DELAILA

Cuaca petang masih lagi cerah walau jam sudah menginjak ke pukul enam setengah petang. Jelita masih lagi duduk di perhentian bas. Sekejap-sekejap dia menjengah ke tengah jalan raya dan kemudian beralih mengerling jam dipergelangan tangan. Novel yang sentiasa diusungnya juga sudah tidak menarik minat untuk dibaca. Dia sudah jelak menanti bas. Sudah hampir satu jam dia menanti namun bayang kenderaan itu masih tidak kunjung tiba.

Keluhan diluah kasar. “Time aku tunggu, tak ada pula kau lalu. Kalau tak ditunggu elok je bertali arus.” Rungutnya sendirian.

“Dah lama tunggu bas?” tegur satu suara yang entah dari mana dan bila munculnya. Jelita terhinggut bahu dek terkejut. Lambat-lambat diukir senyum buat gadis cantik yang sudah pun duduk disebelahnya.

“Bas dekat sini memang lambat.” Ujar gadis itu lagi.

Jelita mengangguk. “Itulah, selalunya waktu macam ni dah lalu dah.” Tambahnya pula.

Dikerling gadis disebelahnya itu. Cantik berbusana kebarung putih dipadankan dengan kain batik lepas. Rambutnya yang hitam disanggul kemas dan dihiaskan dengan klip rambut sederhana berbentuk kerawang melengkapkan fesyennya.

“Awak selalu tunggu bas dekat sini?” soal gadis itu.

Jelita mengangguk. “Saya baru tiga minggu kerja dekat area sini. Baru tiga minggu la tunggu bas. Awak? Memang tinggal dekat-dekat sini ke?”

Gadis itu mengangguk kecil. “Itu, bas dah sampai.”

Jelita buru-buru bangkit dari duduknya dan bergerak ke bahu jalan menahan pengangkutan awam tersebut. Seketika dia terlupa tentang gadis yang turut bersamanya tadi.

*****

Jelita menghayun langkah menuju kerusi batu yang disediakan ditaman permainan yang berhadapan dengan rumah sewanya. Cuti hujung minggu terasa bosan apabila tiada aktiviti yang dilakukannya. Dia sekadar berjalan-jalan mengambil angin petang sambil mencuci mata melihat tingkah kanak-kanak yang riang bermain. Sesekali senyumnya terukir nipis apabila ada yang mencuit hati.

“Boleh saya duduk?” tegur satu suara. Lunak dan lembut menyapa telinga. Jelita berpaling.

“Awak… Eh, duduklah.” Pelawanya kepada si gadis yang menegur. Gadis berbaju kebarung putih berkain batik itu turut melabuhkan p******g disebelahnya.

“Saya Jelita, awak? Kita ni dah dua kali jumpa tapi tak tahu nama langsung.” Ujar Jelita ramah.

“Delaila.”

Jelita mengangguk. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan lagi. Dia m**i ayat.

“Awak memang selalu tunggu bas dekat situ juga ke?” soal Jelita tetiba. Delaila sekadar mengerling sekilas sebelum mengangguk perlahan.

“Mama! Kakak tu cakap dengan hantu.” Ujar seorang kanak-kanak kecil yang kebetulan lalu dihadapan mereka. Jelita terpempan sejenak. Delaila disebelahnya dikerling namun riak gadis itu cukup tenang.

“Budak tu mesti selalu dimomokkan dengan cerita hantu. Sorry.” Ujar Jelita. Terasa serba salah pula. Mujur kanak-kanak itu bukan anak mahupun adiknya. Jika tidak, sudah pasti berdetus-detus cubitan yang bakal dihadiahkan.

“Jelita, hati-hati bila awak tunggu bas dekat situ.” Tanpa sebarang isu, Delaila berpesan padanya. Jelita kelam tidak faham namun tetap dianggukkan kepala tanda hormat.

Dikerling jam dipergelangan tangan. Hari sudah menginjak ke senja, kaki langit juga sudah berubah warna. Jelita bangkit, mengibas sedikit bajunya.

“Delaila, saya minta diri dulu. Esok kita jumpa lagi, InsyaaAllah.”

Delaila yang memandangnya sekadar tersenyum. Mengangguk sedikit.

******

Petang itu Jelita bersendirian lagi. Seperti biasa, dia hanya ditemani kicauan gagak yang berterbangan juga sebuah novel ditangan. Jam dipergelangan dikerling, hampir menjejak enam empat puluh lima petang. Bayang-bayang kenderaan pengangkutan awam yang ditunggu masih tidak muncul. Dia mengeluh kasar. Pandangannya dikalih ke kiri dan kanan, sengaja mencuci mata.

“Bosannya. Delaila tak ada pula hari ni. Tak kerja kut…” omelnya sendirian. Ya, dia baru perasan, Delaila juga tidak muncul.

“Dah lama tunggu bas?” tegur satu suara. Jelita lipat maut berpaling. Lambat-lambat dia mengangguk.

