Bunyi gitar di tengah malam

Oleh kerana mata masih belum mahu terlelap walaupun jarum jam sudah melebihi angka 12 tengah malam, aku bingkas bangun dari pembaringan. Ku lihat anak-anak ku sudah terlena dibuai mimpi.

Suamiku pula masih rancak berborak di luar rumah bersama kawan-kawannya. Begitulah mereka jarang bertemu tetapi apabila sudah berkumpul, sampai ke pagi lah mereka berborak tak ingat dunia. Sesekali kedengaran mereka ketawa terbahak-bahak. Entah apalah yang menggeletek hati mereka.

Aku menonton televisyen tetapi tidak ada pula siaran yang menarik hati aku. Lalu aku mencapai sebuah novel di dalam rak buku. Aku membaca novel itu di hadapan televisyen yang masih terpasang.

Ketika sedang leka menghayati cerita dalam novel tiba-tiba telingaku mendengar suara berdesis. Takkan dalam rumah ada ular pula. Serta merta aku mengangkat kaki dan mataku melilau-lilau mencari di setiap sudut ruang tamu. Manalah tahu seekor ular besar sedang berlingkar atau sedang menjalar di mana-mana. Tidak ke naya kalau tiba-tiba aku dipatuknya.

Kembang tengkuk aku bila terbayangkan rupa ular yang sedang menjelir-jelirkan lidahnya. Aku memang takut dan geli dengan ular. Kalau terjumpa ular di mana-mana aku sudah lari lintang pukang dibuatnya.

Aku menyambung bacaanku yang tergendala tadi apabila tiada apa-apa penampakan mencurigakan yang kelihatan di mataku. Mungkin aku hanya tersilap dengar.

Tidak lama kemudian aku mendengar bunyi petikan gitar yang agak pelik nadanya. Aku menghentikan bacaan dan mataku terpaku pada skrin televisyen yang sedang memaparkan rancangan kebun bandar. Tidak ada pula orang bermain gitar di situ.

Semakin lama bunyi gitar itu begitu jelas kedengaran. Bunyinya seakan mendayu-dayu dan iramanya seperti lagu zaman dahulu. Namun tidak pernah aku dengar sebelum ini. Aku memperlahankan bunyi televisyen supaya aku dapat mendengar bunyi gitar itu dengan lebih jelas. Terpukau pula aku mendengar petikan gitar itu.

Sebaik sahaja aku memperlahankan bunyi televisyen, bunyi gitar itu hilang. Aku lantas berdiri dan menuju ke arah tingkap. Aku menyelak langsir untuk melihat suamiku dan rakan-rakannya. Mereka masih rancak berbual dan tidak ada yang bermain gitar. Aku kerut dahi, jadi siapa yang bermain gitar tadi? Takkan aku salah dengar lagi. Aku garu kepala yang tidak gatal. Pelik pula aku rasa.

Aku menuju ke dapur dan mengambil sebiji gelas lalu menuangkan air oren yang ku ambil dari peti sejuk. Lega rasanya tekak bila air sejuk membasahi kerongkong. Belum habis air di gelas, bunyi gitar itu kedengaran lagi. Terkocoh-kocoh aku menuju ke ruang tamu. Ingin mendengar bunyi gitar itu lagi.

Aku mencari-cari dari arah mana bunyi gitar tersebut. Mataku terpaku pada pintu bilik yang tertutup rapat. Bilik itu kepunyaan ipar aku. Sekarang tidak ada penghuni kerana iparku sudah berkahwin dan tinggal dengan keluarga suaminya. Hanya kami 6 beranak yang menghuni rumah ini sekarang.

Ah! Takkan bunyi gitar itu dari bilik ipar aku. Aku teguk liur yang terasa payau. Tengkuk ku sudah mula meremang, bulu tanganku berdiri dengan tiba-tiba. Petikan gitar itu adakalanya kuat dan tiba-tiba pula perlahan seperti dari jauh sahaja kedengarannya.

Tanpa menunggu lebih lama lagi aku terus mematikan televisyen dan berlari menuju ke bilik tidur. Aku terus berkelubung di atas tilam. Jantungku berdegup kencang seperti baru menamatkan larian seratus meter. Sedangkan tadi aku berlari tidak sampai 10 meter pun.

Aku tidak mahu membayangkan siapakah gerangan makhluk yang sedang bermain gitar di bilik iparku itu. Kerana sebelum ini aku pernah melihat cik Ponti sedang bertenggek di dahan pohon rambutan di belakang bilik kami. Aku terlupa menutup langsir jendela. Kerana itu dia mengambil kesempatan untuk menampakkan diri. Akibatnya aku sukar hendak melelapkan mata sehingga ke subuh.

