Dendam Berdarah

Hi Admin, maaf kerana cerita yang dihantar sebelum ini tidak lengkap (bersambung). Saya sudah lengkapkan dan harap di siar untuk bacaan pembaca ya. Kisah original. Selamat membaca!

===================
*Aku seorang realis*

Aku seorang yang berfikiran realistik. Bagi aku, kisah-kisah paranormal yang banyak berlegar di alam maya hanyalah kisah rekaan semata-mata dan aku tidak pernah sesekali ada secubit rasa takut mahupun seram jika terdengar bunyi-bunyian aneh atau ternampak bayang dan sebagainya. Bagi aku, setiap yang berlaku pasti ada penjelasan logikal. Contoh, jika terdengar bunyi tapak kaki berjalan di luar rumah ( rumah sewaku adalah banglo satu tingkat ) di tengah malam atau awal pagi, apa yang terdetik di hatiku adalah mungkin pencuri atau orang berniat jahat. Aku lebih berburuk sangka dengan manusia berhati hitam dari hantu syaitan kerana bagiku, hanya manusia (dan binatang) yang boleh mengkhianati dan mencederakan manusia, sementara hantu syaitan, aku yakin ianya wujud tetapi hanya mampu menakut-nakutkan manusia, dan disebabkan ketakutan amat sangat, manusia itu sendiri yang tercedera.

Aku seorang perempuan bujang berusia akhir 20-an, menyewa bersama seorang rakan. Pada mulanya aku mencari rumah yang berdekatan dengan tempat kerja kerana aku tidak sanggup meredah jalan sesak ke pejabat setiap hari. Kebetulan atau itu memang rezekiku, aku ternampak iklan rumah sewa itu di laman internet dan tuan rumah terus bersetuju untuk menyewakan rumah tersebut dengan harga yang agak tidak masuk akal memandangkan lokasi rumah yang agak strategik. Di sebabkan oleh tabiatku yang suka menyelidik, aku mendapat tahu tentang kejadian pembunuhan kejam yang berlaku di rumah tersebut setahun lepas dan mungkin disebabkan itulah tiada siapa yang berani menyewa di situ.

Pada mulanya, aku berniat untuk menyewa seorang diri, akan tetapi pada hari pertama aku pindah masuk ke rumah tersebut, aku disapa ramah oleh jiran sebelah rumahku. Menurut makcik yang usianya sebaya ibuku itu, tuan rumah sebelum ini adalah seorang lelaki bujang yang ditemui m**i di tetak berlumuran d***h di ruang tamu. Arwah di temui selepas beberapa hari kerana arwah seorang yang pendiam dan tidak ramai kawan, jadi tidak ada siapa yang menyedari akan kehilangannya.

Memandangkan aku yang realis ini tidak kisah akan hal itu, aku hanya mengangguk dan membalas dengan senyuman sopan bila jiranku itu bersungguh-sungguh menceritakan akan kejadian malang tersebut. Dari sudut pandangan matanya, aku yakin yang dia sebenarnya memberi isyarat kepadaku supaya tidak berpindah masuk. Namun, bagiku, orang yang m**i itu sudah terputus hubungannya dengan dunia. Tiada istilah roh tidak aman atau roh yang menghantui rumah, kecualilah itu adalah jelmaan jin nakal yang cuba menggoyah akidah manusia. Sebaliknya, kisah kematian sadis itu langsung tidak menimbulkan perasaan seram, sebaliknya hatiku merasa sayu. Diam-diam aku berdoa moga rohnya aman di sana. Tidak silap aku, aku pernah terbaca yang m**i d*****h kejam adalah salah satu syahid kecil. Moga arwah mendapat kebahagiaan di alam sana. Namun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, aku mengiklankan bilik sewa kerana berasa tidak selamat untuk tinggal seorang. Aku bukan takutkan hantu orang m**i d*****h, tapi gerunkan serangan penyamun. Nita berpindah masuk 2 minggu kemudian. Ingatkan boleh dibuat teman, rupanya tuntutan kerja sebagai Geologist sebuah Syarikat O&G antarabangsa memerlukan Nita untuk selalu “outstation” ke Indonesia.