Seorang lelaki sudah pun duduk tidak jauh darinya. Berpakaian ringkas, T-shirt tanpa kolar berwarna hitam dipadankan dengan seluar dari jenis jeans berwarna biru. Dikenakan pula dengan topi berlambang NY berwarna hitam, poch bag diselimpang dibahu kiri dan akhir sekali mengenakan selipar dari jenama Fipper. Sekilas Jelita mengecam penampilan lelaki tersebut.

“Bas dekat sini lambat. Saya selalu nampak awak tunggu bas dekat sini.” Ujar lelaki itu lagi. Tersenyum memandangnya. Jelita diam, tidak menjawab. Curiga menyerbu benaknya. Beg tangan dipegang kejap, novel ditangan juga tidak dilepaskan.

“Apa kata kita naik teksi, kongsi bayar. Saya rasa bas lambat lagi ni.”

Lelaki tersebut masih tidak putus asa. Masih cuba untuk memancing perbualan. Jelita pantas menggeleng.

Lama suasana diisi sepi. Jelita masih berwaspada. Pandangannya tidak putus-putus menjengah ke dada jalan. Mengharap akan bas yang dinanti muncul serta merta.

“Awak…” tegur lelaki tersebut sambil menyentuh tangannya.

“Hei!!” Jelita terkejut. Tindakannya spontan memukul lelaki tersebut dengan novel ditangan.

Pergelutan diantara Jelita dan lelaki tersebut berlaku. Situasi antara mereka agak tegang namun masih belum ada sesiapa yang datang menolong walau jeritan Jelita sudah bergema berkali-kali. Mungkin disebabkan kawasan tersebut agak sunyi jadi tidak ramai yang menyedari akan hal tersebut.

“Lepaskan dia!!!” Satu suara muncul entah dari mana dan terus menyerang lelaki itu. Jelita tertolak kebelakang. Hampir-hampir sahaja jatuh tersembam.

“Delaila…” getusnya saat matanya jatuh pada seorang gadis yang sedang menyerang lelaki tersebut bertubi-tubi tanpa memberi sebarang peluang untuk lelaki itu mempertahankan diri. Akan tetapi, Delaila dihadapannya itu sama sekali tidak sama dengan yang sering dilihatnya. Hanya pakaian yang dikenakan gadis itu yang membuatkan dia cam akan gerangan empunya diri.

“Kau!!! Kau dah m**i!!!” Pekik lelaki itu histeria.

Lintang pukang langkahnya berlari setelah dapat melepaskan diri dari serangan Delaila. Delaila hanya memandang kelibat lelaki itu. Sedikit pun dia tidak berpaling ke arah Jelita dibelakangnya.

“Delaila…” sekali lagi Jelita bersuara. Benaknya memberat dengan pelbagai persoalan. Melihat keadaan Delaila yang sememangnya tidak sama seperti selalu membuatkannya ingin tahu hal yang sebenar.

“Baliklah Jelita, bas awak dah sampai.” Ujar Delaila. Masih tidak berpaling muka.

Jelita menjengah ke tengah jalan raya. Ya, apa yang dikatakan Delaila itu benar. Jelita buru-buru menahan kenderaan tersebut. Saat dia berpaling untuk memandang Delaila, kelibat gadis itu sudah tiada.

******

Dia sekadar duduk di ruang tamu. Merenung kosong skrin televisyen yang gelap tidak bersiaran. Lampu diruang tamu juga tidak dihidupkan, sekadar bertemankan cahaya dari lampu diruang makan. Kata-kata Jelita siang itu sedikit mengganggunya. Masih jelas dibenaknya isi perbualan mereka tengahari itu.

“Jelita tunggu bas dekat mana?” soal Yadt sewaktu mereka sama-sama keluar dari pejabat untuk makan tengahari.

“Dekat bus stop simpang jalan tu kak. Kenapa?”

“Bus stop depan sana tu? Kenapa tak tunggu dekat depan sini?” soal Yadt lagi.

Jelita sengih. “Depan sana tu terang sikit, dekat sini sunyi.” Jawabnya jujur. Sememangnya dia punya pilihan yang lebih dekat namun yang dekat itu agak menyeramkan berbanding perhentian bas yang jauh disimpang jalan itu.

“Hati-hati. Bas area sini lambat sikit. Satu jam sekali tak silap akak.” Ujar Yadt lagi.

Jelita pantas mengangguk. Mengiakan kata-kata seniornya itu. Sekilas, dia terpandang gadis berbaju kebarung putih dipadankan dengan kain batik turun dari tingkat tiga bangunan pejabatnya. Gadis yang sama yang ditemuinya sewaktu diperhentian bas tempoh hari. Dia yakin. Gadis itu memandangnya dan tersenyum, sama seperti petang itu.

“Err..Kak Yadt, siapa perempuan yang pakai baju kebarung putih tu?” soal Jelita.

“Yang mana?” Yadt turut menebar pandangan, mencari kelibat gadis yang diperkatakan Jelita.

“Ada tadi, dia turun dari tingkat tiga. Haritu saya jumpa dia dekat bustop tapi tak tahu pula dia pun kerja dekat sini.” Ujar Jelita lagi.

