#Cantik: Mata Keempat ‘Ini Rumah Aku’

Admin, terima kasih.
Pembaca FS, Assalamualaikum.
Sebelum mula, aku nak mintak maaf awai-awai kepada sesiapa hat tak suka penulisan aku.. Boleh skrol laju-laju kalau nampak #cantik muncul. Sebab aku menulis dari hati berdasarkan apa yang berlaku pada aku, bukan sengaja nak reka dan mintak perhatian. Maaf ya.
Ni cerita aku yang ke-4.
Kalau nak tau detail aku ni dah kenapa? Boleh baca kisah aku sebelum ni nah.

1 . http://fiksyenshasha.com/mata-keempat-kisah1/

2. http://fiksyenshasha.com/cantik-mata-keempat-kem-sungai-congkak/

3. http://fiksyenshasha.com/cantik-mata-keempat-aku-paku-dan-jarum/

Recall dan sedikit intro : Nama aku Cantik. Bukan nama sebenar sebab nama sebenar aku Jelita. Gurau saja. Panggil saja aku Cantik sebab memang ada yang panggil aku dengan nama tu. Mata aku ada masalah sikit sebab boleh nampak apa yang orang lain tak boleh nampak tapi tak setiap masa.

Bila-bila waktu yang Allah izinkan saja. Tapi aku tetap bersyukur dan yakin ada hikhmanya. Bila boleh nampak, hidup aku cacamerba sikitlah sebab aku ni penakut. Kali ni, aku nak kongsi apa yang berlaku sewaktu aku dah mula kerja. Kejadian di tempat tinggal.

Di rumah sewa ni, masa mula-mula aku dapat tau bilik aku yang mana, seronok bukan main. Senyum lebih busuk dari kerang busuk. Setiap bilik dalam rumah tu ada bilik ayaq sendiri, syurga sungguh kalau nak terkencing terberak tengah-tengah malam tak kalut nak kepit sana sini lari keluar. Yang anehnya tentang rumah ni, persekitaran dia tak bising tau. Sangat tenang.

Mungkin sebab ni town house, tertib saja semua penduduk. Dan rata-rata penduduk sini terdiri daripada orang yang berada a.k.a kaya. Status dan pangkat diri pun hebat. Dato’ ada, Datin ada. Pelakon pun ada. Dan sorang Vlogger ni yang aku minat macam apa lagi pun ada. Jiran aku. Selalu aku usyar ja rumah dia dari jauh. Tapi tak boleh sebut nama, nanti orang tau tempat aku duduk.

Aku saja yang tiba-tiba terwujud kat sini sebab rumah ni kompeni yang provide untuk anak-anak bujang macam aku. Aku terima dengan tangan terbuka, syok kot orang kampung yang susah lagu aku ni duduk rumah ada kolam renang bagai. Duduk free pulak tu. Alhamdulillah. Rezeki.

Tapi bila mai jam 2 ke 3 pagi. Aku selalu terjaga. Ya, aku tau malaikat kejutkan aku suruh bangun tahajud. Cantik, hang bangun! Dosa menimbun, amal sekangkang kera ada hati nak tidoq lama-lama. Bangun tambah pahala.

Aku pun bukak mata, pi bilik ayaq buat apa yang patut. Tengah dok rancak cuci segalanya, tiba-tiba bunyi piano sayup-sayup. Aku cuba hadam, lagu apa ni? Mendayu-dayu sangat ni. Aku pun cuci slow-slow sebab terikut-ikut rentak bunyi piano tu. Tiba-tiba tersedar, ni bukan dia dah ni. Sapa dia nak main piano waktu macam ni? Merepek! Kalut aku ambik wuduk dan keluar.

Dalam dok ketar-ketar tu, sarung telekung semua dan mulalah solat. Tapi, sungguh tak best ya kalau hang tengah solat, ada yang memerhati. Aku akui, aku memang tak khusyuk. Kalau boleh nak baca surah panjang-panjang bagi lambat boleh sujud. Bukan apa, aku risau bila aku angkat kepala nanti lepas sujud, dia tersengih depan mata aku.

