Lama tak datang ke rumah nenek saudara. Nenek tinggal sendirian di rumahnya, anak dan cucu berada jauh di bandaraya. Jarang pulang katanya. Siti pula datang ke daerah di mana nenek saudara tinggal kerana ada tugasan yang perlu Siti selesaikan.
Rumah nenek luas dan banyak bilik. Semua bilik besar saiznya dan cukup lengkap dengan katil serta almari pakaian. Nenek pula tinggal di bilik berdekatan dengan dapur.
Nenek suruh Siti duduk di bilik utama. Katanya lebih luas dan besar. Siti tolak dengan baik, cukuplah dengan bilik kecil aje.
Jadi Siti pilih bilik yang dekat dengan ruang keluarga. Selang beberapa langkah sahaja dengan bilik nenek saudara.
“Bilik tu dah lama nenek tak kemas. Jarang sangat nenek masuk. Bilik utama aje yg biasa nenek kemas.” Kata nenek saudara.
“Tak apa nek, saya lebih suka bilik kecik. Lagipun bilik ni pun bilik akak Rohayu punya dulu kan.” Kata Siti yang mengingatkan kakak sepupunya yang juga pernah mendiami bilik itu.
“Kalau Siti dah nak sangat duduk dalam bilik tu, nenek tak boleh buat apa. Siti berani kan?” Soal nenek saudara.
“Siti berani tinggal sorang-sorang nek. Siti dah biasa dah. Nenek jangan risau.” Balas Siti.
“Kalau macam tu nenek tak bimbanglah. Kalau ada apa-apa ketuk aje bilik nenek.” Ujar Nenek.
“Baik nek.”
Siti sebenarnya rasa hairan dengan pertanyaan pelik nenek saudaranya itu. Mungkin neneknya itu bimbang Siti tidak biasa tidur sendirian.
Saat kaki Siti menjejak masuk ke bilik itu, hidung saya mulai terbau sesuatu yang aneh. Tetapi Siti tak nak menegur, bimbang nenek saudara Siti terasa. Ada sebuah katil bujang tersedia dan mengadap tingkap. Ada sebuah almari lama berdekatan dengan tingkap itu. Tingkap itu pula mengadap sebuah paya yang terbiar di belakang rumah. Rasa seram pulak Siti melihat paya itu.
Tapi Siti seorang yang berani, penggemar kisah mistik. Malah banyak novel seram Siti beli dan simpan sebagai koleksi. Termasuk novel terbaharu novel Saidee Nor Azam yakni novel SATE UNTUK JEMBALANG.
Malam itu selepas Isyak, Siti mengadap novel Sate Untuk Jembalang itu dengan khusyuk, ada beberapa bab lagi yang tinggal untuk ditamatkan bacaan. Ketika Siti sedang membaca kisah Geliga Lipan Bara yang ada di dalam novel seram SATE UNTUK JEMBALANG itu, secara tiba-tiba lampu biliknya berkelip kelap. Siti melihat-lihat lampu biliknya itu sebelum tidak lama kemudian ianya terus terpadam!
Siti hampir menjerit kerana terkejut, dia menggagau di dalam gelap cuba mencari telefon bimbit. Tetapi sayangnya dia terlupa, telefon bimbitnya sudah kehabisan bateri.
“Ahhh sudah!” Omel Siti.
Ketika Siti bangun dan cuba berjalan mencari pintu, Siti terbau sesuatu yang hapak dan busuk. sepertinya bau itu semakin lama semakin menebak kuat ke rongga hidungnya. Malah telinganya mulai terdengar bunyi seperti sayap-sayap kecil sedang berkibaran. Semakin lama semakin banyak kedengaran, seolah-olah ada sesuatu yang bernyawa ada di dalam bilik tidurnya.
Siti panik apabila dia berasakan ada benda seperti merayap kiri dan kanan kakinya, malah Siti berasakan seperti ada jari jemari kecil sedang menyentuh betis dan kakinya.
Siti mulai panik, dia hendak bangun dan keluar dari bilik tidurnya tetapi dia tersadung rebah di atas lantai. Serentak dengan itu juga lampu di kamarnya secara tiba-tiba menyala.
Kini baharulah Siti dapat melihat makhluk apakah yang bersayap dan merayap serta meraba tubuhnya di saat gelap gelita.
Siti sudah tidak tertahan lagi, dia menjerit sekuat hatinya kala dia melihat di dala kamarnya itu dipenuhi dengan lipas!
Ada yang merayap di dinding, lantai dan malah ada yang berterbangan di setiap sudut ruang kubikel kamar. Semuanya seperti berpakat keluar menyapa Siti.
“Arghhh lipass geli…!!!” Jerit Siti seperti kerasukan.
Keesokan harinya.
“Itulah nenek dah cakap, kau nak jugak tidur bilik tu. Bilik tu memang banyak lipas, nenek tak larat nak kemas dan bersihkan. Dah jadi sarang lipas dah pun. Kenapa diam? Kata berani… Baca novel seramlah, apalah… Lipas pun takut.” Sindir nenek saudara.
Siti tunduk, muka merah padam. Dalam hati…
Ini kali terakhir aku tidur kat sini. Tobat aku taknak datang dah!