#CarlitoRocker – SERAM ALAM GHAIB DI BULAN RAMADHAN-

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh & Salam Sejahtera buat pembaca-pembaca kisah seram di page Fiksyen Shasha sekalian. Lama sungguh rasanya aku tidak bersiaran kerana kekangan waktu dan tuntutan kerja hakiki. Untuk edisi ini izinkan aku untuk berkongsi kisah sebenar mengenai JENIS-JENIS MAKHLUK YANG WUJUD DI ALAM GHAIB. Seperti biasa awal bicara dimulakan dengan kalimah suci lagi agung Bismillahirrahmanirrahim. Semoga kita semua berada di dalam lindunganNya sepanjang masa.

Kawan-kawan sekalian, terdapat banyak persamaan di antara penghuni di alam ghaib dan di alam nyata. Apa yang pasti kita semuanya berkongsi alam dan berkongsi sumber yang sama. Cahaya matahari, air, tumbuh-tumbuhan, suhu & iklim cuaca, udara, tanah, dan sumber-sumber mineral dikongsikan bersama seperti yang telah difitrahkan oleh Allah atas kejadian penciptaan kita semua. Walaubagaimanapun terdapat jurang sekatan di antara kedua-dua dunia. Golongan jin dan seluruh makhluk di alam ghaib dapat melihat penghuni di alam nyata tanpa dihalang oleh sebarang tirai pelindung (hijab) manakala penghuni di alam nyata iaitu manusia secara keseluruhannya tidak mampu untuk melihat kewujudan kejadian mereka semua kecuali hanya golongan tertentu sahaja disebabkan oleh sempadan penglihatan yang terbuka ataupun individu tersebut adalah individu yang kasyaf. Daripada pengalaman dan pemerhatianku sendiri, makhluk-makhluk yang wujud di alam sana kesemuanya adalah jin tetapi dikelaskan kepada beberapa bentuk fizikal kejadian mereka iaitu:

1. Hantu/Iblis/Raksasa.
2. Haiwan Ghaib.
3. Manusia Jelmaan & Bunian.
4. Manusia Jelmaan Kacukan Haiwan.
5. Extra Terrestrial @ Alien.

Adapun mereka semua telah difitrahkan seperti kejadian di atas, mereka juga boleh melakukan penyamaran kepada bentuk lain seperti manusia dan haiwan tetapi ia tertakhluk kepada had keupayaan diri mereka sendiri.

Seperti yang semua sudah maklum, kebanyakan makhluk di atas boleh memunculkan diri mereka di alam nyata dan ada daripada kalangan mereka yang berkhidmat untuk manusia iaitu menjadi khadam dan sahabat kepada manusia bagi tujuan tertentu. Ada manusia yang menyeru mereka bagi tujuan ilmu hitam dan sihir, ada yang membela mereka sebagai pelindung harta benda dan keluarga mereka (saka), dan ada juga yang menjalinkan hubungan terlarang sehingga ke peringkat berkeluarga (manusia-jin bunian). Baiklah tanpa membuang masa lagi aku akan membuat sedikit kupasan mengenai makhluk-makhluk yang wujud di alam sana.

Hantu/Iblis/Raksasa

Makhluk-makhluk yang mempunyai fizikal yang agak ganas, mengerikan, seram, dan angker ini aku kelaskan sebagai pengacau dan penghancur kebahagiaan kepada manusia. Mereka diibaratkan seperti sampah sarap yang bertaburan di alam sana. Rupa yang hodoh dan buruk ditambah pula dengan perangai yang terkutuk amat bersesuaian dengan kata pepatah moden iaitu rupa dan perangai sama hodoh sama bodoh. Kebanyakan daripada mereka bergerak secara bersendirian dan mereka mampu untuk menjelma di dunia nyata tanpa sebarang masalah. Mereka mengganggu manusia sebagai terapi hiburan kepada diri mereka semua. Ada daripada mereka yang sememangnya telah ditugaskan oleh pemerintah atasan mereka (jin-jin kelas atasan) untuk melakukan kekacauan, huru-hara, dan mengganggu manusia di alam nyata dan terdapat juga daripada kalangan mereka yang telah diseru oleh segelintir manusia untuk mengacau, menyakiti, dan mengganggu manusia lain atas sebab dengki, iri hati, dendam, ataupun kerana berkehendakkan sesuatu daripada mangsa tersebut. Iblis Bertanduk, Pontianak, Langsuir, Kelembai, Jembalang-Jembalang, Hantu Raya, Hantu Galah, Pocong, Kum-Kum, Hantu Kopek, dan segala jenis keturunan mereka tergolong di dalam jin yang berbentuk seperti ini. Raksasa pula adalah sejenis jin yang sangat besar dan ganas. Kebanyakannya tinggal di darat dan di dalam laut. Hanya segelintir sahaja yang tinggal di atas langit. Hantu Beruk/Monyet Gergasi, Kraken dan Pari-Pari gergasi aku klasifikasikan sebagai raksasa kerana saiz mereka yang besar dan bersifat pemusnah.

Haiwan

Kita beralih pula kepada makhluk seterusnya iaitu haiwan-haiwan di alam ghaib. Seperti juga di alam nyata, haiwan-haiwan juga wujud di alam sana. Ada yang berbentuk sama seperti di alam nyata, ada versi dinaik taraf, dan ada juga haiwan yang tidak pernah wujud di alam nyata. Mereka juga adalah golongan jin. Kucing, anjing, harimau, beruang, ular, serigala, singa, burung-burung, dan haiwan-haiwan lain juga wujud di alam sana tetapi dalam versi ghaib. Rupa fizikal dan sifatnya masih kekal seperti haiwan sebenar. Manakala haiwan asas yang sememangnya wujud di sana adalah naga, bigfoot, yeti, burung garuda, burung phoenix, kuda iblis, singa gunung, ikan duyung, singa kambing, kambing laut, buaya emas, buaya putih, dan semua jenis ayam hutan. Haiwan-haiwan versi naik taraf pula adalah seperti kucing/anjing/singa terbang, kuda terbang, kuda unikorn, kibas/lembu/kerbau/kambing/kura-kura/landak gergasi, ular/biawak/kelawar berkepala bercabang, serangga-serangga berbisa, dan haiwan-haiwan ganjil yang lain. Setiap haiwan yang wujud di sana mempunyai raja dan ketua pemerintah yang tersendiri. Ada daripada mereka yang mempunyai aksesori tambahan di badan mereka seperti rantai, gelang berduri, kasut, mahkota, pelindung tangan & kaki, dan penutup kepala. Ada juga yang bersenjatakan pisau belati, rantai besi, cemeti, kayu pemukul besi, dan taji ayam. Kebanyakan daripada haiwan di sana mampu berkomunikasi dengan manusia dan ada manusia yang membela mereka sebagai saka ataupun haiwan belaan serta tidak kurang juga yang menjadikan mereka sebagai sahabat. Saka jenis haiwan yang paling terkenal di dunia kita adalah harimau, singa, ular, beruk, dan naga. Kekuatan mereka adalah berkali ganda daripada haiwan di alam nyata. Sebelum aku terlupa, haiwan-haiwan di sana dipecahkan kepada 2 kumpulan iaitu:

1. Haiwan biasa.
2. Haiwan perang.

Haiwan Biasa

Haiwan biasa adalah haiwan yang hidup seperti haiwan biasa. Ada daripada mereka yang bersifat manja dan ada juga yang bersifat ganas seperti haiwan di alam nyata. Mereka juga menjelma di alam nyata dan terdapat manusia yang pernah dicederekan dan dibunuh oleh mereka. Contoh paling mudah adalah harimau, ular ataupun binatang berbisa yang muncul secara tiba-tiba di dalam rumah manusia. Lalu ia membunuh manusia tersebut sebagai membalas dendam ataupun untuk melindungi diri mereka daripada dicederakan ataupun dibunuh oleh manusia tersebut. Mereka adalah haiwan ghaib, jiwa dan roh mereka adalah berpaksikan kepada bangsa jin. Jin dalam bentuk haiwan.