Bukan tak pernah jadi sebelum ni ada yang dok perhati time aku solat. Dalam rumah inilah. Perasaan masa ni, nak solat bagi habis kaaa. nak blah? Iman yang suam-suam kuku ni kata, perabis wei! Persetankan setan tu. Aku kuatkan hati, masuk gear 5 dan pecut solat sampai siap jugak. Lepas siap, aku nak mengaji. Biar dia panas. Tapi aku yang mengaji aku yang panas apa hal? Dia tak mau blah. Dok usyar aku macam aku ada hutang dengan dia. Mulalah nak sadaqallahulazim cepat-cepat. Nak sambung tidoq. Subuh lambat lagi. Tapi dia tak kacau, dia teman saja. Rupa tak jelas cuma seolah-olah macam tubuh yang duduk dan tunduk.

Tak jauh dan tak pasti tu apa.
Bunyi piano tu bukan sekali dua aku dengar, banyak kali. Dan selalunya berterusan dalam masa sejam. Aku cuba setkan minda aku, tu semua jiran-jiran aku yang kaya raya tu yang main. Jadi, bila setiap kali aku dengar, aku akan lega sikit. Tak takut sangat. Mind set tu penting walaupun tak lojik. Mampuih pi la kat hang.

Dan pernah sekali tu aku nak tergelak dan menangis dalam masa yang sama. ‘Dia’ perli aku kot. Kurang asam jawa betoi. Lingkungan pukul 3 pagi kalau tak salah aku masa tu, dia playkan lagu Raja Ema. Yang lirik dia macam ni “Angan-angan jejaka pilihan hati, punyai personaliti, segak tinggi. Cari-cari, tunggu-tunggu, masih belum bertemu.. Hari-hari, yang berlalu, meningkat usiamu. Pilih pasangan memang tak mudah, asyik berangan tak jadi nyata.

Bla bla bla…” Sayup-sayup jugak. Aku cuba cari dari mana lagu tu mai sebab dalam handphone aku tak pernah ada lagu tu. Aku tak jumpa punca. Sabaq sajalah. Dia ulang 3 malam berturut-turut lagu tu. Aku rasa ‘dia’ ni jenis sukakan hiburan tapi apa kes dia perlu guna lagu tu? Hal ni betul-betul terjadi. Aku pelik sampai ke hari ni. Aku tutup telinga dengan bantal tapi jelas jugak aku dengar lagu tu.

Aku meradang dan lepas 3 hari tu, tak pernah dah kena ganggu dengan lagu atau muzik lagi. Bunyi piano tu masih ada kadang-kadang sampai ke hari ni.

Pernah sekali tu, housemate aku tengah berkemas. Nama dia Nella. Dia nak kahwin, jadi nak siap-siap untuk pindah ke rumah suami dia lepas kahwin. Kebetulan, aku dan semua housemate yang lain tak ada kat rumah masa tu. Semua balik kampung. Tiba-tiba aku dapat whatsapp Nella, katanya dia takut. Aku macam.

Takut apa? Dia ni kalau pergi dating dengan tunang dia, kadang-kadang subuh baru balik. Kalau dia balik awal sikit, itu pun dalam pukul 2 ke 3 pagi. Balik tu siap menyanyi lagu bagai. Aku pun risau kalau-kalau ada benda ikut dia balik. Tapi aku tak pernah nampak dia bawak ‘teman’ balik rumah. Syukurlah. Lepas tu, Nella send whatsapp lagi dan lagi. Dia bagi hint tentang sesuatu. Aku faham, dia kena kacaulah tu. Mujur aku balik rumah abang aku yang tak jauh dari situ, jadi esoknya aku terus balik rumah nak teman dia.

Sampai saja rumah, tak menyempat-nyempat dia nak cerita tapi aku suruh dia relaks-relaks. Jangan cerita sebab aku penakut. Lepas tu dia ajak aku makan. Dia ada masak. Aku pun, okey. Rezeki jangan ditolak. Masa makan ni, dia cerita semua hal yang berlaku ke dia sebab aku tak boleh lari. Nasi menimbun dalam pinggan. Pandai dia buat taktik.

