Dendam

Assalamualaikum dan salam ramadhan warga FS. Ini sekadar kisah hiburan jiwa. Mohon maaf sekiranya penyampaian agak kurang baik.
**********
Kacau bilau! Kecoh! Rumah Pak Syukri bergegar dengan hilaian kuntilanak. Kuntilanak itu berlegar sesukanya di ruangan tamu rumah Pak Syukri.

“Sudah! Sudah! Apa yang engkau nak? Pergi!” Pak Syukri menjerkah kuntilanak itu. Mak Seri, isteri Pak Syukri sudah terduduk di lantai, menahan rasa debar dan sedikit takut. Mak Seri risau sekiranya kuntilanak itu mengapa-apakan suaminya.

Kuntilanak itu berlegar mengelilingi Pak Syukri sebelum berhadapan dengan Pak Syukri. Mata bertentang mata. Merah menyala mata kuntilanak itu menghambur rasa dendam yang terpendam.

“Aku nak engkau dan Seri mati!” Gemersik halus namun keras nadanya. Dengan perlahan, kuntilanak itu memandang ke arah Mak Seri dan menunjuk ke muka Mak Seri. “Engkau dulu.”

Seraya itu kuntilanak tersebut melayang laju ke arah Mak Seri dengan kedua tangannya mengunjuk ke depan ingin mencekik Mak Seri. Mak Seri memejamkan mata, mulutnya mengeletar.

Kedengaran azan dilaungkan dengan lantang. Kuntilanak itu terbanting ke tiang seri rumah. Kepalanya melilau mencari punca azan. Marah menyelubungi jiwa serakahnya. Namun bila dilihatnya siapa yang telah melaungkan azan, kuntilanak itu tidak berkutik.

Anas, pemuda berusia pertengahan 30an membaca beberapa ayat al Quran dan diakhiri dengan doa pelindung diri. Dengan tenang Anas melangkah mendekati kuntilanak itu.

“Ibu…”, Anas semakin mendekati kuntilanak yang sudah bangkit dan berlegar rendah di lantai rumah. “Ibu…”, Anas tidak berputus asa.

Sudah dijangka oleh Anas. Kuntilanak itu melayang melintasi Anas dengan deras menuju keluar rumah. Kedengaran kuntilanak itu mengongoi sayu.

Anas menghampiri Pak Syukri dan Mak Seri. Terdapat kesal di wajah masing-masing. Setiap kali kuntilanak itu muncul, peristiwa 37 tahun lepas terimbas kembali tanpa dipinta.
************

37 tahun sebelumnya

Aminah menjerit ketakutan. Mak Kiah berubah wajah menjadi mahkluk yang hodoh rupanya. Lidah Mak Kiah menjelir panjang. Mencecapi mulutnya sendiri dan kemudiannya menjilat tubuh anak Aminah yang baru dilahirkan. Anak itu, seakan tidak bernyawa. Tidak menangis bila dilahirkan.

Mak Kiah, bidan kampung yang dijemput untuk membantu sudah tidak pedulikan Aminah. Nafsunya lebih terarah kepada anak Aminah.

“Tolong!” Dengan tenaga yang bersisa, Aminah menjerit meminta tolong. Dengan pantas Mak Kiah menampar wajah Aminah dengan kuat. Terbit darah muncul dari bibirnya yang pecah. Aminah mengaduh kesakitan. Mak Kiah kelihatan gembira melihat kesengsaraan Aminah.

“Aku benci dengan engkau. Engkau dan anak engkau harus mati. Syukri dan hartanya hanya kepunyaan Seri!” Mak Kiah mendesis serta mempamerkan taringnya. Mak Kiah mulai ketawa. Mula-mula perlahan kemudian semakin nyaring. Mak Kiah bukan lagi ketawa malah mengilai nyaring. Aminah pengsan.
——————————————
“Bangun sial! Bangun aku kata!”

Aminah mengerekot kesakitan bila terasa tubuhnya ditendang dengan kuat. Mak Kiah mencangkung di depannya. Kali ini dahi Aminah ditunjalnya.

“Aku di mana?” Aminah bertanya lemah. Suasana kelam. Bau busuk menyergap ke lubang hidungnya. Memualkan.