Haiwan Perang

Haiwan perang pula adalah haiwan yang sememangnya telah terlatih dan dilatih untuk menjadi pahlawan dan tentera bagi tujuan pertempuran dan pembunuhan untuk sebarang jenis makhluk samada yang wujud di alam sana ataupun di alam nyata. Mereka bersifat ganas dan sukar untuk dijinakkan seperti haiwan biasa. Kebiasaannya untuk mengenalpasti samada haiwan tersebut adalah haiwan biasa ataupun haiwan perang adalah berdasarkan daripada penampilan mereka sendiri. Mereka memakai aksesori-aksesori seperti yang telah aku nyatakan di atas. Di antara jenis-jenis haiwan perang yang masyur di alam sana adalah naga, singa, helang gergasi, garuda, ular gergasi, kuda iblis, dan serigala. Mereka juga muncul di alam nyata untuk memburu ataupun kerana diseru oleh manusia bagi tujuan tertentu seperti pergaduhan, menjaga harta benda, pertempuran, ataupun tujuan perubatan. Seruan tersebut mungkin dilakukan atas faktor saka ataupun manusia tersebut menjalinkan hubungan khas dengan mereka.

Manusia Jelmaan & Bunian

Jumlah jin yang berbentuk seperti manusia adalah ramai. Mereka mempunyai pelbagai rupa dan wajah. Ada yang cantik, segak, dan tak kurang juga yang berwajah buruk serta tidak cukup sifat seperti mangsa-mangsa kemalangan ataupun pembunuhan. Jika dilihat dengan sekali imbas tiada sebarang perbezaan yang terpancar pada diri mereka tetapi apabila diperhatikan dengan teliti, perbezaan yang jelas ketara adalah terletak pada kaki mereka yang tidak berpijak pada bumi. Daripada jauh mereka kelihatan seperti sedang berjalan kaki ataupun sedang berdiri tetapi apabila dihampiri dan diamati dengan betul, mereka sebenarnya terapung sedikit daripada tanah. Mereka bukanlah berterbangan tetapi lebih kepada terapung. Mereka berjalan dalam keadaan terapung. Kebanyakan daripada mereka wujud sebagai klon kepada setiap manusia yang wujud di alam nyata. Aku pernah ternampak beberapa orang manusia jelmaan yang kelihatan saling tak tumpah seperti insan-insan yang cukup dikenali oleh rakyat Malaysia tetapi berada di lokasi yang tidak sepatutnya mereka berada. Mereka bukanlah pelanduk dua serupa kerana gaya pergerakan, bahasa badan, dan cara berkomunikasi jauh berbeza daripada manusia biasa. Rutin harian mereka adalah sama sahaja. Apa yang pasti mereka tidak pernah bosan dan merungut kepada sesiapa tentang rutin hidup mereka yang membosankan itu. Ada yang sejak azali sudah mendiami sesuatu tempat itu dan melaksanakan aktiviti harian mereka tanpa jemu. Ianya diibaratkan seperti sebuah sejarah yang berulang kali dimainkan tanpa henti. Selagi tidak dipindahkan ataupun tidak dihalau dari kawasan itu maka mereka akan kekal berada di situ buat satu tempoh masa yang cukup lama. Ada yang kelihatan seperti mangsa kemalangan jalanraya. Mereka seringkali berada di tepi jalan, di tengah jalan, dan di perhentian bas sambil menangis-nangis memohon bantuan. Ada juga yang bekerja siang malam tanpa berhenti seperti menyapu sampah, mengelap tingkap kedai, bertukang membaiki peralatan yang tidak rosak, berjalan berulang kali di tempat yang sama, dan banyak lagi perkara yang dilakukan tanpa jemu. Mereka bukanlah roh orang yang sudah meninggal tetapi mereka adalah manusia jelmaan jin semata-mata. Kehadiran mereka adalah seumpama pengulangan tragedi ataupun kisah yang pernah berlaku di sesebuah tempat itu. Mereka juga mengacau dan mengenakan mangsanya dengan menyamar sebagai sahabat, kenalan, saudara-mara, dan ahli keluarga mangsa itu. Kes-kes gangguan tersebut berlaku tidak mengenal tempat dan masa. Perhatikan gaya percakapan, perbuatan, dan posisi kakinya. Sekiranya berlainan daripada kebiasaan maka bersiaplah korang dengan bacaan kalimah-kalimah suci sambil merenung tepat ke matanya. Berdoalah dan memohon perlindungan kepada Allah dan jangan ditunjukkan ketakutan itu kepada mereka kerana jin amat peka dengan perubahan emosi dan ekspresi yang ditunjukkan oleh seseorang manusia. Untuk pengetahuan korang, entiti yang wujud di alam ghaib kebanyakannya tidak berpijak ataupun menyentuh bumi secara langsung. Mereka terapung beberapa inci daripada bumi. Secara fitrahnya mereka semua berkeadaan terapung tetapi dalam masa yang sama mereka juga mampu untuk berpijak di atas tanah bergantung kepada keinginan dan situasi yang mereka sedang hadapi itu. Ada juga entiti yang secara semulajadinya berpijak dan menyentuh bumi tetapi ia bergantung kepada jenis makhluk tersebut. Manusia jelmaan adalah berbeza daripada bunian kerana daya pemikiran dan konsep cara hidup yang berlainan. Mereka tiada matlamat hidup dan mereka adalah parasit puaka berbentuk manusia. Bunian pula secara fizikalnya berbentuk sama seperti manusia biasa. Mempunyai perangai, sifat, dan kehidupan yang sama seperti manusia. Apa yang membezakan adalah mereka tidak mempunyai jasad yang nyata dan hidup secara ghaib. Mereka hidup di dalam kelompok-kelompok yang tersendiri, mempunyai penempatan & wilayah-wilayah daulat serta terdiri daripada golongan jin Islam dan jin Kafir. Untuk lebih terperinci sila rujuk balik artikelku yang lepas mengenai mereka iaitu BUNIAN & BUNIAN (TAMADUN).