Atau mungkinkah cik cong yang pernah aku lihat begitu tertib sekali melintas di hadapanku ketika aku sibuk membasuh pinggan mangkuk di singki dapur pada waktu senja. Cik cong yang bukan melompat-lompat seperti dalam filem atau drama. Dia hanya berjalan seperti di atas papan luncur namun tidak laju dengan kepala bunjutnya. Mujur sahaja cik cong tidak berpaling ke arahku, kalau tidak mungkin aku sudah pengsan dengan wajah tersembam di dalam besen yang penuh dengan air sabun.

Atau mungkinkah juga budak lelaki kecil yang kerap aku lihat berlari menuju ke bilik air namun akan lenyap begitu sahaja sebelum masuk ke dalam bilik air. Ah! Aku tidak mahu membayangkan itu semua. Mahu sendat jantungku dibuatnya. Aku membaca ayat suci untuk menghilangkan rasa takut yang mula menyelubungi diriku.

Aku tidak sedar bila aku terlelap. Aku terjaga apabila anak bongsu ku merengek meminta susu. Suamiku sudah lena dibuai mimpi dengan bunyi dengkuran yang membingitkan telinga. Entah bila suamiku masuk tidur, tidak pula aku sedar.

Bunyi gitar selalu kedengaran setiap tengah malam dalam masa beberapa hari berturut-turut. Ada masanya aku seolah-olah dipukau untuk terus mendengar bunyi petikan gitar tersebut sehingga aku boleh duduk atau berdiri macam patung menghayati bunyi gitar tersebut. Dan ada ketikanya aku sampai menggigil ketakutan seorang diri. Dadaku tiba-tiba menjadi sesak dan tanganku kejang tidak boleh digerakkan. Selepas aku membaca ayat-ayat suci barulah ketakutan itu hilang dengan sendirinya.

Pernah satu ketika di waktu siang, tiba-tiba aku menjadi takut yang amat sangat apabila teringat bunyi gitar itu. Aku memasang ruqyah dan letakkan di sebelah aku. Aku merasakan ada benda seperti semut yang merayap di seluruh tubuh aku. Nafasku tiba-tiba menjadi sesak dan kedua pergelangan tanganku melekat antara satu sama lain seperti diikat dengan tali yang terlalu kejap. Bila aku cuba pisahkan tangan aku seluruh badanku menggigil dan kepala berdenyut-denyut.

Aku cuba memanggil suamiku yang sedang baring-baring di ruang tamu namun suaraku tidak keluar. Dengan susah payah aku berdiri dan melangkah ke arah ruang tamu. Langkahku berat seperti ada benda yang berpaut di kedua pergelangan kaki ku. Dengan pandangan yang mula berpinar-pinar dan langkah yang terlalu sukar, aku gagahkan juga diriku menuju ke arah suamiku. Hendak menjerit mulutku seperti di gam.

Suamiku terkejut melihat aku muncul di ruang tamu dalam keadaan begitu. Lekas-lekas dia mencempung tubuh aku lalu dibaringkan di atas sofa. Dia bertanya apa yang sudah berlaku namun aku hanya mampu menangis teresak-esak. Aku sendiri pun tidak faham kenapa aku menangis macam budak kecil. Suami aku terus membaca ayat suci lalu dihembuskan ke ubun-ubun ku. Dia juga mengambil sebotol air dan dibacanya juga dengan ayat suci lalu disuruhnya aku minum.

Selepas itu barulah tubuhku menjadi ringan namun aku terlelap pula di situ. Mujurlah benda itu tidak merasuk tubuh aku. Aku memang lemah pada hari itu memandangkan aku dalam keadaan tidak suci. Bila suami aku bertanya apa yang berlaku sehingga aku jadi begitu, aku terus menceritakan aku jadi begitu selepas aku memasang ruqyah kerana badan aku rasa tidak sedap.

Aku hairan juga kenapa Suami dan anak-anakku tidak menunjukkan tanda-tanda mereka mendengar bunyi gitar tersebut. Kalau mereka mendengar sudah pasti mereka akan memberitahu pada aku. Anak sulung aku yang memang terbuka hijabnya sejak seawal umur setahun juga tidak ada mengadu mendengar bunyi gitar itu.

Anak sulung aku pernah mengadu melihat seorang budak perempuan berpakaian serba putih di luar tingkap bilik. Katanya budak perempuan itu berwajah putih seperti memakai bedak yang terlalu tebal dan bajunya diselaputi tanah. Aku mengatakan pada anak aku, mungkin budak yang dia lihat itu adalah anak jiran yang datang bermain di sini.

