DAMPING

KISAH BENAR

Tahun 2018

SUDAH TIGA malam berturut-turut aku didatangi mimpi yang sama. Setiap kali aku tersedar, habis lencun tubuh aku dibasahi peluh. Takut? Aku tidak pasti. Mimpi itu bukanlah mimpi yang menakutkan.

Aku bermimpikan seorang perempuan berpakaian indah baju kebaya berwarna hijau, berkain batik bercorak bunga bakawali. Rambutnya disanggul elok. Tersisip kemas dua cucuk sanggul berkerawang emas dan perak.

Wajahnya begitu rupawan dengan alis yang terbentuk elok. Bibirnya mungil dicalit gincu berwarna merah hati. Dia tidak berbicara denganku apa-apa namun dia hanya mendendangkan lirik lagu yang aku tidak tahu apa judulnya.

Ia lagu klasik mungkin? Entahlah, aku tak tahu. Namun bait liriknya begitu mendalam. Bagai menceritakan kesetiaan dia pada pemiliknya. Siapa? Aku tidak pasti.. Aku cuba mengingati kembali keseluruhan bait-bait lirik itu namun hampa. Hanya sebaris dua yang mampu aku ingat.

‘Bulan dan bintang saksi sumpahku,

Dari akar ke pucuk aku melingkar,

Kupasak setia demi leluhurmu,

Akad janji tersulam mekar..’

Ya, itu sahaja yang aku ingat. Suaranya mendayu-dayu, terdengar merintih. Yang peliknya, aku wujud dalam mimpi itu seperti mana aku di alam realiti. Aku berbaring di atas katil, selajur duduk bersila tatkala dia hadir.

Dia berdendang seolah-olah menyatakan kata hatinya melalui lagu dan ia seperti ditujukan kepada aku? Aku pula seperti terkesima dan tampak begitu menghayatinya sehingga bibirku ikut menyanyi walau tanpa lirik. Hanya dengungan halus yang terlahir di bibir.

Sedang ralit aku menghayati, aku pasti tersentak tatkala terdengar suara tempikan yang begitu keras.

“Sedarlah!”

“Bangkit!”

“Usah menerima!”

Ya, inilah kata-kata yang aku dengar seraya mengejutkan aku dari lena. Ironinya, aku langsung tidak nampak empunya suara. Hanya tempikannya yang membingit itu sahaja yang kedengaran. Suara tanpa wajah. Tapi yang pasti, pemilik suara garau itu adalah lelaki.

***

Sebulan berlalu sejak mimpi itu. Aku merasakan kelainan pada diriku. Aku tidak suka berbicara dengan suamiku. Mengelat untuk melakukan solat 5 waktu. Sering merasa keletihan walau tidak melakukan sebarang kerjaan. Yang paling ketara, aku suka duduk di hadapan meja solek.

Aku bagaikan terleka berjam-jam lamanya merenung cermin di hadapan mata. Aku berdandan mengenakan solekan tebal. Aku menyisir rambut dan kemudian menyanggulnya kemas. Bibirku…. tidak lekang menyanyikan 4 baris lirik lagu itu disulami dengungan halus mengikut irama.

“Kenapa tak mandi lagi?”

Aku diam.

“Dah solat maghrib?”

Aku tetap diam. Suara suamiku bagaikan selumbar yang menyucuk gegendang. Pedih. Aku tidak suka mendengarnya. Aku buat tidak tahu. Rasa benci begitu menebal. Menyibuk saja! Gumamku.

“Bismillahi Masyaallah! Allahu Akbar!”

Pap!

Aku tersentak. Bagai mahu gugur jantung aku. Roh bagaikan terbang melayang!

Aku menoleh kebelakang. Suamiku pegun memandang aku. Kedua telapak tangannya tergeletak elok di belakang tubuh. Aku yakin, dia yang menepukku sebentar tadi. Dahulu, aku pernah juga diperlakukan sebegitu tatkala aku dirasuk di rumah mentua.