Manusia Jelmaan Kacukan Haiwan

Mereka adalah golongan jin yang pada asal berbentuk seperti manusia tetapi telah mengalami proses evolusi apabila dikacukkan dengan jin berbentuk haiwan. Mereka adalah golongan jin kacukan ataupun jin hybrid. Pada artikel yang lepas aku telah menerangkan tentang spesies jin kacukan iaitu kombinasi di antara genetik jin darat, udara, dan air. Sila rujuk kembali pada kisah NAGA untuk penerangan yang lebih terperinci. Konteks pada kali ini masih sama kecuali ianya adalah berkenaan dengan jin darat berbentuk manusia yang telah melalui proses kacukan dengan jin yang berbentuk haiwan. Hasil daripada kacukan itu maka wujudlah beberapa jenis baka kacukan unik seperti orang kuda, orang serigala, orang kelawar, dan juga ikan duyung. Orang kuda berbentuk separa kuda dan separa manusia. Ia memiliki 2 pasang kaki seperti kuda, berekor kuda, mempunyai sepasang tangan seperti manusia, dan berkepala manusia. Bergerak dan berlari seperti kuda. Bercakap dalam bahasa sendiri, hidup berkumpulan, dan bersifat pemanja. Orang serigala pula adalah seekor serigala jadian yang berbentuk seperti seekor serigala gergasi. Berkepala serigala tetapi berwajah manusia, otot-otot di tangan, kaki, dan badan adalah seperti manusia biasa. Bergigi taring, berkuku tajam, dan mempunyai ekor yang panjang lagi kembang. Bergerak dan memburu seperti seekor serigala. Mampu berkomunikasi dengan manusia biasa. Korang jangan bandingkan orang serigala dengan serigala jadian seperti di dalam filem Twilight ataupun filem-filem mengenai serigala jadian lain kerana rupabentuk mereka adalah jauh berbeza daripada serigala jadian tersebut. Orang serigala tidak akan tiba-tiba bertukar menjadi manusia kerana rupabentuk asal mereka adalah seperti yang telah aku nyatakan di atas. Mereka hidup secara berkumpulan dan boleh diklasifikasikan sebagai makhluk yang tidak mesra dengan makhluk berlainan jenis daripada mereka. Orang kelawar pula memiliki badan seperti manusia, mempunyai sepasang kepak kelawar yang besar, berkaki kecil & berkuku tajam, badan penuh berbulu, dan memiliki sepasang tangan serta wajah seperti manusia. Kerap muncul di alam nyata. Lazimnya ia tinggal di atas bangunan dan di dalam bumbung rumah yang tinggi. Ia bergerak dan tinggal secara individu. Ia juga boleh berkomunikasi dengan manusia. Ikan duyung pula berbentuk seperti seekor ikan merah yang panjang dan besar, bertubuh tegap, berkepala manusia tetapi berwajah seperti puaka. Maksudku wajah mereka tidak seperti duyung yang wujud di dalam filem, buku cerita, ataupun seperti duyung yang selalu korang lihat itu. Daripada pemerhatianku, wajah mereka adalah pucat, bergigi bergerigis tajam, mempunyai insang di bahagian leher, telinga & leher bercantum serta mempunyai lebihan kulit seakan-akan kulit tegang, berambut panjang, dan mempunyai sepasang tangan seperti manusia tetapi berjari lebih panjang daripada manusia biasa. Ia juga mampu berkomunikasi dengan manusia. Aku yakin bahawa sejenis lagi duyung yang cantik lagi terkenal itu sememangnya wujud tetapi mungkin belum rezekiku lagi untuk menyaksikan kehadiran dan penampakan diri mereka di depan mataku ini. Mungkin masanya belum tiba lagi. Wallahualam. Orang kuda dan serigala kebanyakannya tinggal di dalam hutan tebal & kawasan berbukit, orang kelawar tinggal di kawasan yang tinggi & berpokok, manakala ikan duyung pula tinggal di dalam lautan dan hanya sesekali timbul di pesisir laut terutamanya di kawasan berbatu dan di kawasan bertukun.

Extra Terrestrial/Alien

Mereka adalah bangsa jin yang tertua dan dilengkapi dengan teknologi yang jauh lebih moden berbanding dengan teknologi yang kita miliki sekarang. Mereka aku gelarkan sebagai bunian moden. Bersifat agresif dan tidak tinggal setempat. Mereka berpindah randah dan biasanya bergerak di dalam kumpulan yang kecil. Mempunyai peralatan dan kelengkapan yang sangat maju dan mereka adalah tergolong di dalam kumpulan jin kelas atasan. Mereka boleh muncul di dalam pelbagai rupa dan bentuk. Mereka mempunyai 2 bentuk fizikal berbeza. Bentuk yang pertama adalah adalah seperti manusia biasa, berwajah besar dengan dahi yang lebar & luas, dan berketinggian hampir 7-8 kaki. Bentuk yang kedua adalah seperti Alien berkepala besar yang selalu kita saksikan itu. Apa yang pasti walaupun rupabentuk mereka adalah berbeza tetapi mereka menjalankan tugas yang sama iaitu melakukan kerosakan di bumi dan meninjau kehidupan seluruh makhluk di alam semesta untuk kajian mereka. Mereka berlegar di atas langit dan hanya muncul di daratan untuk tempoh waktu yang singkat sahaja. Selalunya mereka hanya singgah untuk mendapatkan sumber makanan ataupun dengan niat untuk mengganggu dan menunjukkan kehebatan mereka kepada manusia. Mereka bukanlah seperti makhluk-makhluk puaka lain. Mereka berilmu tinggi, bijak, pandai, serta menyimpan segala ilmu dan kepakaran yang telah wujud dari zaman Nabi Adam as sehinggalah ke zaman sekarang. Seperti yang telah aku jelaskan di dalam kisah Bunian (Tamadun), mereka adalah The Supreme Explorer. Mereka bukan haiwan, bukan robot, dan bukanlah projek rahsia ciptaan saintis-saintis barat. Mereka adalah jin. Kalendar kita pada zaman sekarang jelas tercatat tahun 2017. Ini bermakna tamadun kita baru berusia 2,017 tahun. Apakah kejadian yang sebenarnya pernah berlaku pada 2,017 tahun sebelumnya? 10,000 tahun sebelumnya? Adakah teknologi kehidupan manusia pada waktu itu terlalu kuno dan mundur? Adakah mereka semua berpakaian seperti orang asli dan hanya menjalankan aktiviti bercucuk tanam, menternak haiwan, menangkap ikan, dan mengait baju sebagai sumber kehidupan dan ekonomi pada waktu itu? Jawapannya tidak. Mereka sebenarnya jauh lebih maju daripada tamadun yang kita diami pada zaman sekarang. Kenapakah semuanya telah lesap seolah-olah tiada langsung bukti teknologi moden pernah wujud di era tersebut? Jawapannya adalah disebabkan oleh bala yang telah Allah Taala pernah timpakan kepada umat-umat nabi terdahulu kerana telah melakukan kerosakan, kemungkaran, maksiat, dan kejahatan yang berleluasa pada ketika itu. Semuanya telah musnah dan hampir tiada bukti yang wujud untuk mengesahkan tentang kemodenan di era itu. Akibat daripada peristiwa tersebut, manusia terpaksa bertatih dan bermula semula daripada awal. Segala ilmu-ilmu dan kepakaran umat manusia yang terdahulu disimpan dan dijaga rapi oleh golongan jin ini. Apakah signifikan kepada penciptaan kuasa elektrik, gelombang radio, sinaran X, dan nuklear? Adakah ianya adalah suatu penciptaan dan penemuan saintis itu sendiri ataupun ia adalah sekadar kitaran semula daripada teknologi yang pernah wujud daripada zaman lampau? Berfikirlah dan luaskan lagi minda korang semua.

Rumusan Ringkas Perihal Hijab

Hijab terletak pada beberapa tahap. Tahap tertinggi dimiliki oleh baginda Rasulullulah SAW. Peristiwa Israk & Mikraj, Al-Quran, dan hubungan secara terus dengan malaikat adalah bukti bahawa hijab baginda adalah hijab tertinggi di kalangan semua bangsa manusia di alam ini. Individu biasa yang mampu melihat dan menembusi alam ghaib samada kerana anugerah daripada Allah Taala ataupun kerana gangguan jin ataupun dibukakan sendiri hijabnya terletak pada aras paling bawah bagi kategori ini. Ianya terhad dan yang pasti kebolehan setiap individu adalah berbeza. Ada banyak lagi rahsia yang tersimpan dan yakinlah bahawa kita semua tidak bersendirian. Mereka juga hidup dan berada berdekatan dengan kita semua. Jumlah jin adalah jauh lebih besar daripada jumlah semua manusia. 50% tinggal di dalam lautan, 30% berada di daratan, dan 20% tinggal di awangan. Aku sekadar menyampaikan ilmu yang aku tahu dan ditambah pula dengan pengalaman-pengalaman hidup yang telah banyak mengajarku tentang kehidupan.

Kita bergerak ke segmen seterusnya iaitu sesi pengalamanku ketika diganggu oleh makhluk ghaib. Memandangkan kita semua berada di dalam bulan Ramadhan maka aku ingin bercerita mengenai gangguan Langsuir yang pernah menggangguku di bulan Ramadhan pada suatu ketika dahulu. Untuk topik hantu pari, kraken, dan makhluk-makhluk ghaib di dalam lautan akan aku ceritakan di edisi seterusnya. Ramai sungguh rasanya pembaca yang request tentang kisah mengenai kewujudan mereka. Aku tangguhkan dahulu kisah tersebut. Maafkan saya, harap bersabar, dan harap maklum.