*Masih realis*

Berbalik kepada rumah sewaku; rumah itu mempunyai 3 bilik dan ruang tamu yang sangat luas. Rumah itu kosong tanpa apa-apa perabot kecuali cabinet dapur pasang siap. Dindingnya di cat baru dan langsung tiada kesan-kesan peristiwa berdarah pernah berlaku, walaupun menurut cerita jiranku, ketika arwah dijumpai, ruang tamu itu berlumuran d***h, percikan hingga ke dinding, mungkin arwah sempat bergelut dengan pembunuhnya. Kes b***h itu khabarnya masih belum selesai hingga sekarang.

Aku membawa pindah masuk langsir dan perabotku dari rumah sewa lama. Sofa merahku kutempatkan di tengah rumah, rak buku tersusun di tepi dinding, perabotku bertema merah hitam. Lukisan-lukisan kanvas hasil air tanganku di masa lapang aku gantung tersusun. Aku menghuni bilik utama. 1 bilik aku sewakan kepada Nita, dan 1 bilik lagi aku jadikan “walking closet”. Sudah beberapa bulan aku menyewa di sini dan tidak pernah lagi ada peristiwa pelik yang berlaku, malah aku langsung tidak terfikir apa-apa yang menyeramkan walaupun kerap kali aku pulang lewat malam disebabkan komitmen kerjaku. Aku mula selesa, cuma aku agak berhati-hati dari segi keselamatan, tidak pernah lupa untuk mengunci rumah setiap kali keluar masuk. Semua tombol pintu aku tukar baru dengan keizinan tuan rumah.

Masuk lebih kurang 3 bulan aku menyewa di situ; aku mula tersedar dari tidur secara mengejut di tengah malam. Agak aneh kerana jam digital di tepi katilku selalu menunjukkan angka yang sama, contohnya, tepat jam 2:22, 3:33 , 4:44 . Jam kecil segi empat dari Ikea itu automatis menyala suram jika di goyang. Walau agak aneh, aku masih menganggap ianya satu kebetulan. Setelah tersedar, semestinya akan mengambil masa sedikit untuk kembali melelapkan mata. Suasana awal pagi sunyi ditambah lagi malam gelap pekat ( aku memang selesa tidur dengan semua lampu di tutup ), jadi, dalam suasana sunyi itu, kerap kali aku terdengar bunyi seperti benda terjatuh di atas bumbung, dan bunyi-bunyian seperti ada sesuatu di dapur. Seperti biasa, aku hanya berfikir secara logik akal, mungkin tikus di siling rumah, dan mungkin bunyi itu dari luar rumah atau rumah sebelah tapi di sebabkan suasana sunyi malam, bunyi itu kedengaran dekat. Kadang-kadang, jika bunyi agak kuat, aku bangun mencari suis lampu dan meninjau ruang dapur. Tiada apa-apa yang aneh. Aku akan meninggalkan lampu dapur terpasang sampai pagi untuk tujuan keselamatan. Kejadian ini, banyak terjadi ketika aku berseorangan di rumah.

*Penampakan*

Memandangkan bunyi-bunyian dan kejadian tersedar dari tidur pada waktu-waktu aneh itu langsung tidak menyuntik sekelumit rasa seram hati ku, sesuatu telah terjadi dan merubah persepsiku. Nita di hantar “on job training” ke luar negara selama 3 bulan. Aku pula makin di tenggelami dengan tugasan tambahan yang memerlukan untuk aku bekerja lebih masa setiap hari. Nasiblah encik tunangku perlu fokus dengan phd nya di UK jadi hubungan kami tidak perlukan komitmen yang berlebihan buat masa sekarang. Setiap hari, aku pulang ke rumah hampir tengah malam. Pagar rumah perlu di buka secara manual jadi kebanyakan masa, jika Nita tiada di rumah, aku hanya parking kereta di hadapan pagar. (Juga untuk tujuan keselamatan). Hari ke tiga Nita tiada di rumah, aku sampai tepat pukul 12 malam. Dari jauh kelihatan susuk tubuh seseorang berdiri betul-betul di luar pagar rumah ku. Susuk tubuh seorang lelaki yang tegap dan tinggi, namun sekilas pandang terus hilang dari pandangan bila keretaku mendekat. Kereta ku parkir di hadapan pagar rumah dan aku bergegas membuka kunci pagar. Rumah-rumah jiranku sudah gelap. Aku kuat menyakinkan hati yang susuk tubuh tadi hanyalah imiginasi ku kerana tidak mungkin seorang manusia boleh terus hilang dari pandangan, sedangkan tiada apa yang boleh dijadikan tempat bersembunyi di situ.