Yadt disebelahnya berkerut kening cuba untuk mengingat satu persatu pekerja yang dikenalinya.

“Akak tak perasan pula. Dah, jomlah kita pergi makan.” Ujar Yadt mengakhiri topik perbualan mereka. Jelita akur, dia terus membuntuti langkah seniornya itu. Sesekali dia berpaling kearah pintu masuk yang menghubungkan tangga untuk ke tingkat dua dan tiga bangunan. Namun tiada sesiapa yang dilihatnya disitu.

Keluhan dihempas perlahan. Terasa ada mata yang sedang memerhatikannya. Dia berpaling kekiri, arah yang betul-betul mengunjur ke pintu dapur. Gadis berbaju kebarung putih itu sedang berdiri disitu. Berdiri sambil memandang kepadanya dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Dalam takut-takut dia cuba bersuara.

“De..Delaila?” tergagap-gagap dia bersuara. Seluruh tubuh mulai dicengkam kesejukkan walau cuaca malam tidak membawa tanda yang hari akan hujan.

Gadis berbaju kebarung itu sekadar memandangnya tanpa memberi sebarang reaksi. Yadt memberanikan diri untuk mendekati si gadis yang masih pegun tidak berganjak. Dalam kecutnya tangkai hati, dia masih cuba untuk memberanikan diri kerana penampilan si gadis yang elok dipandangannya. Tiada langsung riak hodoh yang dipamerkan walau hakikatnya dia tahu akan keadaan yang sebenar.

“Delaila… aku minta maaf. Aku tak dapat bela kau.” Ujar Yadt.

Wajah dingin Delaila berubah rona. Kesedihan jelas terpancar dari panahan matanya. Perlahan-lahan tangisan gadis itu kedengaran sayu dan hiba. Yadt juga turut sama merasakan kesedihan itu. Apa yang berlaku kepada Delaila terjadi dihadapan matanya dan dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

******

Seperti kebiasaannya, Jelita menunggu diperhentian bas yang sama. Harapannya Delaila akan muncul, banyak persoalan yang ingin ditanya. Dia perlukan jawapan. Mungkin apa yang disangkanya benar, tetapi biarlah segalanya terjawab dari mulut Delaila sendiri. Dia tidak mahu bersangka-sangka. Baginya Delaila tidak pernah mengancam serta menakutkannya. Gadis itu baik.

Hampir satu jam dia menanti namun Delaila tetap tidak memunculkan diri. Jelita melepas keluhan kecil. Terasa hampa. Bas yang dinanti tiba seperti kebiasaannya. Jelita melangkah meniti tangga bas, mencari tempat duduk. Pandangannya dilontar ke luar tingkap kenderaan tersebut yang sudah pun bergerak. Sekilas dia terpandang susuk tubuh Delaila dibahu jalan, sedang melambai kearahnya dengan senyuman. Penampilannya? Kemas dan cantik seperti selalu. Berkebarung putih, dipadankan dengan kain batik, rambutnya disanggul kemas dan dilengkapkan dengan klip rambut sederhana berbentuk kerawang. Jelita turut tersenyum, seakan pasti bahawa Delaila nampak senyumannya. Ucapan terima kasihnya sarat didalam senyuman yersebut. Dan dia yakin, Delaila tahu apa yang ingin dia sampaikan tanpa perlu dilantunkan suaranya. Benarlah, kejadian alam mempunyai rahsianya yang tersendiri

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

26 thoughts on “DELAILA”

  1. Terbaik! 🙌
    Cerita penuh misteri.Membiarkan pembaca dengan sebuah persoalan; siapa Delaila?
    10/10 👍👍👍

    Reply
  2. klu Dr penghayatan aku LA, tah btul atau x. delaila ni JD mangsa rogol & b***h. btul x cik Maria? btul lah btul lah plisss…

    Reply
  3. Hemmmm…..menarik cerita…bagus…ceritanya lebh kurang jdnya pd sepupu mak sy yg smpai skrg mjd tanda tanya.. Arwah diculik dperhentian bas betul2 depan umh mak ayhnya…selepas beberapa hari mayatnya ditemui dlm keadaan yg sgt2 mnyedihkn arwah bkn shj dirogol tp diseksa dgn disumbat sgala bnda pd kemaluan arwah shgga arwah meninggal..mayatnya dicampak di kawasan ladang kelapa sawit..tp lepas tu wanita2 yg slalu tggu bas sorg2 akn ditemani sorg perempuan berbaju kurung gmbaran penampilan yg slalu org2 kmpg nmpk persis mcm masa ari terakhir arwah…lebh kurang sama mcm apa yg awk cerita…tp kejadian nie jd pd tahun 60/70 an klw xsalah sy…mak sy slalu ckp mak sy rndu pd arwah…

    Reply
    • laa yeke cikManis? actually benda ni true story jugak… cuma Maira buat penambahan cerita agar tak direct pada empunya diri. tak nak menambah trauma. BTW thanks kongsi cerita.

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.