PERISTIWA DI BULAN RAMADHAN 2007.

Ramai yang beranggapan bahawa setiap kali munculnya bulan Ramadhan maka puaka-puaka dan hantu terus hilang begitu sahaja. Jawapannya salah. Yang dibelenggu dan dirantai itu adalah Syaitan iaitu makhluk yang bersifat menghasut dan menggoyahkan iman manusia. Bisikan-bisikan dan godaannya adalah penambah rencah dan pembakar nafsu setiap manusia. Puaka-puaka dan hantu pula adalah golongan jin fasik dan kafir yang bersifat mengganggu manusia. Mereka adalah golongan jin dan tidak terbelenggu ketika bulan Ramadhan menjelma. Tanpa membuang masa aku mulakan penceritaan ini.

GEROBOK LANGSUIR

Kejadian yang agak seram pada bulan puasa dalam tahun 2007 ketika aku berusia 20 tahun itu masih lagi terpahat dengan jelas dibenak memori ini. Ketika itu aku dan adik lelakiku iaitu Naufal sedang menghabiskan cuti hujung minggu kami di rumah arwah tok Wan. Hanya kami berdua sahaja yang berada di situ manakala ahli keluarga yang lain berada di rumah ibu bapa kami. Rumah banglo setingkat milik tok Wan boleh dikatakan agak luas & besar, mempunyai banyak bilik tetapi sunyi tidak berpenghuni.

Tuk tuk. Tuk tuk. Kertuk tuk. Ketukan halus di dalam bilik stor itu jelas tertangkap di telingaku ketika itu. Aku menyangkakan bahawa mungkin terdapat tikus yang sedang menggeledah mencari makanan di situ lalu aku abaikan sahaja bunyi itu. Bunyi hentakan kayu yang kuat dan bertalu-talu ke arah dinding telah mengejutkanku yang ketika itu sedang khusyuk membaca surat khabar. Hari yang masih siang menidakkan teoriku bahawa bilik tersebut diceroboh dari luar. Kedudukan rumah tok Wan yang agak terbuka dan boleh dilihat jelas dari jalan raya menolak terus teori pencerobohan itu. Tanpa membuang masa aku terus menuju ke bilik stor itu.

“Apahal gerobok ni bergegar semacam? Kuatnya bergoncang. Allah…”

Sebuah gerobok antik yang memuatkan buku-buku dan kitab-kitab lama bergoncang dengan begitu kuat di situ. Aku memerhatikan dengan teliti di segenap ruangan stor dan di celahan gerobok itu untuk memastikan samada terdapat kehadiran makhluk yang tidak diundang ataupun tidak. Ternyata tiada sebarang kemunculan ataupun kehadiran makhluk-makhkuk durjana itu. Mindaku terasa kosong, logik dan fakta bercampur baur. Dengan tidak semena-menanya aku mara dan terus memeluk gerobok itu dengan seerat mungkin. Aku seperti dipukau dan dikawal oleh sesuatu. Pemikiranku berada di bawah separa sedar. Logik fikiranku menyatakan bahawa untuk terselamat aku harus memeluk erat gerobok itu supaya ianya tidak meletup. Memang tidak masuk akal bunyinya tetapi seperti yang telah aku nyatakan bahawa aku seperti sedang dikawal oleh sesuatu dan fikiranku hanya membenarkan tindakan yang mengarut itu. Walhal secara praktikalnya aku hanya perlu membuka pintu tersebut untuk mengetahui punca sebenar gerobok itu bergoncang dengan kuat.

“Aish, kau buat apa tu? Kenapa kau peluk gerobok tu?” Naufal menegur perbuatanku dari belakang. Tiba-tiba sahaja dia berada di situ. Mungkin akibat terlalu khusyuk dengan perbuatan memeluk gerobok itu, aku langsung tidak menyedari kehadirannya itu.

“Tolong aku Fal, jangan tengok sahaja. Tolong aku peluk gerobok ni. Makin kuat bergoyang ni. Kang meletup gerobok ni mati kita nanti.”

“Kau cakap apa ni? Apa yang bergoyang?”

“Gerobok ni bergoyang kuat. Tolonglah aku.”

“Kau yang bergoyang, bukan gerobok tu bergoyang.”

“Kau nak tolong aku ke tak nak ni? Aku tak nak mati katak sebab gerobok ni.”

“Kah kah kah. Kau ni buat lawaklah. Kau ke tepi, aku nak tunjuk benda ni. Ke tepi.” Aku mengikut sahaja kata-katanya. Aku melepaskan tanganku lalu aku berundur beberapa langkah ke belakang. Aku perhatikan betul-betul keadaan gerobok itu. Asap putih mula keluar daripada bahagian laci bawah gerobok itu. Aku diantara logik dan takut. Objek apakah yang sebenarnya berada di dalam gerobok itu? Adakah ianya sebiji bom? Adakah arwah tok Wan menyimpan bom perang dunia kedua di dalam gerobok itu? Fikiranku berserabut dan aku mula membayangkan perkara-perkara yang langsung tidak masuk akal.

Lagak berani si Naufal mengalahkan aku selaku abangnya yang pernah beberapa kali berhadapan dengan peristiwa yang lebih getir sebelum ini. Sejujurnya aku masih berfikir bahawa besar kemungkinan gerobok itu akan meletup. Bunyi hentakan ke dinding dan lantai membuatku semakin gelisah.

“Kau nak buat apa tu? Kau jangan acah-acah berani. Tak pasal-pasal kita jadi almarhum nanti.” Jelasku dengan tegas.

“Buat apa lagi? Aku nak bukak pintu gerobok nilah. Bukan ada apa-apa pun. Kau cakap bergoyanglah, nak meletuplah, mengarut sangat.”

Aku berundur jauh di belakangnya sambil menutup telinga. Gerobok itu bergegar dengan kuat dan ianya seperti menghampiri fasa terakhir sebelum ianya meletup. Pintunya dibuka secara agresif oleh Naufal.

“Naufal!!!! ALLAHUAKBAR!!!”

Aku membaringkan diriku di atas lantai sambil menekup telinga dengan kedua belah tanganku. Suasana bertukar sunyi. Tiada lagi hentakan dan goyangan kuat dari gerobok itu.

“Sekarang kau puas hati? Mana ada meletup? Kau bajet kau ni komando ke berbaring macam tu?”

“Kau tak apa-apa ke Fal?”

“Sepatutnya aku yang patut tanya soalan tu kat kau. Kepala otak kau dah ok ke?” Soalan bodoh yang sengaja ditujukan kepadaku supaya aku sakit hati.

Aku bangun dan menuju semula ke arah gerobok itu. Aneh kerana tiada sebarang objek berbahaya ataupun makhluk puaka yang berada di dalam ruangan gerobok itu. Ia juga telah berhenti bergoyang. Apa yang ada hanyalah ratusan buku-buku serta kitab-kitab lama daripada zaman lampau dahulu. Debu putih dan sawang labah-labah halus hampir memenuhi setiap inci dalaman gerobok itu. Di dalam laci pula terdapat sehelai kain kuning yang terlipat kemas di dalam itu.

“Kau puas hati sekarang? Mana ada bom? Aku tengok steady je gerobok ni. Sekarangkan bulan puasa, mana ada hantu setan. Kau pun gunalah otak sama.”

Berdasarkan daripada pengalaman lepas, hantu puaka sememangnya wujud dan aku sendiri pernah beberapa kali diganggu oleh mereka ketika di dalam bulan Ramadhan.

Mataku kembali liar memerhatikan keadaan di dalam bilik stor itu. Aku yakin bahawa bilik itu bersih daripada sebarang kewujudan entiti halus yang tidak aku ingini itu.

“Fal. Aku dah check. Confirm takde. Aku pelik sebab tak logik gerobok lama ni boleh bergoyang macam tu. Mesti ada benda kat dalam tu tadi.”