Malam yang sama, aku tersedar saat jam menunjukkan jam 3:33. Suasana sunyi sepi bagaikan aku berada di bilik kalis bunyi. Aku menarik selimut yang terselak dan mencari bantal peluk, mengiring ke kanan menghadap tingkap dan cuba untuk kembali melelapkan mata. Ketika itulah aku merasa seperti diperhatikan. Mata yang pejam kini terbuka luas, pandangan aku terus terarah pada tingkap bilik berlangsir nipis. Langsir sedikit terselak di tepi dan 1 susuk tubuh jelas kelihatan sedang memandangku. Serentak itu kedengaran bunyi dengusan kuat seperti lembu disembelih. Aku terus mencapai telefon bimbitku di bawah bantal, melompat bangun dari katil dan mencapai suis lampu bilik. ” Klik! ” bilikku terang benderang dan susuk tubuh lembaga itu terus hilang. Jujur, aku masih terfikir yang lembaga tadi adalah manusia jahat atau perompak. Tanganku agak menggeletar dan jantungku berdegup kencang. Dengan beraninya aku mendekati tingkap bilik berdaun kaca yang dilapisi gerigi besi corak bunga itu. Aku intai keluar, telingaku menangkap bunyi cengkerik dan bunyi kucing mengiau, begitu berlainan dari suasana sunyi tanpa bunyi sebentar tadi. Malam itu, aku tidur dengan lampu terpasang.

Tiada apa yang berlaku pada malam keesokan harinya, tetapi selang 1 malam, aku tersedar lagi dari tidur secara tiba-tiba. Kali ini aku tidak terus mencapai jam. Tetapi terus berpusing ke arah tingkap bilik. Suasana sunyi tanpa bunyi, dan ya…susuk tubuh lembaga itu ada di situ, ibarat sedang merenungku di sebalik langsir nipis. Kali ini sebelum tidur aku sudah memastikan betul-betul yang langsir itu menutup tingkap. Kelihatan bayang itu tidak berganjak. Susuk tubuh seorang lelaki tinggi, berambut pendek. Aku tidak bersuara sedikitpun dan mataku tetap memandang ke arah tingkap tadi. Seolah-olah, kami berpandangan sesama sendiri walau susuk tubuh itu berdiri di sebalik tingkap. Dari jauh bunyi kereta mendekat dan lampu kereta menerangi tingkap. Susuk tubuh itu bagaikan melompat keatas dengan pantas dan terus hilang dari pandangan.

Sedikit gementar, aku bangun membuka lampu bilik. Fikiran aku sedikit terganggu, antara realiti atau mimpi. Ku tepuk-tepuk pipi sendiri untuk memastikan ini bukan mimpi. Kembali baring ke katil, aku memilih untuk tidur mengiring memeluk bantal, menghadap dinding, membelakangi tingkap. Aku sudah hampir terlena bila kurasakan seperti tilamku mendap kebawah bagaikan seseorang duduk, dan kemudian baring di sebelahku. Badanku kaku, hembusan angin sejuk terasa seperti pernafasan yang tersekat-sekat dan bau hanyir d***h begitu jelas sekali memenuhi setiap rongga hidungku. Sebetulnya aku berada dalam keadaan yang sangat terkejut sehingga aku bagaikan terlupa untuk bernafas normal. Seperti ikan di daratan, nafasku pendek dan singkat dan mulutku tak henti-henti menyebut Allah…Allah… fikiran aku kosong dan tiba-tiba duniaku gelap. Aku tidak sedarkan diri.

Aku tersedar hampir jam 7 pagi. Suasana di luar rumah sudah agak terang memandangkan subuh masuk awal. Aku masih dalam posisi tubuh mengiring menghadap dinding. Menghela nafas lega, aku memicit kepala yang tiba-tiba berdenyut. “Mimpi kot ni… ” aku cuba menyedapkan hati. Di dalam bilik air, aku terjerit kecil bila refleksi tubuhku menunjukkan kesan jalur lebam di lenganku seperti di cengkam oleh jari-jari panjang dan kurus.