Adoiii.. Rupa-rupanya masa dia tengah berkemas dalam bilik dia, seolah-olah ada orang baling guli dalam kuantiti yang sangat banyak secara serentak depan dia. Bunyi tu bising dan menakutkan dia. Dia pun lari duduk ruang tamu dengan segala bantal dan berharap aku balik cepat. Semalaman dia kena ganggu. Tapi melalui bunyi saja. Dia tak lari keluar sebab dah lewat malam jadi dia perlu bertahan. Kesian dia.

Lepas Nella pindah keluar, bilik dia kosong. Tak sampai 24 jam, housemate aku Habsah dengan Sarimah pindah masuk bilik tu. Asalnya depa duduk master bedroom tapi volunteer diri nak pindah bilik. Aku tak kisah, suka hati hangpa la. Jadinya master bedroom dah tak crowded, tinggal sorang saja lagi dalam tu. Nama dia Dula. Aku pulak tetap dengan bilik aku.

Lone ranger. Lepas Nella pindah, ada berlaku kejadian-kejadian pelik. Habsah dengan Sarimah kata selalu bunyi seolah-olah orang lempar guli yang banyak sekaligus dalam bilik tu. Pernah jugak depa dengar macam orang main-main dalam bilik tu. Main kejar-kejar ka apa entah.. Gurau-gurau mungkin. Tapi sykurlah depa tak nampak. Kalau tak, kesian depa dua tu.

Tak lama lepas tu, akibat cuaca terlalu panas beberapa minggu kebelakangan tu, aku ajak Habsah dengan Sarimah tidur kat ruang tamu. Panas nak tidur dalam bilik. Kami bentang toto dan tidur 3 orang kat situ kecuali Dula. Dula ni jenis penakut tapi tak tunjuk dan sangat positif orangnya. Tapi kami tau dia penakut sebabnya dia tak akan benarkan kami tengok cerita seram kalau dia ada. Aku pun tak suka tengok cerita seram, jadi tak ada masalah bagi aku.

Malam tu, aku, Habsah dan Sarimah siap-siap nak tidur, aku toleh pandang bilik Dula. Dia tak tutup lampu. Nampak cahaya dari ruang bawah pintu bilik dia. Aku tau, dia tengah takutlah tu. Sebab dia selalunya akan padamkan lampu bila nak tidur. Aku pejamkan mata, tidur.

Seperti selalu, aku terjaga pukul 2 pagi. Dalam gelap tu, hujung kaki Habsah ada benda perhatikan kami tidur. Biasa, serupa bayang saja dan berwarna hitam. Habsah dengan Sarimah ni tak sedar apa dah. Tidur mati. Aku punyalah ketar, terus bangun petik suis lampu dan pandang kiri kanan. Tak ada apa pulak.

Aku baring semula tepi Sarimah, aku pejam mata semula. Taraaaa, ‘dia’ ada sebelah Habsah. Tapi tak kacau. Aku pejam mata lagi rapat dan berdoa semoga aku dapat tidoq semula tapi malangnya aku dah tak boleh lelap pun. Tak fikir lama, aku kemas bantal dan aku tolak Sarimah. Dia blur. Aku cakap takut, jom tidur dengan Dula dan aku terus blah pergi bilik Dula. Habsah aku tinggal. Weh, benda tu ada dengan Habsah kot. Sarimah dalam blur-blur kejutkan Habsah dan semua orang tak tanya banyak ikut saja aku.

Dula pun tak tunjuk reaksi pelik bila semua orang ada dalam bilik dia. Sah! Aku rasa dia pun tak sedap hati. Sebab tu dia tak padamkan lampu. Nasiblah bilik Dula ni besar, semua orang sambung tidur dan tak kena ganggu.
Beberapa hari jugak kami tidur ramai-ramai dalam bilik Dula. Dua hari jugak kot semua orang dengar apa yang aku dengar.

Lebih kurang pukul 2 ke 3 pagi. Bunyi muzik yang menyeramkan. Sayup-sayup tapi muzik tu rancak dan keras. Aku tak pasti kali ni genre apa pulak dia mainkan. Lemah semangat sungguh kami semua. Masing-masing diam.

Pelik betul. Kenapa bila Nella dah tak ada, ‘dia’ ganggu semua orang? Siapa Nella sebenarnya? Semua orang tertanya-tanya dan aku tetap diam. Aku tak dak jawapan untuk semua tu.