“Benda apa? Kau syak apa? Selama aku duk kat sini, nilah kes pelik yang super pelik yang pernah aku nampak. Aku kat luar tadi pastu nampak pintu stor terbukak. Bila aku masuk aku nampak kau peluk gerobok ni macam orang gila. Seriously gila. Takde hantunya bulan puasa ni. Kalau ada tunjuk kat aku hantu tu, aku nak hempuk kepala dia. Mana hantu yang kacau kau tu? Mana? Aku nak tengok!”

“Wah, mulut kau…Jangan cakap besar, kau tak nampak dan rasa apa yang aku selalu kena. Kalau kau nampak aku rasa tercirit-birit kau nanti.”

“Bila masa aku cakap besar? Aku cakap tunjukkan hantu yang kacau kau tu. Memang mata aku tak nampak. Tapi aku heran apa? Bukan boleh jadi Superman pun.” Telingaku berdesing, hatiku panas apabila dia berkata begitu. Aku mula menggenggam penumbuk dan bila-bila masa sahaja ia bakal dilepaskan kepadanya.

Sebenarnya aku dan Naufal memang tak sekepala semenjak dia lahir sampailah ke sekarang. Pantang kami berjumpa pasti akan terjadi perselisihan faham. Keluarga kami sedia maklum tentang permasalahan ini. Berbeza dengan adik beradik kami yang lain. Diorang boleh hidup harmoni dan saling toleransi tetapi aku dan Naufal macam langit dan bumi, macam kucing dengan anjing.

“Huh. Memang tak boleh jadi Superman. Cara kau bertanya pun kurang ajar, menjawab lagilah kurang ajar. Siapa yang nak hormat kau? Kau tahu tak sebenarnya hantu dalam gerobok ni beritahu aku tadi. Dia cakap dia nak penggal kepala otak kau pastu dia nak bagi makan kepala kau tu kat anjing Rottweiler rumah orang Cina kat depan tu.” Puas hatiku apabila dapat melontarkan segala amarahku kepadanya.

“Eww…Takutnya aku. Aku peduli hapa dengan anjing tu. Whateverlah Aish, malas aku nak layan. Kau tolong kirim salam kat hantu tu pastu cakap kat hantu tu PERGI MAMPOS. Kah kah kah..”

Maka terjadilah peristiwa pertempuran gaya bebas diantara dua beradik yang telah sekian lama menyimpan dendam kesumat di hati masing-masing. Malangnya pertempuran itu tidak disaksikan oleh sesiapa kecuali kami berdua sahaja. Aku berpegang pada pepatah TERLAJAK PERAHU BOLEH DIUNDUR, TERLAJAK KATA BURUK PADAHNYA, KERANA PULUT SANTAN BINASA, KERANA MULUT BADAN BINASA.

“Padan muka. Lain kali cakap tu elok-elok sikit. Hormat sikit orang yang lebih tua daripada kau. Aku ni abang kau!”

“Kau siaplah, aku nak call walid dengan umi kejap lagi. Matilah kau.” Terkebil-kebil dia menjawab. Dia berdiri dan dengan biadabnya telah menendang betisku secara curi. Aku jatuh tersungkur di situ. Mataku berpinar, kepalaku berpusing…

“Aish, Aish…Bangun.”
“BANGUN!”

Kepalaku seperti hendak meletup. Mataku pedih seperti di cili-cili. Alamak…Walid!

“Kenapa terbaring kat sini? Naufal cakap kau pukul dia tadi. Kenapa dengan korang ni? Ada saja benda yang tak kena!” Tegas walid.

“Umi tak tahu apa nak jadi dengan korang berdua. Kalau ditakdirkan walid dengan umi dah takde nanti korang nak buat apa?” Umi mencelah. Kebiasaannya apabila terjadi sahaja bencana di antara kami berdua, pastinya ayat itu yang akan dikumandangkan.

“Dengan geroboknya terbukak. Korang buat apa sebenarnya kat dalam stor ni? Buku-buku dalam gerobok ni hak milik arwah tok Wan tau.”

“Walid, tadi Aish tengok gerobok tu bergegar macam nak meletup, itu sebab Aish ada kat sini.”

“Kau cakap apa ni? Umi, tengok anak awak ni. Entah-entah hisap dadah ke apa?”

“Sumpah walid. Tadi gerobok tu bergoyang kuat.”

“Naufal! Naufal!” Walid menjerit dengan kuat memanggil Naufal.

“Hei budak bertuah ni. Naufal!”

Bulu romaku terpacak naik, jantung berdegup kencang, dan kepala terasa besar apabila melihat seekor langsuir sedang mengiringi Naufal ke arah kami. Entah dari mana datangnya makhluk puaka ni. Peristiwa beberapa kali diganggu oleh langsuir mendatangkan impak yang bukan sedikit kepadaku. Ia meninggalkan kesan yang mendalam. Cukup dalam. Mukaku pucat lesi tatkala Naufal berdiri bertentangan denganku.

“Fal, tadi Aish cakap gerobok ni bergoyang-goyang dengan kuat. Betul ke?”

“Mana ada walid. Fal nampak dia peluk gerobok ni macam orang gila tadi.”

“Aish, kau nak menipu lagi?” Soalan maut yang tidak dapat aku jelaskan dengan kata-kata.

“Betul walid, umi…Aish tak tipu.”

“Dah-dahlah tu walidnya. Mungkin dia mengigau kut tadi. Biasalah tu.” Umi pula bersuara sambil mengurut bahuku.

Aku mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan lagi kes mengenai goncangan gerobok antik itu. Aku dapat rasakan bahawa hanya aku sahaja yang melihat kejadian gerobok bergoncang itu.

“Mungkin Aish mengigau. Betul cakap umi tu.” Aku hanya bersetuju dengan kata-kata umi walaupun terpaksa menafikan kebenaran kejadian itu.

Aku menundukkan kepala kerana tidak sanggup melihat langsuir itu merenung ke arahku.

“Walid nak Aish dan Fal berdamai. Aish, pergi mintak maaf kat Fal.”

“Apa ni? Dia yang kurang ajar mula-mula tadi!”

“Kau abang, bertolak ansurlah dengan dia. Tak boleh ke?”

“Harrrghhh. Asyik-asyik Aish, asyik-asyik Aish yang kena mintak maaf! Dia tu setan tu. Setan, setan, setan!” Ya aku menjerit sebab aku tahu yang selalu menimbulkan provokasi secara sengaja adalah dia, bukannya aku.

“Aish!” Sebuah penampar daripada walid singgah tepat mengena pipiku. Pijar dan pedih sekali rasanya.

Aku terdiam. Dalam keadaan terpinga-pinga itu, aku melihat langsuir itu terkedek-kedek kepalanya ke kiri dan kanan Naufal. Seolah-olah Naufal adalah bos besar kepadanya. Naufal tersengih seperti kerang busuk tatkala aku menerima tamparan itu.

“Aish, sebelum kau jadi macam si Tanggang walid nak kau mintak maaf kat Fal sekarang. Kau nak jadi anak derhaka ke?” Sebuah permintaan yang menyebabkan aku tunduk akur kepada walid.

“Aku mintak maaf. Lain kali kau jangan kurang ajar lagi Fal.” Tanganku dihulur ke arahnya tetapi mataku tajam merenung langsuir itu.

Daripada pengamatanku, langsuir itu berpakaian sedikit berbeza daripada langsuir biasa. Dia seakan menutup aurat dengan berselendang hitam mereput serta berjubah putih yang juga reput. Lidahnya yang panjang dijelirkan ke arahku menandakan bahawa dia tahu aku sedang memerhatikan dirinya. Bayangan langsuir mencekik dan menjilat-jilat mukaku sebelum ini terlintas secara tiba-tiba di fikiranku. Aku berpeluh, nafas kembali kencang dan hanya zikir Allah Hu yang mampu terucap di lidahku. Kali ini aku bimbang kerana Tok Wan telah tiada. Kebiasaannya dia yang akan membantuku sekiranya aku ditimpa musibah oleh makhluk-makhluk puaka ini. Tetapi kini aku bersendirian. Walid, umi, Naufal, dan adik beradikku yang lain langsung tiada kepakaran dalam bidang ‘DEMONOLOGY’ ini.