*Kemuncak*

Aku mengambil keputusan untuk menghubungi bos memaklumkan bahawa aku perlukan cuti mengejut hari ini atas urusan peribadi. Bos aku tidak banyak bertanya, kerana aku jarang mengambil cuti sakit dan mencuri tulang di tempat kerja, beliau hanya berpesan kepadaku untuk jaga diri dan menghubungi beliau jika perlukan apa-apa bantuan. Sedikit rasa bersalah timbul, tetapi aku betul-betul dalam kecemasan! Aku perlukan masa khas untuk menenangkan diri dan mencari jawapan. Pagi itu, lama aku termenung di atas sofa merah di ruang tengah rumah sambil merenung telefon bimbitku. Hati ku berbelah bagi adakah perlu untuk aku kongsi kisah misteri ku ini dengan tunangku, atau perlukah untuk aku hubungi ibuku? Rakan-rakanku pula semestinya sedang sibuk di pejabat. Aku membuat keputusan untuk menceritakan perihal ini kepada ibuku. Namun deringan telefonku tidak berjawab. Oh ya.. baruku teringat yang ibuku ke kelas mengaji pada waktu itu.Tunangku pula sedang sibuk berseminar di London, dan aku rasa tidak perlu untuk menganggunya dengan cerita remeh keanakan seperti ini. Lagipun, ianya sudah lewat malam di UK.

Aku mengambil keputusan untuk hanya cuti separuh hari dan kembali ke tempat kerja. Bos ku juga tidak banyak bertanya bila aku hanya mengatakan urusan ku tadi telah selesai. Seperti biasa, aku tenggelam dalam tugasan projek baruku dan buat sementara waktu, peristiwa aneh malam tadi luput dari ingatan, sehinggalah tiba waktu untuk aku pulang.

“Alamak… ” jam menunjukkan pukul 7.20 petang. Suasana sudah mulai beransur gelap. Aku yang selama ini tidak pernah kisah akan terang gelapnya hari, kini sudah berasa sedikit panik. Aku tiba di kawasan taman perumahan ku 25 minit kemudian. Hatiku berat untuk terus balik ke rumah, jadi stereng kereta ku pusing ke arah masjid di hujung taman. Suara ustaz memberi tazkirah maghrib kedengaran sayup-sayup. Aku menunaikan fardhu maghrib dan membuat keputusan untuk menunggu sehingga masuk waktu Isya.

Selesai Isya, entah dari mana aku berasa sedikit rasa berani tersisa. “Jika betullah itu gangguan hantu syaitan, tidak akan terjadi apa-apa yang buruk melainkan izin Allah. Kenapa aku takutkan mereka?” aku bermonolog sendiri. Rumahku gelap gelita tanpa lampu terpasang di halaman depan. Sedikit cahaya dari rumah depan melimpah ke jalan. Keretaku ku parkir menghalang pagar rumah. Jam di dashboard kereta menunjukkan pukul 9.15 malam. Selepas enjin di matikan, aku masih duduk di tempat duduk pemandu, kepala ku bersandar di tempat meletak kepala, dan dalam hatiku berdoa semoga tiada apa yang aneh terjadi malam ini. Sedetik itu, kurasakan dua tangan memegang leherku dari belakang, jarinya yang panjang melingkari leherku. “Urgh..!!” dengusan suara garau memecahkan suasana sunyi dalam kereta. Tidak sempat aku menjerit, jasadku bagai direnggut kasar ke atas menembusi bumbung kereta, laju terbang menegak semakin tinggi…. semakin tinggi… anehnya, aku dapat melihat jasad fizikalku masih di dalam kereta, tersandar kaku di kerusi pemandu.

Aku terapung semakin tinggi. Kali ini, aku bagaikan tiada rasa. Tiada perasaan apa-apa. Takut, cemas, risau, hairan…. aku hanya merasa kosong, malahan jiwaku terasa tenang dan aman. Aku meluncur semakin tinggi dan sekelilingku sudah berkabus. Jauh di bawahku kelihatan kelip-kelip lampu rumah dan jaluran lampu kenderaan di jalan raya. Kabus itu awan sebenarnya. Aku di kelilingi kabut awan dan buat seketika, aku berhenti bergerak dan terapung di ketinggian yang sama, pegun. Aku masih boleh merasa angin sejuk, dan udara yang ku hirup sangat nyaman. Aku ingin kekal sebegini, jiwaku kosong tanpa rasa, tetapi ia sesuatu yang sangat indah dan sukar digambarkan. Tidak lama aku terapung di situ, tiba-tiba tubuhku meluncur laju kebawah.