“Tidak perlu engkau tahu.” Mak Kiah menjawab kasar.

“Anak aku?” Aminah bertanya lagi.

“Mati. Syukri dan Seri tidak menginginkan anak engkau, sama seperti mereka tidak memerlukan engkau.” Begitulah liciknya syaitan memperdayakan manusia. Tipu helah itu mainan mereka. “Sekarang, engkau kepunyaan aku.”

Jauh di hati Mak Kiah perasaan marah timbul dengan sendirinya. Tembelangnya pecah. Ketika baru saja dia hendak menamatkan nyawa bayi yang tidak berdosa itu, pintu bilik Aminah ditendang dan terbuka. Syukri dan beberapa orang lelaki kampung meluru ke arahnya. Bayi itu sempat dirampas oleh Syukri, namun gantinya adalah Aminah. Mereka leka, Aminah dilarikan oleh Mak Kiah jauh ke dalam hutan.

Semasa melarikan diri, Mak Kiah sempat melirik ke arah Seri. Satu-satunya anak perawannya yang telah dikahwinkan dengan Syukri, sebagai isteri kedua. Madu kepada Aminah. Rancangannya tidak berhasil, rahsianya bukan lagi rahsia. Seri tentu tidak menerimanya sebagai ibu lagi. Dia melihat Seri memandangnya dengan jijik dan benci. Hijab Mak Kiah ditipu daya oleh syaitan. Hakikatnya Seri amat sedih dan ingin ibunya kembali ke pangkal jalan.

Bukan saja-saja dia ingin bermenantukan Syukri. Dia sudah bosan hidup begini. Seadanya saja. Keluarga Syukri pula orang ada-ada. Lagi pula, sememangnya Mak Kiah membenci Aminah. Mak Bunga, ibu kepada Syukri termakan hasutannya. Sudah lima tahun Syukri dan Aminah berkahwin namun tidak dikurnai zuriat. Seri jadi taruhan walaupun anaknya sendiri tidak bersetuju. Hampir sebulan Mak Kiah merajuk dengan Seri sehingga akhirnya Seri terpaksa menurut patuh.

Tetapi, siapa yang mampu menyangkal takdir. Belumpun sebulan Syukri dan Seri disatukan, Aminah disahkan mengandung. Sakitnya hati Mak Kiah. Lagi sakit hatinya melihat Seri turut meraikan berita tersebut. Mak Kiah harus melakukan sesuatu. Dia nekad. Dendamnya dengan ayah Aminah tidak pernah lupus. Bencinya dia kepada keturunan ayah Aminah tidak dapat dibendung lagi.

“Aku sanggup, Itam.” Mak Kiah menyanggupi perjanjian dengan syaitan melalui Pak Itam, bomoh turutan syaitan. Peduli apa dia, asal lunas rasa dendam di hati. Selagi keturunan itu ada, dia tidak senang hati. Mak Kiah menjual akidahnya. Dia menuntut ilmu hitam dengan tujuan memusnahkan orang yang dibenci. Dia berasa kebal, kuat namun tanpa Mak Kiah sedari perbuatannya mendatangkan murka Allah.

Selama lapan bulan Aminah mengandung, selama itulah Mak Kiah berusaha. Namun, dia tidak sedar kekuasaan yang dituntutnya hanya picisan dibandingkan dengan kuasa Allah. Janin itu membesar dengan sihat walaupun cuba diganggu oleh Mak Kiah dalam penampakan kuntilanak.

Aminah datang sula, sakit hendak melahirkan 7 minggu lebih awal. Tanpa syak, Mak Bunga dan Syukri menjemput Mak Kiah untuk membantu. Mak Kiah melihat itu adalah peluang keemasannya. Mana tahu kerana itulah pekungnya terbuka. Sekarang seluruh kampung tahu, Mak Kiah adalah pengamal ilmu hitam. Aminah teresak, lemah badan dan jiwanya. Mak Kiah memandang benci. Ikutkan hatinya, dia ingin membunuh Aminah sekarang juga. Namun, dia mempunyai perancangan lain.