Cumanya… Lepas tu, dia munculkan diri. Akulah yang kena. Masa ni malam. Magrib rasanya masa tu. Semua housemate aku dalam bilik masing-masing. Aku dekat dapur, nak masak ka buat apa aku tak pasti. Lupa dah. Singki di dapur dengan balkoni di ruang tamu bertentangan tau.

Dari balkoni tu boleh nampak singki. Balkoni tu pulak ada pintu dan pintu tu cermin kaca. Mula-mula tu aku dapat rasa dah ada dekat dapur dia melintas, laju. Aku jenguk, nampak la hitam saja pun. Biarlah. Malas nak layan, takut. Sambil buat kerja kat dapur tu, aku pusing nak buang sampah dalam bakul. Allah! Astaghfirullah! Allah, Allah, Allah!!! ‘Dia’ lekapkan muka dia di pintu kaca balkoni tu dan tangan kedua-duanya pegang cermin menghadap aku.

Rupa dia, rambut serabut panjang, baju putih kotor meleret ke bawah dan mata dia bulat statik menghala ke aku tanpa riak. Aku tergamam, terkejut, terjerit Allah saja masa tu. Aku tak pandai nak halau atau apa, jadi aku baca apa yang patut macam selalu aku baca kalau jadi lagu ni. Al-Fatihah, ayat kursi dan 3 qul.

Aku tenangkan diri dan hembus dengan keyakinan yang Allah ada untuk jaga aku dan ‘dia’ tak mampu memudaratkan aku tanpa izin Allah.

Aku nak lari ke bilik, aku kena lalu ruang tamu tu dan bermakna aku kena lalu depan dia. Jadi, aku buat keputusan yang aku akan sambung buat kerja aku dan anggap dia tak wujud kat situ walaupun jelas, nyata dan terang dia masih kat situ perhati aku. Terpaksa aku berlagak selamba dan siapkan kerja aku. Berberapa kali aku toleh nak usyar dia ada lagi ka dak, dia dok ada situlah.

Stres mak nak. Adoiii la. Bila aku dah siapkan semua kerja kat dapur tu, Sarimah keluar dari bilik. Dia nak sangkut tuala dia dekat tempat jemur baju di balkoni tu. Sumpah aku tak habaq ke Sarimah yang dia lalu sebelah ‘dia’ tu. Syukurlah Sarimah tak nampak, kalau dia nampak…

Housemate aku yang lain pun tak nampak dan untuk buat depa semua tak takut, aku diam-diamkan sajalah. Semua orang bergembira hidup aman, damai dan sejahtera lepas tu tanpa depa tau aku sedang sengsara jiwa dan raga melalui liku-liku hidup di dunia fana ni.

Paling win, aku ada housemate yang suka makan tak kira waktu. Si Dula tu la. Asal dia lapar, dia makan. Lantaklah pukul berapa pagi pun. Kalau dia tidoq dan dia terjaga pukul 2 3 pagi pun, kalau perut dia lapar.. dia tak akan bertolak ansur. Dia bangun, pi dapur dan tengok apa yang boleh dimakan.

Kalau tak ada apa untuk dimakan, dia masak megi. Dan dia… kurus. Cantik pulak tu. Memang aku cemburu dengan dia sebab dia berani. Berani bila lapar saja. Waktu lain, dia penakut. Aku pun tak faham jugak sikap dia. Aduii.

Aku kalau terjaga dan perut aku menangis dan meronta-ronta lapar pun, terpaksa aku suruh perut aku bertahan. Tunggulah subuh, jangan harap aku nak bangun makan. Kalau tak tahan jugak, aku minumlah air yang memang aku sedia dalam bilik supaya perut mampu bertahan.
Satu hari tu, dalam pukul 4 pagi. Bisingnya dapur aku.

Dula lah tu masak. Kebetulan bilik aku tak jauh dari dapur, memang aku dengarlah segalanya. Pung pang pung pang dia dok buat apa entah di dapur. Susun periuklah, masaklah. Bisingnyaaa. Aku pun dengan yakinnya terus kata, ‘dia ni mangkit masak pulak la tu. Lapaq sedia.’ Dan tanpa serba salah, aku tarik selimut dan nak sambung tidur semula. Selesanya.. sejuk.

