DENGKI

Belek belek album gambar lama, terjumpa gambar bersama teman teman serumah masa menyewa di Taman Desa Murni. Masa tu, umur aku baru 18.

Aku sebenarnya merajuk dengan bapak aku, aku dapat sambung ke tingkatan 6, tapi disebabkan mak tiri aku, bapak aku buat bo layan bila aku cakap nak masuk ke tingkatan 6.

“Alaaaa, belajar tinggi tinggi pun, nanti kawin tak ke mana jugak, sudahnya jaga anak dan ke dapur jugak . Kilang melambak, bawak bawak la keja, bapak hang dah tua.” Bebel mak tiri aku.

“Hah tau pun pak dah tua, anak mak Teh dua ekoq tu , makan tidoq ja, tak reti suruh depa cari ka? Kami ni anak kandung bapak, memang patut dia sara kami pun, dua ekoq tu anak tiri bapak ja, umoq dah dua puluh lebih pun, tak reti nak qeja lagi, tu , moto tu pun bapak kami yang beli, kami ni mintak sambung blajaq pun mak Teh hingaq.” Balas aku.

Sudahnya aku makan penampar bapak sebab dituduh kurang ajaq. Aku tak salahkan bapak aku pun, bapak aku tu dah makan nasi kangkang .

Tapi lain kali aku cerita bab tu . Ni kisah aku dengan kawan kawan.

Sebab merajuk, aku bawa diri cari keja kilang. Alhamdulillah, dapat je keja, lepas sebulan, aku menyewa rumah.

Dalam rumah tu, aku paling muda. Kak Nab, 25, Zu , 23, Watie 23, Ila 23, Wilaria 23.

Zu ni , seorang yang ceria, peramah dan cantik. Ila pulak kawan baik dia, mana pi mesti berdua, baju pun beli serupa, Ila ni lemah lembut orangnya, sentiasa senyum, kalau orang cakap kasar sikit, nangis lah jawabnya.

Kak Nab agak warak dan pendiam. Wilaria ni pulak, asal Perlis, keturunan Siam, comel orangnya. Watie, orangnya agak kasar, cakap main lepas ja. Satu yang aku perasan, Watie ni tak sebulu dengan Zu dan Ila, walaupun Watie ni sekampung dengan Zu.

Kalau tiga manusia ni bertembung, pasti berlaku pertengkaran . Aku? Aku biasa ja, aku baik dengan semua orang dalam rumah tu.

Satu pagi, aku yang baru balik kerja shif malam, terbantut niat mahu tidur bila 3 insan ni bergaduh. Puncanya Watie sengaja menumpahkan air minuman Zu. Siap cakap, “ops, sori sengaja.”

Maka berlakulah perang mulut antara mereka bertiga. Hinggalah kak Nab turun meleraikan pergaduhan mereka.

Setelah setahun tinggal bersama, suatu hari Zu jatuh sakit. Badan Zu susut mendadak. Wajahnya pucat, Zu menjadi letih tak bermaya. Masa tu , baru kami tahu, rupanya dah 4 bulan period Zu tak berhenti.

Mulanya kak Nab mencadangkan Zu pergi klinik . Menurut doktor, hormon Zu tak stabil, sebab tu period dia macam tu.

Balik tu , keadaan Zu makin teruk, dia semakin lemah. Kami yang risaukan dia menelefon ibunya di kampung. Petang tu, ibu dan ayahnya datang dari Kuala Nerang bersama seorang lelaki.

Aku yang kebetulan cuti pada hari tu, menjemput keluarganya masuk.

Ayah dan ibunya terus aku bawa ke bilik dia. Lelaki yang datang bersama orang tuanya, aku lihat meninjau ninjau sekeliling rumah.

Tak lama lepas tu, lelaki tersebut masuk. Aku nampak dia bercakap dengan ayah si Zu, ayah Zu pulak, terhangguk hangguk kepalanya.

Tak lama lepas tu, ayah dia bagitau kami, mereka nak bawa Zu balik kampung untuk berubat. Ayah dia ada tanya, siapa yang kerja sama Line dengan Zu, masa tu, Ila tak ada sebab OT, aku pun bagitau la ayah dia, aku pun satu Line dengan Zu.