“Engkau tahu, Aminah. Mereka telah mengkhianati engkau. Syukri dan Seri sememangnya sudah berkasih sebelum berkahwin.” Mak Kiah cuba menusuk jarum hasutan ke jiwa Aminah. Sesuai sekali dengan keadaan Aminah yang baru saja melahirkan anak dan lemah jiwa serta emosinya.

“Merekalah yang mencadangkan kepada aku supaya mengganggumu dan mengambil nyawa anakmu.” Mak Kiah semakin galak bila melihat Aminah tidak berhenti menangis.

“Syukri lebih lagi. Merayu di depan aku malah memberi upah kepadaku. Syukri dan Mak Bunga menginginkan engkau mati. Tapi aku tidak sanggup. Engkau aku bawa lari. Anakmu diambil mereka. Yang aku tahu, anak engkau tidak bernyawa. Aku sempat melihat Syukri mencekik anakmu.”

Mak Kiah cuba meneka apa yang bermain di fikiran Aminah. “Kenapa engkau menangis? Engkau patut berterima kasih kepada aku.”

Aminah masih tersengguk dalam tangisan. Hormon bercelaru dalam dirinya. Dia tidak mampu berfikir dengan baik.

“Mahukah engkau, aku tawarkan sesuatu?” Mak Kiah memujuk. “Engkau boleh membalas setiap perbuatan Syukri dan Mak Bunga.”

Aminah menggeleng kepala. “Aku tidak mahu. Biar saja aku begini.”

Mak Kiah marah namun cepat memikirkan tipu daya yang lain. “Apa yang engkau dapat nanti, sesuatu yang tidak terjangka Aminah. Suami dan anakmu.”

Aminah diam. Entah kenapa terbit rasa marah di hati. Marah dengan Syukri, Mak Bunga, Seri dan juga Mak Kiah. Benci menjalar di setiap urat jantungnya. Tidak tertanggung rasanya perasaan benci yang berbaur dengan marah.

Mak Kiah tersenyum hodoh. Dia maklum dengan riak wajah itu. Tidak disangka, mudah pula Aminah termakan hasutannya.

Aminah kembali ke kampungnya. Sudah setahun berlalu. Jelita dan indah parasnya lain dari sebelumnya. Penduduk kampung tidak mengenali Aminah yang sekarang. Aminah senyum sinis. Dia menyamar sebagai seorang penjual kain.

Aminah menarik nafas. Matanya tajam dan nekad. Dua malam lepas, dia telah memisahkan jasad dan roh Mak Kiah gurunya. Tidak pernah ada rasa hormat di hatinya terhadap Mak Kiah. Dia menyanggupi tawaran Mak Kiah hanya kerana dia berasa tiada jalan keluar dari cengkaman Mak Kiah. Walau terbit rasa kesal namun dia menikmati satu rasa kepuasan melihat wajah ketakutan Mak Kiah ketika itu.

Aminah mengintai ke rumah Syukri. Tanpa rekasi, dia melihat Seri sedang bermain dengan seorang anak kecil lebih kurang berumur setahun. Apabila kehadirannya disedari, Aminah memaniskan muka.

“Kain, kak. Corak baru. Saya bawa dari sempadan.”

Seri kelihatan berminat. Bukan perkara baru orang seberang datang ke kampung itu dan menjual kain. Namun aura Aminah terasa lain. Seri seolah terdorong untuk membelek-belek kain yang ada.

Sementara Seri sibuk memilih kain, Aminah memerhatikan anak kecil di samping Seri.

“Anak ya, kak?” Aminah berbasa basi.

“Ya. Baru saja setahun.”

“Siapa nama?”

“Anas.”

Tiba-tiba Syukri muncul. Aminah agak terganggu. Anas segera mendapatkan Syukri. Anas mengekek ketawa bila digeletek oleh Syukri. Seri pula tertawa bersama. Mengelegak hati Aminah melihatnya. Benarlah apa yang dikatakan oleh Mak Kiah. Membuak-buak dendam Aminah terhadap Syukri, Seri dan Mak Bunga.