Sakitnya tepukan itu bagai tubuhku dirotan. Perit. Nafasku mendesah kuat. Kepalaku terasa berat, pandanganku berpinar. Seolah-olah aku baru sahaja melakukan lompatan dari tempat tinggi. Aku mengusap dada.

“Sayang…” Panggil suamiku lembut.

“Abang..Bi..bila balik?” ujarku.

“Baru je. Dah, awak pergi mandi, bersihkan diri. Ambil wuduk dan solat. Ingat Allah, jangan leka..”

Aku mengangguk seraya bangkit dari duduk. Perlahan aku melangkah longlai, mencapai tuala di sidaian kemudian menuju ke bilik air.

Aku merenung air di dalam kolah. Terbentuk bayang-bayangku sendiri. Aku menarik nafas perlahan, satu gayungan air aku siram di kepala. Tiba-tiba….

“Dendangkan… jangan henti…”

Aku tersentak. Mataku melirik kekanan dan kekiri. Rasa takut tiba-tiba menjalar di pundak hati.

“Bergurindamlah.. Serulah aku dekat denganmu..”

Gayung di tangan terlepas. Spontan tanganku menutup kedua belah telinga.

“Diam!!! Pergi!!”

“Hemmmmm…emmmmm…emmmmm.”

Dengungan irama mendayu-dayu itu tidak henti. Aku merasa tidak keruan lantas aku menekan kuat tanganku hingga cuping telinga terasa perit dan terbenam.

Sepintas lalu, hadir sesosok tubuh yang cukup aku kenal. Ya, perempuan itu berada di hadapan mata. Tubuhku terasa dingin serta merta. Sejuknya menangkap hingga menyucuk tulang belulang. Pandanganku semakin memudar.

Semena, tubuh perempuan itu bertukar mutlak menjadi kepulan asap hitam lalu meluru laju kepadaku. Aku yang ketakutan tergamam dan menjerit.

“Arghhhhhhhh!!!!”

Pandanganku gelap total.

***

Aku tersedar. Terpisat-pisat kelopak mataku dibuka. Aku merenung hamparan siling. Aku berada di ruangan tamu? Tubuhku berselimut. Pelik. ‘Eh, bukan ke tadi aku tengah mandi?’ Monologku dalam hati.

Aku jeda seketika. Terlayar di minda saat terakhir aku berada di bilik air. Aku tersentak. Perempuan tu! Rasa takut lahir semena-mena. Aku bangkit dari baringan, spontan tubuhku berundur kebelakang.

“Sayang…”

Selajur, aku memandang ke kanan. Suamiku duduk bersila di hadapanku. Di tangannya tersemat seikat lidi. Ya, aku kenal lidi itu. Ia pemberian Tok Keri, sahabat kepada arwah Atuk.

Lidi dari pokok kelapa yang m**i dipanah petir. Ia sudah dibacakan ayat suci Al-quran. Kata Tok Keri, lidi itu ibarat senjata atau rotan yang ditakuti oleh makhluk halus. Sama sengan rotan sega pemberian arwah Atuk pada aku suatu ketika dahulu.

“Alhamdulillah, awak dah sedar.”

“Mana perempuan tu?” Tanyaku.

“Dia dah keluar dari tubuh awak.”

“Apa maksud awak dia dah keluar dari tubuh saya?” Pelipisku berkerut.

“Awak pengsan. Awak dah kena rasuk. Awak tak ingat?”

Aku menggeleng.

“Jadi, awak dah tahu pasal perempuan tu? Kenapa tak pernah bagitau saya pasal dia sebelum ni? Kenapa berahsia?”

“Saya…saya..”

***

Dari sudut cerita Thaqief.

“Arghhhhhhhhhh!”

Aku yang sedang duduk beristirahat di ruangan tamu tersentak tatkala mendengar jeritan suara isteriku, bergegas bangun menuju ke arah dapur.

Alangkah terperanjatnya aku tatkala melihat dia terjelepuk di atas lantai bilik air. Pantas aku mendapatkannya. Berkali-kali aku memanggil namanya, menepuk-nepuk pipinya perlahan. Tiada jawapan. Aku yakin dia pengsan.