Ayah dia minta tolong aku bagitau supervisor tentang masalah Zu, aku pun laju ja cakap boleh.

Seminggu jugak la Zu balik kampung berubat. Yang tak bestnya, sepanjang Zu tak ada tu, malam malam, sapa yang lewat tidur akan terserempak dengan Zu.

Port kesukaan klon Zu ni, atas tangga. Bilik bilik semua kat atas, kadang tu, tahan je kencing sampai subuh sebab tandas kat bawah.

Klon Zu ni, dia boleh duduk atas tangga menangis mendayu dayu macam orang m**i laki . Kadang tu, tangisan dia boleh dengar sampai atas.

Sepanjang Zu tak ada, Ila langsung tak balik. Kesian Ila, katanya, dia paling teruk diganggu, mungkin sebab mereka akrab, maka tempiasnya turut kena pada Ila.

Lepas seminggu, Zu balik semula kat rumah sewa. Muka pun dah tak pucat dan cengkung. Aku perasan, Zu ada pakai tangkal kat lengan dia.

Menurut Zu, bomoh yang mak ayah dia panggil ada bagi tangkal sebagai pelindung. Aku dalam hati, astaghfirullah, bukankah Allah sebaik baik pelindung . Namun aku tak berani utarakan pada Zu, takut dia tersinggung.

Zu cakap, bomoh tu bagitahu mak ayah dia, ada orang dah ambik pad dia, pad yang masih berdarah tu, diletakkan pada laluan air . Macamana air tu mengalir, macam tu lah d***h period dia keluar. Tapi bukan main letak gitu ja, ada la jampi jampi.

Tujuan orang tu, dia nak Zu m**i. Ternganga mulut aku masa tu. Allahuakbar, kerasnya hati orang tu pikir aku. Menurut Zu lagi, orang dalam rumah ni jugak yang sihirkan dia.

Aku menekup mulut. Masa tu, kak Nab yang warak tu pun tak fikir orang lain dah! Kami syak Watie. Sedang rancak membuat andaian, Ila balik. Meluru dia berlari memeluk Zu.

Ila menangis sambil bertanya khabar Zu. Tak ada angin, tak ada ribut, Watie tiba tiba muncul menarik Zu dari pelukan Ila.

“Hei pompuan, buat apa hang balik sini? Tak serik lagi ? ” Jerit Watie.

“Apa masalah hang? Hang tak puas hati tengok aku idup kan? Aku tak sangka perut hang busuk sampai sanggup bomohkan aku?” Balas Zu.

“Ahhh, lantak hang la , pompuan bodoh. Hang akan menyesal sebab balik sini!” Tengking Watie

Kak Nab yang marah dan tak sangka dengan perangai Ila, telah menampar pipi Ila. Watie memapah Zu masuk ke bilik. Aku nampak Watie berlari keluar dan menangis kat bawah pokok pelam depan rumah.

Esok tu, Zu masuk kerja macam biasa. Ila yang banyak main peranan, memang boleh nampak keikhlasan dia. Betul betul punya jaga, Ila tak bagi Zu makan sembarangan.

Sejak Zu sembuh, aku tengok Watie sering batuk batuk. Muka pun pucat ja, paling ketara, badan dia susut sangat.

Aku pernah dengar, Zu cakap, ilmu makan tuan, sebab bomoh tu dah pulangkan sihir yang dihantar.

Sejak Zu balik, Ila akan masak, bukan untuk Zu ja, kami pun turut merasa. Kadang tu, Ila beli ja kat kedai. Satu hari tu, kami cuti, Ila masak untuk kami semua.

Disebabkan rumah kami tak ada meja makan, kami hidang je makanan atas lantai, pastu pakat bersila menghadap hidangan.

Yang si Watie ni, mungkin jealous sebab tak ada yang pelawa dia makan, datang datang je habis disepak makanan yang Ila masak.

“Kurang ajaq hang noh, ni rezeki kot !” Marah Zu.

“Rezeki? Pi mampoih dengan hang punya rezeki.” Balas Watie.

Sebaik berkata macam tu, Watie terus blah. Sudahnya kami goreng telur, lauk semua dah tumpah.