Malam itu, Aminah mengunjungi rumah Syukri sekali lagi. Kali ini dia menyarungi penampakan kuntilanak. Sudah tiada kemanusiaan di hatinya. Dia ingin merampas Anas dari hidup Syukri dan Seri. Mereka harus merasai apa yang dia rasakan.

Aminah bertenggek di palang rumah, menghadap buaian Anas. Anas memandangnya. Aminah terkejut, kenapa Anas tidak gelisah atau takut. Malah merenungnya dengan penuh minat. Aminah menyerigai, mempamerkan taring dan wajah hodohnya. Anas tetap begitu. Malah tersengih seolah Aminah mengacahnya, bermain dengannya.

Baru saja Aminah melayang ke arah Anas, dia terbanting ke lantai. Syukri dan Seri yang berhampiran terkejut dan menyedari kewujudannya. Syukri segera membaca ayat al Quran sebagai pelindung. Seri pula sudah mendukung Anas. Mak Bunga tidak kelihatan.

Aminah menderam. Mengeliat kerana panas dan sakit hati.

“Syukri……” Aminah mendengus. Dia gembira bila melihat reaksi Syukri dan Seri yang terkejut mendengarnya. “Aku tidak akan lepaskan anakmu itu. Engkau dengarkan ini!”

Aminah mengilai lalu melayang pergi. Kelihatan Seri menggeletar. Peristiwa setahun lepas belum terpadam dari ingatan, ini pula yang muncul. Seri memeluk Anas dengan erat.

Syukri dan Seri berpandangan. Syukri tahu, dia harus membuat sesuatu untuk melindungi keluarganya.

Aminah kecewa. Sudah lebih dari seminggu dia mengintai rumah Syukri. Tiada kelibat mereka di mana-mana. Rumah itu gelap tidak berpenghuni. Dia menunggu.

Masuk minggu kedua, barulah kelihatan Syukri dan Seri di rumah itu. Aminah bercadang ingin melaksanakan rancangannya. Dendam harus dilunasi.

Aminah terseret ke belakang dan terbanting di pokok mangga depan rumah. Marah menguasai jiwa. Dia tidak dapat menghampiri rumah Syukri. Aminah menderam dan menjerit. Suasana sunyi. Penduduk kampung sengaja mendiamkan diri di rumah masing-masing. Seawal siang tadi Syukri sudah berpesan. Usah masuk campur selagi keadaan masih terkawal.

Syukri melangkah keluar dari rumah, Seri hanya terlihat dari tingkap. Aminah menderam lagi bila melihat Syukri.

“Aminah..” Kedengaran suara lembut Syukri. “Kenapa harus begini? Puas kami mencari engkau.”

Aminah mendengus. “Tipu tidak beragak-agak. Engkau ingat aku tidak tahu apa yang sudah kamu lakukan kepadaku.”

Jelas Syukri tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Aminah. Sebagaimana dia tidak tahu kenapa Aminah berubah sebegini rupa. Membelakangkan tauhid dan menyekutukan Allah. Dia ingin Aminah kembali. Kembali ke jalan Allah.

“Aminah, ingat kepada Allah. Allah yang esa. Allah yang berkuasa. Yang memberi nikmat kepada hamba-hambaNya.”

Aminah tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh Syukri. Dia malah mengilai dengan lebih nyaring.

“Aku akan pastikan engkau menderita, Syukri! Seri! Mak Bunga dan juga anakmu juga sama!”

Syukri menggelengkan kepala. “Kenapa, Aminah? Usah diturut nafsu. Emak sudah kembali ke rahmahtullah, Aminah.”

Aminah kecewa sedikit mendengarnya. Terlepas peluang untuk menyeksa Mak Bunga dengan setimpal.

“Dan anak aku itu, anak engkau juga Aminah. Anas, anak yang dikandungmu, Aminah. Anak yang engkau lahirkan. Tergamakkah engkau menyakitinya?”

Aminah tersentak. Dia tidak percaya. Mak Kiah kata, anaknya mati dicekik oleh Syukri. Syukri sengaja berkata demikian, dia yakin.

“Engkau penipu!” Aminah ingin menyusup masuk ke rumah Syukri untuk mendapatkan Anas. Dia terbanting lagi. Aminah keliru dan marah. Kenapa dia tidak dapat menghampiri rumah itu.

