Cubaan Merasuk

Sekali lagi aku kenalkan diri aku sebagai kaklong. Kalau dulu, aku berkongsi cerita pengalaman semasa aku masih awal remaja, kali ni aku ingin berkongsi pengalaman di pejabat, tempat aku mencari rezeki ketika ini. Pejabat aku ini terletak di utara semenanjung dan terletak di ibu negeri yang berhampiran dengan laut. Tak perlu aku sebut negeri mana. Korang sendiri boleh teka rasanya. Ini kali kedua aku bekerja di negeri selepas beberapa ketika diarahkan bertugas di negeri lain. Cuma kali ini di bangunan yang berbeza. Pejabat ini terbahagi kepada beberapa tingkat dan bilik kerja aku berada di tengah-tengah dan berkongsi tingkat dengan top management.

Untuk makluman semua, typical office hour kami adalah dari 8 pagi hingga 5 petang. Namun bukanlah sesuatu yang pelik jika ada antara kami lambat balik. Aku sendiri akan pulang selepas jam 6 petang dan ada antara rakan aku yang pulang selepas isyak walaupun kami tau pejabat ini bukanlah ‘selamat’ untuk stay bersendirian selepas waktu pejabat. Ye, kami tahu kami berkongsi pejabat ini dengan makhluk yang tak dapat dilihat. Sejak first day aku datang ke pejabat ini, memang senior aku telah berpesan agar berjaga-jaga bila hari hampir maghrib. Walaupun ‘dia’ tidak selalu menunjukkan rupa, tapi mereka takut aku tidak tahan diusik kelak.

Bunyi menaip, kerusi ditarik dan bau bunga melur yang tiba-tiba datang dari mana adalah perkara biasa walaupun menurut senior aku, insiden itu banyak berkurangan setelah ketiadaan salah seorang staf yang berpindah ke negeri lain. Tapi kami semua mengambil pendekatan ‘aku tak kacau kau, kau jangan kacau aku’. Kalau dikacau, kami lari je lah balik. Hahahaha….. Cuma, salah seorang pelawat yang terbuka hijabnya pernah memberi amaran agar kami berhati-hati di pejabat ini terutama di ruang-ruang tertentu. Katanya itu port lepak makhluk ni. Memang tak dinafikan, tempat yang disebutnya itu, auranya agak lain selepas waktu maghrib.

Bukanlah sesuatu yang pelik jika tingkap bilik aku diketuk bertalu-talu ketika aku berseorangan di bilik kerja aku. Memikirkan tingkat aku terletak di tingkat yang berbelas-belas, aku tau bukan lah orang yang mengetuk tingkap aku dari luar bangunan pada waktu malam begitu. Lagipun bunyi ketukan tu seperti kuku yang mengetuk gelas. Cuba korang buat sendiri dan orang taulah bagaimana bunyi yang aku dengar tu. Biasanya aku hanya mengomel suruh ‘dia’ bersabar sementara aku mengemas barang untuk balik. Mungkin dia bengang dia tak boleh masuk shift kerja lagi selagi aku tak balik hahaha….. Kalau kawan aku pula, isyaratnya lain sedikit. Biasanya dia akan mendengar bunyi bising dari pantry yang terletak tidak jauh dari bilik dia. Bila dijenguk, tiada orang. Dan bila dia berpatah balik ke bilik, bunyi itu akan bersambung semula. Dan dia juga akan mengambil tindakan yang sama – kemas barang dan balik. Tapi gangguan bunyi itu hanya perkara yang kecil sahaja. Pernah terjadi yang ekstrem sehingga ada staf yang demam seminggu dan ada yang fobia sehingga perlu berteman untuk ke mana-mana terutamanya ke tandas.

Ada staf yang terdengar bunyi menangis yang mendayu di tandas walaupun hakikatnya hanya dia dan rakannya sahaja berada dalam tandas ketika itu. Ada ketikanya ‘dia’ menyerupai staf ofis dan seorang staf yang melalui insiden itu, dia pelik apabila melihat ‘pegawai atasannya’ hanya duduk diam dalam bilik dan membawa ‘anak’nya sekali walaupun terdapat larangan membawa anak ke pejabat ketika itu. ‘Anaknya’ pun diam dan tidak bergerak langsung. Selepas pulang dari mesyuarat, dia menghubungi pegawai atasan berkenaan untuk bertanya sesuatu dan mengusik akan repot pada top management kerana bawa anak ke pejabat hari itu. Terkedu seketika dia apabila pegawai tersebut memaklumkan yang dia tidak pergi ke ofis hari tu kerana anaknya sakit. Habis siapa yang dilihatnya tadi?

Namun di level dan wing aku ini, ada 1 bilik yang aku panggil ‘bilik keramat’. Sebabnya auranya yang lain. Pernah satu ketika, suami seorang staf sedang duduk di sofa bertentangan dengan meja si isteri yang sedang menaip di meja komputer di bilik itu. Ketika menaip, si isteri membelakangkan suaminya dan tidak sedar bahawa mereka bukan berdua tapi bertiga. Si suami jadi kejung hingga tidak mampu berkata apa-apa apabila melihat tiba-tiba ada lembaga perempuan berdiri di tangah-tengah mereka sambil merenung ke arah si isteri. Apabila si isteri menoleh ke arah suami, dia hairan kenapa si suami pucat lesi dan diam sahaja. Lepas keluar dari bangunan itu barulah si suami membuka cerita. Namun nasiblah si isteri ni seorang yang hati kering dan tidak begitu terkesan dengan insiden itu.