Tetapi apabila anakku menjelaskan gigi budak itu kemerahan apabila tersenyum, aku terus terdiam. Aku hanya jelaskan yang baik-baik sahaja pada dia. Aku tidak mahu dia takut sehingga terbawa-bawa ke alam mimpi. Anakku ini memang boleh melihat benda-benda ghaib. Adakalanya dia akan menangis meraung-raung apabila melihat makhluk berwajah hodoh muncul di hadapannya. Sehingga dia demam dan meracau-racau dalam tidur.

Tentang bunyi gitar itu aku tidak beritahu pada suami aku kerana aku sudah tahu apa jawapannya. Kerana seringkali juga aku mengadu pada suami apabila aku melihat benda-benda ghaib di dalam rumah mahupun di luar rumah. “Ah! Tiada apa-apalah tu. Abaikan sahaja.” Aku pun tidak tahu adakah suami aku tidak percaya pada cerita aku atau dia berkata begitu untuk tidak membuatkan kami semakin takut.

Cuma suami aku pernah berpesan… solat jangan tinggal, sentiasa basahkan lidah dengan ayat-ayat suci. Berdoa pada Allah minta dijauhkan dari gangguan anasir-anasir jahat. Di dunia ini bukan kita manusia sahaja yang tinggal, ada makhluk di alam lain juga yang turut menumpang yang tidak kelihatan pada mata kasar.

Rumah milik keluarga suami aku ini agak keras juga, tempat persinggahan jin. Bila mereka datang akan hiruk pikuklah dalam rumah. Bila aku berada di luar akan kedengaran suara anak-anak yang ramai seperti sedang bermain. Mereka bergelak ketawa. Ketika itu anak-anak aku sudah ke sekolah tinggal yang kecil sahaja.

Bila aku tengah memasak di dapur kedengaranlah bunyi kerusi ditarik. Seolah-olah mereka juga hendak menumpang makan. Selagi aku tidak melihat benda itu menampakkan diri di depan mata aku, aku buat-buat tidak tahu sahaja. Aku juga pernah mendengar suara garau seorang lelaki berteriak berhampiran denganku ketika aku sedang sibuk ke sana ke mari mengurus anak-anak yang hendak ke sekolah di sebelah petang.

Berdesing jugalah telinga aku bila tiba-tiba disergah namun empunya suara tidak kelihatan di mana-mana. Entah apa yang makhluk itu marah sangat aku pun tidak tahu. Aku jadi macam orang mamai sekejap.

Perkara yang paling aku tidak lupa sampai sekarang ialah apabila melihat makhluk menyerupai diri aku sendiri sedang berdiri di luar jendela dapur. Ketika itu hari sudah malam dan kami baru selesai makan. Suami aku keluar kerana ada kawannya datang. Anak-anak aku di ruang tamu menonton siaran kartun kegemaran mereka.

Ketika itu aku berdiri beberapa meter sahaja dari jendela tersebut. Mulanya aku ingat itu adalah bayang-bayang aku sendiri. Kerana ketika itu aku mengenakan tudung berwarna merah dan begitu juga dengan makhluk yang berada di luar jendela.

Mulanya aku tidak hiraukan sangat benda tersebut namun lama kelamaan aku menjadi pelik bila benda itu tidak bergerak dari situ. Kaku macam patung sedangkan aku sekejap-sekejap bergerak. Aku memberanikan diri merenung benda itu. Ya wajah itu adalah wajah aku namun kulitnya kelihatan putih dan agak pucat.

Aku seperti dipukau untuk terus berdiri di situ dan kami saling merenung antara satu sama lain. Aku perasan tatapan matanya tajam. Tiba-tiba dia tersenyum. Satu senyuman yang bisa melonggarkan kepala lutut aku dan hampir membuatkan jantungku berhenti berdegup. Senyumannya begitu menakutkan dengan gigi taring tersembul keluar dari celah bibirnya.

Bagaikan baru tersedar dari lamunan yang panjang, aku terus berlari menuju ke ruang tamu dan terus masuk ke dalam bilik. Aku mencari radio kecil yang berwarna merah lalu aku pasang surah ruqyah. Apabila anak-anakku mendengar surah ruqyah itu dipasang boleh pula mereka berkata, “kenapa mak pasang orang mengaji tu, ada hantu kah?” Aku hanya mampu terdiam dengan tubuh yang menggeletar hebat.

Berbalik kepada kisah bunyi gitar itu, aku langsung tidak menjengah ke dalam bilik ipar ku sehinggalah satu hari aku mendapat panggilan telefon daripada mentua menyuruhku mengemas apa yang patut di dalam bilik itu. Kerana ipar ku sekeluarga akan balik.

