Bilik Nombor 17

Kelihatan sebuah kereta mewah meluncur laju menuju ke kawasan yang agak terpencil. Kereta itu kemudiannya berhenti di hadapan sebuah hotel.

“Ya, boleh saya bantu encik?”

“Saya nak tempah bilik untuk satu malam.”

“Baik. Nama encik?”

“Zaid Mansur.”

“Cuma tinggal bilik nombor 17 sahaja. Yang lain semua orang dah booking.”

“Okey. Saya ambil bilik tu.”

“Ini kuncinya.”

“Thanks!”

“You’re welcome. Harap encik selesa.” Ucap pekerja hotel wanita itu dengan senyuman manis. Ada seorang lagi pekerja wanita di situ. Tetapi sudah terlena di atas kerusinya.

Zaid merupakan bakal seorang doktor, pakar psikiatri. Dia singgah ke situ untuk berehat seketika. Sempena sambutan Hari Kemerdekaan esok, Zaid mahu menghabiskan masa cutinya bersama keluarganya di kampung. Tetapi kerana waktu sudah semakin lewat malam, dan badannya pula terasa letih setelah memandu jauh, Zaid memutuskan untuk bermalam di hotel tersebut.

Ketika menapak masuk ke dalam bilik hotel Zaid tiba-tiba merasakan sesuatu yang aneh. Namun perasaannya itu diabaikan sahaja.

Jam menunjukkan hampir pukul 12.00 tengah malam. Zaid masih ralit membaca. Dia dalam proses mengkaji bagaimana seseorang itu boleh menjadi tidak siuman atau gila. Fakta menunjukkan kebanyakannya mengalami kemurungan akibat tekanan hidup yang teruk. Paling dahsyat, ada yang sampai tahap b***h diri!

Tuk! Tuk! Tuk!

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Zaid bingkas turun daripada katil. Usai membuka pintu bilik seorang wanita cantik muncul di hadapannya bersama secawan kopi. Pekerja wanita yang sama menyerahkan kunci bilik hotel kepadanya tadi.

“Encik Zaid, ini kopi yang encik minta.”

“Kopi?” Zaid garu-garu kepala. Dia ada minta kopikah tadi? Ah! Lantaklah!

“Okey, thank you.” Huluran itu tetap disambut.

Selepas menghabiskan secawan kopi yang enak itu, Zaid terlelap seketika. Dalam beberapa minit dia terjaga semula. Terasa seperti dia terlihat kelibat seseorang. Zaid segera menghidupkan lampu. Namun tidak kelihatan sesiapa pun di dalam bilik itu.

‘Eh! Tadi macam ada orang dekat sini?’ Zaid berasa pelik sambil mata meliar memandang sekeliling ruangan bilik.

‘Mungkin itu cuma perasaan aku saja.’ Bisik Zaid lagi.

Dia kembali semula ke katilnya. Cuba melelapkan mata. Tetapi rasa mengantuknya sudah hilang. Zaid lantas mencapai buku di atas meja lampu. Ketika sedang membaca telinganya menangkap suara orang sedang berbisik. Kemudian ketawa. Mengilai dan seterusnya menangis. Tangisan yang mendayu-dayu. Suara itu sangat jelas dan begitu dekat. Seolah-olah melintari di segenap ruang bilik.

Zaid merasakan bilik tersebut mungkin berpenunggu. Lantas, malam itu juga dia berkemas-kemas untuk keluar. Tetapi ketika dia ingin mengambil pakaiannya untuk dimasukkan ke dalam beg, Zaid terhidu bau yang sangat busuk seperti bangkai. Apabila dia menoleh kearah pintu bilik, wajahnya terus tergamam. Satu susuk lembaga berpakaian lusuh dengan wajah menyeringai tergantung di sudut dinding. Lembaga itu kemudiannya berpusing-pusing di ruang bilik sambil mengilai-ngilai dengan nyaring. Zaid yang ketakutan segera berlari kearah pintu. Namun dia mendapati pintu bilik itu terkunci. Dia cuba membukanya tetapi tidak berjaya.

Tiba-tiba lampu di bilik itu terpadam. Suasana menjadi gelap gelita. Zaid semakin cemas. Tubuhnya menggigil dan berpeluh. Bunyi dengusan seseorang kian menghampiri tubuhnya. Dalam gelap Dan ketakutan itu Zaid mula membaca ayat Kursi. Jari tangan runcing terasa menyentuh dipermukaan wajahnya. Zaid lantas menjerit sekuat hati. Jeritannya didengari oleh pekerja hotel. Mereka bergegas menuju ke bilik nombor 17. Kemudian membuka pintu bilik tersebut yang terkunci.

Keadaan menjadi tenang semula. Namun pekerja-pekerja hotel di situ agak terkejut dan pelik kerana bilik itu sudah lama dikunci serta tidak pernah digunakan lagi. Bagaimana Zaid boleh masuk ke dalam? Zaid sendiri pun terkejut mendengarnya. Dia menceritakan apa yang berlaku. Rupa-rupanya bilik tersebut sememangnya berpuaka setelah beberapa orang yang menginap mengalami gangguan yang sama.

Ada kejadian b***h diri yang pernah berlaku di situ. Seorang pekerja hotel wanita menggantungkan dirinya di dalam bilik tersebut kerana mengalami masalah dengan suaminya yang berkahwin lain. Sejak beberapa orang diganggu, tiada sesiapa lagi yang berani menginap di bilik itu. Lantas pengurus hotel memutuskan agar bilik tersebut dikunci.

Zaid memandu pulang ke kampungnya. Dia kelihatan masih kebingungan. Wanita cantik yang memberikannya kunci bilik hotel serta secawan kopi, adakah wanita yang menggantungkan dirinya di dalam bilik itu?

Ketika keretanya mula bergerak meninggalkan kawasan hotel, dari cermin sisi Zaid terlihat seorang wanita berpakaian serba putih melambai-lambaikan tangan. Kakinya tidak jejak ke tanah. Zaid mengucap beberapa kali sebelum memecut kereta.

-TAMAT

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 18 Average: 4.2]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.