“Kalau takde apa-apa lagi walid dan umi nak beransur balik dulu. Korang jangan lupa kunci pintu dan tutup tingkap rumah ni nanti.” Pesan walid lagi.

“Esok malam kitaorang baliklah. Walid dan umi takyah risau.”

“Macam mana kami tak risau, korang berdua ni pantang silap sikit jadi benda lain. Umi dah tak tahu nak cakap apa.”

“Anak jantan memang camtu. Biar jelah uminya.” Kata-kata walid itu membuatkan kami berdua tersenyum lebar.

“Fal, Aish, kami balik dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

“Fal, badan kau tak rasa panas ke? Gatal ke?”

“Tak kenapa?”

“Saja je aku tanya manalah tahu kau ada rasa seram ke takut ke?”

“Kau jangan Aish. Kita baru je berdamai. Aku tak nak jadi perang dunia lagi.”

“Aku tanya soalan tu pun marah?”

“Aku tak takutlah dengan hantu-hantu ni. Allah kan ada.” Begitu mudah jawapan bagi seorang budak yang berusia 14 tahun. Betapa celupar dan angkuhnya dia bercakap.

“Betul tu Fal. Allah itu ada. Tapi berani kau cakap besar erk?”

“Aku berani kerana Allah.” Jawapan yang sama membuatku bosan lalu aku beredar dari situ dan berehat di ruang tamu sambil melayan kartun Mr. Bean di DisneyChannel sementara menunggu ketibaan waktu berbuka puasa.

Aku masih lagi menyimpan dendam pada Naufal atas kejadian yang berlaku di siang hari itu. Disebabkan dia aku telah menjadi mangsa penderaan domestik oleh walid. Walid dan umi telah pulang ke rumah kami dan yang masih berada di situ adalah aku, Naufal, dan seekor langsuir yang tak diundang. Selesai solat Maghrib aku terus ke bilik tidur Naufal dan mengintainya secara senyap-senyap. Sewaktu berbuka tadi langsuir itu duduk bertinggung di kakinya. Raut wajahnya seakan-akan sedih dan seperti mengharapkan sesuatu daripada Naufal. Kalaulah si Naufal tahu perkara sebenar dan langsuir itu tiba-tiba menampakkan dirinya secara fizikal di hadapannya aku yakin dia akan pengsan dan mengalami trauma melampau.

Kelihatan dia sedang membaca manga One Piece manakala langsuir itu duduk bertenggek di atas bahunya. Jarinya menguis-nguis bahu dan leher Naufal. Ketika itu aku lihat Naufal beberapa kali menggeliatkan bahu dan kepalanya. Itu adalah petanda bahawa abdomen di bahagian atasnya lenguh akibat terpaksa menanggung berat langsuir itu. Aku tergelak seorang diri akibat peristiwa itu. Sejujurnya aku gembira kerana walaupun aku telah ditampar oleh walid tetapi bahana yang sebenar sedang menimpa Naufal. Tetapi dalam masa yang sama naluri keprihatinanku sebagai seorang abang masih lagi bersisa di dalam hati. Walupun aku benci tetapi jauh di lubuk hati, aku sebenarnya sayang padanya. Selagi langsuir itu tidak mendatangkan malapetaka kepadanya, aku akan membiarkan sahaja dia berada di situ. Memang perbuatan aku secara zahirnya adalah zalim tetapi cara tersebut adalah salah satu daripada teknik pengajaran kepadanya supaya jangan bercakap besar dan kurang ajar kepada orang yang lebih tua darinya. Aku cukup pasti bahawa kejadian gerobok bergoyang dan hampir meletup itu ada kaitan dengan langsuir ini. Aku tidak mampu untuk berdialog dengan langsuir ini dalam keadaan bentuk asalnya kerana aku takut dan seram. Sekiranya mereka menjelma menjadi manusia aku yakin aku boleh menghalau mereka keluar dari rumah tok Wan. Aku memerlukan air Yaasin untuk melawan puaka durjana ini.

Aku menghubungi sepupuku iaitu Zard dan mengarahkannya untuk membeli serbuk lada hitam dan membawa air yang telah dibacakan dengan surah Yaasin bagi kegunaan menghalau langsuir yang sedang menjadi kuli Naufal itu. Petua tersebut pernah diajar oleh tok Wan suatu ketika dahulu untuk melindungi diri sekiranya diganggu oleh makhluk-makhluk puaka yang sedang mengganggu itu.

Barang-barang yang dipesan telah pun sampai. Aku bercadang untuk menghalau langsuir-langsuir itu pada waktu tengah malam nanti. Sementara itu aku dan Zard bersama-sama bermain games Winning Eleven di ruang tamu. Sedang aku dan Zard ralit bermain, aku tercium bau aroma bunga kemboja yang cukup kuat di sekitar ruang tamu itu. Daripada pengalaman lepas aku yakin bahawa langsuir itu sudah menjelmakan diri kepada bentuk seperti seorang manusia. Mataku galak mencari kehadiran jelmaan itu.

“Aish, aku laparlah, tadi berbuka makan sikit je. Jom kita keluar kejap beli makan…Dahlah umi tak masak apa-apa. Jomlah kita keluar…” Renggek Naufal sambil ditemani langsuir yang masih bertenggek di atas bahunya itu.

“Kejap-kejap. Aku nak habiskan match ni dulu. Kau lepak dulu.”

“Zard. Jom. Tapaw makan.” Pelawa aku kepada Zard.

“Fal! Fal! Cepatlah kitaorang dah nak gerak ni.”

“Mana pulak budak ni. Naufal!”

“Zard, kau pergi panggil Naufal jap. Tadi cakap lapar, sekarang aku pulak yang kebuluran ni.”

Haruman bunga kemboja itu datangnya daripada dapur rumah tok Wan. Aku menuju ke arah dapur untuk mencari jelmaan langsuir itu. Di dalam kesamaran cahaya itu aku ternampak satu susuk seakan-akan seorang wanita sedang mencangkung di atas meja dapur. Aku membiarkan dahulu dia di situ. Aku berlari menuju ke ruang tamu dan menjerit memanggil Zard dan Naufal.

“Naufal! Zard! Cepatlah. Korang buat apa lagi tu?”

“Hoi! Korang nak keluar ke tak nak ni?”

Aku terus menuju ke bilik Naufal dan apabila sampai di luar bilik itu aku terdengar hilaian yang kuat dari dalam bilik. Ada sesuatu yang tidak kena. Aku mengintai melalui lubang kunci pintu dan alangkah terkejutnya aku apabila mendapati tiada sesiapa yang berada di situ. Kali ini aku yang terkena. Sambil berzikir aku berjalan secara perlahan menuju semula ke ruang tamu dan aku cuba menelefon Zard. Mereka berdua berada di luar pagar rumah kerana menyangkakan aku sedang menunggu mereka di situ.

Sepanjang malam itu aku lihat Naufal dan langsuir itu ke hulu ke hilir berjalan di dalam rumah tok Wan. Aku tidak faham, apakah puncanya langsuir itu menemani dia sepanjang masa.

“Aish, barang-barang dah ada. Bila kita nak start projek?” Soal Zard bersahaja.

“Barang-barang apa ni? Projek apa ni?” Naufal menyampuk.

“Kau tak tahu ke?” Soal Zard seperti terkejut ke arah Naufal.

“”Tahu apa?”

“Ada bend…”

“Ada benda yang rosak kat dapur rumah tok Wan tu.” Pantas aku memotong percakapan Zard.

“Oo…Benda apa tu?”

“Adalah. Kau budak-budak mana tahu.”

“Zard, aku ingat pukul 2-3 pagi nanti sebelum sahur eloklah kita baiki benda tu.”

