Cindai, Kakak Cleaner Baju Hijau, Tangan Buruk Dan Loceng Kaki

Kisah 1 : Cindai
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat admin FS dan semua peminat setia FS. Terlebih dahulu aku ingin berterima kasih yang tidak terhingga kepada admin FS sekiranya kisahku ini disiarkan. Namaku Jasmine. Kisah yang akan aku ceritakan ini adalah kisah kawan serumahku. Aku pun ada di rumah sewa kami ketika kejadian itu berlaku. Cuma yang mengalaminya itu kawanku seorang kerana dia yang buat onar itu. Hehe.

Pada suatu petang, selepas aku dan kawanku, Mas pulang dari bandar, kami terus masuk ke rumah sewa kami. Aku berbaring sebentar di katilku sementara Mas terus ke bilik mandi. Fikirku, lagi 20 minit nak maghrib. Ah, takpelah sempat mandi kot sebelum maghrib. Sangkaanku meleset apabila, lagi 2 minit nak maghrib, Mas masih dalam bilik mandi. Siap nyanyi-nyanyi lagi lagu Cindai. Selalunya 10 minit dah siap dah mandi, gumamku di dalam hati. Tidak lama selepas itu, Mas keluar dari bilik air. Mukanya cemas dan takut-takut. Aku tanya dia, “Kau dah kenapa?”. Mas pun ceritalah, waktu dia mandi sebentar tadi, katanya ada satu suara marah-marah dia. Mas kan nyanyi lagu Cindai. Suara itu marah-marah, “Apa cindai-cindai??!!!”.

Aku seram jugalah bila dengar cerita dari Mas. Nak kata kawan-kawan serumah marah, masa tu kami jer yang ada di rumah. Aku tidak terus masuk ke bilik air. Aku berwuduk dan solat maghrib dahulu. Setengah jam selepas aku solat, barulah aku mandi. Huhu. Takut weiii. Aku pun cakaplah pada Mas. “Kau pun satu, yang kau nyanyi-nyanyi waktu nak maghrib tu kenapa? Dalam bilik air pulak tu. Mestilah ‘benda’ tu marah-marah kau. Kot yer pun hormatlah sikit”. Kuat betul aku membebel hari tu kat Mas, yelah. Aku nie penakut gak la. Bilik air selalu nak guna. Yelah, lama lagi nak habiskan semester sebab masa tu baru semester kedua. Sekian kisah Cindai.

Pengajarannya, jangan masuk bilik mandi bila dah nak hampir-hampir maghrib dan jangan menyanyi time senja ok. Peringatan untuk diriku sendiri juga.

Kisah 2 : Kakak Cleaner Baju Hijau
Kisah ini berlalu di pejabatku. Ketika itu aku hendak berjumpa kawan sepejabatku iaitu di Jabatan Akaun. Dari jabatanku, Jabatan Operasi Kutipan, untuk melalui jalan pintas, aku kena melalui bilik stor Jabatan Akaun. So, aku lalu jela laluan bilik stor tersebut untuk berjumpa kawanku itu. Masa itu jam 10:30 pagi. Aku tak fikir apa-apalah sebab pagi lagi dan waktu siang. Kalau lewat petang atau maghrib, memang aku takkan lalu la situ sebab macam-macam cerita aku dengar dalam stor tersebut. Serammmm bak hang.

Ok, berbalik kisah aku hendak ke workstation kawanku di Jabatan Akaun, semasa aku lalu bilik stor tersebut, ekor mataku sebelah kiri ternampaklah seseorang berbaju hijau seperti pakaian cleaner sedang memegang fail ABBA yang keras tu. So, aku abaikan jela sebab sekejap lagi pun aku akan lalu semula ke stor berkenaan. Nanti aku sapa jela orang tu. Mungkin budak-budak Jabatan Akaun kot, tengah tengok fail. Mataku sahaja yang nampak macam kakak cleaner. Aku terus berjumpa kawanku. Selesai urusan kerja dengan kawanku itu, aku hendak pergi semula ke workstation aku.

Tiba-tiba sebelum sampai ke pintu stor itu, aku baru teringat. Pakaian kakak cleaner berwarna coklat, bukannya hijau. Lagipun, buat apa kakak cleaner nak tengok fail, banyak lagi kerja kakak tu nak buat. Ofis aku nie besar gak, tak sempatlah kakak cleaner nak curi tulang atau buat kerja sampingan. Lepas tu, staf-staf Jabatan Akaun, semuanya ada di tempat masing-masing tadi. Aku macam takut pula nak lalu stor. Tapi aku lalu jugalah. Aku pandang semula ke arah seseorang berbaju hijau itu, tiada pula.

