tidur. Mula-mula kami sangka dia terbawa-bawa mengamuk ke tidur. Tapi, bila dengar ayah aku juga mengalami keadaan yang sama, baru aku sedar. Jadi, kami alihkan dia ke atas katil juga. Tidur dengan kami bertiga. Biar aku ulang. Igauan ayah aku dan teriak jeritan anak aku berlaku setiap malam. Tiap kali tidur di ruang bawah tingkap itu.
Kisah 2.
Susunan tidur di atas katil waktu itu, aku di hujung, sebeleh ruang kecil dan jendela itu, anak sulung aku, anak kecil aku, dan suami aku di hujung katil, sebelah tandas. Aku rasa tak sedap hati dan cuba melelapkan mata. Tapi tak berjaya. Pulak tu, banyak minum air sebelum tidur, jadi aku ke tandas dalam keadaan ngantuk. Selesai melepaskan hajat, aku kembali ke katil. Baru saja nak merangkak naik, aku terlihat lembaga berwarna putih, seakan budak yang jernih warna kulitnya, sedang merangkak ke arah anak sulung aku yang sedang nyenyak. Aku terkejut sampai terundur ke belakang. Tapi… Budak itu hilang. Aku terus baring di bahagian kaki anak-anak aku. Rasa protective sampai tertidur. Selepas malam tu, susunan tidur kami berubah.
Kisah 3.
Aku rasa sejak kisah 2, aku mula rasa tak selesa dalam bilik master. Entah bila, mata batin aku mula melihat seorang perempuan, berambut kerinting dan panjang serta mengerbang, berbaju putih tapi kecoklatan tanah, seakan-akan baju itu telah dikotorkan dengan tanah dahulu, bermata bulat kecil tapi merah menyala bagaikan biji saga, dan suka menyeringai menunjukkan giginya yang kecil tapi tajam. Seringainya dari hujung telinga ke hujung telinga. Dia tak berbuat apa. Berdiri je depan pintu tandas. Memerhati aku ke mana je aku pergi dalam bilik tu. Sampaikan aku tak tahan. Mujurlah bukan mata kasar. Walaupun cuma naluri saja yang nampak, aku dah macam panas p******g. Ya Allah. Dugaan. Setiap kali aku mandi, aku dapat rasa dia di setiap korner bilik air memerhatikan aku. Seakan mengejek tahu aku boleh nampak dia di situ. Dia hilang perlahan-lahan sebelum Ramadhan. Dan sejak Ramadhan, tiada lagi dia di situ. Biarlah kekal tiada. Tapi, aku tak berani tidur sendiri dalam bilik tu lagi. Sentiasa rasa ada yang tak kena.
Kisah 4.
Sebentar tadi, aku solat di ruang kecil antara tingkap dan katil tu. Bertemankan anak kecil aku. Dia sibuk selongkar laci depan aku sementara aku solat. Hampir habis solat, dia nangis sampai meleleh air mata dan hingus. Usai je salam, aku terus mengangkatnya dan baringkan di riba aku sambil bagi susu. Sambil dia menyusu, aku melagukan zikir. Tiba-tiba anak aku buat suara seakan nafasnya tertahan-tahan ibarat kita bila nampak sesuatu yang menakutkan. Dadanya berombak. Sedutannya terhenti. Bila aku tengok anak aku, matanya melekat di kaki katil. Seolah-olah ada seseorang atau sesuatu di situ. Aku perhatikan saja kelakuan anak aku sambil memujuk diri mungkin dia hanya melihat saja-saja dan tak ada apa di situ.
Tapi, dadanya terus berombak dan nafasnya tertahan-tahan. Anak matanya tiba-tiba seakan melihat dan mengekori gerakan sesuatu itu perlahan-lahan sehinggalah matanya tertancap betul-betul atas dirinya sendiri. Sunyi sesaat, dan kemudian anak matanya membesar seolah-olah ada sesuatu datang dari jauh dan mendekati dirinya dengan tiba-tiba. Aku pasti, korang faham keadaan mata korang bila ada sesuatu muncul tiba-tiba depan mata korang. Macam tu lah anak aku. Tak sampai sesaat keadaannya begitu, aku rasa seram dan bulu roma meremang satu badan. Anak aku terus nangis tanpa sebab yang boleh dilihat dengan mata kasar. Aku angkat dia keluar dari bilik dan menutup pintu tanpa memandang ke belakang.
Saat ini, jantung aku masih berdegup kencang dan sedari tadi, aku rasa diperhatikan. Cepatlah balik, abang.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
hmmm…
#cumel