Aku memapah dia bangun, membawanya ke ruangan tamu. Terasa lelah. Berat tubuhnya berkali ganda dari kebiasaan. Sukar untuk aku mengimbangi diri.

“Hurghhhhhhhh….”

Tiba-tiba suaranya menderam.

Aku terasa pelik lalu pandangan kubawa ke wajahnya. Aku terkejut. Mata isteriku terbelalak, tajam memandangku seraya dia mengukir senyuman. Tidak semena tubuhku ditolak keras hingga aku terhenyak kebelakang.

“Kurang ajar!”

“Hemmmmmm….hemmmm….hemmmm..”

Isteriku tiba-tiba melagukan irama. Suaranya berdengung meniti cupingku. Pandangannya begitu tajam. Bagaikan mengejek dia tergelak mengekek. Seraya, dia mula melentikkan jari jemarinya dan tubuhnya meliang lentuk bertari lemah gemalai.

“Siapa kau? Kenapa kau kacau isteri aku?”

“Hemmmmm….hemmmmm….hemmmm..”

Dasar mahkluk halus terkutuk. Dia tidak menjawab malah dia terus-terusan bergurindam irama dan tarinya makin ligat bergemalai.

Aku lantas berlari ke pintu hadapan. Aku kunci mangga di pintu grill. Aku tutup pintu dan menyelak selak dari dalam. Aku tidak mahu iblis yang mendiami tubuh isteriku mendorongnya keluar dari rumah.

Kemudian, aku ke bilik tidur. Aku capai lidi pemberian Tok Keri yang tersimpan kemas di dalam laci. Aku beristighfar dan berselawat keatas junjungan Rasulullah SAW tanpa henti. Menyemai kekuatan dalam diri.

Aku cepat-cepat ke ruang tamu. Kini aku berhadapan dengan makhluk halus yang mendiami tubuh isteriku.

“Aku mahu kau keluar dari tubuh isteri aku!”

Tarinya terhenti serta merta. Dia melirik tajam kearahku.

“TIDAK!!”

“Kau jangan berdegil. Keluar aku cakap!”

“Hahahhahahaha….” Tawanya meledak.

“Baik, kalau kau taknak. Kau jangan menyesal.”

Aku tekad. Walaupun aku sendiri berasa takut namun aku yakin Allah ada dengan aku. Aku kena benar-benar yakin. Bukan pertama kali aku terpaksa berhadapan dengan keadaan begini bilamana isteri aku kerap kali diganggu. Ya, dia sakit. Sakit yang sudah semakin m******h dalamannya perlahan-lahan. Aku sebak. Kasihan isteriku.

“Maha suci Allah, bantulah hambamu ini.” Bisikku perlahan.

“A’uzu bi Kalimatillahi Tammati min sharri ma khalaq”

“Bismillahillazi la ya dhurru maas mihi syaium fil ardhi wala fissama i wahu wassami ul alim”

Aku dahului dengan bacaan ta’awuz kemudian basmallah.

Aku mulakan dengan Ummul Kitab, surah Al-Fatihah. Kemudian membaca surah Al Muawwizat yang merangkumi surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas.

Aku menarik nafas dalam, lalu aku lantunkan surah Ayatul Kursi. Sehinggalah di ayat terakhir yang aku ulangi sebanyak tiga kali, tiba-tiba makhluk itu menjerit. Jeritannya begitu bingit. Aku pasti jiran-jiran juga mendengarnya.

“Diammmmm!!! Arghhhhhhhhhhh!!!”

Isteriku terjelepuk ke lantai. Tubuhnya menggeleper. Dia menutup cuping telinga. Aku tahu dia mula tidak betah. Keadaannya yang semakin lemah dan terganggu itu perlu diambil kesempatan.

Seraya, aku ambil lidi lalu memukul tubuh isteriku dengan selembut-lembutnya walaupun aku tahu natijah yang diterima oleh tubuh isteriku berlainan. Tubuhnya serasa bagai dipalu keras. Itulah kata Tok Keri.