Sekelip mata kini aku berada di luar pintu rumahku. Tanganku memegang segugus kunci rumah. Automatis tangan ku membuka kunci rumah dan memutar tombol pintu. Suis lampu utama hanya di tepi pintu, dan perkara pertama sekali yang biasa aku lakukan ialah membuka lampu utama selepas membuka pintu. “Klik” ruang tamu rumah di terangi cahaya, tetapi suasa di dalam rumah amat berlainan sekali. Aku kini berada di sebuah ruang tamu asing, dindingnya berwarna hijau muda, sofa kelabu dan set television besar menghiasi ruang tengah. Dalam keadaan terpinga-pinga, kedengaran ketukan di pintu. Pintu itu masih belum sempat ku tekan butang kuncinya, terbuka sebelum aku sempat untuk mencapai tombol. Berdiri di hadapanku seorang lelaki tegap berkulit sawo matang, berbaju tshirt kelabu, berambut kerinting yand tidak ku kenali tetapi wajahnya bengis dan kelihatan sangat marah.

Kejadian seterusnya berlaku dengan sangat pantas. Lelaki asing itu menerpa masuk menujah badanku dan aku tertolak ke belakang, serentak itu aku merasakan cecair hangat mengalir dari bahu kiriku. Aku yang masih terpinga-pinga terasa tikaman berulang kali dengan sesuatu yang sangat tajam. Satu tujahan terus menembusi bajuku dan d***h membuak-buak keluar dari luka tikaman. Aku cuba melawan, pergerakanku terasa seperti boneka, dan pergelutan kami berakhir pantas bila aku rebah di lantai. Hujung mataku melihat lelaki itu keluar dari rumah memegang pisau rambo pendek dengan d***h menitik. Lelaki itu sempat menekan tombol kunci dan menutup pintu dengan perlahan. Tubuhku mulai terasa sangat sejuk dan pandanganku kabur. Aku kini terbaring di tengah-tengah takungan darahku sendiri. Aku merasa sejuk dan mengantuk yang luar biasa. “Ini hanyalah mimpi!” Getus hatiku. Aku memejam mata menahan rasa sejuk yang menular ke seluruh badan.

Aku tersedar mengejut tercungap-cungap bagaikan baru keluar dari ruang vakum. Dadaku terasa sesak dan panas seperti aku telah lama menahan nafas. Terpinga-pinga, aku dengan pantas meraba bahu kiriku. Peristiwa ditikam bertubi-tubi tadi memenuhi ruang mindaku membuatkan aku berasa panik yang luar biasa. Rupanya aku masih berkeadaan sempurna, malah masih berada di dalam keretaku. Jam menunjukkan pukul 9.40 malam, bermakna aku hanya “hilang” dalam masa kurang dari setengah jam sahaja. Badanku terasa seram sejuk dan sedikit menggeletar. Tanpa bertangguh, aku menghidupkan enjin kereta, menuju ke McD 24 jam yang tidak jauh dari rumahku. Berhampiran rumahku juga ada kedai mamak, tapi aku kurang selesa untuk duduk minum bersendirian memandangkan mamak selalu penuh dengan kaum adam.

Setibanya di McD, aku cuba untuk bertenang. Adakah aku sudah gila? Setau aku, keluarga sebelah abah dan mak tidak ada yang berpenyakit mental. Peristiwa sebentar tadi sangat jelas sejelasnya dan seumpama perkara yang benar-benar terjadi. Wajah lelaki itu jelas dalam ingatanku, tapi aku langsung tidak mengenali lelaki tersebut. Aku yang selama ini sangat berdikari, berani dan lebih suka menyendiri, kini sudah goyah, semangatku rapuh. Memandangkan hari itu sudah hari Rabu, aku membuat keputusan untuk mengambil cuti 2 hari, pulang ke kampung. Malam itu aku tidak berani pulang ke rumah, sebaliknya menumpang bermalam di rumah rakanku. Aku tidak menceritakan perkara sebenar kepadanya, tetapi hanya memberitahu aku tidak berani tidur seorang di rumah malam itu kerana melihat kelibat seseorang di laman. Perkara sebenar agak gila dan agak sukar di hadam sahabatku itu yang beridealogi sama dengan ku.