“Anas tiada di rumah, Aminah. Dia tiada di sini. Kembali ke jalan Allah, Aminah.” Syukri memujuk lagi. Aminah mendengus kasar dan melayang pergi.

Aku akan ke sini lagi, janjinya kepada diri sendiri.

Keadaan berlanjutan. Meskipun Aminah tidak datang menganggu sekerap dulu namun dia tetap ada. Anas dicari dan ditunggu. Syukri dan Seri bertahan. Mereka tetap dengan pendirian, ingin membawa Aminah kembali ke pangkal jalan. Aminah tetap tidak percaya dengan penerangan dan penjelasan Syukri. Hatinya sudah lama sebati dengan curiga ditambah pula dengan hasutan syaitan.
******************

Kini

Pak Syukri dan Mak Seri tidak pernah menyembunyikan apa-apa dengan Anas. Anas patut tahu apa yang berlaku. Ibu kandungnya, Aminah adalah mangsa hasad dengki yang tergelincir dari jalan Allah.

Anas yang menghabiskan sebahagian besar waktu membesar dengan ayah saudaranya di tanah seberang, tetap kembali ke kampung sesekali. Memang, pernah beberapa kali Aminah yang menyerupai kuntilanak itu menganggunya malah berniat mencederakannya tetapi tidak pernah kesampaian.

Di usia remajanya pula, Anas menyambung pelajaran ke Jordan dan mengambil peluang untuk bekerja di situ untuk beberapa tahun. Baharu inilah dia kembali.

“Ayah leka, Anas. Sebab itu ibumu mampu masuk ke dalam rumah.” Pak Syukri bersuara.

“Ibu tidak berubah, ayah. Sisi gelap itu sudah sebati dengan darahnya.” Anas menarik nafas. “Kita harus hentikan, ayah. Ibu harus kembali ke jalan Allah.”

Pak Syukri terdiam. Dia sudah kebuntuan menghadapi semua itu. Usianya makin lanjut. Mak Seri hanya diam. Dalam diam dia berdoa agar semua itu berakhir dengan baik.

Aminah masih mengongoi pilu. Entah kenapa panggilan ibu oleh Anas itu tadi terasa menyentuh hatinya. Kata Syukri, Anas itu adalah anaknya. Mati-matian dia tidak percaya. Namun setiap kali dia ingin menggugat Anas, dia berasa tidak mampu untuk meneruskan. Betulkah Anas adalah anaknya? Namun, jauh di sudut hatinya memang terusik dengan Anas dari hari pertama dia melihatnya.

Aminah mengemas dirinya yang kembali ke jasad asal. Raut wajah dan tubuhnya kekal muda kerana ilmu hitam yang diamalkan. Cuma tidak dia sedari jiwanya reput akibat menurut ilmu yang dilaknat Allah.

Sehingga ke pagi, Aminah termenung. Dia memutuskan untuk berdepan dengan Anas.

Seri agak tergamam melihat Aminah terpacak di laman rumah. Aminah kelihatan berusaha mengawal riak wajahnya.

“Aku tidak mampu mendekat, Seri. Jadi, panggil Anas. Aku ingin bertemu dengannya.”

Seri teragak-agak tetapi tetap bersuara. “Jika bukan kerana Anas sendiri yang ingin menemui engkau, tidak aku izinkan itu berlaku Aminah.”

Aminah kaget. Anas ingin berjumpa dengannya?

“Assalammualaikum ibu.” Anas memberi salam

Aminah diam tidak menyahut. Anas mengajak Aminah duduk di pangkin bawah pokok mangga.
Masing-masing diam.

“Anas anak ibu.” Akhirnya Anas bersuara. “Anak ibu dan ayah. Ayah dan mak menyelamatkan Anas, ibu. Ketika Nek Kiah ingin menamatkan nyawaku. Anas percaya, ibu pernah mendengarkan ini dari ayah.”

Aminah masih diam. Kelihatan Seri dan Syukri memerhati dari tangga rumah. Meskipun mereka percaya dengan kemampuan Anas, sebagai orang tua rasa ingin melindungi itu masih tebal.