Hmmmm, sahlah nie. Pernampakan. Huhu. Nasib baik tunjuk macam tu jer. Sebab aku pernah terdengar cerita daripada staf-staf Jabatan Akaun yang selalu stayback. Kata mereka, ada 3 beranak menghuni di bilik stor itu. Seorang ibu dan dua orang anak perempuan. Mereka dah lali sebab selalu nampak macam-macam di stor tu. Sekian, cerita stor. Kita ke kisah seterusnya pula.

Kisah 3 : Tangan Buruk
Kisah ini berlaku semasa aku sekolah menengah. Aku dalam tingkatan 4 kalau tak silap. Aku baru pulang dari sekolah. Berjalan kaki sahaja sebab sekolah pun tak jauh mana. Mungkin sebab kepenatan hari itu dan cuaca panas sangat-sangat. Aku sekolah sesi pagi. Aku tak tukar baju dan mandi. Terus berbaring dan tertidur. Rasanya adalah dalam 2 ke 3 jam aku tertidur. Tiba-tiba aku terjaga. Itupun sebab aku terasa ada sesuatu di atas badanku. Dalam keadaan mamai itu, aku cuba membuka mataku seluas-luasnya.

Aku hampir terjerit takut kerana terdapat tangan buruk separas siku di atas badanku. Aku dapati, tangan tersebut, perlahan-lahan menyorokkan kelibatnya ke bawah katilku. Aku mengosok-gosok mataku seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Disebabkan aku takut sangat-sangat ketika itu, aku terus keluar bilik dan turun ke tingkat bawah untuk mendapatkan ibuku. Selepas kejadian itu, aku tidak berani tidur selepas balik dari sekolah. Fobia. Takut terkena lagi macam tu. Sehingga kini aku tidak mendapat jawapannya. Apakah itu? Sebab aku bukan bermimpi tetapi aku memang nampak secara langsung depan mata aku. Buruk sangat-sangat tangan itu. Tangan siapa yer? Huhuhu.

Kisah 4 : Loceng Kaki
Kisah ini pula berlaku jam 10:30 malam di ruang tamu atas di rumah keluargaku. Masa itu bulan Ramadhan. So, aku tak rasa takutlah kan. Aku dengan selambanya, naiklah ke tingkat atas rumah untuk memeriksa segala plug, tingkap dan paip di setiap bilik air ditutup sebelum aku dan adik lelakiku balik ke kampung halaman di Kelantan.

Semasa aku berada di pertengahan tangga rumah keluargaku, aku terdengar bunyi loceng kaki. Aku terjun tak bertangga dengan melangkau beberapa anak tangga untuk segera sampai ke tingkat bawah. Aku menjerit memanggil nama adikku. Ketika itu adikku sedang memanaskan enjin kereta dan dia tunggu aku di luar rumah. Adikku terpinga-pinga dan bertanya kenapa. Aku jawablah yang aku terdengar bunyi loceng kaki. Adik aku tergelak dan memberitahuku yang dia dah lali dengar macam-macam bunyi serta pernampakan dan bunyi loceng kaki tu pun dia biasa dengar.

Kata dia lagi, loceng kaki itu milik 3 orang “puteri” yang singgah di rumah keluarga kami. Hadoi, seram pula aku. Kenapa aku harus dengar semua ini…huhu. Aku masih teringat bagaimana bunyi loceng kaki itu. Sangat kuat dan jelas dan bunyi loceng kaki itu seakan-akan mengejar aku. Aku tak dapat nak bayangkan kalau “puteri” tersebut sempat tangkap aku dan bermain-main dengan aku di dalam alam mereka. Mungkin aku tak balik kampong malam itu dan mungkin juga adik aku takkan jumpa aku sebab aku disorok. Mujur jugalah aku berlari sangat pantas. Sepanjang berada di dalam kereta, aku berdoa agar tidak ada berlaku hal yang tidak diingini sebab sebentar lagi kami akan melalu lebuhraya Karak pula. Alhamdulillah, perjalanan kami selamat dan kami tiba di bumi Kota Bharu pada waktu subuh.

Sekian secebis kisah-kisah yang pernah berlaku di dalam hidupku. Maaf kiranya terlalu pendek.

Jasmine

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 2]

2 thoughts on “Cindai, Kakak Cleaner Baju Hijau, Tangan Buruk Dan Loceng Kaki”

  1. Benda tu pon tau hormat waktu maghrib…
    Makanya sape yg x gheti2 nak solat/hormat waktu maghrib tu lg hantu dr hantu…
    Huhuhuhuuu…

    Reply
  2. Skemanyalah citer ko dek non……
    Ko bikin bahasa pasar je lenkali, light and easy gitu…
    Takde ler aku gase macam baca surat cinta….”sesungguhnya ketika itu adikku…bla bla bla..”
    Sastera sangat kau dek non….

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.