Syurgaaa… Senyum dan wait a minute! Mata aku terbeliak dan senyuman aku mati terkubur tanpa batu nisan. Tau tak, Dula yang suka makan dan masak tak kira masa tu… dia… balik kampung! Habis tu, sapa kat dapur? Masak, mengemas? Allah!!! Tuhan, apakah dosaku? Menangis tak berlagu aku tunggu subuh.

Masa ni Nella ada lagi. Esok tu, dengan gelabah biawak aku serbu Nella dan tanya dia ada bangun tak semalam? Masak ka atau kemas dapur.. Dia kata tak. Habsah dan Sarimah? Semua tak ada. Okey, fine!

Yang aku geramnya… Melampau sangat ‘dia’ bila aku tak kacau dia, dia kacau aku nak tidoq. Aku siapkan tempat tidoq macam biasa. Kibas-kibas tilam ikut sunnah nabi. Susun bantal kiri kanan, letak selimut tempat yang mudah tarik kalau sejuk dan bersedia dari segi pendinding diri dengan bacaan doa-doa amalan. Lagipun bahaya kalau aku main tidoq, sebab berdasarkan pengalaman aku.. Aku tak boleh main hentam lompat atas katil dan terus kroh kroh tidoq terbongkang. Bahaya.

Aku kena pastikan tempat aku tidoq tak ada sebarang bahaya macam jarum atau apa. Sebab pernah jadi, tu aku lebih berhati-hati. (Rujuk kisah 3 aku)

Aku bersedia nak tidoq, tau ‘dia’ buat apa? Dia baling besi penyangkut langsir bilik aku tu ke arah muka aku. Besi tu dah la boleh tahan sakit kalau kena muka. Mungkin sebab aku dah pagar diri sebelum tidoq, Allah jaga aku. Besi tu terpelanting jatuh di sisi katil dan bunyi besi tu jatuh tak macam bunyi besi jatuh kalau kita yang jatuhkan sendiri. Bunyi dia sangat kuat.

Macam bunyi sesuatu yang dihempaskan sekuat hati. Memang aku yakin ‘dia’ cari pasal. Lagipun jarak langsir tu dengan tempat jatuh besi tu jauh. Kalau jatuh sendiri, tentu tepi-tepi tu saja. Ni nampak sangat attack muka aku. Kalau kena mata, bahaya tu. Aku sedih betul, aku tak kacau apa pun. Dan aku terus tidoq dalam keadaan berhati-hati.

Aku tak mau jenguk pun besi tu lagi, esok baru aku nak cari. Dan esok aku cari, ya memang betul hanya besi langsir dan bunyi kuat tu sangat tak lojik dengan saiz besi tu. Aku simpan besi tu dan sampai ke hari ni aku tak pasang semula. Satu besi tu tercabut, tak apa… Besi-besi lain tu ada lagi. Biarlah…

Kadang-kadang aku penat nak hadap semua ni. Harap dia tak kacau lagi. Sebab tu aku dok habaq sebelum-sebelum ni pun, tak seronok kalau boleh nampak depa tu. Terseksa dan bahaya. Dan kalau tak tau apa-apa, jangan berani-berani nak minta untuk nampak sebab tak seronok langsung.

Benda tu mungkin tau kalau kita boleh nampak dia. Kita tak suka dan dia pun tak suka. Sangat tak selamat dan tak bahagia untuk teruskan hidup dalam ketakutan.

Jadikan saja semuanya yang berlaku dalam hidup sebagai pengajaran dan mungkin Allah tegur kita atas dosa dan khilaf kita selama ni. Kita tak sedar pun kadang-kadang kita buat salah. Berlapang dada, okey?

Dan kalau orang sudi nak kongsi cerita dia dengan hangpa, tolong jangan kecam. Sebab bukan semua orang baik dalam dunia ni. Kot hangpa silap cakap, orang tu pulak jenis berdendam… suruh ‘dia’ pi kacau hangpa yang komen guna fb peribadi, letak gambaq sendiri pulak tu.. ambik habuan. Jangan kata Cantik tak payung na… tapi Cantik bukan pendendam. Sekian.