Keesokkan tu, Zu balik kerja dengan ceria. Kami semua tumpang seronok bila Zu cakap, dia terpilih sebagai supervisor. Plan untuk naik pangkat tu , dah lama kami dengar, akhirnya menjadi kenyataan.

Malam tu , kami sambut berita gembira Zu dengan makan makan. Ila yang sponser, ditempah makanan dari kakak angkatnya.

Dalam pukul 10.30 malam, Zu menggelupur sakit perut. Katanya macam ada benda bergerak kat dalam perutnya .

Berusung kami bawa dia ke klinik berkat bantuan abang abang bujang depan rumah. Pergi klinik, doktor bagi ubat angin .

Dalam pukul 1 pagi, Zu meraung kuat, kami meluru ke biliknya. Kaku kami, perut Zu memboyot macam orang mengandung. Kami call ibu dia di kampung .

Esok pagi pagi, mak ayah dia dah sampai. Zu dibawa balik. Kak Nab dengan Ila mengikut Zu pulang.

Aku dan Wilaria terpaksa beralah sebab tak muat kereta. Haritu, aku kerja tengahari. Balik kerja, aku terus naik ke bilik.

Jam 3 pagi, aku terjaga sebab nak terkencing. Masa turun tangga, aku dengar orang nangis. Pastu , aku dengar orang berdoa.

“Ya Allah, engkau lindungilah sahabatku, kau sembuhkanlah dia. Kau tunjukkanlah kebenarannya ya Allah.”

Mulanya aku ingat Ila, sebab suara tak jelas, dah jadi sengau sebab menangis, dengan sedu sedan lagi. Aku dekati dia, bila aku tepuk bahu dia, kami sama sama terkejut.

“Bukan hampa semua ikut Zu balik kampung ka?” Soal Watie.

Aku geleng, mata masih renung dia.

“Akak tau, hampa semua tuduh akak bomohkan Zu, demi Allah, bukan akak.” terang Watie.

Aku nampak linangan air mata dia, dari anak mata dia, aku nampak kejujuran yang selama ni aku tak nampak.

Aku suruh dia tunggu sat sebab aku nak kencing. Masa dalam tandas, aku dengar Watie batuk tak henti. Keluar ja tandas, aku pi dekat dia.

Allah, Watie dah terbaring atas sejadah. Aku nampak dia urut urut dada dia. Aku sua tiger balm kat dia, tapi dia tolak sambil senyum.

Baru nak tanya pasal Zu, telefon rumah berdering sakan. Aku angkat, dengar suara Kak Nab sangkut sangkut, macam orang nangis.

“Ina, Zu tengah nazak.” Tu ja kak Nab sebut.

Aku lari pi bagitau Watie. Aku naik atas, gerak Wilaria, cakap Zu nazak. Pastu aku buat muka tak malu pi ketuk pintu abang bujang depan rumah .

Mujur dua kali ketuk,abang Bakri keluar. Tak cakap banyak, dia suruh aku balik siap, dia setuju nak hantar aku dan Wilaria.

Watie cakap nak ikut, tapi aku tengok dia macam lemah. Aku dan Wilaria papah dia masuk kereta. Sepanjang jalan dari Sungai Dua Butterworth ke Kuala Nerang, Watie batuk tak berhenti. Sesekali dia urut dada.

Alhamdulillah, jam 9 pagi kami sampai rumah Zu. Watie cakap dia nak balik rumah dia dulu. Aku biarkan, mungkin dia perlu masa untuk berjumpa Zu.

Lepas sejam kami sampai,bomoh datang. Aku dengar bomoh tu minta maaf sebab tak dapat datang semalam, sebab semalam dia tak ada, keluar mengubat orang.

Kami duduk je tepi Zu, perut dia nampak besar gila, macam pompuan sarat mengandung. Dia pun nampak pucat dan lemah.

Aku beristighfar dalam hati bila tok bomoh start perasap kemenyan . Dalam hati aku, kenapa la mak ayah dia tak panggil ustaz atau orang alim.

Sedang melayan perasan, dengar orang bagi salam. Pastu aku dengar kecoh kecoh . Rupanya Watie yang datang.

“Berani hang mai tunjuk muka noh lepas apa hang buat kat anak aku.” Tengking bapak Zu.