Lalu aku bacakan surah Al-Hasyr ayat 22 hingga 24 yang membawa maksud ;

‘Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.

Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.’

Makhluk yang menghuni tubuh isteriku terpekik terlolong. Seisi rumah bergema dengan suaranya. Sehinggalah tubuhnya terkejang. Terdengar desahan kasar di rengkungannya sebelum dia pengsan mutlak.

“Subhanallah…Alhamdulillah..”

Aku bersyukur kerana Allah bantu aku. Tiada upaya melainkan dengan pertolongan Azza Wajalla. Makhluk itu sudah keluar dari tubuhnya. Walaupun aku tahu dia tidak binasa kerana aku tidak punya ilmu untuk menewas dan mematikannya. Aku tidak arif dan tiada pengetahuan tentang itu. Aku bukan perawat.

Aku melapik kepala isteriku dengan bantal lalu menyelimutkannya. Kemudian, aku terus ke dapur mengambil air dan memasukkannya ke dalam botol. Aku mahu memagar rumah.

Aku bacakan surah Alā€Fatihah, Ayatul Kursi dan surah Al Muawwizat ( Surah 3 Qul). Aku niatkan di dalam hati dengan kalam Allah yang aku bacakan ini menjadi perisai dari masuknya makhluk halus ke dalam rumah dengan izin Allah SWT.

Sesudah bacaan selesai, aku mula merenjis air itu dimulakan dari pintu utama belah kanan dan meneruskannya mengikut lawan arah jam ke setiap sudut rumah sehinggalah bertemu semula di pintu utama tadi.

***

“Sejak bila benda ni datang ganggu awak?”

“Perempuan tu selalu datang dalam mimpi saya.”

“Dia ada bagi awak apa-apa? Awak ada ambik tak?”

“Takda tapi dia hanya menyanyi. Saya macam jatuh suka dengan lagu yang dia nyanyi tu. Saya tak tahu kenapa…tapi saya rasa dia dekat dengan saya. Dia mengingatkan saya tentang seseorang…”

“Moyang awak?”

Aku mengeluh halus seraya mengangguk.

Ya, aku dapat rasakan dia ada kaitan dengan arwah moyang. Mungkin pedamping dari salah satu ilmu kepunyaan arwah. Aku yakin, bukan hulubalang. Mungkin….sisik cantik puteri? Tapi, mungkin juga tidak. Sebab kedua saka ini tidak pernah menyakiti aku apatah lagi merasuk aku sebelum ini. Jangan-jangan ada pedamping arwah yang tak pernah aku tahu!

“Saya rasa kita kena pergi berubat. Kita tak boleh tangguh lagi. Saya takut kalau-kalau awak kena gangguan waktu saya takda..”

Aku memandang wajah suamiku.

“Nantilah….saya dah penat dengan semua ni. Saya malas.”

“Degil! Benda ni bukan benda main-main tau tak. Jangan nak keras kepala tak bertempat. Nanti tu bila? Awak nak saya bagitau mak dengan ayah pasal ni?”

“Tak payahlah nak susahkan hati orang tua tu pulak..”

“Kalau macam tu, jangan bertangguh. Secepat mungkin kita kena cari perawat.”

Aku diam. Aku tahu, Thaqief benar. Cuma, aku terlalu lama lelah menghadap semua ini. Aku manusia biasa. Ada kala aku kuat, adakala aku juga lemah. Ada kala aku mampu melawan, adakala aku juga tersungkur oleh kelalaian.

Malam itu, Thaqief ada buatkan air penawar sebab badan aku rasa sakit dan bisa bukan kepalang. Lemahnya sampai aku tak mampu nak melangkah. Aku terpaksa menelan ubat tahan sakit sebab aku benar-benar tidak tahan.

Mulai malam itu, surah Al-Baqarah sentiasa kedengaran. Terima kasih Thaqief.

Perempuan tu datang lagi? Adakah aku menemui perawat yang dapat menewaskannya? Dan siapakah sebenarnya perempuan itu?

Tamat.

Penukang Aksara : Dee Edot

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 33 Average: 4.5]

2 thoughts on “DAMPING”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.