Yang demamnya jiran sebelah si isteri tadi apabila pada waktu yang lain, terlihat kelibat yang sama di tempat yang sama. Demam seminggu staf lelaki tu. Kebetulan bilik kerja aku terletak berselang beberapa buah sahaja dari hot spot ini. Jadi setiap kali ada pegawai baru yang menggunakan bilik itu, perkara yang pertama kali aku pesan ialah ‘jangan tutup lampu bilik ni ketika hendak balik’. Pantang besar. Kerana aku sendiri ada kisah dengan bilik ini. Kisah yang menyebabkan suami aku risau kalau aku perlu stayback atau tertinggal sendirian di pejabat (pejabat aku banyak program luar. Jadi ada masanya semua staf akan ke tapak program dan aku tertinggal sebab perlu siapakn kerja lain).

Al-kisahnya, pada hari kejadian, aku tinggal berseorangan di wing tersebut untuk siapkan dokumen yang perlu di bawa ke mesyuarat esok di sebuah negeri lain. Disebabkan aku akan bergerak time subuh ke airport, maka nak tak nak, aku perlu stayback. Kalau tak, memang tak akan siap la dokumen tu. Kebetulan hari itu, ada pegawai baru datang lapor diri dan ditempatkan di ‘bilik keramat’ tadi. Disebabkan aku sibuk, jadi tidak sempat aku beramah mesra dan meninggalkan pesanan lazim aku pada orang baru yang menggunakan bilik itu. Jadi tidak hairanlah dia menutup lampu bilik itu sebelum dia bergerak balik. Aku yang menyedari keadan itu ketika hari telah lepas maghrib, mengambil sikap ‘it’s allright, nothing’s going to happen’. Positif beb walaupun aku sendiri bendera jepun ketika itu.

Ketika berjalan hendak melintas bilik yang gelap itu untuk ke wing yang lagi satu, tetiba badan aku tidak boleh bergerak. Aahhh.. Sudah.. Apahal pulak ni… dah la tak boleh bergerak, tetiba fikiran aku rasa terawang-awang.. Rasa sayu, rasa ‘gelap’.. Dan rasa something cuba mengawal aku.. Pelik dan cemas tapi entah bagaimana aku dapat kekuatan untuk lawan ‘rasa’ tu. Instinct aku macam menjerit ‘kau kena pergi dari sini’. Berulang-ulang kali ayat yang sama diulang. Kenapa aku tak membaca ayat kursi dan ayat-ayat yang lain? Sebab aku memang terkejut hingga terlupa langsung semua tu. Yang aku tau, aku berpegang pada ‘jeritan instinct’ aku untuk pergi dari situ. Itu lah aku punya ‘talian hayat’ semasa aku melawan rasa ‘gelap’ tu. Selepas beberapa ketika baru rasa ‘gelap’ itu automatic hilang.

Aku segera berlari ke wing sebelah dan terpaksa meminta staf lain untuk temankan aku mengambil barang aku yang masih berada di bilik aku. Malam itu, disebabkan letih kerja dan terkejut dengan insiden itu, aku terus balik dan tertidur keletihan. Esoknya bila aku bangun dari tidur, terkejut besar aku apabila melihat terdapat kesan lebam yang teruk di pergelangan tangan aku dan juga di setiap sendi di tubuh aku. Hingga ada staf yang ternampak kesan itu bertanya kenapa pergelangan tangan aku lebam sebegitu teruk. Siapa yang genggam tangan aku sebegitu kuat? Aku cuma diam sahaja ketika itu. Takut nak bercerita kejadian semalam sebab tak pernah dengar lagi cubaan merasuk (aku anggap insiden malam itu sebagai cubaan merasuk sebab tak tau nak describe what actually happen) di pejabat itu.

Hingga kini, insiden itu masih menghantui aku dan suami (dia terkejut apabila melihat kesan lebam). Dia siap berpesan, kalau aku terpaksa juga balik lambat, janganlah aku terus balik rumah dan pegang baby aku. Dia suruh aku round mana-mana dulu dan berehat seketika di depan rumah sebelum masuk. Dia risau kalau ada yang mengikut aku balik. Tapi apa nak buat. Di sini lah tempat aku mencari rezeki. No choice untuk berpindah ke tempat lain ketika ini. Dan prinsip aku senang je – sentiasa beringat yang kita berkongsi dunia dengan makhluk Allah yang lain. setiap insiden tu anggap sahaja dugaan kecil dan lihat dari sudut yang positif. Mungkin ada ‘teguran’ yang ‘dia’ cuba sampaikan. Wallahuallam..

kaklong

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

1 thought on “Cubaan Merasuk”

  1. Best citer akak. Tersusun je.
    Kuatkan semangat keje kt situ ye kak. Mngkin sbb niat akak ikhlas nk cari rezeki utk family, Allah jaga akak pd mlm tu..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.