“Rabak mata seyh…” Jawab Zard sambil menguap.

“Kalau kau tak nak kau baliklah. Tapi hati-hati bro…Takut ada benda yang mengikut kau.” Ugutanku terhadap Zard.

“Nanti kau kejutkan aku.” Jawab Zard.

“Ok bro.”

Sedang aku berjalan untuk ke bilik tok Wan, bunyi gerobok bergoyang kembali menjelma. Kali ini aku yakin masanya adalah sesuai untuk menghalau langsuir tersebut dari mengganggu kami.

Kebetulan Zard belum melelapkan matanya lagi lalu aku mengajaknysa untuk masuk ke bilik stor itu. Perancangan kami adalah untuk menangkap dan menghalau langsuir itu dari rumah tok Wan.

“Zard, jom…”

Dengan perlahan kami berdua berjalan menghampiri bilik stor itu. Kedengaran seperti barang-barang sedang digeledah di dalam stor itu.

“Kau dengar tak tu Zard?” Bisikku pada Zard.

“Dengar. Bunyi nyamuk terbang…”

“Bunyi nyamuk? Kau pekak ke? Tak dengar bunyi orang geledah barang dalam tu?” Soalku sambil menunjuk ke arah bilik stor itu.

“Entahlah Aish. Aku tak dengar apa benda pun…”

Aku membuka pintu stor itu secara mengejut. Tanganku laju menekan suis lampu. Aneh kerana tiada sebarang tanda barang diselongkar. Lampu yang malap sesekali berkelip itu seakan memberi petanda bahawa terdapat entiti yang berada di kawasan stor itu. Bau haruman kemboja mula menusuk ke hidungku. Aku mendongak ke atas gerobok itu dan tatkala itu terlihat dengan jelas seorang wanita tua sedang bertenggek di situ sambil menggerakkan kepalanya ke kiri dan kanan seolah-olah sedang meratib.

“Zard, atas gerobok tu!” Jeritku pada Zard.

“Mana?”

“Kau ni buta hati buta kayu betullah…” Jelasku dalam nada kecewa.

“Nenek, nenek tua nak apa sebenarnya ni?”

“Hurrr hurrr hurrr…” Dia berdengkur sambil meratib.

Aku mengambil beberapa biji lada hitam lalu dibacakan ayat Qursi lalu dilemparkan ke arahnya.

“Huarghhh…Sakit…Sakit…”

“Kau turun sekarang orang tua!” Jeritku padanya. Aku menjadi berani. Zard hanya terpaku melihat perbuatanku.

“Sakit…sakit…”

Aku menarik rambut wanita tua itu sekuat-kuatnya, dia cuba melawan dengan menumbuk tanganku tapi gagal. Lalu aku menghempuk kepalanya dengan sebatang paip besi yang berada di tepi gerobok itu. Dia akhirnya terjatuh seperti sampah sarap ke atas lantai.

BEDEPUP.

“Kau nak apa sebenarnya ni?”

“Hurrr Hurrrr Hurrr….” Dia berdengkur lagi.

Aku mengambil lagi lada hitam dan mengesatnya ke wajah wanita tua itu. Tatkala kulitnya terkena lada hitam, aku terasa seperti api panas sedang membakarnya. Mukanya bengkak sebelah dan aku masih lagi bertanya soalan yang sama. Tiba-tiba Naufal muncul dan bertanyakan soalan-soalan yang bukan-bukan. Muncul sahaja Naufal, wanita tua itu berlari terkedek-kedek ke arahnya.

“Woi orang tua, kenapa kau pergi kat dia? Kenapa?”

“Hurr Hurr Hurrr…”

“Kau buat apa ni? Zard dia buat apa tu? Macam orang bodoh je.” Soal Naufal kepada Zard dalam penuh kemusykilan.

“Kau diam Fal. Ada benda kat kaki kau tu…”

“Mana?” Soalnya sambil terkejut.

“Tu.” Aku memegang tangan Naufal sambil menggosokkan tangannya ke atas rambut wanita tua itu.

“Aishhhh….”

“Kau dah rasakan? Cakap besar lagi…”

“Zard…Cuba kau pegang.” Pelawa Naufal kepada Zard.

“Takde apa pun. Korang ni nak mainkan aku ke?”

“Kau nak rasa ke Zard?” Dengan pantasnya aku merentap tangannya dan memasukkan tangannya ke dalam mulut wanita tua itu.

“Apa benda tu sial?” Soal Zard.

“Itu lubang punggung langsuir. Cuba kau cium bro. Wangi…” Gurauku sambil melihat wanita tua itu yang masih berada di kaki Naufal.

“Kotorlah sial…Uwerkk.” Zard.

“Aku pulak pegang apa tadi?” Soal Naufal.

“Depan punggung ada apa?”

“Puiii. Pengotor. Apa jenis abang kau ni? Uwerkkk.” Hampir termuntah dia di situ.

Tanpa melengahkan masa lagi aku mencapai sebotol besar air bacaan Yaasin di tangan Zard lalu merenjis-renjisnya ke atas wanita tua itu.

“Sakit…sakit…huarghh..”

“Kenapa kau datang ke sini? Kau tak jawab aku simbah lagi air ni atas badan kau!”

“Barrannngg aku.”

“Barang kau? Barang apa?”

“Hurrr…Hurrr…Hurrr….” Dia berdengkur lagi. Jujur aku sudah bosan dan penat dengan permainan bodohnya ini.

“Kau nak main-main dengan aku ke?”

“Fal, Zard…Korang baca surah Qursi kuat-kuat banyak kali…Jangan berhenti.”

Mereka berdua mengikut arahanku. Jam sudah menghampiri 2 pagi. Wanita tua itu masih berada di situ dan nampaknya taktik terpaksa ditukar.

“Hoi…Ini barang kau kan?” Aku sekadar meneka dengan menunjukkan kain kuning di dalam laci gerobok itu.

“Ha…Barang aku….Barang aku…”

“Apa bukti ni barang kau?”

“Kain ni kain aku, ini hadiah aku dulu.”

“Hadiah apa?”

“Awang punya kain dia bagi…”

Awang? Setahuku atukku bukannya bernama Awang.

“Siapa Awang?”

“Hurrr Hurr Hurr.”

“Kau berdengkur lagi ya…Aku simbah air ni mati kau…”

“Awang tuan aku…” Dia terus menjawab sejurus terdengar ugutanku.

“Ha?”

“Fal, kau kenal ke orang nama Awang?”

“Tak pernah dengar.” Naufal.

“Kau Zard?”

“Pak Awang nelayan aku kenal tapi dia dah balik ke Kelantan dulu. Kenapa?”

“Awang nelayan…” Soalku berteka-teki.

“Lantaklah kau ni anak buah Awang ke hapa. Aku nak bila aku bagi barang kau, kau janji kau dah tak jejak masuk ke rumah ni dan kau tak ikut kacau sesiapa lagi. Termasuk aku, dia, dan dia.” Terangku panjang lebar sambil menghalakan tanganku ke arah Zard, Naufal, dan diriku sendiri.

“Janji?”

“Janji…”

“Soalan terakhir. Tadi kau ke yang ada kat dapur tu? Pastu kau menyorok kat mana siang tadi? Kau menyorok dalam gerobok ni ke?”

“Hurr….Hurrr…Ya, aku…Aku cuma nak barang aku saja…Lepaskan aku…” Rayu wanita tua itu dalam keadaan serba gelisah.

“Dah lama aku ada dalam tempat tu…”

“Ha…Dah lama?”

“Sejak bila orang tua?”

“Dah lama sangat…”

“Baik kau jawab sekarang! Sejak bila kau duduk dalam tu?”

“Hurrr….Hurrr…Sejak barang aku masuk ke dalam tu…”

Aku terbayangkan besar kemungkinan arwah tok Wan tahu akan hal ini tetapi mungkin dia terlepas pandang ataupun terlupa untuk memaklumkan kepada sesiapa tentang kewujudan kain kuning itu.