Dan pada pagi itu aku masuk ke dalam bilik iparku membawa penyapu dan penyodok sampah. Ketika itu aku tidak teringat langsung pada bunyi gitar yang hanya kedengaran di tengah malam.

Ketika aku sibuk menyapu sampah yang bukanlah sampah melainkan aku hanya menyapu habuk yang tidak kelihatan. Kerana bilik itu sentiasa kemas sebab aku selalu membersihkannya. Satu hembusan dingin menerpa tengkuk aku membuatkan aku tersentak seketika. Aku memandang ke belakang kemudian mataku terarah pada objek yang terletak di atas meja berhampiran almari kain.

Mataku membulat besar bagaikan mahu tersembul keluar apabila melihat gitar di situ. Gitar yang sudah tidak sempurna lagi. Sudah bercerai berai dan pecah seperti dihempas-hempas ke lantai. Aku kenal gitar itu, milik suami aku. Patutlah sudah beberapa hari aku tidak melihat gitar itu, rupanya ia sudah hancur dan diletakkan dalam bilik tersebut.

Aku tahu ini sudah tentu angkara anak-anak aku. Apabila bergaduh ada sahaja barang yang pecah. Dihempas ke lantai atau dibaling ke dinding. Aku memanggil anak-anakku yang sedang bermain di ruang tamu. Aku tanya siapa yang pecahkan gitar abah mereka. Tiada siapa yang mengaku walaupun aku tahu dari raut wajah mereka siapa si pelakunya.

“Lepas ni korang terimalah sepitan ketam berbisa dari abah.” Kata aku sambil mendengus geram. Anak-anak aku berpandangan dengan wajah keruh dengan mulut terkatup rapat. Mereka bertiga terus keluar dan sambung bermain.

Aku mengambil serpihan gitar itu untuk dibuang ke luar. Buat apalagi hendak simpan gitar ini kalau sudah tidak sempurna. Dalam kesibukan aku mengutip serpihan gitar itu, secara tiba-tiba bunyi gitar yang selalu aku dengar di tengah malam terngiang-ngiang di cuping telinga aku. Serta merta tanganku menggigil namun aku kuatkan hati. Benda ini semua harus dibuang. Bilik iparku ini bukan tempatnya.

Aku segera memasukkan serpihan gitar itu ke dalam plastik hitam lalu ku bawa menuju ke luar. Suami aku bersantai-santai di luar sambil menikmati secawan kopi. Aku beritahunya gitarnya sudah hancur dikerjakan anak-anak. Dia membebel juga namun syukurlah mungkin moodnya baik hari itu kerana anak-anak aku tidak menerima sepitan ketam berbisa macam selalu.

Selepas membuang gitar itu ke tempat pembakaran sampah aku melangkah untuk masuk ke dalam rumah mahu menyiapkan kerja yang terbengkalai tadi. Belum pun kaki aku masuk ke dalam rumah, aku mendengar bunyi tangisan perempuan mendayu-dayu agak perlahan seperti di atas kepala ku sahaja.

Sebaik aku mendongak ke atas aku melihat hanya kain putih yang sudah agak lusuh warnanya seperti terkena tanah lumpur kekuningan di hujungnya. Kain putih itu terbang laju melintas di atas kepala ku. Aku terasa hembusan dingin dan kasar dari lintasan kain putih tersebut menerpa kepalaku.

Aku terlopong sambil memandang ke arah suamiku. Aku ingin melihat reaksinya sama ada dia melihat benda itu atau tidak. Namun dia kelihatan tenang-tenang sahaja. Aku hanya mampu mengurut dada dan menarik nafas panjang. “Kau pergilah jauh-jauh jangan datang hendak mengganggu aku lagi. Aku pun tidak pernah kacau kau.” Kata aku sambil mataku memandang ke arah dada langit yang kelihatan mendung. Bila-bila masa sahaja hujan akan turun membasahi bumi.

TAMAT

* Maaf para pembaca sekalian, susunan ayat agak tunggang langgang kerana sudah lama jari ini tidak menaip cerita. Mohon korang semua faham jalan cerita yang aku tulis ini. Cerita yang tidaklah seram mana. Cerita yang agak hambar dan tawar seperti nasi goreng yang terlupa letak perasa. Tiada belacan pada nasi goreng kampung dan tiada ayam pada nasi ayam. Hah! Begitulah perumpamaan pada cerita yang aku tulis ini. Apapun terima kasih pada yang sudi membaca kisah benar dari aku. 😊😊😊

Nukilan~Umiayra Aqila

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 37 Average: 4.1]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.