#Cantik

Leave a Reply

11 Comments on "#Cantik: Mata Keempat ‘Ini Rumah Aku’"

avatar
Sort by:   newest | oldest | most voted
angel niko

mcm tahu saja kat mana tmpt awak tgl tue…sbb ada duduk sekali ngan blogger tue…hihihihihihi…beautiful sya agak2 tue….kikikiki..best bca citer awak..truskan menulis k..

Tiara

Waaa. Kat mana tu. Share la. Vlogger atau blogger?

Haha. Kepochi je.

Cantik

angel niko, hahaha… Kalau tau, diam-diam sudah tau.
Baca memang best tapi yang mengalami ni jantung boleh berhenti berdegup.
Gulp!

Rerama Biru
hi CANTIK.. syok noh dapat duduk free company payungkan. Bertabah la ye menghadapi hari2 mendatang dengan “kelebihan” yang ada. Ada hikmahnya setiap sesuatu kejadian. (tapi sy tak kuad haha hope sy tak nmpk mcm awk la). Dulu penah nampak yang berbulu besar tinggi mata merah… tapi tu last la nampak camtu dah gigil satu badan lari tak cukup tanah huhu. Selalu rumah2 yang ada “penghuni” ni mesti rumah kosong yang dah lama ditinggalkan. Bila orang baru masuk tu la yang “depa” marah atau bagi “salam perkenalan”. Tringat zaman belajar dulu kalau nak tengok cerita hantu semua tido kat ruang tamu pasang lampu buka satu laptop siap dengan speaker kasi feel lebih, masing2 dengan bantal & selimut. Kalau takut boleh la peluk kawan seblah. Part hantu muncul Paaappp!! blackout satu taman perumahan. ok, masing2 diam msuk dalam selimut terketar2 dok pegang2 kawan. Time tu tah betul ke kwn2 kat seblah.. semua tangan kaki sejuk je haha pagi tu, sedar2 ada yang tidur atas sofa ade yang tidur tepi pintu, tepi tangga. Maka berhuhu la kami tak pergi kelas satu rumah tak mandi lepak kedai makan tenangkan… Read more »
Cantik

Hai rerama biru.
Syukur, alhamdulillah kompeni payungkan semua.
Ni rumah baru, bukan rumah tinggal. Tapi biasalah, perempuan semua. Sibuk dia nak inter frame.
Haha… Hati-hati tengok cerita seram.

Rerama Biru

eeee takutnye hehe

ppslayer

setuju tu. kalau boleh nampak ni memang susah. kalau yang budak ni mak bapak akan anggap budak tu cuma berkhayal jak. btw kenapa kalau sudah tutup hijab ni dia terbuka balik?

Cantik

ppslayer, selalunya mak bapak depa pun takut jugak. Untuk sedapkan hati sendiri, cakaplah anak-anak depa yang boleh nampak tu berkhayal.
Saya ada anak buah yang boleh nampak jugak dan hidup dia sangat terseksa sebab benda tu suka kacau dia. Dia selalu nampak yang hodoh-hodoh. Dah banyak kali bawak berubat untuk tutup hijab tu tapi selalu terbuka semula. Tak ada idea dah nak ikhtiar lagu mana lagi…

Kak Yulie

Akk pon jeles ngan Dula tu…
Bkn sbb keberanian die bangun pepagi membuta, tp sbb die boleh makan time cenggitu dan menten kurus cantik…
Aaarrrgghhhh…
Ini tidak adil…!!!

Aritu mase memule pindah masok umh kompeni bg, gardener dok citer umh tu haunted horror…
Setiap org yg dok umh tu msti akan mimpi something atau kena kacau…
Siap penah geng2 bujang dok umh tu pon deme x berani stay memalam kt situ, sanggop tumpang tdo umh org lain…
Tapi Alhamdulillah, kami sekeluarga cume disapa sweet2 gitu jer…
Xdelah sampai tahap nak lari dr rumah, hehehehehe…

Cantik

Kak Yulie, kalau akak jumpa Dula kat luar mesti tahap kejelesan akak akan meningkat. Haha…
Tentang rumah, kita banyak-banyak berdoa la semoga tak ada berlaku kejadian pelik-pelik.
Risau tu…
Sebab kak yulie sweet kot sebab tu dia hai-hai macam tu saja. :p

Carnage

Kokak je jari dia KY. Msti tobat xngacau lg 😀

wpDiscuz