“Seri melayanmu dengan baik?” Tanya Aminah. Terjentik rasa gembira di hati Anas.

“Ya, ibu. Emak, sering menunjukkan gambar ibu kepada Anas. Emak kata itu ibu Anas. Usah lupa doa untuk ibu, emak berpesan.”

Hati Aminah sedikit terusik. Dia masih berperang dengan perasaan sendiri. Terimbau kembali peristiwa lalu. Mulanya kabur kemudian semakin jelas. Syukri, Mak Bunga, Seri dan Mak Kiah. Mak Kiah yang berubah jasad ketika dia melahirkan anak. Mak Kiah yang mengancamnya ketika dia kesakitan ingin melahirkan anak. Mak Kiah yang mengajarnya ilmu kuntilanak. Semakin jelas dan nyata.

“Anas, ibumu ini hamba kepada syaitan. Adakah Anas menerima ibu?”

“Tidak ibu. Anas tidak menerima ibu sebagai hamba syaitan. Kita, ibu.. hanyalah hamba kepada Allah semata-mata. Kembali ke jalan Allah, ibu.”

Aminah terdiam dan gelisah. Anas tetap tenang. Dia memohon kepada Allah sungguh-sungguh agar Allah menolong ibunya. Selama di Jordan, dia sering menunaikan haji dan umrah. Setiap kali, bagaikan hujan air matanya gugur di depan Kaabah. Dia sujud meminta tidak berputus asa, agar ibunya kembali menjadi seorang muslimah yang taat kepada penciptanya.

“Ibu tidak tahu, Anas. Ibu tidak tahu bagaimana.” Akhirnya, Allah memakbulkan doa hamba-hambaNya yang taat.

“Usah risau, ibu. Kita ikhtiar. Gantungkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah.” Anas segera sujud syukur di situ juga. Syukri dan Seri melihat ulah Anas segera mampu meneka apa yang telah berlaku. Mereka juga turut sujud syukur. Mulut mereka tidak berhenti-henti mengucapkan syukur kepada Allah.
*****************

Aminah, menghembuskan nafas terakhirnya. Tangannya terkulai di genggaman anaknya, Anas. Walaupun bersedih namun Anas lega, ibunya mampu mengucapkan syahadah sebelum kembali menghadap Allah.

Pak Syukri menatap wajah Aminah. Wajah itu sudah berusia sepertinya. Sepanjang mereka berikhtiar membuang ilmu hitam Aminah, ketara sekali perubahan pada wajah dan tubuh Aminah. Dia tidak lagi jelita. Paras dan kudratnya sesuai dengan umurnya. Namun, bukan senang bagi mereka mengubati Aminah. Kuntilanak itu degil dan berang.

Aminah meninggal ketika berperang batin dengan kuntilanak tersebut. Dia meninggal namun menang. Dia meninggalkan dunia dengan iman di dada. Anas, Syukri dan Seri redha.
*************
Tamat.

Sila tinggalkan komen yang berkaitan dengan cerita :)

9 Comments on "Dendam"

avatar
embun

Hmmm panjanggggggggg sangat. Macam karangan zaman sekolah dulu. Ini re-type ke ? Maaf tanya la ?

anas

truknye dia ni..org lagi suka baca panjang and ad isi macam ni. ok la tu crita dy..

zahra

NICE ONE ! KIPIDAPP

paris jackson

best!

Erica

Cerita mcm ni lah best. Pnjng ada isi, ada prmulaan, prtghan, klimaks dan pnutup. Bkn mcm cerita pendek tah pape tetiba jea dh hbis. Baik simpan utk anak cucu jea.

Yibo

best ! sangat sangat best ~

yan

sedih

Jeboon18

cite ni mmg bestt!! tp nk tow sikit la..

“Syukri dan beberapa orang lelaki kampung meluru ke arahnya. Bayi itu sempat dirampas oleh Syukri, namun gantinya adalah Aminah. Mereka leka, Aminah dilarikan oleh Mak Kiah jauh ke dalam hutan. ”

nape part ni syukri tk selamatkan aminah ekh?means terus kejar ke..ke hilang secare ghaib?

cekodok

i like!

wpDiscuz