“Sekarang kau ikut kami.”

“Kita nak ke mana?” Soal Zard.

“Adalah.” Jawabku sambil melipat kain kuning itu dan menyimpannya di dalam plastik hitam.

“Kau tunggu kat rumah Fal.”

“Tak nak aku. Gila ke hapa?”

“Kau kan berani. Kau takut apa?”

“Aku tak takut cuma tulah…”

“Kau penakut sebenarnya. Kau gebang je lebih.” Kali ni aku pula yang memprovoknya.

“Kau jaga je rumah. Kitaorang keluar sekejap je.”

“Aish…Tolonglah…Lepas ni apa yang kau cakap aku ikut je.” Rayunya dalam penuh pengharapan.

“Kau tipu…”

“Sumpah tak…Aku kan adik kau…”

“PENAKUT!”

Jam sudah menunjukkan ke angka 3 pagi. Perut mula berkeroncong kelaparan. Makanan yang dibeli pada sebelumnya dibawa bersama. Lalu aku memasang kepala bateri dan menghidupkan kereta klasik Volvo 244 milik tok Wan itu. Ternyata tidak mengecewakan. Kereta itu hidup tanpa sebarang masalah. Sungguh aku respek pada tok Wan kerana dia pandai menjaga kereta yang sudah klasik ini dengan baiknya. Kami semua meluncur laju membelah malam yang dingin ke pinggir hutan yang terletak kira-kira 20km daripada rumahnya itu. Wanita tua yang juga langsuir itu duduk di tengah-tengah di antara Zard dan Naufal. Sepanjang perjalanan itu mereka bertiga senyap dan tidak berkata walau sepatah pun.

“Korang semua keluar sekarang, aku nak parking kereta kejap.”

“Kau pun turun jugak orang tua!” Jeritku pada wanita tua itu.

“Hoi orang tua, kenapa kau minat sangat kat budak ni?” Soalku kehairanan kerana dia kembali bertenggek di atas bahu Naufal.

Pada ketika itu kelihatan sebuah kereta peronda polis sedang menuju ke arah kami dengan perlahan. Aku bimbang kerana lesen memanduku adalah lesen P tetapi aku tidak menampal sebarang pelekat P di cermin kereta tok Wanku itu. Aku cukup bimbang sekiranya disoal siasat dan disaman. Ketika kereta peronda itu melintasi kami, kereta itu terus memecut dengan lajunya meninggalkan kami. Aku yakin wanita tua itu telah menjelmakan susuk fizikalnya ketika itu. Zard berdiri di sampingku dan terketar-ketar menunjukkan wajah wanita tua yang sedang bertenggek di atas bahu Naufal itu.

“Fal, kau ok tak?” Soalku bersahaja.

“Aku ok je kenapa?”

“Takde apa?”

“Dia ada kat mana Aish?” Soalnya ketakutan.

“Atas bahu kau.”

Dengan pantasnya Naufal berlari menuju ke arahku dan Zard.

“Orang tua, ini barang kau. Aku nak kau turun dari badan budak ni sekarang!”

“Hurrr…Hurr…”

“Aku nak kau bersumpah yang kau takkan datang ke rumah tadi dan kacau kami lagi. Faham?”

“Hurrr…Hurrr…”

“Kau dengar tak orang tua?”

“Hurrr…Hurr…”

“Zard, hulurkan aku air Yassin tu. Degil sangat orang tua kertuk ni. Tak faham bahasa.”

“Korang berdua baca surah Qursi tanpa berhenti. Sekarang!” Arahku lagi pada Zard dan Naufal.

“Aku jannnjiii tak buat lagi….Aku sumpah…”

“Apa bukti janji kau adalah betul?”

“Kau bagi barang aku, aku takkan kacau lagi…”

Aku menggali sebuah lubang kecil dan menanam kain kuning itu di dalam lubang tersebut.

“Barang kamu sudah aku letakkan di situ. Kamu sudah bersumpah dan berjanji untuk tidak mengganggu kami lagi tadi. Andai sumpah dipecahkan maka hancur jasadmu dilaknat Allah.” Pesanku sambil mencengkam leher wanita tua itu.

“Aku bersumpah.” Jawab wanita tua itu sebelum dia kembali menjelma ke rupa asalnya iaitu langsuir.

Sejurus selesai, kami bertiga singgah ke sebuah ke kedai makan untuk bersahur dan mengisi perut kami yang kelaparan itu. Makanan yang dibeli pada sebelum itu terpaksa dibuang kerana telah basi. Aku tahu ia basi dengan pantas kerana kehadiran langsuir itu.

Sejujurnya gangguan langsuir dalam bulan Ramadhan ketika itu adalah gangguan ringan dan aku berjaya menghalaunya keluar dari rumah tok Wan dengan izin Allah Taala. Pujian juga aku berikan kepada Zard dan Naufal kerana dengan bantuan mereka aku menjadi bertambah berani dalam menghadapi makhluk-makhluk puaka ini. Peristiwa kain kuning itu masih belum terungkai kerana kami bertiga masih tidak dapat jawapan yang sebenar dan Awang yang dimaksudkan itu berkemungkinan sudah lama meninggal dunia kerana Awang nelayan itu masih muda dan tiada ciri-ciri seorang pengamal ilmu hitam. Dia adalah seorang kaki masjid dan teori bahawa dia membela langsuir untuk mengganggu orang ramai adalah tidak masuk akal. Naufal masih seperti dahulu, kaki provokasi dan masih bertikam lidah denganku sehingga sekarang. Zard semakin matang dan sudah menjadi salah seorang ahli gerakan kumpulan tabligh sejak 5 tahun yang lalu.

Aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kawan-kawanku sekalian yang telah mengikuti cerita-ceritaku sebelum ini iaitu PONTIANAK DI DEPANKU, SI ABANG POCONG, LANGSUIR, BUNIAN, BUNIAN (TAMADUN), HANTU ASKAR JEPUN, & NAGA. Aku akan kembali lagi dengan kisah lain dan segala perkongsian mengenai misteri yang wujud di alam sana akanku dedahkan sebagai sebuah ilmu supaya korang semua faham bahawa kita sememangnya tidak bersendirian di alam semesta yang luas ini. Luaskanlah pandangan dan buka minda korang. Baca, hadam, faham, dan praktikkan. Jangan sesekali takut dan tunduk menyerah kepada ancaman makhluk-makhluk ghaib ini. Aku juga ingin berpesan supaya janganlah terlalu taksub dan fanatik dengan bunian kerana sesungguhnya mereka adalah bangsa jin dan sebagai manusia seharusnya tidak wajar untuk kita mengkagumi kejadian kewujudan mereka. Kita adalah makhluk yang paling sempurna. Kita adalah Khalifah agung di muka bumi ini. Kita adalah keturunan Nabi Adam as & Hawa. Kita bukanlah keturunan Al-Jaan mahupun Azazil. Sehingga kita bertemu lagi di edisi yang akan datang. Salam Ramadhan & Salam Aidilfitri. Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh & Salam Sejahtera. Jazzakallah Khaira Khatiro.

-CarlitoRocker2017-

Carlito Rocker
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

24 comments

  1. Muda lagi rupenye, tp mcm2 bnde da jmpe… Best crite, xpernah mngecewakn. Klu ikut ape yg sya faham, jin mmg ade dlm bln puasa. Agama islam disyariatkn utk jin dan manusia, bln pose jin yg islam spatut kna puase jg. Wallahua’lam..

  2. cerita yg merarik and banyak info dalam cerita. thank you, sekurang-kurangnya terbuka minda-minda and sel2 otak dalam diri ni supaya tak jd penakut sgt.

  3. Salam, Tuan Carlito, Sy nk tnya betul ke Batu Serai dari alam ghaib? Mungkin Tuan tahu serba sedikit.. Ceritakan lah..
    T. Kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.