*Misteri terungkap*

Di kampung, aku menceritakan semuanya kepada ibuku. Tanpa berlengah, petang itu juga ibuku membawaku berjumpa dengan seorang Ustaz pencen, suami kepada guru mengajinya. Aku mengulangi cerita yang sama kepada Ustaz itu. Ustaz Thalib yang sudah agak berusia itu mengangguk-ngangguk sahaja dan termenung panjang. Tiada apa-apa sesi perubatan tradisional seperti yang aku jangka, tetapi Ustaz itu hanyalah menasihati yang aku perlu kuatkan semangat dan menganggap itu adalah mainan syaitan dan jin. Tetapi beliau juga berteori yang kejadian itu berkemungkinan besar ulang tayang pembunuhan yang berlaku di rumah itu. Aku dibekalkan dengan beberapa tips bacaan ayat-ayat Quran dan bacaan doa. 4 hari dikampung, tidurku aman dan semangatku kembali pulih, sehinggalah tibanya masa untuk aku kembali pulang ke rumah sewaku.

Rumah sewaku berkeadaan biasa, dan Alhamdulillah, tiada lagi gangguan aneh yang berlaku. Aku keluar rumah awal pagi dan kembali lewat malam seperti biasa. 2 bulan selepas kejadian, aku mengambil cuti tahunan kerana perlu menyambut kedatangan adikku yang bercuti di Sarawak di KLIA2. Adik ku seorang guru yang sudah 4 tahun di Sarawak dan mengambil peluang pulang ke Semenanjung setiap kali cuti sekolah yang panjang. Aku mengemas rumah dan membawa keluar plastik sampah ke kotak sampah di pagar depan. Ketika itulah seorang lelaki menaiki motor melalui jalan depan rumahku dan wajah lelaki itu betul-betul membuatkan jantungku berdegup kencang. Lelaki itu tidak bertopi keledar dan sangat jelas beliaulah lelaki yang “menyerangku” 2 bulan lepas. Aku tidak terus masuk ke rumah tetapi berpura-pura membelek plastik sampah, sambil memerhatikan lelaki tersebut yang sudah masuk ke rumah selang 3 rumah dari rumahku. Kebetulan pula makcik dari rumah sebelah keluar untuk membuang sampah, dan sempat kutanya, siapa lelaki tadi kerana tidak pernah nampak selama ini.

“Itulah orang muda sekarang, keluar pagi, balik malam, tak sempat kenal jiran-jiran tak macam orang dulu. Itu suaminya Hasnah, askar pencen. Kalau kamu ada masalah paip tersumbat ke apa panggil dia je senang, upahnya pun murah saja. Bini dia tu pula jual barang kosmetik macam-macam ada, cantik jelita mengerlip, hang nak buat facial kat rumah pun boleh panggil dia. Sejak peristiwa Ali (bukan nama sebenar ) dah jarang bini dia tu keluar rumah, takut orang jahat gamaknya. Biasa selalu duk hantar kuih macam-macam kat makcik, Ali pun dapat merasa. Kesian kat Ali katanya, takdak sapa jaga makan minum…. “

Panjang lebar lagi penerangan makcik itu, tapi aku hanya meringkaskan isi penting. Aku rasa pengalaman misteri aku sudah terjawab. Ku telefon Ustaz Thalib, menceritakan tentang lelaki tersebut. Ustaz itu menasihati supaya aku tidak membuat prasangka apa-apa. Jika benar dia yang m******h, kita tidak ada apa-apa bukti. Jika beliau bebas tidak mendapat balasan dunia, balasan akhirat itu pasti.

-Tammat –

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]
Miss T

14 thoughts on “Dendam Berdarah”

    • Sorry, ni posting saya yang pertama. Saya tak ada kena mengena dengan artikel sebelum ini. Kebetulan tajuk sama, saya sendiri tak perasan…. maaf ya. – Penulis –

      Reply
    • Sorry, ni posting saya yang pertama. Saya tak ada kena mengena dengan artikel sebelum ini. Kebetulan tajuk sama, saya sendiri tak perasan…. maaf ya. – Penulis –

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.