“Tak pa, panggil dia masuk, kalau betoi dia buat, satgi dia ketahuan la !” Kata tok bomoh.

Tok bomoh mula perasap keris dia. Lepastu aku tengok dia belah belah limau, dikuis kuis limau dalam mangkuk.Pastu dia bangun pi kat tangga, ditabur beras kunyit melintang dari hujung pintu ke pintu.

Tak lama lepastu, dia naik. Muka kami direnung sorang sorang.

“Hampa ni semua dok serumah kan? Mangkit mai, ikut aku.” Arah tok bomoh.

Berderet lah kami ikut belakang dia.

Mula mula, dia arah kak Nab langkah beras kunyit yang dia tabur, pastu Wilaria, Watie.

Watie toleh tengok aku. Aku angguk sambil tepuk bahu dia. Dengan lafaz bismillah, dia langkah dan turun ke tanah, berdiri sama sama dengan kak Nab dan Wilaria.

Seterusnya giliran aku, alhamdulillah, aku turun mendapatkan kawan kawan. Yang terakhir giliran Ila. Ila macam keberatan nak turun.

“Hang tunggu apa lagi, langkah la!” jerkah tok bomoh.

Hampa tau apa jadi? Ila tak jejak tanah, dia macam terbang lintas beras kunyit tu dan mendarat atas tanah.

Tiba tiba dia mengilai.

“Tak payah dok pulun nak berubat la, dah sampai masa dah Zu nak mampoih arini, hampa siap kain kapan ja, memang aku yang bomohkan dia, sebab aku yang lama kerja, alih alih nama dia yang masuk senarai naik pangkat.” Jerit Ila

“Hang pun sama, suka sangat kacau qeja aku, berapa kali aku gagal, duit aku habis . Tapi hang bodo, hang ingat aku bulih buat melalui makanan saja ka? Aku dah upah orang asli buat melalui kucing, pecah perut kucing tu, pecah la perut dia . Ikut perkiraan hari ni, hah hah , mampoih hang , mampoih hampa.”

Ila dah macam orang gila. Aku tengok Watie tenang saja . Selamba dia pi bawah rumah, pastu amek keluar bungkusan, busuk macam bangkai. Diserah pada tok bomoh.

“Ini bangkainya, masa dia tanam, dia tak sedar saya tengah intai.” Ucap Watie.

Segera tok bomoh bermantera, tiba tiba bangkai tu terbakar. Sebaik melihat bangkai tu terbakar, Ila lari entah ke mana .

Watie minta izin menjengah Zu. Aku papah dia ke atas setelah mendapat izin.

“Assalamualaikum sahabat.” Ucap Watie lalu bersimpuh di tepi Zu.

“Maafkan aku Watie, sebab lelaki kita putus sahabat, aku canang cerita hang rampas pakwe aku, ini balasan aku Watie.” Ucap Zu lemah.

“Ssshhhh, yang lepas biaq la, aku tak simpan dendam, aku pun nak minta ampun dan maaf kat hang, halalkan makan minum aku.” Ucap Watie.

Sebaik habis berkata kata, Watie batuk teruk, bersembur d***h pekat dari mulut dia. Yang ngerinya,bukan d***h ja keluar, tapi mata pisau blade, serangkai!

Mak Zu yang nampak keadaan Watie terus panggil tok bomoh yang sedang mengopi dengan bapak Zu di beranda.

Belum sempat tok bomoh naik atas rumah, Watie menyebut Allah, perlahan je, lalu jatuh tersembam atas dada Zu. Bapak Zu angkat Watie, dia letak jari pada hidung Watie. Aku nampak dia geleng kepala pada tok bomoh .

Aku dah mula cuak, aku pergi dekat Watie, aku rasa nadinya, tak ada denyutan . Airmata mula gugur .

“Santau!” Sepatah ja ayat keluar dari mulut tok bomoh .

Ajal maut di tangan Allah, kalau dah sampai masa, tak cepat, tak lewat walau sesaat.Begitulah setianya Watie pada sahabatnya, m**i pun atas dada sahabatnya

Alfatihah sahabat. Aku tutup album gambar. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas roh Watie dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Zu, sampai hari ini hidup dalam penyesalan, Ila pula, khabarnya tak waras selepas kejadian tu.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 53 Average: 4.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.